Pages

Wednesday, November 16, 2011

Kasarnya Tapak Tangan Ibu

RAKYAT MARHAEN: Kasarnya Tapak Tangan Ibu:


altPada suatu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.
Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut mendapati seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di universiti. Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang.
Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
Gadis itu menjawab "Tidak."
Pengurus itu bertanya lagi, "Jadi adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"
Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah meninggal ketika saya berusia satu tahun, ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian saya."

Pengurus meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?" Gadis itu menjawab,"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah."
Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja berat.
Pengurus berasa hairan lalu bertanya lagi, "Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?"
Gadis itu menjawab, "Tidak pernah. Ibu selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. Lagipun ibu membasuh lebih cepat daripada saya."
Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis itu pulang ke rumah nanti dan berjumpa semula dengannya keesokan harinya.
Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersikan tangan ibunya.
Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan kepada anaknya.
Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kasar dan terdapat banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air di tangannya.
Lama-kelamaan gadis itu mula menyedari bahawa tangan ini lah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti.
Calar-calar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya yang cemerlang dan juga demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih tertinggal.
Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat.
Pengurus tersebut menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya : "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?"
Gadis itu menjawab : "Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal."
Pengurus itu bertanya lagi, "Apa yang anda rasa?"
Gadis itu menjawab : "Pertama, saya sedar apa itu pengorbanan seorang ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja bersama dengan ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti betapa sukarnya mendapat sedikit wang untuk hidup. Ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."
Pengurus itu tersenyum lalu berkata, "Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini."
Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya. Prestasi syarikat juga semakin meningkat.
Pengajaran dari cerita ini adalah kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak.
Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan kerja-kerja di rumah. Dari situ, kita akan belajar untuk menghargai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh mereka.

'via Blog this'

Pensyarah ditahan proses syabu

Kosmo! Online - Negara:


KUALA LUMPUR – Seorang bekas pensyarah warga Iran yang tidak habis menuntut di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) rupa-rupanya memiliki rahsia besar apabila dia didapati menggunakan sebuah kondominium sebagai makmal untuk memproses syabu di negara ini.

Tembelang lelaki berusia 38 tahun tersebut terbongkar apabila dia dicekup sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama bahan mentah dan peralatan memproses syabu bernilai RM700,000 di sebuah kondominium di Jalan Putra di sini pada pukul 8.30 malam, 2 November lalu. Kondominium itu disewa pada harga RM2,000 sebulan.

Difahamkan, suspek memiliki ijazah sarjana dan pernah menjadi pensyarah di sebuah universiti di Teheran, Iran sebelum datang ke sini untuk menyambung PhD di sebuah universiti tempatan dalam bidang Pengajian Kerajaan dan Politik pada 2006.

Bagaimanapun, suspek tidak habis menuntut apabila dia yang sepatutnya menamatkan pengajiannya dalam tempoh lima tahun telah berhenti daripada menyambung PhD pada 2008.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, siasatan awal mendapati suspek begitu mahir memproses dadah tersebut apabila mampu menjadikannya daripada bentuk cecair kepada serbuk tanpa disedari penghuni lain.

Katanya, selain suspek dan 2.3 kilogram syabu, pihaknya turut merampas peralatan memproses bahan khayal itu seperti penapis, dulang dan botol plastik.

“Kita masih menyiasat sejak bila suspek yang masih bujang itu mula melibatkan diri. Ketika serbuan, hanya terdapat suspek seorang di dalam rumah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


'via Blog this'

'Dia bukan suami saya'

Kosmo! Online - Negara:



HO (kanan) dan Michael menunjukkan gambar Keng Hong kepada pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Seorang wanita memohon pihak berkuasa berbuat sesuatu terhadap empat ah long yang kini memaksanya membayar hutang seorang lelaki yang menyewa rumahnya dan mendakwa dia adalah isterinya.

"Saya cuma menyewakan rumah kedai saya di Seri Kembangan, Selangor kepada lelaki itu yang dikenali sebagai Mei Keng Chong, 39, sejak tiga bulan lalu dan tidak pernah mengenalinya sebelum ini.

"Dia cuma membayar sewa satu kali sahaja dan terus menghilang sehingga hari ini. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan ah long yang mengatakan 'suami' saya itu telah membuat pinjaman dan minta saya bayar segera," kata wanita itu yang mahu dikenali sebagai Ho.

Menurut Ho, akibat perbuatan Keng Cheong, rumahnya pernah beberapa kali disimbah cat merah selain edaran poster yang memintanya menjelaskan hutang lelaki itu.

"Saya dan suami saya kini hidup dalam ketakutan kerana kumpulan ah long itu sering menghubungi kami tanpa mengira waktu.

