Pages

Tuesday, October 11, 2011

Kereta tertua di dunia dilelong AS$4.6 juta





2011/10/11

WASHINGTON: Kereta yang dianggap tertua di dunia yang menggunakan kuasa stim dan masih boleh digunakan, dijual dengan harga AS$4.6 juta (RM14.2 juta) dalam satu lelongan.

Kereta buatan De Dion-Bouton et Trepardoux Dos-a-Dos Steam Runabout atau lebih dikenali sebagai “La Marquise,” yang dikeluarkan di Perancis pada 1884, dijual dua kali ganda daripada harga anggarannya dalam lelongan di Hershey, Pennsylvania, Jumaat lalu.
Syarikat lelongan, RM Auctions memaklumkan kereta yang mempunyai kelajuan maksimum 61 kilometer sejam dan sejak 127 tahun usianya kereta itu hanya mempunyai empat pemilik saja.
Pemilik terakhirnya ialah seorang pengumpul antik, dari Texas, John O’Quinn yang membeli kereta klasik yang pertama kali menyertai satu perlumbaan kereta pada 1887 dengan harga AS$3.5 juta pada 2007.

Kereta itu juga pernah menyertai perlumbaan antara London ke Brighton.

Bagaimanapun, pemilik terbaru kereta itu tidak didedahkan kali ini.

Media Amerika bagaimanapun mendakwa ada sebuah lagi kereta yang kini terletak dalam Muzium Kereta Nasional Britain, yang turut didakwa sebagak kereta tertua di dunia.
Kereta buatan British itu dikeluarkan pada 1875 oleh Robert Neville Grenville yang hanya mempunyai tiga roda. - AFP 

Gaddafi bersembunyi dekat pergunungan: NTC


 


2011/10/11

TRIPOLI: Muammar Gaddafi mungkin bersembunyi di kawasan pedalaman dekat pergunungan bagi menyukarkan usaha menjejaki beliau, kata wakil Majlis Peralihan Kebangsaan Libya. 

Mousa Alkoni, wakil NTC bagi puak nomad Tuareg, berkata bekas pemimpin Libya itu mungkin bergerak secara "prisma" di kawasan berpadang pasir di selatan negara itu, Algeria dan Niger.
“Kami bimbang beliau mungkin berlindung di kawasan ini kerana ia dilindungi pergunungan... Malah mereka boleh membina bandar kecil atau negara kecil di kawasan ini tanpa disedari sesiapa pun," katanya.
Gaddafi melarikan diri selepas tentera NTC memasuki Tripoli pada 23 Ogos lalu. - Reuters 

Kampung kaya bina hotel





2011/10/11

HOTEL Longxi yang menjadi kebanggaan petani.
HOTEL Longxi yang menjadi kebanggaan petani.
Huaxi lancar penginapan mewah berharga RM1.4b

BEIJING: Kampung terkaya di China, Huaxi, melancarkan secara rasminya salah sebuah bangunan tertinggi di negara itu semalam, melambangkan simbol perkembangan ekonomi pesat kuasa Asia berkenaan.
Bangunan itu adalah Hotel Antarabangsa Longxi setinggi 328 meter dan menelan belanja AS$470 juta (RM1.4 bilion), kata pegawai di Huaxi.
Kejayaan kampung itu menjadi fokus kerajaan mengkaji pengalaman Huaxi. Hotel itu dijangka menempatkan ahli perniagaan yang terbabit dalam industri di kampung itu, pegawai yang mengkaji model Huaxi selain pelancong. - Pegawai, Kumpulan Huaxi
Ada kira-kira 10 bangunan lebih tinggi di China termasuk Pusat Kewangan Dunia Shanghai, ketiga tertinggi di dunia tetapi semuanya di bandar besar.

Huaxi masih dianggap sebagai kampung di wilayah Jiangsu di timur China di sebalik pembangunannya yang pesat dengan meliputi kampung berhampiran dan penduduknya bertambah kepada 50,000 daripada cuma 1,600 pada 1960-an.

Huaxi dihuni komuniti petani yang miskin satu ketika dulu tetapi tidak lagi selepas melalui pembaharuan ekonomi China sejak 30 tahun lalu.

Digelar ‘kampung model sosialis’, kemakmuran Huaxi berdasarkan aset kolektif isi rumah berdaftar yang mengumpul wang dalam industri seperti besi dan tekstil. 
Sebahagian besar pendapatan isi rumah dilabur semula dalam projek seterusnya membolehkan perolehan diraih tanpa henti.

Menurut akhbar China Daily, 200 isi rumahnya adalah pemegang saham bangunan 74 tingkat, hotel lima bintang, setiap satunya memberi modal 10 juta yuan (RM4.6 juta) untuk projek itu.

