Pages

Tuesday, April 12, 2011

Gempa bumi kuat gegar Tokyo

TOKYO: Gempa bumi kuat di pesisir menggegarkan Tokyo dan menyebabkan bangunan tinggi bergoyang dan menghentikan sistem tren bawah tanah.

Gempa bumi 6.3 magnitud itu melanda pada 8.08 pagi di luar pantai Cahiba di timur Tokyo. Namun, tiada tsunami diramalkan.
Tiada laporan segera mengenai kerosakan. - AFP

Pengedar dadah kahwin di penjara


ERIC STEPHENS (kiri) melihat isterinya, Winarni Puspayanti ketika di majlis perkahwinan di Penjara Kerobokan, Denpasar, Bali. - Foto AFP

ERIC STEPHENS (kiri) melihat isterinya, Winarni Puspayanti ketika di majlis perkahwinan di Penjara Kerobokan, Denpasar, Bali. - Foto AFP

BADUNG: Seorang rakyat Australia yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana kesalahan menyeludup dadah mengahwini kekasihnya warga Indonesia di sebuah penjara di pulau peranginan Bali semalam dan sekali lagi menafikan beliau bersalah. 


Martin Stephens dan Christine Winarni Puspayanti, berusia 34 tahun melafazkan ikrar perkahwinan mereka di sebuah gereja di Penjara Kerobokan, dihadiri keluarga dan rakan-rakan termasuk ahli sindiket dadah yang turut dipanggil ‘Bali Nine’.
Dengan mengenakan pakaian tradisi Jawa, pasangan terbabit menari mengikut alunan muzik romantik sebelum Stephens mendukung isterinya dan membawanya bagi memotong kek perkahwinan tiga tingkat pada majlis resepsi terbabit.
“Saya merasa sungguh gembira,” kata Stephens kepada pemberita sambil menambah bahawa beliau bercadang untuk mendapatkan pengampunan presiden. Saya yakin ia akan menjadi kenyataan,” katanya mengenai peluang dibebaskan. 


Puspayanti, ibu seorang anak berkata mereka bertemu enam tahun lalu ketika beliau melawat seorang rakan di penjara. 


“Saya amat gembira hari ini. Tuhan menyatukan kami. Siapa tahu, Jika 
diizinkan Tuhan beliau mungkin akan dapat 
keluar (penjara),” katanya. 
Stephens ditahan pada 2005 di lapangan terbang Denpasar, Bali bersama 2.9 kilogram dadah heroin yang diikat pada lengan dan perutnya. 


Beliau adalah seorang daripada kumpulan Bali Nine rakyat Australia yang didapati bersalah kerana cuba menyeludup dadah terbabit dari Indonesia ke tanah air mereka. – AFP 

Pemberontak Libya beri syarat gencatan senjata


BENGHAZI: Pemberontak Libya berkata tentera yang setia dengan Muammar Gaddafi perlu berundur dan menghentikan serangan manakala rakyat diberi kebebasan bersuara sebelum sebarang perjanjian gencatan dipersetujui. 


“Rakyat mesti dibenarkan mengadakan perhimpunan untuk menyuarakan pandangan mereka manakala askar perlu kembali ke berek masing-masing. Jika rakyat dibenarkan keluar menunjuk perasaan di Tripoli, gencatan senjata boleh ditandatangani. Saya membayangkan seluruh Libya dibebaskan dalam beberapa ketika,” kata jurucakap kumpulan pemberontak Majlis Peralihan Kebangsaan, Shamsiddin Abdulmolah.
Beliau juga mendesak pembebasan beratus-ratus orang hilang dipercayai ditahan tentera Gaddafi, sejak pemberontakan bermula agar dibebaskan.
Abdulmolah bagaimanapun ragu jika Gaddafi akan memenuhi tuntutan mereka. 
“Dunia sudah menyaksikan tawaran gencatan senjata sebelum ini dan dalam tempoh 15 minit tentera beliau melancarkan serangan semula,” katanya. 

Pemberontak sebelum itu berkata, mereka bersedia mengadakan rundingan peralihan sistem politik ke arah demokrasi dengan beberapa tokoh kanan rejim Gaddafi tetapi dengan syarat beliau dan anaknya meninggalkan negara itu. – AFP

Pejuang Hizbullah mahu bom Tel Aviv besar-besaran


Israel percaya musuh di Lubnan berupaya lancar 600 roket sehari


TEL AVIV: Pejuang Hizbullah mampu menyerang Tel Aviv kerana memiliki lebih 20,000 peluru berpandu, pendedahan terbaru laman web pembocor rahsia, WikiLeaks, yang diasaskan oleh Julian Assange, kepada media. 

