Pages

Saturday, August 13, 2011

Warga emas maut, isteri parah




SEBAHAGIAN kanak-kanak melihat tempat kaki kanan Seman Sirun (ditanda dengan serkap ikan) yang putus dijumpai di Kampung Pasir Putih Tualak, Kuala Nerang, Kedah, semalam.


PADANG TERAP 12 Ogos – Seorang warga emas maut manakala isterinya parah selepas ditetak dengan sebilah parang oleh anak mereka yang naik berang dalam kejadian amuk di Kampung Pasir Putih, Kuala Nerang di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang, Seman Siron, 60, (gambar) meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang akibat cedera parah di kepala, kedua-dua belah tangan dan putus pergelangan kaki kanan akibat tetakan tanpa belas kasihan oleh anak ketiga daripada enam beradik itu.
Isteri mangsa, Hasnah Abdul Majid, 58, pula terpaksa menerima lima jahitan di belakang kepala yang cedera sepanjang 10 sentimeter, namun keadaannya dilaporkan stabil.
Kejadian dikatakan bermula apabila suspek naik angin setelah tindakannya memarahi anak buahnya kerana membuat bising ketika menunggu waktu berbuka puasa dan berang dengan kehadiran kucing yang berkeliaran setelah ditegur adik ipar suspek, Mohd. Nazrin Zainon, 32.
Pemuda berusia 33 tahun itu kemudian mengambil sebilah parang penebas sepanjang 40 sentimeter di luar rumah sebelum menyerang adik iparnya itu, bagaimanapun Mohd. Nazrin sempat menyelamat dan melarikan diri bersama tiga anaknya berusia enam hingga 11 tahun.
Seman yang cuba mententeramkan keadaan turut ditetak suspek yang kemudian menyerang ibunya, Hasnah yang cuba menghalang anaknya itu daripada terus menetak suaminya.
Suspek yang masih bujang melarikan diri dengan membawa bersama bahagian kaki bapanya yang terputus itu setelah seorang jiran mengarahkannya berhenti daripada terus mengamuk di samping bertindak memukul tangan suspek dengan sebatang kayu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, kedua-dua mangsa yang cedera segera dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang oleh ahli keluarga mereka tetapi Seman disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas kejadian sementara Hasmah yang dilaporkan stabil dibenarkan pulang tengah hari ini.
Katanya, mayat Seman dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut oleh waris bagi urusan pengkebumian.
Menurut Ku Yaacob, pihaknya menemui bahagian kaki mangsa yang dilarikan suspek kira-kira lima meter dari bahagian luar dapur rumahnya.
Menurut beliau, polis dengan bantuan penduduk kampung sedang giat mengesan suspek yang dipercayai bersembunyi di dalam hutan di Puncak Janing dan menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, semakan polis mendapati suspek yang masih bujang dan bekerja kampung tidak mempunyai rekod gangguan mental di hospital, bagaimanapun difahamkan pemuda itu pernah mendapatkan rawatan secara tradisional akibat tekanan jiwa.-utusan

