Pages

Thursday, October 25, 2012

Perlukan darah, dapat kopi susu


REJANE (kanan) menceritakan pengalamannya kepada wartawan stesen televisyen Brazil.
REJANE (kanan) menceritakan pengalamannya kepada
 wartawan stesen televisyen Brazil. 
RIO DE JANEIRO: Seorang jururawat pelatih mendakwa dia bingung apabila menyuntik kopi susu ke badan seorang warga emas menyebabkan wanita terbabit meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Menurut Rejane Moreira Telles, dia tidak dapat membezakan di antara darah dengan air minuman berkenaan.

Kata Rejane, 23, dia diarah merawat pesakit, Palmerina Pires Ribeiro, 80, tetapi gagal membezakan antara darah dan kopi susu.

Katanya, kedua-dua cecair itu diletak bersebelahan.

“Sesiapa pun yang berada dalam keadaan saya pasti keliru.

“Saya sepatutnya menyuntik darah ke pembuluh darah dan memberi pesakit itu kopi susu sebagai minuman,” katanya dalam wawancara dengan stesen televisyen Globo’s Fantastico, semalam.


Bagaimanapun, Rejane mengaku dia melakukan kesalahan dengan memberi Palmerina kopi susu melalui pembuluh darah. Ekoran insiden itu, Rejane dan dua jururawat serta pelatih lain didakwa atas tuduhan membunuh tanpa niat.

Palmerina disahkan meninggal dunia tidak lama selepas Rejane melakukan kesilapan itu.

Insiden berlaku di sebuah pusat perubatan di Sao Joao de Meriti, Rio de Janeiro,.

Lebih tragik, insiden itu berlaku di depan anak Palmerina, Loreni Ribeiro.

Kata Loreni, dia nampak Palmerina gelisah dan membuka mulutnya.

“Pelatih itu memasukkan setengah gelas kopi susu ke tubuh ibu,” katanya. Sementara itu, doktor berkata, kopi susu disuntik Rejane memasuki jantung dan paru-paru Palmerina. “Sesiapa yang mengalami keadaan itu akan berasa seperti tercekik,” katanya. - DM

Dua beradik sentiasa tidak kenal sesiapa


       
LONDON: Dua wanita adik-beradik berdepan masalah apabila mereka mengalami masalah prosopagnosia (buta wajah) dan tidak dapat membezakan suami masing-masing.

Prosopagnosia juga menyebabkan Donna Jones dan Victoria Wardley tidak mampu mengingati wajah masing-masing, selain sentiasa keliru terhadap wajah anak mereka.


Justeru, Donna dan Victoria terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk mencari keluarga masing-masing jika mereka terpisah ketika berada di luar rumah. Menurut Victoria, 32, masalah dihadapi mereka amat serius sehinggakan mereka juga gagal mengenali wajah sendiri jika melihat cermin. “Ketika melihat wajah seseorang, saya berasa seperti melihat melalui terowong.

“Saya boleh melihat mata atau hidung, tetapi apabila saya cuba melihat keseluruhan wajah, saya gagal mengingati apa-apa seolah-olah sedang memandang kanvas kosong,” katanya. Menurut wanita berasal dari Yorkshire itu, jika bertemu kenalannya di mana-mana, dia terpaksa berkenalan sekali lagi kerana tidak dapat mengenali wajah mereka. Victoria disahkan menghidap prosopagnosia beberapa tahun lalu sebelum masalah sama dikesan pada adiknya, Donna, 30. Prosopagnosia adalah kecacatan deria penglihatan seseorang apabila melihat wajah walaupun kemampuan mereka mengenali objek lain - secara relatif - adalah baik.


Menurut Donna, sebelum itu dia menyangka menghadapi masalah mengenali seseorang kerana kurang memberi perhatian kepada individu yang ditemuinya. “Namun, selepas Victoria memberi tahu masalahnya, saya faham keadaan itu turut menimpa saya,” katanya. - DM

Syria setuju gencatan senjata sempena Aidiladha

SyriaKerajaan Syria dilaporkan bersetuju dengan gencatan senjata sempena Aidiladha. – Foto ihsan CNN

DAMSYIK - Kerajaan Syria, yang berhadapan dengan konflik sejak 20 bulan lalu, yang kini bertukar menjadi perang saudara, akhirnya bersetuju untuk menerima gencatan senjata sempena Aidiladha.

Gencatan senjata akan berkuat kuasa esok.

Duta khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Lakhdar Brahimi berkata, beberapa pihak di kalangan pemberontak juga pada dasarnya telah bersetuju dengan keputusan gencatan senjata.

Bagaimanapun menurut jurucakp Kementerian Luar, Jihad Makdissi, daripada perspektifnya, belum ada keputusan konkrit.