Perkara itu didedahkan dalam mesyuarat Kumpulan Kerjasama Tentera dan Politik pada November 2009, oleh pegawai risikan Israel kepada rakan sekutu Amerika Syarikat.
“Hizbullah bersedia untuk menghadapi konflik berpanjangan dengan Israel dan berharap dapat melancarkan roket secara besar besaran ke Israel setiap hari, antara 400 hingga 600 roket dan peluru berpandu setiap hari, 100 daripadanya disasarkan ke Tel Aviv,” kata mereka.
Kabel diplomatik itu turut mendedahkan hubungan Israel dengan musuh dan rakannya di rantau ini. Satu daripadanya mendedahkan hubungan Raja Bahrain dengan anggota Mossad. 

Kabel itu mendedahkan pertemuan antara Raja Hamad dan Duta Amerika Monore, di mana pemerintah itu mendedahkan : 

“Bahrain sudah hubungi Israel pada peringkat risikan dan keselamatan serta sedia runding kemajuan aspek lain,”. 

Menurut kabel itu, Raja Hamad turut menggalakkan pegawai rasmi Bahrain supaya tidak merujuk negara Yahudi itu dengan panggilan ‘entiti Zionis’ atau ‘musuh.’ Pendedahan lain kabel 2007 menyatakan, pentadbiran Bashar al-Assad tidak mampu bertahan jika ada konflik ketenteraan serius dengan Israel. 

Bekas ketua Mossad, Mossad Meir Dagan percaya pemerintah Arab tidak bersatu khususnya Mesir, Jordan, Syria dan Lubnan. 

Beberapa dokumen yang bocor itu turut mendedahkan pertemuan sulit pegawai rasmi Amerika dengan ketua yang dibuang Shin Bet, Yuval Diskin, juga pada November 2009. 

Menurut Diskin, Hamas harus cukup kuat untuk melaksanakan gencatan senjata dan mengelak daripada melakukan serangan roket dan mortar ke arah Israel. 

Diskin menambah, kekuatan Hamas adalah untuk tempoh jangka pendek dan keutamaan ialah untuk menghalang Hamas daripada memperkukuhkan kuasa di Gaza. 

Bagi tempoh jangka panjang adalah untuk mengelakkan Israel daripada berkuasa kembali di Gaza dan tanggungjawab bagi memastikan kesejahteraan penduduk awam Gaza tidak dipertimbangkan langsung oleh kepimpinan politik Israel. 

Diskin turut mengkritik warga Israel keturunan Arab menerusi kabel pada Mei 2008 dengan menyatakan bahawa mereka keterlaluan menuntut hak dan berpendapat yang kebanyakan warga Israel berketurunan Arab yang mencetuskan banyak masalah adalah mereka yang diberi permit untuk masuk semula ke Israel untuk bersatu semula dengan keluarga. 

Diskin berkata Israel bodoh kerana membenarkan puak Badwi mengambil isteri mereka dari Gaza dan masuk semula ke Israel. 

Di sebalik kritikannya, Diskin turut memberitahu kebanyakan penduduk Arab setia kepada Israel sepanjang tempoh 60 tahun ini termasuk semasa perang 1967 dan 1973 serta ketika keganasan berterusan. – Agensi 

Gempa landa Fukushima lagi


MANGSA gempa dan tsunami makan malam dalam keadaan gelap di sebuah gimnasium selepas gempa melanda Khamis lalu mengakibatkan bekalan elektrik terputus. - Foto AP
MANGSA gempa dan tsunami makan malam dalam keadaan gelap di sebuah gimnasium selepas gempa melanda Khamis lalu mengakibatkan bekalan elektrik terputus. - Foto AP


Kekuatan gegaran 6.6 skala Richter, bangunan di Tokyo bergoyang
TOKYO: Gempa bumi dengan kekuatan 6.6 skala Richter, sekali lagi menggegarkan sebahagian besar kawasan timur Jepun dan bangunan di Tokyo lewat semalam, menyebabkan 220,000 buah rumah terputus bekalan elektrik, manakala kerja mengepam air di tiga reaktor loji nuklear Fukushima yang rosak terpaksa dihentikan. 

Kejadian yang berlaku genap sebulan selepas gempa bumi dengan kekuatan 9.0 Skala Richter melanda timur laut negara itu, berpusat di 88 kilometer dari loji Fukushima, mengakibatkan bekalan elektrik yang diperlukan untuk mengepam air ke reaktor nombor 1 nombor 2 dan nombor 3 terputus buat beberapa lama.
Gegaran susulan juga memaksa jurutera menangguhkan rancangan untuk memindahkan air radioaktif dari saluran di reaktor nombor 2.

