WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Julai 2014
Azmi menunjukkan buah kelapa mengandungi minyak yang ditemuinya, semalam. |
PASIR PUTEH - Peniaga santan di Kampung Permatang Sungkai dekat sini terkejut mendapat sebiji daripada buah kelapa yang dibelahnya kelmarin mengandungi minyak, bukannya air kelapa seperti lazimnya.
Azmi Hussin, 49 berkata, sebelum membelah kelapa tersebut, dia sudah merasakan kelainan apabila kelapa itu lebih berat berbanding kelapa biasa.
“Saya terus membelahnya kerana saya tidak sabar untuk mengetahui apa ada di dalamnya kerana beratnya bekali ganda daripada kelapa biasa.
"Apabila membelahnya, saya terkejut mendapati buah kelapa itu mengandungi minyak dan bukan air kelapa sepertimana kebiasaan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, sepanjang tiga tahun berniaga santan bersama isterinya, Zurina Abdul Manaf, 45, itulah kali pertama dia menemui kelapa ganjil.
Selain mempunyai minyak katanya, isi kelapa itu terlalu tebal dan lebih pejal berbanding isi kelapa biasa yang menarik minatnya untuk menyimpan kelapa tersebut.
"Mungkin ada pihak yang memerlukan kelapa ini untuk kajian dan sebagainya. Saya sedia berkongsi sekiranya kelapa ini benar-benar diperlukan.
“Buat masa ini, saya menyimpannya sebagai hak milik peribadi kerana mungkin minyak itu mempunyai khasiat tertentu yang tiada pada kelapa lain,” katanya.
Azmi berkata, dia menguji cecair dalam kelapa itu bagi memastikan apakah kandungan sebenar dan mendapati ia benar-benar dalam bentuk minyak.
“Siapa pun melihat, menghidu atau menyentuhnya akan mengatakan cecair itu minyak kerana sifatnya memang begitu, dan yang pasti ia bukan air kelapa,” katanya.
Tambah Azmi, rumahnya menjadi tumpuan jiran-jiran yang mahu melihat sendiri kelapa ganjil itu selepas cerita mengenainya tersebar kelmarin.