Pages

Tuesday, April 16, 2013

Gempa bumi kuat gegar tenggara Iran, 45 mungkin terkorban


TEHERAN 16 April - Sekurang-kurangnya 45 orang dikhuatiri mati selepas satu gempa bumi kuat berukuran 7.5 pada skala Richter, menggegarkan tenggara Iran hari ini, lapor pusat seismologi dalam laman webnya.
Gempa bumi itu berlaku kira-kira 81 kilometer di utara Saravan, yang terletak di wilayah Sistan Baluchistan, tenggara Iran pada kedalaman 18 kilometer. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130416/lu_15/Gempa-bumi-kuat-gegar-tenggara-Iran-45-mungkin-terkorban#ixzz2QjGbli7Z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempa bumi di Iran, 53 terkorban



TEHERAN 16 April - Sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh termasuk 13 di Pakistan, apabila satu gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter menggegarkan wilayah tenggara Iran yang bersempadan dengan Pakistan, hari ini.
Pusat Seismologi Iran melaporkan, gempa terbabit dikesan pada pukul 3.14 petang (6.14 waktu Malaysia), 81 kilometer ke utara Saravan, wilayah Sistan-Baluchistan, 18 kilometer di bawah bumi.
Kesan gempa tersebut turut dirasai di Abu Dhabi, utara India dan New Delhi, menyebabkan pekerja-pekerja di bangunan tinggi meninggalkan bangunan terbabit bagi tujuan keselamatan.
Sebahagian besar kawasan di Pakistan termasuk Islamabad turut merasai gegaran gempa berkenaan yang menyebabkan bangunan-bangunan tinggi bergoyang.
Stesen televisyen tempatan Iran melaporkan, bekalan elektrik dan komunikasi terjejas di kebanyakan kawasan di wilayah Sistan-Baluchistan ekoran gempa tersebut.
Pengarah Persatuan Palang Merah Iran, Mahmoud Mozafar berkata, pihaknya telah menghantar pasukan penyelamat ke kawasan yang dilanda gempa untuk menghulurkan bantuan.
Pegawai Pakistan berkata, gempa di Iran itu menyebabkan 13 orang penduduk Pakistan yang tinggal di kawasan sempadan Pakistan-Iran terbunuh. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130417/lu_08/Gempa-bumi-di-Iran-53-terkorban#ixzz2QjFmRxrQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isteri bersalin, suami tertekan




OXFORD 15 April - Satu kajian mendapati suami yang menemani isteri mereka ketika bersalin berdepan tekanan sama seperti ibu-ibu yang mengalami tekanan untuk melahirkan bayi.

Mungkin dakwaan itu dianggap remeh oleh golongan ibu yang merasai sendiri kelahiran dan juga melalui pengalaman kehamilan yang sukar sepanjang sembilan bulan, namun kajian yang dilakukan oleh Universiti Oxford mendapati golongan bapa turut mengalami ketakutan mental.

Keadaan itu berlaku selepas menyaksikan pasangan mereka melalui kelahiran yang sukar menyebabkan mereka mengalami masalah tekanan selepas trauma (PTSD).

"Kebanyakan kes seperti ini berlaku melibatkan proses bersalin yang teruk termasuk kes kecemasan sehingga terpaksa menjalani pembedahan histerektomi (buang rahim).

"Kehamilan dan proses bersalin sebenarnya melalui tempoh yang panjang dan sukar dijangka. Ia memberi kesan terhadap mental dan fizikal, begitu juga hubungan kekeluargaan," kata Profesor Marian Knight yang mengetuai penyelidikan tersebut.

Kumpulan penyelidik mewawancara beberapa lelaki yang menyaksikan pasangan mereka melalui kelahiran termasuk pembedahan kecemasan.

Mereka menceritakan tentang keadaan dibiarkan sendirian di kaki lima hospital dengan gambaran yang sedikit tentang keadaan semasa isteri dan anak yang bakal dilahirkan.

Seorang bapa, Darren Dixon mengalami tekanan hingga hampir membunuh diri selepas melihat isterinya, Sarah, mengalami pendarahan teruk ketika melahirkan anak mereka melalui pembedahan.

