Pages

Saturday, November 2, 2013

Misteri tapak kaki gergasi

Misteri tapak kaki gergasi
Perbezaan saiz antara kesan tapak kaki yang ditemui dengan kaki manusia.

MARANG - Penemuan kesan tapak kaki bersaiz besar dengan bentuk luar biasa dalam kebun kelapa sawit di kawasan hutan Bukit Mak Ra di Pengkalan Berangan, di sini, menggemparkan penduduk setempat, selain menimbulkan pelbagai andaian.

Misteri tapak kaki gergasi
Pak Rani mengukur tapak kaki bersaiz besar yang berukuran kira-kira
 40 sentimeter panjang dan 20 sentimeter lebar.
Misteri tapak kaki gergasi
Mohd Zullaidi menunjukkan salah satu kesan tapak kaki yang ditemui
dalam kebun kelapa sawit di kawasan hutan Bukit Mak Ra di Marang.
Wakil penduduk, Mat Adam Mat Amin, 60, mendakwa, beberapa kesan tapak kaki ganjil itu ditemui anak sepupunya di sekitar kawasan kebun kelapa sawit milik keluarga mereka di kawasan hutan berkenaan sejak seminggu lalu.

Katanya, selepas diberitahu mengenainya, dia bersama beberapa penduduk kampung terus ke kebun berkenaan lalu menemui beberapa kesan tapak kaki ganjil.

“Kesan tapak itu seperti tapak kaki manusia gergasi dan mempunyai dua saiz. Tapak kaki bersaiz besar kira-kira 40 sentimeter panjang dan 20 sentimeter lebar manakala yang bersaiz kecil 30 sentimeter panjang dan 15 sentimeter lebar,” katanya kepada Sinar Harian.

Mat Adam yang lebih dikenali sebagai Pak Rani berkata, mereka percaya dua saiz tapak kaki berbeza itu adalah milik makhluk hidup berkaki dua yang mempunyai ketinggian dan berat luar biasa berbanding manusia normal.

“Berdasarkan kedalaman tapak kaki berkenaan, makhluk hidup berkaki dua itu mungkin mempunyai berat melebihi 300 kilogram bagi tapak kaki besar, dan berat sekitar 200 kilogram bagi tapak kaki yang kecil,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian bersama Pak Rani dan beberapa penduduk di kawasan kebun kelapa sawit itu mendapati beberapa kesan tapak kaki masih jelas kelihatan walaupun sedikit berubah kerana faktor hujan dan sebagainya.

Bagaimanapun kata Pak Rani yang diberi tanggungjawab menjaga kebun berkenaan, sehingga kini belum ada penduduk terserempak dengan makhluk ganjil termasuk spesies binatang buas di kawasan hutan tersebut.

Penemuan bukan kali pertama

Sementara itu, rakannya, Daud Ali, 50, mendakwa, kesan tapak kaki bersaiz besar dengan bentuk seperti kaki manusia sudah ditemui sejak 17 tahun lalu iaitu pada 1996 di kawasan hutan Bukit Temiang dan pada 1997 di Bukit Jejulung.

“Malah ada juga pihak pernah melihat kelibat ‘makhluk gergasi’ yang dipercayai ada hubung kait dengan penemuan kesan tapak kaki tersebut di jambatan Kampung Bukit Jetit apabila makhluk setinggi tiang api (elektrik) itu melintas jalan,” katanya.

Bagi Daud, penemuan kesan tapak kaki tersebut mungkin ada persamaan dengan misteri kewujudan ‘big foot’  iaitu makhluk yang dikatakan mempunyai bulu di seluruh badannya.

“Namun, sehingga kini masih tiada penemuan sebenar tentang makhluk itu menyebabkan andaian mengenai tapak kaki tersebut adalah tapak kaki ‘big foot’ terus menjadi misteri,” katanya.

Difahamkan, pemburuan untuk membongkar misteri kewujudan ‘big foot’ juga dilakukan penduduk di kawasan berkenaan diketuai Pak Rani.

Bagi seorang pemuda, Mohd Zullaidi Wahab, 33, penemuan kesan tapak kaki itu menjadi bualan penduduk khususnya golongan muda, namun bagi sesetengah golongan berusia, ia dianggap perkara biasa.

“Ini kerana mereka sering menemui kesan tapak kaki tersebut, namun tidak menghebohkan perkara itu kerana bimbang akan menimbulkan ketakutan kepada penduduk setempat,” katanya.

Saintis cipta darah palsu


Bucharest: Sekumpulan saintis di Romania mendakwa berjaya mencipta darah tiruan untuk digunakan manusia sedikit masa lagi, tanpa sebarang kesan sampingan.

Darah itu mengandungi air, garam dan protein yang dikenali hemerythrin yang diperoleh daripada cacing laut.
Penyelidik dari Universiti Babes-Bolyai di Cluj-Napoca berharap ia dapat membantu mengatasi kekurangan bekalan darah dan menghalang jangkitan menerusi pendermaan darah.

Dr Radu Silaghi-Dumitrescu berkata, ia juga mungkin boleh membawa kepada pembikinan ‘darah segera’ yang boleh diangkut dan diubah menjadi darah tiruan apabila dicampur dengan air.


