Pages

Thursday, October 11, 2012

Tentera Syria balas bedil

Tentera Syria balas bedil - Global - Sinar Harian:

Tentera Syria balas bedil
Tentera kerajaan memperhebatkan serangan mereka di kawasan tawanan pemberontak.
DAMSYIK - Kumpulan tentera kerajaan memperhebatkan lagi serangan mereka terhadap kawasan-kawasan tawanan pemberontak di seluruh negara terutama sekali di wilayah Idlib dan Homs.

Menurut aktivis, jet pejuang tentera Syria membedil bom ke kawasan bandar Maarat Al-Numan di Idlib, kelmarin, memaksa penduduk mengosongkan kediaman mereka.

Pada hari sama, ibu negara Syria turut bergegar dengan bedilan bom oleh tentera kerajaan.

Jurucakap kerajaan mendedahkan, serangan bom berani mati melibatkan sebuah kereta berlaku berhampiran kawasan perisikan Syria di Harasta, pinggir bandar Damsyik sementara satu lagi letupan meletus di wilayah Jobar.

Di Homs, pertempuran berdarah dilaporkan tercetus di antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak yang menawan kawasan itu sejak 120 hari lalu.

Wilayah utara Aleppo dan timur Deir Az-Zor turut menjadi lokasi pertempuran dua kumpulan itu.

Di wilayah selatan Derra, pertempuran yang tercetus di Karak Al-Sharqi menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh termasuk lima pemberontak tempatan. - Al-Jazeera

'via Blog this'

Serangan balas selatan Thailand, 11 pemisah Islam maut

Serangan balas selatan Thailand, 11 pemisah Islam maut - Global - Sinar Harian:

Serangan balas selatan Thailand, 11 pemisah Islam maut
Anggota tentera menjalankan siasatan di lokasi kejadian di wilayah Pattani, Thailand.
BANGKOK -  Seramai 11 individu disyaki dari puak pemisah Islam, maut dalam serangan balas di beberapa lokasi di selatan Thailand.

Polis tempatan berkata, serangan itu turut meragut tiga askar ketika menuju ke wilayah Pattani, kelmarin.

“Empat penoreh getah dibunuh oleh dua lelaki bersenjata di lokasi sama semalam,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi dibunuh ketika sedang memandu dalam perjalanan menuju ke wilayah Yala manakala dua lagi ditembak mati di wilayah Songkhla.

“Kejadian serangan ini makin serius sejak bulan ini dengan lebih 15 nyawa terkorban sejak April lalu. - AP

'via Blog this'

Abu Hamza hadapi 11 tuduhan di AS

Abu Hamza hadapi 11 tuduhan di AS - Global - Sinar Harian:

Abu Hamza al-Masri
Abu Hamza al-Masri
NEW YORK - Seorang ulama Islam, Abu Hamza al-Masri yang pernah menyifatkan Osama bin Laden sebagai “seorang hero”, semalam mengaku tidak bersalah terhadap 11 tuduhan berkaitan keganasan.

Dia diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS)  dari Britain minggu lalu untuk menghadapi perbicaraan.

Jika disabit bersalah, Abu Hamza boleh dihukum penjara seumur hidup.

Hakim Katherine Forrest menetapkan tarikh perbicaraan 26 Ogos depan untuk Hamza, 54, pendakwah kelahiran Mesir yang kehilangan kedua-dua belah tangan dan sebelah matanya buta selepas mengalami kecederaan ketika beliau melakukan kerja-kerja kemanusiaan di Afghanistan pada 1980an.

Hamza telah dituduh pada 2004 kerana terlibat  dalam menahan tebusan pada 1998 di Yaman yang menyebabkan kematian tiga warga Britain dan Australia.

Beliau turut didakwa menyediakan keperluan untuk menyokong rangkaian al-Qaeda dengan membangunkan kem latihan di Oregon dan cuba untuk menguruskan bantuan kepada Taliban di Afghanistan.

Melalui peguamnya, Hamza meminta supaya beliau dirujuk sebagai Mustafa Mustafa Kamel iaitu nama beliau ketika lahir dan bukannya Abu Hamza.

Jeremy Schneider, peguam yang dilantik oleh mahkamah, memberitahu hakim bahawa anak guamnya ingin membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dakwaan.

"Adakah itu rayuan anda, Mustafa?" hakim bertanya.

"Ya," jawab Abu Hamza.

Sementara itu, di Washington, Peguam Negara, Eric Holder memberitahu pemberita, lima suspek keganasan kini “akhirnya berada di sini.”

"Kini mereka akan diadili di sini dan saya fikir ia adalah satu perkara yang baik," ujar Holder.

