Pages

Wednesday, October 12, 2011

Petua Murah Rezeki:




Berikut adalah kiriman email yang saya perolehi tentang pesa nan Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah. Semoga Allah memberkati dan merahmati pengirim email tersebut juga Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah.

Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah pernah berkata….. .

” setiap pagi sedekahkan al-fatihah kepada kedua ibu bapamu ( tak kira masih hidup @ telah tiada)”………. nescaya pintu rezekimu akan terbuka buat kamu…


Berdasarkan Hadith Nabi :
“Tidak akan terputus rezeki seseorang selagi dia tidak meninggalkan doa kepada kedua orang tua nya dalam sehari”

Huraian hadith:

- jangan sesekali meninggalkan doa kepada kedua ibubapa (baik yang hidup mahupun yang sudah tiada )

- Allah akan memurahkan rezeki kepada mereka yang tidak putus berdoa kepada kedua ibu bapa (walaupun ada ibu bapa yang leka, doakan agar mereka berubah)

- Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah

- Semasa berdoa, berdoalah dengan bersungguh2. …tadah tangan dan bayangkan wajah kedua orang tua kita , termasuk guru2 kita dan mereka yang banyak menolong kita (berdoa perlu benar2 bersungguh2)

- Mereka yang lupa berdoa kepada kedua orang tua, akan disempitkan rezeki oleh Allah

Kesimpulannya:

- Bagi yang berniaga, tak perlu ada ilmu pelaris….. . Cuma jangan lupa doakan ibu bapa kita setiap hari

- Rezeki bukan sahaja berupa wang ringgit, tetapi segala nikmat yang kita dapat dari Allah (e.g. makan, kesihatan, kasih sayang, ilmu dsb nya..)

InsyaAllah

Berusaha dan bertawakal.. …insyallah , rezeki itu bukan kerana ada sijil SPM,(kata Azmil Mustapha)… ..Mari kita cuba….Allahhuakhbar. ..

Insya Allah
Allahu Akbar !
~LB~

Wanita adu dikasari Hai’a

MADINA: Seorang wanita Saudi mendakwa diserang dan disoalsiasat secara kasar oleh anggota pencegah maksiat dalam satu kes kesilapan identiti.

Dia berkata demikian selepas membuat aduan mengenai kejadian itu kepada Persatuan Kebangsaan Untuk Hak Asasi (NSHR) cawangan Madinah.


“Saya masih terkejut dengan apa yang terjadi. Ia berlaku tiba-tiba dan terlalu pantas,” kata MN Al-Shammari sambil menunjuk tempat kejadian kepada wartawan.

Menurutnya, anggota pasukan pencegah maksiat itu atau lebih dikenali sebagai Hai’a, tidak memberinya peluang untuk membuat penjelasan.


“Saya menyangka mereka pencuri yang cuba merompak saya dan bapa saudara saya. Tetapi kemudian saya terlihat lambang Hai’a pada kenderaan mereka,” katanya.


Dia bertegas mahu membawa kes berkenaan ke pihak atasan, lebih-lebih lagi selepas mendapat jaminan daripada Emir Madinah, Putera Abdul Aziz Bin Majuid yang berjanji untuk membuat tindakan susulan. - SG

myMetro | Wanita adu dikasari Hai’a:

'via Blog this'

Guna pembaris paku pukul murid

MANAMA: Seorang guru sekolah rendah dirujuk kepada pihak pendakwa raya di Bahrain kerana menggunakan pembaris kayu yang berpaku terhadap muridnya.

Keputusan menggantung dan mengambil tindakan undang-undang terhadap guru wanita itu dibuat selepas disyorkan oleh panel penyiasat yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran, sususulan aduan daripada ibu bapa yang mendakwa dia bertindak ganas terhadap muridnya.


Panel penyiasat itu berkata, ia mengumpulkan beberapa kenyataan daripada pelbagai pihak yang mengesahkan guru berkenaan mengguna pembaris berpaku untuk memukul pelajar, menyebabkan mereka mengalami kesakitan fizikal dan psikologi. - AN

myMetro | Guna pembaris paku pukul murid:

'via Blog this'

Didera ibu bapa sendiri

ABHA: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun dimasukkan ke hospital semalam akibat didera, didakwa dilakukan ibu bapanya.