3 maut selepas beli juadah Ramadan


Norhashimah, Shamsul Kamal



KEPALA BATAS 12 Ogos – Hasrat dua beradik untuk berbuka puasa bersama adik bongsu yang pulang bercuti dari Johor tidak kesampaian apabila mereka terbunuh dalam nahas di Kampung Permatang Binjai dekat sini selepas membeli juadah berbuka puasa, petang semalam.
Norhashimah Hashim, 44, bersama adiknya, Normadiah, 38, dan menantu Norhashimah, Shamsul Kamal Razali, 38, maut selepas kereta Proton Wira yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner di persimpangan lampu isyarat kira-kira pukul 6.45 petang.
Anak tunggal Norhashimah, Siti Suraya Mansor, 23, yang juga isteri Shamsul Kamal dan sepupunya, Mohd. Firdaus Azlan, 10, cedera parah dan masing-masing dirawat di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Ketika kejadian, kereta yang dinaiki mereka berlima dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bakar Kapor dekat Penaga selepas membeli juadah di Bazar Ramadan Maklom sebelum dirempuh Fortuner itu yang datang dari arah Butterworth menghala ke Tasek Gelugor.
Menurut adik bongsu mangsa, Ismail Hashim, 26, dia sebelum itu turut bersama-sama Norhashimah ke bazar Ramadan tersebut tetapi pulang awal menaiki kereta lain bersama isteri dan seorang lagi kakaknya, Norlia yang juga ibu Mohd. Firdaus.
“Selepas beli beberapa juadah, saya balik dulu dan menunggu mereka di rumah tetapi sehingga waktu berbuka, kelibat mereka tidak kelihatan sebelum mendapat panggilan kira-kira pukul 8 malam yang mereka terbabit kemalangan.
“Memang terkejut sangat sebab tak sangka boleh jadi macam ini ketika mereka berdua beria-ia nak berbuka puasa dengan saya sekeluarga,” katanya ketika ditemui di HSJ di sini, malam tadi.
Tambah Ismail, dia yang bekerja di Mersing, Johor pulang bercuti selama seminggu di kampung manakala Suraya yang tinggal di Baling, Kedah bersama suaminya turut pulang untuk berbuka puasa bersama-sama.
Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.
Jenazah Norhashimah dan Normadiah dikebumikan pukul 10 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Bakar Kapor manakala jenazah Shamsul dibawa pulang ke kampung halamannya di Kupang, Baling.
Pemandu Fortuner terbabit yang berusia 49 tahun turut mengalami cedera parah dan kini dirawat di HSJ manakala isteri dan dua anaknya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Suhami Md. Nor berkata, SUV itu dipercayai dipandu laju dan memotong beberapa kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat selain melanggar lampu merah.
“Ketika itu kereta Proton Wira yang dipandu Suraya melepasi persimpangan itu dan terus dirempuh Fortuner lalu SUV itu terbalik,” katanya.
Beliau meminta pihak yang menyaksikan kemalangan itu supaya membuat laporan atau hubungi 04-5741427.
-utusan

Bekas kekasih saman Soros




Adriana Ferreyr


NEW YORK 12 Ogos - Bekas kekasih penyangak mata wang, George Soros memfailkan saman tuntutan sebanyak AS$10 juta (RM30 juta) terhadap hartawan tersebut kerana 'gagal memenuhi janji menyediakan apartmen mewah untuknya di New York'.
Menurut saman yang difailkan di Mahkamah Agung New York di Manhattan, Adriana Ferreyr, 28, mendakwa Soros berjanji sebanyak dua kali untuk membelinya apartmen tersebut sepanjang mereka bercinta selama lima tahun tetapi tidak memenuhinya.
Ferreyr yang juga pelakon wanita drama Brazil berkata, Soros berjanji untuk membelinya apartment bernilai hampir AS$2 juta (RM6 juta) yang terletak kira-kira dua blok dari rumah Soros, 81, pada 1 Januari 2010.
Mereka berpisah dua bulan kemudian namun kembali bercinta tetapi Soros memaklumkan pada Ogos 2010 bahawa apartmen itu telah diberikan kepada teman wanitanya yang baru, kata dokumen saman tersebut.
Dokumen itu berkata, tindakan itu menyebabkan mereka bertengkar di mana Soros menampar muka dan cuba mencekik Ferreyr selain melemparkan sebuah lampu ke arahnya namun terkena dinding, menyebabkan kaki wanita itu luka dan memerlukan jahitan.
Bagaimanapun, mereka tetap kembali bercinta dan Soros sekali lagi berjanji akan membeli Ferreyr apartmen ketika mereka bercuti di St. Bart, kata dokumen itu.
Ferreyr menuntut pampasan berjumlah AS$10 juta kerana ditipu, mengalami penderitaan emosi, diserang dan tuntutan lain.
Peguam Soros, William Zabel menyatakan saman itu bersifat remeh-temeh dan tidak wajar serta akan meminta mahkamah membatalkan saman tersebut.
''Soros pernah mempunyai hubungan tidak eksklusif dengan Ferreyr.
''Saman ini berdasarkan tuduhan palsu dan ia jelas merupakan satu cubaan mendapatkan wang daripada anak guam saya,'' ujarnya. - Reuters, utusan

4 juta Muslim di Jerman tabah laksana ibadah puasa




Masyarakat Turki di Jerman mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai di bandar Witten, Jerman, baru-baru ini. - AGENSI


