Pages

Thursday, September 11, 2014

Tiga angkasawan Russia, Amerika kembali ke Bumi



Dua angkasawan Russia dan seorang angkasawan Amerika Syarikat (AS), Alexander Skvortsov (tengah), Oleg Artemyev (kiri) dan Steven Swanson bergambar bersama pasukan penyelamat sebaik mendarat dengan kapsul Soyuz di Kazakh, hari ini. - Foto Reuters
MOSCOW: Dua angkasawan Russia dan seorang angkasawan Amerika Syarikat (AS) kembali ke Bumi selepas bertugas bersama lebih enam bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) ketika ketegangan antara kedua-dua negara berhubung krisis Ukraine meningkat.
Agensi angkasa Russia, Roscosmos dan NASA, dalam kenyataan berasingan, menyatakan ketiga-tiga angkasawan itu, Alexander Skvortsov, Oleg Artemyev dan Steven Swanson yang berlepas pada 26 Mac lalu, mendarat di kawasan padang di Kazakh pada jam 2.23 GMT dengan kapsul Soyuz.
Ketiga-tiga angkasawan berkenaan yang bertugas bersama dalam ruang sempit ISS ketika hubungan negara mereka merosot ke tahap yang tidak pernah dilihat sejak tamatnya Perang Dingin berikutan krisis di Ukraine, menunjukkan tanda bagus dan melambaikan tangan ketika mula menjejak tanah.
Menurut NASA, mereka mengharungi "169 hari di angkasa melakukan penyelidikan sains dan teknologi, termasuk mencatatkan rekod penyelidikan tanpa henti selama 82 jam dalam seminggu" pada Julai lalu.
Ketiga-tiga kru itu mengelilingi bumi sebanyak 2,700 kali dan mengembara lebih 115 juta kilometer.
"Satu daripada bidang tumpuan utama penyelidikan dalam ekspedisi ke-40 itu adalah pengurusan kesihatan manusia bagi pengembaraan angkasa jangka panjang ketika NASA dan Roscosmos bersiap sedia membawa dua kru untuk berada selama setahun di atas makmal di orbit pada 2015," katanya. - AFP

Lot parkir RM3.16 juta


Akhbar New York Times melaporkan, 10 parkir bawah tanah di 42 Jalan Crosby itu jauh lebih mahal daripada apartmen di atasnya. 
Lot parkir berkenaan akan dijual dengan harga antara kira-kira AS$5,000 (RM16,000) dan AS$6,666 (RM21,300) setiap kaki persegi. 

Apartmen tiga bilik diatasnya berharga sekitar AS$8 juta (RM25.6 juta) hingga AS$10 juta (RM32 juta) atau kira-kira AS$3,100 (RM9,900) setiap kaki persegi.
Foto
PEMANDANGAN di SoHo New York.

Ketua Pegawai Esekutif syarikat pemaju itu, Shaun Osher berkata, kawasan parkir di SoHo amat terhad dan pihaknya bersedia untuk menjadi pendahulu dalam menetapkan harga mahal bagi tempat letak kereta. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Lidah paling panjang


Awal tahun ini, Guinness World Records akhirnya mengukur lidahnya dan mengisytiharkan lidah Stoeberl sepanjang 3.97 inci (10.08 sentimeter) dari pangkal hingga ke hujungnya. 
Ia bermakna dia mengatasi rekod dicatatkan Stephen Taylor, 52, warga Britain yang lidahnya 3.86 inci (9.8sm). 

Stoeberl memilih masa yang tepat memasuki Buku Guinness World Records Edisi 2015 - koleksi ke-60, mula dijual semalam. - Agensi
Foto
STOEBERL
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Kurang 1.8 meter punca gagal dapat bas sekolah percuma



LAWSON terpaksa berjalan kaki untuk ke sekolah yang mengambil masa selama 40 minit.


DURHAM, Britain - Seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun gagal memperoleh pas bas percuma selepas pihak Majlis Perbandaran Durham mendapati rumah pelajar itu hanya sejauh 3.217 kilometer (1.999 batu) iaitu kurang 1.8 meter daripada jarak yang dibenarkan.
Mengikut undang-undang baharu di bandar itu, seseorang pelajar dibenarkan mendapatkan pas bas percuma sekiranya jarak rumah ke sekolah melebihi 3.218 kilometer (2 batu).
Keadaan tersebut menyebabkan pelajar tersebut, Jon Lawson, 11, terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang mengambil masa selama 40 minit.
Bapa Lawson, John, 43, berkata, undang-undang baharu itu tidak adil dan mengarut.
"Anak saya baru berusia 11 tahun dan saya tidak mahu dia berjalan bersendirian ke sekolah," katanya.
Satu surat daripada majlis tersebut menyatakan bahawa jarak sebenar rumahnya ke sekolah kurang 1.8 meter (6 kaki) untuk melayakkan dia mendapat perkhidmatan bas bersubsidi itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0911&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3CxL9ZJUG 
Hakcipta terpelihara 

