Pages

Tuesday, May 24, 2011

Thai tangkap penduduk Islam Kemboja


BANGKOK 23 Mei - Pihak berkuasa Thailand menangkap 113 penduduk Islam Kemboja di pintu masuk sempadan di pasar Rong Klua ketika mereka dalam perjalanan menuju ke selatan Thai sebelum memasuki Malaysia.

Pihak berkuasa khuatir mereka boleh menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara ini, menurut Thai News Agency hari ini.
Kumpulan Melayu Champa yang termasuk kanak-kanak itu membawa beg dan pasport sah, serta mendakwa mereka dalam perjalanan untuk menziarahi saudara mara di kawasan sempadan Malaysia, kata pihak berkuasa Thai.
Dalam operasi bersama yang dijalankan oleh renjer separa tentera Pasukan Petugas Burapha, polis imigresen wilayah Sa Kaeo dan polis dari balai polis Khlong Luek, ubat-ubatan, monosodium glutamate, beg galas dan khemah turut dirampas.
Pihak berkuasa mengesyaki barang-barang itu hendak dibekalkan kepada puak pemisah di selatan Thai.
Bagaimanapun rakyat Kemboja itu dibenarkan meneruskan perjalanan mereka selepas polis mengumpulkan maklumat peribadi dan mengambil gambar mereka. - Bernama
Di pekan Poipet, wilayah Banteay Meanchey di Kemboja, dilaporkan bahawa sebilangan orang Islam Kemboja berhimpun di Malaysia dan mereka yang melakukan perjalanan mengikut Thailand itu mahu menyertai perhimpunan itu.
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Polis Maghribi pukul penunjuk perasaan




POLIS Maghribi membelasah penunjuk perasaan di Casablanca, kelmarin. – REUTERS


RABAT 23 Mei – Berpuluh-puluh orang cedera dan beberapa lagi ditahan selepas polis Magribi bertindak memukul penunjuk perasaan yang melanggar larangan mengadakan protes di negara ini, semalam.
Keganasan itu menjadi isyarat bahawa kerajaan mengambil tindakan keras ke atas pergerakan protes yang semakin berani selepas ia tercetus Februari lalu, tetapi masih belum mendapat sokongan awam.
Beberapa penunjuk perasaan turut semakin lantang mengkritik Raja Mohammed, malangnya protes itu masih gagal untuk menghimpunkan sejumlah orang untuk menyamai kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab lain.
Kebanyakan protes tertumpu di Makhzen, kediaman Diraja Magribi yang terletak di Rabat dengan penunjuk perasaan berteriak ‘Protes adalah sah di sisi undang-undang, kenapa Makhzen takut’ dan ‘Berambus Makhzen, tumbang dengan pemerintahan kuku besi kamu’.
Seorang koresponden Reuters melihat tujuh polis antirusuhan menghampiri seorang lelaki dan memukulnya berulang kali di bahagian kepala dan dan badannya berdarah.
“Kami diarahkan ke tempat ini untuk menguatkuasakan peraturan kerana berlaku protes haram,” kata pegawai polis kanan di tempat kejadian.
Di bandar Fes, bandar kedua terbesar di Magribi, tiga penunjuk perasaan berada dalam keadaan kritikal, menurut seorang anggota protes, Fathallah al-Hamdani. Kecederaan turut berlaku di bandar Tangier.
Penunjuk perasaan dilaporkan mahu berkampung di depan bangunan Parlimen di Rabat, tetapi pihak berkuasa berusaha gigih untuk memastikan peristiwa di Dataran Tahrir, Mesir tidak berulang.
Di bandar-bandar utama lain, polis yang bersenjatakan belantan dan perisai meleraikan penunjuk perasaan yang berhimpun di jalan-jalan.
Beberapa aktivis hak asasi manusia turut dipukul di depan ibu pejabat polis ketika cuba menuntut supaya 13 anggota kumpulan hak asasi AMDH dibebaskan, menurut seorang anggota kumpulan itu, Khadija Riyadi. – REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Gunung berapi Iceland meletus lagi


REYKJAVIK, Iceland 23 Mei - Letusan gunung berapi paling aktif di Iceland menyebabkan lapangan terbang utama pulau itu ditutup semalam sementara negara Eropah lain berjaga-jaga dengan kesan gumpalan debu dari letusan itu kepada laluan udara mereka.

