Pages

Saturday, April 12, 2014

Kembar tak mahu dipisah


New Delhi: Shivanathu Sahu dan adiknya Shivram ialah kembar siam berusia 12 tahun yang dilahirkan bercantum di pinggang.
Mereka berkongsi dua kaki dan empat tangan dan dipercayai berkongsi perut tetapi mempunyai jantung, hati dan otak sendiri. 
Doktor percaya mereka boleh dipisahkan, namun kembar ini nekad untuk terus hidup bersama.

“Kami tidak mahu dipisahkan.
Foto
PASANGAN kembar siam ini mampu mengayuh basikal sendiri ke sekolah.

“Kami akan bersama sampai tua seperti ini,” kata Shivram ketika diwawancara stesen televisyen Barcroft.

Kes kembar siam berlaku satu dalam setiap 200,000 kelahiran dan separuh daripadanya dilahirkan mati. 

Walaupun dengan kecacatan mereka, Shivanath dan Shivram mampu mengatasi halangan. Mereka cuba hidup seperti manusia normal, bekerja berpasukan seperti mandi, memakai baju dan menyikat rambut satu sama lain. 

Selain itu, mereka juga boleh bergerak di kampung mereka. 

“Kami belajar sendiri semuanya. Kami menunggang basikal ke sekolah, dan tiada masalah bermain kriket,” kata Shivanath. 

Bapa mereka, Raj Kumar, 45, berkata mereka juga pelajar cemerlang. Dia percaya walaupun dengan sikap positif yang ada, kehidupan sentiasa memberi cabaran untuk mereka berdua. 

Pakar kanak-kanak di Fortis Institut Penyelidikan Memorial di Gurgaon, India, Dr, Krishnan Chugh berkata, pasangan kembar itu boleh dipisahkan. Tetapi kerana mereka berkongsi kaki, mungkin hanya Shivram sahaja akan mendapat anggota itu sementara Shivanath akan lumpuh.

Chugh berkata, dia faham kenapa kembar dan bapa mereka tidak mahu berdepan dengan senario itu, tetapi keadaan akan berubah apabila kembar itu dewasa kelak.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

Bandar raya Aladdin


Dubai akan membina ‘Bandar raya Aladdin,’ projek yang diilhamkan daripada cerita Aladdin dan Sindbad.
Majlis Perbandaran Dubai dalam kenyataannya semalam berkata, projek itu mengandungi tiga menara, terdiri daripada ruang komersial dan hotel. 
Jarak antara setiap menara ialah 450 meter dan ia akan dibina di Sungai Dubai.

Ia selaras dengan wawasan Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang juga pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Foto
PEMANDANGAN menara bandar raya Aladdin yang dilakar artis.

Ketua Pengarah Majlis Perbandaran Dubai, Hussain Nasser Lootah, dalam kenyataan itu berkata: “Bandar Aladdin akan terletak di antara pelabuhan kapal komersial di Sungai Dubai di Al Regga hingga ke Dubai lama dan mengandungi tiga menara.

“Ia bertujuan membangunkan menara untuk dijadikan ikon legenda lampau dengan sentuhan bercirikan keindahan tarikan pelancong bandar itu. Ia tidak akan mengganggu kegiatan di pelabuhan berkenaan.”

Menurut Hussein, pembangunan projek seumpama itu akan memberi kesan kepada budaya dan sejarah global terhadap kawasan terbabit serta menjadi sumber kebanggaan generasi akan datang di samping menyumbang kemajuan kepada UAE.

Ia juga diramal akan membantu meningkatkan ekonomi Dubai dalam jangka panjang, khususnya menjelang Expo 2020.

Projek berkenaan akan mempunyai jambatan berhawa dingin dengan lantai bergerak bagi menghubungkan menara itu dengan jalan masuk serta keluar dan tempat letak kereta.

Menara itu pula akan menawarkan pemandangan ke arah sungai, bandar lama Dubai serta pembinaan moden, termasuk Burj Khalifa.

Bercakap mengenai reka bentuknya, Hussain berkata: “Seni bina serta kandungan projek berkenaan mengambil kira hubungan sejarah dan warisan kapal layar di sungai itu, menandakan perdagangan mengguna kapal sudah wujud sejak abad ke-11 yang belayar ke pantai Afrika Timur, India dan China. Ia juga akan mengandungi mitos mengenai pelayar terkenal, Sindbad dan Aladdin.”

