Pages

Thursday, September 13, 2012

Tahanan kesembilan Teluk Guantanamo meninggal dunia



WASHINGTON - Seorang tahanan penjara Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo, Cuba, meninggal dunia hujung minggu lalu, selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta tidak bertindak balas terhadap bantuan kecemasan yang diberikan.

Pegawai Pemerintah Selatan Amerika, Kapten Robert Durand berkata, banduan terbabit adalah tahanan kesembilan meninggal dunia sejak pusat itu dibuka pada 2002.

“Selepas cubaan menyelamatkan tahanan itu dilakukan, dia disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, identiti mangsa berasal dari Yaman itu tidak dapat didedahkan dan punca kematian masih disiasat kerana yakin kematiannya bukan bermotifkan jenayah.

Robert berkata,  dua kematian sebelum ini berpunca daripada faktor penyakit, manakala enam yang lain bertindak membunuh diri.

Sorok anak monyet dalam seluar sejauh 2932.16 km



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Sorok anak monyet dalam seluar sejauh 2932.16 km
Anak monyet malang diselamatkan.
NEW DELHI - Seorang penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandi, New Delhi, India ditahan selepas mendapati cuba menyeludup seekor monyet di dalam seluarnya.

Pegawai keselamatan berkata, lelaki itu ditahan sejurus tiba dari Bangkok sebelum menyambung penerbangan ke Dubai.

“Disebabkan takut ditahan oleh pegawai keselamatan, lelaki berkenaan membuang monyet itu ke dalam tong sampah bersebelahan kaunter pemeriksaan penumpang.

“Dia tetap ditahan kerana telah menyeludup monyet berkenaan dari Bangkok ke New Delhi sejauh 2932.16 kilometer ketika dalam penerbangan,” katanya.

Protes di Tebing Barat bertukar menjadi ganas



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Protes di Tebing Barat bertukar menjadi ganas
Pemandu teksi turut menyertai demonstrasi yang diadakan di Ramallah, Tebing Barat, kelmarin.
HEBRON - Tunjuk perasaan di Tebing Barat yang dilancarkan sejak minggu lalu sebagai bantahan terhadap kos sara hidup tinggi dilaporkan bertukar ganas, kelmarin.

Di Hebron, ratusan penunjuk perasaan bertindak di luar kawalan dengan memecahkan tingkap bangunan majlis perbandaran dan melakukan vandalisme serta turut menghalang lalu lintas.

Mereka berarak sambil melaungkan slogan menuntut Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad meletak jawatan susulan daripada keputusan beliau untuk meningkatkan kos sara hidup berikutan kenaikan harga barangan dunia.

Dalam satu kenyataan, Fayyad memaklumkan, masalah kewangan yang sedang dialami oleh Palestin berada di luar kuasanya walaupun ia turut memberi kesan terhadap kredibiliti Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Menurut beliau, beberapa negara pemberi dana masih gagal melunaskan janji mereka untuk memberi bantuan kewangan berjumlah AS$1.2 juta (RM3.7 juta) kepada Palestin.

"Masalah ini tidak boleh diselesaikan sekelip mata memandangkan dunia kini sedang berhadapan dengan fenomena kenaikan harga minyak dan makanan," jelasnya lagi.

Pengarah filem anti-Islam 'hilangkan diri'



ZAI
12 September 2012
Protes ke atash filem terbitan Sam Bacile di Kaherah, Mesir.
Protes ke atash filem terbitan Sam Bacile di Kaherah, Mesir.
PENGARAH filem berketurunan Israel Amerika, yang menetap di California, mula menyembunyikan diri selepas filem terbarunya, yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW, menerima protes daripada umat Islam seluruh dunia.

Bercakap kepada pemberita di sebuah lokasi yang tidak dinyatakan, penulis dan pengarah, Sam Bacile terus berdegil dengan mengatakan agama Islam seperti satu barah dan menyatakan filemnya itu ialah sebagai satu sentimen provokatif politik dengan tujuan mengutuk ajaran agama Islam.

