Pages

Friday, December 27, 2013

Hias studio guna 16 tan wang kertas

Nanjing: Seorang jutawan China menghiasi ruangan studio di sebuah stesen televisyen di negara itu dengan timbunan wang miliknya.
Chen Guangbiao membawa wang kertas 100 yuan seberat 16 tan yang diisi dalam tong untuk menghias studio berkenaan.
Dia berbuat demikian untuk mempromosikan lonjakan ekonomi yang dijana pentadbir Nanjing, ibu negeri Jiangsu kelmarin.

Sebagaimana dipetik daripada Chinadaily, wang berkenaan dibawa ke stesen televisyen terbabit dengan trak besar dan memerlukan 20 orang untuk menghiasi studio berkenaan selama lima jam.
Foto
CHEN bersama hiasan not kertas 100 yuan di sebuah studio stesen televisyen di Nanjing, China.

Wang not 100 yuan dilihat tersusun dengan rapi di studio itu. Chen berkata, ini kali keenam dia menggunakan wang sebagai latar belakang untuk tujuan promosi amal sejak 2010.

Chen juga menegaskan dia bersikap terbuka jika pihak berkuasa ingin melakukan pemeriksaan mengenai aktiviti perniagaannya.

Berdasarkan laporan media China, Hurun, kekayaan Chen mencecah AS$576 juta (RM1.8 bilion) pada 2010.

Selain kaya raya, Chen turut dikenali sebagai usahawan pemurah. Dia pernah membahagi wang di jalan raya dengan mengedarkan sampul surat berwarna merah yang berisi wang tunai di dalamnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

Bayi alami kecacatan jantung sembuh sendiri


Bayi bernama Oscar Tasker, ketika menerima rawatan akibat kecacatan jantung yang dialaminya di Hospital Kanak-Kanak Birmingham, London. - Agensi
LONDON 25 Dis. - Seorang bayi di Britain yang terpaksa bergantung kepada alat sokongan hidup dan ditempatkan di hospital akibat mengalami kecacatan jantung, bakal meraikan Hari Krismas buat kali pertama selepas penyakitnya itu sembuh dengan sendiri.
Oscar Tasker yang berusia 10 bulan dibenarkan untuk menghabiskan masa bersama ibu bapanya, Lois dan Jason serta empat adik-beradiknya yang lain di rumah mereka di Birmingham.
Oscar dilahirkan dengan keadaan jantung yang cacat, di mana saluran arterinya tidak berfungsi dengan betul.
Malah, bayi tersebut terpaksa bergantung kepada jantung tiruan dan perlu menunggu selama 100 hari untuk proses pemindahan jantung disebabkan masih ramai pesakit yang disenaraikan.
Namun, perkara yang mengejutkan berlaku menjelang Krismas apabila jantung Oscar pulih dengan sendiri dan berfungsi dengan baik.
Pakar pediatrik kardiologi yang bertanggungjawab merawat Oscar, Dr. Richard Kirk berkata, tempoh penggunaan jantung tiruan memberi masa kepada jantung bayi berkenaan untuk berehat dan pulih semula.
"Keluarga Oscar pasti gembira dengan perkembangan anak mereka selepas jantung bayi itu boleh berdenyut semula tanpa bergantung kepada jantung tiruan.
Bapanya, Jason, 33, berkata, keadaan anaknya yang semakin pulih merupakan hadiah Krismas terbaik buat mereka sekeluarga.
"Saya tidak sangka kami boleh meraikan Krismas bersama buat kali pertama sebagai satu keluarga walaupun saya tidak yakin Oscar akan pulih sebelum sambutan perayaan ini," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131226/lu_09/Bayi-alami-kecacatan-jantung-sembuh-sendiri#ixzz2ocbLM3ni
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Remaja cipta rekod dunia