“Kerana itu, kandungan simbolik reka bentuk projek bangunannya diilhamkan daripada cerita dan warisan lampau, termasuk cerita mengenai bangunan dan istana yang mempunyai kubah berbentuk agak ganjil, tergantung di udara.

Bentuk jambatan yang akan menghubungkan bangunan itu mewakili kehidupan marin eksotik, seperti naga dan ular.

Tiga menara itu akan mempunyai kawasan binaan seluas 110,000 meter persegi dengan menara paling tinggi mempunyai 34 tingkat.

Dua menara lain pula akan mempunyai 26 dan 25 tingkat sementara 900 ruang letak kereta akan disediakan.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai kos projek berkenaan.

Bandar raya Aladdin itu adalah projek terbaru Dubai yang bertemakan pelancongan. Sebelum ini, majlis mengumumkan rancangan membina projek seumpama itu, termasuk Taman Safari Dubai, Taman Buaya dan Taman Al-Quran.

Projek yang dalam pembinaan sekarang termasuk, taman Bunga dan Miniatur, Perpustakaan Mohammad Bin Rashid Library di atas sungai dan Pusat Seni Al Quoz.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

Dua wanita bertinju dengan mata ditutup dengan kain

SEORANG wanita (kiri) merakamkan aksi dua petinju itu dengan menggunakan telefon bimbit berkamera.- AFP


NARATHIWAT, Selatan Thailand - Dua wanita bertinju semasa kedua-dua mata mereka ditutup dengan sehelai kain di sini semalam.
Sejumlah orang menyaksikan aksi kedua-dua wanita tersebut yang melakukan perbuatan itu sempena Festival Songkran.
Kedua-dua wanita berkenaan turut memakai sarung tangan semasa mereka bertumbuk.
Festival Songkran yang merupakan sambutan tahun baharu Thailand bermula pada 13 April ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2ycONsHLP 
Hakcipta terpelihara 

Tumbuh-tumbuhan menjalar tingkat atas bangunan kediaman

GAMBAR menunjukkan tumbuh-tumbuhan meliputi binaan haram di tingkat teratas sebuah bangunan kediaman di Guangzhou, wilayah Guangdong semalam. - Reuters


GUANGZHOU, China - Sebuah struktur binaan haram di tingkat teratas sebuah bangunan kediaman dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan di sini semalam.
Binaan haram yang seluas 40 meter persegi itu dibina 10 tahun lalu.
Bangunan kediaman itu setinggi 19 tingkat.
Para pegawai sebuah jabatan yang menguatkuasakan peraturan undang-undang tempatan menemui binaan haram itu pada tahun 2012.
Namun, para pegawai jabatan berkenaan masih gagal untuk menemui pemilik binaan haram tersebut. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2ycNgb3wn 
Hakcipta terpelihara 

Perniagaan telur semut laris


BOGOR, Jawa Barat - Perniagaan telur semut di pasaran Indonesia dilapor semakin mendapat sambutan hangat, sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk untuk menternak semut secara serius.
Permintaan terhadap telur semut sangat tinggi kerana makanan eksotik itu dipercayai tinggi protein, vitamin, dan rendah lemak.
Menurut laporan portal DailyMail Online, pembiak baka boleh menghasilkan 136 kilogram telur dan beratus-ratus ribu semut setiap bulan.
Jelas laporan itu, penternak akan meletakkan 'ibu semut' di dalam balang jernih di bilik bersuhu lembab dan sebaik sahaja telur dihasilkan, baka pembiak dikeluarkan dari balang terbabit.
“Telur tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam balang dan dibungkus sebelum dihantar ke pasar Bogor untuk dijual.
“Telur semut boleh dimasak melalui pelbagai cara sama ada direbus atau dimakan dengan salad," kata laporan itu.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tabiat pemakanan telur semut boleh mengurangkan kesan rumah hijau dan membuka peluang pekerjaan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140412/lu_10/Perniagaan-telur-semut-laris#ixzz2ycFCEkWU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bapa hadiahkan 'kereta kebal' kepada anak