Polis di Fukushima berkata, beberapa kejadian tanah runtuh berlaku di bandaraya Iwaki, termasuk satu daripadanya menyebabkan empat orang terperangkap apabila tiga buah rumah tertimbus. Setakat ini, nasib mereka belum diketahui. 


Agensi Meteorologi Jepun berkata, gempa bumi yang baru berlaku berukuran 7.0 dan bukan 7.1 skala Richter seperti laporan awal, walaupun Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) meletakkan kekuatannya pada 6.6 skala Richter. 


Pihak berkuasa berkata, gempa bumi kuat berlaku pada jam 5.16 petang waktu tempatan di kawasan sama yang dilanda bencana alam itu 11 Mac lalu sehingga mencetuskan tsunami. 


Kesan gempa juga dapat dirasai hingga ke tengah Tokyo, kira-kira 160 kilometer ke tenggara Jepun, menyebabkan bangunan di bandaraya itu bergoyang. 
Agensi meteorologi turut mengeluarkan amaran gelombang tsunami setinggi hingga satu meter, jauh lebih rendah berbanding 20 hingga 30 meter ketika gempa melanda Mac lalu. Amaran itu ditarik balik sejam kemudian. 


Kerajaan sebelum itu mengumumkan bahawa berikutan pencemaran radiasi, pihaknya menggalakkan penduduk meninggalkan bebe-rapa kawasan tertentu pada jarak 20 kilometer dari zon pengasingan di sekitar loji Fukushima. 


Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano berkata, kanak-kanak, wanita hamil dan pesakit perlu mengelak daripada berada pada jarak sekurang-kurangnya 20 hingga 30 kilometer dari kompleks nuklear itu. 


“Rancangan pemindahan baru itu bertujuan memastikan keselamatan penduduk daripada risiko radiasi jika mereka terus tinggal di sana selama enam bulan atau setahun. Bagaimanapun, pemindahan tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa,” katanya. 


Langkah itu diambil berikutan kebimbangan antarabangsa membabitkan penyebaran radiasi dari enam reaktor di loji Fukushima yang rosak, ketika jurutera terus bertungkus-lumus memulihkannya. 


Presiden Tokyo Electric Power (TEPCO) Masataka Shimizu melawat kawasan itu semalam buat pertama kali sejak gempa bumi melanda. Beliau tidak kelihatan di khalayak selepas membuat permohonan maaf selepas kejadian itu selepas terpaksa dimasukkan ke hospital. – Reuters/Agensi
bharian

Jepun dilanda gempa lagi



SENDAI (Jepun): Satu gempa bumi kuat melanda timur laut Jepun, semalam dan mencetuskan amaran tsunami sebulan selepas tragedi gempa, tsunami dan kebocoran loji nuklear melumpuhkan pantai timur laut negara itu.
Gempa berukuran 7.1 magnitud itu menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo ditutup seketika. Pusat gempa dikesan kira-kira 160 kilometer di utara Tokyo. Bagaimanapun, kakitangan di loji nuklear Fukushima berkata, gempa terbaru itu tidak memberi kesan kepada loji berkenaan. Amaran ancaman tsunami setinggi satu meter dikeluarkan sama seperti yang berlaku dalam kejadian gempa minggu lalu di kawasan sama. Namun, gempa itu tidak membawa tsunami. Orang ramai di kedai elektronik yang besar di timur laut Sendai menjerit dan berlari keluar walaupun gegaran menyukarkan pergerakan. Ibu-ibu merangkul anak mereka dan tingkap kedai bergegar. Selepas seminit dua, orang ramai masuk semula ke dalam kedai itu. Tiada kerosakan baru dilaporkan. Gegaran gempa susulan melanda kawasan timur laut negara itu berulang kali tetapi tiada apa lagi yang tinggal perlu dibimbangi akan rosak. - AP
-mymetro

Tak yakin gencatan senjata kekal



BAITULMAQDIS: Akhbar Israel, semalam pesimis dengan tempoh gencatan senjata tidak rasmi antara negara Yahudi itu dengan kumpulan pejuang di Gaza yang sudah bermula.
“Sehingga lain waktu...” adalah tajuk muka depan akhbar Haaretz yang menyifatkan keadaan itu mudah berubah berbanding dengan gencatan senjata ekoran daripada pencerobohan Israel ke atas Gaza selama 22 hari yang bermula akhir Disember 2008.
“Gencatan senjata mungkin boleh dicapai, tetapi isunya, berapa lama ia boleh dikekalkan,” tanya wartawan, Amos Harel. - AFP
-mymetro

Israel digesa guling Hamas



BAITULMAQDIS: Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman semalam menyifatkan gencatan senjata rejim itu dengan Hamas di Semenanjung Gaza sebagai kesilapan besar.
Lieberman berkata, Israel sepatutnya menggulingkan kumpulan Islam itu di wilayah berkenaan.