Berikutan penerbitan filem itu, Duta Amerika ke Libya, Christopher Stevens terbunuh dalam protes berhubung filem keluaran negara itu, semalam.

“Filem ini ialah sebuah filem politik,” kata Bacile.

“Amerika mempunyai banyak duit dan banyak orang berperang di Iraq dan Afghanistan tetapi saya berperang dengan idea,” tambah Bacile.

Bacile yang merupakan seorang ejen hartanah percaya filemnya itu akan dapat menerangkan kepada rakan-rakan seagamanya tentang kekurangan agama Islam kepada mereka.

Menurut Bacile, 56, filem yang memakan masa selama dua jam itu, yang berjudul Innocence of Muslims, melibatkan kos pembikinan sebanyak A$5 juta (RM15.3 juta) serta memperolehi dana daripada 100 bangsa Yahudi.
Penerbitan sebanyak 12 karikatur Nabi Muhammad SAW dalam sebuah akhbar di Denmark pada 2005 turut mencetuskan protes di kebanyakan negara Islam.

Walaupun Bacile berasa kesal dengan insiden pembunuhan itu, dia menyalahkan pihak kedutaan di Libya yang tidak mengetatkan kawalan keselamatan sehingga perkara seperti itu boleh berlaku.

“Saya merasakan sistem keselamatan di sana tidak cukup ketat dan kita patut berbuat sesuatu untuk mengubahnya,” kata Bacile.

Menurut konsultan kepada filem itu, Steve Klein, Bacile berasa risau dengan keselamatan ahli keluarganya yang menetap di Mesir walaupun Bacile enggan mengakuinya.

Menurutnya lagi, Klein berjanji untuk membantu Bacile menerbitkan filem itu tetapi sudah memberi amaran kepadanya dengan berkata, “awak bakal menjadi Theo van Gogh yang seterusnya.”

Van Gogh merupakan seorang pengarah Belanda yang dibunuh ekstremis Islam pada 2004 selepas menerbitkan sebuah filem yang mencemarkan kesucian agama Islam.
“Saya memang sudah jangkakan perkara seperti ini akan berlaku,” kata Klein.

Filem itu dihasilkan dalam tiga bulan pada musim panas tahun lepas, melibatkan seramai 59 pelakon dan 45 krew produksi.

341 maut dalam 2 kebakaran


KARACHI: Sekurang-kurangnya 341 orang rentung apabila dua kilang terbakar di Pakistan, semalam, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap keselamatan industri di negara Asia Selatan itu.

Dalam kejadian pertama, api membakar pantas sebuah kilang pakaian di Karachi dan mengorbankan 289 orang.


Waris mangsa berkumpul di hospital dan rumah mayat sambil mengkritik dasar kerajaan. Saksi, Mohammad Asif, 20, berkata orang ramai menjerit meminta tolong dan bertumpu ke tingkap untuk menyelamatkan diri.

“Mereka melompat dari tingkat tiga,” katanya. Sementara itu, di timur Lahore, sebuah kilang kasut turut musnah terbakar dan mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang. Pengkritik berkata, kerajaan Pakistan yang korup dan tidak berkesan gagal mengatasi masalah negara itu ketika ia terus berdepan ancaman Taliban, kemiskinan, jenayah dan gangguan bekalan elektrik harian. Pekerja kilang pakaian, Mohammad Pervez, berkata pemilik kilang berkenaan lebih bimbangkan produknya berbanding kakitangan di situ.


“Jika tiada gril di tingkap, lebih ramai nyawa dapat diselamatkan.


“Kilang itu menyimpan terlalu banyak pakaian dan fabrik. Sesiapa yang mengadu akan dibuang kerja,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, seorang menteri wilayah mengarahkan pemeriksaan di semua kilang dan loji perindustrian di Sindh dalam tempoh 48 jam.