Sarah terpaksa menjalani pembedahan membuang rahim berikutan komplikasi yang dialaminya dan bayi mereka, pula terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas itu.

"Saya mengalami pengalaman menakutkan menyebabkan saya disahkan menghidap masalah sindrom selepas trauma dan tidak boleh kembali bekerja," katanya. - AGENSI



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130416/lu_07/Isteri-bersalin-suami-tertekan#ixzz2Qa1yIaXV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rangka misteri



Rangka seorang gadis perempuan yang mungkin menjadi mangsa pembunuhan misteri, dijumpai di sebuah tapak pembinaan jalan di Enniskillen, Fermanagh, Ireland Utara, baru-baru ini. - Agensi
BELFAST 15 April - Ahli arkeologi Ireland Utara menemukan rangka seorang remaja perempuan yang mungkin menjadi mangsa pembunuhan misteri kira-kira 600 tahun lalu di sebuah tapak pembinaan jalan di Enniskillen, Fermanagh, baru-baru ini.
Selain rangka gadis itu, ahli arkeologi turut menemukan kira-kira 4,000 artifak dipercayai daripada zaman pertengahan di lokasi yang pernah menjadi sebuah kawasan penempatan purba tersebut.
Rangka remaja perempuan itu yang dipercayai meninggal dunia pada abad ke-15 atau ke-16, tidak dikebumikan di tanah perkuburan yang disediakan dan tidak dilakukan mengikut adat tradisi masyarakat pada zaman itu.
Ini membuatkan ahli arkeologi berpendapat berlakunya perbuatan khianat terhadap remaja itu.
Sementara itu, Pengarah Tapak Penggalian, Dr. Nora Bermingham berkata, penemuan tapak itu merupakan kemuncak kepada kariernya.
"Saya percaya, pekerja penggalian juga tahu mereka sedang melakukan perkara yang luar biasa yang mungkin tidak akan dijumpai lagi selepas ini,'' katanya hari ini.
Antara barang lain yang ditemukan adalah satu permainan papan zaman pertengahan, sebentuk cincin emas, mangkuk yang mempunyai ukiran, kasut kulit dan pakaian daripada pin logam yang dihias dengan baik.
Lebih 2,000 pengunjung telah melawat pusat penggalian itu dalam tempoh tiga hari ia dibuka kepada umum.
Kawasan bersejarah itu kini sedang dibangunkan untuk pembinaan jalan raya di Ireland Utara.
Bagi tempoh 10 bulan yang lalu, mesin jengkaut telah menemukan pelbagai jenis barangan di kawasan itu yang akan disimpan dan diharap, ia akan dipamerkan kepada orang ramai satu hari nanti.
Bagaimanapun, di sebalik penemuan itu, jentera berat dijangka akan kembali ke kawasan penemuan artifak esok bagi meletakkan konkrit di kawasan tersebut untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan raya baharu bersempena sidang kemuncak G8 di Fermanagh, Jun ini.
Sejak penemuan artifak dan mayat tersebut, pembinaan jalan raya baharu itu mendapat bantahan keras daripada penduduk.
Mereka menganggap penempatan yang digelar Drumclay Crannog kira-kira 1,400 tahun lalu bersama peninggalannya, merupakan satu sejarah yang perlu dikekalkan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130416/lu_06/Rangka-misteri#ixzz2Qa1oAhnf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dihukum tipu masih dara



Wanita diarah bayar RM24,000 bohong suami ketika kahwin

ABU DHABI: Gara-gara menipu dirinya masih dara sedangkan dia sudah berkahwin sebelum bernikah sekali lagi, seorang wanita diarah membayar pampasan 30,000 dirham (RM24,000) kepada suaminya.
Mahkamah Rayuan Abu Dhabi menyokong keputusan awalnya hujung minggu lalu yang mendapati wanita Mesir itu bersalah atas tuduhan menipu suaminya, lapor akhbar di sini, semalam.
Hakim mahkamah diberitahu, wanita berkenaan yang sudah bercerai dengan suami pertama, memberi kenyataan palsu dengan bantuan bapanya.

Nilai pampasan itu juga sebenarnya ditambah. Hukuman awal memutuskan pampasan sebanyak 10,000 dirham (RM8,100).

