Pages

Thursday, August 28, 2014

Pesawat pejuang F-15 Amerika Syarikat terhempas di Virginia


KHAMIS, 28 OGOS 2014 @ 10:16 AM

Gambar fail menunjukkan contoh pesawat pejuang F-15C yang terhempas di Virginia.

WASHINGTON: Sebuah jet pejuang F-15C Amerika Syarikat terhempas di kawasan hutan Virginia dan tidak jelas sama ada juruterbang melantunkan dirinya keluar sebelum pesawat terbabit terjunam.

Pesawat itu adalah sebahagian daripada jet pejuang udara National Guard ke-104 dari Westfield, Massachusetts, kata jurucakap Pentagon Kolonel To Crosson.

Jet dengan tempat duduk tunggal itu terhempas pada kira-kira jam 9 pagi (9 malam waktu Malaysia) di kawasan luar bandar berhampiran bandar Deerfield di Hutan Nasional George Washington dan Jefferson, kira-kira 290 kilometer di barat daya Washington DC.

Pesawat itu tidak membawa senjata ketika ia terhempas, kata Kolonel James Keefe, Komander Sayap Pejuang ke-104.

"Pesawat itu sedang melakukan penerbangan ke stesen udara tentera laut New Orleans. Juruterbang terbabit tidak melaporkan sebarang kecemasan sebelum hilang perhubungan sejurus selepas 9 pagi, kata Keefe.

Katanya, pada masa ini pihaknya tidak lagi menerima sebarang perhubungan dengan juruterbang berkenaan dan sedang melakukan misi menyelamat. - AFP

Pesta unik baling tomato di Sepanyol kini tarikan popular pelancong

RABU, 27 OGOS 2014 @ 6:37 PM
Ribuan orang menyertai pesta baling tomato, 'Tomatina' di bandar Bunol, Sepanyol hari ini.
 
Bunol, Sepanyol: Beribu-ribu orang menyertai satu pesta yang unik di Sepanyol setiap tahun iaitu acara membaling tomato atau 'Tomatina'.

Acara tahunan itu diadakan di Bunol, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Valencia. Ia menyebabkan jalan raya di bandar berkenaan bertukar menjadi merah selepas beribu-ribu orang mengambil bahagian membaling buah tomato yang ranum ke arah satu sama lain.

'Tomatina' kini sudah menjadi satu tarikan popular dalam kalangan pelancong terutama dari Britain, Australia, Amerika Syarikat dan Jepun.

Pada acara itu hari ini, beberapa lori kelihatan membawa 125 tan tomato yang sudah masak ranum untuk kira-kira 22,000 peserta, kebanyakannya dari luar untuk membalingnya ketika pesta selama sejam itu. - Foto AP

Ular peneman tidur


Bagi Dhiaz Ahmad Zidan, 2, teman paling disenangi untuk melelapkan mata ialah ular sawa seberat 40 kilogram yang dilayannya seperti patung mainan. 
Selain itu, ada 28 ular lain yang menjadi haiwan peliharaan ibu bapanya, Fatimah, 36, dan Yudhi Pramono, 38. 

Pada ketika lain Dhiaz menjadikan ular berkenaan sebagai peneman untuk bermain-main.
Foto
DHIAZ (kiri) bersama adiknya dan ular peliharaan bapa mereka.

Kata Yudhi, setiap kali Dhiaz mahu tidur budak itu akan gelisah jika tiada ular menjadi peneman.

“Hanya selepas dia puas bermain dengan ular, barulah haiwan itu saya simpan di dalam sangkar,” katanya. 

Jika tidak dilayan begitu, kata Yudhi, Dhiaz akan menangis. 

Katanya, kebiasaan tidur ditemani ular mula terjadi sejak Dhiaz berusia 2 bulan. 
“Kebiasaan itu menyebabkan jiran tetangga takut atau geli,” katanya. 

Selain ular sawa Yudhi dan Fatimah turut membela beberapa ular jenis lain termasuk yang berbisa. 

‘Teman’ paling akrab Dhiaz ialah ular sawa sepanjang 4.25 meter yang berusia 14 tahun. 

Yudhi menjadikan ular ditemuinya di beberapa daerah di Indonesia sebagai koleksi. 

Kata Yudhi hobi membela ular itu diwarisi daripada neneknya. 

“Bagi kami, ular ini seperti sebahagian daripada keluarga,” katanya.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

Abang ‘hidup’ semula


Salvador (Brazil): Seorang lelaki yang datang ke bilik mayat sebuah hospital di sini untuk menyiapkan upacara pengebumian abangnya terkejut melihat beg mayat abangnya bergerak.

Valdelucio Goncalves, 54, sebelum ini disahkan mati oleh doktor akibat masalah pernafasan dan organ yang gagal berfungsi.


Keluarganya dimaklumkan mengenai kematiannya sebelum mayatnya dihantar ke bilik mayat di sebuah hospital di Salvador, timur laut Brazil.

