Pages

Thursday, June 20, 2013

Bulu kaki tiruan elak gangguan seksual

Foto
GAMBAR dikatakan bulu kaki tiruan tersebar di Internet.
London: Untuk menjauhkan sebarang potensi gangguan daripada lelaki tidak diingini, sebuah syarikat di China mempelopori ‘fesyen’ kaki berbulu yang boleh dikenakan dari pinggang sehingga ke buku lali.
Sekeping gambar dimuat naik laman sesawang ChinaSMACK di Shanghai menunjukkan bagaimana seorang model mengenakan bulu kaki tiruan itu.

Mengiringi gambar itu ialah keterangan mengenainya yang dianggap sebagai “kelengkapan penting untuk gadis bersiar-siar.” Namun, tidak dinyatakan di mana bulu kaki tiruan itu boleh dibeli.
Carian di Internet juga gagal mendapat jawapan. Imej itu mengundang ratusan komen pengguna Internet yang memberikan pelbagai reaksi.

Satu daripada komen pelayar menyatakan: “Amat menjijikkan!” Seorang lagi pengunjung laman sesawang itu menyatakan penggunaan bulu kaki tiruan itu mungkin memudaratkan pemakainya.

“Ia bukan saja menjauhkan orang tidak diingini, malah menakutkan lelaki kacak daripada menghampiri anda,” katanya. Pengunjung lain mencadangkan kaedah lebih murah memperoleh kaki berbulu.

“Tidak mencukur kaki adalah pilihan lebih menjimatkan,” katanya. Sementara itu, penganalisis berkata, produk itu adalah bayangan kepada pelbagai sarung kaki dikeluarkan syarikat J Crew pada 2010.

Di sebalik matlamat syarikat fesyen itu mahu memberi kelainan pada pemakai, penggunaan sarung kaki berkenaan menyebabkan pengguna seperti memiliki bulu kaki berlebihan. - Daily Mail.

Karavan bersalut emas



Foto
KENDERAAN mewah EleMMent Palazzo yang disalut emas.
Foto
Dubai: Di negara yang terkenal dengan kemewahan rakyatnya berbelanja, rumah bergerak atau karavan bukanlah sesuatu yang diminati.

Bagaimanapun, penduduk Dubai mungkin perlu berfikir lebih daripada sekali apabila melihat sebuah kenderaan yang boleh dijadikan rumah bergerak ini.


Kenderaan sepanjang 12 meter ini dilengkapi pelbagai keistimewaan, termasuk kemasan emas pada badannya.

Ia dijangka dijual pada harga RM8.4 juta seunit dan bakal menjalar di jalan raya Dubai tidak lama lagi. Pengeluarnya, Marchi Mobile, mengesahkan kenderaan dikenali sebagai EleMMent Palazzo itu sedang disiapkan sebelum diperkenalkan di Dubai.


Ketua Pengurus Jenama Marchi Mobile, Juliane Rönisch berkata, sejumlah pengguna dari Dubai menunjukkan minat mendapatkan kenderaan syarikat Jerman - Austria itu. “Ketika ini kami mengeluarkan antara lima hingga 10 unit EleMMent Palazzo setahun dan ia dihantar ke seluruh dunia,” katanya. Juliane berkata, kenderaan tempahan khas itu boleh mencecah harga lebih mahal jika kemasannya ditambah dengan emas. Bagi syarikat itu, katanya, model komersial kenderaan itu boleh diperoleh dengan harga minimum RM3.2 juta. “Untuk model lebih mewah, harganya ialah dua juta euro (RM8.4 juta) setiap satu,” katanya. Bagaimanapun, ketika ini model Marchi Mobile itu tidak dipamerkan di Dubai.

Kata Juliane, mereka juga tidak bercadang membuka cawangan tetap di Emiriah Arab Bersatu atau mana-mana negara Teluk.


RUANG pemandu dalam kenderaan EleMMent Palazzo.