“Matlamat yang dicapai untuk mengembalikan keamanan adalah kesilapan besar kerana ia membolehkan Hamas mengukuhkan kuasanya bersama dengan Hizbullah,” kata Lieberman kepada radio awam, merujuk kepada kumpulan pejuang di Lubnan yang berperang dengan Israel pada 2006. “Matlamat utama seharusnya menggulingkan Hamas,” kata ketua parti pelampau Israel, Yisrael Beitenu.


Menurutnya, Hamas juga sudah mampu memperoleh roket yang lebih kuat.


“Buat masa ini, roket mereka sudah boleh menjejaki Israel,” katanya.


Gencatan senjata antara Hamas dan Israel mula dilaksanakan semalam selepas kedua-dua pihak berundur dari garisan pertempuran, kelmarin. Gencatan senjata dicapai selepas beberapa hari konfrontasi antara Israel dan kumpulan Islam itu meningkatkan ketegangan di peringkat paling buruk sejak rejim Zionis melancarkan perang ke atas Gaza pada 2008-2009. - AFP
-mymetro

Britain akan terus bom Libya



LONDON: Britain semalam berkata, ia akan terus mengambil tindakan ketenteraan untuk apa yang disifatkannya sebagai ‘melindungi orang awam.’
“Kami akan meneruskan tindakan ketenteraan di Libya seperti yang diperlukan untuk melindungi orang awam,” kata jurucakap Perdana Menteri Britain, Cameron Highlands sebagai mengulas persetujuan Muammar Gaddafi menerima pelan damai Kesatuan Afrika.
“Sebarang perjanjian gencatan senjata perlu asli. Ia boleh ditentukan dengan tindakan yang akan diambil Gaddafi, bukan kata-katanya saja atau kata-kata orang lain,” kata jurucakap itu. - Reuters
-mymetro

Aktivis Yaman tolak usul Teluk



SANAA: Penunjuk perasaan antikerajaan Yaman semalam menolak cadangan negara Teluk supaya Presiden Ali Abdullah Saleh (gambar) menyerahkan kuasa kepada timbalannya.
“Kami menolak sebarang penyelesaian antara rejim dengan pembangkang yang tidak memenuhi permintaan utama kami - kejatuhan rejim dan anggotanya,” kata Adel al-Rabyi dari Remaja Untuk Perubahan, pakatan kumpulan penentang yang mengetuai tunjuk perasaan di seuruh negara itu sejak akhir Januari lalu.


Menteri Luar Majlis Kerjasama Teluk kelmarin mendesak Saleh meletak jawatan bagi menjamin pemindahan kuasa secara aman kepada timbalannya, Abdrabuh Mansur Hadi Berikutan satu mesyuarat di Riyadh, mereka menggesa pembentukan sebuah kerajaan perpaduan kebangsaan yang diketuai oleh pembangkang. “Siapa nak jadi bodoh untuk menawarkan jaminan kepada rejim yang membunuh orang yang menunjuk perasaan secara aman,” kata aktivis, Mohammed al-Sabry.


Beribu-ribu orang menunjuk perasaan di beberapa bandar seluruh Yaman bagi menolak usul damai negara Teluk itu, semalam. - AP
mymetro

Tetap mahu Gaddafi undur



BENGHAZI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam menerima rancangan damai Kesatuan Afrika untuk menamatkan perang saudara di negaranya.
Bagaimanapun, pemberontak berkata, tidak ada rancangan damai kecuali Gaddafi meletak jawatan dan sehingga lewat malam tadi, tidak ada tanda-tanda pertempuran akan berakhir.


Pemberontak di Misrata berkata, tentera Gaddafi melepaskan tembakan roket Grad buatan Russia ke kawasan bandar itu sementara rakan mereka di bahagian timur sudah bersiap sedia untuk mara.


Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma yang mengetuai misi damai Kesatuan Afrika berkata semalam, Gaddafi menerima pelan damai, termasuk gencatan senjata setelah berunding di Tripoli.


Jurucakap pemberontak di Benghazi berkata, pihaknya akan mengkaji pelan berkenaan tetapi Gaddafi mesti menamatkan pemerintahan 41 tahunnya.


“Rakyat Libya dengan jelas mahukan Gaddafi meletak jawatan. Bagaimanapun, kami akan menimbang cadangan pelan damai itu apabila kami memperoleh lebih banyak butir mengenainya,” kata jurucakap pemberontak, Mustafa Gheriani kepada Reuters.


