Pages

Wednesday, August 15, 2012

Saudi beri bantuan RM156 juta kepada etnik Rohingya




14 Ogos 2012
Islam Rohingya
Kebanyakan penduduk Islam Rohingya kini terpaksa berpindah selepas kampung mereka dibakar pihak berkuasa.
RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah, kelmarin mengarahkan bantuan sebanyak AS$50 juta (RM156 juta) disalurkan kepada orang Islam Rohingya yang kini hidup merana akibat ditindas pihak berkuasa.

Agensi berita tempatan melaporkan, kerajaan memutuskan untuk memberi bantuan kepada etnik Rohingya selepas kumpulan hak asasi manusia mendedahkan mereka kini menjadi mangsa pembunuhan, dirogol dan diusir daripada perkampungan di negeri Rakhine.

Akhir bulan lalu, Arab Saudi mengutuk keganasan ke atas orang Islam di barat laut Myanmar semasa mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah dan turut menggesa negara anggota untuk memberi bantuan kepada orang Islam yang teraniaya di negeri Rakhine tersebut.

Myanmar turut dikecam negara antarabangsa kerana gagal untuk membela nasib kira-kira 800,000 penduduk Islam Rohingya yang dianggap sebagai pelarian oleh negara itu.

SU Agung OIC mahu umat Islam bantu etnik Rohingya




15 Ogos 2012
 Isu Rohingya: Myanmar jemput OIC lawat Arakan
Pergolakaran di wilayah Arakan menjadi perhatian masyarakat sekarang. – Foto ihsan
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya
kepada semua umat Islam sempena Aidilfitri ini, sambil mengingatkan mereka agar menumpukan usaha membantu masyarakat Rohingya di Myanmar mengatasi masalah mereka.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, masyarakat Islam Rohingya yang merupakan kaum minoriti di Myanmar, masih menderita akibat pencabulan secara terang-terangan yang mengancam kewujudan mereka di negara itu.
Beliau juga menggesa umat Islam terus menyokong rakyat Palestin untuk memastikan penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan menjadikan Al Quds Al Sharif sebagai ibu negara.
Beliau juga menyatakan bahawa walaupun bulan Ramadan adalah bulan keamanan, ketenangan dan selamat, namun perkara-perkara itu tidak dirasai di sesetengah negara Islam tertentu.
"Walaupun sesetengah daripada kita mendapati bulan Ramadan masa yang merasa aman dan tenang, ia adalah menyedihkan bagi saya untuk menyatakan bahawa di beberapa negara Islam telah dinafikan ketenangan dan keamanan itu.
"Manakala di beberapa bahagian lain pula sedang menghadapi kesengsaraan dan syarat keras terutama di Syria yang mana keperluan asas dinafikan, kurangnya keselamatan serta gangguan yang semakin meningkat, pencabulan hak asasi manusia serta pembunuhan yang berlaku pada setiap hari," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap nama dan logo baharu organisasi itu akan membawa satu era baharu kemakmuran dan memperkasakan dunia Islam serta mencerminkan keadilan, kesaksamaan, keamanan dan toleransi.
"Ini adalah ciri ajaran agama Islam sebenar yang bertolak ansur, menghormati kesucian hidup dan merangkumi nilai-nilai maruah manusia, menghormati hak asasi manusia, mengatasi kesulitan dan pertikaian serta penyelesaian melalui dialog dan cara-cara damai dalam konteks persaudaraan dan pertimbangan," katanya.
OIC adalah organisasi antara kerajaan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan keanggotaan 57 negara dari empat benua dengan penduduk kolektif lebih 1.5 bilion orang.
Organisasi itu telah menukar namanya daripada Pertubuhan Persidangan Islam kepada Pertubuhan Kerjasama Islam pada 28 Jun tahun lepas pada Sesi ke-38 Majlis Menteri-menteri Luar OIC di Astana, Kazakhstan.
Sesi itu meluluskan resolusi menukar nama dan logo organisasi itu untuk meningkatkan keberkesanannya sebagai satu sistem antarabangsa yang berurusan dengan isu-isu pembangunan politik, ekonomi, budaya dan sosial. - Bernama

