Pages

Monday, May 16, 2011

Gaddafi tawarkan genjatan senjata



TRIPOLI (Arrahmah.com) – Rejim Muammar Gaddafi dikhabarkan telah menawarkan gencatan senjata kepada NATO melalui utusan PBB Abdul-Ilah al-Khatib yang berkunjung ke Tripoli pada Minggu (15/5/2011). Tawaran ini muncul sehari sebelum Pengadilan Jenayah Antarabangsa (ICC) mempertimbangkan penerbitan surat penahanan untuk sejumlah petinggi Libya atas tuduhan pelanggaran HAM berat.

Usai bertemu dengan Al-Khatib, Perdana Menteri Libya Baghdadi Mahmudi mengatakan Libya menginginkan penghentian segera pengebomban NATO sebagai imbalan tawaran gencatan senjata ini.
Mahmudi mengatakan Pemerintah Libya memiliki komitmen menjaga persatuan wilayah dan kebebasan rakyatnya dalam menyelesaikan masalah politik negeri itu tanpa ancaman pengeboman.
Mahmudi bahkan menuding NATO yang memaksakan zona larangan di Libya telah melakukan aksi kekerasan termasuk pembunuhan politik, blokade laut tanpa dasar, menyerang sasaran sipil dan menghancurkan infrastruktur.
Utusan khusus PBB Abdul-Ilah al-Khatib melakukan kunjungan sehari ke Tripoli, Minggu (15/5) selain untuk mendesak dilakukannya gencatan senjata juga meminta agar akses bantuan untuk warga diperluas.
Sementara itu, dalam berita yang dilansir BBC, pesawat-pesawat terbang NATO menghancurkan sebuah depot minyak di kota penting Ras Lanuf, Minggu (15/5) malam waktu setempat. Serangan ini terjadi setelah Inggris mengusulkan agar NATO memperluas target serangan di wilayah yang dikuasai Muammar Gaddafi.
Timbalan Menteri Luar Negeri Libya Khaled Kaim mengecam keras serangan itu dan menggambarkan serangan udara NATO itu sebagai sebuah provokasi.
Selain menyerang depot bahan bakar di Ras Lanouf, pesawat-pesawat tempur NATO juga menyerang barak-barak militer dan fasilitas radar di kota Boukamache 17 km dari perbatasan Tunisia.
Sedangkan di Misrata, pasukan pemberontak mendakwa mereka sudah berhasil sepenuhnya menguasai kota pelabuhan penting di wilayah barat Libya itu. Misrata sejauh ini adalah satu-satunya kota di wilayah barat Libya yang dikuasai pasukan pemberontak. Pertempuran sengit terus terjadi antara pasukan pemerintah dan pemberontak demi memperebutkan kota Misrata. Akibatnya tak kurang dari 1000 orang terbunuh di kota tersebut. (rasularasy/arrahmah.com)
Gaddafi tawarkan genjatan senjata - Arrahmah.com

Israel tembak penunjuk perasaan


RAMALLAH: Sekurang-kurangnya 24 warga Palestin cedera selepas bertempur dengan polis serta tentera rejim Zionis semalam, ketika ribuan penduduk menyertai protes Nakba bagi memperingati pembentukan Israel pada 1948.
Sumber perubatan berkata, lima penduduk Palestin cedera terkena peluru getah ketika orang awam dan polis Israel bertempur berhampiran pintu sempadan Qalandiya.

Ketika pemuda Palestin melontar batu, tentera bertindak balas melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah dan satu daripadanya mengenai kepala penunjuk perasaan.

Difahamkan mangsa kini kritikal. Jurucakap tentera Israel berkata, kira-kira “200 orang” merusuh dan polis sempadan “cuba meleraikan keadaan.” Di utara Gaza, 19 orang yang cedera, termasuk tiga dalam keadaan kritikal selepas tentera Zionis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berarak ke sempadan.

Sumber berkata, kebanyakan mangsa berusia di antara 12 dan 17 tahun. - AP
myMetro

Kereta terhumban dalam sungai


ANGKAT...anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang terhumban.
ANGKAT...anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang terhumban.


ALOR GAJAH: Kegembiraan lapan sekawan menghabiskan cuti hujung minggu dengan berehat di Pantai Klebang dekat sini, bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka terbabit kemalangan ngeri yang mengorbankan dua nyawa manakala seorang lagi parah.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi semalam, tiga mangsa bersaudara itu menaiki kereta Proton Iswara untuk pulang ke rumah sebelum terbabit kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), di laluan Sungai Petai-Seri Pengkalan, dekat sini.