Pegawai Libya berulang kali berkata, Gaddafi yang tidak mempunyai jawatan rasmi, tidak akan meletak jawatan.


Perwakilan Kesatuan Afrika yang berlepas ke Benghazi semalam untuk berbincang dengan pemimpin pemberontak disambut dengan lebih 1,000 penunjuk perasaan yang memegang sepanduk dengan kata-kata ‘Bebaskan kami dari Gaddafi.’ Sementara itu, di Ajdabiyah, timur Libya, pemberontak bersiap untuk mara ke arah barat selepas berjaya menangkis serangan besar-besaran tentera. - Reuters

3 wanita berpurdah ditangkap di Paris



PARIS: Polis semalam menangkap dua wanita berpurdah dan beberapa yang lain kerana menunjuk perasaan di depan gereja Notre Dame bagi membantah larangan baru Perancis terhadap pemakaian purdah di tempat awam.
Penangkapan itu dibuat selepas polis bertindak untuk menyuraikan tunjuk perasaan yang tidak mempunyai kebenaran.


“Penangkapan hari ini bukan mengenai pemakaian purdah sebaliknya dibuat kerana tidak mempunyai syarat untuk mengadakan tunjuk perasaan,” kata jurucakap polis, Alexis Marsan.


Dua wanita berpurdah, seorang yang hanya bertudung tanpa menutup mukanya dan seorang penganjur tunjuk perasaan itu ditangkap, kata Marsan. Dalam tunjuk perasaan lain, Rachid Nekkaz dari kumpulan aktivis ‘Jangan Sentuh Perlembagaan Saya’ dan seorang rakan wanita yang memakai purdah ditangkap di depan Istana Elysee.


“Kami mahu didenda kerana memakai purdah tetapi polis tidak mahu mengeluarkan saman,” kata Rachid. - AFP

Dibicara sebab cetuskan kebencian agama




STRASBOURG (Perancis): Seorang warga Perancis dijangka dibicarkan hari ini kerana mengapi-apikan kebencian agama, selepas menyiarkan gambar videonya membakar dan kencing ke atas senaskhah Al-Quran 'atas nama kebebasan'.Polis memberkas lelaki itu selepas beberapa pemimpin Islam di Strasbourg menjadi marah setelah menonton video itu dan mengenal pasti pembuatnya sebagai seorang berusia 30 tahun dari pinggir bandar itu. -- AFP.
cyberita

Menonton video lucah: Pegawai letak jawatan

JAKARTA: Seorang penggubal undang-undang Indonesia yang konservatif, yang ditangkap menonton video lucah di komputernya ketika satu sesi parlimen, telah meletak jawatan.Kesnya itu telah mengejutkan negara majoriti Islam itu, sejak kelakuan penggubal undang-undang itu 'disorot' melalui kamera Khamis lalu.Arifinto, daripada sebuah parti Islam konservatif, pernah membantu meluluskan satu undang-undang antipornografi pada 2008. -- AP.

Mubarak nafi gunakan kedudukan kumpul harta



KAHIRAH: Dalam komennya yang pertama sejak digulingkan, mantan Presiden Hosni Mubarak menafikan beliau telah menggunakan kedudukannya itu untuk mengumpulkan harta dan kekayaan ketika tiga dekad berkuasa dan mengeluarkan satu kenyataan emosional mempertahankan warisannya itu.
Kenyataan tersebut, yang disiarkan kelmarin pada akhir satu hujung minggu yang bergolak yang menyaksikan satu tindakan keras terhadap pemberontak, hanya membakar kemarahan rakyat Mesir, di tengah-tengah peralihan yang bergelora kepada satu sistem lebih berdemokrasi.Dalam satu pita audio, Encik Mubarak, 82 tahun, berkata beliau telah bersetuju 'memberikan kuasa' bagi satu penyiasatan ke atas kewangannya dan berjanji akan mendakwa semua orang yang telah mencemari nama baiknya.Sedang majlis tentera yang memerintah kini menghadapi tekanan ekoran cara ia mengurus peralihan selepas Encik Mubarak itu, kata-kata pertama bekas presiden itu sebagai peringatan bahawa beliau masih mampu mempengaruhi perasaan negara itu.Sejurus selepas ucapan itu disiarkan, pendakwa agung Mesir mengumumkan bahawa beliau telah mengeluarkan perintah yang mengarahkan mantan presiden itu dan dua anak lelakinya disoal siasat berkaitan tuduhan menggelapkan wang itu.Siasatan itu juga diluaskan bagi merangkumi tindakan keras ke atas pemberontak yang dianggarkan telah membunuh 300 orang. Langkah itu boleh membantu meredakan kemarahan rakyat.Saluran Al-Arabiya, yang menyiarkan ucapan itu, berkata ia dirakam Sabtu lalu, sehari selepas penunjuk perasaan berhimpun beramai-ramai di Dataran Tahrir bagi menuntut majlis tentera itu menyiasat kekayaan Encik Mubarak.'Saya amat tersinggung dan masih terluka, begitu juga keluarga saya, disebabkan kempen tidak adil terhadap kami dan tuduhan-tuduhan palsu yang mahu mencemari nama baik saya, kejujuran saya, pendirian (politik) saya dan sejarah ketenteraan saya,' kata Encik Mubarak.Ucapan itu dibuat sedang beratus-ratus penunjuk perasaan terus berhimpun di Dataran Tahrir.Sejak penyingkirannya itu, Encik Mubarak dan keluarganya diletak dalam tahanan dalam rumah di sebuah istana presiden di Sharm el-Sheikh, di kawasan peranginan Laut Merah. Beliau, yang asetnya dibekukan, belum didakwa. -- AP.