"Isu menghentikan operasi tentera ketika cuti Aidiladha masih dikaji oleh ketua turus tentera dan angkatan tentera," kata Jihad dipetik CNN.

Keputusan akhir akan dikeluarkan esok.

Awal tahun ini, kerajaan bersetuju dengan pelan damai enam perkara, yang diusahakan oleh bekas duta khas PBB-Liga Arab, Kofi Annan.

Bagaimanapun ia menemui kegagalan ekoran peningkatan keganasan di kedua-dua pihak.

Jalan kaki ke Makkah

HadzicHadzic nekad berjalan kaki ke Makkah pada akhir tahun lalu untuk menunaikan haji pada musim ini. Foto: Bradley Seker
RIYADH - Kegigihan seorang warga Bosnia nekad berjalan kaki sejak Disember lalu berbaloi selepas beliau selamat tiba di Makkah pada Sabtu lalu.

Senad Hadzic, 47, berjaya mengharungi pelbagai cabaran sejauh 5,700 kilometer (km) dalam tempoh 314 hari dengan merentasi tujuh negara termasuk Syria.

Hadzic turut membawa beg galas seberat 20 kilogram bagi merealisasikan hasratnya untuk menunaikan haji pada tahun ini.

"Saya tiba di Syria pada April lalu dan berjalan sejauh 500 km merentasi negara itu dalam tempoh 11 hari. Berikutan konflik meruncing di negara tersebut, saya juga terpaksa melalui pemeriksaan di puluhan pos kawalan keselamatan yang dikawal oleh tentera kerajaan dan pemberontak.

Bagaimanapun, saya tidak pernah ditahan oleh mereka kerana segala urusannya seperti dipermudahkan oleh ALLAH SWT," katanya.

Selain itu, Hadzic terpaksa berhadapan dengan perubahan suhu di beberapa negara.

Menurutnya yang terendah dicatatkan adalah -35 darjah Celsius di Bulgaria, manakala suhu paling panas adalah 44 darjah Celsius di Jordan.

Sebelum tiba di Makkah, beliau terkandas beberapa minggu di Istanbul untuk memperoleh kebenaran bagi merentasi Selat Bosphorus.

Dia juga terpaksa menunggu dua bulan di sempadan Jordan-Arab Saudi untuk mendapatkan visa. -CNN

Pelajar sara hidup dengan RM3 sehari

GAMBAR pada 2010 menunjukkan (dari kiri) Sean Leonard,
 Zach Ingrasci, Chris Temple and Ryan Christoffersen 
di kampung Pena Blanca, Guatemala.
BANDAR RAYA GUATEMALA - Beberapa orang pelajar kolej Amerika Syarikat (AS) menghabiskan musim panas mereka dengan menetap di Guatemala berbekalkan perbelanjaan harian cuma AS$1 (RM3).
Jumlah itu merupakan pendapatan harian golongan miskin di negara Amerika Tengah berkenaan dan lebih 1 bilion penduduk di seluruh dunia.
Dua pelajar terbabit, Chris Temple dan Zach Ingrasci kemudian menerbitkan sebuah filem, Living on One untuk menceritakan pengalaman mereka.
Bercorak dokumentari, filem itu memaparkan kesukaran mereka membeli makanan, selain terpaksa membayar bil dan menangani situasi kecemasan apabila seorang daripada mereka jatuh sakit dengan berbekalkan wang yang sedikit itu.
Living on One juga cuba memaparkan cara penduduk miskin tegar menguruskan wang mereka dan bagaimana skim mikro kredit dapat membantu meringankan beban golongan tersebut.
"Kami percaya jika kami sendiri berbelanja cuma AS$1 sehari, kami dapat memaparkan dengan lebih jelas kepada penonton tentang kesukaran yang dialami penduduk miskin dalam menjalani kehidupan harian," kata Temple.
Untuk kajian sosial berkenaan, dua pelajar Kolej Claremont McKenna di California itu tinggal menyewa selama 56 hari di sebuah pondok usang di kampung Pena Blanca pada 2010 bersama dua pelajar lain, Sean Leonard dan Ryan Christoffersen.
Perkampungan tersebut terletak di sebuah kawasan tanah tingi di Guatemala.
Sepanjang tempoh tersebut, mereka membelanjakan wang sebanyak AS$224 (RM683.30 ) atau bersamaan AS$1 untuk setiap seorang selama 56 hari.
Wang itu digunakan untuk membeli kayu api, beras, kacang dan makanan ruji lain di samping sewa pondok. Pondok itu tidak mempunyai bekalan air paip. Kumpulan pelajar itu juga terpaksa mencuri tenaga daripada talian elektrik bagi menjana bateri kamera video mereka. - Agensi