Pages

Friday, March 9, 2012

Bekas pengurus 'kebas' duit pelanggan dipenjara

Bekas pengurus 'kebas' duit pelanggan dipenjara - Global - Sinar Harian:
Melinda
JAKARTA - Seorang bekas eksekutif Citibank di Indonesia dikenakan hukuman penjara lapan tahun setelah didapati bersalah mencuri RM12 juta (AS$4 juta) dari akaun pelanggan untuk hidup mewah dan menjalani pembedahan kosmetik.

Mahkamah Daerah Jakarta Selatan memutuskan pengurus perhubungan pelanggan, Malinda Dee, 49, bersalah atas tuduhan memindahkan wang dari akaun pelanggan.

Malinda ditangkap pada Mac tahun lalu.

Wang itu digunakan untuk hidup mewah termasuk membeli kereta dan menjalani pembedahan kosmetik.

Agensi kawal selia Indonesia mengenakan sekatan ke atas Citibank ekoran kes itu.

Pendakwa raya menuduh Malinda mengarahkan 117 pemindahan dana dengan setiap satu berjumlah dua bilion rupiah (RM674,786) daripada akaun pelanggannya atau akaun beberapa kenalannya antara tahun 2007 dan 2011.

Laporan media sebelum ini menyebut wang tersebut digunakan untuk membeli kereta Ferrari, Porsche, Mercedes dan Hummer selain beberapa buah rumah dan apartmen mewah.

Mahkamah juga memerintahkan agar dua kereta Ferrari, sebuah Hummer dan sebuah trak pikap Toyota selain wang tunai berjumlah RM676,056 dikembalikan kepada Citibank.

Citibank yang merupakan bank ketiga terbesar di Amerika Syarikat mengarahkan satu siasatan dalaman dilakukan selepas seorang pelanggannya mengesan dan melaporkan pemindahan wang dilakukan tanpa kebenarannya.

Suami Malinda, adik perempuan dan juga adik iparnya telah pun dikenakan hukuman penjara empat tahun berhubung kesalahan pengubahan wang haram.

'via Blog this'

Kaku Pak Belang depan mata

Kaku Pak Belang depan mata - Selangor & KL - Sinar Harian:
pak belang
KAMPUNG BARU PASIR PENAMBANG - “Saya kaku dan hanya mampu tergamam sebaik melihat kelibat harimau dengan jarak tidak jauh daripada tempat berdiri,” kata seorang penduduk, Hasbullah Abd Rahman, 45, menceritakan detik cemas selepas terserempak Pak Belang itu di ladang kelapa sawit, di sini, kelmarin.

Hasbullah berkata, ketika kejadian, dia hanya mampu memikirkan nasib kemungkinan akan menjadi mangsa haiwan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, sebaik mendengar ngauman kuat, dia bagaikan baru tersedar dan menggagahkan diri berlari sekuat hati ke laluan utama, manakala tujuh lagi rakan yang turut berada dalam ladang berkenaan lari lintang pukang.

“Tanpa memandang ke belakang, kami lari seakan tidak cukup tanah, apabila sampai di jalan besar, saya terus mencari rakan yang lain,” katanya yang tidak menyangka khabar angin harimau berkeliaran di kawasan itu sebelum ini, adalah benar.

Sebelum kejadian, Hasbullah bersama tujuh lagi penduduk kampung yang tidak berpuas hati dengan khabar angin terbabit mengambil keputusan untuk meninjau kawasan ladang kelapa sawit kira-kira jam 4.30 petang.

Namun, mereka sama sekali tidak menyangka terserempak dengan haiwan berkenaan.

Hasbullah berkata, belum sempat meninjau kawasan ladang itu dengan lebih jauh, enam rakan lain terlebih dahulu menyedari kelibat harimau itu tanpa memaklumkan kepadanya yang berada lebih jauh di hadapan.

“Apabila lihat dengan mata sendiri, saya kini gementar dan bimbang jika ada penduduk lain yang melalui kawasan itu, terutama mereka yang menghantar anak ke sekolah berhampiran,” katanya yang masih trauma dengan insiden itu.

Seorang penduduk, Nordin Ahmad, 23, mengakui pernah terserempak dengan haiwan liar terbabit kira-kira tiga minggu lalu ketika menunggang motosikal ke pekan bersama dua rakannya kira-kira jam 10 malam.

“Kami menggunakan jalan alternatif yang ada untuk ke Kampung Permatang dan apabila sampai di simpang tiga, saya terkejut apabila terlihat ada seekor harimau yang ketika itu sedang berbaring di tepi kiri jalan.

“Saya beritahu rakan lain mengenai penemuan itu, namun mereka tidak percaya,” katanya.

Ketua Kampung Permatang, Mohd Za’aba Muda ketika ditemui berkata, pihaknya sudah memaklumkan insiden itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Kebanyakan anjing liar dan babi hutan tidak kelihatan di kawasan ladang kelapa sawit itu lagi, kemungkinan ia menjadi makanan haiwan buas itu,” katanya yang berharap perkara ini dapat diselesaikan segera.

Difahamkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah membuat tinjauan, bagaimanapun belum dapat mengenal pasti sama ada wujud harimau seperti yang didakwa penduduk kampung berkenaan.