Dua jam kemudian, adik Goncalves, Walterio dibenarkan masuk ke bilik mayat berkenaan untuk membuat persediaan bagi mengebumikannya.


Tetapi ketika dia mendekati beg mayat itu, ia mula bergerak.


“Saya memanggil jururawat yang kemudian membuka beg itu dan mendapati abang saya masih hidup,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

Gambar selfie paling berani


Video yang disiarkan menerusi YouTube menunjukkan ketiga-tiga remaja belasan tahun itu berada di atas menara terkenal setinggi 346 meter itu dengan panorama bandar raya Hong Kong di belakang mereka. 
Jurugambar Daniel Lau menggunakan ‘tongkat selfie’ dengan kamera yang dilengkapi lensa sudut lebar untuk merakam aksi mereka yang menggerunkan itu. 

Dua rakannya, Andrew Yeo dan AS, dilihat memakan pisang pada permulaan klip video yang ditonton lebih 450,000 kali sejak dimuat naik minggu lalu.
Foto
DANIEL Lau menggunakan tongkat selfie dan lensa kamera sut luas bagi merakam gambarnya di atas puncak menara The Centre.

Trend merakam selfie secara ekstrim meledak sejak beberapa bulan lalu, khususnya di Russia dengan kumpulan yang dikenali sebagai ‘skywalker’ merakam gambar mereka memanjat bangunan, kren dan kawasan binaan untuk merakam gambar dan menyiarkannya di Internet.

Mereka melakukannya tanpa mengguna sebarang peralatan keselamatan. 

Bagaimanapun, kegilaan itu mengundang maut. 

Sepasang suami isteri yang ‘merakam selfie’ di tebing tanah tinggi di barat Portugal minggu lalu mati selepas terjatuh dengan disaksikan anak mereka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

Lelaki masih hidup selepas kepala tertusuk pancang besi



KEADAAN Ho ketika dirawat di sebuah hospital di wilayah Guangxi selepas kepalanya ditembusi besi baru-baru ini.


BEIJING - Seorang lelaki masih hidup walaupun kepalanya ditembusi pancang besi yang terjatuh ketika dia mengubah suai rumahnya di wilayah Guangxi baru-baru ini, lapor MailOnline kelmarin.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ho, 50, tertusuk besi sepanjang lebih setengah meter di bahagian kanan dahi dan menembusi rahang kirinya baru-baru ini.
Ketika kejadian, Ho sedang mengubah suai rumahnya apabila tertusuk pancang besi tersebut.
Beberapa doktor yang merawat lelaki itu berkata, mereka terkejut melihat mangsa bukan sahaja masih hidup tetapi berada dalam keadaan sedar ketika di bawa ke sebuah hospital di wilayah ini.
Doktor-doktor terpaksa memanggil pasukan bomba untuk memotong sebahagian besi itu sebelum membuat satu pembedahan rumit bagi mengeluarkan objek daripada kepala mangsa.
Seorang doktor berkata, Ho bernasib baik kerana besi itu tidak mengenai otak atau organ penting lain yang mungkin boleh menyebabkan mangsa mati.
"Keadaan pesakit kini semakin baik dan dia mungkin dibenarkan keluar dari hospital tidak lama lagi," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0828&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3BdnS7HRh 
Hakcipta terpelihara 

Polis tersilap serbu kapal raja Maghribi



RAJA MOHAMMED VI marah apabila kapal layarnya diserbu sekumpulan polis di perairan Ceuta, Sepanyol baru-baru ini.


MADRID - Sepanyol terpaksa memohon maaf kepada Pemerintah Maghribi, Raja Mohammed VI selepas beberapa anggota polis cuba menyerbu kapal layarnya, lapor akhbar MailOnline semalam.
Insiden memalukan itu berlaku baru-baru ini apabila polis Sepanyol tersilap menyangka baginda seorang penyeludup dadah.
Pada hari kejadian, Raja Mohammed VI sedang menikmati pelayaran selama sehari dekat perairan bandar Ceuta di Sepanyol apabila beberapa bot polis mengejar kapal layarnya.
Pasukan polis itu kemudian menyoal beberapa pengawal baginda yang berada di dalam dua bot pengiring.
Tindakan polis itu mencetuskan kemarahan raja berkenaan.
"Anda tahu saya siapa," soal Raja Mohammed VI kepada polis seperti yang dipetik akhbar Sepanyol, El Mundo.
Apabila seorang anggota polis berkenaan memberitahu mereka tidak mengenalinya, Raja Mohammed VI menanggalkan topi dan cermin mata hitamnya.
Menurut akhbar Telegraph, baginda turut menghubungi Raja Sepanyol, Felipe VI untuk mengadu kejadian tersebut.
Ketua negara Sepanyol itu kemudian menghantar seorang pegawai tinggi untuk menemui Raja Mohammed VI dan memohon maaf. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0828&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3BdnJMyk0 
Hakcipta terpelihara