Karachi yang didiami 18 juta orang adalah ibu negeri wilayah Sindh. Siasatan awal kerajaan menunjukkan, laluan pintu kecemasan yang terhalang menyebabkan kematian, manakala peraturan perburuhan dan keselamatan tidak dipatuhi pihak majikan. - Reuters

Penerbit filem sembunyi




         
LOS ANGELES: Seorang penerbit filem Israel yang berpejabat di California bersembunyi semalam selepas filemnya yang menghina Nabi Muhammad (SAW) mencetuskan kemarahan masyarakat Islam di Mesir dan Libya.

Bercakap menerusi telefon dari lokasi yang tidak didedahkan, penulis dan pengarah, Sam Bacile terus angkuh dengan menyifatkan Islam sebagai ‘barah.’ Bacile, 56, berkata, dia menghasilkan filem itu sebagai kenyataan politik yang bersifat provokasi untuk mengutuk Islam. Bacile yang juga pemaju hartanah di California yang memperkenalkan dirinya sebagai Yahudi Israel berkata, dia percaya dengan mendedahkan ‘keburukan’ dalam Islam kepada dunia menerusi filem itu akan dapat membantu Israel.


“Islam ialah barah,” katanya berulang kali dalam wawancara dengan AFP.

Pembikinan filem ‘ Innocence of Muslims,’ sepanjang dua jam itu menelan belanja RM15 juta dan dibiayai oleh lebih 100 penderma Yahudi, kata Bacile.


Seorang jururunding filem berkenaan, Steve Klein berkata, Bacile bimbang mengenai nasib keluarganya di Mesir.


Menurut Klein, dia membantu Bacile menerbitkan filem berkenaan tetapi sebelum itu mengingatkannya, dia mungkin ditimpa nasib yang sama seperti Theo van Gogh.

Van Gogh ialah pengarah filem Belanda yang dibunuh pada 2004 kerana menerbitkan filem yang menghina Islam. - AFP

Pelampau Yahudi conteng masjid




         
IMREISH: Sebuah masjid di bandar di Tebing Barat ini diconteng oleh sekumpulan pelampau Yahudi dengan lambang jenayah ‘tanda harga.’

Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld berkata, kejadian berlaku awal pagi semalam.


Penyerang menconteng bahagian luar tembok masjid itu dengan perkataan ‘Price tag Migron’ (Tanda harga Migron).

Saksi berkata, penyerang juga cuba membakar sebuah kereta. Bagaimanapun pemiliknya terjaga dari tidur dan menjerit, menyebabkan mereka lari.


‘Tanda harga’ merujuk kepada jenayah balas dendam oleh pelampau Yahudi yang biasanya membabitkan perbuatan membakar dan merosakkan kereta, masjid serta pokok zaitun milik warga Palestin. - AFP

Moustafa bangga jadi ‘Popeye’

BISEP Moustafa berukuran hampir 79 sentimeter menyebabkan dia kelihatan seperti Popeye (gambar kecil).
BISEP Moustafa berukuran hampir 79 sentimeter menyebabkan dia kelihatan seperti Popeye (gambar kecil).
MODEL, Jessica Jerrard, diangkat Moustafa sempena pelancaran Buku Rekod Guinness di London, semalam.
MODEL, Jessica Jerrard, diangkat Moustafa sempena pelancaran Buku Rekod Guinness di London, semalam.
BOSTON: Seorang ahli bina badan kelahiran Mesir diiktiraf memiliki bisep terbesar di dunia dengan ukuran 78.7 sentimeter, lapor media semalam.
Moustafa Ismail, 24, menghabiskan masa selama 10 tahun untuk berlatih mengangkat berat dua kali sehari bagi membentuk otot di pangkal lengannya.
Disiplin itu membolehkan Moustafa memiliki bisep yang sama besarnya dengan ukur lilit pinggang lelaki dewasa.

Walaupun fizikalnya seperti watak kartun Popeya, Moustafa mengaku dia tidak gemar sayur bayam, sebaliknya dia memakan sehingga 1.5 kilogram ayam, 0.5 kilogram daging atau ikan dan empat cawan almond bersama sembilan liter air dan tiga liter bancuhan protein.