'via Blog this'

Pulang ke Baba Amr

Pulang ke Baba Amr - Global - Sinar Harian:
Musnah
BEIRUT - Majoriti penduduk Syria mula kembali ke daerah Baba Amr, Homs, kelmarin walaupun pasukan Bulan Sabit Merah mengalami kesukaran menyalurkan bantuan perubatan ke kawasan itu.

Televisyen tempatan menyiarkan, puluhan penduduk di kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak berjalan kaki merentasi kawasan kotor, bangunan berlubang yang hampir musnah.

Bulan lalu, pasukan ketenteraan Syria mengebom Baba Amr dalam tempoh sebulan, sebelum pemberontak menentang kerajaan Presiden Bashar al-Assad meninggalkan kawasan itu minggu lalu.

Roket grenad, senapang-senapang dan senjata api milik pengganas bersenjata ditinggalkan di tepi jalan di kejiranan itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Syria masih enggan membenarkan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memasuki Baba Amr bagi mengagihkan bantuan perubatan.

“Kami masih belum dibenarkan masuk ke Baba Amr. Saya tidak akan terkejut jika penduduk-penduduk berpatah balik,” kata jurucakap ICRC, Saleh Dabbakeh.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), lebih 7,500 orang awam terbunuh di Syria berikutan tindakan keras membantah kerajaan Assad.

'via Blog this'

Askar PBB bawa taun ke Haiti

Askar PBB bawa taun ke Haiti - Global - Sinar Harian:
Askar PBB bawa taun ke Haiti
PORT-AU-PRINCE - Bekas timbalan presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton, kelmarin mendakwa misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mungkin bertanggungjawab menyebarkan taun di Haiti.

Hasil kajian mendapati pasukan pengaman dari Nepal dipercayai menjadi penyebar pertama wabak itu, beberapa bulan selepas Haiti dilanda gempa bumi pada Januari 2010.

Clinton turut menyatakan antara faktor lain wabak tersebut cepat merebak kerana tiada kelengkapan sanitasi yang sempurna.

Difahamkan, lebih 7,000 orang telah terkorban manakala kira-kira 526,000 lagi jatuh sakit akibat dijangkiti taun sejak ia mula menular kira-kira dua tahun lalu.

'via Blog this'

Penyerang Norway didakwa

Penyerang Norway didakwa - Global - Sinar Harian:
Penyerang Norway didakwa
OSL0 - Pelampau anti-Islam, Anders Behring Breivik, 33, yang melancarkan serangan berkembar di dua tempat berasingan pada tahun lalu didakwa melakukan tindakan keganasan dan pembunuhan terancang oleh pendakwa raya di Norway, kelmarin.

Sebelum ini, Breivik mengaku bertanggungjawab melancarkan kedua-dua serangan itu sehingga menyebabkan 77 orang terkorban pada 22 Julai lalu, namun menafikan dia melakukan sebarang kesalahan jenayah semasa insiden pengeboman di Oslo dan serangan di sebuah kem musim panas di Pulau Utoeya tersebut

“Tertuduh telah melakukan kesalahan jenayah yang serius dan pertama di Norway pada era ini namun ia tidak diletakkan sebagai jenayah kemanusiaan di bawah undang-undang kerajaan,” menurut pendakwa raya, Svein Holden.

Dua psikiatri yang memeriksa Breivik sebelum ini mendapati dia mengalami gangguan mental melampau semasa melancarkan serangan menggemparkan itu tetapi pendakwa raya menegaskan penilaian tersebut mungkin boleh berubah dengan pemeriksaan susulan sebelum perbicaraan seterusnya pada 16 April depan.

Difahamkan, individu yang didakwa melakukan keganasan dan pembunuhan di negara tersebut akan dipenjara 21 tahun, namun mahkamah berhak untuk melanjutkan tempoh hukuman jika banduan itu dilihat berpotensi mengulangi jenayah sama.

'via Blog this'

Maluku terus berdarah

Maluku terus berdarah - Global - Sinar Harian: "AMBON - Ketegangan antara dua kampung di Maluku Tengah, Indonesia, menyebabkan seorang lagi terbunuh dan empat yang lain cedera.

Pergaduhan kelmarin, melibatkan serangan di antara kumpulan pemastautin Porto dan Haria di Saparua yang tercetus sejak Ogos lalu.

Jurucakap polis Maluku, Johanes Huwae berkata, konflik berpunca dari masalah pere­butan­ sumber air itu berlaku apabila seorang individu melepaskan tembakan ke arah sebuah van mini awam di Saparoa dan mencederakan seorang penumpang wanita.

Insiden tersebut didakwa berlarutan apabila kedua-dua penduduk kampung saling berbalas serangan dengan menggunakan pelbagai jenis senjata."

'via Blog this'

Pelacur China didenda 60 sen

Pelacur China didenda 60 sen - Global - Sinar Harian:COLOMBO - Seorang wanita warga China didenda maksimum 10 rupee (RM0.60) selepas mengaku bersalah melacurkan diri di Sri Lanka, menurut laporan media, kelmarin.

Akhbar Financial Times berpusat di Colombo melaporkan, Majisterit Kanishka Wijeratne mengarahkan wanita itu membayar denda tersebut selepas menilai semua peruntukan terhadap kesalahannya.

