Seorang raja yang memerinta negeri yang luas termenung panjang sedang memandang sesuatu yang tidak nyata hinggakan menteri yang lalu di hadapannya tidak disedari langsung.
Wazir : Apakah gerangan tuanku bermenung jauh hinggakan patik lalu pun tidak disedari tuanku?
Raja : Mmm.. Beta diberitahu oleh tabib istana bahawa beta mengalami sakit hati yang teruk dan perlu digantikan dengan hati yang baik dan suci.
Wazir : Kalau begitu baik kita istiharkan, mana tahu ada sesiapa yang sanggup menjual hati anak muda mereka. Jika ada kita gantikan dengan ganjaran emas yang banyak.
Raja : Bagus juga cadangan mamanda wazir. Segerakan pencarian ini semoga penyakit beta sembuh segera.
Keesokan harinya, wazir membuat perishtiharan pada sekelian penduduk bahawa sesiapa yang mempunyai anak lelaki yang bersifat sekian-sekian boleh dipersembahkan kepada raja. Sebagai gantinya akan diberi ganjaran emas sebanyak muatan 3 kereta lembu.
Selang beberapa hari datang pasangan suami isteri membawa anak muda mereka. Lalu ditilik oleh wazir dan di dapati pemuda itu memang mempunyai sifat-sifat yang dikehendaki. Berlakulah pertukaran nyawa dan emas sebanyak 3 kereta lembu.
Setelah itu, Raja memanggil Kadhi Besar dan bertanyakan satu fatwa kepadanya.
Raja : Bolehkah beta membunuh anak muda ini kerana beliau telah dijual kepada beta. Hati beta pula mengalami sakit yang sangat teruk. Perlu digantikan segera. Kalau tidak beta akan gagal mentadbir negeri ini dengan baik dan saksama.
Kadhi Besar : Jika begitu keadaannya, haruslah bagi tuanku membunuh pemuda itu dan diambil hatinya sebagai merawat penyakit tuanku.
Akhirnya, pada keesokkan hari, pemuda tersebut telah dibawa ke tempat penyembelihan untuk disembelih dan diambil hatinya. Raja menghadiri majlis penyembelihan itu. Sedang tukang sembelih menghampiri pemuda tersebut, kelihatan pemuda tersebut memalingkan mukanya ke langit sambil tersenyum.
Raja melihat keadaan itu dan merasa ingin tahu.Lalu diperintah pengawal membawa pemuda itu ke hadapannya. Setelah tiba pemuda itu, Raja pun bertanya.
Raja : Kenapa kamu palingkan wajah kamu kelangit dan kemudian kamu tersenyum pula. Sedangkan kematian sedang menunggu kamu, apakah kamu tidak merasa takut?.
Pemuda : Apakan daya patik, ada ibu ayah yang tidak menyayangi patik, kerana habuan dunia sanggup korbankan patik. Demikian juga ada kadhi yang faham agama tapi kerana takut dan mengambil hati tuanku, sanggup mengorbankan keadilan dan memusnahkan kebenaran. Dan apalah guna patik hidup jika negeri ini diperintah oleh raja yang zalim dan sanggup mengorbankan rakyat demi kebahagiaan dirinya...
Kata-kata pemuda itu memberi kesan mendalam pada Raja. Raja tertunduk malu. Air mata bergelinang deras. Urat di wajahnya timbul kerana baginda menahan sedih yang amat sangat.
Sedar dengan kesilapan dan kepincangan yang ada pada rakyat, pentadbiran agama negeri dan keangkuhan diri lalu dilepaskan pemuda tadi.