“Bangunan ini adalah simbol usaha sama,” lapor akhbar itu yang memetik Timbalan Setiausaha Parti Komunis Huaxi, Zhou Li, sebagai berkata.

Bagaimanapun, ada pengkritik mengecamnya kerana berpendapat ia menjadi simbol kapitalis di sebuah negara komunis.

Kumpulan Huaxi, perbadanan yang menguruskan perniagaan di kampung itu, memiliki 2,000 pemegang saham yang semuanya penduduk berdaftar. penduduk tidak berdaftar tidak dibenarkan menjadi pemegang saham, walaupun bekerja di situ.

Menurut pegawai, kejayaan kampung itu menjadi fokus kerajaan mengkaji pengalaman Huaxi. Hotel berkenaan dijangka menempatkan ahli perniagaan yang terbabit dalam industri di kampung itu, pegawai yang datang untuk mengkaji model Huaxi selain pelancong.

Bangunan berkenaan turut mempunyai restoran berputar, kolam mandi di atas bumbung, pusat beli- belah, teater, spa dan patung lembu jantan dihasilkan daripada satu tan emas di tingkat 60. – AFP 

Mesir haramkan slogan undi berunsur agama





2011/10/11

PADERI Kristian Koptik dan beberapa penduduk memeriksa mayat penunjuk perasaan yang terbunuh selepas bertempur dengan askar dan polis pencegah rusuhan di Kaherah, semalam.
PADERI Kristian Koptik dan beberapa penduduk memeriksa mayat penunjuk perasaan yang terbunuh selepas bertempur dengan askar dan polis pencegah rusuhan di Kaherah, semalam.
KAHERAH: Majlis Tentera yang memerintah Mesir meminda peraturan pilihan raya dengan melarang penggunaan slogan berunsur agama yang dipercayai bertujuan memaksa pertubuhan Ikhwanul Muslimim mengkaji semula penggunaan frasa tradisinya ketika berkempen, iaitu 'Islam adalah penyelesaian.' 

Keputusan itu menyusuli pertempuran antara penduduk Kristian dengan anggota keselamatan menyebabkan 24 maut dan lebih 200 lagi cedera, kekacauan terburuk selepas bekas pemimpin, Hosni Mubarak digulingkan, Februari lalu.
Penduduk Kristian meliputi 10 peratus daripada 80 juta warga negara Mesir, menyalahkan Majlis Tentera kerana terlalu berlembut, walaupun serangan anti-Kristian berlaku beberapa kali sejak Mubarak digulingkan.
Ketika pemerintahan Mubarak, Ikhwanul Muslimin diharamkan, tetapi kini mahu meletakkan calon sebagai ‘bebas’, yang boleh dikenal pasti menerusi poster dengan slogan berkenaan. 

Ramai ahli politik liberal dan rakyat Mesir bimbang dengan peningkatan pengaruh pertubuhan berkenaan sejak kebangkitan rakyat sehingga menyingkirkan Mubarak yang memaksa ia meredakan kebimbangan itu dengan berkata, ia mahukan demokrasi tulen dan tidak akan melaksanakan undang-undang Islam. 

“Kempen pilihan raya berdasarkan penggunaan slogan berunsur agama atau perkauman atau jantina diharamkan,” menurut perintah kuasa majlis tentera yang dikeluarkan Sabtu lalu, menambah sesiapa yang melanggar peraturan itu berdepan hukuman penjara tiga bulan dan denda. 

Jawatankuasa pilihan raya terdahulu berkata, parti Kebebasan dan Keadilan pertubuhan itu tidak boleh menggunakan slogan sedia ada, memaksa sebahagian ahlinya mendesak ia dibenarkan. 
Bagaimanapun, pegawai Ikhwanul Muslimin menerima perintah itu. – Agensi 

Taliban Pakistan mahu damai





2011/10/11

caption image
caption image
Perdana Menteri sedia berunding dengan militan akhiri siri keganasan

ISLAMABAD: Pergerakan Taliban Pakistan, ancaman terbesar negara itu, menyatakan kesediaan mengadakan rundingan damai dengan kerajaan, lapor akhbar di sini, semalam.
Kumpulan itu memberi reaksi kepada laporan selepas pertemuan semua parti yang dihadiri pegawai atasan tentera dan perisikan bulan lalu bahawa pegawai kerajaan mahu berdamai dengan militan untuk menamatkan keganasan.
Majlis syura akan menentukan sama ada dan bila kami boleh mengadakan rundingan kerajaan dengan tentera. - Yusuf Raza Gilani, Perdana Menteri Pakistan
Perdana Menteri Pakistan, Yusuf Raza Gilani, dipetik akhbar sebagai berkata bahawa kerajaan juga sedia mengadakan rundingan damai.