Disebabkan komited dengan aktiviti bina badan, Moustafa membawa semua ahli keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat (AS) bagi memudahkan dia menggunakan peralatan lebih baik.

Kata Moustafa, ramai mendakwa mereka terkenang kepada Popeye setiap kali melihatnya.

“Saya hanya ketawa dan berpendapat, lengan saya lebih besar daripada Popeye,” katanya.

Moustafa berkata, dia memulakan aktiviti bina badan 10 tahun lalu dalam usahanya mengekalkan kecergasan.

Selepas sering mengunjungi gimnasium, katanya, dia menerima banyak pujian mengenai bisepnya.

“Justeru, saya menumpukan aktiviti latihan kepada bisep dan membentuknya menjadi lebih besar,” katanya.

Lima tahun lalu Moustafa gagal dipilih menyertai pasukan bina badan Mesir.

Kegagalan itu mendorong dia berhijrah ke AS.

Walaupun mengakui mengambil bancuhan protein untuk membentuk badannya, Moustafa berkata, keupayaannya itu juga dipengaruhi genetik bapanya - seorang ahli gusti Mesir.

Setiap hari, Moustafa berlatih dari jam 5 pagi hingga 8 pagi dengan tumpuan diberikan kekuatan jantung serta pembentukan fizikal.

Jika tidak berada di gimnasium, Moustafa menguruskan dua stesen minyak miliknya di Massachusetts.

Kata Moustafa, latihan fizikal membolehkan dia fokus dalam setiap apa yang dilakukan.

“Pada masa sama, anda boleh melihat bagaimana fizikal anda berubah,” katanya.

Bisep Moustafa kini disahkan sebagai paling besar dan namanya muncul dalam Buku Rekod Dunia Guinness 2013 yang dilancarkan di London, semalam. - DM

Israel ganggu program nuklear Jordan




         
AMMAN: Raja Abdullah II semalam menuduh Israel mengganggu program nuklear Jordan.

“Bantahan keras terhadap program tenaga nuklear Jordan datang daripada Israel,” kata Abdullah dalam satu wawancara khas.


Jordan merancang program nuklear itu untuk memenuhi permintaan tenaganya serta menjana loji penyahgaraman.

‘Apabila kami memulakan program nuklear untuk tujuan keamanaan, kami meminta kerjasama beberapa negara untuk membantu. “Tetapi tidak lama selepas itu, kami menyedari Israel mengenakan tekanan terhadap negara berkenaan untuk mengganggu usaha itu. “Satu perwakilan Jordan akan melawat bakal rakan kongsi tetapi seminggu selepas itu, perwakilan Israel mengadakan lawatan sama, meminta pihak itu supaya tidak menyokong program nuklear kami,” kata Abdullah. - AFP

91 anggota pemisah Islam Thailand serah diri




         
BANGKOK: Sembilan puluh satu lelaki yang menghadapi tuduhan berkaitan jenayah pemberontakan, menyerah diri kepada pihak berkuasa dan meminta bantuan perundangan dan bantuan memulakan hidup baru, semalam.

Mereka menyerah diri kepada pihak berkuasa dan menemui Komander Tentera Keempat, Udomchai Thamsarorach di Pejabat Jawatankuasa Islam di Narathiwat.
Mereka terlibat di dalam pergerakan pemberontak di daerah Si Sakhon, Rueso dan Rangae, Narathiwat.

Mereka mungkin akan berdepan dengan dakwaan keselamatan dan jenayah, manakala yang lain kedua-duanya sekali.


Jurucakap Parti Prachatham, Muktar Zeekaji, membantu kumpulan lelaki itu menyerah diri.


Pemberontak itu merupakan anggota kumpulan yang mengenalkan diri mereka sebagai Badan Penyelarasan Wawasan Baru Melayu Patani

Seorang daripada pemberontak itu adalah Waeali Copter Waji atau dikenali sebagai Jeh Ali, suspek utama dalam kes rompakan bersenjata di Batalion Pembangunan ke-4 di daerah Choi Ai-rong, Narathiwat pada 4 Januari, 2004.