Hakim mahkamah diberitahu, wanita berkenaan yang sudah bercerai dengan suami pertama, memberi kenyataan palsu dengan bantuan bapanya.

Tertuduh dan bapanya menyatakan dalam kontrak perkahwinan mereka bahawa dia tidak pernah berkahwin atau melakukan hubungan seks, lapor Al-Bawaba.

Rekod mahkamah mendedahkan, suami wanita itu menerima satu mesej teks daripada seorang yang tidak dikenali bahawa isterinya sebenarnya pernah berkahwin.
Mesej itu diterima selepas perkahwinan mereka sudah berlangsung tiga tahun dan dikurniakan seorang anak.

Satu salinan dokumen perceraian wanita itu juga dihantar kepada suaminya sebagai bukti. Ia menyebabkan suaminya mengemukakan saman terhadap tertuduh atas tuduhan menipu.

Lelaki itu menuntut pampasan dari segi masalah emosi yang dihadapinya selepas mengetahui perkara itu selain mengalami kemurungan dan tidak lagi mempercayai orang lain selepas ditipu isteri sendiri.

Dia juga menuduh isterinya menjalani pembedahan untuk membolehkan dia percaya mengahwini anak dara. - AGENSI

Kubah ais di Antartik cepat cair



CANBERRA: Pencairan ais pada musim panas di sebahagian kawasan Antartika dilaporkan pada tahap paling pantas dalam tempoh 1,000 tahun, lapor penyelidik Australia dan Britain, semalam.

Mereka berkata, kesan pemanasan global adalah antara faktor glasier Antartik dan bongkah ais semakin cepat cair.
Penyelidik Universiti Kebangsaan Australia dan Tinjauan Antartik Britain menemui data menunjukkan pencairan ais adalah 10 kali lebih pantas selama 50 tahun lalu dibandingkan keadaan 600 tahun lalu.

“Ia adalah bukti bahawa iklim dan persekitaran di sebahagian Antartika sudah berubah,” kata ketua penyelidik, Nerilie Abram.

Abram dan pasukannya mengorek ke dalam ais sedalam 364 meter di Pulau James Ross di penghujung utara Semenanjung Antartik untuk mengukur suhu dan membandingkannya dengan tahap pencairan ais musim panas di situ.

Mereka mendapati, ketika suhu meningkat 1.6 darjah Celsius sejak 600 tahun lalu, kadar pencairan ais lebih tinggi sejak 50 tahun lalu.

Ini menunjukkan pencairan ais boleh meningkat secara dramatik dalam keadaan iklim sekiranya suhu juga meningkat.
Robert Mulvaney dari British Antarctic Survey berkata kecairan ais yang kuat adalah disebabkan kehilangan ais glasier lebih cepat dan beberapa runtuhan dramatik dari ais Antartik sejak 50 tahun lalu. REUTERS

Masih ada harapan

Foto
ROONA dipangku ibunya di kampung mereka di Jirania Khola.
Foto
KEMISKINAN menyebabkan Roona tidak dapat dirawat lebih awal.


New Delhi: Sebuah hospital swasta utama India menawarkan bantuan memeriksa bayi perempuan berusia 18 tahun yang menderita penyakit menyebabkan kepalanya membesar lebih dua kali ganda.

Tawaran itu memberi harapan baru untuk Roona Begum yang menderita hydrocephalus sejenis penyakit menyebabkan cairan berkumpul di otaknya dibedah segera bagi menyelamatkan nyawanya. Penderitaan Roona yang tinggal di kawasan pedalaman negeri Tripura dikesan minggu lalu.


Keluarganya terlalu miskin untuk membayar rawatan bagi mengatasi masalah itu lebih awal.

Jangkitan menyebabkan kepala Roona membengkak sehingga 91 sentimeter.


Ekoran siaran gambar Roona, beberapa pihak tampil untuk membantu keluarga terbabit dengan menawarkan derma.


Sebuah laman sesawang khas untuk mengumpul dana juga dibuka. Pakar pembedahan saraf India, Sandeep Vaishya berkata, dia akan memeriksa keadaan Roona bagi memastikan sama ada pembedahan boleh dilakukan atau tidak.