Bagaimanapun, ketua polis, Mangala Dehideniya berkata, denda yang dikenakan tidak munasabah kerana ia jauh lebih murah daripada kos pentadbiran tahanan dan perbicaraan mahkamah.
'via Blog this'

Bas usang jadi ‘rumah’ dua beradik malang

Bas usang jadi ‘rumah’ dua beradik malang - Global - Sinar Harian:
Bas usang jadi ‘rumah’ dua beradik malang
SPLENDORA, Texas — Kisah dua adik-beradik yang tinggal dalam sebuah bas usang berhampiran Houston sejak beberapa bulan lalu akhirnya terbongkar selepas seorang posmen melaporkan mengenai kes mereka kepada pihak berwajib.

Seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan kakaknya, 11, mula hidup merempat selepas ibu bapa mereka, Mark Pendekkan dan isteri, Sherrie dipenjarakan setelah disabitkan menggelapkan wang daripada seorang mangsa Taufan Ike tahun 2008.

Sherrie ditangkap pada Disember 2010, diikuti Pendekkan pada Mac 2011.

Ejen kebajikan kana-kanak, Vanessa Picazo berkata, ketika ditemui, kanak-kanak itu berada dalam keadaan tidak terurus dan rambut mereka juga kusut.“Sebaik diselamatkan, kedua beradik ini ditempatkan di rumah keluarga angkat sementara pihak berkuasa menyiasat kes itu.

“Sebelum ini, mereka juga dilaporkan tinggal dalam sebuah kereta buruk yang diletakkan di sebuah lorong bersama ibu bapa mereka sebelum dipenjarakan,” katanya.

Menurut Picazo, ketika siasatan dijalankan, Pendekkan mendakwa, dia tidak pernah berniat menjadikan bas itu sebagai rumah kekal mereka kerana keluarganya telah merancang membina sebuah rumah di tapak tetapi masih terbengkalai.Pendekkan turut mendakwa ‘rumah’ itu biasanya bersih.

“Jika saya atau isteri saya berada di sana, sudah tentu ia tidak akan berada dalam keadaan itu, saya memberi jaminan," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili ibu kanak-kanak itu, Randal McCann berkata, sejak ibu bapa kanak-kanak dipenjarakan setahun lalu, mak cik mereka, Louisiana diamanahkan menjaga mereka tetapi gagal berbuat demikian, malahan mereka juga tidak didaftarkan di sekolah.

"Mak cik mereka yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku ke atas kanak-kanak malang itu.

“Saya benar-benar terkejut membaca laporan akhbar pagi ini tentang kisah mereka dan saya tidak pasti sama ada mak cik mereka ada melawat mereka atau tidak," kata McCann ketika merujuk kepada laporan Houston Chronicle.

McCann turut mendakwa, mak cik kanak-kanak itu sering menghubunginya tetapi untuk membincangkan kes jenayah adiknya dan bukannya mengenai anak-anak saudaranya. - AP

'via Blog this'

Dua belas tentera cedera dalam serang hendap kumpulan pemisah

Dua belas tentera cedera dalam serang hendap kumpulan pemisah - Global - Sinar Harian:BANGKOK - Dua belas anggota tentera cedera parah apabila dua pangkalan tentera di Bachok, Narathiwat, diserang hendap oleh lebih 50 anggota kumpulan pemisah di sini awal hari ini.
Timbalan ketua polis Narathiwat Pol Kol Nanttadej Yoi-nual berkata dua kumpulan militan membuat serangan serentak terhadap pangkalan tentera di Kampung Sompoi dan satu lagi di pangkalan tentera yang terletak satu kilometer dari kem pertama di Jabatan Pengairan, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Bantuan ketenteraan lewat dua jam berikutan sekatan laluan ke dua pangkalan tentera itu apabila kumpulan militan ketiga menumbangkan pokok, meletakkan bom dan paku di sepanjang laluan, katanya.
Beliau berkata tembak menembak antara militan dan tentera berlaku kira-kira 20 minit.
Semua yang cedera dirawat di Hospital Narathiwat dan pada masa ini tidak dapat dipastikan jumlah sebenar yang cedera dari setiap pangkalan, katanya.
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan disyaki pemisah menggerakkan semula kempen bersenjata mereka untuk menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah selatan Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. - Bernama

'via Blog this'

Pakistan dakwa 3 balu Osama

Pakistan dakwa 3 balu Osama - Global - Sinar Harian:
Kematian Osama bin Laden dipermainkan
ISLAMABAD - Tiga balu ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden yang ditembak mati Mei lalu oleh tentera AS, dikenakan tuduhan oleh pihak berkuasa Pakistan atas kesalahan memasuki negara itu secara tidak sah.
Menteri Dalam Negeri Pakistan, Rehman Malik berkata, mereka yang dipercayai masing-masing dua rakyat Arab Saudi dan seorang lagi warga Yemen, telah dikenakan tuduhan tetapi tidak tahu bila tarikh mula kes mereka akan bermula.
Ketiga-tiga isteri terbabit dan 10 orang kanak-kanak mereka ditahan pihak berkuasa Pakistan selpas askar AS menyebu sebuah rumah besar didiami Osama selepas melarikan diri daripada buruan Washington.
Ketiga-tiga mereka tinggal di rumah didiami Osama di Abbottabad, yang menjadi sasaran serangan Navy Seals awal Mei lalu.
Osama menjadi buruan AS sejak peristiwa 11 September 2011.
Rehman memberitahu pemberita bahawa hanya orang dewasa dihadapkan di mahkamah manakala anak mereka bebas pulang ke negara asal masing-masing jika ibu mereka bersetuju.
Pakar perundangan berkata, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun.