Jepun dilanda gempa lagi, pekerja di loji Fukushima dipindah

TOKYO: Jepun semalam meluaskan satu zon pemindahan di sekeliling sebuah loji nuklear yang dilanda masalah, sebulan selepas terjadinya gempa bumi besar dan tsunami Mac lalu. Satu lagi gempa susulan berukuran 6.6 di skala Richter yang membunuh seorang lelaki, serta amaran tsunami, menggegarkan negara itu lagi.
Gegaran susulan terbaru semalam telah menyebabkan bangunan-bangunan di ibu kota Tokyo bergoyang dan memutuskan bekalan tenaga kepada sekitar 220,000 rumah, hanya beberapa jam selepas negara itu bertafakur seminit bagi memperingati 13,000 orang yang terbunuh ketika bencana 11 Mac itu, serta 15,000 yang disahkan masih hilang.Jabatan kajian geologi, US Geological Survey (USGS), berkata gempa di darat berukuran 6.6 itu melanda pada 5.16 petang waktu Jepun di kedalaman 13 kilometer.Pusat gempa itu 80 kilometer ke selatan Fukushima, berhampiran loji nuklear itu.Agensi kaji cuaca Jepun memberi amaran, satu ombak setinggi 1 meter boleh melanda Ibaraki, salah satu kawasan yang dipukul tsunami bulan lalu. Namun amaran itu dibatalkan sejam kemudian.Satu gegaran lain berukuran 7.1 pada skala Richter 7 April lalu, antara ribuan gegaran susulan yang melanda Jepun, telah membunuh sekurang-kurangnya dua orang serta memutuskan bekalan elektrik di sebahagian besar utara Jepun.Para pekerja yang bertungkus lumus membendung krisis di loji Fukushima-Dai-ichi itu telah dipindahkan selepas gempa terbaru semalam, yang menyebabkan keputusan tenaga ke reaktor-reaktor itu buat sementara.Para penduduk di seluruh negara itu telah berhenti bertafakur pada 2.46 petang, saat gempa bumi terbesar yang pernah dirakam di Jepun bulan lalu.Ia merupakan tragedi paling buruk di Jepun sejak Perang Dunia Kedua.Perdana Menteri Naoto Kan kelmarin berjanji 'tidak akan meninggalkan' mangsa-mangsa tsunami itu sedang beliau menumpukan perhatian kepada masa depan.Encik Kan, dalam lawatan keduanya ke zon bencana itu, berkata pemerintah akan 'bekerja secepat mungkin' bagi menyediakan rumah bagi lebih 150,000 orang yang masih tinggal di pusat perlindungan kecemasan.Sebagai menggariskan ancaman kesihatan jangka panjang akibat radiasi, pemerintah Jepun semalam berkata ia akan meluaskan kawasan pemindahan di sekeliling loji itu bagi merangkumi beberapa bandar di luar zon pengosongan 20 kilometer sekarang.Sementara itu, risiko satu kebocoran besar bahan-bahan beradioaktif daripada loji nuklear Fukushima itu semakin 'banyak berkurang,' demikian menurut seorang jurucakap pemerintah, Encik Yukio Edano. -- AFP.
-cyberita

Askar Syria tembak mati empat penunjuk perasaan

DAMSYIK: Askar Syria telah menembak mati sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan 17 yang lain apabila pertempuran berlaku dengan para penunjuk perasaan di bandar Banias, kelmarin.


Keganasan terbaru itu berlaku selang sehari para penduduk mengebumikan sekitar 20 penunjuk perasaan yang terkorban dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di bandar selatan Deraa.


Dua cedera apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke atas para penunjuk perasaan di Deraa, kelmarin.Bandar Deraa merupakan lokasi para penunjuk perasaan mengadakan bantahan sejak lebih tiga minggu lalu.