Senator Thai tembak mati bekas isteri, setiausaha guna mesingan




14 Ogos 2012
Senator Boonsong Kowawisarat
Mesingan seperti ini yang digunakan oleh Senator Boonsong Kowawisarat, kelmarin.
BANGKOK - Seorang ahli politik Thailand secara tidak sengaja melepaskan tembakan menggunakan mesingan, menyebabkan bekas isteri dan setiausaha peribadinya mati ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran di utara negara itu.
Ketika kejadian, Senator Boonsong Kowawisarat sedang menikmati makan malam bersama Chanakarn Detkard dan empat yang lain, kelmarin.
Dia dilaporkan mengeluarkan mesin-gan  Uzi 9mm dan secara tidak sengaja melepaskan tembakan, kata polis.
"Senjata Senator Boonsong tiba-tiba melepaskan tembakan ketika dia hendak meletakkan senjatanya dalam kasing. Tembakan terkena setiausahanya yang turut berada bersamanya ketika makan malam," kata Lt Kol. Polis Choosak Pulsawat dipetik CNN.
Ahli politik itu dari wilayah Hong Song, berhampiran Myanmar, dikatakan berpisah buat sementara tetapi kebelakangan ini hidup bersama.
Laporan itu menyebut polis pada awalnya mahu mendakwa Boonsong kerana menyebabkan kematian dengan cuai tetapi tidak boleh menahannya kerana Parlimen Thailand sedang bersidang.
Dia boleh ditahan jika Parlimen membenarkan.
Laporan Bangkok Post dipetik berkata jika disabitkan kesalahan, senator itu boleh dihukum penjara 10 tahun dan didenda 20,000 baht.

Operasi Sar diteruskan di Iran



14 Ogos 2012
Anggota penyelamat meneruskan operasi Sar di barat laut Iran
Anggota penyelamat meneruskan operasi Sar di barat laut Iran yang terjejas teruk akibat gempa berganda, semalam.
TEHERAN - Pihak berkuasa meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa (Sar), semalam selepas gempa 6.4 dan 6.3 skala Richter menggegar barat laut Iran serta mengakibatkan sekurang-kurangnya 306 terkorban manakala 3,037 lagi cedera pada Sabtu lalu.

Menteri Kesihatan, Marzieh Vahid Dastjerdi berkata, kerajaan memutuskan untuk menyambung semula operasi Sar itu kerana percaya masih terdapat mayat yang tertimbus di bawah runtuhan.

"Kebanyakan mangsa terbunuh semasa gempa pertama akibat runtuhan bangunan dan rumah usang serta aliran lumpur di kawasan kampung di timur laut Tabriz. Sebanyak 230 kampung dilaporkan telah musnah," katanya.

Pampasan mangsa keganasan selatan Thai dinaik 5 kali ganda




14 Ogos 2012
BANGKOK – Kerajaan Thailand menaikkan sehingga lima kali ganda pampasan untuk mangsa konflik keganasan di selatan negara itu.
Jurucakap kerajaan Sansanee Nakpong berkata kabinet Thai hari ini meluluskan pelarasan pampasan daripada 100,000 Baht kepada 500,000 Baht (kira-kira RM10,000 kepada RM50,000) bagi mereka yang terbunuh.

Bagi kes hilang upaya, mangsa akan menerima 500,000 Baht berbanding 80,000 Baht sebelumnya.
"Semua pelarasan akan berkuat kuasa hari ini. Mereka yang telah menerima pampasan sebelum ini, boleh memohon bayaran perbezaan berikutan penyelarasan itu," katanya.
Sansanee berkata dengan perkembangan baharu itu, ia memberi manfaat kepada 2,739 kes kematian dan 303 hilang upaya yang dilaporkan mulai 1 Jan 2004 hingga 31 Mei 2012.
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan disyaki pemisah menghidupkan kembali kempen bersenjata lapan tahun lepas, bagi menuntut kemerdekaan untuk tiga wilayah selatan iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.- Bernama

Mesir buka pintu sempadan Gaza


GAZA: Pegawai Palestin berkata, Mesir membuka semula pintu sempadan dengan wilayah yang dikuasai Hamas itu selama tiga hari menjelang cuti hari raya hujung minggu ini.
Pegawai Pihak Berkuasa Sempadan Gaza, Maher Abu Sabha berkata, pintu sempadan itu dibuka kepada trafik dari kedua-dua arah semalam.