'via Blog this'

Banjir melanda kembali

Banjir melanda kembali - Perak - Sinar Harian:
Banjir melanda kembali
SUNGAI MANIK - Dalam masa satu minggu, Dun Changkat Jong dan Sungai Manik dilanda dua kejadian banjir yang mana kejadian terbaru berlaku pada awal pagi semalam melibatkan 169 mangsa daripada 41 keluarga.
Kejadian banjir di Dun Changkat Jong memaksa 100 mangsa daripada 26 keluarga berpindah ke dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong sejak jam 9 pagi semalam, manakala selebihnya adalah dari kawasan Dun Sungai Manik.
Ketia Kampung Tukang Sidin, Sungai Manik, Mohd Ali Abd Hamid memaklumkan, hujan lebat melanda selama beberapa jam pada petang kelmarin menyebabkan paras air sungai berhampiran naik mendadak.
Mohd Ali berkata, air sungai telah mula masuk ke dalam rumah penduduk sejak pada awal pagi semalam selepas ban sungai berkenaan pecah dan beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai (DOR) Tukang Sidin.
“Setakat ini 15 keluarga, melibatkan 69 mangsa banjir dipindahkan ke DOR Tukang Sidin dan saya menjangka lebih ramai penduduk terpaksa dipindahkan jika hujan berterusan pada petang ini (semalam),” katanya ketika ditemui, di sini.
Pemangku Pegawai Kebajikan Daerah Hilir Perak, Selvaratnam berkata, setakat ini hanya Dewan SK Changkat Jong dan DOR Tukang Sidin digunakan untuk menempatkan semua mangsa banjir dari kedua-dua Dun.
Menurutnya, mangsa terlibat di Changkat Jong merupakan penduduk Kampung Baru Batu 8 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan bantuan segera seperti makanan dan selimut untuk semua mangsa terlibat.
ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menyatakan, jarang sekali paras air banjir meninggi seperti kejadian pada awal pagi semalam dan beliau sendiri terkejut ketika melawat kawasan-kawasan terlibat.
Beliau mengakui kawasan Kampung Tukang Sidin pernah dinaiki air sebelum ini, namun ketinggian paras air dalam kejadian semalam adalah di luar jangkaan.
“Apa yang dapat kita kenal pasti, kejadian banjir kali ini berpunca daripada ban sungai yang pecah kerana tidak dapat menampung kuantiti air yang bertambah secara mendadak.
“Apa yang pasti hujan lebat turut berlaku di sebelah hulu, iaitu di kawasan tinggi dan air sungai dari kawasan berkenaan telah mengalir ke arah Hilir Perak,” katanya.
ZAINOL berkata, selain Tukang Sidin, Kampung Sungai Kerawai, Kampung Ayer Itam, Kampung SC Ayer Itam dan Kampung Degong turut terlibat dalam kejadian banjir di kawasan Dun Sungai Manik.
Beliau turut menjelaskan, selain faktor hujan lebat dan ban sungai pecah, sikap penduduk yang didakwa menarah ban sungai sebagai laluan ke kebun turut menjadi faktor.
Tambah beliau, sikap seperti itu telah menyebabkan air memasuki kawasan kebun dan mengakibatkan petani terpaksa berdepan dengan risiko kerosakan tanaman.
“Saya telah dimaklumkan yang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan cuba membina kembali ban sungai yang pecah itu, namun tidak dapat memastikan ia berjaya dilaksanakan berikutan aliran serta kuantiti air sungai semakin bertambah.
“JPS juga memaklumkan akan melaksanakan usaha berkenaan selepas air sungai surut bagi memudahkan kerja baik pulih,” katanya.

'via Blog this'

Tragedi jalan licin, ragut nyawa 3 bersaudara

Tragedi jalan licin, ragut nyawa 3 bersaudara - Johor - Sinar Harian:
Tragedi jalan licin
BATU PAHAT – Hujan lebat tidak berhenti di daerah ini pagi semalam mengundang padah kepada tiga bersaudara apabila mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 110, Koris, Senggarang.
Dalam kemalangan yang berlaku jam 1 pagi itu, Kancil dipandu Saiful Bakhri Abdullah, 30, yang turut dinaiki Ramley Napi, 43 dan Lasnang Paduk, 56, remuk teruk setelah bertembung sebuah Honda Civic.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, selain keadaan gelap, difahamkan ketika kejadian keadaan jalan agak licin kerana hujan lebat lalu ia menyukarkan kenderaan menekan brek.
“Kancil tersebut dalam perjalanan dari Batu Pahat setelah salah seorang mangsa, Lasnang selesai melakukan rawatan tradisional di sana. Disebabkan jalan licin, anak saudara Lasnang, Saiful
Bakhri gagal mengawal kenderaan yang mereka naiki sejurus tiba di selekoh Koris, dari arah Johor Bahru menghala ke Melaka lalu bertembung dengan sebuah Honda Civic dipandu seorang wanita berusia 40-an.
“Kesan pertembungan itu, Kancil berkenaan berpusing beberapa kali sebelum menghentam sebatang pokok di bahagian bahu jalan," katanya kepada Sinar Harian.
Din berkata, kesan hentaman itu menyebabkan Kancil berkenaan melekat pada pokok manakala kereta dan pemandu Honda Civic terbabit tercampak kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika pihak polis sampai di lokasi, Saiful Bakhri sudah meninggal dunia berikutan kecederaan parah di beberapa bahagian tubuhnya.
Dua lagi mangsa, Ramley yang merupakan sepupu kepada Saiful Bakhri dan Lasnang turut menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.
“Pemandu wanita berkenaan yang juga cedera parah dikejarkan ke Hospital Batu Pahat,” katanya.
Sementara itu, kesemua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid dan Rengit.
Sinar Harian dimaklumkan, pasukan bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa.
Din berkata, berdasarkan siasatan awal, semua mangsa yang maut berasal dari Rengit, Benut dan Senggarang.
Sinar Harian cuba mendapatkan reaksi keluarga mangsa di Kampung Sungai Kluang Laut, Rengit, bagaimanapun mereka enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan tragedi itu.

