Pages

Monday, June 30, 2014

Remaja kelilingi dunia tiba di India


Matt Guthmiller mahu mencipta rekod penerbang solo termuda melibatkan perjalanan sejauh 46,700 kilometer merentasi 14 buah negara. - AGENSI
NAGPUR 29 Jun - Seorang remaja 19 tahun dari Amerika Syarikat (AS) yang cuba mencipta rekod menjadi individu termuda terbang mengelilingi dunia secara solo, tiba di India pada Khamis lalu, selepas lebih sebulan melakukan kembara udaranya.
Penuntut Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Matt Guthmiller, tersenyum dan memberi isyarat bagus selepas mendaratkan pesawat Beechcraft A36 Bonanza miliknya di bandar Nagpur di barat daerah Maharashtra baru-baru ini.
“Pengembaraan saya berjalan lancar dan penuh keseronokan. Saya melalui sebahagian kawasan yang sangat menarik. Terdapat beberapa isu kecil yang berbangkit, namun secara keseluruhan ekspedisi ini menyeronokkan," kata Guthmiller kepada AFP.
Remaja berkaca mata itu menyasarkan mahu terbang sejauh 46,700 kilometer, melakukan 25 hentian dan merentasi 14 negara sepanjang pengembaraan yang memakan masa berbulan-bulan tersebut.
Dia berharap dapat mencatat nama di dalam buku Guinness World Record apabila mendarat di California pada 8 Julai ini.
Jika misi itu berjaya, dia bakal muncul individu termuda melakukan penerbangan solo mengelilingi dunia, 16 hari lebih muda dari pemegang rekod semasa ketika ini iaitu Ryn Campbell dari Australia.
Campbell berusia 19 tahun, tujuh bulan dan 25 hari apabila dia tiba di selatan Sydney pada 2013.
Sehingga kini, Guthmiller telah melakukan 500 jam penerbangan merentasi Amerika Syarikat, Eropah dan Laut Mediterranean, melalui Mesir dan negara-negara Teluk sejak memulakan penerbangan dari San Diego pada 31 Mei lalu.
Hentian seterusnya remaja itu ialah Kuala Lumpur, Bangkok, Filipina, Australia dan Samoa, yang mana keadaan cuaca seperti didakwanya sangat mencabar.
Sementara itu, Guthmiller juga melakukan kutipan tajaan dana dan merancang untuk mendermakan semua wang itu kepada sebuah badan bukan kerajaan, Code.org yang mendesak kerajaan membenarkan mata pelajaran komputer sains dan program diajar di sekolah-sekolah.
“Matlamat kutipan ialah AS$250,000 (RM788,610). Jumlah kos kembara ialah AS$145,000 (RM457,394), maka lebihan sebanyak AS$105,000 (RM331,216) akan disumbangkan kepada Code.org," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140630/lu_09/Remaja-kelilingi-dunia-tiba-di-India#ixzz367DiU4sG
© Utusan Melayu (M) Bhd