Mesir menutupnya minggu lalu selepas kumpulan bersenjata di padang pasir Sinai yang bersempadan dengan Gaza menembak mati 16 askarnya.
Mesir mendakwa kumpulan itu mendapat bantuan dari Gaza. Hamas bagaimanapun menyangkalnya.

Hamas dan Presiden Mesir, Mohammed Mursi adalah dari pergerakan Ikhwanul Muslimin tetapi ketegangan antara kedua-dua mereka semakin meningkat.

Hamas mendesak supaya pintu sempadan itu dibuka sepenuhnya dengan berkata, Gaza yang menderita teruk sepanjang pemerintahan Hosni Mubarak, tidak sepatutnya dibiarkan menderita lagi. - AP

OIC bincang untuk gugur Damsyik


MAKKAH: Pemimpin negara Islam akan membincangkan cadangan untuk menyingkirkan Syria dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Ia bertujuan meningkatkan tekanan terhadap Damsyik supaya menghentikan serangan terhadap penentang kerajaan Presiden Bashar al-Assad. 
OIC mewakili 1.5 bilion penduduk Islam di seluruh dunia. Pemimpin 57 negara anggota pertubuhan itu kini mengadakan mesyuarat luar biasa di Makkah.

Menteri Luar yang mengadakan mesyuarat persediaan semalam mengesyorkan penggantungan Syria, kata Ketua OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu.

Langkah itu dicadang oleh Raja Abdullah dari Arab Saudi yang berusaha mendapatkan sokongan untuk pemberontak Syria.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang negaranya sering menyelar usaha untuk menggantung Syria, turut hadir. - AFP

Pemberontak tembak jatuh pesawat Syria


ALEPPO: Pertempuran semakin sengit di dua bandar utama Syria semalam selepas pemberontak mendakwa mereka menembak jatuh sebuah jet penggempur kerajaan dan menawan juruterbangnya.
Pesawat berkenaan ditembak jatuh di Deir Ezzor, wilayah timur negara itu dan Tentera Pembebasan Syria (FSA) mengeluarkan rakaman video lelaki yang didakwa juruterbang yang ditawannya.

Jurucakap FSA, Kassem Saadeddine mengenal pasti juruterbang berkenaan sebagai Kolonel Mufid Mohammed Sleiman dan berkata, dia keturunan Alawiyah, sama dengan keluarga Presiden Bashar al-Assad dan ‘musuh ketat revolusi.’ Jika benar, ia kali pertama pemberontak yang sebelum ini mendesak supaya dibekalkan senjata antipesawat bagi menghadapi serangan udara yang semakin meningkat, berjaya menembak jatuh sebuah pesawat kerajaan dalam konflik yang bermula 17 bulan lalu.
Bagaimanapun, media kerajaan berkata, peawat itu terhempas selepas mengalami masalah teknikal dan pilotnya berjaya menyelamatkan diri.

Dalam pada itu, pertempuran baru meletus di Allepo apabila tentera kerajaan membedil wilayah yang dikuasai pemberontak, kata Pemerhati Syria untuk Hak Asasi. Kira-kira 160 orang terbunuh dalam pertempuran di seluruh negara itu Isnin lalu.

Pertempuran terbaru tertumpu di Saif al-Dawla dan Salaheddin, daerah barat daya Aleppo. - AFP

Tel Aviv lantik menteri pertahanan baru


BAITULMAQDIS: Bekas Menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel, Avi Dichter akan dilantik menjadi Menteri Pertahanan Dalam Negeri ketika spekulasi semakin meningkat mengenai kemungkinan rejim Zionis itu menyerang Iran.
Dichter yang juga bekas ketua agensi perisikan dalam negeri, Shin Bet, akan melepaskan jawatannya dalam parti pembangkang, Kadima untuk menyertai kerajaan, menurut laporan media.

