Pages

Thursday, March 29, 2012

Assad diheret ke ICC

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


LONDON 28 Mac - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memiliki bukti kukuh untuk mengheret rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillay berkata, Assad memikul tanggungjawab utama terhadap segala pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di negara itu.
Beliau juga mendakwa, pihak berkuasa Syria kini secara sistematik menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran dalam kempen mereka untuk menghancurkan penentang rejim.
"Dari segi fakta, terdapat cukup bukti yang menunjukkan banyak tindakan kekerasan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan mendapat kelulusan atau persetujuan pada peringkat tertinggi.
"Saya merasakan siasatan dan pendakwaan adalah elemen penting untuk mencegah dan menghentikan pencabulan tersebut," kata Pillay dalam wawancara dengan stesenPerbadanan Penyiaran British (BBC), hari ini.
Katanya, Assad bertanggungjawab kerana beliau hanya perlu mengeluarkan arahan supaya pembunuhan dihentikan dan pembunuhan itu akan dihentikan.
Katanya, tidak ada undang-undang yang membataskan tempoh untuk mengemukakan pendakwaan, kerana itu walaupun orang seperti Assad boleh melakukan pencabulan bagi tempoh yang sangat lama, tetapi suatu hari nanti mereka akan dibawa ke muka pengadilan.
Sementara itu di Istanbul, para pemimpin pemberontak Syria tetap sangsi dengan pelan damai dan gencatan senjata yang dirangka oleh utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Kofi Annan sekalipun rancangan itu telah dipersetujui oleh Damsyik.
Penentang rejim Assad itu, yang mencapai persetujuan untuk kembali bersatu di naungan Majlis Kebangsaan Syria (SNC) menyifatkan pelan tersebut sebagai tidak bererti jika ia tidak membawa kepada penyingkiran Assad.
Kerajaan Syria semalam berkata, Damsyik telah menerima pelan damai Annan, tetapi persetujuan itu diragui oleh sesetengah anggota SNC.
"Dia hanya mahu berlengah-lengah dan ini bermakna lebih banyak pembunuhan, kerana dalam setiap jam lima penduduk terbunuh, jadi masa itu nyawa," kata seorang anggota kanan SNC, Adib Shishakly.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdissi berkata, Damsyik akan menolak sebarang usaha Liga Arab untuk menamatkan krisis di negara ini. - dpa/AFP

'via Blog this'

Melekat antara lori

myMetro | Melekat antara lori:

BEHRANG: “Saya tergamam melihat lori datang dari depan dan merempuh lori dipandu Abdul Ghafar sebelum menghentam lori Abu Bakar,” kata Mohd Basit Maahasan, 38, yang terselamat dalam nahas mengorbankan tiga orang manakala dua lagi cedera dalam kejadian membabitkan tiga lori dan sebuah Perodua Viva kira-kira 100 meter dari Politeknik Sultan Azlan Shah di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.45 pagi itu, rakannya, Abu Bakar Salleh, 51, yang memandu lori dari arah Tanjung Malim maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada selepas lori dipandunya dirempuh lori dari arah Pulau Pinang dipandu Koh Kay Hung, 34.

Koh dan kelindannya yang hanya dikenali sebagai Kah Sing, 30-an, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River (HSR) manakala pemandu Perodua Viva dan Abdul Ghafar Ghazali, 53, hanya cedera ringan.
Menurut Mohd Basit, selepas merempuh lori Abdul Ghafar, lori Koh melanggar lori Abu Bakar menyebabkannya maut.

Mohd Basit berkata, dia, Abdul Ghafar dan Abu Bakar dalam perjalanan menghantar tiga lori secara berkonvoi dari Kuantan ke pusat pameran jualan kenderaan Isuzu di Ipoh sebelum kemalangan berlaku di kilometer 114, Jalan Persekutuan Behrang-Tanjung Malim.

Menurutnya, lori Koh terbabas memasuki laluan mereka sebelum merempuh dua lori dipandu rakannya.
“Tragedi ini berlaku sekelip mata dan Abdul Ghafar serta Abu Bakar tidak sempat mengelak. Kami sebelum itu berhenti minum di sebuah gerai di Lebuhraya Karak sebelum menyambung perjalanan ke Ipoh.

“Ketika itu, Abu Bakar yang biasanya periang, kelihatan pendiam sejak kelmarin. Saya tidak sangka itu petanda dia akan menemui ajal. Dia biasanya banyak cakap, tetapi ketika mereka berhenti rehat, hanya berbaring dalam lori,” katanya.
Sejurus kemalangan, katanya, dia nampak Abu Bakar tersepit antara dua lori.

“Hampir setengah jam Abu Bakar menahan kesakitan sambil merintih sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Pihak bomba mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mayat Abu Bakar. Malah, lori tunda terpaksa digunakan untuk menarik dan memisahkan dua lori itu yang melekat sebelum Abu Bakar dapat dikeluarkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Adik Koh yang dikenali sebagai Lawrence, 34, berkata, kali terakhir dia bertemu abangnya itu di Puchong, Selangor, kelmarin sebelum mangsa bertolak ke Pulang Pinang untuk membeli lori baru.

