Pages

Wednesday, February 5, 2014

19 gunung berbahaya

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia semalam meningkatkan status 19 lagi gunung berapi di negara itu ke tahap berjaga-jaga.
Langkah itu dibuat susulan letusan Gunung Sinabung di Sumatera Utara yang meragut 16 nyawa Sabtu lalu.

Selain 19 tambahan terbaru, tiga lagi gunung berapi sudah diletakkan pada tahap berjaga-jaga tertinggi sejak tahun lalu. Ia termasuk Lakon dan Karangetang di Sulawesi Utara serta Rokatenda di Nusa Tenggara Timur.
Bagaimanapun, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) yang meningkatkan status 19 gunung berapi itu belum mengarahkan penduduk yang tinggal berhampiran berpindah. Sembilan belas gunung berapi berkenaan ialah Kelud, Ijen, Bromo, Semeru dan Raung di Jawa Timur; Lewotobi Perempuan di Nusa Tenggara Timur; Ibu, Gamkonora, Dukono dan Gamalama di Maluku Utara; Soputan di Sulawesi Utara; Sangeang Api in Nusa Barat; Papandayan di Jawa Barat; Dieng di Jawa Tengah; Seulewah Agam di Aceh; Talang dan Marapi in Sumatera Barat; Anak Krakatau di Banten dan Kerinci di Jambi.

Indonesia ialah antara negara paling aktif mengalami gegaran gempa di dunia kerana terletak di lingkaran gunung berapi Pasifik. Sembilan belas gunung berapi itu antara kira-kira 127 gunung berapi yang aktif di negara berkenaan.

Gunung Sinabung meletus beberapa kali sejak September lalu.
Foto
PEGAWAI Pusat Pembangunan Penyelidikan dan Teknologi Gunung Berapi (BPPTK) melepaskan quadcopter bagi memantau aktiviti Gunung Sinabung di perkampungan Sibintun, Karo, Sumatera Utara semalam.
Sabtu lalu, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan tiga lagi cedera parah selepas terkena asap daripada kepulan abu dan gas gunung berapi yang dihamburkan Sinabung.

Sebelum ini, 31 penduduk mati akibat pelbagai penyakit seperti kemurungan, asma dan hipertensi, berkait dengan aktiviti gunung itu. Petugas penyelamat semalam terpaksa menghentikan operasi mencari dan menyelamat ekoran bimbang kemungkinan Sinabung meletus lagi. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05