Rejim Zionis pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, enggan mengesahkan laporan itu. Dichter akan menggantikan Matan Vilnai bagi mengukuhkan pertahanan negara, manakala Vilnai dilantik sebagai duta ke China. - AFP

Israel bodoh jika serang Iran


TEHERAN: Iran semalam menolak ancaman Israel untuk menyerangnya dengan berkata, sebahagian pegawai Zionis sendiri sedar tindakan ‘bodoh’ itu akan mengundang padah yang amat buruk.
“Kami tidak melayan ancaman itu secara serius kerana kami melihatnya sebagai tidak berasas,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Ramin Mehmanparast kepada wartawan dalam taklimat mingguannya semalam.

“Walaupun jika beberapa pemimpin rejim Israel itu mahu melaksanakan tindakan bodoh itu, ada di kalangan mereka dalam kerajaan tahu mereka akan menderita teruk akibat tindakan itu,” katanya.
Menteri Pertahanan Iran, Jeneral Ahmad Vahidi dipetik oleh agensi berita rasmi ISNA sebagai berkata, Israel tidak mampu untuk mencabar kekuatan dan semangat Iran.

Beliau menyifatkan ancaman Israel sebagai ‘satu tanda kelemahan’ oleh ‘pemimpin yang tidak berotak.’ Beliau berkata demikian sebagai mengulas retorik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Ehud Barak yang sejak beberapa hari lalu berkata, mereka menimbang untuk mengambil tindakan ketenteraan secara lebih serius terhadap kemudahan nuklear Iran.

Media Israel melaporkan ancaman itu secara besar-besaran dengan berkata, keputusan mengenainya akan dibuat dalam masa beberapa minggu. Mereka turut menyiarkan bantahan terhadap rancangan berkenaan oleh pegawai dan bekas pegawai tentera Israel.
Amerika Syarikat sejak kebelakangan ini menggandakan lawatan oleh pegawai kanannya ke Israel dalam apa yang dilihat sebagai usaha memujuk rejim Zionis itu supaya tidak menyerang Republik Islam berkenaan.

Israel menegaskan Iran semakin hampir untuk menghasilkan senjata nuklear dan mendakwa ia berhak untuk bertindak menghalangnya. - AFP

Wanita sembunyi tv 42 inci di celah paha


OSLO: Seorang wanita ditangkap selepas berjalan keluar dari sebuah kedai bersama-sama televisyen 42 inci di celah paha.
Polis menangkap wanita itu yang ditemani teman lelakinya selepas dia berjalan terincut-incut ke pintu keluar kedai berkenaan di Oslo, ibu negara Norway, dengan skirtnya menutup barangan elektrik berharga RM15,000 itu. 
Wania itu berupaya membawa televisyen berkenaan dengan menyepitnya di celah paha ke perhentian bas berhampiran.

Bagaimanapun, seorang pekerja yang mengeyaski perbuatan wanita itu, menelefon polis yang menangkapnya di dalam bas.

Wanita terbabit dan teman lelakinya, warga Romania. Dia memberitahu polis dia mempunyai otot paha yang amat kuat.

“Bukan sesuatu yang luar biasa untuk pencuri meletakkan barangan yang dicuri mereka di dalam skirt,” kata jurucakap polis di Oslo, Tor Grottom.

“Kami mula menyangka ia tidak mungkin dapat dilakukan tetapi kami mencubanya di balai polis, menggunakan khidmat seorang anggota wanita. Ia memang sukar tetapi masih boleh dilakukan,” katanya.

Kejadian berlaku Khamis lalu dan ramai penduduk Norway mengulas kejadian itu menerusi Internet berkata, mereka tidak boleh melakukan sedemikian.

Polis bagaimanapun berkata, setakat ini tidak ada kecurian seumpama itu dilaporkan.

