Pages

Thursday, June 27, 2013

Kapal angkasa China kembali ke Bumi

GAMBAR yang disiarkan agensi berita Xinhua semalam menunjukkan tiga angkasawan China (dari kiri) Zhang Xiaoguang, Nie Haisheng dan Wang Yaping (wanita).- AP


BEIJING - Kapal angkasa China, Shenzhou-10 selamat kembali ke Bumi semalam, menurut siaran stesen televisyen rasmi negara berkenaan.
Shenzhou-10 mendarat selepas melakukan misi angkasa lepas paling lama dalam sejarah China.
Membawa tiga angkasawan termasuk seorang wanita, kapal angkasa itu mendarat di tanah besar China selepas 15 hari berada di angkasa lepas.
Mereka berada di orbit bagi membantu Beijing mencapai matlamat membina sebuah stesen angkasa lepas kekal menjelang tahun 2020.
Rakaman stesen televisyen China menunjukkan Shenzhou-10 mendarat pada pukul 8.07 pagi (waktu tempatan) di kawasan padang rumput wilayah autonomi Inner Mongolia di utara negara itu.
Sejurus selepas kapal angkasa itu menyentuh Bumi, sekumpulan juruteknik bergegas untuk mengeluarkan ketiga-tiga angkasawan tersebut.
China pertama kali menghantar manusia ke angkasa lepas hanya pada tahun 2003 manakala keupayaan negara itu dilihat tidak setanding Amerika Syarikat dan Rusia.
Namun, Beijing bercita-cita tinggi menerusi program angkasa lepasnya termasuk misi menghantar manusia ke Bulan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2XMiyaGOl 
Hakcipta terpelihara 

Kisah hidup Jiah Khan akan difilemkan

JIAH KHAN


MUMBAI - Pengarah Bollywood Rikshhit Matta mendedahkan rancangan untuk menerbitkan filem yang menyorot kehidupan aktres yang meningkat naik, Jiah Khan.
Rikshhit berkata, dia memberikan judul Bold Bollywood untuk filem tersebut.
"Laporan media tentang kisah tragis kematian Jiah memberikan saya semangat untuk menghasilkan filem ini. Kejayaan di Bollywood adalah sukar dan terlalu banyak keperitan yang perlu ditempuhi," kata Rikshhit.
"Filem ini juga akan mendedahkan sisi gelap kehidupan bintang Bollywood," ujarnya.
Jiah yang membintangi filem Housefull ditemui mati di apartmennya pada 3 Jun lalu dan disemadikan di tanah perkuburan Santa Cruz dekat sini. Aktres itu membunuh diri ketika dia berusia 25 tahun.
Teman lelakinya, Suraj Pancholi ditahan polis kerana disyaki membantu Jiah membunuh diri.
Filem Bold Bollywood akan dibintang barisan muka baharu iaitu Hazel Keech, Sandeepa Dhar, Shweta Bharadwaj, Rajpal Yadav dan Manoj Joshi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2XMipQuhw 
Hakcipta terpelihara 

Guna penutup tong hasilkan barangan seni

PEREKA seni, Alberto Dassasso mengubah suai motosikal Harley Davidson menggunakan penutup tong logam di bengkel firma Seni Reka Vibrazioni di Massa Lombarda, tengah Itali kelmarin.- REUTERS


MASSA LOMBARDA, Itali - Beberapa pereka seni di negara ini mendapat idea menghasilkan pelbagai barangan menggunakan penutup tong logam.
Mereka yang bernaung di bawah firma Seni Reka Vibrazioni, menghasilkan karya seni itu di ibu pejabat syarikat berkenaan di sini.
Semua barangan tersebut dihasilkan menggunakan penutup tong daripada pelbagai sektor industri termasuk petrokimia dan bekas simpanan makanan.
Menampilkan daya kreativiti yang tinggi, pereka-pereka muda itu menempa pelbagai barangan menggunakan penutup logam seperti kerusi dan perabut lain, lampu hias serta motosikal.
Produk tersebut dijual menggunakan jenama Seni Reka Vibrazioni.
Ditubuhkan pada 2007 ketika Itali tenat dilanda krisis ekonomi, firma itu bukan sahaja mampu bertahan, malah turut berupaya meluaskan pasarannya meliputi Asia dan Eropah. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2XMiVJjuj 
Hakcipta terpelihara