Pakar menjangkakan kemungkinan yang kecil sahaja laluan udara akan ditutup sehingga enam hari seperti tahun lalu yang turut melibatkan penerbangan rentas Atlantik, walaupun sistem penerbangan telah diberi amaran akan berlaku gumpalan abu.
Setakat ini, kawasan bandar dan perkampungan di selatan dan timur gunung berapi Grimsvotn yang paling teruk dilanda letusan gunung berapi itu.
Keadaan di waktu siang kelihatan seperti waktu malam apabila asap abu yang tebal menyeliputi kawasan itu.
Awan debu tersebut turut mula bergerak ke ibu negeri Reykjavik lewat petang semalam dan pihak berkuasa penerbangan awam berkata kemungkinan untuk membuka kembali lapangan terbang antarabangsa yang utama hari ini bukan satu tindakan yang baik.
Pusat-pusat kawalan trafik udara Eropah memberi amaran di dalam laman web bahawa gumpalan debu itu kemungkinan akan tersebar ke arah selatan.
"Awan debu dijangka akan tiba di utara Scotland pada hari Selasa, 24 Mei. Jika pengeluaran gunung berapi terus berlaku dengan intensiti yang sama, awan debu itu mungkin akan tiba ke laluan udara barat Perancis dan utara Sepanyol pada hari Khamis, 26 Mei," kata Eurocontrol di dalam buletin laman web tersebut.
Agensi itu yang menubuhkan sebuah unit krisis selepas penyelarasan yang teruk pada krisis tahun lalu berkata, tiada penutupan dijangka akan berlalu di luar Iceland pada hari ini atau esok.
Sistem penerbangan yang jauh seperti Australia berkata, mereka akan terus mengawasi keadaan selepas penerbangan dan penghantaran barang terganggu di seluruh dunia tahun lalu dan merugikan industri itu sehingga AS$1.7 billion (RM5.2 bilion).
Pejabat Meteorologi Iceland berkata gumpalan awan debu dari Grimsvotn yang kali terakhir berlaku pada tahun 2004, setinggi 25 kilometer dari puncaknya dan kini ia kelihatan stabil. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Pangkalan tentera udara Pakistan diserang




SEBUAH pesawat terbakar setelah diserang oleh sekumpulan militan Taliban di pangkalan tentera udara Pakistan di Karachi, awal pagi semalam. - AFP


KARACHI 23 Mei - Militan Taliban yang menggunakan senjata api, roket dan bahan letupan menyerang pangkalan tentera udara Pakistan di pusat bandar Karachi semalam, menyebabkan dua pesawat pemantau buatan Amerika Syarikat (AS) musnah dan 12 anggota tentera terbunuh.
Menurut pegawai, serangan yang berlaku tiga minggu selepas tentera elit AS membunuh Osama bin Laden itu berterusan selama 16 jam.
Ia dikatakan tercetus lewat semalam selepas 15 militan menyusup ke kawasan itu pada waktu malam.
Kira-kira 10 orang turut cedera dan anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran yang tercetus di pangkalan PNS Mehran itu, ibu pejabat Tentera Udara Pakistan di bandar pelabuhan Karachi.
Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik berkata, pengganas menyerang pangkalan itu dari tiga kawasan kediaman di bandar yang diduduki 16 juta orang itu, laluan utama untuk menyalurkan bekalan kepada tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan.
"Satu bangunan perniagaan yang digunakan oleh militan untuk melepaskan tembakan masih dikuasai mereka.
"Situasi kini semakin terkawal secara beransur-ansur untuk memastikan keselamatan aset, mengurangkan kematian dan mematahkan serangan militan sepenuhnya," katanya kepada wartawan hari ini.
Rehman berkata, serangan itu bukanlah dilancarkan ke atas tentera, tetapi ke atas Pakistan dan menggesa mereka yang sebelum ini bersimpati kepada Taliban dan al-Qaeda supaya 'menyertai mereka menyelamatkan negara ini'.
Taliban Pakistan yang meningkatkan serangan sejak kematian Osama pada 2 Mei lalu mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.
"Kami sebelum ini telah memberi amaran bahawa selepas kematian syahid Osama, serangan besar-besaran akan dilancarkan," kata jurucakap Taliban, Ehsanullah Ehsan melalui panggilan telefon.
Menurut jurucakap tentera, Komander Salman Ali, empat anggota tentera dan seorang separa tentera terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan militan yang dianggarkan berjumlah 10 hingga 15 orang. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Taliban serang pangkalan tentera laut