"Berapa banyak yang dia berhutang saya pun tidak tahu dan tidak mahu tahu kerana saya bukan isterinya malah tidak pernah kenal siapa dia," katanya pada sidang media di pejabat Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong di Jalan Ampang di sini baru-baru ini.


'via Blog this'

Budak 11 tahun maut dilanggar kenderaan

Kosmo! Online - Negara:



GAMBAR kenangan, Amirul (duduk tengah) bersama ahli keluarganya.


KUANTAN – Mohd. Amirul Hakim Khairuddin, 11, yang meninggal dunia di hospital akibat cedera parah selepas dilanggar lari sebuah kenderaan di Simpang Bunga Cengkih di sini kelmarin tidak pernah menunggang basikal seorang diri keluar dari kawasan rumahnya.

Namun, menurut bapa kanak-kanak itu, Khairuddin Sabtu, 44, tengah hari kelmarin anaknya menunggang basikal seorang diri untuk ke rumah rakannya yang tinggal di Bukit Istana kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

“Sebelum ini arwah tidak pernah pergi jauh dan hanya bermain di kawasan kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, tempat saya bekerja.

“Selalunya, saya hantar dia ke rumah kawannya di Bukit Istana tetapi semalam (kelmarin) dia sendiri mengayuh basikal ke rumah rakannya tanpa pengetahuan saya,” ceritanya sedih ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, apabila pulang ke kuarters selepas habis kerja kelmarin, dia dapati Amirul tiada di rumah menyebabkan dia keluar mencari mangsa di Bukit Istana.

Semasa itu, isterinya, Rohaida Ishak, 36, berada di Temerloh kerana ada kerja.

“Sampai di rumah rakan Amirul, rakan arwah beritahu Amirul telah pulang pukul 4.30 petang pada hari kejadian,” ceritanya.

Bimbang dengan keselamatan Amirul, Khairuddin kemudian mencari anaknya sebelum menemui mangsa pada pukul 8 malam yang sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas ditemui di tepi jalan.


'via Blog this'

Istana Negara kini di Jalan Duta

Kosmo! Online - Negara:


BENDERA Peribadi Yang di-Pertuan Agong dinaikkan di pekarangan Istana Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Upacara pemindahan Istana Negara dari istana yang lama di Bukit Petaling ke istana yang baharu di Jalan Duta di sini dilakukan secara penuh istiadat di sini semalam.

Ia bermula dengan upacara menurunkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di istana lama yang berusia 83 tahun di tepi Bukit Petaling kira-kira pukul 9 pagi.

Upacara yang dilakukan oleh sekumpulan 10 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu menandakan penutupan rasmi bangunan yang tersergam indah dan ditandai dua kubah emas itu.

Bendera itu kemudiannya diarak keluar dari kawasan istana pada pukul 9.15 pagi dan diserahkan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil di hadapan pagar masuk istana dan dibawa ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta.

Tengku Farok Hussin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri mengunci pintu masuk utama istana lama menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.

Kawalan itu dilaksanakan Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda melibatkan seramai tiga pegawai, 69 anggota lain-lain pangkat dan 12 ekor kuda.

Selepas itu, Istiadat Menaikkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di kompleks Istana Negara baharu bernilai kira-kira RM800 juta itu menandakan pemindahan rasmi tersebut.

Istiadat itu dimulakan dengan perbarisan oleh 52 anggota RAMD serta 12 Skuadron Istiadat Berkuda.


'via Blog this'

Dipenjara kerana bunuh petani semasa rebut Viagra Himalaya

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR menunjukkan tiga tumbuhan Yarshagumba di Kathmandu, Nepal.


KATHMANDU - Sebuah mahkamah di Nepal menjatuhkan hukuman penjara terhadap 19 penduduk kampung atas kesalahan membunuh sekumpulan petani dalam pergaduhan berhubung hak untuk mengutip tumbuhan Yarshagumba yang mampu menguatkan seks yang dikenali sebagai Viagra Himalaya, kata seorang pegawai semalam.

Seramai tujuh petani telah dibunuh di daerah Manang pada bulan Jun 2009 semasa mengutip tumbuhan itu yang merupakan pendapatan utama bagi kebanyakan penduduk di Himalaya

Para tertuduh itu mendakwa tujuh petani tersebut mati secara tidak sengaja ketika berlaku pergaduhan berhubung hak untuk mengutip tumbuhan tersebut yang harganya boleh mencecah puluhan ribu dolar untuk satu kilogram di China.

Laporan mengenai kehilangan para petani itu diketahui oleh pihak berkuasa pada Jun 2009.

"Enam tertuduh didapati bersalah kerana membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun," kata seorang pendaftar sebuah mahkamah di daerah Manang, Shambhu Baral.

Menurutnya, seramai 13 lagi dijatuhi hukuman dua tahun penjara, tetapi mereka telah menghabiskan masa dalam tahanan sejak ditangkap.