BERLIN 12 Ogos - Seramai empat juta penduduk Islam di Jerman menjalani ibadah puasa di bulan suci Ramadan, dari terbit matahari sehingga terbenam matahari serta memberi tumpuan kepada Tuhan dan melaksanakan perkara yang baik, sama seperti saudara seagama yang lain di seluruh dunia.
Lebih daripada separuh penduduk Islam yang tinggal di Jerman berasal dari Turki dan selebihnya datang dari negara-negara Arab atau Afrika, tetapi terdapat juga beribu-ribu rakyat Jerman yang memeluk agama Islam.
Kebebasan beragama dijamin di bawah Perlembagaan Jerman, tetapi ramai umat Islam di sini berasa sukar untuk menyambut Ramadan di Jerman seperti di negara Islam.
Nehru Abdul-Mohsen, yang tinggal di Nuremberg selama 25 tahun, berkata 'jadual harian di Jerman tidak bersesuaian dengan Ramadan dan menyukarkan untuk berpuasa'.
Dia yang berasal dari Iraq menyatakan waktu bekerja di dunia Arab adalah singkat dan sesuai dengan bulan Ramadan, manakala waktu perniagaan di Jerman tidak berubah dan ia menjadi sukar lebih-lebih lagi 'apabila perlu bangun seawal pukul 4 pagi untuk bersahur'.
Ahmad Haitam, 33, seorang rakyat Palestin yang berkahwin dengan wanita Jerman, berkata, dia merindui keluarganya, makanan tradisional yang disediakan pada bulan Ramadan dan suasana persekitaran tanah airnya.
Namun, mungkin cabaran terbesarnya ialah berpuasa di kalangan masyarakat Jerman yang menikmati makanan dan minuman mereka.
"Berpuasa di Berlin berbeza buat saya jika dibandingkan di negara asal. Walaupun saya dan isteri berpuasa sepanjang bulan ini, namun persediaan khas dan makanan serta adat yang sering dilakukan di negara Islam lain, tiada di sini," katanya.
Tahra, 66, seorang nenek berketurunan Pakistan, teringin merasai semula persekitaran Ramadan, yang mana dia boleh mendengar seruan azan dan melihat lebih banyak masjid.
Ia memandangkan Jerman hanya mempunyai 40 buah masjid sahaja, namun masjid baru sentiasa dibina, dan di sepanjang Ramadan, umat Islam memenuhi masjid-masjid terutamanya selepas waktu Maghrib untuk berkumpul membaca Al-Quran, bersolat terawih dan bergaul.-utusan

Rejim Zionis beli kelengkapan kawal protes Palestin




TENTERA Zionis menahan seorang lelaki yang menunjuk perasaan di tembok pemisah Israel di kampung Walajah dekat Baitulaham di Tebing Barat, kelmarin. - AFP


BAITULMAQDIS 12 Ogos - Rejim Israel mengimport 15 ekor kuda, dua meriam air, pelancar gas pemedih mata dan mesin mengeluarkan bunyi yang meloyakan untuk mengawal penunjuk perasaan sekiranya keadaan tidak terkawal semasa demonstrasi yang dirancang rakyat Palestin pada bulan depan.
Demonstrasi itu dianjur oleh rakyat Palestin sebagai usaha untuk mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Rejim Israel berharap peralatan yang digunakan akan mengelakkan daripada berlakunya kematian di kalangan penunjuk perasaan.
Pihak berkuasa Palestin merancang untuk menjadikan demonstrasi itu berlangsung secara aman dan mengelak konfrontasi dengan Israel.
Israel bimbang sekiranya sebarang kejadian 'rakyat Palestin membunuh rakyat Israel dengan bom atau pistol, atau askar Israel membunuh rakyat Palestin ketika rusuhan', ia mampu mencetuskan keganasan dengan jumlah besar penunjuk perasaan yang keluar berdemonstrasi.
Rakyat Palestin merancang untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran di Tebing Barat dan di luar negara serentak dengan sesi Perhimpunan Agung PBB bulan depan, yang mana rakyat negara ini berharap akan diberikan pengiktirafan kepada negara mereka.
Inisiatif menuntut pengiktirafan itu memberi gambaran kekecewaan rakyat Palestin terhadap rundingan damai Palestin-Israel yang tertangguh sejak sekian lama.
Pihak polis menggandakan jumlah anggota pasukan anti rusuhan dengan mengerahkan lebih 2,000 anggota, kata satu sumber dalaman pihak polis menerusi kenyataan akhbar.
"Polis berhadap dapat mengelakkan sebarang kematian dalam majlis (pengesahan PBB terhadap) kemerdekaan Palestin," kata Nissim Mo, komander bahagian operasi polis.-utusan