Wanita terbabit yang digelar ‘Paha Petir’ oleh sebuah stesen radio Norway berusia 31 tahun dan masih ditahan untuk disoalsiasat berhubung kemungkinan terbabit dalam kes lain. - DM

Ular sawa gergasi ditangkap

PETUGAS di Muzium Florida membelah perut ular sawa itu.
PETUGAS di Muzium Florida membelah perut ular sawa itu.
TIGA daripada 87 telur yang dikeluarkan dari perut ular berkenaan.
TIGA daripada 87 telur yang dikeluarkan dari perut ular berkenaan.
FLORIDA : Seekor ular gergasi sepanjang 5.4 meter dengan 87 telur ditangkap ketika ia berkeliaran di Taman Negara Everglades.
Ular sawa Burma seberat 70 kilogram itu adalah yang paling besar pernah ditemui di Florida dan dipercayai yang terbesar pernah ditangkap di Amerika Syarikat.
Ular jenis itu berasal dari Asia Tenggara tetapi beribu-ribu ekor haiwan berkenaan dipercayai hidup di taman negara itu selepas dilepaskan oleh penduduk dan beranak-pinak.

Dan saintis memberi amaran, haiwan sebesar itu boleh memusnah hidupan lain.

Pakar dari Muzium Florida, Kenneth Krysko berkata: “Ular sepanjang 17 kaki akan memakan apa saja yang diingininya.

“Ular ini hidup sejak sekian lama di hutan. Tidak ada apa yang dapat menghalang mereka dan hidupan liar lain berdepan dengan masalah.”

Ular sawa yang dibunuh itu mempunyai bulu di dalam perutnya. Saintis merancang untuk mengenal pasti hidupan liar yang dimakannya.

Ular sawa Burma membiak di kawasan iklim panas dan lembap di Everglades selepas banyak di antaranya dibebaskan oleh pemiliknya.

Pakar berkata, yang lain mungkin terlepas dari kedai haiwan peliharaan selepas Taufan Andrew pada 1992 dan membiak sejak itu.

Ular itu membunuh mangsa dengan membelit dan melemaskannya. Mereka mampu menelan haiwan sebesar rusa dan buaya.

Pengimportan ular sawa kini diharamkan di Florida dan kerja memburunya dibenarkan.

Bagaimanapun, langkah itu memberi kesan yang kecil saja terhadap populasi mereka.

Pakar bilogi Muzium Florida, Rob Robins berkata, haiwan itu sukar ditangkap dan memandangkan mereka sudah membiak di Everglades, usaha untuk menghapuskan mereka tidak mungkin dapat dilakukan.

“Saya percaya anda akan melihat lebih banyak ular seumpama itu ditangkap,” katanya. - DM

Iran terima bantuan luar

Mangsa  menyelamatkan  barangan  di kediaman  mereka yang rosak teruk akibat gempa  bumi minggu lalu. - Foto  EPAMangsa menyelamatkan barangan di kediaman mereka yang rosak teruk akibat gempa bumi minggu lalu. - Foto EPA
Tehran ubah fikiran, operasi bantu mangsa kena kritik

Tehran: Iran mengubah pendirian isu bantuan luar kepada mangsa dua gempa bumi di barat lautnya minggu lalu apabila menyatakan ia menyambut baik penghantaran bantuan kepada penduduknya. 
Agensi berita IRNA memetik Naib Presiden, Mohammad Reza Rahimi sebagai berkata, Iran sedia menerima bantuan dari negara luar. Kenyataan itu diertikan sebagai petanda bahawa pihak berkuasa mengalami kesulitan menangani kesan bencana berkenaan. 

Negara kita membantu mereka yang memerlukan di negara lain dan di bawah keadaan sekarang”. - Mohammad Reza Rahimi, Naib Presiden Iran
“Dalam keadaan berbeza, negara kita membantu mereka yang memerlukan di negara lain dan di bawah keadaan sekarang, bersedia untuk menerima bantuan dari pelbagai negara,” katanya, berdasarkan IRNA tanpa memberikan maklumat lanjut.