Katanya, bukti-bukti menunjukkan hanya enam orang terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu.

Pada mulanya, pihak berkuasa menangkap seluruh penduduk kampung tetapi sejumlah wanita dan kanak-kanak kemudian dibebaskan. -AFP


'via Blog this'

Jam tangan filem James Bond dibeli pada harga RM612.364

Kosmo! Online - Dunia:



JAM tangan Rolex yang digunakan Roger Moore dalam filem James Bond, Live and Let Die.


GENEVA, Switzerland - Seutas jam tangan Rolex yang dipakai oleh Roger Moore sebagai ejen perisik James Bond dalam filem Live and Let Die dijual pada harga 176,917 euro (RM612,364) dalam satu lelongan di sini kelmarin.

Jam tangan itu dilengkapi dengan gergaji yang boleh membuat putaran dan digunakan untuk memotong seutas tali bagi menyelamatkan Solitaire yang dilakonkan oleh Jane Seymour daripada menjadi mangsa ikan jerung yang lapar dalam filem tersebut.

Medan magnet yang terlampau aktif pada jam itu digunakan untuk membantu Moore mengelak terkena peluru.

Namun, medan magnet tersebut sebaliknya digunakan perisik tersebut untuk menurunkan zip seorang wanita pada permulaan filem keluaran 1973 itu.

Lelongan itu turut menampilkan seutas jam tangan emas berwarna merah jambu buatan tahun 1968 oleh pembuat jam Switzerland, Patek Philippe yang mencatat harga jualan 21.2 juta euro (RM90.8 juta).

Moore yang kini berusia 84 tahun pernah berlakon dalam tujuh filem James Bond bermula pada tahun 1973.

Kali terakhir dia membawa watak ejen perisik yang memiliki lesen untuk membunuh itu ialah menerusi filem A View to a Kill pada tahun 1985. - Agensi


'via Blog this'

Timberlake tunai janji

Kosmo! Online - Dunia:



JUSTIN TIMBERLAKE (kanan) menepuk tangan semasa dia menghadiri majlis tari-menari bersama Koperal Kelsey De Santis (tengah) di Pusat Konvensyen Greater Richmond di Virginia pada Sabtu lalu.


RICHMOND, Amerika Syarikat (AS) - Pelakon terkenal, Justin Timberlake mengotakan janjinya untuk membawa seorang anggota askar marin wanita AS ke majlis tari-menari tahunan.

Penyanyi dan aktor tersebut menyiarkan sekeping gambar bersama sepucuk surat di laman webnya pada Ahad lalu untuk memberitahu bahawa majlis tari-menari itu sebagai yang paling meriah buatnya.

Anggota askar marin berkenaan, Koperal Kelsey De Santis mempelawa Timberlake menerusi YouTube untuk menghadiri majlis tarian itu bersamanya.

Timberlake kemudian menerima undangan tersebut.

Stesen televisyen WTR-TV melaporkan Timberlake memakai tuxedo dalam majlis tersebut di Pusat Konvensyen Greater Richmond di sini.

Majlis Tari-Menari Kor Marin itu diadakan di sini pada Sabtu lepas.

Pada awal bulan ini, rakan Timberlake yang turut berlakon bersamanya dalam filem Friends With Benefits, Mila Kunis turut menerima undangan yang sama ke satu lagi majlis tari menari Kor Marin di negeri Carolina Utara. - Agensi


'via Blog this'

Dipenjara kerana tembak anak tiri

Kosmo! Online - Dunia:



ROLA EL-HALABi duduk di dalam sebuah mahkamah di Berlin, Jerman kelmarin.


BERLIN, Jerman - Bapa tiri petinju wanita Jerman, Rola El-Halabi dipenjara enam tahun kerana berulang kali menembak petinju berkenaan di bilik persalinan ketika dia bersiap sedia untuk perlawanan merebut kejuaraan.

Rola ditembak di tangan, lutut dan kaki oleh bapa tirinya itu, Hicham El-Halabi, 44, yang juga pengurusnya ketika dia menunggu untuk menentang Irma Balijagic Adler dari Bosnia bagi merebut gelaran juara lightweight Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF).

Kelmarin, sebuah mahkamah di sini menyatakan bahawa Hicham El-Halabi sengaja menembak petinju berusia 25 tahun itu pada 1 April lalu untuk menghalangnya daripada meneruskan kerjaya tinjunya.

Namun, wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan yang boleh mengancam nyawanya.

Turut ditembak ialah dua pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian.

Mahkamah yang sama menyatakan Hicham sebelum ini pernah menyerang tunang Rola pada Disember 2010.