Pasangan lakukan persetubuhan haram disebat

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Sepasang kekasih yang disabitkan atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah masing-masing disebat sebanyak enam kali di Penjara Kajang dekat sini hari ini.
Mengikut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tanpa menyebut nama kedua-dua pesalah terbabit, pelaksanaan hukuman itu dilakukan secara berasingan di dua lokasi berbeza pada sebelah pagi.
Ia disaksikan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor, Abd. Shukor Abdul Hamid, dua pegawai tinggi Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, penasihat undang-undang (Syariah) Selangor dan 12 pegawai pendakwa syarie.
Bagaimanapun, hanya pegawai lelaki yang menyaksikan hukuman terhadap pesalah lelaki dan hanya pegawai wanita yang dibenar menyaksikan pelaksanaan hukuman terhadap pesalah wanita.
Sebelum hukuman dijalankan, pegawai penjara sempat menjelaskan secara ringkas prosedur mengikut tatacara undang-undang mengenai saiz rotan bergaris pusat 1.25 sentimeter sepanjang 1.22 meter yang digunakan.
Pasangan itu juga terlebih dahulu menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan beragama Islam sebelum disebat oleh pegawai sebat rotan yang juga beragama Islam.
Semasa hukuman tersebut dilakukan, pegawai terlatih itu tidak mengangkat rotan sehingga ke paras kepala dan ia dilakukan secara sederhana serta tidak melukakan kulit.
Pesalah lelaki disebat dalam keadaan berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk serta berpakaian menutup aurat dengan hanya bahagian belakang badan yang dikenakan pukulan.
Sepanjang pelaksanaan hukuman itu, tiada sebarang masalah timbul memandangkan pihak penjara mempunyai kemudahan serta kepakaran yang terdiri daripada pegawai sebat rotan terlatih.
Pelaksanaan hukuman itu juga dilakukan mengikut syariah dan undang-undang serta jelas mampu memberi pengajaran dan keinsafan kepada kedua-dua pesalah.
Pasangan yang disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 25(1) dan (2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada Jun lalu kini sedang menjalani hukuman penjara empat bulan bagi kesalahan yang sama.-utusan

Mayat seorang bayi disangka patung

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Mayat seorang bayi lelaki yang disangka patung mainan ditemui tersangkut pada perangkap sampah sungai di Kampung Puah Bahagia, Sentul di sini petang semalam.
Pihak polis menerima maklumat awal daripada orang awam kira-kira pukul 4 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
“Mayat bayi lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membuat laporan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. - Utusan

Belasah isteri waktu sahur

PETALING JAYA : Seorang suami yang kemaruk seks sanggup menumbuk, memijak dan memukul isterinya sebaik mangsa enggan mengadakan hubungan kelamin selepas pasangan berkenaan bersahur di rumah mereka di Bandar Sri Damansara, di sini kelmarin.
Tidak cukup membelasah isterinya yang berusia 18 tahun, suami berkenaan turut mengugut mahu membunuhnya dengan pisau pemotong daging kerana kehendaknya untuk melakukan hubungan seks tidak ditunaikan.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 pagi turut menyebabkan mangsa yang bekerja sebagai kerani cedera di kaki kanan selain lebam di muka serta seluruh badan.

Wanita terbabit yang mahu dikenali sebagai Linda berkata, disebabkan sudah hampir tamat waktu Imsak , dia menolak pelawaan suaminya dengan sopan namun suaminya tetap memaksa.


Katanya, akibat dipaksa dia menolak pelawaan suami dengan mengatakan jika dia bersetuju dengan pelawaannya, dia akan membatalkan puasa dan tidak akan menghalalkan tindakannya itu.-hmetro

Carla dapat muka baru

SEMAKIN PULIH...wajah Carla sebelum (kiri) dan selepas diserang cimpanzi serta selepas menjalani pembedahan transplan (kanan).
SEMAKIN PULIH...wajah Carla sebelum (kiri) dan selepas diserang cimpanzi serta selepas menjalani pembedahan transplan (kanan).
BOSTON: Seorang wanita yang wajahnya dikoyak cimpanzi menjalani perubahan menakjubkan selepas menjalani pembedahan pemindahan wajah sepenuhnya.
Carla Nash, 57, hilang hidung, mata, bibir dan mulutnya dalam serangan menakutkan itu. Bagaimanapun, selepas pembedahan selama 20 jam, ibu kepada seorang anak itu boleh bertutur dan merasa semula.