Menurutnya, Koh ke Pulau Pinang menaiki sebuah kereta sebelum pulang ke ibu kota dengan memandu lori yang baru dibelinya.

“Dia sempat meminjam wang daripada saya untuk beli lori baru. Dia memang rajin dan periang walaupun menghadapi masalah,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Slim River, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nayan berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu Koh gagal dikawal ketika melalui kawasan selekoh lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori Abdul Ghafar.

Menurutnya, lori itu kemudian terbabas dan merempuh lori Abu Bakar yang berada di belakang lori Abdul Ghafar.

“Pada masa sama, kereta Perodua Viva yang berada di belakang lori Abu Bakar gagal membrek lalu merempuh belakang lori berkenaan. Lori Mohd Basit yang berada di belakang Perodua Viva itu sempat berhenti,” katanya.

Menurutnya, lori Abdul Ghafar terbabas kira-kira 10 meter manakala Perodua Viva itu remuk di bahagian depan dan pemandunya hanya cedera ringan dan dirawat di HSR.

Othman berkata, pertembungan dua lori menyebabkan ketiga-tiga mangsa tersepit sebelum dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan berharap pengguna jalan raya yang melalui jalan itu berhati-hati, terutama pada waktu malam dan hujan kerana kelalaian ketika melalui selekoh tajam itu boleh mengundang kemalangan,” katanya.

Jenazah Abu Bakar dituntut keluarganya kira-kira jam 2.30 petang semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Pancing Utara di Pahang manakala mayat Koh dan dan Kah Sing dibawa ke Kuala Lumpur oleh ahli keluarganya.

'via Blog this'

‘Saya sangka dia main-main’

myMetro | ‘Saya sangka dia main-main’:

REMUK...kenderaan mangsa yang terbabit kemalangan di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Khairul Hisham.
REMUK...kenderaan mangsa yang terbabit kemalangan di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Khairul Hisham.
PUTRAJAYA: “Saya mendapat tahu kejadian ini daripada seorang rakan dan pada mulanya saya ingatkan dia main-main. Namun, saya ke tempat kejadian dengan seorang rakan untuk mengetahui perkara sebenar,” kata isteri Khairul Hisham Janarudin, 37, yang terbunuh dalam kemalangan di Persiaran Selatan dekat Desa Pinggiran Putra di sini, semalam.
Suaminya ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Hulu Langat maut selepas kenderaan pelbagai guna Toyota Estima dinaiki bersama empat rakannya terbabas dan merempuh tiang lampu dari arah Dengkil-Putrajaya.

Kemalangan pada jam 5 petang itu turut meragut nyawa Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda Umno bahagian itu, Saifuddin Kandar, 39, selepas masing-masing dipercayai tercampak dari kenderaan berkenaan.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan.

Tiga lagi rakan mereka cedera termasuk seorang dilaporkan parah.

Mereka ialah Ahmad Zarani Md Zam, Yazid Ghazali dan Razip Rashid, masing-masing berusia 30-an, kini dirawat di Hospital Putrajaya.
Difahamkan kejadian itu berlaku selepas mereka berlima dalam perjalanan pulang selepas menghantar seorang rakan yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno bahagian itu, Al Dita Aladin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menunaikan umrah.

Isteri Khairul Hisham yang enggan dikenali ketika ditemui di pekarangan Hospital Serdang, dekat sini, berkata, dia tidak mengetahui suaminya keluar rumah untuk menemui rakannya.
“Kali terakhir saya bertemu arwah petang semalam (kelmarin) ketika berada di rumah. Walaupun masih terkejut, saya reda dengan pemergiannya,” katanya yang bakal menimang cahaya mata kelima dua bulan lagi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman yang mengesahkan kemalangan berkenaan berkata, polis masih menyiasat punca kejadian itu.

“Polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

'via Blog this'

Yaman mahu isteri Osama

myMetro | Yaman mahu isteri Osama:

SANAA: Yaman semalam menggesa Pakistan membebaskan seorang isteri Osama bin Laden yang cedera dengan berkata, wanita kelahiran negara itu, Amal al-Sadeh dan empat anaknya tidak bersalah dalam sebarang jenayah.
Menteri Dalam Negeri Pakistan awal bulan ini berkata, tiga balu Osama, termasuk Amal akan dibicarakan kerana memasuki dan tinggal di negara itu secara haram.

“Pihak berkuasa Pakistan menarik balik keputusan awal mereka untuk menyerahkan Amal kepada kerajaan Yaman,” kata Menteri Luar Yaman, Abu Bakr al-Qirbi kepada media. “Kami menyeru Pakistan menghantar Amal pulang ke negara asalnya. Kami bimbang dengan keadaan anaknya yang masih kecil. Kanak-kanak berkenaan tidak patut dihukum atas kesalahan bapa mereka,” katanya.
Osama yang mengetuai kumpulan al-Qaeda, ditembak mati Mei tahun lalu oleh komando Amerika Syarikat dalam serangan terhadap kediamannya di Abbottabad, Pakistan selepas memburunya selama hampir 10 tahun. Amal dan dua lagi isteri Osama, seorang warga Arab Saudi dan seorang lagi tidak diketahui kerakyatannya, bersama anak mereka yang tidak didedahkan jumlahnya ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan selepas serbuan itu.