Rola merupakan juara dunia Persekutuan Tinju Antarabangsa Wanita (WIBF) dan Persatuan Tinju Wanita Antarabangsa (WIBA) pada 2009. - Agensi


'via Blog this'

Erdogan bidas Presiden Syria

Kosmo! Online - Dunia:



Recep Tayyip ERDOGAN


ANKARA - Turki kini hilang keyakinan terhadap rejim pemerintah Syria, kata Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam.

Kenyataan tersebut merupakan amaran kepada Presiden Syria, Bashar Al-Assad bahawa penggunaan kekerasan oleh tenteranya terhadap para penentangnya meletakkan beliau dalam senarai pemimpin yang dahagakan darah.

Erdogan mendesak Bashar supaya menghukum mereka yang bertanggungjawab menyerang misi-misi diplomatik Turki di Syria.

Dalam ucapannya, Erdogan tidak menghormati Bashar apabila beliau memanggil pemimpin Syria itu dengan menggunakan nama pertamanya.

"Bashar, anda mesti mencari mereka yang bertanggungjawab dan menghukum mereka," kata Erdogan

Sejumlah penyokong Bashar cuba menceroboh misi diplomatik Turki pada Sabtu lepas untuk mengecam keputusan Liga Arab yang menggantung keanggotaan Syria dalam pertubuhan itu ekoran penggunaan kekerasan oleh pemerintah Libya bagi mematahkan kebangkitan rakyatnya sejak lapan bulan lalu. - AP


'via Blog this'

Peralatan pelik musim banjir laris di Bangkok

Kosmo! Online - Dunia:



DUA remaja menjual but dan seluar kalis air di Bangkok pada 2 November lalu.



BANGKOK - Banjir yang melanda ibu kota Thailand di sini memberi durian runtuh kepada peniaga-peniaga kecil yang menjual pelbagai barang yang digunakan semasa banjir.
Antara barangan tersebut termasuk but getah beraneka warna, jet ski, pam air, kipas bot dan pembalut plastik.
Malah, mekanik-mekanik di sini menawarkan perkhidmatan mengapungkan kenderaan yang ditenggelami air dengan menggunakan bahan styrofoam.
Mereka juga melakukan modifikasi khas dengan memasang snorkel enjin dan ekzos yang diubah suai bagi membolehkan kereta, trak dan motosikal meredah jalan raya yang ditenggelami air.
Mekanik-mekanik itu di bandar raya ini sibuk dengan peralatan khas yang diubah suai bagi membolehkan kereta, trak dan motosikal melalui kawasan yang dilanda banjir.
Seorang mekanik berusia 24 tahun, Thong Dechapak berkata, bengkel kereta keluarganya mengenakan caj AS$333 (RM1,049) untuk memasang dua alat berkenaan.
Gajet enjin itu dipacak tegak melepasi bumbung kereta seperti snorkel selaman.
Ia berfungsi untuk menyedut udara bagi membolehkan pembakaran enjin terus berlaku ketika kenderaan melalui air banjir.
"Permintaan untuk alat ini tinggi. Kami menerima tempahan pelanggan sekitar dua bulan lalu apabila wilayah-wilayah di utara bandar raya ini mula ditenggelami air banjir," kata Thong.


Gambar yang dirakamkan pada 7 November lalu menunjukkan sebuah jet ski diletakkan di atas sebuah trak untuk dijual di Bangkok.



Seorang peniaga lain, Wiweena Boonsanong, 27, pula menjual beraneka but getah yang didatangkan dalam pelbagai warna.
"Wanita mahu gemar berfesyen walaupun dalam suasana banjir, kami mahu sentiasa kelihatan comel," kata Boonsanong.
Dalam tempoh sejam, peniaga wanita itu berupaya menjual enam pasang but getah pada harga AS$12 (RM37) sepasang.
Selain but getah, mesin kipas yang boleh digunakan sebagai kipas untuk menggerakkan rakit buluh turut mendapat permintaan menggalakkan.
Sebuah mesin berkenaan dijual pada harga sekitar AS$315 (RM993).
Wichra Lertrasamee yang menjual peralatan itu menyatakan, seorang pembeli membelinya untuk menggerakkan rakit buluh.
Keluarganya mula menjual peralatan untuk musim banjir itu di rumahnya di wilayah Chachergsao, timur Bangkok.
Apabila banjir itu melanda dari utara, dia mendirikan kedai sementara di kawasan berdekatan dengan Pathum Thani.
Apabila wilayah itu juga dilanda banjir, dia memindahkan perniagaannya ke Bangkok.
Menurutnya, dia bangun daripada tidur pada pukul 3 pagi supaya dapat tiba di bandar raya ini menjelang pukul 5 pagi bagi mendapatkan tempat strategik di pasar. Beberapa kawasan di Bangkok kini masih dilanda banjir. - Agensi

'via Blog this'