Wajah barunya itu didedahkan di televisyen, semalam selepas pakar bedah memberinya wajah yang didermakan Mei lalu. Carla, yang sangat lemah untuk menghadiri rancangan TV berkata dalam satu kenyataan: “Saya kini boleh melakukan perkara yang dulu tidak saya hargai.

“Saya boleh menghidu semula. Saya boleh makan secara normal kembali.

“Saya tidak lagi cacat. Saya akan mempunyai bibir dan boleh bercakap dengan jelas semula.

“Saya boleh mencium dan memeluk orang yang saya sayangi. Saya benar-benar berterima kasih kepada penderma itu dan keluarganya.” Kejadian malang yang menimpa Carla berlaku ketika dia mengunjungi rakan baiknya, Sandra Herold yang memelihara cimpanzi. Ketika itu, haiwan berkenaan berang lalu melompat ke arah Carla dan mengoyakkan wajahnya dan hampir keseluruhan tangannya.


Haiwan yang dipanggil Travis itu akhirnya ditembak polis di Stamford, Connecticut, Amerika Syarikat.

Sepasukan 30 doktor dan jururawat di sebuah hospital di Boston untuk melakukan pembedahan itu. Carla menerima kulit, otot saluran darah, urat saraf, lelangit dan gigi daripada seorang penderma yang tidak dinamakan. Pembedahan dijalani Carla adalah pembedahan transplan wajah sepenuhnya yang ketiga di AS. Carla juga menjalani dua kali transplan tangan tetapi ia terpaksa dipotong selepas dia menghidap pneumonia. Dalam satu wawancara untuk rancangan TV AS Today, Carla berkata, makanan pertamanya selepas pembedahan adalah telur dan keju berkrim.
Dia juga memberitahu, dia dapat merasa rahang dan dagunya semula. Carla berkata: “Saya boleh menggerakkan mulut dan tersenyum. Saya masih rasa lemah, tetapi sedikit demi sedikit saya semakin kuat.”
-hmetro

SPR keluarkan 12,000 pemilih lebih 90 tahun

Suruhanjaya kemas kini nama tak aktif
PUTRAJAYA: Kira-kira 12,000 pemilih berusia 90 tahun ke atas yang tidak aktif dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata keputusan yang diputuskan semalam itu bertujuan mengemas kini dan membersihkan senarai pemilih SPR sedia ada.
Jika mereka tampil, kita akan masukkan semula nama mereka dalam senarai daftar pemilih. - Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi SPR
“Jika mereka ini tidak aktif dengan JPN iaitu tiada langsung berurusan dengan JPN dalam tempoh tertentu, seperti tukar kad pengenalan, ia akan dianggap tidak aktif dan akan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih.

“Namun, jika mereka tampil, kita akan masukkan semula nama mereka dalam senarai daftar pemilih,” katanya pada sidang media sebelum majlis berbuka puasa SPR di sini, semalam.

Beliau berkata, SPR juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) minggu depan untuk berbincang supaya kerjasama membabitkan senarai pemilih akan lebih kemas dan teratur.

“Kita tidak mempunyai masalah dengan JPN yang sudah mempunyai ALIS (Agency Link-up System, namun, kita mahu sentiasa perbaiki kerjasama ini supaya ia menjadi lebih baik,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan parti politik terutamanya pembangkang yang sering menimbulkan isu senarai pemilih yang meragukan, Abdul Aziz berkata, ia seolah-olah mahu memburukkan SPR dan sengaja ingin menjejaskan kredibiliti suruhanjaya itu.

“Dakwaan kononnya kita mendaftarkan ramai penduduk tetap dan bukan warganegara, tidak benar sama sekali,” katanya.

Beliau mengakui terdapat beberapa kesalahan teknikal dalam senarai pemilih ketika ini namun ia tidak harus seharusnya diperbesarkan.