Seorang saudaranya berkata, Amal yang ditembak di kaki ketika serangan, memasuki Pakistan secara sah. “Dia datang ke Pakistan bersama abangnya pada 2000 menggunakan pasport,” kata sepupu Amal berusia 27 tahun, Hameed al-Sadeh.

“Mereka terbang dari Sanaa ke Karachi. Tiada kesalahan yang dilakukannya. Pihak berkuasa Pakistan, malah telah mengeluarkan salinan pasportnya,” katanya. Hameed yang juga wartawan di Sanaa, berkata, Amal pincang selepas peluru menembusi kakinya. Dia juga mengalami trauma dan menghidap tekanan darah rendah. - AP

'via Blog this'

Lelaki hina nabi guna Twitter

myMetro | Lelaki hina nabi guna Twitter: "KUWAIT: Pihak berkuasa Kuwait menahan seorang lelaki kerana menghina Nabi Muhammad melalui akaun Twitter, kelmarin.

Kementerian Dalam Negara Kuwait berkata, lelaki terbabit - yang tidak didedahkan identitinya - dianggap menghina Islam dan nabi, sahabat dan isteri baginda.


“Suspek kini masih disoal siasat pihak berkuasa sebelum didakwa di mahkamah,” kata kenyataan kementerian berkenaan dan disiarkan agensi berita Kuna, semalam.

Amalan menghina nabi boleh menyebabkan seseorang murtad, tetapi di Kuwait, ia tidak dikenakan hukuman mati seperti di Arab Saudi.


Kuwait mengawal penerbitan bahan bercetak negara itu melalui undang-undang akhbar dan penerbitan 1961.


Twitter ketika ini sangat popular di Kuwait, dengan sebahagian besar ahli politik, wartawan dan tokoh terkenal menggunakan laman sesawang blog mini itu untuk membincangkan pelbagai isu semasa atau gosip. - Reuters"

'via Blog this'

Damsyik enggan layan

myMetro | Damsyik enggan layan: "DAMSYIK: Kerajaan akan menolak sebarang inisiatif dikemukakan dari Sidang Kemuncak Liga Arab pada minggu ini dalam usaha pertubuhan berkenaan menamatkan krisis di Syria.

Jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdissi, berkata Syria tidak akan bekerjasama dengan Liga Arab di sebarang peringkat.


“Sejak penggantungan daripada Liga Arab, Syria berurusan dengan negara anggota pertubuhan itu secara dua hala,” katanya.

Pada November lalu, 22 negara Liga Arab mengundi dalam mesyuarat luar biasa bagi menggantung keanggotaan Syria sehingga Presiden Bashar al-Assad melaksanakan tuntutan menamatkan keganasan ke atas pemberontak negara itu.


PBB mendakwa, jumlah korban akibat konflik di Syria lebih 9,000 orang.


Menteri Luar Liga Arab akan bertemu di Baghdad pada hari ini dan antara lain, akan turut membincangkan draf resolusi bagi mendesak Damsyik segera menamatkan keganasan dan mula berunding dengan pemberontak. - AFP"

'via Blog this'

Iran tetap sokong Bashar hadapi konspirasi asing

myMetro | Iran tetap sokong Bashar hadapi konspirasi asing:

TEHERAN: Presiden Mahmoud Ahmadinejad berkata, AS bercadang mengukuhkan pengaruhnya di Syria, tetapi pada masa sama, Iran akan terus menyokong Damsyik menentang konspirasi asing.
Dalam pertemuannya dengan Menteri Luar Syria, Faisal Meqdad, semalam, Mahmoud berkata, memang jelas Barat mahu mengenakan cengkamannya di Iran dan Syria.

“Mereka menyuburkan Zionisme dengan melaungkan slogan kebebasan dan hak asasi manusia,” katanya.
Melalui slogan seumpama itu, kata Mahmoud, AS bercadang melakukan perkara sama ke atas Lubnan dan negara lain.

“Justeru, adalah wajar semua pihak berhati-hati menghadapi rancangan itu,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Mahmoud turut mengecam sikap sesetengah anggota Liga Arab yang berpura-pura mahukan demokrasi tetapi pada masa sama, tidak pernah mengadakan pilihan raya di negara mereka.
“Saya gembira kerajaan Syria mampu menangani konflik dengan yakin dan keadaan pasti akan bertambah baik,” katanya. Sementara itu, Faisal berkata, Syria amat berterima kasih atas sikap positif ditunjukkan Iran dalam konflik politik di negara berkenaan.

