Pages

Thursday, September 27, 2012

Shaaban maut dipukul penyokong Muammar



TRIPOLI - Pemberontak Libya yang diiktiraf sebagai salah seorang yang menjumpai Muammar Gaddafi dalam lubang besar tahun lalu, disahkan meninggal dunia selepas diculik, dipukul dan ditetak oleh kumpulan penyokong pemimpin itu, kelmarin.

Omran Shaaban, 22, menghembuskan nafas terakhirnya di  sebuah hospital Perancis.

Susulan kematian Shaaban, Kongres Kebangsaan meningkatkan lagi usaha mengekang pengganas selain memberi kuasa kepada polis dan tentera menggunakan kekerasan kepada mana-mana pihak yang menculik Shaaban
serta tiga rakannya dekat bandar Bani Walid, Julai lalu.

Kongres Kebangsaan menggelar kematian Shaaban sebagai 'syahid' walaupun keluarganya mendakwa pemuda itu belum menerima ganjaran bernilai 1 juta dinnar Libya (RM2.5 juta) yang dijanjikan kerana berjaya menangkap Gaddafi di Sirte pada pertengahan Oktober 2011 lalu.

Akibat daripada penemuan Shaaban, pemimpin yang dikecam pemberontak Libya itu dibunuh oleh kumpulan pejuang revolusi.

Sumber memberitahu, kerajaan Libya mengadakan pengebumian secara hormat kepada Shaaban yang dianggap sebagai wira negara.

Jenazahnya yang tiba di lapangan terbang dalam Misrata, diarak lebih 10,000 orang menuju ke stadium bola sepak untuk disembahyangkan.

Kumpulan penyokong rejim terdahulu masih memberontak selain kerajaan itu dilihat gagal mengawal kecaman militan dengan senjata api. - Al-Jazeera

RM200j hadiah kahwin Gigi

HONG KONG: Seorang jutawan Hong Kong menawarkan HK$500 juta (RM200.3 juta) “tawaran perkahwinan” kepada mana-mana lelaki yang boleh memenangi hati anak perempuan lesbiannya, semalam.

Cecil Chao mengumumkan tawaran kewangan itu selepas anak perempuannya Gigi, mengahwini pasangan sejenisnya sejak tujuh tahun, di Perancis awal tahun ini, lapor akhbar South China Morning Post.
“Saya tidak kisah sama ada lelaki itu kaya atau miskin. Yang penting dia pemurah dan berhati mulia,” kata Chao, 76 tahun.

Katanya, Gigi seorang wanita yang baik, mempunyai bakat dan cantik. Dia sangat menyayangi ibu bapa, pemurah dan sering melakukan kerja amal.

Chao yang mempunyai syarikat pembangunan hartanah Cheuk Nang yang disenarai di papan saham, tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu.


Perkahwinan sejenis tidak diiktiraf di Hong Kong, bandar konservatif sosial di mana homoseksual dianggap sebagai jenayah pada 1991.

Chao seorang yang terkenal di kalangan sosial di Hong Kong dan sentiasa hadir di majlis awam bersama teman wanita terbarunya yang muda. - AFP

Presiden Palestin ulangi syarat sambung rundingan damai

RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bersedia menyambung semula rundingan damai dengan Israel jika rejim Zionis itu bersetuju membekukan penempatan Yahudi di wilayah Palestin.

Perunding Palestin, Saeb Erakat berkata semalam, Mahmoud menyuarakan kesediaannya itu ketika menemui wakil masyarakat Yahudi Amerika di New York.


Pemimpin Palestin itu turut mengulangi rancangan meminta Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meningkatkan status Palestin selaku pemerhati di badan dunia itu kepada negara bukan anggota, kata Saeb, yang mengiringi Mahmoud di New York. - AFP

Petugas media Iran mati ditembak di Damsyik

DAMSYIK: Penembak curi di bandar raya ini menembak mati koresponden Press TV Iran.

Penyerang juga mencederakan ketua biro rangkaian itu ketika kedua-dua wartawan berkenaan membuat laporan dari kawasan letupan bom berhampiran ibu pejabat tentera Syria, semalam.
“Koresponden Press TV, Maya Nasser mati selepas terkena tembakan curi di Damsyik, ibu negara Syria,” lapor media berkenaan dalam berita pada laman webnya.

Hussein Mortada, warga Lubnan yang mengetuai biro Press TV dan sebuah lagi rangkaian media Iran, Al Alam, pula cedera selepas ditembak di belakang badannya oleh penembak curi, lapor kedua-dua rangkaian berkenaan.

Maya dan Hussein menjadi sasaran apabila mereka tiba di kawasan pengeboman berhampiran ibu pejabat tentera Syria di Dataran Ummayad, daerah yang dikawal rapi oleh tentera pro-Presiden Bashar al-Assad, di Damsyik.