“Majlis syura akan menentukan sama ada dan bila kami boleh mengadakan rundingan kerajaan dengan tentera mengenainya. Namun saya berasa kami mahu membabitkan negara yang kami percaya, ia berada di dunia Arab. Arab Saudi,” lapor akhbar Express Tribune yang memetik Timbalan Ketua Taliban Pakistan, Maulvi Wali-ur-Rehman Mehsud, sebagai berkata.

Tehrik-e-Taliban Pakistan atau Pergerakan Taliban Pakistan (TTP), yang juga mempunyai hubungan rapat dengan al-Qaeda, ditubuhkan pada Disember 2007 sebagai sekutu kumpulan militan Pakistan yang melancarkan serangan di negara itu.

Ia dipersalahkan ke atas banyak serangan bom bunuh diri di seluruh Pakistan. Beberapa tindakan ketenteraan ke atas kubu kuat kumpulan itu di sempadan Afghanistan gagal melemahkan kempennya. 
Beribu-ribu askar Pakistan, polis dan penduduk awam maut dalam konflik itu.

“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang tawaran damai secara langsung. Majlis syura kami akan duduk berbincang jika ada yang cuba menemui kami. Itu cara kami beroperasi. Tiada satu badan pusat yang membuat keputusan penting,” lapor akhbar berkenaan memetik Mehsud berkata dalam laman webnya. 

Sebarang perubahan ke arah perpaduan dengan TTP pasti membangkitkan kemarahan Washington. Tahun lalu, Amerika Syarikat memasukkan TTP ke dalam senarai pertubuhan pengganas asing dan menawarkan ganjaran bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan dua pemimpinnya.

Hubungan Islamabad dan Washington tegang berikutan tindakan Amerika melancarkan serangan sehingga mengorbankan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, Mei lalu, manakala Washington menuduh Islamabad menyokong militan yang menyerang tenteranya di Afghanistan.

TTP turut bercita-cita melancarkan serangan ke atas sasaran Barat di luar negara. Kumpulan berkenaan mendakwa bertanggungjawab atas serangan bom di Times Square di New York yang gagal tahun lalu dan dilihat sebagai ancaman secara langsung kepada Amerika.

Pendakwa Amerika menuduh pemimpin TTP, Hakimullah Mehsud, atas rancangan membunuh tujuh kakitangan Agensi Perisikan Pusat (CIA) di pangkalan Amerika di Afghanistan pada 2009. – Reuters 

6 gunung berapi diawasi

INDONESIA: Walaupun terdapat tanda-tanda letusan di enam gunung berapi di seluruh negara, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata, penduduk tidak perlu dipindahkan sekarang.
Jurucakap Agensi, Sutopo Purwo Nugroho berkata semalam, kesemua gunung berapi itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Gunung Tambora di barat Nusa Tenggara, Anak Ranakan di timur Nusa Tenggara. Gunung Papandayan di barat Jawa, Karangetang dan Lokon di utara Sulawesi dan Anak Krakatau di Selat Sunda.

“Kesemua gunung berapi ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap tiga,” katanya.
“Ini bermakna sekitar gunung berapi ini ada menunjukkan tanda-tanda akan meletus,” katanya kepada Jakarta Post, semalam.

Iran tuntut janji Russia

TEHERAN: Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi berkata, Russia mesti memenuhi kontraknya dan menghantar sistem peluru berpandu S-300 ke Iran memandangkan ia tidak termasuk dalam sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ditanya mengenai kegagalan Russia menghantar peluru berpandu itu oleh seorang anggota Parlimen semalam, Ali berkata, usaha dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu menerusi saluran diplomatik.
“Kementerian Luar mengambil langkah politik dan perundangan serentak,” kata menteri itu.

Merujuk kepada dikri Presiden Russia, Dmitry Medvedev yang menghalang penghantaran senjata terbabit, Ali berkata, antara langkah yang diambil kementeriannya ialah memanggil duta Russia dan mendesak diplomat Iran di Moscow supaya membincangkan isu itu dengan rakan sejawatan Russia mereka.


“Isu ini akan disusuli sehingga keputusan dicapai. Kementerian Luar juga mengambil langkah untuk menggunakan Mahkamah Timbangtara Antarabangsa di Paris,” katanya.

Ali berkata, pihak berkuasa Russia cuba mengubah pendirian Iran supaya tidak mengambil tindakan undang-undang.tetapi kementeriannya tetap akan meneruskan usaha untuk menyelesaikan isu itu dengan bantuan agensi berkaitan.