“Tetapi ketetapan itu mungkin boleh berubah,” katanya. Sementara itu, kenyataan syarikat Marchi Mobile menyebut, siri mode EleMMent itu bukan sekadar kenderaan konsep, sebaliknya sedia dihasilkan dalam unit terhad. EleMMent Palazzo boleh dilengkapi pelbagai ciri kemewahan, seperti bumbung terbuka, bumbung telus cahaya dan tangga. - Agensi

Bot solar terbesar dunia berlabuh di New York

AFP
BOT solar terbesar di dunia, MS Turanor PlanetSolar, tiba di marina Teluk Utara di New York pada Isnin lalu.


NEW YORK - Bot solar terbesar di dunia, Turanor PlanetSolar, berlabuh di Amerika Syarikat (AS) kelmarin ketika dalam misi mengkaji kesan perubahan iklim ke atas arus bawah laut Gulf Stream.
Arus tersebut bermula di Laut Caribbean dan berakhir di utara Lautan Atlantik.
Ditaja sebahagiannya oleh kerajaan Switzerland, bot sepanjang 35 meter itu sarat dengan panel solar. Panel tersebut boleh dibuka dan ditutup seperti sayap burung.
Ia ditutup semasa Turanor memasuki pelabuhan dan dibuka apabila bot itu belayar di lautan.
Pada Mei 2012, bot berkenaan menjadi kenderaan berkuasa solar pertama yang mengelilingi dunia.
Pengembaraan tersebut mengambil masa selama 584 hari dan merangkumi jarak lebih 60,000 kilometer.
Memiliki berat 90 tan, bot itu bergerak pada kelajuan purata 10 kilometer sejam.
Bot tersebut berlayar dari La Ciotat di Perancis lebih dua bulan lalu. Dalam perjalanannya, bot itu pernah berhenti termasuk di bandar raya Miami di tenggara AS.
"Matlamat utama kami adalah untuk mengkaji arus Gulf Stream," kata kapten kapal tersebut, Gerard d'Aboville.
Bot itu tidak mengeluarkan sebarang bahan pencemaran kerana dijana sepenuhnya oleh kuasa solar.
Turanor PlanetSolar sedang dalam perjalanan untuk mengumpul data sepanjang perjalanan sejauh 8,000 kilometer antara Miami dan bandar Bergen di Norway. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2WhoSk02Q 
Hakcipta terpelihara 

Guru pertama di dunia mengajar dari angkasa lepas

GAMBAR menunjukkan imej Yaping bersama dua anggota angkasawan lain yang dihantar ke angkasa baru-baru ini.- AFPi


BEIJING - Guru pertama yang dihantar ke angkasa oleh pemerintah China dijadualkan memberi kuliah kepada para pelajarnya melalui satu sidang video hari ini, lapor rangkaian Televisyen Pusat China (CCTV).
Kuliah yang disampaikan guru wanita berkenaan, Wang Yaping, akan disiarkan oleh CCTV bermula dari pukul 10.04 pagi sehingga 10.55 pagi waktu tempatan.
Jurucakap Program Kejuruteraan Manusia ke Angkasa Lepas China, Wu Ping berkata, Yaping yang berusia 33 tahun itu merupakan angkasawan wanita China kedua dihantar ke angkasa lepas.
Dia akan memberikan kuliah tentang graviti dari angkasa lepas kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah.
Terdahulu, China telah melancarkan roket Long March 2-F yang membawa kapal angkasa lepas Shenzhou-10 ke angkasa lepas pada 11 Jun lalu.
Tiga angkasawan yang berada di dalam kapal angkasa tersebut berlepas dari pusat pelancaran Jiuquan di padang pasir Gobi, dalam wilayah Gansu.
Kapal angkasa itu berlabuh di stesen angkasa lepas milik China, Tiangong-1. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2WhoIjls2 
Hakcipta terpelihara