Selepas gempa, Amerika Syarikat, Russia, Turki dan tuan rumah negara lain mengucapkan takziah dan mengatakan mereka bersedia untuk memberikan bantuan.

Akhbar konservatif, Asre-e Iran melaporkan bahawa selepas 24 jam dilanda gempa beberapa kampung masih belum menerima lawatan daripada pasukan bantuan.

“Penduduk kata kebanyakan kawasan kampung musnah dan masih belum ada khemah dihantar atau sebarang bantuan diberikan kepada mangsa,” kata akhbar berkenaan. 
Belum terima bekalan

Tiga hari selepas dua gempa bumi melanda kebanyakan kampung masih belum mempunyai bekalan elektrik dan air minuman, lapor agensi berita rasmi IRNA
Gempa pada kekuatan 6.4 dan 6.3 skala Richter membunuh 306 orang dan mencederakan lebih 3,000 lagi di kawasan dekat sempadan Azerbaijan dan Armenia. 

Kelmarin, pertubuhan Palang Merah Iran berkata, negara itu tidak memerlukan bantuan asing dan menghantar pulang pasukan bantuan dari Turki yang tiba tanpa notis awal.

Operasi bantuan kurang

Perubahan pendirian itu menyusuli kritikan terhadap operasi bantuan Iran kepada mangsa gempa termasuk aduan kekurangan khemah dan keputusan Presiden Mahmoud Ahmadinejad meneruskan lawatan ke luar negara.

Apa yang mengejutkan sesetengah pihak, kurang 24 jam selepas gempa melanda pihak berkuasa Iran mengumumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat sudah berakhir dan semua mangsa diselamatkan dari runtuhan.

Ini menyebabkan penduduk tempatan meluahkan rasa tidak percaya bahawa pihak berkuasa sudah tiba di kebanyakan perkampungan pedalaman dalam masa yang cepat. - Reuters/AP

Mendiang isteri pesan melalui mimpi buru konco Bujang Sebelak



EMBOL membakar bangkai seekor buaya yang ditangkapnya di Sungai Sebelak, Saratok semalam.



SARATOK - Selepas mewarisi ilmu 'selembur buaya' daripada pawang terbilang, ketua rumah panjang Sungai Anak di Roban, Embol Asum, 48, berjaya menangkap dan membunuh seekor reptilia sepanjang tiga meter di Sungai Sebelak dekat sini semalam.
Suami kepada mangsa Bujang Sebelak itu memberitahu, dia kembali memburu buaya di sungai berkenaan selepas mendapat pesanan mendiang isterinya, Siah Munsong, 42, menerusi mimpi supaya memburu dan menghapuskan generasi Bujang Sebelak.
Menurut Embol, meskipun hanya tiga minggu menuntut ilmu daripada gurunya iaitu pawang terkenal dari Betong, Indet Sanabong, 49, dia sudah mampu menjinak, menangkap serta membunuh enam ekor buaya dipercayai konco-konco Bujang Sebelak sejak dua minggu lalu.
"Saya mendapat mimpi didatangi isteri saya dan mendiang meninggalkan pesanan untuk membunuh konco-konco Bujang Sebelak menyebabkan dendam kesumat terhadap reptilia ganas itu kembali membuak-buak.
"Menerusi ilmu yang dipelajari daripada Pawang Indet, saya berjaya menangkap dan membunuh beberapa ekor buaya termasuk seekor yang panjangnya tiga meter semalam sebelum haiwan itu dibakar dan dimakan dagingnya," katanya ketika ditemui di kediamannya dekat sini semalam.
Kosmo! difahamkan kesemua buaya tembaga yang ditangkap itu puratanya sepanjang kira-kira dua hingga empat meter.

Muzium Tubuh Manusia di Bangkok




SEORANG kakitangan Universiti Chulalongkorn tersenyum semasa melihat organ dalaman manusia.


BANGKOK - Muzium Tubuh Manusia di Universiti Chulalongkorn di sini merupakan yang pertama di Asia Tenggara mempamerkan lebih 130 spesimen anatomi manusia.
Semua spesimen itu bernilai lebih 100 juta baht (RM9,916,650.50) yang didermakan Universiti Pergigian dan Perubatan Jepun. - Reuters

'Ladang' di atas bumbung




SEORANG wanita berjalan di 'ladang sayur-sayuran' di Hong Kong pada 31 Julai lalu.


