Portal berita Mail Online melaporkan, fosil dinosaur itu dipercayai milik spesies Lufengosaurus magnus dan Lufengosaurus huenei yang hidup kira-kira 180 juta tahun lalu.
Fosil tersebut ditemukan pada jarak 500 meter antara satu sama lain ketika sekumpulan pekerja binaan jalan raya membersihkan tanah dan batuan bagi membina lebuh raya baru di kota Lufeng, Yunan.
Beberapa pakar palaeontologi berkata, rangka dinosaur Lufengosaurus magnus ditemukan bersama tulang belakang yang lengkap dan dua kaki belakangnya.
Jumlah keseluruhan panjang fo­sil itu secara purata berukuran lima meter panjang, namun para pakar percaya haiwan tersebut mungkin berukuran sembilan meter panjang semasa hidupnya.
Namun sayangnya, kepala fosil dinosaur itu hilang akibat hakisan cuaca.
Sementara itu, fosil Lufengosaurus huenei pula dijumpai dalam keadaan kurang sempurna bersama dua tulang kaki serta beberapa bahagian ekor.
Pengarah Jabatan Perlindungan Warisan Geologikal, Wang Tao, di Biro Sumber Lufeng Land berkata, sebuah muzium mungkin dibina di kawasan berkenaan bagi memelihara fosil tersebut.
Langkah itu bermaksud, projek pembinaan jalan raya yang dirancang sebelum ini mungkin dilencongkan bagi memelihara fosil berkenaan.