Difahamkan, kereta dipandu, R G R Raman, 33, P Siva Kumar, 19, (adik ipar) dan T Vellu, 20, (sepupu) dipercayai hilang kawalan ketika melepasi lampu isyarat Sungai Petai, di sini, menyebabkan ia terseret sebelum merempuh pembahagi jalan dan terhumban ke dalam sungai.

Akibat kemalangan itu, Raman dan Siva yang duduk di sebelahnya mati serta-merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan tersepit di tempat duduk hadapan manakala Vellu yang duduk di tempat duduk belakang tercampak keluar dari kereta.

Menurut rakan mangsa yang juga saksi kejadian, M Yoganathan, 24, dia bersama tujuh lagi rakan termasuk ketiga-tiga mangsa itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Pengkalan Indah, di sini, selepas menghabiskan masa hujung minggu di Pantai Klebang sejak tengah malam kelmarin.


Katanya, mereka bertolak ke Pantai Klebang kira-kira jam 12.30 tengah malam semata-mata meluangkan masa bersama untuk aktiviti rutin malam minggu selepas penat bekerja sebelum bertolak balik ke rumah masing-masing pada awal paginya. “Kami tiba di Pantai Klebang dengan tiga kereta dan bersantai sehingga jam 6.30 pagi sebelum berkemas untuk balik semula ke rumah masing-masing. Ketika itu kami sempat bergelak ketawa dan bernyanyi ketika kereta bergerak seiring.

“Kami memandu agak perlahan dan kereta Proton Iswara dipandu Raman berada paling hadapan diikuti kereta Proton Waja yang saya pandu bersama seorang rakan dan sebuah lagi kereta Proton Persona yang dipandu abang seorang daripada mangsa bersama dua rakan lain.

“Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, kereta Proton Persona membelok ke Pekan Alor Gajah untuk mengisi minyak dan saya meneruskan perjalanan ke rumah,” katanya.

Katanya, ketika berada di persimpangan lampu isyarat Rembia, tiba-tiba kereta dipandu Raman memintas keretanya dan berhenti di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai sebelum dia melihat ketiga-tiga rakan memandang ke arahnya sambil melambai tangan.

“Tiba- tiba saya lihat kereta dinaiki mereka hilang kawalan ketika memotong dan terhuyung-hayang sebelum terbabas ke atas pembahagi jalan hingga terseret sejauh hampir 30 meter dan merempuh pokok bunga.


“Kereta berkenaan kemudian merempuh pula tembok besi penghadang jalan dan tembok jambatan sebelum melambung dan terhumban ke dalam sungai,” katanya.


Sementara itu, menurut abang kepada Raman, iaitu Arumugam, 37, sebaik tiba di Rembia, kereta dipandu adiknya memotong dengan laju ketika berhenti untuk mengisi minyak.


“Saya terkejut melihat kereta itu dipandu begitu laju dan hilang dari pandangan lalu cuba menghubunginya namun tiada jawapan sebelum saya dihubungi oleh rakan yang memandu Proton Waja memberitahu kereta adik saya terbabas.


“Saya segera berpatah-balik ke tempat kejadian dan mendapati kereta dipandu adik sudah terhumban ke dalam sungai,” katanya, semalam.
myMetro

Melambung 10 meter


PARAH...Ahmad Fakri terlantar di hospital dilanggar Mat Rempit.
PARAH...Ahmad Fakri terlantar di hospital dilanggar Mat Rempit.

TAHAN...lelaki rempuh pelajar tahun lima ditahan.
TAHAN...lelaki rempuh pelajar tahun lima ditahan.

KUALA TERENGGANU: “Biarlah Mat Rempit itu dikenakan hukuman setimpal, seboleh-bolehnya hukuman sebat, tak pun dipenjara,” kata Azni Arif, 44, yang geram dengan tindakan seorang Mat Rempit merempuh anaknya dalam kejadian di Kampung Seberang Baruh, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Ahmad Fakri Azni, 11, patah tulang belakang, retak tempurung kepala, menerima tujuh jahitan di kepala, luka di tangan dan badan akibat dirempuh mat rempit terbabit yang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya polis dipercayai kerana tidak mempunyai lesen memandu.

Ahmad Fakri yang ketika itu bermain basikal di hadapan rumah dikatakan melambung sejauh 10 meter selepas dirempuh Mat Rempit berkenaan yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5.

Kejadian itu turut disaksikan Azni yang berada tidak jauh dari tempat kejadian dan dia meluru mendapatkan anaknya sebelum mengejarkannya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, di mana pelajar Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga berkenaan menerima rawatan di unit kecemasan selama lima jam.

“Sebagai ayah, saya kesal dengan kejadian ini kerana ia bukan saja boleh berlaku kepada anak saya, tetapi juga anak orang lain juga,” katanya.


Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Che Khazahari Amat berkata, mat rempit berusia 18 tahun berasal dari Kampung Tok Imam Lapar, Kuala Telemong melarikan diri daripada sekatan polis di Simpang Empat Tok Ku, di sini dengan melawan arus serta menunggang secara berbahaya.

“Motosikal yang ditunggang suspek dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh pelajar berkenaan sambil disaksikan bapa mangsa yang berada tidak jauh dari tempat kejadian.

“Pelajar terbabit melambung sejauh 10 meter akibat rempuhan itu dan Mat Rempit berkenaan yang cuba melarikan diri berjaya ditahan orang ramai yang kebetulan berada di situ,” katanya.
myMetro

4 beranak bagai dirasuk setan


GANAS...rakaman  CCTV menunjukkan aksi ganas lelaki dan anaknya yang berkopiah serta bersenjatakan parang menyamun  stesen minyak di Bandar Permas Jaya.
GANAS...rakaman CCTV menunjukkan aksi ganas lelaki dan anaknya yang berkopiah serta bersenjatakan parang menyamun stesen minyak di Bandar Permas Jaya.


JOHOR BAHRU: Empat beranak yang berperwatakan alim dengan berjubah dan memakai kopiah serta bertakbir, tiba-tiba bertukar menjadi ‘syaitan’ apabila masing-masing bersenjatakan parang menyamun stesen minyak di Bandar Permas Jaya, kira-kira jam 1.30 tengah hari, kelmarin.
Dalam kejadian itu, empat beranak yang pernah menyamun di premis sama sebanyak dua kali Jumaat lalu, bertindak lebih ganas apabila cuba mengelar leher pengusaha stesen minyak berkenaan ketika menghalang perbuatan mereka.

Lebih pelik, bukan saja bapa berusia 49 tahun membawa parang, malah tiga anaknya berusia 15, 14 dan lapan tahun turut membawa senjata sama ketika kejadian, manakala isterinya berusia 37 tahun yang berada di dalam teksi bersama anak perempuan berusia 12 tahun dan bayi berusia lapan bulan dikatakan turut berparang.

Menceritakan detik mencemaskan itu, pemilik stesen minyak berkenaan, Sulaiman Che Kutty, 45, berkata, dia yang berada di masjid bergegas ke stesen minyak selepas isterinya yang berada di rumah, dihubungi seorang pekerja memaklumkan kejadian itu.


“Akibat bimbangkan keselamatan pekerja, saya ke stesen sebelum melihat tiga individu berparang menetak meja kaunter dan kotak gula-gula.
myMetro

Perceraian RM400 juta



Minggu lalu juga menyaksikan terlerainya perkahwinan selama 19 tahun antara anak Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Abdul Taib dengan Datin Seri Shahnaz A. Majid. Seakan kebetulan, Shahnaz juga mempunyai seorang adik yang melibatkan diri dalam industri seni, iaitu ratu jazz, Datuk Sheila Majid.
Perceraian itu juga pada awalnya mendapat perhatian, ekoran dakwaan-dakwaan yang dinyatakan oleh Shahnaz, 48, apabila beliau memfailkan permohonan untuk bercerai secara fasakh.
Antaranya, Shahnaz mendakwa dirinya telah dikasari secara fizikal dan tidak menerima nafkah batin sejak 11 tahun lalu selain mendakwa suaminya gemar bersosial dan tidak berlaku adil selepas berkahwin dengan seorang wanita Rusia.
Bagaimanapun, sebelum kes fasakh sempat didengar, mahkamah dimaklumkan bahawa Mahmud Abu Bekir ada memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di mahkamah sama.
Atas persetujuan bersama, Mahmud Abu Bekir, 48, melafazkan cerai dengan talak satu terhadap Shahnaz pada Rabu di hadapan Ketua Hakim Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Abdullah.
Apa yang lebih menarik ialah nilai yang terbabit dalam perceraian itu - RM400 juta - satu nilai yang amat jarang sekali didengar bukan sahaja dalam tahun ini, tetapi dalam dekad ini.
Shahnaz memfailkan permohonan untuk menuntut mutaah bernilai RM100 juta dan RM300 juta sebagai harta sepencarian - nilai yang dianggap berpatutan dengan status dan pendapatan Mahmud Abu Bekir.
RM100 juta itu didakwa sebagai satu jumlah yang munasabah dengan tempoh perkahwinan dan jumlah yang adil bagi beliau untuk memulakan kehidupan baru sesuai dengan status dan taraf yang pernah dilaluinya.
RM300 juta pula dituntut agar diisytiharkan sebagai harta sepencarian yang meliputi harta-harta termasuk rumah di mereta-rata tempat, tanah beratus-ratus hektar di Sarawak dan tanah di Bukit Tunku, di sini.
Selain itu, mereka juga didakwa mempunyai kereta Mercedez Benz, Lamborghini Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati Quartoporte, Audi, dan Alphard serta simpanan-simpanan bank.
Harta tersebut juga melibatkan syarikat-syarikat dan saham-saham seperti Titanium Management Sdn Bhd, Sarawak Cable Berhad, Cahaya Mata Sarawak Berhad, Premium Haven, Log Dak Promotions, Dataran Aras, Celebrity Design dan Bella Magic.
Kes tersebut akan disebut pada 27 Jun depan untuk melihat sekiranya pasangan itu dapat mencapai persetujuan dalam permohonan tersebut atau jika tidak, kes itu akan dibicarakan.
Isu perceraian bukanlah satu isu yang besar pada masa kini. Setiap hari ada sahaja pasangan yang bercerai di setiap Mahkamah Rendah Syariah di sekitar negara.
Bagaimanapun, status mereka ini selaku orang kebanyakkan menyebabkan perihal yang menyedihkan itu hanya dikongsi oleh keluarga dan teman rapat sahaja.
Sudah pastilah, tiada siapa yang berminat untuk membaca jika akhbar menyiarkan 'Joyah sah bercerai dengan Ahmad' kerana nasib Joyah tiada bezanya dengan wanita-wanita yang sama menunggu kes mereka dipanggil di mahkamah.
-mstar