Ketua Jabatan Pembedahan Saraf Hospital Fortis itu berkata, jika keadaan mengizinkan, Roona akan diterbangkan ke New Delhi untuk dirawat. “Kami akan menjalankan pemeriksaan untuk melihat keadaan otaknya.


“Saya harap kami dapat membedah Roona dan mengurangkan tekanan dialami otaknya,” katanya. Hospital Fortis mempunyai sebuah yayasan kebajikan yang sering menjalankan pembedahan amal tanpa dikenakan bayaran. Sebelum ini, bapa Roona, Abdul Rahman, 18, berkata dia tidak berharap anaknya pulih seperti sepatutnya.

“Hanya keajaiban dapat menyelamatkan Roona,” katanya. - AFP

Pemain piano dihukum penjara kerana hina agama Islam




FAZIL


ISTANBUL - Pemain piano terkenal di dunia, Fazil Say, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh hakim sebuah mahkamah di Turki semalam selepas dia menghina agama Islam menerusi Facebook.
Fazil tidak hadir di mahkamah semasa hukuman tersebut dijatuhkan tetapi dia menyatakan kekecewaannya berhubung hak kebebasan bersuara di negara ini.
Dia yang berusia 43 tahun membuat komen tersebut di akaun Facebook miliknya.
Bagaimanapun, hukuman penjara tersebut tidak akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa jika Fazil didapati tidak melakukan kesalahan yang sama dalam tempoh lima tahun.
Antara komen yang mengaibkan agama Islam itu adalah berkaitan dengan kritikannya terhadap sajak yang dihasilkan seorang penyair terkenal, Omar Khayyam.
Semasa dia mengkritik sajak itu, Fazil mempersoalkan sama ada syurga itu merupakan sebuah rumah pelacuran. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2QZZ8HUrW 
Hakcipta terpelihara 

Otak diperiksa dalam temu duga juruterbang tentera China




DUA pegawai perubatan melakukan pemeriksaan elektroensefalogram ke atas dua lelaki pada pemilihan juruterbang tentera di Wuhan pada 12 April lalu.


WUHAN, China - Seramai 500 orang termasuk lulusan sekolah tinggi dan universiti menjalani ujian elektroensefalogram semasa mereka menghadiri pemilihan untuk menjadi juruterbang tentera China di sini pada 12 April lalu.
Ujian tersebut diadakan bagi mengetahui graf tentang aktiviti elektrik pada otak.
Aktiviti elektrik itu dicatatkan dengan menggunakan elektrod yang diletakkan pada permukaan kulit kepala.
Ujian tersebut digunakan untuk mendiagnosis kepincangan neurologi, neuropsikiatri dan dalam penyelidikan neurofisiologi.
Selain ujian itu, mereka turut menjalani beberapa ujian fizikal dan latar belakang politik mereka. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2QZYFSLw7 
Hakcipta terpelihara 

Penduduk sambut kelahiran pengasas Korea Utara




SEJUMLAH askar, pekerja dan pelajar berhimpun di depan patung Il-sung (kiri) dan Jong-il (kanan) di Pyongyang, Korea Utara semalam.- REUTERS


SEOUL - Penduduk Korea Utara di Pyongyang semalam menyambut ulang tahun ke-101 kelahiran pengasas negara komunis itu, Kim Il-sung.
Il-sung merupakan datuk kepada pemimpin komunis negara itu kini, Kim Jong-un.
Sambutan itu diadakan walaupun tidak terdapat tanda-tanda bahawa ketegangan di Semenanjung Korea akan berakhir.
Sejumlah askar, pekerja dan pelajar meletakkan bunga di depan patung Il-sung dan anaknya, Kim Jong-il yang merupakan bapa Jong-un di Pyongyang pada sambutan tersebut.
Korea Utara sebelum ini mengancam untuk menyerang Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun dengan melakukan serangan nuklear.
Ancaman serangan itu dibuat setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaksanakan sekatan barang mewah ke Korea Utara kerana negara tersebut melancarkan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu.
Pihak pentadbiran AS merancang untuk berunding tetapi dengan syarat Korea Utara tidak melaksanakan cita-citanya untuk mengeluarkan senjata nuklear.
Korea Utara menyatakan, senjata nuklear merupakan hartanya yang amat berharga dan berjanji untuk tidak meninggalkan cita-cita tersebut.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan, negaranya akan terus berjaga-jaga kerana Korea Utara dijangka melancarkan peluru berpandu pada bila-bila masa. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2QZY6lgbE 
Hakcipta terpelihara 