Ditanya mengenai persiapan pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, jawatankuasa teknikal sudah dibentuk dan melantik urusetia peringkat pusat dan negeri bagi membincangkan mengenai pelbagai aspek termasuk bajet, petugas dan logistik. -bharian

100 pakaian raya pelanggan hangus

ANGGOTA bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai berusaha memadamkan kebakaran rumah, Zainah Talib (gambar kecil) seorang ibu tunggal, di Alor Pongsu, Bagan Serai pagi kelmarin. - Foto Yahya Awang
ANGGOTA bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai berusaha memadamkan kebakaran rumah, Zainah Talib (gambar kecil) seorang ibu tunggal, di Alor Pongsu, Bagan Serai pagi kelmarin. - Foto Yahya Awang

Tukang jahit rugi RM50,000 rumah usang terbakar

BAGAN SERAI: Lagi dua minggu umat Islam akan menyambut Aidilfitri, namun seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya tidak tahu bagaimana nasib mereka yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman usang di Alor Pongsu, di sini musnah dalam kebakaran pagi kelmarin bersama baju raya serta lebih 100 pasang pakaian tempahan pelanggan.
Zainah Talib, 49, yang mengambil upah menjahit, mendakwa kerugian kira-kira RM50,000 dalam kejadian jam 10.45 pagi itu selepas gagal menyelamatkan sebarang harta benda, termasuk baju raya, dokumen penting, kelengkapan rumah, tiga mesin jahit serta sebuah Vespa.
“Kejadian berlaku ketika saya sedang memasak di dapur untuk hidangan berbuka. Terkejut lihat api muncul entah dari mana menyambar dinding rumah. Saya hanya sempat berlari keluar dan menjerit sebelum orang ramai cuba menolong tetapi tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.

“Nasib baik tiga anak, Abdul Latif Idris, 12, serta dua kakaknya, Norazila, 13, dan Norazida, 15, tiada di rumah kerana sedang bersekolah di Sekolah Agama Ridzuaniah, Teluk Medan," katanya ketika ditemui, kelmarin.

Beliau bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat, tetapi sedih kerana semua baju raya serta 100 pasang pakaian tempahan pelanggan tidak sempat diselamatkan dan kini buntu memikirkan masa depan selain bagaimana mahu menyambut hari raya.

“Macam mana nak raya, kami sudah hilang tempat berlindung," katanya.
Sementara itu Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Mohamad Othman Dahalan, berkata tindakan pantas anggotanya berjaya mengelakkan api daripada merebak ke bangunan tadika KEMAS dan tadika Islam. -bharian

Serik 10 tahun derita di Lombok

SALMAH (kiri) serta ahli keluarga menyambut kedatangan Sanisah (kanan) bersama tiga anak, Nurshahada, Nurizwan dan Nurakma Najwa di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, Melaka, semalam.
SALMAH (kiri) serta ahli keluarga menyambut kedatangan Sanisah (kanan) bersama tiga anak, Nurshahada, Nurizwan dan Nurakma Najwa di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, Melaka, semalam.
Tekad pulang semula ke tanah air demi kehidupan selesa, pendidikan anak

MELAKA: "Saya tidak mahu tinggal di sana lagi (Lombok). Cukuplah, 10 tahun terlalu lama. Saya terlalu rindu nak berpuasa dan beraya dengan emak di sini," luah Sanisah Abu Bakar, 37, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam, dekat sini, tengahari semalam.
Sambil menitiskan air mata, beliau yang terkandas di negara jiran itu bersama suami dan lima anak gara-gara tiada wang sejak 2002, mengakui mendapat hadiah Aidilfitri paling bermakna dalam hidupnya sebaik berjaya menjejakkan kakinya semula di negara ini.
“Hari ini (semalam) saya dapat melihat kembali ke Malaysia dengan selamat dan melihat wajah emak yang saya rindui selepas sekian lama teringin pulang. Allah SWT sudah makbulkan doa saya, Alhamdulillah,” katanya sebak.

Ibunya, Salmah Mahmud, 71, juga seperti hilang kata-kata sebaik melihat kelibat anak perempuannya itu keluar dari balai ketibaan Lapangan Antarabangsa Melaka itu pada kira-kira 12.30 tengahari.

Kedua beranak ini berdakapan erat, sebelum kedengaran tangisan dari mereka sekali gus menjadikan suasana di situ terasa hiba. Mereka terpisah selepas Sanisah mengikut suaminya Widodo Chinasin, 39, balik ke kampung halamannya di Lombok pada Mac 2002.