“Situasi di Syria akan bertambah baik selepas ini,” katanya. - Agensi

'via Blog this'

Syria tak endah pelan damai

myMetro | Syria tak endah pelan damai:

BEIRUT: Pasukan keselamatan Syria terus menggunakan senjata berat dan taktik kepungan ke atas kubu kuat pemberontak semalam, walaupun Presiden Bashar al-Assad menerima pelan damai yang menggesa tenteranya berundur.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, tindakan ketenteraan dilancarkan kerajaan ke atas bandar dan perkampungan di selatan wilayah Deraa hingga Hama yang terletak 320 kilometer ke utara.

Menurut pertubuhan berpangkalan di London itu, serangan turut dilaporkan di sebahagian daripada Homs - bandar ketiga terbesar di Syria dan dilawati Bashar kelmarin.
“Pasukan tentera dengan bantuan puluhan kereta perisai menyerang bandar Qalaat al-Madiq dan kampjng Hama yang terletak berhampiran dengannya,” lapor pertubuhan itu.

Menurut mereka, insiden semalam berlaku selepas serangan senjata berat dan mortar beberapa minggu lalu gagal membantu tentera kerajaan menawan bandar berkenaan.

Seorang aktivis berkata, regim Bashar mengebom bandar itu selama 18 hari dan memusnahkan kubu purba mereka.
“Beribu-ribu orang melarikan diri dan menumpang di rumah lain dalam keadaan bersesak-sesak,” katanya.

Saksi itu berkata, pemberontak meninggalkan bandar berkenaan tetapi kawasan sekitar masih terus diserang dan mereka tiada senjata mencukupi untuk melawan.
Sebelum itu, Damsyik menerima pelan damai ditaja PBB yang menggesa tentera kerajaan ditarik balik dari bandar dikuasai pemberontak menjelang pertemuan Bashar dengan wakil khas PBB, Kofi Annan.

Jerman, AS dan negara lain di Barat menyambut kesediaan Damsyik itu dengan curiga.

Mereka juga mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum memberi sebarang komen.

Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, berkata keikhlasan Bashar akan dinilai daripada apa yang dilakukannya, bukan apa yang diperkatakan.

Annan yang mewakili PBB dan Liga Arab berkata, beliau mendapat persetujuan asas Bashar bagi pelan damai enam perkara itu sebagai langkah penting pertama, tetapi pelaksanaannya “akan sukar dan panjang.” Berdasarkan pelan dikemukakan Annan, tentera dan senjata berat kerajaan mesti diundurkan dari pusat populasi bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

Ia juga mahu tahanan politik dibebaskan, selain pergerakan bebas dijamin dan wartawan dibenarkan keluar masuk dengan mudah. - Reuters

'via Blog this'

Skirt mini juga porno

myMetro | Skirt mini juga porno:

JAKARTA: Selepas menubuhkan pasukan penguatkuasaan antipornografi, Menteri Hal Ehwal Agama, Suryadharma Ali, berkata skirt yang di atas paras lutut mungkin tergolong dalam definisi bahan pornografi.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengatur mesyuarat dengan pihak yang mempunyai kepentingan berbeza daripada orang ramai, untuk mendapatkan input mengenai bagaimana mereka memahami pornografi. 
“Saya pasti mereka mempunyai definisi yang berbeza mengenainya,” kata Suryadharma.

Beliau yang dilantik oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono untuk memastikan badan itu beroperasi, memberitahi Persidangan Suruhanjaya Dewan Rakyat VIII mengenai Hal Ehwal Agama dan Sosial semalam, satu set kriteria universal untuk mentakrif sesuatu sebagai pornografi perlu diwujudkan dan satu daripadanya ialah skirt mini.

“Apabila standard pornografi itu sudah ditentukan, ia akan dikuatkuasakan di seluruh negara meliputi semua etnik,” katanya.

Untuk mencegah pengedaran bahan-bahan porno di seluruh negara, Susilo. baru-baru ini menubuhkan satu pasukan petugas dalam pengurusan dan pencegahan pornografi sebagai satu badan untuk melaksanakan Undang-undang Pornografi 2008

Susilo melantik Menteri Penyelaras Kebajikan Rakyat, Agung Laksono untuk mengetuai pasukan petugas dan Menteri Hal Ehwal Agama, Suryadharma Ali untuk menguruskan hal operasi harian.

Ahli pasukan petugas termasuk anggota Kabinet yang lain, seperti Menteri Penerangan dan Teknologi, Tifatul Sembiring, Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Amir Syamsuddin, Menteri Memperkasa Wanita dan Perlindungan Kanak-kanak, Linda Gumlar, Menteri Pelajaran dan Budaya, Muhammad Nuh dan Menteri Dalam Negeri, Gamawan Fauzi. - JP

'via Blog this'

Potong kaki kerana malas kerja

myMetro | Potong kaki kerana malas kerja:

MITTERLABILL (Austria): Seorang lelaki yang hampir mati selepas memotong kakinya untuk membolehkan dia terus mendapat elaun ‘menganggur’ terkejut apabila diberitahu dia masih boleh bekerja walaupun kakinya kudung.
Hans Url, 56, yang sudah tidak bekerja dalam tempoh lama diberitahu bantuan diberikan kepadanya akan dihentikan jika dia tidak menerima tawaran kerja yang diberikan oleh kakitangan pusat pekerjaan.

