Pages

Sunday, December 6, 2015

Manusia paling banyak gigi

New Delhi: Purata manusia memiliki 32 gigi, tetapi bagi Vijay Kumar, dia mempunyai lebih banyak daripada itu.
Kumar dari Bangalore, India, diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness sebagai orang yang mempunyai paling banyak gigi, 37 semuanya.
Lelaki berusia 27 tahun itu mula menyedari dia memiliki sesuatu yang luar biasa di dalam mulutnya ketika berumur belasan tahun.
Bagaimanapun, dia hanya cuba untuk mendapatkan pengiktirafan Guinness beberapa tahun lalu.
Kini dia bangga dengan pengiktirafan itu yang dianggapnya sesuai dengan cabaran dihadapinya setiap hari.
“Ke mana saya pergi, saya menggosok gigi setiap kali selepas makan. Jika tidak, saya tidak rasa selesa kerana ada saja sisa makanan terselit pada gigi, lebih-lebih lagi di bahagian atas.
Mendapat pengiktirafan Guinness adalah langkah pertama. Bahagian paling sukar ialah merakam gambarnya, menurut jurugambar Guinness Ranald MacKechnie. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:07 AM


KUMAR menunjukkan giginya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98209#sthash.u4qSZwmA.dpuf

Kucing mati hampir 24 jam hidup kembali


Sedutan rakaman keluarga Bingham menyelamatkan seekor anak kucing yang disangka mati beku.

UTAH - AMERIKA SYARIKAT. Seekor anak kucing yang disangka mati beku akibat tertanam oleh salji hidup kembali selepas diberi rawatan kecemasan lebih sejam.
Melalui rakaman yang dimuatnaik oleh Branden Bingham di Youtube, bangkai anak kucing berkenaan  ditemui ketika keluarga Bingham keluar dari rumah untuk bermain salji yang turun semalaman.
Salah seorang ahli keluarga Bingham kemudian membawa bangkai anak kucing tersebut masuk ke rumah dan meletakkannya di tepi api sambil memberikan CPR dan mengurut jantungnya lebih sejam.
Mereka bagaimanapun berhenti merakam kejadian kerana menyangka anak kucing tersebut sudah benar-benar mati dan meninggalkannya di tepi api untuk bermain salji.
Menakjubkan apabila sekembalinya keluarga Bingham ke dalam rumah, anak kucing tersebut ditemui bernafas walaupun lemah.
Keluarga Bingham kemudian membawa anak kucing tersebut ke klinik haiwan untuk rawatan susulan.
Perkongsian keluarga Bingham telah menarik perhatian berjuta-juta pelayar laman Youtube yang kebanyakannya memuji tindakan keluarga Bingham dalam menyelamatkan haiwan malang berkenaan.
"Saya menangis menonton video awak. Terima kasih kerana tidak putus asa menyelamatkan anak kucing itu," komen Melina dari London, Britain di Youtube.
"Anak kucing yang comel! Matanya memang cantik, awak patut terus membelanya," kata Murasaki dari Amerika Syarikat
.

Jambatan paling ngeri dunia di China


Pemandangan memukau jambatan kaca yang telah siap di Taman Negara Tianmenshan, di Zhangjiajie di wilayah Hunan, tengah China. AGENSI
BEIJING 4 Dis. - Pembinaan jambatan gantung kaca paling panjang dan tertinggi di ‘dunia’ pada ketinggian 298 meter di atas sebuah ngarai di Zhangjiajie di wilayah Hunan, tengah negara itu berjaya disiapkan semalam.
Kerja-kerja menyambung dek keluli terakhir yang menghubungkan jambatan berkenaan yang mempunyai laluan sepanjang 374 meter, siap dilakukan semalam, lapor People’s Daily Online yang dipetik Mail Online.
Jambatan itu terletak di Taman Negara Tianmenshan yang pembinaanya mengambil masa selama setahun dengan kos 26 juta yuan (RM16.4 juta) menewaskan jambatan pejalan kaki yang terdapat di Grand Canyon, Arizona yang hanya terletak pada ketinggian 219 meter.
Biarpun telah siap, jambatan pejalan kaki itu yang direka seorang jurubina, Haim Dotan hanya akan dibuka pada Mei tahun depan.
Rancangan pembinaan jambatan kaca di Zhangjiajie pertama kali diumumkan pada 2012 dengan pembinaannya hanya bermula November tahun lalu.
Syarikat di sebalik pembinaan mengagumkan itu, ‘China Railway Major Bridge Reconnaissance and Design Institute’ pada asalnya mahu menyiapkan jambatan itu pada Julai lalu sebelum membukanya pada Oktober tahun ini.
Bagaimanapun, kesukaran pembinaan struktur dan lokasi jambatan itu, tarikh pembukaannya telah ditunda ke tahun hadapan.
Jambatan pejalan kaki itu menghubungkan tebing curam di ‘Zhangjiajie Grand Canyon’ dan mampu menampung seramai 800 orang pengunjung pada satu masa.
Mereka yang melalui jambatan itu akan menikmati pemandangan indah taman negara itu yang merupakan inspirasi bagi pembuatan senario planet Pandora dalam filem Avatar.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jambatan-paling-ngeri-dunia-di-china-1.165725#sthash.sQnL8IUy.dpuf