Press TV bagaimanapun tidak menyebut kerakyatan Maya.

Rangkaian itu menyiarkan siaran dalam bahasa Inggeris sementara Al-Alam dalam bahasa Arab.

Kedua-dua media itu dibiayai oleh kerajaan Iran yang menyokong penuh Presiden Bashar dalam menghadapi sengketa bersenjata sejak 18 bulan lalu. - AFP

Trend bengkak dahi

JOHN, Marin dan Scorpion menanti dua jam untuk dahi mereka diisikan air bergaram.
JOHN, Marin dan Scorpion menanti dua jam
 untuk dahi mereka diisikan air bergaram.
LONDON: Satu siri baru televisyen mendedahkan trend aneh masyarakat Jepun untuk ‘membengkakkan dahi.’
ASAMI memasukkan jarum untuk mengalirkan air bergaram pada dahi Marin.
ASAMI memasukkan jarum untuk mengalirkan
air bergaram pada dahi Marin.
Penampilan luar biasa itu yang dihasilkan menerusi suntikan air bergaram (saline) pada dahi, kemudian menekan pada tengah kawasan yang membengkak dengan ibu jari, menjadi kegilaan terbaru dalam senario pengubasuaian tubuh yang dilakukan secara sulit di negara mata hari terbit itu.
Kesan dramatik hasil rawatan selama dua jam itu berakhir antara 16 hingga 24 jam apabila air bergaram itu diserap oleh tubuh dan dahi kembali kepada saiz normal.

Proses berkenaan didedahkan dalam rancangan National Geographic's Taboo yang menunjukkan tiga orang menjalani rawatan itu secara sulit di Tokyo.

Ia menunjukkan jarum besar yang bersambung dengan drip air bergaram dicucuk pada dahi John, Marin dan Scorpion.

Pengamal rawatan itu, Asami kedengaran berkata: “Anda perlu melakukannya secara betul bagi mengurangkan bahaya.”

Sensasinya terbukti tidak menyelesakan. Ketika jarum itu dicucuk pada dahinya, John berkata: “Ooh, jariu itu memasuki dahi saya.. Ooh!”

Apabila masuk sepenuhnya, kesan jaram itu dapat dilihat dengan jelas di bawah permukaan kulit dan air garam itu mula memasuki dahi secara perlahan-lahan.

John menyifatkan keadaan ketika itu sebagai ‘terasa mencucuk sedikit.’

Dia kemudian berkata, perasaannya menjadi begitu gelisah, yakin cecair berkenaan melilih pada permukaan mukanya dan bertanya: “Adakah sesuatu yang melilih dari kepala saya. Saya dapat merasakannya melilih.”

Kira-kira sejam selepas itu, dahi John dan dua rakannya kelihatan begitu bengkak dan mereka kelihatan sudah serasi dengan jarum pada dahi masing-masing.

“Saat ini, saya dapat merasakan relaks, seperti berdenyut-denyut dan juga seolah-olah meningkatkan tekanan secara perlahan-lahan, membuatkan saya merasakan hendak tidur,” kata John.

Selama dua jam rawatan itu, kira-kira 400 sentimer kubik air bergaram dimasukkan ke dahi mereka. Sebaik ia mencapai saiz yang diinginkan, Asami menarik keluar jarum berkenaan dan menekan ibu jarinya pada tengah bahagian yang bengkak itu.

Apabila ibu jari itu dialihkan, John kelihatan terkejut, disambut dengan tepukan daripada orang yang berada di dalam bilik berkenaan.

“Oh sungguh menakjubkan. Saya kelihatan begitu menarik,” katanya. - DM

Ibu pejabat tentera Syria kena serang

Kepulan asap dilihat dari jauh di bangunan ibu pejabat tentera Syria selepas digegarkan dua letupan bom 
di Damsyik. - Foto EPA/SANA]
Kepulan asap dilihat dari jauh di bangunan ibu pejabat tentera
 Syria selepas digegarkan dua letupan bom di Damsyik. - Foto EPA/SANA]
Letupan 2 bom gegar bangunan, wartawan Iran terbunuh

Damsyik: Bunyi tembakan kedengaran di sekitar ibu pejabat tentera Syria di tengah ibu negara itu semalam selepas letupan dua bom menggegarkan bangunan berkenaan pada awalnya.
Stesen berita Iran, Press TV, pula melaporkan tembakan di situ menyebabkan seorang wartawannya, Maya Nasser, maut selain mencederakan ketua bironya, Hussein Mortada.

Letupan berpunca daripada dua bom tetapi hanya rosakkan bangunan. Semua pemimpin dan jurucakap tentera selamat” - Omran al-Zohbi, Menteri Penerangan Syria
Dakwa semua pegawai tentera tak cedera

Tentera Syria berkata, semua pegawainya tidak cedera selepas letupan bom berlaku di ibu pejabat kakitangan tentera dekat Dataran Umayyad.
Ia juga menyatakan, tembak menembak berlaku sekitar kawasan berkenaan dan jalan raya berdekatan.