Mereka menyerahkan surat mengatakan mereka berhenti menjadi pemberontak secara rasmi kepada komander tentera itu.

Surat itu mengatakan, mereka percaya matlamat kumpulan itu terlalu tinggi dan strategi mereka tidak mencapai kejayaan.

Menurut surat itu, kumpulan pemberontak juga menukar pendirian apabila kerajaan menukar polisi keselamatan. - Bangkok Post

Duta AS, 3 pegawai mati




         
BENGHAZI: Duta Amerika Syarikat ke Libya, J Christopher Stevens dan tiga pegawai terbunuh dalam serangan ke atas pejabat konsul Amerika Syarikat (AS) di bandar raya di timur Libya ini, semalam.

Kejadian berpunca daripada filem yang menghina Nabi Muhammad (SAW), menurut Kementerian Dalam Negeri.


“Duta itu terbunuh bersama-sama tiga pegawai lain,” kata Timbalan Menteri kementerian itu, Fawzi Wanis al-Sharif.

Kematian Stevens disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Libya, Mustafa Abu Shagur menerusi Twitter.


Stevens memegang jawatan itu kurang empat bulan lalu.


Fawzi yang mengetuai Suruhanjaya Keselamatan Tertinggi di Benghazi mengesahkan Stevens berada di pejabat konsul berkenaan ketika ia diserang.

Satu sumber keselamatan lain di Benghazi berkata, Stevens mungkin mati disebabkan lemas kerana asap karbon monoksida. Benghazi yang terletak di timur Libya ialah pusat kebangkitan rakyat negara itu yang menumbangkan kerajaan Muammar Gaddafi pada 2011.


Duta itu mati selepas perusuh menyerang pejabat konsul berkenaan, beberapa jam selepas aktivis Islam menyerbu kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah, Mesir.

Menurut saksi, bangunan diplomatik itu diselongkar dan dijarah sebelum dibakar setelah ia rosak teruk akibat dibom.


Filem yang menjadi punca tunjuk perasaan anti-AS itu diterbitkan oleh seorang rakyat Amerika keturunan Israel yang menyifatkan Islam sebagai ‘barah.’ Filem itu merakamkan adegan seorang lelaki yang memegang watak Nabi Muhammad (SAW) tidur dengan beberapa wanita, lapor akhbar Wall Street Journal.


Dalam kenyataan awalnya, Setiausaha Negara Amerika Syarikat mengumumkan seorang pegawai Jabatan Negara terbunuh dalam serangan terhadap pejabat konsul itu dengan berkata: “Kami kecewa dengan kejadian itu.” Kongres Kebangsaan Umum Libya, pihak berkuasa tertinggi politik negara itu mengadakan mesyuarat selepas kejadian.


Ketua Turus Tentera, Yussef al-Mangush memendekkan lawatannya ke Turki berikutan peristiwa itu. - AFP

Makanan berlemak tingkat risiko barah payu dara




 
Washington: Wanita hamil perlu berhati-hati dengan diet kerana pengambilan banyak makanan berlemak meningkatkan risiko anak dan cucu perempuan mereka menghidap barah payu dara.

Penyelidik percaya diet tidak sihat boleh mengubah suai sel bayi belum lahir dan generasi seterusnya secara kekal. Ia menjelaskan, mengamalkan pemakanan sihat ketika hamil boleh mengurangkan paras barah payu dara, jenis barah paling biasa di United Kingdom yang menyerang satu dalam lapan wanita ketika hayat mereka.
Saintis di Universiti Georgetown di Washington DC memberi makan tikus bunting dengan diet normal atau makanan tinggi lemak.