Dan apabila dakwaannya menyatakan dia terlalu sakit dan tidak gemarkan pekerjaan ditawarkan itu diganti dengan tawaran perubatan, dia mengambil langkah drastik. Url dari Mitterlabill, selatan Austria, mengambil mesin gergaji dan memotong kakinya - sebelum mencampakkannya ke dalam ketuhar bagi memastikan tiada pakar bedah dapat menyambungkannya semula.
Bagaimanapun, kakitangan pusat pekerjaan memusnahkan rancangan Url itu apabila mereka memberitahu kecacatan dialaminya itu tidak mengecualikan dia untuk tidak bekerja. Jurucakap polis Franz Fasching berkata: “Rancangan Url memang licik. Dia menunggu hingga isteri serta anak lelakinya keluar dan hanya dia bersendirian di rumah.

“Dia kemudian memetik suis mesin gergaji itu dan memotong kaki kirinya di atas paras buku lali - mencampakkannya ke dalam api, supaya ia tidak boleh disambung semula sebelum menghubungi perkhidmatan kecemasan. “Dia kemudian mengesot ke garaj di mana dia menghubungi petugas kecemasan dan menunggu mereka tiba.” Polis memberitahu Url hampir mati akibat kehilangan banyak darah sebelum petugas paramedik tiba di kediamannya. Mereka turut menemui kakinya yang dipotong di dalam ketuhar. - DM

'via Blog this'

Lelaki dapat muka, gigi baru

myMetro | Lelaki dapat muka, gigi baru:

WAJAH asal Norris (kiri), selepas insiden tembakan (tengah) dan selepas menjalani pemindahan  muka.
WAJAH asal Norris (kiri), selepas insiden tembakan (tengah) dan selepas menjalani pemindahan muka.
WASHINGTON: Seorang lelaki berusia 37 tahun yang cedera dalam kejadian tembakan diberikan wajah, gigi, lidah dan rahang baru yang disifatkan oleh doktor sebagai pemindahan muka besar-besaran pernah dilakukan.
Pegawai di Pusat Perubatan Universiti Maryland mengumumkan semalam, Richard Lee Norris semakin pulih selepas pembedahan 36 jam minggu lalu.

Dia mula merasakan wajahnya dan sudah pun memberus gigi dan bercukur. Dia juga memperoleh semula deria bau yang hilang selepas insiden berkenaan.
Norris, selama 15 tahun lalu, hidup menyendiri, bersembunyi di sebalik topeng dan hanya keluar pada waktu malam. Pemindahan itu akan mengembalikan kehidupannya, kata ketua pakar bedah, Dr Eduardo Rodriguez.

“Ia bagaikan hidup di alam fantasi ketika melihat wajahnya. Sebelum ini, orang akan merenung Norris kerana dia memakai topeng dan mereka mahu melihat kecacatan di wajahnya,” kata Rodriguez.

“Kini, mereka punya alasan lain untuk merenungnya dan ia sungguh menakjubkan,” kata Rodriguez. Pakar bedah menggelarnya pemindahan muka paling lengkap di dunia yang membolehkan lelaki dari Virginia itu muncul di sebalik topengnya selepas 15 tahun.
Ketika Norris menembak dirinya di muka pada 1997, dia kehilangan hidung, bibir dan semua pergerakan di mulutnya. Dia telah menjalani pelbagai pembedahan menyelamatkan nyawa dan membentuk semula wajahnya, tetapi tidak begitu berjaya seperti ini.

Dia menerima wajah baru daripada seorang penderma yang tidak dikenali minggu lalu. Penderma itu turut menyelamatkan lima lagi pesakit pada hari sama melalui pendermaan organnya.
Enam hari selepas pembedahan, Norris sudah boleh menggerakkan lidahnya dan membuka serta menutup matanya. Dia pulih lebih cepat daripada jangkaan doktor. - DM

'via Blog this'

Strauss-Kahn tuntut kekebalan dalam kes serangan seksual di AS

Berita Harian Online | Strauss-Kahn tuntut kekebalan dalam kes serangan seksual di AS: "NEW YORK: Peguam kepada Dominique Strauss-Kahn memberitahu mahkamah di Amerika Syarikat bahawa saman pekerja hotel yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual sepatutnya dibatalkan kerana ahli politik Perancis itu mempunyai kekebalan diplomatik pada waktu berkenaan.

Hakim Douglas McKeon berkata, beliau akan membuat keputusan selepas mendengar perbicaraan selama 90 minit di mahkamah di Bronx di mana peguam Strauss-Kahn berhujah bahawa bekas ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) itu "mempunyai kekebalan diplomatik yang dinikmati pegawai tertinggi dan diplomat lain."