'via Blog this'

Gempa bumi kuat gegar Kepulauan Vanuatu

Berita Harian Online | Gempa bumi kuat gegar Kepulauan Vanuatu: "KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter menggegarkan Kepulauan Vanuatu pada 3.10 petang tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa terletak 827 kilometer dari barat daya Nadi, Fiji dan 6,184 kilometer dari tenggara Semporna, Sabah."

'via Blog this'

Ling Liong Sik diperintah bela diri kes PKFZ 18 Jun

Berita Harian Online | Ling Liong Sik diperintah bela diri kes PKFZ 18 Jun: "KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa atas pertuduhan menipu kerajaan dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membela diri atas pertuduhan itu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dalam keputusan yang dibacakan lebih satu jam setengah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membukti kes prima facie."

'via Blog this'

Empat askar Thai terbunuh

myMetro | Empat askar Thai terbunuh:NARATHIWAT: Empat anggota tentera terbunuh dan seorang cedera parah apabila kumpulan pemisah Islam meletupkan sebutir bom tepi jalan, kelmarin.
Serangan itu berlaku lewat petang kelmarin di wilayah yang bersempadan dengan Malaysia, di mana pemberontakan yang berlaku meragut lebih 5,000 nyawa sejak 2004 apabila kumpulan pemisah Islam 1970-an, muncul kembali.

Anggota tentera itu yang berada dalam dua kenderaan, sedang dalam perjalanan untuk memberi khidmat keselamatan untuk sebuah pesta Buddha. Mereka diserang tidak lama selepas menghantar mayat seorang penduduk kampung beragama Islam yang dipercayai ditembak mati oleh pejuang pemisah, ke rumah keluarganya.
Tiga anggota tentera mati serta merta dan yang ke-empat meninggal dunia di hospital.

Dalam satu kejadian berasingan, seorang pekebun getah ditembak mati dan isterinya cedera parah awal pagi semalam.

Menurut polis, dua penembak yang tidak dikenali, melepaskan tembakan ketika mereka sedang bekerja di kebun.
Wilayah itu yang terletak lebih 1,100 kilometer daripada Bangkok, merupakan wilayah bebas yang terletak di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu Muslim, sehingga ia dijajah oleh kerajaan Thailand pada 1909.

Kerajaan menegaskan dengan meletakkan tentera secara besar-besaran di wilayah yang kaya dengan getah itu penting untuk menghentikan pemberontakan, tetapi penduduk Islam berkata, kehadiran anggota tentera memburukkan lagi konflik di situ. - Bangkok Post

'via Blog this'

Warga emas seludup 40,000 pil rangsang seks palsu ditahan

myMetro | Warga emas seludup 40,000 pil rangsang seks palsu ditahan: "LOS ANGELES: Bekas pegawai penguat kuasa undang-undang berusia 71 tahun dari Korea Selatan semalam ditahan, beberapa hari selepas kastam menemui bagasi dan beg golf miliknya dimuatkan dengan hampir 40,000 pil Viagra dan pil penguat tenaga batin lain yang palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, kata pihak berkuasa persekutuan.

Kil Jun Lee baru pulang bercuti dari Korea Selatan pada 25 Februari lalu apabila pegawai kastam menemui 29,827 pil Viagra palsu, 8,993 pil Cialis palsu dan 793 pil Levitra palsu yang disembunyikan dalam paket aluminium dan bernilai lebih AS$700,000 (RM2.2 juta), kata pegawai imigresen dan kastam dalam satu kenyataan. Ketika ditanya sama ada ubat itu untuk kegunaannya sendiri, Lee memberitahu pegawai kastam dia menghidap sakit jantung dan jika dia menggunakan semua pil itu, ia akan membunuhnya. - AP"

'via Blog this'

Israel belum sedia hadapi kesan perang

myMetro | Israel belum sedia hadapi kesan perang: "BAITULMAQDIS: Israel tidak bersedia sama sekali bagi menghadapi kesan peperangan, kata seorang anggota Parlimen rejim Zionis yang bertanggungjawab terhadap persediaan rakyat menghadapi peperangan.

Zeef Bielsky memberitahu demikian kepada wartawan ketika ketegangan semakin meningkat berhubung kemungkinan perang dengan Iran meletus.


Dia menyalahkan kerajaan Israel kerana bersikap tidak endah dan berkata, negara itu menghadapi kekurangan topeng gas dan kubu yang amat ketara. “Hari ini, hanya 60 peratus penduduk, antara 4.5 hingga lima juta orang, memiliki topeng gas. Ketika ini, 1.7 juta penduduk tidak mempunyai perlindungan daripada bom atau kubu.