HONG KONG - Bumbung sebuah bangunan 14 tingkat di sini menjadi 'ladang' untuk menanam pelbagai jenis sayur-sayuran, lapor agensi berita AFP semalam.
Ladang itu dimiliki oleh Osbert Lam yang menyewakan tempat untuk menanam sayur-sayuran di kawasan seluas 930 meter persegi.
Antara sayur-sayuran yang ditanam itu ialah timun dan ubi kentang.
Lam yang merupakan seorang usahawan tempatan menyewa kepada orang ramai untuk menanam sayur-sayuran pada harga antara AS$20 (RM62.33) hingga AS$25 (RM77.92) sebulan.
"Saya berpendapat ladang di bandar raya menjadi semakin popular.
"Orang ramai yang datang ke ladang ini berasa amat gembira. Ia umpama ketenangan dan satu jalan keluar," kata Lam.
Seorang jururawat, Melanie Lam yang menanam sayur-sayuran di atas bumbung itu berkata: "Saya berasa gembira memakan sayur-sayuran yang saya tanam berbanding makanan yang saya beli di pasar raya." - Agensi

Mesir buka pintu sempadan dengan Palestin



BANDAR GAZA - Seorang pegawai Gaza menyatakan Mesir membuka pintu sempadannya dengan wilayah Palestin berkenaan selama tiga hari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hujung minggu ini.
Wilayah Gaza diperintah oleh pergerakan Hamas.
Pegawai berkenaan, Maher Abu Sabha berkata, pintu sempadan itu dijadualkan dibuka kepada lalu lintas di kedua-dua hala lewat semalam.
Mesir menutup lintasan sempadan tersebut minggu lalu selepas sekumpulan militan di Semenanjung Sinai dekat sini membunuh 16 anggota tentera negara itu. - AP

Ular terbesar Florida ditangkap




GAMBAR bertarikh 10 Ogos lalu menunjukkan perut ular sawa terbesar di negeri Florida diperiksa oleh beberapa penyelidik Muzium Sejarah Semula Jadi di Universiti Florida.


WEST PALM BEACH, Florida - Seekor ular sawa Burma sepanjang 5.18 meter dengan berat 74.4 kilogram ditemui di Taman Negara Everglades, kata pihak Universiti Florida kelmarin.
Ular tersebut adalah ular sawa Burma terbesar pernah ditangkap di negeri Florida, Amerika Syarikat.
Haiwan berkenaan bunting dengan 87 biji telur yang merupakan satu lagi rekod di negeri berkenaan.
Mengulas tentang penemuan tersebut, beberapa saintis berkata, ukuran ular tersebut menunjukkan spesies yang berasal dari Asia Tenggara itu dapat membiak dengan banyaknya di rantau Florida Selatan.
"Ini bermakna ular ini dapat hidup untuk satu tempoh yang lama di hutan," kata pakar ular Muzium Sejarah Semula Jadi Florida, Kenneth Krysko.
TELUR ular sawa bunting itu.


Haiwan tersebut yang telah dibunuh kini disimpan di muzium berkenaan.
"Tiada apa yang dapat menghentikan ular ini daripada mengancam hidupan liar tempatan," tambahnya.
Terdapat sejumlah bulu binatang ditemui di dalam perut ular sawa itu.
Beberapa saintis kini menggunakan sampel tersebut untuk mengenal pasti jenis hidupan liar yang dibaham reptilia itu.
"Seekor ular sepanjang 5.18 meter boleh memakan apa sahaja," ujar Krysko.
Puluhan ribu ular sawa Burma dipercayai hidup di taman negara berkenaan dengan spesies tersebut membiak dengan cepat dalam iklim panas lembap. - AP