“Ziyad terpaksa dirawat di hospital akibat kecederaan dengan kesan melecur dan dipukul,” kata Ketua Suruhanjaya Hak Asasi cawangan Asir, Hadi bin Ali Al-Yami kepada wartawan.


Pemeriksaan perubatan menunjukkan budak berkenaan mempunyai kesan melecur lama dan baru pada muka, rahang, dada, tapak kaki, kaki kanan, tangan dan lengan di samping cedera dan luka pada kaki kiri, menurut laporan yang dikeluarkan Hospital Asir Tengah.

“Persatuan Bulan Sabit Merah membawanya ke hospital dan dia perlu diperiksa oleh pakar bedah neuro dan plastik bagi merawat kecederaan pada muka dan rahangnya,” menurut laporan itu.


Hadi berkata, pihaknya akan mengkaji semua aspek kes berkenaan dan Ziyad hanya akan diserahkan kepada keluarganya semula hanya selepas keselamatannya terjamin.


“Kami tidak berhasrat memisahkan kanak-kanak dengan keluarga mereka,” katanya. - AN

myMetro | Didera ibu bapa sendiri:

'via Blog this'

Bangkok diancam bah

PATHUM THANI: Pihak berkuasa Thailand semalam bertindak serta-merta membina tembok penghalang banjir di pinggir Bangkok bagi mengelak sebahagian daripada bandar raya itu dilanda bah apabila air yang mengalir dari wilayah utara tiba di bandar raya berkenaan beberapa hari lagi.

Menurut Jabatan Pencegahan Bencana, sekurang-kurangnya 269 orang mati akibat hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di 27 daripada 77 wilayah negara itu sejak lewat Julai lalu.


Sebahagian besar wilayah utara, timur laut dan tengah negara itu dilanda bah, menjejaskan kehidupan 2.3 juta penduduk.

Bangkok yang hanya dua meter dari paras laut akan menjadi mangsa seterusnya apabila air yang melimpahi kawasan takungan air di utara tiba serentak dengan air pasang tinggi di muara yang dijangka bermula pada 13 Oktober.


Pekerja penyelamat bergegas membina tembok penghalang banjir di Pathum Thani, utara Bangkok selepas arus kuat malam tadi menyebabkan air melimpahi tebing sungai dan banjir sedalam dua meter.


“Saya tidak pernah melihat banjir seburuk tahun ini. Aras pertama rumah saya sudah tenggelam dan kini ia sudah jejak aras atas,” kata Wanpen Suanmakam, 62, penduduk Pathum Thani, wilayah yang berada di persimpangan terusan.

Timbalan Gabenor Pathum Thani, Lerpong Kaewsrichan, berkata banjir hampir menenggelamkan seluruh tanah pertanian. Bagaimanapun, dua kawasan perindustrian masih belum terjejas setakat ini.


“Kami berusaha sedaya upaya untuk melindungi zon ekonomi kami,” katanya.

Kira-kira 2,000 penduduk kini bersesak-sesak di pusat pemindahan sementara di Pathum Thani, kebanyakannya dari Ayutthaya, wilayah berhampiran, antara yang paling teruk terjejas.


Hampir 198 kilang di kawasan perindustrian di situ, termasuk kilang pemasangan syarikat Honda Motor ditutup. Nikon Corp berkata, ia menghentikan pengeluaran kamera digital SLR kerana bencana itu. Toyota Motor pula berkata, ia menghentikan operasi di ketiga-tiga kilangnya di Thailand. - Reuters

myMetro | Bangkok diancam bah:

'via Blog this'

Polis Singapura paksa peniaga minum air kencing

myMetro | Polis Singapura paksa peniaga minum air kencing: "SINGAPURA: Polis republik ini semalam berikrar untuk menyiasat aduan seorang ahli perniagaan tempatan yang mendakwa didera selepas ditangkap atas tuduhan menjual peranti Apple bernilai jutaan dolar.

Ong Su Ping, 32, berkata, polis memaksanya meminum air kencing mereka, memasukkan berus tandas ke dalam mulutnya, menyungkup kepalanya dengan seluar dalam yang sudah diguna, menarik rambutnya dan menyerang kemaluannya,” lapor akhbar Straits Times.


