Brasili: Anda perlu cukup bebal untuk menembak tempuling sepanjang 30 sentimeter ke mata sendiri, tetapi anda pasti amat bertuah kerana masih hidup untuk menceritakan sendiri detik itu kepada orang lain.
Itulah yang dilalui Bruno Bruno Coutinho.
Dia sedang membersihkan alat itu yang sering digunakannya untuk menangkap ikan.
Bagaimanapun, tanpa disengajakan Coutinho, 34, tertekan pemicu alat itu menyebabkan bilah tempuling berkenaan menusuk ke soket matanya. Apabila Coutinho tiba di Hospital Santa Teresa di Rio de Janeiro 10 jam kemudian, doktor di situ kehairanan kerana dia masih dalam keadaan sedar.
Menetap di Petropolis, kira-kira 65 kilometer di utara Rio de Janeiro, Coutinho kemudian menjalani pembedahan selama empat jam bagi membolehkan besi tajam itu dikeluarkan dari matanya.
Lebih mengejutkan, insiden itu tidak menyebabkan otak Coutinho cedera. Namun, pembedahan kedua yang dijalankan gagal memulihkan mata kiri Coutinho.
Sementara itu, Ketua pembedahan saraf Hospital Santa Teresa, Dr Orlando Maria berkata, Coutinho sangat bernasib baik kerana besi tajam itu hanya beberapa milimeter daripada merosakkan semua salur darah penting dalam tengkoraknya. “Objek itu nampaknya menusuk tanpa menyebabkan kerosakan sebarang struktur atau salur darah utama.
“Objek itu juga dapat dikeluarkan dengan selamat,” katanya. Sementara itu, jiran Coutinho berkata, keadaan sangat menakutkan ketika dia mengejarkan kenalannya itu ke hospital. “Biasanya situasi itu hanya dapat anda lihat dalam filem,” katanya ketika ditemui. Sehingga kini, Coutinho masih ditempatkan di unit rawatan rapi tetapi dijangka dibenarkan pulang beberapa hari lagi. - AP