“Ramadan kali ini cukup bermakna bagi makcik kerana dapat bertemu kembali anak dan cucu selepas 10 tahun berpisah. Makcik rasa sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya doa dimakbulkan Allah SWT.
“Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dalam usaha membawa balik mereka. Mungkin ini adalah hadiah Aidilfitri paling istimewa untuk makcik,” kata Salmah dalam nada agak sebak sejurus pertemuan itu.

Kepulangan Sanisah dan keluarganya itu semalam adalah hasil usaha Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan kerajaan Melaka yang menyalurkan peruntukan RM15,000.

Hadir sama semalam ialah Ketua Menteri merangkap Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Hasil perkahwinan dengan Widodo itu, Sanisah dikurniakan lima anak iaitu Nurshahada, 15; Nurizwan, 13 dan Nurakma Najwa, 11; Nur Aliff Zulkarnain, 9 dan Nurain Asyikin, 6. Bagaimanapun semalam, hanya Nurshahada, Nurizwan dan Nurakma Najwa turut serta dalam penerbangan itu.

Nur Aliff dan Nurain dijadual tiba bersama bapa mereka, esok menaiki feri dari Batam ke Stulang Laut, Johor Bahru.

Mengulas lanjut kepulangannya itu, Sanisah berkata, beliau bertekad kembali ke negara ini kerana mahu semua anaknya mendapat pendidikan sebaik mungkin selepas hidup dalam keadaan menderita di kampung halaman suaminya itu.

Sementara itu, Mohd Ali melahirkan rasa syukur dengan kepulangan Sanisah itu dan berharap usaha DMDI itu dapat menyatukannya semula dengan keluarga di Kuala Linggi.

“Di sana kami tinggal di rumah mentua dan saya bekerja sebagai pembantu sukarelawan kesihatan dengan upah RM200 untuk enam bulan, manakala suami bekerja mekanik menerima gaji RM200 sebulan,” katanya. 
bharian

54 kereta api 'nahas' ditarik balik


SEORANG pekerja mahu memasuki kereta api model CRH380BL iaitu model yang terbabit penarikan semula oleh syarikat pengeluarnya.
SEORANG pekerja mahu memasuki kereta api model CRH380BL iaitu model yang terbabit penarikan semula oleh syarikat pengeluarnya.



Tindakan diambil selepas hadapi masalah, elak kes ragut 40 nyawa berulang

BEIJING: Sebuah firma pengeluar kereta api di China menarik balik 54 buah kereta apinya semalam selepas didapati menghadapi masalah, insiden memalukan terbaru, menyusul kemalangan yang meragut 40 nyawa Julai lalu.
Penarikan semula itu memberi isyarat bahawa Beijing sedang meneliti semula cadangan meluaskan rangkaian landasan kereta api lajunya, rancangan berprestij yang mempunyai kepentingan sama dengan program angkasa lepas negara itu.
Pihak berkuasa China kini menghentikan sementara pelaksanaan projek penbinaan landasan baru, manakala menteri kereta api mengumumkan pengurangan kelajuan kereta api itu.

Jurucakap syarikat milik kerajaan China North Locomotive and Rolling Stock Ltd (CNR) Tan Xiaofeng, berkata penarikan semula dilakukan ke atas model kereta api CRH380BL digunakan bagi laluan Beijing-Shanghai, yang sering mengalami kelewatan berikutan masalah peralatan.

Tiada petunjuk bahawa keputusan ini mempunyai kaitan dengan kemalangan 23 Julai di laluan berasingan di selatan China.

Beliau berkata pakar akan memeriksa pengimbas yang mungkin rosak atau terlalu sensitif sehingga menyebabkan kereta api terhenti tanpa sebab dan ia mungkin berlaku jika pintu renggang atau penumpang melanggar peraturan termasuk merokok di dalam tandas.
“Laluan kereta api Beijing-Shanghai sering berdepan masalah dengan komponen yang disediakan pembekal Amerika Syarikat, Eropah dan China.

“Apabila masalah berlaku, kami tidak mahu menyembunyikannya. Kami pentingkan nyawa lebih daripada segala-galanya,” kata Tan yang enggan mengumumkan identiti pembekal.

Beijing melancarkan rancangan baik pulih rangkaian kereta api laju bernilai berbilion dolar selepas kemalangan Julai lalu yang mencetuskan kemarahan orang ramai berikutan kehilangan nyawa yang terpaksa ditanggung berikutan pembangunan drastik.

