Pages

Friday, March 22, 2013

Batalion wanita ditubuh lawan Assad



TIGA orang anggota batalion wanita yang berjuang bersama-sama Tentera Pembebasan Syria menentang tentera kerajaan pimpinan Bashar al-Assad. - AGENSI
ALEPPO 21 Mac - Kaum wanita Syria kini memain peranan penting dalam konflik di negara ini melalui penubuhan satu batalion wanita yang dikenali sebagai katiba.
Terdiri daripada 150 anggota, batalion itu berjuang bersama-sama Tentera Pembebasan Syria menentang tentera kerajaan pimpinan Presiden, Bashar al-Assad.
Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria berkata, kebanyakan anggota batalion itu terdiri daripada wanita Kurdis.
"Jawatankuasa popular Kurdis menubuhkan batalion wanita pertama terdiri daripada 150 pejuang wanita. Batalion itu diberi nama Martyr Rokan Battalion.
"Walaupun sebelum ini terdapat wanita yang berjuang sama ada bersama pemberontak, tentera pro-Assad dan militia Kurdis, namun batalion ini merupakan yang pertama terdiri daripada wanita sahaja," kata pengarah pertubuhan itu, Rami Abdel Rahman.
Penubuhan batalion wanita itu diumumkan di Irfin, lokasi terbaharu konflik di Syria pada penghujung tahun lalu apabila pemberontak Kurdis menentang pemberontak Syria yang berjuang melawan tentera Assad.
Tentera Assad berundur dari kawasan majoriti kaum Kurdis pada tahun lalu, manakala etnik itu berpecah selepas tercetus revolusi dengan kebanyakan daripada mereka tidak berpihak sama ada kepada Assad mahu pun pemberontak.
Penubuhan batalion wanita itu juga berlaku selepas sebulan tentera Assad menubuhkan Pasukan Pertahanan Nasional, yang terdiri daripada unit separa tentera dianggotai wanita pelbagai lapisan umur.
Sebuah pertubuhan aktivis wanita di Latakia berkata, wanita kerap menghantar senjata dan bekalan-bekalan lain kepada pemberontak kerana mereka kurang disiasat oleh tentera dan mudah melepasi kawalan keselamatan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130322/lu_06/Batalion-wanita-ditubuh-lawan-Assad#ixzz2OGlGDFYX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ulama dibunuh

Foto
LOKASI letupan bom yang mengorbankan
Sheikh Mohammad (kanan)
BEIRUT: Seorang ulama Sunni terkemuka antara 42 terbunuh dalam serangan bom berani mati di sebuah masjid di Damascus, pembunuhan paling berani sejak perang saudara tercetus di Syria dua tahun lalu.
Stesen televisyen Syria dan aktivis anti-kerajaan sebelum ini melaporkan 15 terbunuh dalam serangan terhadap Masjid Iman yang mengorbankan Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Buti.

"Jumlah kematian akibat pengebom berani mati di masjid Iman adalah 42 manakala 84 lagi cedera," kata jurucakap Kementerian Kesihatan Syria dalam satu kenyataan. - Reuters


Dilahir tanpa tulang kering

Foto
JOHNSON belajar berjalan sebaik dipakaikan kaki
 palsu terbaru.

Foto
Melbourne: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilahirkan tanpa tulang kering, lutut atau buku lali akhirnya mampu memiliki sepasang kasut selepas dipasangkan kaki palsu.

Kaki baru Ted Johnson, 3, mempunyai jari tidak seperti beberapa kaki palsunya yang lain. Minggu ini, dia cuba memakai kaki palsu kaca gentian baru berwarna biru buat kali pertama di gelanggang bola keranjang di Hospital Kanak-Kanak Diraja di Melbourne.


Mesin pengimbas gagal mendedahkan Ted mengalami keadaan yang jarang berlaku tibial hemimelia ketika dalam kandungan ibunya, Abbie.


Di sinilah tibia tulang kering sama ada hilang sebahagian atau sepenuhnya ketika dilahirkan. Kakinya mungkin cacat atau mempunyai jari berlebihan. Keadaan Ted itu bermakna ibu bapanya, Abbie dan Peter terpaksa mengambil keputusan genting agar kakinya dipotong ketika dia berusia setahun.


Kanak-kanak itu sebelum ini dilengkapi dengan dua lagi jenis kaki palsu tetapi ini adalah set kaki palsu pertama lengkap dengan jari kaki.


Dan sebaik saja kaki kaca gentian baru berwarna biru itu dipasang pada Velkro, Ted sudah boleh bergerak. Ibunya berkata: “Dia sangat hebat - tiada apa yang boleh menghalangnya.