“Kita sepatutnya bersedia setiap masa untuk berdepan dengan apa juga keadaan. Tetapi, hari ini, kita tidak bersedia langsung,” kata Bielsky.


Menurutnya, kekurangan topeng gas adalah kesan daripada kegagalan rejim Zionis menyediakan dana secukupnya kepada dua kilang Israel yang mengeluarkan topeng itu. - AFP"

'via Blog this'

16 istana Raja Arab dijadikan muzium

myMetro | 16 istana Raja Arab dijadikan muzium: "JEDDAH: Pihak berkuasa merancang mengubahsuai 16 istana yang dibina sepanjang pemerintahan Raja Abdul Aziz, pengasas negara moden Arab Saudi, menjadi muzium dan pusat warisan.

Pengerusi Suruhanjaya Pelancongan dan Antikuiti, Putera Sultan Bin Salman berkata, Raja Abdullah sudahpun meluluskan penyerahan Istana Saqaf di Makkah untuk tujuan itu.


Muzium itu akan mempamerkan gambar dan dokumen yang jarang dilihat.

“Ia akan mencatatkan warisan Arab Saudi dan memberitahu generasi akan datang mengenai kehebatan sejarah nenek moyang mereka.” kata Sultan. - AN"

'via Blog this'

Senjata baru AS untuk Zionis

myMetro | Senjata baru AS untuk Zionis:BAITULMAQDIS: Ame - rika Syarikat menawarkan Israel senjata canggih sebagai balasan kepada rejim Zionis itu kerana tidak menyerang kemudahan nuklear Iran tahun ini.
Akhbar Israel, Maariv yang memetik sumber diplomat dan perisikan melaporkan, pentadbiran Amerika Syarikat menawar untuk membekalkan Israel dengan bom pemusnah kubu dan pesawat mengisi minyak jarak jauh ketika lawatan Perdana Menteri rejim itu, Benjamin Netanyahu ke Washington baru-baru ini.

Sebagai balasan, Israel akan bersetuju untuk menangguhkan kemungkinan menyerang Iran sehingga 2013, selepas pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada November.
Israel dan Barat mendakwa Iran berhasrat menghasilkan senjata atom menerusi program nuklearnya, tuduhan yang disangkal oleh Teheran.

Ia menjadi agenda utama dalam rundingan antara Netanyahu dengan Presiden Barack Obama awal minggu ini.

Amerika Syarikat dan Israel bercanggah pendapat mengenai ancaman Iran.
Pemimpin Zionis itu berkata Isnin lalu, usaha diplomasi untuk menyekat program nuklear Iran gagal dan ‘tidak seorang daripada kami sanggup menunggu lebih lama.’ Perbezaan utama antara Washington dan Israel ialah mengenai garis masa untuk menyerang Iran. Negara Yahudi itu menimbang kemungkinan untuk menyerang Teheran dalam masa terdekat ini. Menurut laporan itu, pentadbiran Amerika menawarkan Israel senjata canggih untuk mempengaruhi rejim berkenaan supaya menangguhkan hasratnya.

Antara yang ditawarkan ialah bom pemusnah kubu yang lebih kuat berbanding yang dimiliki rejim Zionis itu ketika ini. Ia akan membolehkan Israel menyasarkan kemudahan nuklear Iran walaupun di bawah tanah.
Laporan itu disiarkan sejurus selepas kuasa dunia yang dikenali sebagai P5+1, lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan dan Jerman, menawar untuk menyambung rundingan mengenai program nuklear Iran yang sudah sekian lama tertangguh. - Agensi

'via Blog this'

Li Ka-shing terkaya di Asia

myMetro | Li Ka-shing terkaya di Asia:HONG KONG: Taikun Hong Kong Li Ka-shing merampas semula kedudukan teratas sebagai lelaki terkaya Asia selepas tujuh tahun, mengetepikan Lakshimi Mittal dari India dalam senarai terbaru bilionair Forbes yang dikeluarkan, semalam.
Ka-shing yang berusia 83 tahun mempunyai harta bernilai AS$25.5 bilion (RM8 bilion), mengatasi ahli perniagaan keluli berpangkalan di London, Lakshimi yang kerugian $10.4 bilion (RM33.3 bilion) tahun lalu apabila saham dalam ArcelorMittal, pembuat keluli terbesar dunia menjunam. Lakshimi yang turut terkeluar daripada senarai 10 teratas dunia buat kali pertama sejak 2005 kini dianggarkan mempunyai harta bernilai $20.7 bilion (RM66.2 bilion).

Ka-shing yang mempunyai nama gelaran “superman” ekoran kejayaan perniagaannya dalam tempoh yang panjang memulakan perniagaan sebagai pembuat bunga plastik dan kini mempunyai empayar perniagaan yang meluas termasuk hartanah telekom, kemudahan awam, pelabuhan dan peruncitan.
Satu daripada setiap tujuh kediaman di Hong Kong, bandar raya di selatan China dibina oleh syarikatnya yang turut mengendalikan 70 peratus daripada pelabuhan bekas koloni Britain itu, menurut Forbes. Lelaki kedua terkaya Asia dalam senarai tahunan Forbes ialah warga India, Mukesh Ambani dengan harta bernilai $22.3 bilion (RM71.3 bilion). Hartanya berkurangan apabila saham daripada konglomerat minyak dan gas miliknya, Reliance Industries mengalami susut nilai ekoran kejatuhan pengeluaran gas.