Sehingga ini, usaha mencipta darah tiruan gagal apabila ia tidak berupaya menahan tekanan kimia dan mekanikal yang dilakukan ke atasnya.


Menurut Dumitrescu, tidak seperti hemoglobin, hemerythrin kekal stabil apabila terdedah kepada tekanan fizikal dan kimia.

Setakat ini, darah tiruan itu sudah diuji ke atas tikus yang terbukti tidak menunjukkan kesan sampingan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/01

Gadis dapat wajah baharu


Wajah Xu Jianmei sebelum (kiri) dan selepas (kanan) menjalani pembedahan menggantikan wajah di Fuzhou, wilayah Fujiian, China, baru-baru ini. - AGENSI
FUJIAN 31 Okt. - Sekumpulan doktor pakar berjaya melakukan pembedahan bagi menggantikan wajah seorang gadis remaja yang terbakar, hanya dengan menggunakan kulit daripada dadanya.
Wajah Xu Jianmei, 17, terbakar teruk ketika berusia lima tahun sehingga mengakibatkan dia kehilangan dagu, kelopak mata dan telinga, selain tidak boleh tersenyum.
Kedua ibu bapa Jianmei tidak mampu menampung kos pembedahan plastik yang mahal sehingga menyebabkan remaja itu berada dalam keadaan sedemikian sejak 12 tahun lalu.
Namun begitu, gadis berkenaan bagaikan mendapat harapan baharu apabila doktor bersetuju untuk menawarkan perkhidmatan pembedahan secara percuma.
“Dengan wajah baharu ini, Jianmei mampu meluahkan perasaan dalam bentuk yang lebih baik. Wajahnya juga boleh menjadi kemerah-merahan apabila berlaku perubahan emosi, namun perkara itu mungkin memakan masa yang agak panjang,’’ kata pakar bedah Jiang Chenhong.
Jelas Chenhong, pihaknya menyalurkan darah dari kaki ke dada Jianmei, sebelum menggunakan belon berisi air bagi mengembangkan kulitnya di bahagian dada untuk digunakan dalam membina wajah baharu.
“Pada mulanya kami mengambil saluran darah dari paha kemudian ditanamkan di dalam dadanya.
“Kami memasukkan pengembang kulit di mana darah berkenaan ditanam, ini bagi menghasilkan kulit yang cukup untuk digunakan bagi membentuk muka baharu ,’’ ujar Chenhong.
Kumpulan pakar bedah berkenaan sebelum ini pernah melakukan pembedahan pemindahan seumpama itu beberapa bulan lalu, termasuk mencipta hidung baharu dengan menggunakan kulit dahi. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131101/lu_07/Gadis-dapat-wajah-baharu#ixzz2jQiTjup5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Terjun guna sut terbang



FLOREZ meluncur di udara dengan menggunakan sut terjun khas itu.


BOGOTA, Colombia - Seorang penerjun profesional, Jhonathan Florez terjun dari sebuah helikopter dengan menggunakan sut terbang di sini kelmarin.
Dia terjun bersama seorang jurukamera dari helikopter tersebut pada ketinggian lebih 4,000 meter.
Florez terbang mencapai kelajuan lebih 160 kilometer sejam ketika meluncur di udara di kawasan yang pergunungan Monserrate.
"Ada ketikanya, saya terfikir betapa cantiknya kawasan pergunungan itu," katanya yang merupakan warga Colombia.
Sut terbang khas itu telah diperkenalkan untuk sukan terjun dari udara sejak tahun 1990-an.
Mereka yang memakai sut tersebut akan kelihatan seolah-olah mempunyai sayap semasa meluncur di udara sebelum mendarat dengan menggunakan payung terjun.
Sejumlah orang menyaksikan aksi Florez dan rakannya itu dalam satu demonstrasi terjun dengan menggunakan sut tersebut.
Florez pernah memenangi Kejohanan Dunia Sut Terbang di China pada bulan lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2jQanyMvl 
Hakcipta terpelihara 

2,000 pengantin lelaki hunus pedang



SEBAHAGIAN pengantin lelaki menghunus pedang yang juga adat perkahwinan tradisional di Yemen.


SANAA - Seramai 2,000 orang pengantin lelaki membawa sebilah pedang tetapi tidak isteri mereka dalam majlis perkahwinan besar-besaran yang diadakan di sebuah dewan di sini kelmarin.
Majlis perkahwinan dengan penuh adat tradisional Yemen itu dianjurkan Yayasan Pembangunan Anak Yatim dengan mendapat bantuan kewangan daripada bekas Amir Qatar, Sheikh Hamad Khalifa Thani.
Yayasan itu bertujuan membantu pasangan muda yang mengalami masalah kewangan akibat kos hidup tinggi untuk melangsungkan perkahwinan.
Pengantin-pengantin lelaki yang memakai pakaian tradisional itu akan berjumpa dengan pasangan mereka selepas majlis tersebut berlangsung.
Beberapa lelaki turut menari dalam majlis tersebut.
Majlis perkahwinan itu dijangka disenaraikan dalam buku Guinness World Records bagi kategori perkahwinan melibatkan bilangan pengantin lelaki paling ramai. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2jQaL2mVu 
Hakcipta terpelihara