Ong yang berdepan dengan tuduhan menerima 3,400 peranti iPad dan iPhone yang dicuri bernilai Sg$1.4 juta (RM3.42 juta) memberitahu mahkamah semalam, penderaan itu berlarutan empat jam dan dia kemudian sering mengigau kerananya.

Bapa Ong memberitahu akhbar itu, anggota keluarganya tidak dibenar menemui atau bercakap dengannya sejak sembilan hari lalu.


Dakwaan itu mendorong hakim mencadangkan kepada polis supaya seorang pegawai yang tidak terbabit dengan penangkapan ahli perniagaan itu menyiasat dakwaan berkenaan. - AFP"

'via Blog this'

Perut ibu dibelah, anak dicuri




MENIPU...Annette mendakwa kononnya baru bersalin.
MENIPU...Annette mendakwa kononnya baru bersalin.


MADISON: Seorang wanita Wisconsin yang mempunyai tiga anak tetapi gagal memberikan zuriat kepada teman lelaki barunya, semalam didakwa kerana membunuh seorang wanita hamil, membelah perut mangsa dan mengambil bayi itu untuk dijadikan anaknya.
Menurut aduan dikemukakan pihak berkuasa, mangsa, Maritza Ramirez-Cruz, 23, hamil anak keempatnya dan bercadang menamakan bayi itu Omar.

Wanita keturunan Puerto Rico itu tidak pernah menyangka bakal menemui ajal di tangan Annette Morales-Rodriguez yang mengaku berkeliaran di kawasan Milwaukee selama dua minggu untuk mencari wanita hamil.

Pada 6 Oktober, Annette terjumpa Maritza - dijadual bersalin beberapa minggu lagi - dan menawarkan mangsa menaiki keretanya.
MARITZA...sarat mengandung.
MARITZA...sarat mengandung.

Bagaimanapun, Annete mendakwa dia perlu pulang dulu ke rumah untuk menukar kasut, manakala Maritza meminta kebenaran menggunakan tandas suspek.

Dokumen mahkamah menyatakan, sebaik saja Maritza keluar dari tandas, Annette, 33, memukul kepalanya dengan kayu besbol.

Apabila Maritza terbaring, Annette mencekiknya hingga pengsan sebelum membelah perut mangsa dengan meniru prosedur pembedahan Cesaerean seperti pernah ditontonnya dalam siaran televisyen.

Annette kemudian menyorok mayat Maritza di tingkat bawah rumahnya.

Petang hari itu, pasukan paramedik tiba di rumah Annette selepas dia mendakwa kononnya dia baru bersalin dan bayi berkenaan mengalami kesukaran bernafas.

Bagaimanapun, paramedik gagal menyelamatkan bayi berkenaan, manakala Annette dibawa ke hospital.


Di situ, doktor kehairanan kerana mendapati tiada sebarang tanda Annette hamil atau baru bersalin.


Siasatan lanjut polis mendapati Annette bukan ibu kepada bayi yang mati di rumahnya.


Pegawai polis Wisconsin, Edward Flynn, berkata pemeriksaan di rumah Annette membolehkan polis menemui mayat Maritza yang disembunyikan sebelum itu. Doktor berkata, Maritza mati akibat kehilangan darah yang banyak. - DM

myMetro | Perut ibu dibelah, anak dicuri:

'via Blog this'

Penyanyi Ahmad Jais meninggal dunia



Sebahagian rakan artis Allahyarham Ahmad Jais (gambar kecil) membacakan surah Yasin sebelum jenazahnya disembahyangkan di Masjid Negeri, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 11 Okt. – Penyanyi yang popular dengan lagu Lembaran Terakhir, Datuk Ahmad Jais meninggal dunia di Hospital Pakar Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) di sini kira-kira pukul 9.20 pagi ini.

Ahmad Jais atau nama sebenarnya, Mohamad Jais Ahmad, 75, meninggal dunia kerana komplikasi paru-paru setelah dimasukkan ke hospital berkenaan selama dua minggu.

Allahyarham yang dilahirkan di Kapar, Klang, meninggalkan lima anak dan 13 cucu.