“Kami menyangka dia mungkin tidak memerlukannya untuk bergerak, jadi saya tidak percaya betapa hebatnya dia. Buat pertama kali kami akan membeli kasut untuknya esok.” Pakar protestik, Jim Lavranos yang membuat dan memperbaiki tiga pasang kaki palsu Ted berkata, biasanya kanak-kanak mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk bergerak seiring dengan perkembangan pemanjangan kaki. “Ted mendapatnya lebih awal daripada yang biasa kami alami kerana dia sangat yakin dan cepat. Dia akan terbang dengan kaki palsu ini.” - Agensi

Berpantang maut sebelum ajal



Spiridon Vinokurov ditemui oleh pasukan penyelamat dalam keadaan terbaring di timbunan salji di Republik Sakha, Rusia. - AGENSI
MOSCOW 21 Mac - Seorang lelaki Rusia terpaksa menyabung nyawa selama empat hari apabila terkandas di dalam hutan bersalji dan diburu sepasang serigala yang lapar.
Ketika menceritakan detik-detik cemas tersebut, Spiridon Vinokurov berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan melawat saudaranya di kampung Aleko-Kyuel, Republik Sakha, Rusia, 120 kilometer dari rumahnya dengan menaiki kenderaan salji.
Katanya, pada mulanya dia kehilangan petanda yang ditinggalkan di sepanjang jalan bagi mengelak sesat dalam perjalanan tersebut ekoran ribut salji yang melanda kawasan berkenaan.
Keadaan itu jelasnya, bertambah buruk apabila kenderaan kehabisannya minyak dan dia terpaksa berjalan kaki meredah salji tebal.
"Kemudian muncul sepasang serigala yang mengekori saya dari jauh. Namun apabila saya semakin kehilangan tenaga dan mula merangkak, haiwan tersebut mula merapati saya.
"Malah ketika saya terbaring di timbunan salji akibat tiada lagi tenaga untuk bergerak, saya dapat merasakan nafas serigala berkenaan di bahagian leher saya," katanya.
Bagaimanapun, Vinokurov bernasib baik kerana ketika serigala berkenaan menghampirinya, sebuah helikopter penyelamat tiba di lokasi dia terbaring dan menyelamatkannya sebelum membawanya ke hospital.
Lelaki berusia 48 tahun itu kini mendapatkan rawatan intensif selepas mengalami reputan fros.
Pegawai pasukan penyelamat Republik Sakha, Nikolai Fateyyv berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kehilangan Vinokurov oleh keluarga mangsa pada hari keempat kejadian.
Katanya, ketika Vinokurov ditemui kira-kira 80 kilometer dari kampung Berelekha di Republik Sakha, mangsa masih sedarkan diri.
"Keadaannya sangat teruk akibat reputan fros, namun masih sedar.
"Vinokurov memaklumkan kepada kami bahawa dia hanya mampu merangkak selepas tidak mampu berjalan lagi," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130322/lu_08/Berpantang-maut-sebelum-ajal#ixzz2OEuzN68W
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Fosil reptilia terbang prasejarah



Ahli paleontologi dari Universiti Persekutuan Rio, Alexander Kellner menunjukkan fosil seekor pterosaur atau 'cicak bersayap' di Muzium Negara Rio de Janeiro, semalam. - REUTERS
RIO DE JANEIRO 21 Mac - Fosil seekor reptilia terbang prasejarah bersaiz besar didedahkan kepada umum di Muzium Negara Rio de Janeiro di sini semalam, lokasi berlangsungnya satu kongres antarabangsa tentang kepupusan spesies pada Mei ini.
''Apa yang membuatnya sedikit istimewa adalah kerana ia merupakan fosil yang hampir lengkap pernah ditemui dengan hampir keseluruhan rangka malah tengkorak reptilia itu masih terpelihara,'' kata Alexander Kellner, ahli paleontologi dari Universiti Persekutuan Rio.
Kellner pada masa sama turut menerangkan tentang reptilia terbang yang dikenali sebagai pterosaur atau 'cicak bersayap' yang mempunyai kepak berukuran 8.2 meter.
Fosil reptilia prasejarah itu disifatkan daripada spesies 'Tropeognathus mesembrinus' yang ditemui di pelantar Chapada do Araripe di timur laut Brazil.
Kellner menyifatkan reptilia itu sebagai antara yang terbesar pernah ditemui di hemisfera selatan dan ketiga di dunia.
''Kami boleh membuktikan reptilia gergasi ini terbang di timur laut Brazil lebih awal daripada yang disangka kerana fosil itu ditemui di dalam formasi batu berusia 110 juta tahun,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130322/lu_09/Fosil-reptilia-terbang-prasejarah#ixzz2OEudSFmG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gitar yang pernah diguna Lennon, Harrison dilelong




GITAR yang pernah digunakan Lennon dan Harrison yang akan dilelong pada Mei depan.- REUTERS