“Letupan oleh pengganas berpunca daripada dua bom tetapi hanya merosakkan bangunan. Semua pemimpin dan jurucakap tentera selamat,” kata Menteri Penerangan, Omran al-Zohbi kepada televisyen.
Letup bom kereta

Katanya, pemberontak yang mendapat bantuan asing melakukan keganasan baru dengan meletupkan bom kereta dan satu lagi bom dekat kawasan itu.
Pertubuhan hak asasi manusia dari Britain, Syrian Observatory for Human Rights, pula mendakwa pertempuran sengit berlaku menyebabkan kematian dicatat kedua belah pihak.

Serangan itu dianggap kemuncak pemberontakan 18 bulan terhadap Presiden Bashar al-Assad ketika isu konflik Syria mendapat tumpuan di sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Awal semalam, militia prokerajaan membunuh sekurang-kurangnya 16 orang awam di kediaman mangsa di kawasan Barzeh.

“Anggota militia menyerbu kediaman penduduk di Barzeh pada 5 pagi dan menembak mati mangsa, termasuk enam wanita dan tiga kanak-kanak,” kata pemimpin Observatory, Rami Abdel Rahman Barzeh adalah kawasan Sunnah Muslim yang dianggap bersimpati kepada pembangkang menentang rejim Bashar daripada masyarakat Alawiyah. Militia Alawiyah dituduh mela-kukan pembunuhan kejam dalam konflik.

Sementara itu, Emir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al-Thani menggesa supaya negara Arab menghantar tentera bagi menamatkan pertumpahan darah di Syria selepas usaha memulihkan keamanan oleh Majlis Keselamatan PBB menemui kegagalan.

Kerajaan Qatar dan Arab Saudi membekalkan senjata kepada pemberontak yang menentang Damsyik. - AFP

Madonna panggil Obama Muslim berkulit hitam

Madonna
LOS ANGELES - Bintang pop, Madonna mencetuskan kekeliruan dalam kalangan peminatnya apabila menggesa mereka mengundi Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tetapi pada masa yang sama memanggil pemimpin itu sebagai seorang Muslim berkulit hitam.
Rakaman ucapan Madonna, 54, disiarkan di internet kelmarin. Klip itu dilaporkan dirakam semasa satu konsert Madonna di Washington DC pada Isnin lalu.
"Memang menakjubkan dan luar biasa untuk mengetahui kita memiliki seorang pemimpin berketurunan Amerika-Afrika di White House.
"Jadi, lebih baik anda semua mengundi Obama. Untuk lebih baik atau lebih buruk, kita mempunyai seorang lelaki Muslim berkulit hitam di White House. Ini bermakna masih ada harapan dalam negara ini," kata Madonna dalam ucapannya.
Menurut satu kajian awal tahun ini, lebih satu daripada tiga pengundi parti Republikan yang berfahaman konservatif masih berpendapat Obama seorang Muslim, hampir empat tahun selepas kemenangannya.
Obama menjadi Presiden kulit hitam pertama AS selepas memenangi pilihan raya pada tahun 2008.
Pilihan raya Presiden pada 6 November depan bakal menyaksikan Obama dicabar calon parti Republikan, Mitt Romney. - AFP

Empat maut, 14 cedera letupan di Damsyik




KEPULAN asap tebal dilihat keluar dari ibu pejabat tentera Syria di Damsyik semalam.


DAMSYIK, Syria - Seramai empat orang maut dan 14 lagi cedera dalam dua letupan kuat selang 10 minit yang menggegarkan pusat bandar ini berhampiran ibu pejabat tentera darat dan udara semalam, lapor agensi berita rasmi negara ini, SANA.
Menteri Penerangan, Omran Zoubi memberitahu, letupan itu disebabkan oleh dua butir bom dengan salah satu daripadanya mungkin diletakkan di dalam ibu pejabat tentera.
Kedua-dua letupan yang berlaku selang seminit di antara satu sama lain sebelum pukul 7 pagi waktu tempatan berhampiran dataran Omayyad itu memecahkan tingkap bangunan berdekatan dan boleh didengari sejauh beberapa kilometer.
Kepulan asap tebal berwarna hitam menyelubungi pusat bandar ini dan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian ketika polis menutup kawasan itu kepada lalu lintas.
Damsyik telah digegarkan oleh satu siri bom kereta dan pengeboman tepi jalan sejak beberapa bulan lalu ketika pemberontakan terhadap rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad bermula pada Mac tahun lepas bagi menuntut perubahan politik.
Sejak itu, kumpulan pemberontak mula mengangkat senjata apabila konflik bertukar menjadi perang saudara yang didakwa aktivis sudah meragut kira-kira 30,000 nyawa. - AP