Susunan NURUL AZWA HARIS
Rusa kutub menjadi tunggangan Vladimir Bagadaev ketika mengembala.
VLADIMIR Bagadaev hidup berseorangan dalam kawasan belantara di utara Rusia dalam keadaan suhu sejuk melampau, mencecah 60 darjah Celcius di bawah paras beku bagi menjalankan tanggungjawab mengembala dan melindungi rusa kutub.
Bagadaev merupakan sebahagian kecil daripada komuniti orang asli Siberia, Evenks yang melindungi haiwan yang semakin pupus itu sejak berkurun lalu.
Menurut laman web, MailOnline, setiap hari, Bagadaev hidup terpencil dalam sebuah kabin balak kecil berdekatan kawasan hutan dan terletak berdekatan sungai yang menjadi laluan utama kenderaan mengangkut bekalan ke pekan pada musim sejuk.
Pondok kecilnya itu juga sering menjadi tempat persinggahan pemandu lori, termasuklah abangnya, Alexei Bagadaev.
Walaupun dia hidup sendirian, Bagadaev mengakui, rakan-rakan rusa kutubnya itu merupakan sebab dia menggemari kehidupan dalam belantara.
"Sekumpulan rusa kutub yang saya miliki sejak kecil dan mengenali setiap ekor daripada mereka.
"Kami tidak ambil masa lama untuk menjadi kawan," katanya.
Sekumpulan rusa kutub itu juga memberi kemudahan kepada Bagadaev untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
Bagadaev menunggang mereka seperti kuda menggunakan pelana khas kaum asli Evenk yang diletakkan atas bahu rusa tersebut bagi meringankan beban dengan bantuan kayu panjang yang digunakan untuk keseimbangan badan.
Bagadaev berkata, rusa kutub merupakan sumber makanan, pengangkutan dan pakaian.
"Kereta tidak mampu pergi ke mana-mana seperti rusa kutub, walaupun mereka bergerak perlahan, tetapi mereka mampu mengharungi bukit-bukau, salji tebal dan hutan belantara," katanya.
Oleh sebab rusa kutub milik Bagadaev merupakan haiwan liar, mereka sering berpindah-randah dan keluar dari kawasan kediamannya, menyebabkan dia terpaksa mengikut kumpulan itu.
Beberapa kali sebelum ini, dia terpaksa mengikut kumpulan rusa kutubnya sehingga tidak mampu pulang ke rumahnya dan terpaksa tidur di dalam belantara dalam suhu sejuk melampau.
Sebab itu, dia sering membawa senapang bagi melindungi dirinya serta sekawanan rusa kutub itu daripada diserang serigala dan haiwan liar lain.
Sekiranya dia terpaksa bermalam dalam hutan, dia akan menggunakan kantung tidur yang diperbuat daripada kanvas dan bulu binatang yang diberikan oleh bapanya selepas dia membuka baju sejuk dan seluarnya.
Dilupakan
Kehidupan Bagadaev itu merupakan tradisi turun-temurun kaum aslinya sejak beratus-ratus tahun dahulu, namun kini kehidupan tradisional itu semakin dilupakan.
Ketua pentadbiran pekan Topolina, Nadezhda Kladkina-Klisheiko memberi sokongannya terhadap Bagadaev dan komuniti Evenks bagi mengukuhkan bilangan rusa kutub di negara itu.
"Keadaan amat rumit di sini. Anda boleh menerima subsidi kerajaan sekiranya anda mengembala lebih 800 ekor rusa kutub," katanya.
Namun begitu, memandangkan Bagadaev mengembala hanya 45 ekor rusa kutub, dia hanya mampu menjana pendapatan melalui penjualan daging dan bulu binatang itu.
Menurut Kladkina-Klisheiko, walaupun pendapatannya kecil, Bagadaev tidak berniat untuk melepaskan kehidupan nenek moyangnya.
"Kerajaan mahukan keuntungan daripada pelaburan subsidi mereka, tetapi komuniti Evenk menganggap mengembala rusa kutub adalah sebahagian daripada hidup mereka dan bukannya sumber perniagaan.
"Rusa kutub yang dijaga adalah milik mereka, dan mereka menyayanginya," katanya.
Kini, pengembala rusa kutub berharap untuk meringankan beban hidup dengan kedatangan pelancong luar yang sukakan cabaran dengan meluangkan masa di dalam belantara Rusia itu.
Jurugambar, Amos Chapple berkata, walaupun kawasan itu terpencil, para pelancong akan menyukai tempat itu.
Tambahnya, penduduk tempatan melihat kedatangan pelancong sebagai potensi untuk meneruskan tradisi seperti Bagadaev yang kini tidak mendapat bantuan kerajaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140302/lu_02/Sendirian-demi-rusa-kutub#ixzz2uqVTy7Ou
© Utusan Melayu (M) Bhd