Kereta api laju itu diwujudkan bertujuan menunjukkan kemajuan teknologi China dan menyokong eksportnya. – AP -bharian

Britain pertimbang sekat laman sosial


Foto
ANGGOTA polis mengawal seorang lelaki yang ditahan selepas menceroboh harta awam di Pimlico, London, semalam.



PM Britain mahu tindakan tegas ke atas perusuh bertopeng, perintah berkurung

LONDON: Britain mempertimbangkan untuk menyekat rangkaian online sosial seperti mesej BlackBerry dan Twitter berikutan rusuhan yang melanda ibu negara itu, kata Perdana Menteri, David Cameron.
Pada masa sama Perdana Menteri itu berkata pihak polis mengakui mereka tersilap taktik ketika menangani rusuhan dan mengumumkan langkah membantu pemilik rumah dan kedai yang rosak. Rusuhan itu setakat ini sudah mengorbankan lima nyawa.
Kami bekerjasama dengan polis, perkhidmatan risikan dan industri untuk melihat sama ada ia langkah tepat untuk menghentikan orang ramai daripada berkomunikasi menerusi laman web dan perkhidmatan seumpama ini apabila kita mengetahui mereka merancang keganasan dan jenayah. - David Cameron, Perdana Menteri Britain
Polis dan ahli politik berkata rangkaian online sosial, terutama mesej BlackBerry (BBM), digunakan perusuh dan pencuri untuk menyelaraskan tunjuk perasaan ketika ketegangan selama empat hari di seluruh England minggu ini.

“Kami bekerjasama dengan polis, perkhidmatan risikan dan industri untuk melihat sama ada ia langkah tepat untuk menghentikan orang ramai daripada berkomunikasi menerusi laman web dan perkhidmatan seumpama ini apabila kita mengetahui mereka merancang keganasan dan jenayah,” katanya.

Cameron juga mengumumkan tindakan ke atas perusuh yang memakai topeng dan menimbang pelaksanaan perintah berkurung. Lebih 1,500 tangkapan dibuat sejak ketegangan bermula Sabtu lalu.

Ramai perusuh memilih BBM milik firma Kanada, RIM, berbanding Twitter dan media sosial lain berikutan mesejnya lebih berbentuk peribadi.
RIM berkata, ia bekerjasama dengan semua syarikat telekomunikasi, penguat kuasa undang-undang dan pihak berkuasa tetapi enggan memberitahu sama ada akan menyerahkan maklumat perbualan kepada polis.

Perkhidmatan rahsia RIM dipersalahkan kerana melindungi serangan militan di Indian dan membolehkan lelaki dan wanita bukan muhrim berkomunikasi di sesetengah negara Teluk.

Media online sosial turut digunakan secara meluas oleh penduduk Britain untuk membantu orang ramai menghindari kawasan bermasalah dan menyelaraskan usaha pembersihan selepas rusuhan berakhir.

BBM mempunyai lebih 45 juta pengguna aktif di seluruh dunia, 70 peratus daripadanya menggunakan perkhidmatan itu setiap hari, menghantar berjuta-juta mesej, gambar dan fail lain secara keseluruhan setiap bulan.

Sementara itu pegawai kanan agensi perisikan Britain, John Bassett, berkata pihak berkuasa yang bergelut dengan ketegangan perlu mengelak daripada mengenakan sekatan ke atas media sosial sebaliknya cuba mendapatkan bantuan orang ramai menentang perusuh. – AP/Agensi , bharian

Wanita merokok lebih mudah diserang penyakit jantung

NEW YORK: Wanita yang menghisap rokok lebih mudah diserang penyakit jantung berbanding perokok lelaki sambil risiko terhadap golongan berkenaan semakin meningkat pada setiap tahun.

Penyelidikan diketuai Rachel Huxley dari Universiti Minnesota, mengkaji semula kajian yang pernah diterbitkan di antara 1966 dan 2010 terhadap 2.4 juta individu termasuk 44,000 pesakit jantung.
Kajian semula itu mendapati perokok wanita mempunyai risiko 25 peratus lebih besar untuk mengalami masalah jantung berbanding lelaki dan perbezaan risiko perokok lelaki dan wanita meningkat sebanyak dua peratus setiap tahun. - REUTERS; bharian