Menurut anak keempat Allahyarham, Maimun, 31, sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar DEMC, arwah bapanya dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ.

“Hari ini merupakan hari yang ke-15 ayah dimasukkan ke DEMC dan ayah meninggal dunia pagi ini.

“Sebenarnya, sejak semalam lagi doktor memaklumkan kepada saya keadaan ayah tidak begitu baik.

“Jadi, sejak petang semalam lagi saya mula membacakan surah Yasin,” katanya ketika ditemui selepas jenazah Allahyarham yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21 dekat sini selepas solat zuhur.

Menurut Maimun, selain masalah paru-paru, Allahyarham bapanya menghidap asma dan selama berada di DEMC, arwah berada dalam keadaan koma.

Sebelum dikebumikan, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negeri untuk disembahyangkan.

Lagu-lagu hit Allahyarham Ahmad Jais termasuk Takwa dan Iman, Kucupan Azimat, Umpan Jinak di Air Tenang, Di Ambang Sore, Bahtera Merdeka, Azizah, Gelisah, Lembaran Terakhir dan Mengharap Sinar Menelan Kabus.

Allahyarham sepanjang penglibatannya sebagai penyanyi telah melahirkan 15 album berkonsepkan langgam dan asli.

Kali terakhir Allahyarham mengadakan persembahan ialah di Istana Budaya, Kuala Lumpur dalam Konsert Semalam Di Malaysia bersama kumpulan D’llyod pada Mei lalu.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Tangisan iringi Rain jalani khidmat negara



RAIN memberi tabik hormat di depan para peminatnya di luar sebuah latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul semalam.- Reuters


SEOUL - Ratusan peminat dari China, Jepun dan Malaysia menangis dan bersorak di luar bandar raya ini semalam bagi memgucapkan selamat jalan kepada penyanyi pop Korea Selatan, Rain yang menjalani perkhidmatan ketenteraan.
Rain yang nama sebenarnya, Jung Ji-hoon merupakan sebahagian daripada gelombang drama Korea dan muzik yang melanda Asia sejak dekad lalu.
Album ketiganya, It's Raining dijual satu juta unit di Asia selepas ia dikeluarkan pada 2004.

DUA peminat menangis semasa berhimpun di luar sebuah pusat latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul semalam. - Agensi


"Amat sedih kerana Rain akan pergi (menjalani perkhidmatan ketenteraan) selama dua tahun," kata seorang peminat dari Jepun, Sachiko yang datang ke Korea Selatan untuk menyaksikan konsert terakhir penyanyi tersebut dan menjadi saksi dia memasuki perkhidmatan ketenteraan.
"Saya pasti, semua peminatnya di Jepun mahu berada di sini hari ini. "Justeru, kami mahu memastikan kami melihatnya pergi," tambahnya.
Selain muzik, Rain membina kerjayanya dalam filem dan memulakan kariernya di Hollywood menerusi satu watak kecil dalam filem Speed Racer.
Dia pernah menjadi pelakon utama dalam filem kedua Hollywoodnya, Ninja Assassin yang menyebabkan dia memenangi anugerah daripada MTV.

RATUSAN peminat mengerumuni pintu masuk sebuah pusat latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul untuk melihat Rain semalam. - Agensi


Rain yang merupakan pemenang undian majalah Time pada 2006, 2007 dan 2011 akan menjalani perkhidmatan kerahan tentera selama 21 bulan dalam pasukan tentera Korea Selatan.
"Terima kasih kerana menyayangi saya dengan amat sepenuhnya sejak 10 tahun lalu.
"Selamat jalan dan saya akan kembali," kata Rain kepada para peminatnya.
Penyanyi itu yang dikenali ramai dalam drama Secret Garden menarik perhatian ribuan peminatnya apabila dia menandatangani perkhidmatan ketenteraan pada tahun ini.
Penyanyi berusia 28 tahun itu ditempatkan di sebuah pulau di sempadan Korea Utara yang tegang yang secara teknikalnya berperang dengan Korea Selatan selepas Perang Korea tamat pada 1953 dengan satu perjanjian gencatan senjata.- Reuters

Ya'acob dakwa berusia 128 tahun




Ya' acob menunjukkan kad pengenalannya yang tertera tarikh lahir 2 September 1914 namun mendakwa dilahirkan lebih awal sebelum itu sambil diperhatikan isterinya, Che Gayah di Rantau Panjang, Kelantan.