Selain berjaya merentasi pantai Antartika ke Kutub Selatan dalam tempoh 18 hari, Parker Liautaud turut muncul individu termuda sampai di bahagian paling selatan dunia itu menggunakan ski. - AGENSI
ANTARTIKA 25 Dis. - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun mencipta rekod dunia baharu, apabila berjaya tiba di Kutub Selatan dari pantai Antartika hanya dalam tempoh masa 18 hari.
Kejayaan Parker Liautaud itu, sekali gus memadam rekod perjalanan terpantas yang dipegang oleh Christian Eide, dari Norway yang menamatkan penjelajahan sama dalam masa 24 hari.
Selain itu, Liautaud turut dinobatkan sebagai manusia paling muda berjaya tiba di Kutub Selatan dengan menggunakan ski.
Penuntut Universiti Yale itu berkata, dia memulakan ekspedisi yang melibatkan perjalanan sejauh 561 kilometer itu pada 3 Disember lalu, dengan dua matlamat utama iaitu mahu melakukan kajian saintifik serta mengumpul sampel data.
"Objektif kedua saya adalah mahu mengadakan satu dialog tentang perubahan iklim dunia yang melibatkan pembabitan orang ramai dalam memberi buah fikiran,'' katanya.
Selepas berjaya tiba di Kutub Selatan sehari sebelum sambutan Krismas, Liautaud menjelaskan, ekspedisi itu benar-benar menguji ketahanan mental apabila dia perlu bijak mengurus segala masalah yang dihadapinya dengan baik.
"Ia merupakan satu kelegaan kepada saya apabila berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan,'' ujarnya lagi.
Dalam perjalanan ke Kutub Selatan, dia sempat berhenti di beberapa kawasan untuk mengutip sampel dan mengukur serta menghantar beberapa data berkenaan iklim.
Liautaud sebelum ini pernah cuba menjadi manusia paling muda merentasi Kutub Selatan ketika dia berusia 15 tahun, namun pasukan yang disertainya terpaksa berpatah balik hanya kira-kira 24 kilometer sebelum tiba ke garisan penamat. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131226/lu_08/Remaja-cipta-rekod-dunia#ixzz2ocb8zTbh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemandu bas cabar Bolt berlumba




BAS berkenaan cuba memecut untuk memotong Bolt.


BUENOS AIRES - Raja pecut, Usain Bolt dengan mudah meninggalkan sebuah bas dalam perlumbaan di ibu kota Argentina di sini minggu lalu, lapor sebuah akhbar.
Kemenangan mudah pelari berusia 27 tahun dalam perlumbaan pada jarak 100 meter (m) itu mendorong dia mencabar pemandu-pemandu bas di China pula.
"Adakah terdapat mana-mana pemandu bas di China yang mampu berlumba dengan saya?" tanya Bolt di laman rangkaian sosial Weibo.
Pada awalnya, tiada seorang pun pemandu kenderaan tersebut yang berani menyahut cabaran Bolt.
"Pemandu bas dari Wuhan, Shanghai dan Shenzhen semuanya tidak berani berlumba dengan saya," katanya
Bagaimanapun, tidak lama kemudian seorang pemandu bas wanita dari bandar Dalian telah mencabar Bolt untuk berlumba tetapi bukan pada jarak 100 meter.
"Saya tahu bas saya tidak akan dapat memintasnya jika berlumba 100 m,manakala peluang saya adalah 50/50 pada jarak 200 m ," kata wanita tersebut.
"Namun, saya jamin akan dapat memotong Bolt dalam perlumbaan sejauh 300 m," tambahnya.
Setakat ini, raja pecut berkenaan masih belum menyahut cabaran wanita itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2ocPzsCst 
Hakcipta terpelihara 

Cincin berlian dijumpai di dalam Tabung Derma



BAWAH: BENTUK CINCIN berlian yang disumbangkan oleh penderma misteri misteri berkenaan.


MIAMI, Florida - Seorang wanita di Florida mendermakan sebentuk cincin berlian berharga AS$3,500 (RM11,535) untuk tabung badan kebajikan, Salvation Army, lapor sebuah akhbar baru-baru ini.
Ia merupakan tahun keempat agensi kebajikan tersebut menerima sumbangan serupa yang diberikan oleh penderma misteri berkenaan.
Penderma itu juga akan membuat panggilan telefon pada setiap tahun untuk memberi maklumat mengenai lokasi cincin tersebut diletakkan.
Pada tahun ini, cincin itu ditemui dibungkus menggunakan sekeping kertas kuning bersama sekeping nota di dalam sebuah tin kutipan derma di luar sebuah pusat beli-belah di sini kelmarin.
"Pada setiap tahun wanita misteri itu akan menelefon dan berkata, awak mungkin perlu memeriksa salah tabung derma di sesebuah lokasi," kata seorang anggota badan kebajikan berkenaan, Mejar Linda Payton.
Setakat ini, tabung kebajikan tersebut telah menerima dua bentuk cincin berlian, beberapa ketul emas dan wang kertas AS$100 (RM329) sejak empat tahun lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2ocPhEEm9 
Hakcipta terpelihara