Pages

Friday, January 2, 2015

Lambakan kereta klasik di Cuba

MODEL Dodge tahun 1949 turut dijadikan teksi di Cuba.


SELAMA hampir tujuh tahun Luis Abel Bango mencari kereta idaman, Chevy Bel Air 1957.
Namun, kesabaran itu berbaloi apabila dia akhirnya berjaya memiliki kereta tersebut.
Abel Bango membeli kereta itu daripada seorang pemilik asal pada harga AS$7,000 (RM24,472) di sebuah kawasan pedalaman di Cuba tahun ini.
“Saya mencari di beberapa lokasi lain sehingga merentasi daerah di tengah Cuba. Pencarian itu berakhir apabila berjaya membeli kereta tersebut di sebuah lokasi yang terletak di hujung pulau,” ujarnya.
Kereta berwarna hitam dan putih itu masih mengekalkan reka bentuk asal oleh pemiliknya.
Kereta tersebut masih dilengkapi dengan perkakasan asal termasuk perhiasan hud ala sebuah roket yang menjadi signatur dan kegilaan penggemar kereta Chevy tahun 1957 itu.
“Keseluruhan pakej kereta ini hampir sempurna,” ujar Abel Bango. Bagaimanapun, dia perlu membuat pemeriksaan terperinci dan akan mengecat dengan warna baharu.
Sebanyak 60,000 unit kereta antik terdapat di Cuba sejak tahun 1959 iaitu sebelum revolusi yang diketuai oleh Fidel Castro. Namun, mencari pemilik asal kereta itu merupakan suatu cabaran yang sukar.
Di sebalik kebanjiran kereta antik itu, banyak yang telah diubah suai dengan menggantikan bahagian asal kereta.
Diplomatik
Pada minggu lalu, Cuba dan Amerika Syarikat (AS) kembali menjalin hubungan diplomatik selepas terputus hubungan sejak tahun 1959 akibat revolusi Castro.
Menerusi hubungan dua hala itu, Presiden AS, Barack Obama merancang untuk menghapuskan sekatan ekonomi di kepulauan yang mengamalkan ideologi Komunis tersebut. Akibat sekatan ekonomi tersebut, kebanyakan penduduk Cuba masih menggunakan kereta antik dengan hanya menggantikan bahagian-bahagian tertentu.
Namun, pengumpul kereta klasik AS yang berhajat untuk membeli kereta di Cuba perlu berdepan dengan beberapa undang-undang. Antaranya peraturan tahun 2010 yang melarang mana-mana kereta dibawa keluar dari negara itu.
Kebanyakan kereta klasik di Cuba mengalami kesukaran untuk dikekalkan. Keadaan jalan raya dan kos pembaikan yang tinggi menyebabkan pemilik mengalami kesukaran untuk mengekalkan bahagian asal kereta tersebut.
Bumbung kereta terpaksa ditukar kepada material plastik dan banyak enjin asal ditukar kepada enjin diesel yang jauh lebih murah.
“Apa yang dilihat pada kebanyakan kereta klasik yang ada hanya struktur luar yang nampak asli tetapi bahagian dalam telah ditukar dengan komponen murah,” ujar hos program televisyen Vintage Vehicles, Lance Lambert.
Seorang mekanik Cuba, Alejando Torres membeli Chevy 1957 daripada pemilik asal kira-kira 10 tahun lepas.
Namun, dia terpaksa menukar enjin kereta itu kepada jenis Mitsubishi yang menggunakan bahan bakar diesel kerana bahagian dalaman yang asal terlalu mahal untuk digunakan.
Torres memberitahu, dia membelanjakan hampir AS$50,000 (RM174,805) untuk mengubah suai walaupun harga pasaran bagi kereta klasik di AS dengan kondisi baik hanya kira-kira AS$28,100 (RM98,240)
“Mungkin saya akan menjualnya untuk membeli kereta diesel yang lebih moden dan baharu,” ujarnya.
Berdasarkan sistem satu parti di Cuba, pengeluaran kereta baharu dikawal ketat dan harga bagi sebuah kereta jenis sedan adalah antara AS$200,000 (RM699,223). Hampir sedekad, hanya kereta sebelum revolusi mampu dibeli dan dijual dengan murah.
Awal tahun 1950-an, kereta Chevy antara yang menjadi pilihan pengguna termasuk jenis Fords, Buicks, DeSotos, Plymouths dan Oldsmobiles. Selain itu, kereta popular tahun 40-an hingga 50-an, Cadillac juga boleh dilihat di atas jalan raya.

