KAHERAH - Enam orang maut dan hampir 1,000 lagi cedera dalam rusuhan di antara kumpulan penentang dan penyokong Presiden Mesir, Hosni Mubarak di Tahrir Square, Kaherah semalam.
Hari berdarah itu berlaku pada perhimpunan penyokong penentang Hosni yang memasuki hari kesepuluh semalam bagi menuntut peletakan jawatannya.
Sejumlah besar penunjuk perasaan mahu Hosni yang telah memerintah selama 30 tahun meletakkan jawatan kerana kegagalannya mentadbir dengan cekap sehingga mengakibatkan kadar pengangguran tinggi dan ekonomi tidak berkembang selain masalah korupsi dan kebebasan bersuara.
Bunyi mesingan kedengaran lebih sejam di Tahrir Suqare manakala kebakaran berlaku di beberapa buah bangunan dekat kawasan tersebut.
"Apa yang berlaku akan menjadikan kami lebih berazam untuk menyingkirkan Presiden," kata sebuah pergerakan penunjuk perasaan itu yang dikenali sebagai Kefaya.
Dalam kejadian semalam, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan yang sedang bertempur.
Menurut seorang doktor, Mohammed Ismail, empat daripada enam orang yang terbunuh itu terkena tembakan di kepala.
Menurut seorang lagi kakitangan perubatan, Dr. Amr Bahaa, sejumlah besar penunjuk perasaan datang ke klinik sementara di Abdulmenem Riad Square dekat dengan Tharir Square untuk mendapatkan rawatan kerana kecederaan.
Beliau berkata, kebanyakan penunjuk perasaan yang cedera terkena tembakan.
Lelaki-lelaki bersenjata itu muncul selepas para penyokong Presiden Mesir menyerbu Kaherah kelmarin sekali gus mencetuskan pertempuran dengan kumpulan penentang Presiden.
Kedua-dua belah pihak menggunakan batu dan bom petrol semasa melakukan serangan yang bermula pada malam kelmarin sehingga awal pagi semalam.
Seorang budak berusia 11 tahun yang cedera, dalam pertempuran tersebut, Mohammed Ghozlan diminta jangan menangis oleh bapanya, Khaled.
"Jangan menangis, jangan menangis, kamu adalah hero," kata Khaled kepada anaknya itu.
Para penunjuk perasaan telah membuat sekatan di jalan raya menuju ke Tahrir Square dengan menggunakan besi dan sampah.
Menurut seorang koresponden agensi berita AFP, seorang daripada setiap 10 orang mengalami kecederaan pada penglihatan.
Sejumlah sukarelawan mengedarkan makanan dan pakaian kepada sejumlah penunjuk perasaan.
Sepanjang pertempuran itu, anggota-anggota tentera tidak menggunakan kekerasan untuk menyuraikan kedua-dua kumpulan tersebut.
Tunjuk perasaan bagi menuntut peletakan jawatan Hosni itu dibuat selepas rakyat di negara itu mendapat ilham daripada kebangkitan penduduk di Tunisia yang berhimpun bagi mendesak Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan pada bulan lalu. - Agensi
kosmo