BEIJING – Sebuah empangan elektrik hidro terbesar di Tibet mula beroperasi pada Ahad lalu bagi membekalkan tenaga elektrik di wilayah berkenaan, lapor agensi berita Xinhua kelmarin.
Lapor Xinhua, unit pertama penjana elektrik di Stesen Hidroelektrik Zangmu yang berharga AS$1.6 bilion (RM5.35 bilion) mula beroperasi pada Ahad lalu.
Empangan di Sungai Yarlung Zangbo yang mengalir terus ke India itu bakal mempunyai ketinggian mencecah 116 meter apabila siap sepenuhnya pada tahun depan.
Menurut agensi itu, stesen yang terletak pada ketinggian lebih 3,300 pada aras laut tersebut merupakan empangan terbesar yang pernah dibina di banjaran Tibet.
Seorang pegawai syarikat Tibet Electric Power berkata, apabila beroperasi sepenuhnya empangan berkenaan mampu mengeluarkan hampir 510,000 kilowatt tenaga elektrik.
“Stesen hidroelektrik ini bakal menyelesaikan masalah kekurangan tenaga elektrik di Tibet terutama ketika musim sejuk,” katanya.
Kerajaan India sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa pembinaan empangan di sungai berkenaan yang dikenali sebagai Brahmaputra di India boleh menjejaskan kawasan pertanian negara itu.
Bagaimanapun, bekas Menteri Luar India, S.M. Krishna berkata, pihaknya mendapati, empangan tersebut tidak menyimpan air sekali gus tidak mengganggu aliran sungai ke negara itu. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3K7ZjP0W3
Hakcipta terpelihara