Peguam Strauss-Kahn, Amit Mehta, berkata saman berkenaan yang tidak dinyatakan jumlah ganti rugi "mesti dibatalkan". - AFP"

'via Blog this'

Itali sita AS$1.5 bilion aset keluarga Muammar Gaddafi

Berita Harian Online | Itali sita AS$1.5 bilion aset keluarga Muammar Gaddafi:
ROM: Jabatan kewangan polis Itali mengumumkan penyitaan aset bernilai lebih daripada 1.1 bilion euro (AS$1.5 bilion milik keluarga bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, hari ini. 

Aset itu disita susulan permohonan yang dilakukan Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, yang mana ketika ini sedang menunggu proses ekstradisi anak Gaddafi, Seif al-Islam daripada kerajaan Libya.
Antara aset yang disita termasuk saham kumpulan perbankan terbesar Itali, UniCredit; syarikat minyak, ENI; pengeluar kereta, Fiat; kelab bola sepak, Juventus; bangunan di Rom; 60.7 hektar tanah di Pulau Pantelleria dan dua kereta. - AFP
'via Blog this'

Dua lelaki cium mulut kena penjara enam bulan

Berita Harian Online | Dua lelaki cium mulut kena penjara enam bulan:
ABU DHABI: Sebuah mahkamah rayuan di Abu Dhabi mengekalkan hukuman enam bulan penjara terhadap dua lelaki, masing-masing dari Eropah dan Asia kerana bercium mulut di tempat awam. 

Mahkamah juga mengarahkan mereka diusir selepas menjalani hukuman, lapor sebuah akhbar, semalam.
Mahkamah berkenaan menyokong hukuman sebelum ini selepas seorang saksi mengesahkan semula yang beliau nampak pasangan itu berpeluk dan bercium di satu jalan di Abu Dhabi, kata akhbar berbahasa Arab, Alittihad.Kedua-dua defendan yang tidak dikenali itu memberitahu mahkamah, mereka berpelukan sementara lelaki Eropah itu berkata, beliau mencium kepala rakannya kerana sudah mahu meninggalkan Emiriyah Arab Bersatu. 

Peguam bela meminta mereka dibebaskan kerana saksi memberi kenyataan bercanggah. 
Akhbar itu berkata, saksi ketika itu memandu di kawasan berkenaan. 

Saksi memberitahu, pada asalnya dia tidak pasti apa yang sedang dilihat dan kemudian menoleh kembali lalu melihat mereka bercium. – Agensi
'via Blog this'

Pesawat kawalan jauh AS bakal ronda Asia Pasifik

Berita Harian Online | Pesawat kawalan jauh AS bakal ronda Asia Pasifik:
SYDNEY: Australia mungkin membenarkan Amerika Syarikat menggunakan wilayahnya untuk melancarkan operasi pesawat kawalan jarak jauh meronda kawasan Asia-Pasifik. Ia sebahagian rancangan Amerika meningkatkan kehadirannya di Asia Pasifik yang menimbulkan kemarahan China.

Washington dan Canberra merancang memperluas hubungan ketenteraan dengan kerahan pertama 2,500 anggota marin ke utara Australia didedahkan November lalu oleh Presiden Barack Obama dan mereka dijangka tiba bulan depan.
Rancangan itu menimbulkan kemarahan Beijing dan membimbangkan beberapa negara Asia selepas Washington membuat kenyataan bahawa ia berhasrat menjaga kepentingannya di rantau ini ketika China semakin agresif.
Cocos adalah satu kemungkinan...ia prospek jangka panjang dan perlu dianggap sebegitu. - Stephen Smith, Menteri Pertahanan Australia
Media Australia memetik berita dalam akhbar Washington Post bahawa Amerika mempertimbangkan Kepulauan Cocos, pulau batu karang di Lautan Hindi , barat laut Australia, untuk melancarkan pesawat kawalan jauh itu.

Cocos akan menggantikan pangkalan Diego Garcia di Lautan Hindi, selepas Amerika memajaknya dari Britain dan dijangka digunakan semula menjelang 2016.

Kapal pengangkut pesawat dan kapal selam berkuasa nuklear juga akan diletakkan di Perth sebagai sebahagian usaha memfokus semula sumber pertahanan Amerika di rantau itu, tambah laporan.

Menteri Pertahanan Australia, Stephen Smith berkata penggunaan Pulau Cocos adalah satu langkah jangka panjang untuk merapatkan hubungan dua negara selain kerana pangkalan udaranya perlu di naik taraf sebelum dapat digunakan. 
“Cocos adalah satu kemungkinan...ia prospek jangka panjang dan perlu dianggap sebegitu,” kata Smith kepada radio ABC.

“Ia bukan ideal ketika ini kerana satu daripada perkara yang kita perlu lakukan adalah satu naik taraf infrastruktur, terutama tempat pendaratan pesawat.

“Ia adalah antara alasan sebab mengapa ia adalah untuk jangka panjang.” Naik taraf memerlukan perbelanjaan antara A$75 hingga A$100 juta (RM239.58 juta hingga RM319.45 juta), tambahnya.

Cocos dilihat sebagai lokasi terbaik untuk menempatkan pesawat pemantau tanpa pemandu untuk mengawasi laluan perkapalan paling sibuk dan Laut China Selatan.