“Pihak berkuasa Russia beranggapan dengan tidak menghantar peluru berpandu itu ke Iran selepas Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat akan menyelesaikan masalah berkait dengan pelindung peluru berpandu Amerika di samping meluaskan perdagangan dan hubungan nuklear dengan Washington,” katanya. - Agensi

17 tentera NTC terbunuh di Bani Walid

TRIPOLI: Tujuh belas tentera rejim baru Libya terbunuh dan 50 cedera dalam pertempuran dengan penyokong Muammar Gaddafi di Bani Walid.
“Tujuh belas pejuang kami terbunuh dalam pertempuran sengit semalam dan kami terpaksa berundur dari lapangan terbang yang dikuasai musuh,” kata Salem Gheith, Ketua Markas Pemerintah Tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).

Jurucakap tentera rejim baru Libya juga berkata, tentera NTC turut berundur dari kedudukan mereka di bandar padang pasir itu yang terletak 170 kilometer ke tenggara Tripoli, yang mereka sifatkan sebagai pengunduran taktikal.

Ketua pemerintah tentera NTC di wilayah berkenaan, Yunes Mussa mengumumkan kejayaan menawan lapangan terbang itu kelmarin sebelum penyokong Gaddafi melancarkan serangan besar-besaran untuk menawannya semula. - AP

Menara Big Ben makin condong


KECONDONGAN menara terkenal di London ini boleh dilihat dengan mata kasar.
KECONDONGAN menara terkenal di London ini boleh dilihat dengan mata kasar.

LONDON: Kebimbangan mengenai kestabilan menara Big Ben semakin meningkat apabila ia semakin condong.
Puncak menara jam itu condong setengah meter daripada sudut tegak, menurut ahli kajiukur dan kecondongan itu semakin teruk setiap tahun.

Menara di Westminster itu yang menempatkan loceng gergasi yang dikenali sebagai Big Ben semakin mendap ke dalam tebing Sungai Thames akibat kerja menggali bawah tanah.

Kerja menggali di bawah menara itu termasuk membina stesen rangkaian kereta api Jubilee, medan parkir dan pembetungan.

Kecondongannya sebanyak 0.26 darjah dikatakan boleh dilihat dengan mata kasar dan jika tidak dibaiki ia boleh menyebabkan menara itu tumbang.

Namun, pada kadar sekarang, ia mungkin mengambil masa sehingga 4,000 tahun sebelum menara itu condong sama seperti Menara Condong Pisa yang sengit sebanyak empat darjah dan kira-kira empat meter daripada sudut tegak.


Profesor di Kolej Imperial, John Burland berkata: “Saya tidak fikir kita perlu melakukan sesuatu dalam masa beberapa tahun ini.” Jika menara Big Ben itu tumbang, ia akan menghempap pejabat anggota Parlimen yang terletak berhampiran. Ketika ini, menara jam itu terbenam lebih cepat di utara bangunan setinggi 105 meter itu. - DM

Muka matador robek ditanduk lembu


PADILLA yang terjatuh ditanduk lembu dalam gelanggang di Zaragoza, Sepanyol.
PADILLA yang terjatuh ditanduk lembu dalam gelanggang di Zaragoza, Sepanyol.

PADILLA.
PADILLA.

ZARAGOZA: Gambar menunjukkan seorang matador ditanduk seekor lembu jantan menyebabkan dia mengalami kecederaan teruk pada mukanya.
Tanduk haiwan seberat 679 kilogram itu menembusi muka Juan Jose Padilla, dari rahang bawah hingga ke lesung matanya dan timbul di sebelah biji matanya yang tersembul.

Lebih 20,000 penonton melihat kejadian ngeri itu sambil lembu berkenaan mengangkat naik Padilla dengan tanduknya yang tersangkut pada muka matador itu.

Kejadian berlaku selepas Padilla tergelincir ketika melakukan persembahan di gelanggang di Zaragoza, Sepanyol.

Dia dikejarkan ke hospital dengan mukanya berlumuran darah sambil dia meraung: “Saya tidak boleh melihat. Saya tidak nampak apa-apa.” Padilla, 39, menjalani pembedahan selama lima jam selepas cedera teruk pada mata, tulang, otot dan kulit muka.

Doktor, Simon Sanz dan Nadal Cristobal berkata, pakar bedah menggunakan kepingan titanium dan jejaring untuk membentuk semula muka matador itu.