Berisiko tinggi dapat barah

Bagi haiwan yang diberi diet berlemak, anak dan cucu betina yang diberi makan secara normal, didapati mempunyai risiko tinggi mendapat tumor barah payu dara.
Makanan berlemak dikaitkan dengan paras tinggi hormon estrogen. Sekumpulan tikus yang diberi makanan berlemak juga diberi estrogen tambahan, memberi kesan kepada tiga generasi seterusnya.
Ketika kajian itu belum disahkan pada manusia, ketua penyelidik, Dr Sonia de Assis, berkata: Apa yang dimakan oleh ibu atau terdedah ketika kehamilan boleh meningkatkan risiko anak perempuannya menghidap barah payu dara.
Agensi

Filem hina Nabi Muhammad terus dikecam



 
Tehran: Pelbagai pihak termasuk pemimpin agama dan kerajaan beberapa negara terus mengecam filem menghina Nabi Muhammad yang diterbitkan di California dan dipromosikan oleh aktivis Kristian Mesir yang anti-Islam di Amerika.

Petikan filem berkenaan yang dialih bahasa ke bahasa Arab disifatkan sebagai menjijikkan yang mencetuskan bantahan anti-Amerika Syarikat di Libya dan Mesir. Republik Islam Iran mengutuk keras penghinaan kepada kesucian Islam dan bersimpati dengan rasa tersinggung umat Islam. Sikap berdiam diri kerajaan Amerika ke atas tindakan menjijikkan itu adalah alasan ia terus berlaku.
Amerika bertanggungjawab menghentikan aliran membahayakan dalam menyebarkan penghinaan kepada kesucian Islam, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Ramin Mehmanparast, dalam satu kenyataan.

Tidak rujuk serangan konsulat

Beliau tidak merujuk kepada serangan ke atas konsulat Amerika di Mesir dan Libya dalam kenyataannya.

Duta Amerika Syarikat ke Libya, Chris Stevens, dan tiga pegawai negara itu maut apabila penunjuk perasaan menyerang konsulat Amerika di bandar raya Benghazi bagi membantah filem berkenaan.
Filem berkenaan dihasilkan rakyat Amerika-Israel yang menyifatkan Islam sebagai barah dan menggambarkan Nabi Muhammad tidur dengan ramai wanita, lapor akhbar Wall Street Journal.

DI KABUL, kerajaan Afghanistan turut mengutuk keras filem itu.
Republik Islam Afghanistan mengutuk keras tindakan menghina dan tidak berperikemanusiaan dan meluahkan rasa jijik dengan penghasilannya, kata kenyataan pejabat presiden Afghanistan.

DI MESIR, penunjuk perasaan memanjat tembok Kedutaan Amerika di Kaherah, dan mengoyak serta menggantikan bendera Amerika dengan sepanduk Islam.
AFP

Obama arah lindungi warga Amerika

Seorang anggota militan mengangkat tangan  ketika melihat bangunan Konsulat Amerika di Benghazi terbakar, semalam. - Foto REUTERS
Seorang anggota militan mengangkat tangan ketika melihat
 bangunan Konsulat Amerika di Benghazi terbakar, semalam. - Foto REUTERS

Washington: Presiden Barack Obama mengarahkan kawalan keselamatan dipertingkatkan untuk melindungi kakitangan diplomatik Amerika Syarikat di seluruh dunia berikutan pembunuhan empat warganya di Libya dalam tunjuk perasaan membantah filem menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Saya mengutuk keras serangan ke atas kemudahan diplomatik kami di Benghazi, kata Obama, menambah empat rakyatnya itu adalah contoh komitmen Amerika kepada kebebasan, keadilan dan hubungan dengan negara dan rakyat seluruh dunia.
Empat orang termasuk duta Amerika, Chris Stevens, maut dalam serangan ke atas konsulat lewat kelmarin yang dilancarkan penunjuk perasaan yang marah dengan filem terbitan Amerika itu.

Panjat tembok kedutaan

Serangan di Libya berlaku beberapa jam selepas penunjuk perasaan di Mesir memanjat tembok Kedutaan Amerika di Kaherah, menurunkan bendera dan menggantikan ia dengan sepanduk Islam.