RANTAU PANJANG – Seorang lelaki dari Kampung Bendang Ikan, Baroh Pial, dekat sini mendakwa dirinya kini berusia 128 tahun biarpun tarikh lahir pada kad pengenalannya menunjukkan dia dilahirkan pada 2 September 1914.
Ya’acob Idris yang berasal dari Kampung Siram, Jeram Perdah mendakwa dia dilahirkan pada zaman pemerintahan Long Senik Mulut Merah yang memakai gelaran Sultan Muhammad Ke-II yang memerintah Kelantan dari tahun 1845 hingga 1886.
Menguatkan dakwaannya, Ya’acob memberitahu, ketika zaman tersebut penduduk di kampungnya hanya menggunakan periuk dan belanga yang diperbuat daripada tanah liat untuk kegunaan harian.
“Zaman itu juga belum ada kain kafan. Jadi, kami hanya menggunakan daun pisang dan guni untuk membalut jenazah sebelum dikebumikan. Mancis pun belum ada masa tu, hanya guna minyak dan garam untuk nyalakan api.
“Mata wang ketika itu wang syiling yang berlubang di tengah yang dikenali sebagai wang ‘kenering’. Perkahwinan pertama saya, mas kahwinnya hanya 20 keping wang tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.

Wanita bersalin selepas sertai maraton



AMBER MILLER kelmarin mendukung anaknya di Hospital DuPage Central di Winfield, Illinois. - AP


CHICAGO, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita hamil di pinggir bandar raya ini yang mengalami sakit perut beberapa minit selepas dia menamatkan larian maraton Chicago selamat melahirkan seorang bayi perempuan beberapa jam kemudian.
Wanita berkenaan, Amber Miller hamil hampir 39 minggu apabila dia menyertai larian marathon sejauh 42 kilometer (km) itu pada pagi Ahad lalu.
Dalam satu wawancara telefon bersama akhbar The Daily Herald dari katil hospital tempat dia dirawat, Miller berkata, doktornya membenarkan dia berlari untuk separuh maraton tersebut dan berjalan kaki selepas itu.
Menurut Miller, dia mengalami kontraksi selepas menamatkan larian tersebut dalam masa enam jam dan 25 minit.
Apabila kesakitan yang dialaminya berterusan dia terus menuju ke hospital tetapi sempat membeli hidangan sandwic untuk mengalas perut.
Anak perempuannya, June dilahirkan pada pukul 10.29 malam waktu tempatan dengan berat 3.54 kilogram.
Menurut Miller lagi, dia gembira dengan kelahiran itu tetapi berkata: "Ahad tersebut merupakan hari paling panjang dalam hidup saya". - AP

Lelaki lumpuh guna tangan robotik




TIM HEMMES (kanan) menggunakan tangan robotik dalam ujian yang diadakan di Pusat Perubatan Universiti Pittsburgh di Pittsburgh pada 21 September lalu. - AP


PITTSBURGH, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki lumpuh dapat kembali memberikan sentuhan dan menyuap makanan sendiri dengan menggunakan sebuah tangan robotik kawalan minda yang dipasang pada kerusi rodanya.
Kehilangan fungsi tangan dan kaki dalam satu kemalangan motosikal sejak tujuh tahun lalu, lelaki berkenaan Tim Hemmes, 30, merupakan antara segelintir individu yang berpeluang menggunakan tangan bionik itu selama sebulan.
Tangan canggih itu dibina oleh beberapa penyelidik Universiti Pittsburgh, negeri Pennsylvania untuk satu eksperimen perintis dikenali sebagai Braingate.
Dilengkapi jari bersendi yang berfungsi seperti jari manusia, tangan robotik itu disambungkan pada cip yang ditanam di dalam otak manusia.
Cip berkenaan berfungsi untuk menukarkan isyarat-isyarat elektrik yang dikeluarkan oleh otak kepada gerakan motor.
"Sungguh hebat, saya melakukannya (menggerakkan barang) dengan menggunakan kuasa minda. Sukar bagi saya untuk menceritakan apa yang saya rasakan sekarang ini," katanya. - AP

Wanita bunuh ibu hamil diikat jamin RM3.13 juta




AP
ANNETTE MORALES-RODRIGUES dihadapkan ke sebuah mahkamah di Milwaukee kelmarin.