Pembantu gelanggang, Vincente Yesteras berkata, Padilla bernasib baik kerana tanduk lembu itu tidak menembusi otaknya. - DM

Restoran cekik darah pelanggan



ASHRAF menunjukkan resit bayaran minuman dan makanan yang didakwa mahal di Bukit Tunku, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pelanggan di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini terkejut apabila dia mendakwa dikenakan bayaran sebanyak RM17.50 untuk segelas teh o ais dan sepinggan nasi berlaukkan ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal.
Menurut pelanggan itu yang cuma ingin dikenali sebagai Ashraf, dia singgah ke restoran tersebut untuk makan tengah hari semalam.
“Saya pertama kali pergi ke kedai makanan itu dan pada saya ia hanya kedai biasa sahaja cuma bahagian dalam mempunyai ruang khusus untuk pendingin hawa.
“Selepas ambil makanan, saya makan di bahagian luar restoran ini. Kemudian semasa saya ingin membayar makanan, saya diberitahu kena bayar RM4 untuk segelas teh o ais dan RM13.50 untuk makanan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Ashraf yang merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat pengurusan bangunan memberitahu, restoran itu tidak kelihatan seperti sebuah restoran bertaraf lima bintang atau terdapat di hotel.
“Walaupun saya pernah makan di tempat-tempat yang eksklusif dan membayar pada harga yang tinggi untuk perkhidmatan yang disediakan tetapi saya tidak rasa restoran ini bertaraf eksklusif dan pada pandangan saya biasa sahaja dan tiada yang istimewa,” ujarnya.
Harga segelas teh o ais di kebanyakan restoran ialah RM1 hingga RM1.70 manakala sepinggan nasi ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal pula RM5 hingga RM8.

Gula-gula berbentuk pokok ganja




SEORANG anggota majlis perbandaran Buffalo menunjukkan bungkusan gula-gula menyerupai pokok ganja yang dijual pada Khamis lalu.


BUFFALO, Amerika Syarikat (AS) - Gula-gula berbentuk pokok ganja yang dijual secara bebas di beberapa pasar raya mengejutkan aktivis antidadah dan pemimpin bandar itu walaupun ia dikatakan tidak memudaratkan kanak-kanak.
Gula-gula Pothead Ring Pots dan Pothead Lollipops diedarkan ke kedai-kedai oleh pembekal terkenal syarikat Kalan LP dari Philadelphia.
Presiden syarikat itu, Andrew Kalan berkata, gula-gula tersebut berada di pasaran sejak enam hingga sembilan bulan lalu di 1,000 kedai di seluruh negeri New York turut mempromosi supaya ganja dibenarkan di sisi undang-undang.
Namun, seorang ahli majlis perbandaran, Darius Pridgen berkata, membenarkan sebuah kedai berlesen menjual gula-gula itu adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.- Agensi

Pertandingan gusti suri rumah




CATRINA terbaring selepas dipijak oleh seorang pengusti rumah tanga, Chispita dalam pertandingan gusti di bandar raya Mexico kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Pertandingan yang melibatkan pertarungan antara suri rumah tangga sebagai ahli gusti jalanan menarik minat ramai penduduk Mexico.
Dikenali sebagai gusti lucha libre, golongan suri rumah yang menjadi ahli gusti itu akan tampil di gelanggang dengan memakai topeng untuk menyembunyikan identiti mereka daripada diketahui oleh peminat.
Membawa watak fiksyen di gelanggang, golongan suri rumah itu merupakan ahli gusti separuh masa.
Seorang ahli gusti lucha libre yang dikenali sebagai Catrina, 56, sudah 26 tahun menyertai pertandingan gusti.
Wanita berstatus nenek itu mempelajari pergerakan gusti semasa mempelajari seni mempertahankan diri bagi mengelak daripada menjadi mangsa bekas suaminya yang gemar memukulnya.
Seorang lagi pengusti lucha libre, Estrella Dorada yang telah bersuami dan mempunyai empat orang anak lelaki pula sudah bergusti selama 18 tahun.
Pertandingan itu menampilkan beberapa bintang lain yang popular dalam kalangan peminta gusti seperti Chispita dan La Llorona. - Reuters