KARACHI: Sekurang- kurangnya 10 anggota tentera terbunuh dan 20 cedera apabila anggota Taliban melancarkan serangan terhadap sebuah pangkalan udara tentera laut Pakistan di sini semalam, sebagai membalas dendam ke atas pembunuhan Osama bin Laden.
Dua pesawat pengintip Amerika Syarikat musnah dalam serangan ke atas Pangkalan PNS Mehran itu yang dilancarkan awal pagi semalam.

Menteri Dalam Negeri, Reh- man Malik berkata, tentera berjaya menguasai semula pangkalan berkenaan selepas pertempuran selama 16 jam.

Menurutnya, serangan itu dilakukan oleh enam orang anggota Taliban. Tiga penyerang terbunuh dalam pertempuran sementara mayat keempat ditemui di bawah runtuhan tembok bangunan.

“Dua lagi penyerang dipercayai berjaya melarikan diri,” kata Rehman.


Menurutnya, militan terbabit yang berusia antara 20 dan 25 tahun menggunakan dua tangga untuk memanjat tembok yang mengelilingi pangkalan berkenaan sebelum memotong kawat berduri. Pangkalan berkenaan adalah hab penting untuk penghantaran bekalan tentera Nato di Afghanistan.

Kejadian semalam memalukan lagi angkatan tentera Pakistan, tiga minggu selepas Osama bin Laden dibunuh komando Amerika Syarikat, tidak jauh dari sebuah pusat latihan tentera terbesar negara itu di utara Islamabad.

Jurucakap Taliban Pakistan, Ehsanullah Ehsan sebelum ini berkata, pihaknya mengerahkan 15 hingga 20 penyerang berani mati yang bersedia untuk bertempur selama seminggu.

“Kami sudah memberi amaran bahawa kami akan melancarkan serangan lebih besar selepas kematian Osama,” kata Ehsanullah kepada AFP menerusi telefon dari lokasi yang tidak ditetapkan.

“Semua anggota kami di pangkalan itu adalah penyerang berani mati,” katanya. - AFP
myMetro | Taliban serang pangkalan tentera laut

Laporan kematian Mullah Omar didakwa propaganda

KANDAHAR: Kumpulan Taliban Afghanistan semalam menyifatkan laporan kematian pemimpin mereka, Mullah Omar sebagai propaganda.
Sumber agensi perisikan Afghanistan sebelum ini berkata, Omar terbunuh di Pakistan.

“Laporan itu hanya propaganda. Ia tak mungkin berlaku,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid kepada AFP menerusi telefon dari lokasi yang tidak didedahkan.

Menurut Zabihullah, Omar berada di Afghanistan dan masih mengetuai kumpulan mujahidin.

Laporan itu juga disangkal oleh jurucakap Taliban Pakistan, Ehsanullah Ehsan.


Beliau memberitahu AFP, Omar berada dalam keadaan selamat.

“Tidak ada kebenaran dalam laporan mengenai kematiannya. Maklumat itu disebarkan hanya untuk melemahkan Taliban,” katanya.

Sumber perisikan Afghanistan berkata, Omar terbunuh dalam serangan Agensi Perisikan Pakistan. Ada laporan lain menyatakan dia hilang sejak 11 hari lalu. - AFP
myMetro | Laporan kematian Mullah Omar didakwa propaganda

90 korban puting-beliung

CHICAGO: Bencana puting beliung yang melanda bandar di Missouri dan meranapkan kediaman, bangunan sekolah serta hospital dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 90 orang.
Puting-beliung yang melanda bandar Joplin berdekatan sempadan Oklahoma dan Kansas, semalam terjadi kurang daripada sebulan selepas bencana puting-beliung terburuk menyebabkan 354 orang maut di seluruh Amerika Syarikat berlaku. Ia adalah antara 46 bencana puting-beliung paling buruk berlaku di tujuh negeri di AS yang dilaporkan Pusat Khidmat Cuaca Kebangsaan. “Keadaan bagaikan di zon peperangan,” ujar Editor Joplin Globe, Scott Meeker.