Kejadian itu, yang pertama ke atas misi diplomatik Amerika di mana-mana negara, menonjolkan ketiadaan undang-undang di Mesir dan Libya selepas revolusi yang menyingkirkan pemerintah terdahulu.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, (EU) Catherine Ashton, semalam turut menyifatkan serangan itu keji dan menggesa Libya memastikan perlindungan kepada diplomat dan kakitangan asing.
Amat sedih

Saya amat sedih dengan serangan itu yang meragut empat nyawa rakyat Amerika termasuk dutanya, Christopher Stevens. Saya meminta Libya mengambil semua langkah perlu untuk melindungi nyawa semua diplomat dan kakitangan asing, katanya yang bekerja di negara itu, katanya.

Setiausaha Pertahanan Britain, Philip Hammond, turut mengecam serangan terbabit dan mendesak pihak berkuasa Libya membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Kami mengutuk keganasan ditonjolkan dan akan menyokong pihak berkuasa mencari siapa yang bertanggungjawab dan memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan dengan betul, katanya.
AFP

Peminat beli rumah asal Muhammad Ali




RUMAH Muhammad Ali dengan papan tanda untuk dijual dipacak di laman kediaman tersebut di Louisville, Kentucky pada 27 Ogos lalu - AP


LOUISVILLE, Kentucky - Seorang peminat setia Muhammad Ali telah membeli rumah yang menjadi tempat petinju legenda berkenaan membesar.
Seorang ejen hartanah Amerika Syarikat memberitahu agensi berita Associated Press (AP) bahawa peminat berkenaan, Jared Weiss membeli hartanah tersebut yang terletak di sini, dalam negeri Kentucky, awal minggu ini.
Ejen hartanah berkenaan, Dave Lambrechts berkata, Weiss membayar AS$70,000 (RM217,840) untuk rumah kecil berwarna putih itu.
"Lelaki ini peminat setia Ali, faktor ini mendorong dia membeli rumah berkenaan," kata Lambrechts.
Weiss merupakan seorang pelabur hartanah di bandar raya Las Vegas.
Ali yang pernah menjadi juara heavyweight dunia sebanyak tiga kali kekal sebagai antara manusia paling dikenali di dunia. - AP

Raih pendapatan RM66 sehari menarik rakit di Babelan




Seorang lelaki menarik tali untuk menggerakkan rakitnya menyeberangi sebatang sungai di Babelan, pinggir bandar raya Jakarta semalam. - REUTERS


JAKARTA - Berbekalkan keringat, sebuah rakit kayu dan tali yang diikat menyeberangi sebatang sungai di Babelan, dekat sini, beberapa penarik rakit mampu meraih pendapatan yang agak lumayan.
Mereka memberikan khidmat kepada orang ramai yang mahu menyeberangi sungai berkenaan dengan mengenakan bayaran semurah 30 sen untuk sehala.
Namun, seorang penarik rakit berkenaan yang memperkenalkan dirinya sebagai Ali memberitahu, dia mampu memperoleh pendapatan mencecah 200,000 rupiah (RM66) sehari hasil pekerjaan tersebut. - Reuters

Aktivis bantah penjualan daging anjing




TIGA aktivis persatuan People Love Pet mewarnakan wajah mereka semasa mengadakan tunjuk perasaan di Bangkok semalam. - REUTERS


BANGKOK - Sekumpulan aktivis di Thailand mewarnakan wajah mereka menyerupai wajah anjing dalam satu tunjuk perasaan di negara berkenaan semalam.
Aktivis-aktivis pertubuhan sosial People Love Pet itu mengadakan satu tunjuk perasaan di luar Kementerian Dalam Negeri di sini.
Protes tersebut bertujuan untuk menggesa pihak berkuasa Thai supaya menghentikan perdagangan daging anjing di negara berkenaan.
Akhbar Huffington Post melaporkan puluhan ribu ekor anjing di Thailand diseludup keluar untuk dijual kepada pengedar daging anjing di Vietnam pada harga sekitar AS$10 (RM31) seekor. - Agensi

Nenek mangsa buli dapat derma RM2.1 juta






TORONTO, Kanada - Seorang pengawas bas sekolah yang dibuli tanpa belas kasihan oleh empat pelajar sekolah menengah rendah di New York menerima lebih AS$700,000 (RM2.1 juta) dalam derma yang dikumpulkan oleh seorang lelaki Kanada.
Karen Klein (gambar), 68, menerima cek berkenaan pada satu majlis di sini kelmarin.
Seorang jurucakap untuk kempen dana tersebut berkata, lebih 30,000 orang dari 84 buah negara telah menyumbang bagi membantu meringankan beban Klein.
Jumlah derma terkumpul itu jauh melebihi jangkaan seorang lelaki Kanada, Max Sidorov yang memulakan inisiatif mengmpulkan dana AS$5,000 (RM15,560) supaya Klein boleh pergi bercuti untuk menenangkan fikirannya.
Simpati orang ramai terbit susulan insiden buli tersebut yang dirakam oleh seorang pelajar di dalam bas berkenaan dan disiarkan di YouTube pada Jun lalu.
Klip video itu menunjukkan Klein cuba untuk tidak menghiraukan cemuhan, cacian dan ugutan yang dilemparkan terhadapnya oleh keempat-empat pelajar itu. - AP

Pembikin filem anti-Islam sembunyikan diri




PENUNJUK perasaan mengoyakkan bendera AS di luar pejabat kedutaan AS di Mesir kelmarin sebagai tanda bantahan. - AFP


LOS ANGELES - Pembikin filem yang mencetuskan kemarahan umat Islam kerana menghasilkan filem menghina Nabi Muhammad SAW dikatakan sedang menyembunyikan diri.
Filem yang dihasilkan oleh penulis dan pengarah, Sam Bacile telah mengakibatkan tunjuk perasaan di kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Mesir dan Libya, serta membunuh seorang pegawai Jabatan Negara AS di sana.
Bacile yang bercakap melalui telefon dari lokasi tidak diketahui tetap membela diri dengan mengatakan Islam adalah satu barah dan mahu filemnya menjadi satu kenyataan politikal.
Lelaki berusia 56 tahun itu turut mendedahkan dirinya sebagai Yahudi Israel. Menurutnya, filemnya itu akan membantu Israel dengan mendedahkan keburukan Islam kepada dunia.
Petikan filem yang dialih bahasa ke dalam bahasa Arab telah disiarkan di laman video YouTube. Filem itu mencetuskan kemarahan kerana ia menghina Nabi Muhammad SAW sebagai seorang kaki perempuan dan membenarkan gangguan seksual ke atas kanak-kanak.
Bacile menyatakan kekesalan atas kematian kakitangan kedutaan itu, tetapi menyalahkan kawalan keselamatan premis terbabit. - AP

Mati akibat suntikan silikon pada kemaluan





NEWARK, New Jersey - Seorang wanita tidak mengaku salah menyebabkan kematian seorang lelaki selepas dia didakwa menyuntik silikon melebihi dos sewaktu menjalankan prosedur membesarkan alat kelamin.
Kasia Rivera, 35, (gambar) tidak mengaku cuai dan menyebabkan mangsa, Justin Street yang berusia 22 tahun meninggal dunia.
Street yang merupakan bapa kepada dua orang anak dikatakan berjumpa Rivera untuk membesarkan kemaluannya selepas membaca iklan mengenai perkhidmatan tersebut.
Rivera menjalankan prosedur itu di rumahnya. Dia yang didakwa tidak memiliki lesen atau latihan perubatan telah menyuntik silikon ke kemaluan Street. Lelaki tersebut meninggal dunia keesokan harinya. Ujian perubatan mendapati dia mati akibat embolisme silikon.
Pasukan penyiasat percaya Rivera ada melakukan prosedur sama sebelum ini, tetapi tiada saksi baharu yang tampil. Dia dibebaskan dengan ikat jamin AS$75,000 (RM230,294). Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun. - AP