Di Banias, pertempuran berlaku di kejiranan Ras al-Nabee, dengan Masjid Al-Rahman menjadi tapak utama bantahan.'Askar, pasukan keselamatan serta pegawai bersenjata telah mengepung bandar itu dari setiap penjuru dan telah melepaskan tembakan tanpa henti selama beberapa jam.'(Presiden) Bashar al-Assad ingin menyampaikan mesej kepada kami: hukum mereka yang berani menuntut kebebasan dengan kematian,' kata seorang profesor dari universiti setempat.Salah seorang saksi berkata ia merupakan 'satu pembunuhan beramai-ramai dengan penembak tepat melepaskan tembakan untuk membunuh'.Tembakan dikatakan disasarkan ke Masjid Al-Rahman, kata seorang lagi saksi.
Semalam, jalan masuk ke bandar Banias dikatakan masih dikepung oleh pasukan keselamatan.'Kami cuba memasuki Banias melalui jalan masuk utama di lebuh raya pantai tetapi pihak polis telah mengepung jalan raya dan mengarahkan kenderaan berpatah balik. Jalan raya kecil juga telah dikepung,' kata seorang saksi.Sekurang-kurangnya 90 orang telah terkorban di Syria sejak bantahan antipemerintah tercetus pada 15 Mac lalu.
Kelmarin, Presiden Assad berkata 'Syria sedang dalam proses melaksanakan pembaharuan umum.'Bulan lalu, Presiden Assad telah mengarahkan sebuah jawatankuasa perundangan agar melakarkan undang-undang baru bagi menggantikan perintah darurat yang telah berkuatkuasa sejak 1963. -- AFP, AP.
-cyberita

Imelda Marcos diarah pulangkan 12j peso yang digelapkan suami

 Imelda Marcos

MANILA: Sebuah mahkamah Filipina telah mengarahkan balu bekas diktator Ferdinand Marcos, Cik Imelda Marcos, mengembalikan 12 juta peso ($349,900) yang digelapkan mendiang suaminya pada 1983.
Jumlah itu disifatkan sebagai terlalu kecil berbanding dengan AS$10 bilion ($12.5 bilion) yang dianggarkan telah digelapkan mendiang Marcos dan sekutunya semasa pemerintahannya selama 21 tahun.Namun, kes itu merupakan kemenangan penting dalam usaha untuk merampas semula wang haram itu.Suruhanjaya Presiden berkaitan Pemerintah Bersih, yang ditubuhkan selepas penggulingan mendiang Marcos pada 1986, telah mengesan AS$6.5 bilion harta yang digelapkan.Sejauh ini, sekitar AS$1.97 bilion wang dan aset itu telah dirampas semula.Menurut kerani mahkamah, Cik Teresa Pabulayan, semalam keputusan terbaru itu dibuat oleh sebuah mahkamah antirasuah pada Jumaat lalu.Cik Marcos diberi tempoh 30 hari untuk memulangkan wang itu.Keputusan mahkamah itu dibuat berdasarkan kenyataan mantan Pentadir Makanan Nasional, Encik Jesus Tanchanco, bahawa mendiang Marcos telah mengarahkannya melalui perbualan telefon pada 1983 untuk memindahkan wang itu ke dalam akaun peribadinya.Pada 1988, Encik Tanchanco diberikan kekebalan daripada sebarang pendakwaan jika beliau bersetuju membuat kenyataan.Cik Marcos, 81 tahun, yang terkenal dengan gaya hidup yang mewah, telah pulang ke Filipina pada 1991 selepas hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.Beliau telah menyertai semula arena politik dan dilantik untuk menyertai Dewan Perwakilan pada Mei lalu.Anak lelakinya pula dilantik sebagai senator dan anak perempuannya gabenor daerah.Keluarga mendiang Marcos ternyata masih popular di sebalik dakwaan pemerintahannya dicemari oleh pelanggaran hak asasi kemanusiaan, penindasan politik dan masalah ekonomi.Cik Marcos telah berdepan dengan sekitar 900 tuduhan jenayah dan sivil di mahkamah Filipina.Namun, hampir semua kes itu ditolak kerana kurang bukti.Sejauh ini, keluarga Marcos telah menafikan segala tuduhan - AP.

Belanja besar tukar Ferrari jadi limousin


SEBUAH Ferrari F360 baru berharga bermula dari AS$81,678 (RM246,790).