Dalam senarai dunia, Ka-shing meningkat daripada tangga ke-11 kepada ke sembilan, manakala Mukesh dan Mittal menduduki tempat ke-19 dan ke-21. Sementara itu, taikun telekom Mexico, Carlos Slim berada di kedudukan teratas dalam senarai dunia dengan harta bernilai $69 bilion (RM220.8 bilion). - AFP

'via Blog this'

Bayi nyaris maut kerana setitis air teh

myMetro | Bayi nyaris maut kerana setitis air teh: "LONDON: Seorang bayi nyaris maut selepas terkena setitik air teh panas, lapor media semalam.

Alexander Caven-Atack baru berusia 10 bulan apabila kesan kecederaan akibat titisan air panas itu dijangkiti kuman.


Akibat insiden itu, doktor terpaksa membuang 80 peratus daripada lapisan atas kulitnya dan dirawat di hospital.

Kesan melecur akibat air panas itu dirawat doktor di Hospital Colchester, tetapi mereka terlepas pandang jangkitan yang berlaku.


Lima hari selepas itu, kulit belakang, tangan dan muka bayi terbabit mula melepuh dan menggelupas.


Dia dikejarkan ke unik kebakaran di Hospital Broomfield di Chelmsford dan doktor di situ terpaksa membuang 80 peratus daripada kulitnya.

Malah, ibu bapa Caven-Atack turut diingatkan, nyawa anak mereka mungkin terancam dalam pembedahan itu.


Bagaimanapun, Caven-Atack kini pulih sepenuhnya. - DM"

'via Blog this'

Vikki ada 94 anak, tapi anak patung

myMetro | Vikki ada 94 anak, tapi anak patung:VIKKI bersama sebahagian daripada anak patung yang memenuhi bilik tidurnya.
VIKKI bersama sebahagian daripada anak patung yang memenuhi bilik tidurnya.
LONDON: Gara-gara ditakdirkan tidak mampu hamil dan melahirkan anak, seorang remaja menghabiskan wang sehingga RM100,000 bagi membeli anak patung sebagai koleksinya.
Menderita penyakit sindrom ovari polycystic (PCOS), Vikki Andrews, 19, mula membeli anak patung tiga tahun lalu.

Media semalam melaporkan, Vikki disahkan doktor menghidap PCOS selepas dia menjalani pemeriksaan ketika dia berusia 16 tahun.
Tindakannya mengumpul pelbagai jenis dan bentuk anak patung menyebabkan bilik tidurnya kini dipenuhi objek berkenaan.

Digelar “anak patung kelahiran semula”, mainan itu diperbuat daripada plastik tetapi menggunakan rambut manusia.

Menurut Vikki, anak patung pertamanya bernilai RM1,000 dan diberi nama Charlotte.
Masih belajar dan bekerja sambilan di sebuah bar, Vikki berkata, dia menggunakan wang simpanannya yang dikumpul sejak berusia 14 tahun bagi menambah koleksinya. “Dalam tempoh seminggu selepas membeli Charlotte, saya membeli anak patung kedua sebagai ‘adik’ untuknya,” katanya.

Sejak itu, kata Vikki, dia semakin ghairah mahu mengumpul anak patung.
PCOS dianggap satu daripada masalah paling meluas dihadapi wanita di dunia.

Walaupun ia bersifat kompleks, ada bukti kukuh menunjukkan PCOS boleh dianggap sebagai antara penyakit genetik.

PCOS dianggap satu daripada punca utama gangguan kesuburan.

Sementara itu, tunang Vikki, Warren Bone, 19, tidak berminat dengan koleksi berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, ibu bapa Vikki juga melarang dia membawa anak patung berkenaan ke ruang tamu rumah mereka di Newbury, Berkshire.

Namun, kata Vikki, kadang-kadang dia melanggar arahan itu.

“Sesekali saya membawanya ke tempat kerja untuk bermanja,” katanya. - TS

'via Blog this'

'Jangan buat lagi'

Berita Harian Online | 'Jangan buat lagi':Amerika Syarikat perlu belajar daripada kesilapan

WASHINGTON: Askar Amerika Syarikat yang terbabit membakar naskhah al-Quran di sebuah pangkalannya di Afghanistan, bulan lalu, sepatutnya menyedari bahawa perbuatan itu akan menimbulkan kemarahan umat Islam, sama seperti peristiwa menghina al-Quran sebelum ini, kata Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Afghanistan, semalam.

Pengerusinya, Sima Samar, berkata Amerika sebelum ini pernah terbabit dengan isu penghinaan ke atas al-Quran di Teluk Guantanamo, Cuba dan sudah melihat kemarahan umat Islam apabila kitab suci itu dibakar di sebuah gereja di Florida tahun lalu.
Saya tidak faham mengapa mereka melakukannya. Mereka sudah mengetahui akibatnya dalam isu penghinaan al-Quran di Guantanamo dan pembakaran kitab itu di Florida. - Sima Samar, Pengerusi Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Afghanistan
Pegawai Amerika mendakwa naskhah al-Quran itu dirampas daripada tahanan di pangkalan udara Bagram dan dilupuskan secara tidak sengaja di dalam sebuah alat pelupusan.

“Apa yang terjadi kepada naskhah al-Quran itu amat mendukacitakan.

“Saya tidak faham mengapa mereka melakukannya. Mereka tahu akibatnya dalam isu penghinaan al-Quran di Guantanamo dan pembakaran kitab itu di Florida. 