MILWAUKEE, Amerika Syarikat - Sebuah mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak AS$1 juta (RM3.13 juta) ke atas seorang wanita, Annette Morales-Rodriguez yang berpura-pura mengandung sebelum menyerang dan membunuh seorang ibu yang sarat mengandung dengan menggunakan kayu pemukul besbol dan membelah perut mangsa dengan pisau untuk mengeluarkan bayinya.
Wanita yang mati itu, Maritza Ramirez-Cruz dan bayi yang dijangka dilahirkan pada minggu hadapan, mati dalam kejadian tersebut, menurut dokumen mahkamah yang difailkan kelmarin.
Morales-Rodriguez, 33, menghadapi tuduhan membunuh dengan sengaja tahap pertama dengan menggunakan senjata serta membunuh janin dengan menggunakan senjata.
Morales-Rodriguez yang hadir ke mahkamah, berhadapan hukuman mandatori penjara seumur hidup jika didapati bersalah.
"Saya tidak tahu apa yang berada di dalam fikirannya," kata Maria Garcia, 44, yang tinggal berjiran dengannya.
Menurut laporan siasatan, Morales-Rodriguez memberitahu teman lelakinya mahu mempunyai anak tetapi dia tidak mengandung.
Wanita itu kemudian berpura-pura hamil dan apabila jangkaan kelahiran palsunya semakin dekat dia mencari wanita hamil.
Morales-Rodriguez kemudian mencari wanita yang hamil dan menemui Ramirez-Cruz di sebuah pusat perlindungan.
Dia kemudian menawarkan Ramirez-Cruz menaiki keretanya dan berhenti di rumahnya dengan alasan untuk menukar kasut pada Khamis lalu.
Morales-Rodriguez kemudian bertindak membunuh Ramirez Cruz dengan kayu besbol sebelum membelah perutnya dengan tujuan untuk mengambil bayinya untuk dijadikan anaknya. - AP

Adi wira ditangkap kerana sembur lada




GAMBAR fail 18 Februari lalu menunjukkan Phoenix Jones mengawal kawasan kediaman Capitol Hill di Seattle. - AP


SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki yang memakai kostum adi wira dan menggelarkan dirinya sebagai Phoenix Jones untuk mengawal jenayah memakan diri apabila dia ditangkap pada Ahad lalu kerana menyerang beberapa orang dengan menggunakan semburan lada.
Menurut polis kelmarin, adi wira berusia 23 tahun itu atau nama sebenarnya Benjamin John Francis ditahan di sebuah penjara daerah atas empat tuduhan melakukan serangan dan akan dihadapkan ke mahkamah esok.
Mengulas mengenai penangkapannya, Jones yang berbadan sasa dan memakai topeng hitam berbelang kuning bersama sut ketat berkata, ketika kejadian dia hanya cuba untuk meleraikan satu pergaduhan jalanan.
"Hanya kerana dia memakai kostum adi wira bukan bermakna dia akan diberikan pengecualian atau kebal daripada tindakan undang-undang," kata seorang jurucakap polis Seattle, Detektif Mark Jamieson.
"Anda tidak boleh sesuka hati menyembur semburan lada pada orang yang pada fikiran anda, sedang bergaduh," tambahnya.
Namun, dalam akaun Facebooknya, Jones menyatakan bahawa dia tidak sesekali akan menyerang atau mencederakan orang lain sekiranya mereka tidak menyebabkan kecederaan kepada manusia lain.
Dia juga menyiarkan satu klip video insiden berkenaan bagi membuktikan dia tidak bersalah.
Jones yang digelar adi wira Seattle popular dalam kalangan penduduk bandar raya ini kerana keberaniannya mencegah jenayah bersama orang kanannya, Ghost. - AP

Ibu pejabat polis di Sirte dikuasai pejuang anti-Gaddafi




BEBERAPA pejuang anti-Muammar Gaddafi berdiri di luar ibu pejabat polis yang dikuasai mereka di bandar Sirte, Libya semalam.