LONDON - Seorang pemilik Ferrari 360 di sini membelanjakan wang sebanyak AS$326,687 (RM987,084) untuk mengubahsuai kereta sport miliknya menjadi sebuah limousin, lapor sebuah akhbar semalam.
Proses mengubah suai kereta sport yang dibeli pada harga AS$81,678 (RM246,790) itu mengambil masa enam bulan dengan menggunakan alat ganti tulen Ferrari.
Ferrari 360 asal memiliki 400 kuasa kuda (bhp) dan mampu memecut 0-100 kilometer sejam dalam masa cuma empat saat. Namun, limousin tersebut tidak dapat mencapai kelajuan asalnya kerana beratnya sudah bertambah. - Agensi
-kosmo

Buku autobiografi karya Hitler dilelong

MEIN KAMPF ditulis oleh Hitler ketika dipenjarakandi Landsberg, Jerman.



BRUSSELS - Sebuah buku autobiografi edisi terhad, Mein Kampf yang ditulis dan ditandatangan oleh bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler dijangka dilelong pada harga mencecah AS$49,026 (RM148,132), lapor sebuah akhbar semalam.
Buku edisi pertama tersebut menggabungkan elemen autobiografi dan ideologi politik diktator Nazi itu. Mein Kampf ditulis ketika Hitler berada dalam tahanan di Landsberg, Jerman pada 1925 dijangka dilelong pada akhir bulan ini.
Hanya satu buku Mein Kampf dikeluarkan dengan tandatangan Hitler bersama huruf-huruf emas di setiap judul muka suratnya. Ia merupakan salah sebuah buku daripada 20 naskhah edisi terhad. Jumlah keseluruhan buku sama yang diterbitkan cuma 500 naskhah.
Seorang penganalisa, Richard Westwood Brookes dari lelongan Mullocks memberitahu, buku itu menjadi naskhah buku yang paling jarang ditemui.
"Ia merupakan buku edisi terhad Mein Kampf yang sukar diperoleh. Hitler menurunkan tandatangannya, sekali gus membuatkan Mein Kampf sangat berbeza dalam edisi pertamanya.
"Naskhah edisi pertama pada tahun 1925 itu tertera tahun 1925 di atas buku tersebut," jelasnya yang menyamakan penerbitan Mein Kampf seperti buku Harry Porter yang dihasilkan dalam edisi pertama sebanyak 500 salinan.
Buku Mein Kampf yang bertarikh sambutan Krismas tahun 1925 itu didedikasikan kepada Hermann Esser yang merupakan salah seorang pengasas parti Nazi dan turut dipenjarakan di Munich Beer Hall Putsch pada 1923.
Pemerintah Jerman itu dianggap penjenayah paling kejam sepanjang zaman kerana memulakan Perang Dunia Kedua dan menyebabkan kematian berjuta-juta orang terutama golongan Yahudi. - Agensi
-kosmo

NATO sangsi gencatan senjata di Libya


SEORANG askar pemberontak menjerit kepada rakannya untuk memberi amaran tentang serangan artileri tentera Gaddafi di sebuah gurun dekat bandar Ajdabiyah semalam.

BRUSSELS - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam menyatakan bahawa ia maklum tentang cadangan gencatan senjata di Libya oleh Kesatuan Afrika (AU) tetapi masih belum menerima permintaan rasmi mengenainya dan akan terus menyerang tentera Muammar Gaddafi selagi mereka mengancam keselamatan penduduk negara Afrika Utara itu.
Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma terdahulu menggesa NATO supaya menghentikan serangan udara bagi memberikan peluang kepada gencatan senjata selepas Gaddafi menerima usul pelan damai AU untuk menamatkan konflik di Libya, termasuk gencatan senjata serta-merta.
Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen berkata, beliau sedia maklum tentang usul gencatan senjata AU tersebut tetapi memberitahu, satu sidang media di sini: "Kami belum menerima permintaan rasmi berhubung pelaksanaan sebarang gencatan senjata."
Rasmussen berkata, rejim Gaddafi pernah mengumumkan beberapa gencatan senjata sebelum ini, tetapi mereka tidak menunaikan janji tersebut.
Menurutnya, sebarang gencatan senjata memerlukan mekanisme pemantauan yang efektif.
"Gaddafi perlu menamatkan keganasan sepenuhnya serta menghentikan semua serangan dan pencabulan terhadap orang awam," katanya.
Sementara itu, pakatan tersebut menyatakan ia melancarkan 154 serangan di Libya sejak kelmarin dengan memusnahkan sebanyak 49 buah kereta kebal, sembilan kereta perisai dan empat gudang simpanan peluru.
Jelasnya, sebahagian besar serangan dilancarkan berhampiran bandar Misrata dan Ajdabiyah.
"Saya amat bimbang dengan keadaan penduduk Misrata dan Ajdabiyah yang menjadi mangsa keganasan rejim Gaddafi," katanya.
-kosmo