Anak Jackson dedah punca dia pakai topeng




GAMBAR fail menunjukkan Prince (kanan) dan Paris (kiri) bersama Jackson semasa mereka melawat sebuah zoo di Berlin pada tahun 2002.- REUTERS


LOS ANGELES - Paris Jackson yang merupakan anak perempuan kepada penyanyi yang digelar sebagai Raja Pop, mendiang Michael Jackson akhirnya mendedahkan punca dia dan dua saudara kandungnya memakai topeng selama bertahun-tahun semasa mereka masih kecil, lapor akhbar New York Daily News semalam.
Menurut Paris, dia, abangnya dan seorang adik lelaki tirinya memakai topeng supaya wajah mereka tidak dilihat oleh orang ramai.
Gadis yang berusia 15 tahun berkata, Jackson mahu anak-anaknya menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal yang lain.
"Dia (Jackson) tidak mahu orang ramai melihat rupa kami. "Bapa juga mahu kami memiliki apa yang dia tidak boleh kecapi iaitu zaman kanak-kanak yang normal," katanya kepada akhbar dalam talian, MailOnline kelmarin.
Jackson yang popular dengan lagu Beat it itu terkenal kerana kerap melindungi wajah anaknya dengan menggunakan topeng atau memakai tudung bagi mengelakkan mereka daripada dikenali orang ramai.
Penyanyi itu juga terkenal pada zaman kanak-kanaknya menerusi kumpulan The Jackson 5 pada tahun 1960-an.
Paris dan abangnya Prince Michael Jackson I yang berusia 16 tahun merupakan anak hasil perkahwinan Jackson dengan Debbie Rowe.
Jackson juga mempunyai seorang lagi anak lelaki, Prince Michael Jackson II yang kini berusia 11 tahun.
Jackson II dikatakan dilahirkan oleh seorang ibu tumpang.
Jackson meninggal dunia ketika dia berusia 50 tahun akibat pengambilan berlebihan ubat bius propofol di rumah sewanya di sini pada 25 Jun 2009. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2QZXudvF1 
Hakcipta terpelihara 

Penduduk di China diminta makan ayam



SEORANG budak berusia tujuh tahun yang dijangkiti virus selesema burung H7N9 dirawat di Hospital Ditan, Beijing semalam.- AFP


BEIJING - Akhbar milik pemerintah China semalam menggesa orang ramai untuk memakan ayam bagi membantu memulihkan industri ternakan itu yang mengalami kerugian sebanyak 10 bilion yuan (RM4.86 bilion) dalam tempoh seminggu ekoran virus selesema burung H7N9 mula menjangkiti manusia.
Setakat ini. sebanyak 61 orang dijangkiti dengan virus tersebut manakala 14 lagi meninggal dunia sejak virus maut itu ditemui buat pertama kali ditemui pada manusia.
"Orang ramai sepatutnya menghapuskan kebimbangan mereka (untuk memakan ayam) bagi mengelak ia menjadi bencana untuk industri ternakan," kata akhbar Global Times dalam ruangan rencan pengarangnya.
Menurut rencana itu, tidak memakan ayam kerana bimbangkan virus tersebut merupakan perbuatan yang tidak adil untuk para petani.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, virus tersebut tidak akan aktif pada suhu melebihi 70 darjah Celsius.
Pertubuhan itu menyatakan, ekoran itu adalah selamat untuk memakan daging ayam yang dimasak.
Seorang budak perempuan berusia tujuh tahun semalam menjalani pemulihan selepas dia dijangkiti virus tersebut.
Dia kini dirawat di Hospital Ditan, Beijing.
Anak kepada pasangan peniaga ternakan itu dimasukkan ke Hospital Ditan selepas dia menunjukkan simptom selesema seperti demam, batuk, sakit tekak dan sakit kepala pada pagi Khamis lalu, lapor agensi berita Xinhua pada Sabtu lepas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2QZXN0b3T 
Hakcipta terpelihara