Pesara tentera China, Jian Lin bersama kereta kebal yang dihasilkan sendiri untuk dijadikan sebagai hadiah sempena ulang tahun anaknya. - AGENSI
BEIJING 11 April - Kasih seorang bapa membuatkan seorang lelaki China sanggup memenuhi permintaan anak lelakinya berusia enam tahun yang mahukan sebuah kereta kebal sebagai hadiah.
Tanpa disangka, bapanya yang juga seorang bekas tentera laut China sanggup memenuhi permintaannya dengan membuat sebuah replika kereta kebal Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) walaupun mempunyai tempoh masa yang singkat untuk berbuat demikian.
Berdasarkan model kereta kebal PLA jenis 63A, Jian Lin memulakan usaha menyiapkan replika tersebut dalam masa dua bulan, malah dia turut melengkapkan ‘permainan’ anaknya itu dengan sebuah meriam yang mampu menembak.
“Bila saya pergi ke pasar raya, saya memerhatikan permainan yang bersesuaian dengan keinginan saya, namun tidak ada satu pun yang menarik minat sehingga saya memutuskan untuk membuatnya sendiri.
“Saya mahu hadiah itu merupakan sesuatu benda yang benar-benar menarik," kata lelaki berusia 31 tahun tersebut yang berasal dari wilayah Sichuan sebagaimana lapor Mail Online.
Lin berkata, dia menghabiskan sebanyak 4,000 pound (RM21,662) untuk menyiapkan replika kereta kebal itu yang mempunyai berat tiga tan berbanding berat kereta kebal sebenar iaitu 20 tan.
Dalam tempoh dua bulan, dia terpaksa merahsiakan hasil usahanya sehingga dia menunjukkan sendiri replika kereta kebal berukuran lima meter panjang dan dua meter tinggi itu kepada anaknya di rumah mereka di Kampung Mianzhu.
Lin yang gembira dengan kejayaannya, bercadang untuk menghasilkan kenderaan perisai amfibia yang mampu bergerak di dalam air.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140412/lu_09/Bapa-hadiahkan-kereta-kebal-kepada-anak#ixzz2ycE5AFNp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ingin sehidup semati


Shivanath dan Shivram tidak mempunyai masalah untuk melakukan tugas seharian sendiri termasuk berjalan. - AGENSI
RAIPUR, India 11 April - Sepasang kembar siam yang bercantum di bahagian perut sejak dilahirkan, berjanji untuk ‘sehidup semati’ apabila enggan menjalani sebarang bentuk pembedahan bagi memisahkan mereka berdua.
Mail Online melaporkan, Shivanath dan Shivram Sahu, 12, yang dilahirkan di sebuah perkam­pungan kecil di sini, bercantum di bahagian perut dan berkongsi kaki, namun mempunyai tangan, jantung, paru-paru serta otak yang berasingan.
“Kami tidak pernah berhajat untuk berpisah, kami akan terus berada dalam keadaan seperti ini sehingga tua," kata Shivram.
Pasangan kembar kepada Raj Kumar, 45, seorang buruh dan Srimati itu, sejak kecil lagi sudah diajar untuk berdikari melakukan tugasan harian seperti mandi, makan, memakai baju dan menyikat rambut sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.
Bukan itu sahaja, kembar siam yang mempunyai lima orang adik-beradik perempuan itu merupakan antara pelajar cemerlang dan pintar di sekolah.
“Kami diajar untuk melakukan pelbagai perkara secara bersama, menunggang basikal ke sekolah, berjalan menuruni tangga, berlari dan bermain kriket tanpa sebarang masalah," kata Shivanath.
Menurut Raj, telatah mereka berdua menjadi penghibur hatinya dan keluarga serta dia berjanji untuk menjaga mereka dengan baik.
“Tuhan telah mencipta anak saya sebegini dan saya mahu mereka kekal dalam keadaan ini. Saya akan bekerja keras untuk menyara mereka tanpa memerlukan bantuan daripada pihak lain," ujar Raj.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140412/lu_08/Ingin-sehidup-semati#ixzz2ycDav9yT
© Utusan Melayu (M) Bhd