SIRTE - Para pejuang daripada pihak Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) berjaya merampas ibu pejabat polis di bandar kelahiran bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam.
Pejuang-pejuang itu kini memburu Gaddafi yang masih bersembunyi selepas rejimnya tumbang di tangan kumpulan yang menentangnya pada Ogos lalu.
Para pejuang NTC meraikan kemenangan mereka merampas ibu pejabat polis tersebut daripada penyokong-penyokong Gaddafi dengan membunyikan hon kenderaan dan melepaskan tembakan ke udara.
Mereka kemudian menggeledah dan memusnahkan poster Gaddafi yang dijumpai dalam ibu pejabat tersebut. - AFP

Thai cuba halang banjir ke lapangan terbang Bangkok




AFP
DUA penduduk berjalan di belakang dinding beg pasir di wilayah Nonthaburi, pinggir Bangkok semalam.


BANGKOK - Thailand meningkatkan pertahanan di lapangan terbang utamanya di sini dan beberapa kawasan lain bagi melindungi 12 juta penduduk di Bangkok daripada berdepan masalah banjir.
Dinding-dinding perlindungan banjir dinaikkan sehingga 3.5 meter di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, kata Pemangku Pengarah Lapangan Terbang Thailand, Somchai Sawasdipol.
Beliau berkata, lapangan terbang itu akan terus beroperasi seperti biasa.
"Saya yakin (akan dapat menghalang banjir di lapangan terbang itu) tetapi kami tidak akan cuai," katanya.
Menurutnya, lapangan terbang itu mempunyai dua stesen pam air utama dan sebuah pasukan pemantau selama 24 jam.
Sekurang-kurangnya 269 orang mati dalam banjir yang berlaku di Thailand sejak dua bulan lalu. - AFP

Bekas PM Ukraine dipenjarakan tujuh tahun




Reuters 
SATU kombinasi gambar menunjukkan Yulia Tymoshenko diminta oleh seorang pegawai Keselamatan Dalam negeri supaya bertenang semasa hakim membacakan hukuman terhadapnya di sebuah mahkamah di Kiev semalam.


KIEV - Bekas Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko semalam dihukum penjara tujuh tahun berhubung satu urusan perjanjian gas pada 2009.
Hakim sebuah mahkamah di sini, Rodion Kireyev menyatakan kontrak perjanjian untuk import gas dari Rusia yang ditandatangani pada 2009 telah menyebabkan kerugian besar buat Ukraine.
Menurut hakim itu, bekas Perdana Menteri itu menyebabkan kerugian kepada syarikat gas negara sebanyak AS$190 juta (RM597.07 juta) kerana menandatangani kontrak pengimportan gas dengan Rusia.
Pihak pendakwa raya mendakwa Tymoshenko melanggar prosedur undang-undang dengan menandatangani kontrak tersebut.
"Mahkamah memutuskan bahawa Y.V Tymoshenko berhasrat untuk menggunakan kuasanya untuk tujuan jenayah," katanya dalam penghakimannya.
"Pihak mahkamah mendapati dia bersalah dan menghukumnya tujuh tahun penjara," kata hakim tersebut.
Tymoshenko yang terkenal dengan rambut perang yang berpintal di kepalanya menjerit kepada penyokongnya dalam kamar mahkamah: "Kebanggaan Buat Ukaraine."
Dia juga berkata: "Kami akan berjuang untuk mempertahankan nama baik saya di mahkamah Eropah. Hari ini mahkamah menunjukkan bahawa sistem keadilan telah dihancurkan. Berjuang, mari bersama-sama, jadi kuat.
Seramai seribu orang yang merupakan penyokong bekas Perdana Menteri itu berhimpun selepas keputusan itu dibuat hakim.
Anggota-anggota polis pencegah rusuhan terpaksa menghalang tunjuk perasaan para penyokong Tymoshenko yang cuba membuat sekatan di sebatang jalan raya, kata seorang jurucakap polis.
Menurutnya, seramai 12 penunjuk perasaan ditahan pada tengah hari semalam. - Agensi