Mak nyah bakal jadi wakil rakyat



ANNA GRODZKA


WARSAW - Calon parti Gerakan Palikot, Anna Grodzka semakin hampir untuk dipilih sebagai wakil rakyat pertama daripada kalangan mak nyah selepas partinya memperoleh tempat ketiga dalam keputusan keseluruhan pilihan raya Parlimen Poland kelmarin.
Dilahirkan sebagai lelaki, Grodzka yang kini berusia 57 tahun selesai menjalani pembedahan penukaran jantina pada tahun lalu dengan bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Trans-Fuzja yang memberi tumpuan kepada perubahan gender.
Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Grodzka berkata, dia teruja dengan prestasi memberangsangkan yang dipamerkan oleh partinya dalam pilihan raya berkenaan.
"Buat masa ini, saya tidak pasti sama ada saya akan terpilih tetapi saya gembira melihat keputusan yang diperoleh Gerakan Palikot," katanya.
Grodzka sebelum ini merupakan calon parti berkenaan di bandar Krakow yang merupakan bandar kelahiran bekas ketua mazhab Kristian Roman Katholik, mendiang Pope John Paul II.
"Jika saya dipilih sebagai wakil rakyat di Krakow, saya akan menjadi wakil rakyat pertama daripada kalangan mak nyah bukan sahaja di Poland tetapi di seluruh dunia," ujar Grodzka.
"Saya akan mengetengahkan rang undang-undang berhubung pertukaran gender di Parlimen sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat," tambahnya. - AFP

Pelajar nafi pencipta asal logo penghormatan Steve Jobs




Pelajar rekaan di Hong Kong, Jonathan Mak bergambar dengan logo penghormatan pengasas syarikat Apple, Steve Jobs.


HONG KONG - Seorang pelajar seni reka di Sekolah Rekaan Universiti Politeknik Hong Kong, Jonathan Mak semalam menyatakan logo penghormatan pengasas syarikat komputer Apple, Steve Jobs bukan ciptaan aslinya.
Menurutnya, dia bukan yang pertama mereka logo tersebut yang menampilkan buah epal dan mempunyai bayangan bentuk sisi muka Jobs.
Rekaan Mak yang berusia 19 tahun itu menjadi popular di alam siber ekoran kematian Jobs.
Ia menjadi popular selepas disiarkan oleh Mak pada Khamis lalu selepas Jobs meninggal dunia.
Rekaan itu mendapat ribuan komen dengan topi dan baju T dijual di laman lelongan e-Bay memaparkan ciptaannya.
Logo tersebut juga digunakan oleh pelakon Hollywood, Ashton Kutcher di laman profail Twitternya.
Mak membuat komen tersebut selepas terdapat komen di laman Twitter bahawa seorang pereka yang berada di United Kingdom (UK) dikenali sebagai Raid71 sebenarnya telah mencipta logo tersebut pada Mei lalu.
Rekaan pereka UK itu itu turut meletakkan bayang Jobs tetapi dimensinya tidak sama seperti ciptaan Mak.
"Saya lebih gembira untuk memberitahu bahawa terdapat seseorang yang membuatnya sebelum saya," kata Mak.
Jobs yang mencipta revolusi dalam penciptaan komunikasi menerusi pengeluaran telefon bimbit iPhone dan gajet iPod meninggal dunia pada Rabu lalu semasa berumur 56 tahun. - Reuters

Ramalan tarikh kematian sendiri tepat



LAMAN Twitter Mikey Welsh yangmeramalkan kematiannya.


CHICAGO, Amerika Syarikat (AS) - Ramalan bekas pemain gitar bes kumpulan rock Weezer, Mikey Welsh bahawa dia bakal menemui ajal pada 9 Oktober lalu menjadi kenyataan apabila dia itu ditemui mati di bilik hotel penginapannya kelmarin, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Welsh meninggal dunia dipercayai kerana mengambil dadah secara berlebihan pada usia 40 tahun. Dia menginap di hotel berkenaan di sini kerana mahu menonton persembahan Weezer.
Selebriti itu meramalkan dengan tepat lokasi dan masa kematiannya di laman perkongsian sosial, Twitter pada 26 September lalu.
"Saya bermimpi saya mati di Chicago pada hujung minggu depan kerana diserang sakit jantung semasa tidur. Saya perlu menulis wasiat saya sekarang," kata Welsh dalam akaun Twitter miliknya.
Kemudian dia berkata: "Pembetulan, saya akan mati pada hujung minggu satu lagi."
Selain ramalan tepat itu, pemuzik berkenaan turut membuat beberapa ramalan berhubung peristiwa yang akan berlaku dalam akaun Facebooknya. - Agensi

Banjir ragut ratusan nyawa di Asia Tenggara



SEJUMLAH orang menggunakan pelampong dan perahu di sebuah kawasan banjir di Ayutthaya, Thailand semalam.