'via Blog this'

Pemandu teksi diberi AS$2,000 kerana bersikap jujur

Kosmo! Online - Dunia:


WOLDEMARIM berdiri di depan teksinya di Las Vegas pada 5 Oktober lalu.


LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Seorang pemandu teksi di sini, Adam Woldemarim diberi ganjaran sebanyak AS$2,000 (RM6,148) oleh pemilik wang tunai berjumlah AS$221,510 (RM680,927), lapor agensi berita AP semalam.
Pemilik wang tersebut yang merupakan seorang pemenang permainan judi memberikan ganjaran itu kerana berasa gembira dengan sikap Woldemarim.
Woldemarim, 42, yang berasal dari Habsyah menemui wang tersebut semasa dia membersihkan teksinya pada 2 September lalu.
Wang tunai itu tersimpan di dalam sebuah beg komputer riba.
Dia kemudian menghubungi seorang rakannya yang pernah memandu teksi itu.
Bagaimanapun, rakannya itu yang juga berasal dari Habsyah menafikan wang tersebut miliknya.
Rakannya itu meminta dia memberitahu pejabat keselamatan syarikat yang memiliki teksi berkenaan.
Woldemarim kemudian membuat laporan di pejabat keselamatan itu yang kemudian menghubungi polis.
Seorang pengawal keselamatan merakamkan gambar wang itu.
Sejam kemudian, Woldemarim dihubungi seorang pengawal keselamatan supaya datang semula ke pejabat tersebut.
Dia menemui pemilik wang tersebut yang berada di pejabat berkenaan.
Pemilik wang itu sebelum ini telah menghubungi syarikat teksi berkenaan bagi memberitahu dia tertinggal wang itu semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang. - Agensi

'via Blog this'

Amra dipilih sebagai datuk bandar wanita pertama Bosnia

Kosmo! Online - Dunia:


amra


VISOKO, Bosnia-Herzegovina - Seorang ibu kepada tiga orang anak, Amra Babic merupakan datuk bandar wanita yang pertama memakai tudung di negara ini.
Menurut Amra, rakan-rakannya menunjukkan semangat yang jitu kerana memilih beliau sebagai datuk bandar.
Amra, 43, memenangi 30 peratus undi pada pilihan raya datuk bandar di sini yang didiami 40,000 penduduk.
Beliau merupakan ahli ekonomi dan pernah menjadi menteri kewangan untuk wilayah Zenica mewakili Parti Tindakan Demokratik.
"Saya percaya tudung kepala saya tidak akan menjadi penghalang (untuknya melaksanakan tugas)," katanya kelmarin.
"Saya tidak akan menyalahgunakan politik untuk kepentingan agama," tambahnya yang dipilih para pengundi pada Ahad lalu.
Suaminya terbunuh dalam Perang Bosnia yang berlaku pada 1992 hingga 1995. - AFP

'via Blog this'

Tentera Syria bedil Homs, penduduk terkepung

Kosmo! Online - Dunia:
GAMBAR yang diperoleh menerusi video menunjukkan kepulan asap di bandar Homs akibat bedilan tentera Syria kelmarin.


BEIRUT - Tentera Syria semalam membedil bandar Homs pada awal pagi dan di bandar Qusayr dekat sempadan Lebanon, kata Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain.
Pihak tentera telah meningkatkan operasi ketenteraan di Homs dan Qusayr yang telah dikepung sejak beberapa bulan lalu.
Seorang aktivis di Bandar Lama Homs menyatakan, semua kawasan di daerah tersebut telah dikepung.
"Tiada jalan keluar. Situasi kini amat buruk dan membuat setiap penduduk menangis," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Bilal.
"Hospital-hospital dipenuhi dengan ramai penduduk yang cedera dan memerlukan pembedahan. Tiada sebarang jalan keluar," tambahnya.
Bandar tersebut telah dikepung lebih empat bulan oleh tentera Syria yang berdepan dengan tentangan kumpulan pemberontak.
Kumpulan pemberontak itu menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad.
"Kami menghubungi Jawatankuasa Antarabangsa Palang merah dan Bulan Sabit untuk datang bagi menghulurkan bantuan," kata aktivis itu.
Sementara itu, Turki memberi amaran akan menyerang balas dengan lebih hebat jika bedilan mortar dan meriam mengenai wilayahnya.
"Kami akan bertindak balas dengan serangan lebih hebat," kata Ketua Turus Angkatan Tentera Turki, Necdat Ozel.
Pada minggu lalu, Turki dan Syria saling berbalas bedilan di kawasan sempadan sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik di Syria akan merebak di rantau tersebut.
Penentangan ke atas rejim Bashar bermula pada Mac tahun lalu sebelum merebak menjadi perang saudara yang meragut lebih 32,000 nyawa setakat ini. - Agensi

'via Blog this'