“Beratus-ratus mangsa yang cedera dirawat di Hospital Memorial Hall tetapi disebabkan keadaan menjadi tidak terkawal dan bekalan ubat-ubatan kehabisan, maka mereka menjadikan sekolah sebagai pusat rawatan,” tambahnya.

Penduduk, Jeff Law, 23, sempat berlindung di bilik bawah tanah dan terkedu sewaktu melihat keadaan sekeliling sebaik keluar dari situ.

“Saya tinggal di sini seumur hidup saya dan apabila saya keluar dari ruang bawah tanah, saya bagaikan tidak tahu di mana saya berada,” katanya kepada wartawan akhbar Springfield News-Leader. “Semuanya tidak lagi seperti dulu. Ia bagaikan dunia sudah berakhir,” katanya lagi. - AFP
myMetro | 90 korban puting-beliung

Presiden Yaman enggan letak jawatan

SANAA: Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh semalam sekali lagi enggan menandatangani perjanjian untuk meletak jawatan.
Ini ialah kali ketiga perjanjian seumpama itu gagal dicapai pada minit terakhir meskipun terdapat tekanan daripada negara Teluk dan perunding Barat.

Perjanjian itu memberikan Saleh kekebalan daripada didakwa, menjamin pengunduran secara bermaruah selepas 33 tahun berkuasa.

Jika Ali menandatanganinya, beliau akan menjadi pemimpin ketiga negara Arab yang memerintah sekian lama digulingkan oleh tunjuk perasaan rakyat sejak Januari lalu.

Ali sebelum ini berkata, al-Qaeda mungkin mengambil kesempatan terhadap kekosongan politik dan keselamatan jika beliau dipaksa meletak jawatan. - AFP
myMetro | Presiden Yaman enggan letak jawatan

Kembar seiras beza tapi sama



CAROLINE dan Elizabeth pada hari perkahwinan mereka pada Disember 2009.
CAROLINE dan Elizabeth pada hari perkahwinan mereka pada Disember 2009.



GAYA rambut kini membezakan Elizabeth (kiri) dan Caroline.
GAYA rambut kini membezakan Elizabeth (kiri) dan Caroline.



Kembar seiras beza tapi sama


LONDON: Pasangan kembar seiras, Caroline Paxton dan Elizabeth Cooke begitu sukar dipisahkan.
Mereka dilahirkan selang empat minit, belajar di sekolah rendah, sekolah menengah, kolej yang sama serta lulus dengan gred yang sama untuk ijazah sama di universiti yang sama.

Pasangan kembar itu juga berkahwin pada hari yang sama dan berbulan madu di tempat yang sama.

Kedua-dua beradik itu adalah anggota polis wanita, memandu kereta model yang serupa, mempunyai rakan yang sama, masing-masing tinggal di sebuah rumah berkembar dan sering memakai pakaian yang sama, membeli hadiah dan kad hari jadi serupa tanpa dirancang.

Mereka juga melahirkan anak pertama selang beberapa bulan dan kini masing-masing mengandung anak kedua.


Paras rupa Caroline dan Elizabeth hampir sama hingga suami mereka kadang-kadang keliru hingga menyebabkan mereka tersilap mencium wanita itu.

Pernah sebelum ini seorang daripada mereka menyamar menjadi seorang lagi untuk memutuskan hubungan dengan seorang teman lelaki. Kini, perbezaan mereka hanya pada gaya rambut. ELizabeth berkata: “Kami tidak pernah merancang sesuatu bersama. Kami hanya mempunyai gerak hati seperti pasangan kembar lain dan kami tidak dapat menjelaskan bagaimana ia terjadi.

“Apabila kami keluar membeli-belah, kami sering terbeli pakaian yang sama dan pernah beberapa kali kami terbeli kad dan hadiah hari jadi serupa.

“Pernah Caroline tidak mahu memutuskan hubungan dengan seorang teman lelakinya. Saya menyamar dan melakukan untuknya. Yang mengejutkan, lelaki itu tidak tahu perbezaan antara kami.” Caroline berkata: “Orang ramai sering tersilap ketika menegur kami tetapi saya tak kisah untuk membetulkan mereka lagi. Saya hanya tersenyum dan berkata ‘ya.’ Selepas belajar di sekolah menengah dan kolej, pasangan itu tinggal bersama sebelum menamatkan pengajian dengan keputusan yang sama untuk ijazah Perniagaan Ekonomi dari Universiti Nottingham Trent pada 2003.