China, Taiwan, Filipina, Vietnam, Malaysia dan Kemboja membuat tuntutan di kawasan tertentu di situ.

Smith berkata, kerjasama lebih rapat adalah perkara utama bermula dengan kehadiran marin Amerika di Wilayah Utara, capaian ruang udara lebih besar dan penggunaan lebih baik HMAS Stirling berpangkalan di Perth. – AFP
'via Blog this'

Boleh soal kami 'online': Taliban

Berita Harian Online | Boleh soal kami 'online': Taliban:

pix_gal0
Pergerakan militan Afghanistan wujudkan ruang bersoal jawab di laman web 

KABUL: Pergerakan Taliban mewujudkan ruang soal jawab di laman webnya bagi membolehkan sesiapa juga bertanya kepadanya mengenai apa jua pendiriannya termasuk sama ada ayat suci al-Quran boleh disiarkan di Facebook atau pengebom bunuh diri yang membunuh orang awam tidak bersalah.
Mereka yang berminat boleh mengemukakan soalan di laman Voice of Jihad, laman web rasmi Emiriah Islam Afghanistan, nama rasmi pergerakan itu untuk dijawab jurucakapnya, Zabihullah Mujahid.Kewujudan ruang perbincangan awam di internet itu menunjukkan sejauh mana pergerakan itu mengubah pendiriannya mengenai teknologi. Apabila berkuasa, Taliban mengharamkan televisyen atas alasan programnya tidak bercirikan keislaman, malah menggantung televisyen di atas pokok. 

Kini mereka memanfaatkan media sosial dan turut mempunyai akaun Twitter seperti juga pengaman Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) diketuai NATO, dengan jurucakapnya sering bertikam lidah online. 

Bulan lalu, bekas ketua skuad pencegah maksiat Taliban, Maulavi Qalamuddin yang merotan wanita kerana tidak memakai burqa dan memenjarakan lelaki jika tidak berjambang, memberitahu AFP beliau kini memiliki dua televisyen di rumahnya. 

Laman Voice of Jihad penuh dengan kutukan terhadap kerajaan Kabul menyifatkannya hamba atau boneka Barat selain kafir dan ‘musuh Islam’ selain menggembar-gemburkan kejayaannya menentang pemerintah sejak satu dekad lalu. 
Jawapan yang diberi menggunakan gaya bahasa konsisten dan jelas ditulis individu yang mendedahkan dirinya sudah berkahwin, berusia pertengahan dan suka makanan halal tetapi enggan memberi lebih banyak perincian peribadi atas alasan keselamatan. 

Kebanyakan soalan jelas daripada penyokong Taliban dan memuji militan, kadangkala mengucapkan selamat berjaya dalam perang suci menentang tentera Salib. 

Namun, pelawat memberi namanya sebagai Haseeb Ul Rahman berkata: “Tidakkah anda fikir membunuh orang menerusi serangan bunuh diri dan letupan bom setiap hari adalah dosa besar? Siapa yang anda fikir dipertanggungjawabkan oleh Allah?” 

Lebih 3,000 orang awam maut dalam konflik Afghanistan tahun lalu, lebih tiga perempat dibunuh Taliban atau pemberontak lain, Mujahid merujuk ‘masalah teknikal’ dalam isu kematian itu. 

“Saya setuju membunuh orang awam tidak dapat diterima, namun marilah ingat ada kalanya orang awam terkorban dan ada kalanya ia hanya propaganda musuh,” katanya. – AFP

'via Blog this'

Verrelli menang RM3.06 juta kerana resipi pencuci mulut

Kosmo! Online - Dunia:


CHRISTINA VERRELLI bergambar dengan pencuci mulutnya yang memenangi hadiah RM3.06 juta.


MIAMI, Amerika Syarikat - Seorang wanita, Christina Verrelli, 43, dari Devon memenangi hadiah AS$1 juta (RM3.06 juta) pada pertandingan memasak di Orlando, negeri Florida.
Dia menewaskan 94 wanita dan lima lelaki pada pertandingan Memasak Pillsbury Kali Kelima.
Verrelli menang menerusi resipi pencuci mulut yang menggunakan pai labu dan krim.
Pengumuman kemenangannya dibuat pada satu siaran langsung program The Martha Stewart Showkelmarin. - Agensi

'via Blog this'

Pelancong sewa kereta kebal

Kosmo! Online - Dunia:


KERETA itu remuk teruk semasa dilenyek kereta kebal.