Rama-rama cacat di Fukushima






TOKYO - Beberapa mutasi genetik ditemui pada tiga generasi rama-rama dekat loji nuklear Fukushima yang tidak lagi beroperasi, kata beberapa saintis semalam.
Penemuan tersebut meningkatkan kebimbangan penduduk setempat bahawa radiasi akibat kebocoran loji nuklear akan memberi kesan ke atas spesies lain.
Beberapa saintis berkata, kira-kira 12 peratus larva rama-rama pale grass blue yang terdedah kepada radiasi nuklear selepas bencana tsunami melanda timur laut Jepun pada Mac 2011 didapati mengalami keganjilan seperti mempunyai kepak kecil dan mata yang rosak.
Seorang saintis berkenaan, Joji Otaki yang merupakan profesor madya di Universiti Ryukyu, Okinawa memberitahu, semua serangga tersebut dibiakkan di dalam sebuah makmal di luar zon radioaktif dengan 18 peratus anak rama-rama berkenaan memiliki masalah yang sama.
Bagaimanapun, angka tersebut meningkat kepada 34 peratus apabila melibatkan generasi ketiga spesies berkenaan.
Kumpulan penyelidik tersebut turut mengumpulkan sebanyak 240 ekor rama-rama di Fukushima pada September tahun lalu iaitu enam bulan selepas bencana tsunami tersebut berlaku.
Otaki berkata, sebanyak 52 peratus serangga itu mempunyai sifat abnormal sekali gus merupakan satu nisbah yang tinggi. - AFP

Rakyat Libya bantu pemberontak Syria bertempur askar rejim Bashar



EMPAT anggota pemberontak menunjukkan seorang juruterbang (duduk) yang ditangkap selepas jet tentera Syria yang dikendalikan jatuh ditembak di Deir el-Zour, Syria kelmarin.



DAMSYIK - Sejumlah pejuang veteran dalam perang saudara di Libya pada tahun lalu kini tampil di barisan hadapan untuk membantu melatih dan menyusun pemberontak dalam situasi yang lebih meruncing berbanding ketika perang menentang Muammar Gaddafi, kata seorang pejuang berdarah Libya-Ireland kepada agensi berita Reuters.
Gaddafi mati dibelasah para pemberontak Libya pada 20 Oktober tahun lalu selepas berbulan-bulan menghadapi tentangan daripada penduduknya. Pejuang veteran Libya yang bertempur bersama kumpulan pemberontak di Syria itu, Hussam Najjar berasal dari Dublin dan memiliki bapa berdarah Libya manakala ibunya berbangsa Ireland.
Dia yang menggelarkan dirinya Sam, merupakan seorang penembak tepat terlatih.
Sam dahulunya merupakan anggota unit pemberontak yang menggempur kompleks Gaddafi di Tripoli setahun lalu. Unit tersebut diketuai oleh ketua militia dari pergunungan barat Libya, Mahdi Al-Harati.
Mahdi kini mengetuai sebuah unit pemberontak di Syria yang kebanyakannya disertai oleh warga tempatan selain beberapa pejuang asing termasuk 20 anggota kanan yang pernah menganggotai unit pemberontak di Libya pada tahun lalu.
Menurut Hussam, dia diminta oleh Mahdi untuk menyertai unit tersebut dari Dublin beberapa bulan lalu.
Pasukan pejuang Libya itu membantu pemberontak Syria itu termasuk beberapa pakar komunikasi, logistik, isu kemanusiaan dan senjata berat.
Menurut Hussam, mereka mengendalikan kem latihan dan mengajar kecergasan serta taktik di medan perang.
Sementara itu, satu klip video di YouTube menunjukkan seorang juruterbang tentera Syria ditahan beberapa anggota pemberontak.
Juruterbang itu menaiki sebuah jet tentera Syria yang jatuh ditembak di Deir el-Zour, Syria kelmarin.
Konflik di Syria bermula pada Mac tahun lalu apabila para pemberontak menentang tentera Presiden Bashar Al-Assad.
Lebih 20,000 orang dianggarkan terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Bashar.
Para pemberontak menuntut Bashar meletakkan jawatan ekoran gagal membawa pembaharuan demokrasi dalam pentadbirannya. - Agensi