LOS ANGELES - Sebuah gitar yang pernah digunakan oleh penyanyi terkenal, John Lennon dan George Harrison akan dilelong pada bulan Mei depan.
Rumah Lelongan Julien's Auctions semalam menyatakan, gitar berkenaan dijangka dilelong antara AS$200,000 (RM624,199) hingga AS$300,000 (RM936,299).
Kedua-dua mereka merupakan bekas anggota kumpulan The Beatles.
Lennon mati ditembak di New York pada tahun 1980.
Harrison meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada tahun 2001 di Los Angeles. Lelongan itu akan diadakan di New York. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2ODQnxdu4 
Hakcipta terpelihara 

Singa laut berjalan di atas lintasan pejalan kaki




GAMBAR yang dirakamkan dari YouTube semalam menunjukkan seekor singa laut menyeberangi sebatang jalan raya di Balneario Camboriu, Brazil.- YOUTUBE


BALNEARIO CAMBORIU, Brazil - Seekor singa laut berjalan di atas lintasan untuk pejalan kaki di sebatang jalan raya di sini pada Sabtu lalu.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut terkejut apabila mereka melihat haiwan itu menyeberangi jalan.
Singa laut sepanjang tiga meter itu keluar dari laut dekat bandar ini.
Beberapa buah kereta dan sejumlah orang ramai berhenti bagi memberi laluan kepada haiwan tersebut menyeberangi jalan.
Anggota-anggota polis dan ahli bomba mencurahkan air ke arah haiwan itu bagi mengelakkan badannya menjadi kering.
Bagaimanapun, haiwan tersebut kembali semula ke laut selepas satu jam 30 minit ia berada di daratan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2ODQiC5Sa 
Hakcipta terpelihara 

UAE guna tenaga solar



Loji tenaga solar di Abu Dhabi dikenali sebagai Shams 1, menggunakan kira-kira 258,000 keping cermin di kawasan seluas 2.5 kilometer persegi. - AGENSI
ABU DHABI 20 Mac - Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini melihat kepada penggunaan tenaga solar dalam usaha mengurangkan kesan rumah hijau ekoran pelepasan karbon dioksida yang banyak serta kemampuan negara ini untuk menjimatkan kos penggunaan alat jana kuasa.
Walaupun menjadi pengeluar utama minyak dunia pada masa ini, UAE tetap melancarkan operasi penggunaan tenaga solar terbesar di dunia bagi mencapai tujuan itu.
Projek termal solar berkuasa 100 megawatt di Abu Dhabi, dijangka mampu menyediakan bekalan tenaga kepada beribu-ribu kediaman di negara ini dan pada masa sama mengurangkan pelepasan kira-kira 175,000 tan karbon dioksida setahun.
Projek bernilai AS$600 juta (RM1.86 bilion) itu memakan masa selama tiga tahun untuk dibina.
Kilang tenaga solar di Abu Dhabi dikenali sebagai Shams 1, menggunakan teknologi palung keluk parabola terkini yang menyaksikan penggunaan 258,000 keping cermin dan 768 pengesan keluk parabola meliputi kawasan seluas 2.5 kilometer persegi.
Projek itu turut menggunakan penggalak kepada stim panas ketika memasuki turbin untuk meningkatkan kecekapan kitarannya.
Sistem penyejukan kering turut digunakan untuk mengurangkan penggunaan air, satu kelebihan yang diperlukan di kawasan gurun Abu Dhabi.
Penggunaan tenaga solar ketika waktu permintaan memuncak di UAE, dilihat membolehkan negara itu berjimat ekoran penggunaan alat janakuasa elektrik yang tidak digunakan pada waktu lain. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130321/lu_06/UAE-guna-tenaga-solar#ixzz2ODQWmTpn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Enjin roket hantar angkasawan ke bulan dikeluarkan dari laut




SALAH satu komponen enjin roket Saturn V yang dikeluarkan dari Lautan Atlantik diletakkan di atas kapal Seabed Worker kelmarin. - REUTERS


CAPE CANAVERAL - Sebuah pasukan yang dibiayai oleh pengasas Amazon, Jeff Bezos berjaya mengeluarkan beberapa komponen enjin roket Saturn V dari Lautan Atlantik.
Pendedahan itu dibuat oleh Bezos di laman web projek untuk mengeluarkan komponen enjin roket yang telah menghantar dua angkasawan Amerika Syarikat (AS) ke bulan lebih 40 tahun lalu.
Enjin itu yang masih menjadi milik pemerintah AS akan dibaik pulih sebelum dipamerkan kepada orang ramai.
Kapal Seabed Worker yang membawa enjin itu berlabuh di Port Canaveral, Florida semalam selepas tiga minggu ia berada di laut.
Enjin itu berada hampir lima kilometer (km) di dasar Lautan Atlantik dan terletak 579km dari sini.
Roket Saturn V itu membawa beberapa angkasawan ke bulan pada tahun 1960-an dan 1970-an.
Selepas berlepas, roket itu jatuh ke dalam lautan, manakala kapal angkasa Apollo berlepas ke bulan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2ODPTUuTo 
Hakcipta terpelihara