BANGKOK - Banjir besar telah menyebabkan 500 orang mati di Thailand, Kemboja dan Vietnam, kata beberapa pegawai semalam.
Di Thailand, angka kematian meningkat kepada 269 orang manakala ribuan askar melakukan operasi bantuan di kawasan yang teruk terjejas.
Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra berkata, situasi di negaranya berada dalam kawalan.
Usaha-usaha sedang dilakukan bagi menghalang banjir melimpah di kawasan rendah di Bangkok yang menjadi tempat tinggal 12 juta orang.
Beg-beg pasir diletakkan di sepanjang Sungai Chao Phraya di sini.
"Kami yakin, Bangkok masih berada dalam kawalan. Situasi kini adalah normal," kata seorang pegawai di Pentadbiran Metropolitan Bangkok.
Di Kemboja, angka kematian meningkat kepada 207 orang termasuk 83 kanak-kanak, kata seorang pegawai bencana.
Seramai 24 kematian dilaporkan di Vietnam akibat banjir di Delta Mekong.
Sejumlah besar tanaman padi musnah kerana banjir. - AFP

Makin ramai golongan kaya Britain mahu berhijrah



LONDON 10 Okt. - Rusuhan di England, baru-baru ini mengakibatkan bilangan orang kaya negara ini menimbang untuk meninggalkan Britain terus meningkat.
Kaji selidik oleh Lloyds TSB International Wealth yang diterbitkan hari ini mendapati 17 peratus daripada 1,057 responden yang memiliki simpanan dan pelaburan melebihi 250,000 pound (RM1.27 juta) mahu berpindah ke luar negara dalam tempoh dua tahun akan datang.
Angka itu meningkat daripada 14 peratus pada enam bulan lalu.
Sebanyak 61 peratus daripada mereka yang menimbang berpindah ke luar negara menyatakan bahawa jenayah dan kelakuan anti-sosial sebagai alasan utama mereka mengambil keputusan itu.
Jumlah itu meningkat daripada 43 peratus dan mengetengahkan kebimbangan yang timbul ekoran rusuhan di London dan beberapa bandar utama pada Ogos lalu.
''Rusuhan, kenaikan cukai dan peningkatan kos sara hidup menimbulkan suasana suram di kalangan rakyat kaya di United Kingdom.
''Ia akan mengembalikan kebimbangan penyusutan kekayaan daripada ekonomi kita, ketika orang kaya mencari tempat lain untuk tinggal,'' kata Pengarah Urusan Lloyds TSB International Wealth, Nicholas Boys Smith dalam satu kenyataan.
Rusuhan yang menyaksikan sejumlah kematian pada Ogos lalu itu berlaku selepas polis menembak mati suspek penjenayah di London.
Ia mencetuskan keganasan dan kerosakan harta benda di beberapa bandar utama Britain termasuk kedai dibakar dan dipecah masuk. - Reuters

Bedah untuk kelihatan seperti Superman



KISAH Herbert Chavez yang mahu kelihatan seperti Superman juga disiarkan di laman YouTube pada Sabtu lalu.


MANILA - Seorang lelaki Filipina yang obses dengan watak Superman telah menjalani pembedahan dalam usahanya untuk mengubah dirinya menjadi adi wira itu.
Lelaki itu, Herbert Chavez, 35, telah beberapa kali melakukan pembedahan plastik dalam tempoh 16 tahun semata-mata ingin mendapatkan dagu dan hidung seperti Superman, lapor televisyen ABS-CBN.
Dia juga melakukan suntikan silikon di bibir dan implan bahagian paha untuk kelihatan lebih berotot, kata laporan tersebut.
Akuan Facebook miliknya memaparkan puluhan gambar dan kapsyen menerangkan mengapa dia melakukan pembedahan plastik untuk menjadi Man Of Steel atau Superman.
"Saya bercadang untuk kelihatan seperti Superman sejak kecil lagi. Saya mahu menjadinya dan kelihatan seperti Superman akan membuatkan saya gembira dan berpuas hati asalkan saya tidak mengganggu sesiapa," katanya menerusi Facebook semalam. - AFP

Homs bertukar jadi zon perang di Syria



NICOSIA 10 Okt. - Sekurang-kurangnya 14 penduduk dan 17 anggota keselamatan terbunuh dalam pertempuran yang berlaku di seluruh Syria, dengan bandar Homs bertukar menjadi zon peperangan, semalam.
Aktivis kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Britain berkata, tujuh orang awam ditembak mati pasukan keselamatan di sebuah bandar di tengah Syria, manakala tujuh lagi tembak mati di pekan-pekan lain.
Katanya, 17 anggota keselamatan turut terbunuh dalam pertempuran dengan tentera yang memberontak kerana enggan menerima arahan untuk menembak penunjuk perasaan antirejim.
"Ia kelihatan seperti peperangan di Homs, dengan letupan dan bunyi bom kedengaran di seluruh bandar itu, begitu juga bunyi tembakan mesingan,"
"Banyak rumah dimusnahkan, sembilan orang terbunuh di Homs, manakala berpuluh-puluh lagi cedera. Pasukan keselamatan dan militan prorejim menghalang ambulans membawa mangsa yang cedera ke hospital," kata Jawatankuasa Koordinator Tempatan yang menganjurkan protes tersebut.
Katanya, tentera rejim 'menyerang Homs sebagai satu lagi usaha terdesak untuk membebaskan penduduk serta menghapuskan revolusi'. - AFP