Mereka kemudian sama-sama menjadi anggota polis. - Agensi
myMetro | Kembar seiras beza tapi sama

Budak lemas dalam kereta bapa





ISHAK (kiri) bersama kakitangan Hospital Raja Perempuan Zainab II melihat kereta Perodua Kancil yang menyebabkan Nor Izyan lemas di Tumpat kelmarin.


TUMPAT - Tindakan tergesa-gesa seorang lelaki yang tidak mahu ketinggalan menghadiri upacara pengebumian sepupunya mengundang padah apabila dia pula kehilangan anak bongsunya yang lemas selepas tertidur bersendirian di dalam kereta kelmarin.
Kejadian pukul 11.45 pagi di Tanah Perkuburan Islam Morak dekat sini itu menyebabkan Nor Izyan Natasya Ishak, 3, menemui ajal selepas dia dibiarkan tidur di tempat duduk belakang kereta jenis Perodua Kancil selama hampir satu jam dalam keadaan kesemua pintu dan tingkapnya tertutup rapat.
Ketika ditemui, keadaan Nor Izyan begitu lemah manakala tubuh serta pakaiannya lencun dibasahi peluh ekoran tindakan bapanya, Ishak Salleh meletakkan kereta itu di bawah panas terik. Jarak antara kereta dan kubur itu kira-kira 500 meter.
Anak bongsu daripada enam beradik itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Wakaf Bharu dekat sini akibat kekurangan oksigen.
Kosmo! Online - Negara

Berkahwin selepas 28 tahun bertunang




IVAN BROWN dan Barbara Furlonger melangsungkan perkahwinan di Hospital Diraja Brompton di London pada Jumaat lalu.


FAIR OAK, Britain - Seorang perunding hospital, Ivan Brown dan pesara juruadiografi, Barbara Furlonger akhirnya berkahwin selepas bertunang selama 28 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Brown, 63, dan Barbara, 55, berkahwin di Hotel Botley Park dekat kediaman mereka di sini di depan 40 rakan rapat dan anggota keluarga pada Jumaat lalu.
Pasangan itu berkenalan buat kali pertama di unit rawatan rapi Hospital Diraja Brompton di London pada 1981 dan bertunang dua tahun kemudian.
Menurut Barbara: "Saya seolah-olah tidak percaya hari itu (berkahwin) akhirnya sudah tiba dengan kami menjadi suami dan isteri. Ia telah menjadi satu pertunangan maraton."
Pasangan itu sebelum ini tidak dapat melangsungkan perkahwinan kerana kedua-dua mereka sibuk dengan kerjaya masing-masing.
"Saya tidak pernah meragui bahawa ia (perkahwinan) akan menjadi kenyataan kerana kami selalu menyatakan bahawa kami bakal berkahwin pada satu hari nanti.
"Namun, disebabkan kami berdua bekerja dalam perkhidmatan kesihatan kerajaan dan selalu dipanggil (bertugas), kami jarang mempunyai cuti rehat yang sama," kata Barbara. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Dua pekebun cipta taman tergantung




TAMAN tergantung dipamerkan dalam Pertunjukan Bunga Chelsea di London sejak Sabtu lalu.


LONDON - Dua pekebun mencipta taman tergantung yang dipamerkan dalam Pertunjukan Bunga Chelsea sejak Sabtu lalu.
Taman unik sepanjang 26 meter ciptaan dua pekebun itu, Diarmuid Gavin dan Patrick Collins itu dibiarkan tergantung berhampiran Sungai Thames di sini.
Gavin berkata, dia berharap taman yang digantung pada ketinggian 25 meter itu akan mencuri perhatian pengunjung.
Taman itu digantung dengan menggunakan sebuah kren.
"Mereka yang bertuah akan dapat duduk di atas bangku di dalam taman itu dengan badan mereka dipasang abah-abah keselamatan," katanya.
Menurutnya, idea menghasilkan taman tergantung itu diambil daripada pulau tergantung Pandora dalam filem sains fiksyen Avatar yang diarahkan oleh James Cameron. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Dulu RM739,420, kini bakal bernilai RM2.7 bilion




BEG keluaran syarikat Jimmy Choo.