35 penunjuk perasaan di Yaman cedera ditembak


SANAA 15 Mei - Sekumpulan lelaki bersenjata api melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di bandar Taiz di selatan Yemen, semalam mengakibatkan 35 orang cedera, ketika diplomat dari Teluk tiba di sini untuk meneliti semula pelan damai bagi menamatkan krisis di negara ini.

Penduduk Yemen telah mengadakan demonstrasi di seluruh Yemen sejak beberapa bulan lalu dalam kebangkitan rakyat negara ini menentang pemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh setelah mendapat inspirasi daripada kebangkitan rakyat yang berjaya menggulingkan pemimpin Mesir dan Tunisia.
Satu pelan damai pada bulan lalu yang diusahakan oleh negara-negara Teluk bagi menggesa Saleh meletak jawatan gagal kerana setelah Presiden yemen itu menolak cadangan itu.
Kumpulan lelaki yang berpakaian biasa itu dipercayai pasukan keselamatan menembak dari atas bumbung bangunan ke arah penunjuk perasaan yang mendesak Saleh yang telah memerintah selama lebih tiga dekad di negara Arab termiskin ini berundur.
"Seramai 35 orang cedera akibat terkena tembakan, tiga daripada mereka kini dirawat di unit rawatan rapi," kata seorang doktor kepada Reuters.
Tiga orang terbunuh, manakala 15 lagi cedera Jumaat lalu apabila tentera menembak ke arah penunjuk perasaan di Ibb, bandar di selatan Sanaa.
Pembunuhan itu menjadikan jumlah korban di Yemen kini meningkat kepada 170 orang sejak tunjuk perasaan di negara ini tercetus.
Pasukan keselamatan kelmarin menahan Ahmed al Musaibli, seorang wartawan penyiaran yang meninggalkan stesen televisyen kerajaan untuk bekerja dengan stesen televisyen satelit yang dikendalikan pembangkang, kata saksi.
Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Abdullatif al-Zayani tiba di Sanaa kelmarin untuk lawatan tiga hari untuk menyabung semula rundingan bagi peralihan kuasa antara Saleh dan pemimpin pembangkang.
"Setiausaha Agung GCC akan bertemu Menteri Luar (Yemen), Abubakr al-Qirbi petang ini," kata seorang pegawai Yemen.
Dalam satu kenyataan diterbitkan akhbar harian Okaz di Arab Saudi kelmarin, Saleh dilaporkan berkata, jika beliau disingkirkan beliau juga akan mengadakan tunjuk perasaan seperti sekarang "untuk menggulingkan kerajaan yang ada". - Reuters

Sichuan dilanda gempa bumi



BEIJING 15 Mei - Wilayah Sichuan dilanda gempa bumi berukuran 5.0 hari ini, yang pertama selepas wilayah itu dilanda gempa kuat tiga tahun lalu.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa tersebut berlaku pada pukul 3.05 petang waktu tempatan pada kedalaman 15 kilometer dengan pusat gempa dikesan sedalam 31 kilometer di barat bandar Guangyuan.
Gempa tersebut bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kecederaan.
Pada 12 Mei 2008, Sichuan serta sebahagian wilayah Shaanxi dan Gansu digegarkan dengan gempa sekuat 8.0, menyebabkan 87,000 orang maut dan hilang. - AFP

Empat penunjuk perasaan di Syria maut



DAMSYIK 15 Mei - Pasukan keselamatan Syria membunuh sekurang-kurangnya empat orang penunjuk perasaan yang mengadakan protes di pekan Tall Kalakh, bersempadan dengan Lebanon, semalam.
Angka kematian dalam protes antikerajaan di Syria terus meningkat, sekalipun Presiden Bashar al-Assad mengarahkan supaya tembakan tidak dilepaskan ke arah penunjuk perasaan dan kerajaan beliau menawarkan dialog dan berjanji mengundurkan tentera.
"Pasukan keselamatan yang mengepung Tall Kalakh sejak pagi semalam melepaskan tembakan mesingan, menyebabkan sekurang-kurang tiga orang maut dan sebilangan lagi cedera di pekan sebelah barat itu," kata saksi.
Seorang lelaki yang cedera ditembak dan dimasukkan ke sebuah hospital di Lebanon meninggal dunia kemudian akibat kecederaannya.
Lebih 500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak melarikan diri ke seberang sempadan dari Tall Kalakh semalam, kata anggota majlis perbandaran, Mahmud Khazaal.
Sesetengah pelarian yang masuk ke kawasan Wadi Khaled di utara Lebanon mengalami kecederaan akibat ditembak.
Saksi di Tall Kalakh mendakwa, penduduk membawa mereka yang cedera ke sebuah klinik kecil dan bukan ke hospital di pekan itu kerana tidak mahu mangsa ditangkap atau 'dibunuh'.
Pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah satu perarakan jenazah di jalan masuk ke pekan itu, membunuh ibu kepada seorang mangsa yang maut dalam protes dan mencederakan tiga lagi anggota keluarganya.
Serangan itu berlaku sehari selepas beribu-ribu orang membanjiri jalan raya selepas solat Jumaat untuk mengadakan protes antirejim di pekan yang terletak kira-kira 160 kilometer ke utara Damsyik. - AFP

45 pemuda Palestin cedera



Penduduk Palestin menjulang bendera Palestin semasa mengadakan perhimpunan di sempadan terminal Rafah dengan Mesir dan selatan Genting Gaza, semalam bagi memperingati ulang tahun ke-63 insiden 'Hari Nakba'. - AFP


GAZA CITY 15 Mei - Sekurang-kurangnya 45 pemuda Palestin cedera hari ini apabila tentera Zionis melepaskan dua tembakan meriam kereta kebal dan tembakan mesingan bertalu-talu ke arah penduduk Gaza yang berarak menghampiri sempadan Israel.
Perarakan ke pintu sempadan Erez itu adalah sebahagian daripada perarakan dan protes yang diadakan oleh penduduk Palestin di seluruh Tebing Barat dan Genting Gaza hari ini untuk memperingati hari ulang tahun ke-63 'Nakba' (malapetaka).
Hari Nakba menandakan peristiwa penubuhan Israel yang memaksa kira-kira 800,000 penduduk Palestin mencari perlindungan di kem-kem pelarian di rantau ini apabila mereka melarikan diri atau diusir dari kampung halaman mereka, kini menjadi wilayah Israel, semasa perang Arab-Israel 1948.
Sambil mengibarkan bendera Palestin, penunjuk perasaan di sini berarak selama 10 minit dari ibu pejabat Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menempatkan tugu peringatan Yasser Arafat, ke Dataran Manara di tengah Ramallah.
Siren dibunyikan di seluruh bandar ini sebagai tanda berkabung.
Sekurang-kurangnya 25 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan askar dan polis Israel di pintu sempadan Qalandia, Tebing Barat, meskipun pasukan keselamatan PA dikerahkan untuk menghalang penduduk menghampiri sekatan tentera Israel di situ.
Di Gaza, berpuluh-puluh bas membawa ribuan penunjuk perasaan ke satu persimpangan di utara Gaza City, sebelum mereka menuju ke pintu sempadan Erez dengan Israel, dan ke bandar Rafah sebelum mereka berarak ke sempadan dengan Mesir.
Buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, penyokong Parti Fatah dan Hamas berarak bersama-sama, manakala pemimpin daripada semua puak Palestin menyampaikan ucapan.
Dua pergerakan utama Palestin itu menandatangani perjanjian perdamaian pada awal bulan ini setelah bertahun-tahun berbalah.
Sementara itu di Maroun al-Ras, empat penunjuk perasaan terbunuh, manakala 11 lagi cedera dalam kejadian tembak-menembak di sempadan Lebanon-Israel, di mana rakyat Palestin mengadakan demonstrasi, kata sumber ketenteraan, hari ini.
Jurukamera Reuters, Ezzat Baltaji berkata, dia sempat merakamkan gambar tiga mayat dan dua yang lain tidak bergerak.
Tentera Israel melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan demontrasi rakyat Palestin manakala tentera Lebanon turut berbuat demikian untuk menyekat kemaraan penunjuk perasaan daripada menghampiri sempadan. - Agensi

Enam terbunuh, 71 cedera demonstrasi di Lubnan


BINT JBEIL 16 Mei - Enam rakyat Palestin terbunuh manakala 71 yang lain cedera ditembak tentera Israel semasa demonstrasi memperingati peristiwa Hari Nakba yang diadakan di sempadan selatan Lubnan, kata sumber dari pihak hospital semalam.

Pasukan tentera keamanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berada di sempadan itu dikerahkan untuk sekatan maksimum pada semua pihak untuk mengelakkan angka korban lebih banyak serta meningkatkan tahap keselamatan di kawasan tersebut.
"Enam terbunuh manakala 71 yang lain cedera dan 13 daripadanya cedera parah.
"Mangsa yang terbunuh terkena tembakan di muka, perut dan jantung," kata sumber dari hospital Bint Jbeil yang terletak berhampiran dengan sempadan bandar Marun al-Ras. - AFP

Lima terbunuh dalam keganasan di Iraq


BAGHDAD 16 Mei - Tiga sekeluarga dan dua yang lain terbunuh dalam keganasan ibu negara dan utara Iraq, termasuk siri serangan roket di Baghdad, kata pegawai tentera semalam.

Menurut pegawai Kementerian Dalam Negeri, kumpulan bersenjata beruniform polis menyerang satu keluarga di daerah Baraa yang terletak di barat daya Baghdad dan membunuh tiga orang, tanpa diketahui motif sebenar pembunuhan itu.
Katanya, seorang lagi terbunuh manakala 12 yang lain cedera dalam sembilan serangan roket di ibu negara, termasuk lima serangan ke atas Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Parlimen yang terletak di kubu kuat Zon Hijau.
Sementara di Tikrit, utara Baghdad, seorang pegawai agensi cukai terbunuh manakala dua pegawai yang lain cedera apabila sebuah bom yang diletakkan pada kereta yang mereka diletupkan, kata pegawai polis di bandar ini. - AFP

Dua 'perisik upahan' AS dibunuh Taliban


MIRANSHAH 16 Mei - Kumpulan militan Taliban membunuh dua orang yang disyaki sebagai 'perisik' upahan Amerika Syarikat (AS) di sebuah kawasan bergolak di Pakistan, kata pegawai polis semalam.

Menurut kenyataan polis, kedua-dua mayat ditemui di tepi jalan, salah satu daripadanya dipotong beberapa bahagian, di kawasan puak Nawi Adda dan Boya yang terletak di wilayah Datta Kei, Utara Waziristan yang bersempadan dengan Afghanistan.
Katanya, terdapat dua orang daripada puak tersebut ditangkap selepas dua serangan peluru berpandu AS di wilayah itu pada Khamis dan Jumaat lepas.
"Mayat pertama ditemui di tepi jalan di Nawi Adda pagi semalam bersama nota yang ditulis dalam bahasa Pashto manakala mayat kedua yang dikerat beberapa bahagian ditemui di Boya," katanya.
Sumber perisikan tempatan mengesahkan kejadian tersebut sambil memberitahu terdapat nota yang memberi amaran kepada perisik yang diupah AS akan menerima nasib yang sama. - AFP

Kapal campak jenazah Osama tiba di Manila


MANILA: Pegawai Amerika semalam mengalu-alukan kedatangan Presiden Benigno Aquino lll dan pelawat ke atas kapal perang USS Carl Vinson, di mana dari kapal itulah, jenazah pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden dicampakkan ke laut. 


Aquino yang diiringi anggota kanan kabinet beliau dan ketua staf tentera, diterbangkan ke kapal pengangkut pesawat itu semalam, ketika ia belayar di Laut China Selatan menghala ke Filipina.
Sekumpulan wartawan juga diundang untuk melawat kapal seberat 97,000 tan itu dan berbual dengan kelasi ketika ia berlabuh di Manila bersama tiga kapal perang lain bagi memulakan lawatan hormat empat hari di beberapa pelabuhan di Filipina.
Jurucakap Kedutaan Amerika Wossenyelesh Mazengia, memberitahu lebih 24 wartawan yang menaiki feri selama setengah jam menuju ke kapal itu bahawa tiada sesiapa di USS Vinson dibenarkan berbincang sebarang butiran terperinci operasi serangan ke atas Osama bin Laden. 

“Saya tidak katakan bahawa anda tidak boleh bertanya. Anda boleh berbuat demikian,” katanya. 

Setiausaha Pertahanan, Voltaire Gazmin berkata Aquino dan rombongannya dibawa melawat kapal perang itu dan menyaksikan satu pertunjukan pesawat perang ketika berlepas dan mendarat di atas kapal berkenaan. Satu daripada pesawat itu diterbangkan seorang juruterbang Filipina warga Amerika. 

“Pada satu ketika, Aquino duduk di dalam kokpit pesawat perang Super Hornet F/A-18E di hangar kapal, manakala kelasi mengambil beliau. Presiden itu juga bergambar kenangan dengan kelasi Filipina warga Amerika,” kata Gazmin Bagaimanapun beliau berkata, suatu perkara yang ketara, isu pengebumian Osama dari Carl Vinson, 12 hari sebelum itu tidak disentuh langsung, manakala rombongan Aquino juga berpendapat perkara itu tidak perlu ditanya. 

“Kami tidak meminta taklimat mengenainya kerana ia terlalu sensitif. Ia adalah satu lawatan persahabatan dan kami ia kekal begitu,” katanya. 

Gazmin, seorang jeneral bersara berkata, beliau kagum dan cara serangan komando waktu malam yang membunuh Osama dan menambah, ia menunjukkan kehebatan kuasa tentera Amerika. – AP 

Mazlina rayu selamatkan suami



MAZLINA sayu melihat dua anaknya, Nur Athirah dan Adib Irfan (kiri) yang menunggu kepulangan bapa mereka di Sungai Buloh kelmarin.


KUALA LUMPUR – Isteri Nazaruddin Saidin yang menjadi mangsa penculikan bersenjata api di selatan Filipina minggu lalu, Mazlina Mohamad, 38, merayu kepada pihak berkuasa untuk menyelamatkan suaminya yang kini ditahan penculik di Pulau Sulu, selatan Filipina.
Mazlina yang berada dalam kebingungan mengakui sudah mati akal untuk membebaskan suaminya lebih-lebih lagi selepas para penculik tersebut meminta wang tebusan sebanyak 80 juta peso (RM5.6 juta).
“Adalah mustahil untuk saya mendapatkan wang tebusan sebanyak itu (RM5.6 juta).
“Saya sudah tidak tahu untuk lakukan apa lagi, cuma merayu dan bergantung harap kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah yang saya hadapi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! semalam melaporkan mengenai kebimbangan Mazlina terhadap suaminya, Nazaruddin, 38, yang diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata ketika berada di Pulau Sulu, selatan Filipina pada Ahad minggu lalu.

Skuter elektrik tanpa pencemaran berharga RM8,944



BENTUK skuter elektrik tanpa pencemaran.


BERLIN - Sebuah skuter elektrik buatan Jerman yang dijual pada harga 2,112 euro (RM8,944) tidak mengeluarkan sebarang pencemaran, lapor sebuah akhbar semalam.
Skuter itu sepanjang 139 sentimeter (sm), tinggi 62sm dan lebar 35sm selain menggunakan sebuah bateri mudah alih.
Pembeli boleh mengecaj skuter itu di kedai kopi dan di tempat kerja kerana ia menggunakan bateri mudah alih.
Skuter itu berjenama TP yang bermaksud Tante Paula atau ibu saudara Paula dalam bahasa Melayu.
Kelajuan skuter itu ialah 19 kilometer sejam. - Agensi, kosmo

Lembu jantan rempuh cermin kedai



LEMBU itu kemudian merempuh cermin kedai di Sao Jose Do Rio Preto, Brazil.


SAO JOSE DO RIO PRETO, Brazil - Seekor lembu jantan merempuh cermin pameran sebuah kedai di bandar ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Lembu jantan itu memasuki kedai pakaian tersebut selepas ia terlepas dari sebuah trak haiwan yang terlibat dalam satu nahas jalan raya baru-baru ini.
Haiwan itu yang telah memasuki kedai berkenaan berdiri di tepi cermin kedai tersebut di tepi beberapa patung pameran.
Beberapa orang yang ditugaskan untuk menangkap haiwan itu berdiri di luar kedai tersebut dengan tujuan untuk menangkapnya.
Namun, selepas berdiri buat seketika, lembu itu merempuh cermin kedai pameran menyebabkan beberapa orang yang mahu menangkap haiwan cuba mengelak daripada terkena kaca.
Para penangkap lembu itu kemudian menggunakan tali yang dibaling ke arah kepala haiwan tersebut sebelum mereka berjaya menangkapnya semula. - Agensi

Kanak-kanak lapan tahun disuntik botox




BRITNEY CAMPBELL disuntik dengan botox.


SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) – Pihak berkuasa San Francisco sedang menyiasat seorang ibu yang mengakui memberikan suntikan botox antikedutan kepada seorang anak perempuannya yang berusia lapan tahun yang menyertai pertandingan kecantikan, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang ahli kecantikan sambilan, Kerry Campbell mendapat kecaman ramai setelah dia menyuntik wajah anaknya, Britney dengan botox bagi menghilangkan kedutan yang muncul di wajah gadis itu ketika dia tersenyum.
Kerry mendakwa dia hanya memberikan rawatan itu ketika anaknya menyertai pertandingan kecantikan.
Wanita itu menegaskan bahawa anaknya itu meminta dia disuntik dengan botox.
Bagaimanapun, seorang pakar psikiatri, Dr. Charles Sophy berkata, ibu kanak-kanak berkenaan menghadapi risiko serius kerana merosakkan kehidupan anaknya berdasarkan aspek fizikal dan psikologi.
Suntikan botox amat menyakitkan dan tidak disyorkan untuk dilakukan ke atas perempuan di bawah umur 18 tahun. – Agensi, kosmo

Ketua IMF ditangkap laku serangan seks




DUA anggota polis memasuki lif ke bilik yang didiami Strauss-Kahn di Hotel Sofitel, New York kelmarin.


NEW YORK - Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss- Kahn ditangkap polis kelmarin atas dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang pekerja wanita di sebuah hotel di sini.
Jurucakap polis New York, Paul Browne berkata, Strauss-Khan, 62, yang berketurunan Yahudi ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini selepas dia menaiki sebuah pesawat Air France ke Paris.
Dia yang merupakan Pengarah Urusan IMF ditangkap 10 minit sebelum pesawat itu berlepas setelah melakukan serangan seks ke atas pekerja wanita yang berusia 32 tahun tersebut.
Strauss-Kahn yang beristeri merupakan bakal calon presiden yang akan bertanding bagi mewakili parti Sosialis dalam pilihan raya Presiden Perancis pada April tahun depan.
Dia merupakan calon pilihan yang paling popular untuk menjadi Presiden Perancis.
IMF merupakan agensi yang memberi pinjaman kewangan sehingga berbilion-bilion dolar kepada negara-negara yang memerlukan pinjaman.
Menurut Browne, pekerja wanita itu memberitahu pihak berkuasa bahawa dia memasuki bilik Strauss-Kahn di Hotel Sifotel pada Sabtu lalu.
Pekerja wanita tersebut memberitahu dia diarahkan supaya membersihkan bilik ketua IMF itu yang berharga AS$3,000 (RM9,007) satu malam selepas diberitahu bilik berkenaan sudah kosong.
Wanita itu menyatakan, Strauss-Kahn muncul dalam keadaan bogel di bilik itu selepas dia memasukinya sebelum mengejar dan menjatuhkannya.
Menurutnya, ketua IMF itu menariknya ke bilik mandi dan memaksanya melakukan seks oral selain cuba menanggalkan seluar dalamnya.
Wanita itu kemudian berjaya melarikan diri dari bilik tersebut dan memberitahu pekerja hotel.
Pekerja hotel tersebut kemudian menghubungi polis.
Namun, selepas beberapa detektif tiba, Strauss-Kahn didapati sudah meninggalkan hotel itu tetapi telefon bimbitnya tertinggal.
Menurut Browne, ketua IMF itu didapati tergesa-gesa meninggalkan hotel tersebut.
Polis kemudian mendapat maklumat Strauss-Kahn berada di lapangan terbang.
Pihak polis kemudian menghubungi pegawai-pegawai Pihak Berkuasa Pelabuhan untuk meminta bantuan supaya ketua IMF itu ditangkap di kabin kelas pertama pesawat Air France.
Pekerja wanita yang menjadi mangsa Strauss- Kahn itu dibawa polis ke sebuah hospital dan dirawat kerana mengalami kecederaan kecil.
Menurut peguam ketua IMF itu, William Taylor, Strauss-Kahn tidak akan mengaku bersalah terhadap tuduhan ke atasnya.
Ketua IMF itu dilahirkan dalam keluarga Yahudi yang kaya di pinggir Paris pada 25 April 1949 dan menghabiskan masa kanak-kanaknya di Maghribi.
Dia memperoleh ijazah doktor falsafah ekonomi dari Universiti Paris X.
Strauss-Kahn menjadi ketua IMF dengan kontrak selama lima tahun sejak 2007 dengan gaji AS$420,930 (RM1.2 juta) setahun. - Agensi