SEJUMLAH penunjuk perasaan membawa barang-barang mereka kembali ke rumah mereka dengan menaiki bas di Plaza Diraja, Bangkok semalam.- REUTERS
|
BANGKOK - Panglima Tentera Thailand, Jeneral Payuth Chan-O-Cha mengambil alih kuasa di Thailand dalam satu rampasan kuasa tentera semalam.
Beliau menggulingkan sebuah kerajaan demokrasi sekali gus mencetuskan situasi tidak menentu selepas Thailand dilanda konflik politik selama beberapa bulan.
Pengumuman rampasan kuasa kali ke-12 itu dibuat oleh Prayuth dalam satu ucapan di televisyen.
Jeneral berusia 60 tahun itu berkata, angkatan tentera terpaksa bertindak untuk memulihkan kestabilan di negara rantau Asia Tenggara tersebut.
"Dalam usaha agar negara segera kembali normal, Jawatankuasa Pengaman Kebangsaan yang terdiri daripada tentera darat, angkatan bersenjata Thai, Tentera Udara Diraja dan polis merampas kuasa berkuat kuasa pada pukul 4.30 petang, 22 Mei ini," kata Prayuth.
Tentera negara ini turut menggantung perlembagaan negara.
Kuasa pemerintahan kini dipegang oleh jawatankuasa tersebut yang diketuai sendiri oleh Prayuth.
Beberapa saksi berkata, mereka melihat askar-askar mengiringi barisan pemimpin dua parti politik utama Thailand dan pergerakan masing-masing keluar meninggalkan lokasi rundingan yang diadakan oleh Prayuth.
Pertemuan tertutup tersebut yang bertempat di sini bertujuan untuk menyelesaikan permusuhan antara pihak-pihak berkenaan yang berlaku sejak enam bulan lalu.
Namun, masih tidak jelas sama ada mereka telah ditahan secara rasmi atau sebaliknya.
"Keganasan di Bangkok dan banyak lokasi lain di Thailand telah meragut nyawa penduduk tidak berdosa dan menyebabkan kemusnahan harta benda dan ia dipercayai akan menjadi lebih buruk," kata Prayuth ketika menjelaskan punca beliau merampas kuasa.
Jeneral tersebut bagaimanapun tidak menyebut tempoh tentera mengambil alih kuasa di Thailand.
Terdapat 18 rampasan kuasa dan percubaan merampas kuasa melibatkan tentera negara ini sejak tahun 1932.
Rampasan kuasa kali ini berlaku selepas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dipecat oleh mahkamah negara ini pada pertengahan bulan ini kerana menukarkan seorang pegawai tinggi kerajaan.
Kuasa pentadbiran kemudian diserahkan kepada Perdana Menteri sementara, Niwattumrong Boonsongpaisan.
Krisis politik Thailand menyaksikan permusuhan antara golongan elit diraja di sini dan penyokong mereka dengan keluarga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang juga abang Yingluck.
Thaksin digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006 dan kini tinggal dalam buangan di luar negara.
Beliau bagaimanapun masih menerima sokongan kuat terutamanya daripada penduduk di utara Thailand.
Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh manakala beratus-ratus lagi cedera dalam protes jalanan di Thailand ekoran konflik tersebut sejak enam bulan lalu.
Protes jalanan itu menyebabkan beberapa lokasi di Bangkok menjadi medan perkhemahan para penunjuk perasaan antikerajaan. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz32UOQiAhr
Hakcipta terpelihara