Ulama gesa Libya amal fahaman Islam sederhana


TRIPOLI 10 Okt. - Seorang ulama terkenal dan berpengaruh di Libya, Ali al-Sallabi menggesa ahli politik di negara ini mengadaptasi dan melaksanakan fahaman Islam sederhana.
Beliau yang pulang semula ke Libya selepas bekas pemimpin negara ini, Muammar Gaddafi digulingkan berkata, semua pihak perlu faham Islam bukan sahaja mengenai hukuman.
''Islam merangkumi semua perkara termasuk politik, Sebelum ini, kita tidak dapat melaksanakan prinsip Islam. Saya seorang ulama. Saya juga rakyat Libya. Saya mempunyai hak dalam isu-isu politik.
''Islam bukan sahaja mengenai hukuman, potong tangan dan kepala dengan pedang,'' katanya yang tidak mempunyai peranan rasmi tetapi berpengaruh ekoran hubungan rapatnya dengan kerajaan Qatar yang menyokong kuat Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya, semalam.
Sebilangan rakyat Libya mengesyaki Ali menyokong pelaksanaan undang-undang Syariah.
Sejak Tripoli berjaya dirampas oleh NTC pada 20 Ogos lalu, Ali yang dipenjarakan oleh Gaddafi pada 1980-an kerana aktiviti menentang kerajaan, muncul sebagai jurucakap utama kumpulan Islam yang tidak gembira dengan cubaan beberapa pemimpin NTC untuk menghalang kumpulan itu daripada menyertai politik.
Sementara itu, tiga lelaki yang dipenjarakan selama tujuh tahun selepas gagal membunuh Gaddafi gembira bekas pemimpin Libya itu digulingkan.
Abdullah Ahmed al-Shaari, 72, Nasser Abdul Salam al-Tarshani, 46, dan Jamal Saed, 48, merupakan antara 44 lelaki dari timur Libya ditangkap dan dipenjarakan kerana merancang pembunuhan Gaddafi semasa pemimpin itu merasmikan pembukaan pasar raya pada 1981.
''Kami gagal dalam cubaan membunuh Gaddafi tetapi kini gembira dia sudah tiada,'' kata Abdullah yang merupakan seorang eksekutif syarikat minyak sebelum ditahan.
Abdullah yang ditahan bersama beberapa ahli keluarganya termasuk adiknya, Fathi yang dikenakan hukuman mati kerana mendalangi rancangan bunuh itu, berkata, dia bersama mereka yang ditahan diseksa dan dipukul.
'' Mereka memukul belakang dan kaki saya menggunakan wayar elektrik dan kayu selama 15 hari. Saya juga digantung dengan kepala ke bawah,'' ujarnya. - Reuters/AFP

Polis tembak penunjuk perasaan




Polis Indonesia melepaskan tembakan ke udara semasa menghalang kemaraan penunjuk perasaan yang terdiri daripada pekerja lombong Freeport-McMoRan Copper & Gold Inc's Grasberg di Timika, Papua, semalam. - REUTERS


TIMIKA, Indonesia 10 Okt. - Polis menembak mati seorang penunjuk perasaan dalam pertempuran dengan lebih 1,000 pekerja lombong Freeport McMoran yang melancarkan mogok di wilayah Papua, hari ini.
Pegawai syarikat di lombong milik Amerika Syarikat itu, Virgo Solossa berkata, seorang penunjuk perasaan mati akibat tembakan yang dilepaskan oleh polis.
Sekurang-kurangnya enam anggota polis turut cedera dalam keganasan di kompleks Grasberg yang merupakan antara lombong emas dan tembaga terbesar di dunia itu, menurut jurucakap polis Papua, Wachyono.
Pertempuran berlaku apabila polis cuba menghalang lebih 1,000 pekerja yang mengadakan mogok sejak 15 September lalu daripada memasuki kompleks lombong tersebut.
"Setakat ini, enam anggota polis turut cedera akibat terkena batu yang dilempar kumpulan pekerja itu dan mereka telah dibawa ke hospital.
"Polis pada mulanya melepaskan tembakan amaran ke udara selepas dibaling dengan batu, tetapi tidak diendahkan," kata Wachyono.
Pekerja lombong yang kebanyakan penduduk pribumi mengadakan mogok bagi menuntut kenaikan gaji. - AFP