Bapa disyaki bunuh lima anak sendiri



RAY JONES


CAMDEN, Alabama - Seorang lelaki disyaki membunuh lima anaknya di Carolina Selatan dan memandu selama berjam-jam sebelum membuang mayat mereka yang masing-masing disimpan di dalam beg sampah, di sebatang jalan di pedalaman Alabama, kata pihak berkuasa.
Jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Alabama, Sarjan Steve Jarrett berkata, Timothy Ray Jones Jr., 32, membawa pihak berkuasa ke sebuah lokasi di mana mayat lima kanak-kanak itu ditemui di tepi sebuah lebuh raya dekat Camden, Alabama.
Dia kini didakwa kerana mengabaikan kanak-kanak manakala polis Carolina Selatan dijangka mengemukakan dakwaan tambahan terhadapnya berkaitan kematian lima kanak-kanak tersebut.
Menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), lima kanak-kanak berkenaan yang berusia antara satu hingga lapan tahun dilaporkan hilang oleh ibu mereka pada 3 September lalu.
Pendakwa Raya Daerah Wilcox County di Alabama, Michael Jackson memberitahu agensi berita AP bahawa Jones disyaki membunuh lima anaknya itu di Carolina Selatan sebelum membawa mayat mereka ke Alabama.
"Ini situasi yang amat tragis," kata Jackson.
"Nyawa kanak-kanak ini melayang sebelum mereka sempat menikmati kehidupan. Kita akan pastikan keadilan buat mereka," tambahnya.
Polis bagaimanapun belum mendedahkan butiran tentang bagaimana kelima-lima mangsa itu mati.
Dalam pada itu, Jones kini ditahan di daerah Smith County, dalam negeri Mississippi sementara menunggu untuk diekstradisi ke Carolina Selatan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0911&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3CxKjiGVZ 
Hakcipta terpelihara 

Bayi dilahir dengan lapan anggota badan

PAUL Makisa berusia tiga bulan dilahirkan dengan empat kaki dan empat tangan di Nabigingo, sebuah perkampungan kecil di timur Uganda. - AGENSI
KAMPALA 10 Sept. - Seorang bayi lelaki di Uganda yang dilahirkan dengan lapan anggota badan dilaporkan semakin pulih selepas doktor berjaya membuang 'kembar yang menumpangnya', bulan lalu.
Bayi itu, Paul Makisa yang berusia tiga bulan dilahirkan dengan empat kaki dan empat tangan di Nabigingo, sebuah perkampungan kecil di timur Uganda.
Ibu bapa Makisa, Margaret Awino dan Boniface Okongo bergegas ke hospital daerah berhampiran sejurus melihat keadaan anak mereka itu, namun hospital berkenaan menolak anak mereka daripada dirawat di situ kerana ketiadaan kepakaran dalam kes tersebut.
Mail Online melaporkan, mereka kemudiannya merujuk kes anak mereka di Hospital Mulago di Kampala, ibu negara Uganda.
Di situ, sebuah pasukan pakar bedah diketuai perunding pakar bedah pediatrik, Dr. John Sekabira menilai tahap kesihatan bayi itu dan mendapati, Makisa bukan sahaja mempunyai empat anggota tambahan, malah dia turut mempunyai dada tambahan, namun jantung dan hati bayi tersebut berada pada bahagian badan yang salah.
Malah, doktor mendapati kembar yang menumpang Makisa turut berkongsi sebahagian daripada tulang pelvis.
Doktor kemudiannya membenarkan Makisa keluar hospital selama tiga bulan kerana saiz badannya tidak sesuai untuk menjalani pembedahan bagi memisahkan kembarnya.
Pada 18 Ogos lalu, tiga pakar bedah menjalankan pembedahan ke atas Makisa selama tiga jam dan pembedahan itu berjaya memisahkan bayi itu daripada kembar yang menumpang pada badannya.
Satu daripada doktor bedah yang terlibat dalam pembedahan Makisa, Dr. Nasser Kakembo berkata, bayi itu diberikan bius secara umum dan badan serta batang tubuh kembar yang menumpangnya yang mempunyai dua tangan tetapi tidak mempunyai jantung dipisahkan daripada badan induk bayi itu.
Tambahnya, hanya berlaku kehilangan darah yang sedikit dan tiada komplikasi sampingan berlaku selepas pembedahan itu dan selepas tiga minggu pembedahan itu, Makisa kini boleh menyusu daripada ibunya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140911/lu_12/Bayi-dilahir-dengan-lapan-anggota-badan#ixzz3CxIy3D8X
© Utusan Melayu (M) Bhd