Pages

Saturday, May 24, 2014

Bawa RM30 lari ke Lombok


Panggilan jam 7.30 pagi, Selasa lalu tambah merunsingkan Tijah Paksa, 59, memikirkan keselamatan anaknya, Sanija Jusoh, 23, yang dipercayai hidup dalam kesusahan.
Tijah berkata, anaknya menangis memberitahu ingin pulang ke kampung, tetapi tidak tahu cara dan berjanji menghubunginya semula.

“Sebelum menamatkan perbualan, Sanija beritahu mahu memujuk keluarga teman lelakinya Parhan Jayadi, 29, supaya menghantarnya pulang ke kampung di Ladang Sentosa, Tepuh, di sini, dan berjanji menghubungi saya semula.
Foto
CHE Mansur menunjukkan gambar Sanija sambil mendengar aduan Tijah.

“Namun, sehingga kini belum ada panggilan telefon daripadanya. Saya cuba menghubunginya pada jam 9.30 malam Selasa lalu, namun telefon bimbitnya dimatikan.

“Naluri saya kuat mengatakan dia kini dalam kesusahan apatah lagi ketika menghubungi saya, dia hanya ada RM30 saja,” katanya yang ditemui ketika membuat aduan di Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, di sini, semalam.

Menurut Tijah, dia menyedari anak kedua daripada empat beradik itu meninggalkan rumah selepas tidak pulang dari bekerja di ladang sehingga jam 6.30 petang Sabtu lalu. 

Katanya, dia tidak mengesyaki anaknya mahu meninggalkan rumah kerana ketika keluar pada sebelah pagi, Sanija berpakaian kerja dan bersalaman seperti kebiasaan.

“Apabila dia tidak pulang sehingga jam 6.30 petang, saya menyuruh anak lelaki, Zamani, 15, mencarinya di ladang tetapi gagal sebelum diberitahu pekerja ladang itu anak saya tidak datang bekerja, malah mengambil cuti sakit untuk esok (Ahad).

“Saya mengetahui Sanija ke Lombok bersama teman lelakinya selepas menerima SMS daripadanya memberitahu berada bersama keluarga Parhan di Lombok,” katanya yang terkejut dengan berita berkenaan.

Sejak kehilangan anaknya itu, Tijah yang bekerja sebagai buruh di kilang bata, Lingai, Tepuh, di sini, sentiasa menangis mengenangkan nasib anaknya 

“Saya sedia memaafkannya dan Parhan serta menerima sekiranya mereka sudah berkahwin. Jika belum berkahwin, saya sedia berbincang dan merestuinya tetapi biarlah perkahwinan itu dilakukan di sini,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras DUN Teluk Pasu Che Mansur Salleh berkata, pihaknya akan berusaha menyelesaikan masalah Tijah dan membawa anaknya pulang.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Pukul isteri sampai mati sebab salah masak


NOOR HUSSEIN


NEW YORK - Seorang warga Pakistan dibicarakan pada Rabu lalu selepas dia memukul isterinya sehingga mati dengan menggunakan kayu selepas dia menyediakan menu makan malam yang tidak dimintanya.
Bagaimanapun, warga Pakistan itu, Noor Hussein yang berusia 75 tahun menyifatkan dia mempunyai hak untuk melakukan perbuatan itu bagi mendisiplinkan isterinya.
Dia membunuh isterinya di apartmen mereka yang terletak di Brooklyn pada tahun 2011
Defendan meminta isterinya untuk memasak daging kambing sebaliknya isterinya berkata, dia telah menyediakan hidangan sayur-sayuran.
Tidak puas hati dengan hidangan tersebut, mereka bertengkar menyebabkan isterinya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suaminya itu.
Ekoran itu, Hussein berang dan mengambil sebatang kayu dan memukul tangan dan mulut isterinya sehingga mangsa mati.
Peguam bela Hussein, Julie Clark berkata, suspek mengakui bersalah memukul isterinya.
Namun, Hussein memberitahu di negara asalnya, memukul isteri merupakan amalan biasa.
Penolong Peguam Negeri, Sabeeha Nadni berkata, jiran-jiran akan memberikan keterangan bahawa isteri Hussein yang berusia 66 tahun itu pernah didera oleh suaminya.
Kes itu akan disambung semula. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz32aEZ9Z8n 
Hakcipta terpelihara 

Penyakit 'Sleeping Beauty' di Rusia


MOSCOW 23 Mei - Penduduk sebuah kampung di Rusia dilanda penyakit misteri yang menyebabkan mereka tertidur secara tiba-tiba selama enam hari, sekali gus menimbulkan kebingungan dalam kalangan saintis untuk mencari punca sebenar sindrom itu.
Sindrom yang dikenali sebagai ‘Sleeping Beauty’ itu mula dikesan berlaku pada musim bunga tahun lalu apabila lebih 60 orang penduduk Kampung Kalachi dan pekan Krasnogorsk dekat Moscow dilapor menghidap penyakit misteri tersebut.
Antara tanda-tanda yang dialami pesakit ialah rasa lemah-lemah badan, letih, mengantuk, hilang arah, hilang ingatan dan berkhayal.
Portal berita inserbia.com memetik seorang mangsa yang dikenali sebagai Lyubov Belkova berkata, dia ditimpa penyakit itu ketika sedang menjual pakaian di pasar tempatan pada awal tahun ini.
Dua bulan kemudian, seorang lagi wanita di pasar Lubov turut tertidur secara tiba-tiba sebelum satu lagi kejadian dilaporkan apabila semua wanita di sebuah pasar tempatan tertidur akibat sindrom yang sama, termasuk pengawal keselamatan.
Malah penyakit ‘Sleeping Beauty’ tersebut tidak hanya menyerang penduduk kampung, tetapi juga orang luar seperti yang berlaku kepada seorang wanita, Lexey Gomwent, 30, ketika dia melawat ibu mertuanya di Kalachi.
Ekoran misteri itu, penduduk kampung itu dilanda kebimbangan terhadap beberapa kes orang yang disyaki meninggal dunia akibat ditanam hidup-hidup, sedangkan mangsa hanya mengalami sindrom ‘Sleeping Beauty’.
Ramai pakar perubatan daripada pelbagai jabatan termasuk pakar toksik, radiologi, neurologi dan alam sekitar melakukan kajian terhadap misteri berkenaan, namun gagal menemukan punca sebenar penyakit itu.
Kesemua pakar bersetuju bahawa penduduk di situ dilanda penyakit psikologi sebagai penjelasan kepada misteri berkenaan.
Ada laporan mendakwa, sindrom itu berlaku disebabkan ujian senjata rahsia yang pernah dilakukan pada zaman era Soviet, selain lokasi kampung dan pekan tersebut yang terletak dekat lombong uranium.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140524/lu_06/Penyakit-Sleeping-Beauty-di-Rusia#ixzz32a88xlLo
© Utusan Melayu (M) Bhd