KEBANYAKAN kereta klasik di Cuba telah diubah suai dengan kos penyelenggaraan yang tinggi.


Digodam
“Ramai orang Amerika memasang impian untuk mencari kereta klasik di Cuba. Kereta yang anda lihat di televisyen memang cantik tetapi telah digodam. Anda akan menemui kualiti yang lebih baik di sini,” ujar Pengerusi pameran kereta Amelia Island Concours d’Elegance, Bill Warner.
Penghapusan sekatan AS membolehkan pemilik kereta klasik Cuba membeli komponen-komponen kereta dari negara itu.
Kebanyakan kereta adalah lebih jimat jika berada di Cuba berbanding dibawa masuk ke AS. Bukan sahaja sebahagian bahagian dalaman kereta itu perlu ditukar tetapi kos penyelenggaraan yang tinggi juga membebankan pemiliknya.
Kereta Chevy Bel Air 1957 antara yang didambakan rakyat AS berbanding di Cuba yang lebih menggemari rekaan tahun 1955 dan 1956.
Ketiga-tiga tahun tersebut menghasilkan model Tri Five yang mempunyai tiga jenis warna dan direka dengan banyak krom.
Seorang pakar menyatakan, kereta keluaran jenama itu yang mempunyai dua pintu mencecah harga AS$86,200 (RM301,365) dan harga tersebut boleh meningkat kepada AS$100,000 (RM349,611) jika ia dijual kepada pengumpul kereta klasik.
Roland Franz Henning, warga Jerman yang tinggal di Cuba mempunyai kereta Chevy Bel Air 1957 dua pintu berwarna putih dan biru muda. Tambah menarik, ia ialah versi yang tidak mempunyai tiang memisahkan tingkap bahagian depan dan belakang.
“Hanya tiga buah sahaja yang tinggal dengan kondisi terbaik di Cuba. Ia sama seperti dalam risalah kereta itu pada tahun 1957,” kata Henning. –Reuters


Artikel Terpelihara  
 

Kek perkahwinan terbesar dunia



KEK perkahwinan Dantes dan Rivera muncul sebagai kek perkahwinan paling besar di dunia.


MANILA – Majlis perkahwinan pasangan pelakon terkenal Filipina, Dingdong Dantes dan Marian Rivera mendapat liputan media antarabangsa apabila kek perkahwinan mereka dinobatkan sebagai paling besar di dunia.
Rekod kek yang dibina secara tiga dimensi (3D) dengan ketinggian 3.6 meter itu memerlukan lebih 10 orang lelaki dewasa untuk mengangkatnya.
Pasangan itu selamat melangsungkan majlis perkahwinan mereka di sebuah gereja di bandar Quezon sambil dihadiri ratusan tetamu pada 30 Disember lalu.
Selain memiliki kek perkahwinan paling besar di dunia, pasangan yang telah menjalinkan pertunangan sejak lebih dua tahun itu turut mendapat jolokan ‘perkahwinan diraja’ oleh penduduk tempatan.
Sebelum ini, Guinness World Records telah mencatatkan kek perkahwinan terbesar dunia di New England, Amerika Syarikat yang memiliki berat 6,000 kilogram pada 2004 tetapi kek berkenaan dibuat cuma untuk pameran dan bukan untuk perkahwinan.
Berikutan itu, kek pasangan selebriti tersebut yang benar-benar digunakan untuk majlis perkahwinan menjadikan kek itu sebagai yang terbesar di dunia. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0102&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3NfvfBqyA 
Hakcipta terpelihara