“Ia pasti mencetuskan tunjuk perasaan dan bantahan umat Islam,” katanya. 
Walaupun, Presiden Barack Obama dan pegawai Amerika lain sudah memohon maaf, insiden pembakaran al-Quran itu menyemarakkan semula perasaan anti Amerika di seluruh Afghanistan, termasuk bantahan yang menyebabkan 30 orang terbunuh.

Samar berkata, kejadian itu memberi peluang kepada kelompok konservatif dalam masyarakat untuk memperkukuhkan pengaruh mereka.

Seorang pegawai yang tidak mendedahkan namanya menyatakan, bahawa siasatan yang dijalankan mengesahkan bahawa lima orang askar Amerika dan Afghanistan terbabit dalam insiden itu.

Samar yang berada di Washington bagi menghadiri persidangan Bank Dunia berkata, beliau yakin terhadap keberkesanan hak asasi di Afghanistan berikutan pengunduran kebanyakan tentera asing menjelang akhir 2014.

Beliau berkata beberapa kemajuan berjaya dicapai termasuk peningkatan status wanita, walaupun Afghanistan terbabit dengan peperangan sejak beberapa tahun, selain berdepan bantahan keras kelompok konservatif.

Samar bagaimanapun bimbang dengan sikap Barat yang hanya mementingkan strategi keselamatan.

“Apa yang kurang ialah strategi pelbagai dimensi untuk Afghanistan dan rakyatnya, kerana strategi keselamatan saja tidak memadai,” katanya. – Reuters
'via Blog this'

Gempa sederhana landa barat laut China

Berita Harian Online | Gempa sederhana landa barat laut China: "BEIJING: Satu gempa bumi sederhana dengan kekuatan 5.8 magnitud melanda wilayah barat laut Xinjiang, China hari ini, lapor Agensi Penyelidikan Gelogikal Amerika Syarikat (USGS).

Gegaran pada jam 6.50 pagi (waktu tempatan) itu berlaku kira-kira 214 kilometer di tenggara Aksu, di sini pada kedalaman 35.5 kilometer.

Tiada amaran tsunami atau kecederaan dilaporkan. - AFP"

'via Blog this'

2 gempa sederhana gegar barat laut Filipina

Berita Harian Online | 2 gempa sederhana gegar barat laut Filipina: "MANILA: Dua gempa bumi sederhana menggegarkan barat laut Filipina awal pagi tadi namun tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Institut Gempa Bumi dan Seismologi Filipina berkata gempa berukuran 5.3 pada skala Ritcher itu berpusat kira-kira 17 kilometer di barat daya Looc, kepulauan Lubang di wilayah Mindoro Occidental.

Gegaran turut dirasai di bandaraya Manila, kira-kira 130 kilometer di timur laut.
Sejam sebelum itu, gempa bumi dengan kekuatan 5.1 magnitud menggegarkan kawasan yang sama namun tidak mengakibatkan sebarang kerosakan. - AFP"

'via Blog this'

Menteri Syria sertai pemberontakan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:







AMMAN 8 Mac - Timbalan Menteri Minyak Syria, Abdo Hussameldin (gambar) mengumumkan peletakan jawatannya di laman web YouTube dan akan menyertai pemberontakan terhadap Presiden Bashar al-Assad, sekali gs muncul pegawai awam tinggi pertama yang berpaling tadah terhadap rejim negara ini.
Abdo dalam rakaman video tersebut berkata, beliau berada dalam kerajaan selama 33 tahun tetapi tidak mahu terus berkhidmat dengan rejim yang melakukan jenayah.
"Saya Abdo Hussameldin, Timbalan Menteri Minyak mengumumkan pengunduran saya dari kerajaan dan Parti Baath. Saya akan menyertai revolusi rakyat,'' katanya dalam video yang dimuat naik semalam.
Bagaimanapun, kesahihan video berkenaan masih belum dapat dipastikan.
Abdo berkata, beliau memilih untuk melakukan perkara yang betul walaupun mengetahui rejim akan mengambil tindakan terhadapnya.

'via Blog this'

Kereta kasut diuji

Kosmo! Online - Dunia:


SEORANG pekerja memandu sebuah kereta yang mempunyai bentuk seperti kasut tumit tinggi di Hyderabad, India kelmarin.


HYDERABAD, India - Seorang pekerja menguji sebuah kereta yang mempunyai bentuk seperti kasut tumit tinggi di sebatang jalan raya di sini kelmarin.
Kasut itu dihasilkan sebagai sebahagian daripada satu siri ciptaan yang dilakukan oleh pereka kereta di India, Sudhakar Yadav.
Kereta itu boleh bergerak selaju 45 kilometer sejam. - REUTERS

'via Blog this'

Usaha selamatkan ikan paus

Kosmo! Online - Dunia:


BEBERAPA orang mencurahkan air ke badan seekor ikan paus yang terdampar di pantai Colcura, Chile kelmarin.


CONCEPCION, Chile - Beberapa anggota penyelamat dan orang ramai berusaha untuk menyelamatkan seekor ikan paus yang terdampar di pantai Colcura di sini kelmarin daripada mati.
Ikan paus itu ditarik ke laut dengan sebuah bot nelayan selepas beberapa orang mencurahkan air ke atas badan haiwan tersebut di pantai.
Operasi menyelamatkan itu turut melibatkan beberapa anggota bomba. - AGENSI

'via Blog this'