LONDON - Pengasas bersama syarikat pengeluar kasut Jimmy Choo, Tamara Mellon semakin hampir menjual syarikatnya kepada kumpulan barangan mewah Jerman, Labelux dengan anggaran nilai sebanyak 550 juta pound sterling (RM2.7 bilion), lapor sebuah akhbar semalam.
Perjanjian dengan syarikat tersebut bakal menyaksikan Mellon memiliki kepentingan ekuiti sebanyak 15 peratus serta mengekalkan peranannya sebagai ketua pegawai kreatif.
Mellon yang merupakan bekas editor majalah Vogue menubuhkan syarikat itu bersama pereka kasut dari Malaysia, Datuk Jimmy Choo pada tahun 1996.
Modal sebanyak 150,000 pound sterling (RM739,420) digunakan bagi memajukan syarikat tersebut.
Pinjaman itu diperoleh daripada bapa Mellon, Tommy Yeardye yang merupakan pengasas bersama rantaian dandanan rambut Vidal Sassoon.
Bagaimanapun, pada tahun 2001, Jimmy menjual kepentingannya dalam syarikat itu apabila firma ekuiti persendirian, Phoenix Equity Partners melabur sebanyak sembilan juta pound sterling (RM44.3 juta) dalam perniagaan.
Pada tahun 2004 pula, syarikat TowerBrook membeli majoriti saham syarikat itu pada tahun 2007.
Jenama Jimmy Choo bukan sahaja terkenal dengan kasut tetapi turut popular dengan barangan mewah lain untuk golongan kaya seperti beg tangan semasa ia di bawah TowerBrook. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Kekayaan isteri bekas ketua IMF dianggar RM3 bilion




GAMBAR fail Dominique Strauss-Kahn dan isterinya, Anne Sinclair.


NEW YORK - Pendapatan isteri bekas ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn jauh lebih besar daripada suaminya, lapor sebuah akhbar semalam.
Bekas ketua IMF berkenaan dibebaskan dengan pakej ikat jamin berjumlah AS$6 juta (RM18.3 juta) pada hujung minggu lalu atas dakwaan melakukan serangan sekksual ke atas seorang pekerja Hotel Sofitel di New York tetapi dengan syarat dia menanggung kos keselamatan berjumlah AS$200,000 (RM612,100) untuk mengawasi pergerakannya atau bersamaan AS$2.4 juta (RM7.3 juta) setahun.
Semua kos tersebut dipercayai ditanggung oleh isterinya, Anne Sinclair.
Strauss-Kahn, 62, yang disebut-sebut sebagai calon bagi menggantikan Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy cuma mempunyai kekayaan AS$2 juta (RM6.1 juta).
Walaupun memperoleh gaji AS$500,000 (RM1.53 juta) setahun sejak September 2007 sebagai ketua IMF sebelum dia meletakkan jawatan pada minggu lalu, kehidupan Strauss-Khan sebahagian besarnya disara oleh kekayaan keluarga isterinya.
Isteri ketua IMF itu mewarisi perniagaan galeri seni datuknya yang menjual lukisan oleh pelukis ternama termasuk Pablo Picasso, Henri Matisse dan Georges Braque.
Isterinya itu dianggarkan memiliki kekayaan berjumlah AS$1 bilion (RM3 bilion).
Sementara itu, bangunan apartmen tempat bekas ketua Dana Kewangan Antarabangsa menjalani tahanan rumah kini merupakan tempat tumpuan pelancong.
Dalam perkembangan berkaitan, IMF sedang berusaha untuk mencari pengganti untuk menerajui organisasi tersebut yang memberikan pinjaman berbilion-bilion dolar bagi menstabilkan ekonomi dunia.
Setakat ini, Menteri Kewangan Perancis, Christine La Garde muncul sebagai calon pilihan bagi menggantikan Strauss-Kahn tetapi kuasa-kuasa ekonomi baru meningkatkan tekanan untuk menamatkan tradisi bahawa jawatan pengarah urusan IMF mesti dipegang oleh calon dari Eropah.
Kelmarin, ramai pengunjung yang menaiki bas beratap terbuka mengambil peluang untuk merakamkan gambar apartmen yang dihuni Strauss-Kahn bersama isterinya di New York selepas dia dibebaskan dengan ikat jamin berhubung dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang pekerja wanita di Hotel Sofitel yang berusia 32 tahun.
Ekoran dakwaan itu, Strauss-Kahn meletakkan jawatan sebagai ketua IMF. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia