Pages

Tuesday, March 6, 2012

Wartawan didakwa mengintip di Libya

Wartawan didakwa mengintip di Libya - Global - Sinar Harian:
Wartawan

TRIPOLI - Dua wartawan Britain yang bekerja untuk TV Media Iran ditahan bulan lalu di Libya kerana disyaki menjadi pengintip di negara itu.

Komander Briged Swehli, Faraj al-Swehli berkata, anggotanya menemui beberapa dokumen rasmi Libya, peralatan yang digunakan askar Israel dan gambar ketika wartawan-wartawan itu melakukan tembakan bersenjata api.

“Kami percaya mereka adalah pengintip,” kata Swehli di Tripoli yang yakin terlalu awal untuk mengetahui negara mana yang mengintip mereka sambil mengakui akan membuat siasatan.

Kedua-dua wartawan itu dikenali sebagai Nicholas Davies dan Gareth Montgomery-Johnson, ditahan pada 22 February di Misrata dan kini berada dalam tahanan pengkalan briged Swehli, Tripoli.

Hasil pemeriksaan terhadap dua wartawan itu, pihak berkuasa turut menjumpai satu paket plastik kelabu mengandungi pembalut yang tertera perkataan ‘Made in Israel’, dipercayai digunakan oleh tentera rejim berkenaan.


'via Blog this'

Militan Indonesia dipenjara 18 tahun

Militan Indonesia dipenjara 18 tahun - Global - Sinar Harian:
Pepi Fernando

JAKARTA - Mahkamah Indonesia semalam menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas seorang militan Islam berkaitan kesalahan menggerakkan kempen letupan bom dalam bungkusan, yang menyasarkan pemimpin-pemimpin Muslim yang moderat dan anggota polis.

Pepi Fernando didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Jakarta melanggar undang-undang antikeganasan.

Beberapa orang tercedera dalam serangan itu.

Mahkamah diberitahu bahawa kumpulan itu dibiaya oleh Fernando, yang didakwa merancang untuk membunuh Presiden Indonesia.

Hanya satu bungkusan bom yang meletup, menyebabkan tiga anggota polis tercedera.

Minggu lalu, mahkamah tertinggi mengekalkan hukuman penjara 15 tahun ke atas ulama radikal, Abu Bakar Ba'asyir.


'via Blog this'

Aktor Hollywood dakwa pegawai imigresen Indonesia minta rasuah

Aktor Hollywood dakwa pegawai imigresen Indonesia minta rasuah - Global - Sinar Harian:
JAKARTA - Seorang aktor Hollywood mendakwa pegawai imigresen Indonesia meminta rasuah ke atasnya ketika mahu memasuki negara itu untuk menjalankan penggambaran sebuah filem.

Jurucakap pejabat imigresen Indonesia, Maryoto Hadi memberitahu, setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa aduan atau berita mengenai kejadian berkenaan, malah akan menyiasat tuduhan itu dengan kadar segera.

Pelakon lelaki berdarah Kanada, Taylor Kitsch, mengeluarkan dakwaan itu dalam sebuah rancangaan Amerika Syarikat (AS) ‘Late Show’ yang dihoskan David Letterman dengan menggambarkan komunikasi yang teruk apabila pegawai itu tidak mahu membenarkannya memasuki Indonesia dan meminta i-Phonenya sebagai habuan atau rasuah.
'via Blog this'

Kempen hentikan pembunuhan di Syria dilancar

Kempen hentikan pembunuhan di Syria dilancar - Global - Sinar Harian: "KUALA LUMPUR - Pertubuhan bebas "Save the Children" melancarkan kempen untuk menghentikan pembunuhan di Syria dan memastikan
kanak-kanaknya mendapat bantuan kemanusiaan.

Ketua Eksekutifnya Jasmine Whitbread berkata pertubuhan tersebut sedang mendapatkan bantuan bagi kanak-kanak yang dibawa meninggalkan negara tersebut ke
negara jiran, tetapi ia masih belum berpeluang mendekati kanak-kanak di Syria sendiri.

"Kami memerlukan masyarakat dunia menyertai kami bagi menghentikan segera keganasan di Syria agar kami dapat memberikan bantuan kepada kanak-kanak di negara itu," katanya dalam satu kenyataan.

Mereka yang ingin menyertai kempen tersebut boleh menandatangani rayuan di http://bit.ly/syriacrisis atau melalui media sosial dengan menggunakan
#stopkilling. - Bernama"

'via Blog this'

Ustaz mengaku salah, minta maaf atas kematian murid

Ustaz mengaku salah, minta maaf atas kematian murid - Semasa - Sinar Harian:
Ustaz mengaku salah, minta maaf atas kematian murid

ALOR SETAR - "Saya mohon kemaafan dari semua pihak terlibat kerana tindakan saya menyusahkan banyak pihak Yang Arif," kata Hanif Mohamad Ali, 28, yang dituduh menyebabkan kematian seorang murid, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lalu.

Menurutnya, apa yang berlaku (tindakan tertuduh terhadap mangsa) adalah di luar jangkaannya dan memohon supaya mahkamah memberi peluang kepadanya untuk membaiki diri serta bertaubat.

“Saya merayu dikenakan hukuman selayaknya kerana masih mempunyai dua orang tua yang uzur dan pinjaman pengajian serta hutang peribadi perlu dibayar,” katanya dengan nada sebak ketika diberi peluang bercakap selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab, menerima keputusan salah tertuduh yang dibuat secara sukarela tanpa ada unsur paksaan dan menetapkan hari ini (Rabu) untuk menetapkan keputusan hukuman terhadap tertuduh.

Sebelum itu, peguam mewakili tertuduh, Azizul Shariman Mat Yusof, meminta mahkamah menimbang beberapa faktor untuk menjatuhkan hukuman setimpal terhadap warden sekolah itu kerana semasa kejadian baru berumur 27 tahun.

“Hanif anak kedua daripada empat beradik, belum berkahwin, mendapat pendidikan sijil Matrikulasi di Melaka dalam Sains Fizik. Bapanya, pesara pengawal keselamatan dan ibu suri rumah. Mula mengajar di Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis sejak 2008, dengan gaji RM800 sebulan itu, dia menanggung kedua ibu bapa serta adik yang masih bersekolah,” katanya.

Sementara itu, suasana semakin sayu apabila tertuduh yang memakai kemeja putih berjalur dilihat menundukkan wajah dan sesekali mengesat air mata dengan sapu tangan ketika peguam membacakan latar belakangnya.

Azizul berkata, mahkamah wajar memberi peluang kepada tertuduh kerana hukuman ini akan menjadi pengajaran terhadapnya pada masa akan datang serta mempunyai banyak masa untuk membaiki dirinya. Hanif didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bilik warden asrama putera, sekolah itu antara jam lebih kurang 6 petang hingga 12 malam pada 31 Mac 2011.

Dalam kejadian itu, Saiful koma tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 3 April 2011 selepas dikatakan dipukul oleh warden itu ketika menyiasat kes curi di asrama sekolah berkenaan. Dia dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda kerana menyebabkan kematian kepada mangsa.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan menyebabkan kematian terhadap murid berumur tujuh tahun tidak boleh dipandang ringan.

“Kesalahan ini amat serius dan melibatkan kepentingan awam. Tertuduh salah guna kuasa pendidik untuk melakukan tindakan disiplin dimaksudkan tertuduh dengan mengikat mangsa pada kerusi serta mencekik leher mangsa yang tidak berdaya mempertahankan diri.

“Tidak ada agama membenarkan perbuatan mendera. Tindakan tertuduh turut mencemarkan imej sekolah agama berkenaan dan status ustaz yang berpendidikan tinggi namun sanggup melanggar batas kemanusiaan,” katanya. Pendakwaan dikendalikan oleh empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Noorin Badaruddin, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mohthar.

Manakala, tertuduh diwakili lima peguam iaitu Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.


'via Blog this'

Penangan Pak Din, mengaku setaraf wali

Penangan Pak Din, mengaku setaraf wali - Nasional - Sinar Harian:
paki din

GOMBAK – Sebuah keluarga sanggup bergolok bergadai dan berhabis ratusan ribu ringgit dalam tempoh empat tahun untuk seorang lelaki berperwatakan alim yang mengaku sebagai wali.

Tidak cukup dengan itu, lelaki yang layak digelar warga emas itu turut melarikan anak gadis keluarga berkenaan dengan meyakinkan seluruh ahli keluarga itu bahawa mereka berkahwin secara ghaib dengan bersaksikan malaikat.

Bagaimanapun, ‘sihir’ lelaki itu berakhir selepas keluarga malang berkenaan tidak diiktiraf menjadi kaum kerabatnya sebaik keluarga itu tidak lagi mampu membiayai kehidupannya.

Mangsa, Mohd Zin Mamat, 62, berkata, dia mengenali lelaki yang berasal dari Kelantan itu menerusi seorang rakan selepas cuba berikhtiar mengubati sakit kaki anak gadisnya yang ketika itu baru berusia 20 tahun.

“Berusia sekitar 60 tahun, wajahnya berjambang dan berkopiah, dia selalu berulang–alik dari rumahnya di Pasir Mas untuk mengubati kaki anak perempuan kami, Siti Maizura.

“Namun, memikirkan anak kelima saya itu memerlukan rawatan susulan, kami membenarkan lelaki berkenaan tinggal di rumah ini tanpa sebarang syak wasangka,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu ditemui di rumahnya di Gombak.

Mohd Zin berkata, meskipun penyakit anaknya itu sudah sembuh, lelaki itu masih terus mahu menetap di rumahnya.

Mengenangkan keadaan lelaki berkenaan yang hidup susah, Mohd Zin sekeluarga sanggup membantu membayarkan sewa rumah.

“Lama-kelamaan kami jadi macam bodoh dan menuruti kemahuannya, dia sering mengatakan dirinya setaraf Nabi Isa dan berjanji akan membayar balik semua wang selepas dia mengeluarkan wang dari alam ghaib bernilai RM99 bilion,” katanya.

Mohd Zin berkata, lelaki itu turut mengakui bahawa mereka sekeluarga adalah kerabatnya dan pernah membawa mereka ke Pantai Cahaya Bulan bersama enam keluarga lain yang tidak dikenali, kononnya untuk memberikan pangkat dan nama gelaran sebagi persediaan tinggal bersama di sebuah istana yang bakal dibina di atas bukit di daerah Machang.

“Setiap bulan kami diperintah membayar sewa rumah dan pembiayaan sekolah serta makan dan minumnya, jika berada di Kelantan, dia akan menghubungi saya atau isteri untuk memasukkan wang dalam akaunnya. Jika kami tidak berbuat demikian, dia akan mengenakan dam’ atau denda yang mencecah RM2,000,” katanya.

Difahamkan, dalam tempoh itu juga, anak lelaki Mohd Zin membuat pinjaman sehingga RM100,000 hanya untuk membiayai kehidupan lelaki berkenaan.


Isteri dan anak perempuannya juga dikatakan sanggup menggadai barang kemas bernilai puluhan ribu ringgit semata-mata untuk memberikan wang kepada lelaki itu.

Anehnya Mohd Zin berkata, mereka sekeluarga tidak boleh marah kerana lelaki itu dikatakan pandai bermain dengan kata-kata dan sering memberitahu bahawa al-Quran itu hanya di bawah telapak kakinya, malah lelaki itu mengakui mampu mengampunkan dosa orang kerana boleh naik ke langit dan berunding dengan ALLAH.

“Sampai satu tahap, kami tidak boleh membiayai perbelanjaannya kerana sudah tidak mempunyai wang, lelaki itu memberitahu kami tidak layak menjadi kerabatnya dan perlu dibuang. Ketika itu barulah kami sedar tentang apa yang berlaku selama empat tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, sejak berkahwin, warga emas itu juga tanpa segan silu melakukan hubungan kelamin bersama anaknya diruang tamu rumah secara terbuka pada waktu malam.

“Sampai sekarang anak mereka tidak boleh dibintikan nama bapanya kerana perkahwinan dianggap tidak sah oleh Jabatan Pendaftaran Negara” katanya.

Salurkan maklumat kepada keluarga

Isteri Mohd Zin, Siti Habshah Yusof, 65, berkata, anak perempuan berjaya ditemui selepas hampir setahun menghilangkan diri dan dibawa pulang ke rumah, namun lari semula mengikut lelaki itu.

“Kami tidak tahu dia lari ke mana, ada sekali dia hubungi dan beritahu supaya kami sekeluarga tidak mencarinya sampai bila-bila kerana dia bahagia bersama suaminya.

“Ibu mana yang tidak sedih apabila anak sendiri berkata begitu, sudah berpuluh ustaz dipanggil untuk membantu memulihkan dan mencari Maizura, semuanya tidak berhasil, saya yakin anak saya sekarang hidup susah kerana sewaktu mula-mula berjumpa dengannya, keadaan amat lesu, pucat dan tidak bermaya,” katanya.

Katanya, dia sudah berikhtiar pergi mencari lelaki itu di rumahnya di Pasir Mas, namun isterinya memberitahu suaminya tidak pulang ke rumah sejak lebih setahun yang lalu.

“Tujuan saya menghebahkan kepada media bukan mahukan publisiti, tetapi berharap orang ramai yang mengetahui di mana anak saya berada dapat menyalurkan maklumat, kami juga berharap agar tidak ada lagi orang di luar sana terus terpedaya dengan lelaki ini,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Maizurah boleh menghubungi talian Mohd Zin 017-3257271 atau Mohd Affendi 019-6137014.

Sehingga kini, empat laporan polis telah dibuat di Ampang dan Gombak berhubung penipuan warga emas berkenaan.


'via Blog this'

Ibu rakam anak dirogol teman lelaki

Ibu rakam anak dirogol teman lelaki - Semasa - Sinar Harian: SHAH ALAM - Seorang janda bukan sahaja bertindak keji membiarkan anaknya diratah teman lelakinya, malah tambah jijik dia tergamak merakam aksi rogol itu menggunakan telefon bimbit untuk kepuasan nafsu.

Nasib kanak-kanak berusia 11 tahun itu mendapat pembelaan apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun terhadap wanita itu kerana bersubahat dengan teman lelakinya merogol mangsa, tiga tahun lalu.

Hakim Latifah Mohd Tahar turut menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap tertuduh Ma Kassim Sirat, 44.

Ma Kassim, pemandu teksi, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol mangsa di sebuah pangsapuri di Rawang pada 12 tengah malam, pertengahan Disember 2009 dan 30 Januari 2010, dan jam 10 malam, Mac 2010.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu didakwa bersubahat dengan teman lelakinya di tempat dan masa yang sama.

Pasangan kekasih itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam Roland Engan dan M Hafiz Zainol Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan salah anak guamnya yang telah insaf dan menyesal.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hemy Annerina Haja Mydin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana peranan ibu mangsa yang bersubahat dalam kes itu amat mendukacitakan.

"Perkara ini menyedihkan kerana ia tidak pernah didengar dalam mana-mana kes sebelum ini," katanya.

Beliau yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya R Kalaiyarasi berkata, mahkamah perlu mengambil kira kesan terhadap mangsa yang trauma sepanjang hayat akibat perbuatan kedua-dua tertuduh.

"Setiap hari, mangsa akan tertanya-tanya mengapa ibunya sendiri tidak menyelamatkannya (dari kejadian rogol). Hanya disebabkan oleh nafsu kedua-dua tertuduh, mangsa berdepan titik hitam dalam hidupnya. Kecederaan fizikal boleh diperbaiki, tetapi tidak emosi," katanya.

Berdasarkan keterangan mangsa, ibu memanggilnya masuk ke bilik tidur sebelum Ma Kassim merogolnya.

Pada kejadian kedua, ibu mengumpan mangsa dengan hadiah sempena hari lahir dan pada kejadian terakhir, wanita itu merakam perbuatan terkutuk lelaki itu.

'via Blog this'

Balai polis kena serang, polis minta penduduk bertenang

myMetro | Balai polis kena serang, polis minta penduduk bertenang: GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang meminta penduduk di sekitar Teluk Bahang bertenang dan memberi masa kepada pihak polis menyelesaikan siasatan kes serangan balai polis di situ oleh kira-kira 100 orang kampung yang kurang senang dengan sikap seorang anggota polis ketika menjalankan tugas membanteras mat rempit.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata anggota polis yang berpangkat lans koperal itu sudah ditukarkan ke unit lain dan siasatan terhadapnya masih dijalankan.

"Polis memandang serius perkara ini. Kita tidak berniat untuk menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan awam... sesiapa yang didapati bersalah pasti dikenakan tindakan undang-undang.

"Justeru, kita minta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil memberi kenyataan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata sehingga kini empat laporan polis dibuat berhubung kes itu.


Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam Sabtu, anggota polis itu didakwa membaling topi keledar ke arah sekumpulan mat rempit yang sedang menunggang motosikal sehingga menyebabkan lima daripada mereka terjatuh.

Dua daripada mereka yang parah dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Akibat insiden itu, kira-kira 100 penduduk di kampung terbabit berang dan membaling batu dan kayu ke arah balai polis kira-kira pukul 6.30 semalam.

Mereka bersurai empat jam kemudian setelah rundingan antara pegawai polis dan wakil penduduk berhasil. - BERNAMA


'via Blog this'

Ditahan sejurus perkosa dalam tandas

myMetro | Ditahan sejurus perkosa dalam tandas:

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan warga Pakistan yang kemaruk seks hilang pertimbangan apabila sanggup mencekik, memukul sebelum merogol seorang penuntut kolej dalam tandas sebuah pangsapuri di Batu 6 1/2, Jalan Puchong, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 22 tahun bersama keluarganya ke pangsapuri berkenaan selepas abangnya berhasrat membelinya.


Menurut sumber, beberapa minit kemudian, mangsa memberitahu kakak iparnya mahu ke tandas tanpa menyedari gerak-gerinya diperhatikan pengawal keselamatan terbabit.

“Pengawal yang gagal mengawal nafsunya meminta mangsa melakukan seks,” katanya.


Mangsa enggan dan dia yang ketakutan cuba melarikan diri namun gagal apabila tangannya dipegang sebelum dicekik menyebabkan mangsa sukar bernafas.


“Pengawal yang melihat mangsa mula lemah dan hampir pitam bertindak menarik seluar mangsa sebelum merogolnya,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa pelik hampir setengah jam anak gadisnya dalam tandas memanggil nama anaknya itu berulang kali apabila menyedari pintu tandas dikunci daripada dalam.


Sumber berkata, pengawal itu cuba melawan melepaskan diri dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu datang membantu dan menangkapnya sebelum dibawa ke Balai Polis Petaling untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa mengesahkan penahanan lelaki terbabit yang direman 14 hari.

'via Blog this'

Racun untuk langsing badan

myMetro | Racun untuk langsing badan: PUCHONG: Sebuah pusat kecantikan dikesan menjual produk pelangsingan badan mengandungi racun dibutramine hydrochloride yang boleh menyekat selera makan selain jika diambil berlebihan boleh menyebabkan strok dan serangan jantung.

Kegiatan pusat itu yang beroperasi di Bandar Puteri Puchong, di sini terbongkar selepas sepasukan anggota Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Selangor menyerbu premis berkenaan, sebelum merampas 120,000 kotak produk bernilai RM375,000 itu, kira-kira jam 11 pagi.


Produk yang dijual dengan harga RM300 sekotak itu mendapat sambutan kerana terbukti boleh menurunkan berat badan dalam masa yang singkat.

Timbalan Pengarah Farmasi (Kuatkuasa), Jaafar Lassa berkata, pihaknya menyerbu premis itu selepas mendapat aduan pengguna yang memaklumkan mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk hilang selera makan secara mendadak.


Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati produk pelangsingan yang dipasarkan itu memberi kesan sampingan kepada kesihatan termasuk risiko kematian.


“Kami mengambil sampel produk itu dan menghantarnya kepada penguat kuasa farmasi dan Jabatan Kimia untuk dianalisis dan hasilnya mendapati ia mengandungi racun dibutramine hydrochloride yang akan membunuh secara senyap sekiranya diambil berlebihan. Produk berkenaan dipercayai diimport dari China sebelum dibungkus di negara ini.

“Selain itu, kami juga membeli produk itu di pasaran dan mendapati ramuannya mengandungi bahan berbahaya yang tersenarai sebagai racun pembunuh utama,” katanya dalam sidang media selepas operasi, di sini semalam.


Beliau berkata, produk itu banyak dijual di pasaran terbuka yang menarik pengguna terutama wanita kerana mampu menghilangkan selera makan sekali gus menurunkan berat badan.

“Kami nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli produk pelangsingan kerana mempunyai kesan sampingan terhadap kesihatan sekiranya mengambil dalam dos berlebihan,” katanya.


Katanya, dalam serbuan itu, dua wanita berusia 20-an yang dipercayai pekerja pusat berkenaan turut ditahan untuk diambil keterangan.




'via Blog this'

Amah dakwa tak dibenar solat lari

myMetro | Amah dakwa tak dibenar solat lari:

SEREMBAN: Jabatan Imigresen Negeri Sembilan tidak dapat memastikan kesahihan dakwaan dua pembantu rumah warga asing bahawa mereka bukan saja tidak dibenar solat oleh majikan, malah dipaksa memasak daging babi dan memandikan anjing kerana dua wanita terbabit dikatakan sudah melarikan diri dari rumah majikan apabila pegawai jabatan itu tiba menyelamatkan mereka, semalam.

Sebelum itu, seorang pembantu rumah itu menghubungi Harian Metro meminta diselamatkan dari rumah majikan di Seremban 2, di sini.


Melalui perbualan singkat itu, wanita berkenaan mendakwa sudah tidak tahan kerana bukan saja tidak dibenar solat sejak bekerja di rumah itu tiga tahun lalu serta dipaksa memasak daging babi selain memandikan anjing dipelihara majikan.

Berikutan itu, wartawan Harian Metro memaklumkannya kepada Jabatan Imigresen negeri.


Bertindak atas aduan itu, beberapa anggota Jabatan Imigresen negeri diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa, Abdul Kadir Hussin pergi ke rumah berkenaan.


“Setiba di rumah, ia berkunci dan seorang jiran memberitahu pemilik rumah ke Balai Polis Seremban 2 kerana dua pembantu rumahnya melarikan diri.

“Siasatan mendapati mereka mempunyai permit kerja sah,” katanya.

'via Blog this'

Obama ikrar sekat Iran

myMetro | Obama ikrar sekat Iran: WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, barack Obama berkata, beliau akan menggunakan segala ‘kuasa Amerika’ untuk memaksa Iran menghentikan program nuklearnya.

Ia akan dilakukan walaupun penilaian oleh agensi perisikan Amerika menunjukkan tiada lencongan dalam aktiviti nuklear Republik Islam itu yang bertujuan untuk keamanan.


Akhbar Los Angeles Times melaporkan pada 24 Februari lalu, satu laporan sulit yang mewakili pendapat 16 agensi perisikan Amerika menunjukkan Teheran tidak berusaha untuk menghasilkan senjata nuklear.

Tambahan pula, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), dalam pemeriksaannya berulang kali, tidak menemui sebarang bukti lencongan program nuklear republik Islam berkenaan.


“Baik Amerika Syarikat mahupun Israel mendapati Iran masih belum memiliki senjata nuklear,” kata Obama ketika berucap pada sidang Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel Amerika (AIPAC) di Washington, semalam.


Beliau bagaimanapun berkata, Amerika Syarikat merancang menggunakan semua elemen kuasa Amerika untuk menekan Iran dan menghalangnya daripada memperoleh senjata nuklear memandangkan Iran yang memiliki senjata nuklear akan dapat menyaingi kepentingan keselamatan Israel secara menyeluruh.

Obama selanjutnya berkata, meskipun beliau memilih diplomatik sebagai cara untuk menyelesaikan isu itu, Iran perlu menyedari mengenai azam Amerika Syarikat sama seperti mereka perlu menyedari mengenai hak kedaulatan Israel untuk membuat keputusan sendiri bagi memastikan keperluan keselamatannya. - Agensi


'via Blog this'

Drebar bot maut, 7 lagi cedera akibat letupan bom

myMetro | Drebar bot maut, 7 lagi cedera akibat letupan bom: "PATTANI: Anggota pemisah disyaki meletupkan sebutir bom, semalam di sebuah pasar di wilayah selatan Thai membunuh orang awam dan mencederakan tujuh yang lain, kata polis.

Bahan letupan itu disembunyikan dalam pasu di pasar dekat sungai di daerah Takbai, di Narathiwat , di mana unit tentera mewujudkan pusat pemeriksaan keselamatan, kata Kolonel Nitinai Langyanai. Langyanai berkata, empat askar dan empat orang awam - dua lelaki dan dua wanita cedera dan telah dikejarkan ke hospital. Menurutnya, seorang daripada mangsa, pemandu bot berusia 37 tahun kemudian meninggal dunia. - AP"

'via Blog this'

Saintis ramal Tokyo bakal dilanda gempa besar

myMetro | Saintis ramal Tokyo bakal dilanda gempa besar: TOKYO: Setahun selepas satu daripada tragedi gempa bumi terbesar yang direkodkan dalam sejarah berlaku, saintis Jepun memberi amaran terbaru, Tokyo mungkin dilanda gempa yang membunuh ribuan orang dan menyebabkan kerosakan teruk.

Tokyo yang menjadi kediaman kepada 35 juta penduduk telah menyaksikan peningkatan tiga kali aktiviti tektonik sejak gempa bumi berukuran 9.0 magnitud di dasar laut yang mencetuskan ombak tsunami Mac tahun lalu.


Setiap hari secara purata hampir 1.5 gempa direkod di sekitar bandar raya itu, satu daripada yang paling padat penduduk di dunia. Bagaimanapun, penduduk Tokyo sudah biasa dengan gegaran ketika berada di katil atau meja hingga majoriti penduduk melaluinya tanpa sebarang aduan.

Bandar raya itu tidak diragukan ialah satu daripada tempat paling kalis gempa di dunia. Malah, gempa gergasi pada 11 Mac tahun lalu yang melanda 370 kilometer dari Tokyo menyebabkan kerosakan kecil. Pengangkutan awam menjadi kucar-kacir buat sementara waktu menyebabkan ribuan orang terperangkap, tetapi tiada bangunan runtuh dan tiada kecederaan dalam skala besar.


Institut Penyelidikan Gempa Bumi Universiti Tokyo berkata, bandar raya itu dibina di persimpangan empat plat tektonik mempunyai peluang 50 peratus dilanda gempa besar - berukuran lebih 7.0 magnitud dalam tempoh empat tahun akan datang.


“Kami perlu bersiap sedia dengan kejadian gempa yang akan berlaku,” kata Pengarah Eksekutif agensi Jepun milik kerajaan untuk Sains dan Teknologi Marin-Bumi, Asahiko Taira. - AFP


'via Blog this'

Paderi, 66, wanita tertua jadi ibu di Switzerland

myMetro | Paderi, 66, wanita tertua jadi ibu di Switzerland: "ZURICH: Seorang paderi berusia 66 tahun menjadi wanita tertua pernah diketahui melahirkan anak di Switzerland selepas dia melahirkan pasangan kembar.

“Seorang wanita berusia 66 tahun melahirkan anak kembar di sebuah klinik wanita,” kata jurucakap hospital di Graubuenden, timur Switzerland, kepada akhbar SonntagsBlick, semalam.


Rekod yang dicatatkan di Switzerland sebelum ini dipegang oleh seorang wanita yang melahirkan anak perempuan ketika berusia 64 tahun sementara laporan menunjukkan ibu paling tua ialah warga India yang melahirkan anak kembar ketika dia berumur 70 tahun. - Agensi"

'via Blog this'

Lelaki belasah remaja hadapi hukuman penjara

myMetro | Lelaki belasah remaja hadapi hukuman penjara: JOHNSON menumbuk muka mangsanya.
JOHNSON menumbuk muka mangsanya.
KEJADIAN serangan dirakam dan disiar menerusi YouTube.
KEJADIAN serangan dirakam dan disiar menerusi YouTube.

PALM BAY: Seorang bapa yang memukul seorang budak lelaki berusia 16 tahun yang disiarkan dalam YouTube, berdepan dengan hukuman penjara.

Gary Johnson dari Palm Bay, Florida, yang memukul mangsanya hingga gigi remaja berkenaan patah, pengsan sebaik keputusan perbicaraan dibacakan di mahkamah, mendapatinya bersalah atas tuduhan menyerang, mendera kanak-kanak dan bertindak tidak senonoh.


Johnson, 35, berdepan dengan hukuman penjara hingga 57 tahun tetapi dia dijangka oleh pendakwa raya dan peguamnya untuk menjalani hukuman itu hanya selama 10 tahun.

Video yang dimuatnaikkan ke YouTube Ogos lalu menunjukkkan Johnson memukul remaja itu di belakang rumahnya. Mangsa tidak melawan ketika dipukul.


Selepas mengadili gusti lengan yang anaknya (tidak kelihatan dalam video) tewas, Johnson bangun dan mencabar untuk bertanding dengan pesaing anaknya.


Peguam Johnson berkata, remaja itu mencetuskan kemarahannya selepas berlaga dada dengannya dan mengeluarkan kata-kata mencabar.

“Anda mencabarnya,” kata seorang pendakwa raya kepada remaja itu di mahkamah, semalam.


“Ya tuan,” jawabnya.

“Tindak balas anda ialah apabila anda ditolak, anda tidak berundur lagi? “Tidak,” jawab remaja berkenaan.


Dalam video itu, kedua-duanya berdiri bersemuka dengan masing-masing menggenggam tangan.


Selepas remaja itu menolak Johnson kali pertama, dia menolak balik remaja itu hingga dia terjatuh.


Johnson kemudian berulang kali menumbuk muka mangsa, kadangkala berhenti, seolah-olah untuk memaksanya melihatnya semula sebelum dia menumbuk lagi.


Remaja itu berkata, dia ingat dia jatuh ke tanah dan ditumbuk oleh Johnson sebelum pengsan selepas itu.


“Saya cedera di kening. Bibir saya pecah dan beberapa gigi saya patah,” katanya kepada mahkamah. - DM


'via Blog this'

Jual muka untuk bayar hutang

myMetro | Jual muka untuk bayar hutang:ED Moyse dengan logo Mashbo.
ED Moyse dengan logo Mashbo.
HARPER menjadi iklan bergerak untuk syarikat Ernst and Young.
HARPER menjadi iklan bergerak untuk syarikat Ernst and Young.

LONDON: Dua siswazah menjual muka mereka kepada pengiklan dalam usaha untuk menjelaskan hutang pengajian berjumlah hampir �50,000 (RM250,000).

Ed Moyse dan Ross Harper, kedua-duanya berusia 22 tahun, melukis logo dan slogan syarikat pada muka mereka selama sehari. Ini akan membolehkan sesiapa saja yang melintas mereka, dapat membaca iklan berkenaan.


Antara syarikat yang menggunakan khidmat itu menerusi buymyface.co.uk setakat ini ialah Ernst and Young, Pipers Crisp dan Mashbo.

Kedua-dua siswazah terbabit yang menuntut di Universiti Cambridge, sudah memulakan projek itu selama 155 hari daripada 366 hari yang mereka rancang dan setakat ini berjaya mengumpul lebih �31,000 (RM155,000).


Mulanya, satu iklan berharga �1 (RM5) sehari tetapi kini, kedua-duanya menerima begitu banyak permintaan dan harganya naik hingga �400 (RM2,000) dan masih terus meningkat.


Moyse dan Harper berkata: “Ia cara di luar kebiasaan untuk kami menjelaskan hutang pengajian. Kami melihat begitu ramai yang gagal dalam permohonan untuk mendapatkan pekerjaan dan akhirnya terpaksa menerima karier yang sebenarnya bukan mereka kehendaki.

“Apa yang kami lakukan ialah sedikit berbeza dan ia bermula dengan agak baik.” - TS


'via Blog this'

65 terkorban akibat ribut tropika Irina di Madagascar

Berita Harian Online | 65 terkorban akibat ribut tropika Irina di Madagascar: "ANTANANARIVO: Ribut Tropika Irina melanda Madagascar hari ini dan membunuh sekurang-kurangnya 65 orang, di mana kebanyakan mangsa adalah penduduk daerah Ifanadiana di tenggara pulau berkenaan, lapor pihak berkuasa kaji cuaca.

Menurut Biro Bencana Alam Kebangsaan (BNGRC), tiga orang awam turut dilaporkan hilang.
Terdahulu, biro berkenaan melaporkan hanya seorang penduduk tempatan terbunuh apabila ribut melanda Madagascar minggu lalu sebelum menghentam pantai Afrika Selatan dan Mozambique, sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang terkorban.
“Ribut yang dasyat itu menyebabkan pokok besar tumbang dan menghempap sebuah rumah, mengakibatkan seorang lelaki warga emas terkorban di wilayah selatan Gaza di Mozambique,” kata jurucakap BNGRC, Rita Almeida. - AFP"

'via Blog this'

100 tentera, 25 dipercayai anggota Al-Qaeda terbunuh di Yaman

Berita Harian Online | 100 tentera, 25 dipercayai anggota Al-Qaeda terbunuh di Yaman: "ADEN: Lebih 100 askar Yaman dan sekurang-kurangnya 25 orang dipercayai anggota Al-Qaeda terbunuh dalam serangan di selatan negara bergolak itu, kata pegawai tempatan, hari ini.

Serangan kelmarin adalah antara yang paling dasyat ke atas tentera Yaman dan serangan terkini ke atas pasukan keselamatan sejak Presiden Abdrabuh Mansur Hadi berikrar memerangi habis-habisan militan ketika berucap buat kali pertama bulan lalu.
Seorang pegawai perubatan di hospital tentera di bandar pelabuhan selatan Aden berkata, angka korban meningkat kepada sekurang-kurangnya 103 askar.
Beliau berkata, kebanyakan tentera yang terkorban akibat kecederaan yang dialami dalam serangan di pinggir bandar Zinjibar, wilayah Abyan, yang dikuasai militan dikaitkan dengan Al-Qaeda. - AFP"

'via Blog this'

Ratusan ditahan selepas kemenangan Putin

Berita Harian Online | Ratusan ditahan selepas kemenangan Putin: MOSCOW: Polis Russia menahan lebih 500 orang yang membantah kemenangan besar Vladimir Putin dalam pilihan raya presiden yang disifatkan mereka sebagai tidak sah dan pemerhati antarabangsa sebagai tidak adil.

Kuasa Barat pula memberi reaksi hambar kepada prospek Putin kembali ke Kremlin untuk penggal enam tahun daripada jawatan perdana menteri sekarang dan menggesa siasatan terhadap laporan berlakunya penipuan.
Polis menahan 250 orang di Moscow dan 300 di Saint Petersburg selepas menyuraikan perhimpunan yang mendakwa keputusan pilihan raya itu sudah diatur.
Kira-kira 20,000 penunjuk perasaan anti-Putin berkumpul di Dataran Pushkin di tengah Moscow melaungkan “Russia Yes! Putin No!”.

Kebanyakan perhimpunan itu berakhir dengan aman tetapi polis bertindak menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang enggan meninggalkan dataran itu.

Bantahan itu timbul selepas keputusan rasmi menunjukkan Putin menang hampir 64 peratus daripada undian untuk mengambil semula jawatan presiden yang dipegang beliau selama dua penggal dari 2000 hingga 2008 sebelum berkhidmat sebagai perdana menteri sejak empat tahun lalu.

Pencabar beliau juga dari Parti Komunis, Gennady Zyuganov, enggan mengiktiraf keputusan itu selepas hanya memenangi 17 peratus undi manakala jutawan Mikhail Prokhorov membuat kejutan apabila meraih tempat ketiga. - AFP

'via Blog this'

Gempa sederhana gegar Manila

Berita Harian Online | Gempa sederhana gegar Manila: "MANILA: Gempa bumi sederhana berukuran 5.2 magnitud menggegarkan wilayah tengah Filipina hari ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang cedera manakala penduduk sekitar bergegas meninggalkan rumah mereka, kata pegawai tempatan.

Menurut Institut Gempa Bumi dan Seismologi Filipina, gemba bumi itu berpusat kira-kira tiga kilometer di utara bandar Masbate, kepulauan Masbate.
Gempa yang disebabkan pergerakan bawah tanah itu turut dirasai di wilayah berdekatan.
Datuk Bandar Masbate City, Socrates Tuason, berkata tiada kerosakan teruk dilaporkan manakala bekalan elektrik serta talian komunikasi juga tidak terjejas di bandar yang didiami 9,000 penduduk itu. - AP"

'via Blog this'

Gempa 5.2 magnitud landa kepulauan Nicobar

Berita Harian Online | Gempa 5.2 magnitud landa kepulauan Nicobar: "KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter melanda kepulauan Nicobar di India pada jam 10.52 pagi tadi.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan, gempa itu berpusat di 224 kilometer tenggara Car Nicoba India dan 637km barat laut Langkawi, Kedah.
Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami, menruut kenyataan itu. - BERNAMA"

'via Blog this'

Buka purdah jika bersumpah

Berita Harian Online | Buka purdah jika bersumpah: New South Wales laksana peraturan baru

CANBERRA: Wanita Islam di negeri paling ramai penduduk di Australia, New South Wales akan diminta membuka penutup muka atau purdah jika membuat pengakuan bersumpah di bawah undang-undang terbaru yang sedang dirangka untuk dipinda pihak berkuasa New South Wales.
Peguam bagi New South Wales, Greg Smith dalam kenyataan semalam berkata, mulai 30 April, pegawai seperti jaksa pendamai dan peguam yang menjadi saksi perakuan bersumpah atau afidavit tanpa membuat pemeriksaan identiti akan didenda A$220 (RM710).
“Jika memakai penutup muka, seorang saksi pihak berkuasa perlu secara terhormat dan sopan meminta mereka untuk menunjukkan wajah mereka,” kata Smith.

Kerajaan semalam memulakan kempen untuk memastikan penduduk awam dan pihak berkuasa menyedari mengenai penalti baru sebelum ia akan dikuatkuasakan.

Undang-undang itu menyusul satu kes mahkamah tahun lalu apabila seorang wanita Sydney disabit kesalahan membuat dakwaan palsu menuduh polis trafik cuba membuka niqapnya berikutan dia hanya mendedahkan mata.

Seorang hakim meminda sabitan kesalahan itu kerana pegawai terbabit yang menjadi saksi dakwaan palsu itu tidak melihat wajah pendakwa, menyebabkan hakim tidak dapat memastikan defendan adalah pihak bertanggungjawab.
Undang-undang terbaru itu diluluskan pada 23 Disember oleh parlimen negeri. Ia diikuti undang-undang New South Wales yang diluluskan tahun lalu, memperkenalkan satu denda AU$5,500 (RM17,773) dan hukuman penjara 12 bulan terhadap sesiapa yang enggan membuka penutup muka apabila diminta berbuat demikian oleh polis.

Presiden Majlis Islam Persekutuan Australia, kebal Patel berkata ketika sebilangan penduduk Islam menyifatkan undang-undang itu sebagai satu reaksi spontan kepada kes mahkamah itu dan majoriti tidak membantahnya. – AP

'via Blog this'

Chavez akui penyakit barah berulang

Berita Harian Online | Chavez akui penyakit barah berulang: Hugo Chavez
Hugo Chavez
CARACAS: Presiden Venezuela, Hugo Chavez, semalam mengaku secara terbuka untuk kali pertama bahawa penyakit barah yang dihidapinya kembali menyerang dan berkata beliau berdepan pusingan baru rawatan radioterapi selepas ketumbuhan berpenyakit kedua dibuang di Cuba.

Berita itu bukan saja meletakkan Venezuela dalam keadaan tidak menentu tetapi memberi implikasi di seluruh rantau berkenaan dan jangkaan lelaki yang yang digambarkan sebagai tokoh berkuasa di Amerika Latin mungkin terpaksa berundur dari pentas umum walaupun untuk sementara.
Pemimpin berusia 57 tahun itu menjalani pembedahan di Havana minggu lalu untuk membuang apa yang digelar sebagai ‘perubahan berbahaya pada tubuh’, di bahagian pinggul, bahagian sama ketumbuhan pertama dibuang pada Jun 2011.
Selepas pembedahan awal dan kemoterapi, Chavez, musuh utama Amerika Syarikat, mengisytiharkan dirinya bebas daripada penyakit itu.

Chavez, yang berada di Cuba untuk rawatan sejak 24 Februari lalu, kelmarin berkata ketumbuhan baru itu sepanjang dua sentimeter, lebih kecil berbanding tumor pertama, yang digambarkan sebesar bola besbol.

Pegawai di Caracas tidak memberitahu jenis barah yang dihidapi Presiden itu tetapi menafikan ia merebak ke organ lain, seperti yang disyaki ramai pemerhati.

Pemimpin Venezuela itu meluahkan kelegaan berhubung ketiadaan perubahan tambahan di bahagian terjejas dan organ berhampiran, yang disifatkan sebagai petanda barah tidak menyerang seluruh tubuhnya. – AFP

'via Blog this'

Bekas PM Iceland hadapi dakwaan jenayah

Berita Harian Online | Bekas PM Iceland hadapi dakwaan jenayah: Geir Haarde
Geir Haarde
LONDON: Bekas Perdana Menteri Iceland, Geir Haarde, 61, berdepan perbicaraan semalam sebagai pemimpin dunia pertama didakwa secara jenayah berhubung krisis kewangan pada tahun 2008 yang menyebabkan dunia berada di ambang kejatuhan ekonomi.

Haarde menjadi simbol kegagalan ekonomi bagi penduduk Iceland yang kehilangan kerja dan rumah selepas bank komersial utama negara itu runtuh, menyebabkan mata wangnya menjunam dan inflasi memuncak.
Beliau dituduh cuai kerana gagal menghalang kejatuhan nilai kewangan yang masih mencengkam negara kecil itu.
Bekas Perdana Menteri itu menyangkal semua tuduhan, menyifatkan ia pendakwaan politik dan menegaskan dia akan didakwa apabila muncul di Landsdomur, mahkamah khas yang bersidang buat kali pertama dalam sejarah Iceland untuk membicarakannya.

Pakar perundangan berkata, beliau mempunyai peluang cerah untuk menang terhadap semua dakwaan kerana kekuatan pasukan peguamnya, mendapat simpati kerana bersendirian menanggung kesalahan dan kerana struktur mahkamah yang mempunyai kecacatan apabila membenarkan ahli parlimen, bukan peguam untuk mengenakan dakwaan.

Dalam krisis itu, ketika kadar pengangguran dan inflasi memuncak, ramai mencari sebab untuk dipersalahkan di atas kekacauan di negara dengan 330,000 penduduk itu. Arus bantahan penduduk memaksa Haarde meletak jawatan pada tahun 2009.

Sebahagian berpendapat masalah kewangan Iceland dikaitkan dengan krisis global dan kerajaan tidak dapat meramal atau menghalangnya. Namun laporan Parlimen yang meletakkan kesalahan di atas bahu Haarde dan kerajaannya, berkata pegawai kekurangan kuasa dan keberanian untuk menetapkan had munasabah kepada sistem kewangan.
Terpulang kepada ahli perundangan sama ada untuk mendakwa pegawai terbabit. Selepas perbahasan sengit, Haarde dirujuk kepada mahkamah khas.

“Keseluruhan senario ini menunjukkan apa yang kita perlu untuk mengubah sistem,” kata profesor undang-undang di Universiti Iceland, Robert Spano. – AP

'via Blog this'