CHRISTCHURCH, New Zealand - Sebuah syarikat di sini, menawarkan kemudahan untuk pelancong asing menyewa kereta kebal dan memusnahkan kereta.
Antara kereta kebal yang ditawarkan untuk disewa itu ialah Centurion buatan Britain yang seberat 52 tan dan menggunakan enjin Rolls-Royce V-12.
Kereta kebal itu digunakan di Vietnam pada awal tahun 1970-an.
"Saya berpendapat, ia akan melegakan tekanan dengan menggunakan kereta kebal untuk memusnahkan sesuatu," kata pemilik kereta kebal berkenaan, Jonathan Lahy-Neary.
"Jika anda menempuh hari yang buruk, ia merupakan pelega tekanan yang baik," tambahnya.
Terdapat juga kereta kebal semasa Kesatuan Soviet, T-55 yang turut ditawarkan kepada para pelancong.
Menurut Lahy-Neary, para pelanggannya terdiri daripada remaja sehingga penduduk yang berusia 80 tahun yang menyewa semasa meraikan hari kelahiran mereka.
Bayaran sewa yang dikenakan ialah sebanyak NZ$450 (RM1,125.84) jika memandu kereta kebal selama 15 minit dan tambahan sebanyak NZ$395 (RM988.31) apabila ia digunakan untuk memusnahkan kereta.
Menurut Lahy-Neary, mengimport kereta kebal itu ke New Zealand lebih sukar daripada membelinya.
Katanya, beliau pernah berdepan dengan para pegawai polis dan kastam yang tidak tahu untuk menguruskan permintaannya. - AFP

'via Blog this'

DR. KNUT PFEIFFER KAGUM DENGAN AIR ZAM - ZAM


Pada Mei lalu, satu temu bual telah dijalankan di Arab Saudi dengan Dr. Knut Pfeiffer dari Jerman, menyatakan tentang kekagumannya terhadap air zam-zam. Idea untuk menguji air yang dianggap suci oleh umat Islam itu muncul apabila dia menerima sebotol air zam-zam dari seorang kawan lama yang baru pulang menunaikan haji. Dia mengambil masa dua minggu untuk menjalankan uji kaji ke atas 60 orang reponden yang aktif.


Dia membandingkan air di Munich, Jerman dengan air zam-zam. Semua orang tahu, air di Munich adalah paling asli dan bersih. Menurut Dr. Knut, air di Munich dari segi kimianya memang sempurna tetapi dari segi tenaganya hancur.

Katanya setelah melalui perjalanan yang jauh dari Jeddah ke Munich kemudian melalui tempoh yang panjang berada di dalam simpanan dan mengalami perubahan cuaca tetapi air zam-zam tidak berubah langsung. Itulah hasil yang dapat dibuktikan melalui gambar sel 40 orang yang diberi minum air tersebut.

Di dalam temu bual itu, Dr. Knut menjalaskan, zam-zam mampu membekalkan tenaga jauh lebih banyak berbanding minuman biasa.

“Ujian sel badan yang diberi minum air zam-zam menunjukkan kesan yang positif. Sel-sel di dalam badan menjadi lebih segar dan menyukai air zam-zam. Apa yang saya lihat inilah jawapannya, jika sistem sel badan memberikan kesan positif maka tenaga akan bertambah kerana tenaga datangnya dari sel yang sihat.

“Ibaratnya seperti menerima ciuman dari orang yang kita suka dan cinta. Perasaan gembira di dalam hati itu sukar digambarkan. Bila lahir di dalam senyuman yang kita balas untuk orang yang memeberikan ciuman itu, ia penuh bermakna. Begitulan juga sel yang diberi minum air zam-zam, macam rasa cinta. Kalau sel itu boleh bersua mungkin ia akan kata, “Wow! Aku menyukainya.”

“Ia adalah air pemberi tenaga yang paling hebat dan boleh membuatkan anda sihat. Jika ada peluang minum setiap hari anda akan lebih sihat kerana ia adalah terapi semula jadi. Di masa hadapan mungkin kita boleh hentikan kebergantungan kepada ubatan kimia kerana ianya memberikan kesan yang tidak baik kepada tubuh. Air zam-zam bukan sekadar mengenyangkan, menambah lagi tenaga, tetapi juga sebagai penawar segala penyakit.

“Saya hanya mengupas sedikit sahaja tentang air zam-zam tetapi ia telah membongkar banyak rahsianya. Dari mana sumbernya? Berapa banyak tenaga yang air itu miliki semasa di Mekah dan berapa yang tinggal apabila dibawa terbang jauh dari kota. Dengan mengkaji lebih mendalam, kita dapat mengetahui lebih banyak lagi khasiatnya,” Jelas Dr. Knut yang juga membuat kajian tentang kekuatan sembahyang orang islam dan semabahyang orang kristian. Baginya sembahyang orang Islam member kesan positif dan boleh mengekalkan tahap tenaga untuk jantung.

Sedangkan doktor Kristian pun kagum dengan kehebatan air zam-zam, apatah lagi sebagai orang Islam yang memang ada peluang untuk menikmati air itu. Itulah tanda kekuasaan Allah yang diberikan kepada Umat Islam.

sumber: Majalah Al-Islam
DR. KNUT PFEIFFER : http://www.pst-knutpfeiffer.de/index.php?id=2&L=vazhmwxisq
Klip Video : http://www.youtube.com/watch?v=pcmpI1gsOkI&feature=player_embedded

Disalin dengan sedikit ubahsuai dari : http://zharifalimin.blogspot.com/2010/12/dr-knut-pfeiffer-kagum-dengan-air-zam.html

Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. ( Surah an-Anfal : Ayat 2 )

Wallahua'lam