Pages

Tuesday, August 12, 2014

Ayesha Farooq, wirawati Pakistan


  • Ayesha Farooq

JIKA perang meletus dan saya diarahkan bertugas, saya sanggup pergi berjuang. Saya ingin membuktikan pada diri sendiri bahawa saya boleh lakukan sesuatu untuk negara.” Ayesha Farooq

Di sebalik kelembutan dan keayuan wajah juruterbang wanita muda ini, tersemat semangat juang yang tinggi bagi mempertahankan keamanan negara tercinta.

Maka tidak hairanlah di usia 27 tahun, beliau berjaya mencipta sejarah menjadi juruterbang pejuang wanita pertama di Pakistan yang akan ditugaskan sebagai salah seorang pengemudi barisan hadapan dalam mempertahankan negara jika berdepan sebarang peperangan.

Ayesha Farooq yang dilahirkan pada 25 Ogos 1987 di Bahawalpur, Pakistan adalah salah seorang daripada 19 wanita yang menjadi juruterbang Tentera Udara Pakistan.

Beliau juga merupakan juruterbang wanita pertama yang lulus ujian terakhir untuk melayakkan diri menyertai peperangan.

Baginya, kepercayaan yang diberi kepadanya sekali gus membuktikan bahawa wanita juga mampu melakukan apa yang dilakukan oleh lelaki di dalam kokpit.

Sama seperti juruterbang lain, perbezaan jantina tidak sedikit pun membezakan latihan yang diterima di mana Ayesha tetap melakukan aktiviti lasak seperti latihan ketepatan mengebom di Pangkalan Mushaf di utara Pakistan.

Lumrahnya, wanita dalam masyarakat Pakistan tidak terfikir untuk melakukan perkara seperti menerbangkan pesawat, namun kini persepsi itu dilihat sudah berubah dan jumlah wanita menyertai angkatan tentera negara itu juga dilihat semakin bertambah sejak beberapa tahun lalu.

Selain itu, tekanan keluarga terhadap profesion yang biasanya dimonopoli golongan lelaki dipercayai menghalang wanita daripada menyertai industri penerbangan terutamanya bahagian pertempuran.

Ayesha menyifatkan, lokasi geografi dan keganasan menjadi faktor utama barisan pertahanan negara supaya sentiasa bersedia.

“Di Pakistan, adalah sangat penting untuk mempertahankan barisan hadapan atas faktor keganasan, jadi penting bagi semua orang untuk menjadi sebahagian daripada penyelamat negara,” katanya.

Jadi ikon kanak-kanak

Awal tahun lalu, beliau menamatkan latihan untuk menjadi juruterbang pejuang wanita pertama selepas menerbangkan jet pejuang F7-PG, sebuah jet Rusia MiG21 di samping 24 rakan seperjuangan lelaki dalam Skuadron 20.

Kejayaan itu bukan sahaja menjadikan beliau bertanggungjawab dalam menjaga sempadan Pakistan dan India, tetapi juga menjadikan Ayesha role model untuk jutaan kanak-kanak perempuan yang ingin mengikut jejak langkahnya.

“Setiap hari saya terima puluhan panggilan telefon daripada kanakkanak yang ingin jadi seperti saya.

Apa yang boleh saya lakukan adalah beri nasihat dan motivasi agar mereka dapat jadikannya sebagai pendorong semangat,” katanya.

Bagi Ayesha, apa yang dikecapinya hari ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Pada setiap ujian kekuatan dan ketahanan yang dilakukan, dia perlu menandingi golongan lelaki.

“Ketika ditugaskan ke 20 Air Superiority Squadron di pangkalan Rafiqui di Punjab iaitu kira-kira 161 kilometer dari sempadan India, kemudahan yang disediakan adalah terhad kepada pegawai wanita. Jadi, mereka terpaksa bina untuk saya,” katanya.

Selain daya fizikal yang tidak setanding lelaki, bentuk tubuhnya yang kecil memaksa beliau supaya lebih bekerja keras bagi memastikan beliau
mempunyai tenaga untuk mengendalikan jet yang berat.

Ayesha akui, walaupun tugas yang dilakukannya adalah tanggungjawab yang besar, namun dia gembira dengan kehidupan yang dilalui.

Layanan yang sama rata daripada rakan sepasukan juga menguatkan lagi semangatnya untuk terus terbang demi menjaga keamanan Pakistan.


Berdikari sejak kecil

Bapa Ayesha seorang doktor meninggal dunia ketika beliau berumur tiga tahun. Sejak itu, beliau membesar sebagai seorang yang berdikari dalam menempuh cabaran hidup di Bahawalpur.

Sejak kecil beliau biasa menjadi pelindung kepada adik perempuan dan ibunya serta menganggap dirinya sebagai tentera muda.

Ketika berusia 17 tahun, beliau menyertai sekolah penerbangan dan telah mengharungi beberapa tahun yang sukar. Ia juga menyaksikan lebih separuh daripada 40 rakan sekelasnya gagal.

Ogos tahun lalu, Ayesha berkahwin dengan sepupunya dalam sebuah majlis perkahwinan yang diatur oleh keluarganya sama seperti wanita lain.

Doktor gigi jalanan


  • Doktor gigi jalanan

BAGI penduduk di India yang kurang berkemampuan ke klinik gigi, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan dokor gigi jalanan di New Delhi.

Tanpa temu janji, kerusi mahal, elektrik dan peralatan canggih, penyedia perkhidmatan yang menggelar diri mereka sebagai doktor gigi jalanan ini melakukan prosedur merawat gigi menggunakan peralatan lama dan terhad.

Pesakit hanya perlu membayar 50 rupee (RM3) untuk mencabut gigi dan 150 rupee (RM8) untuk gigi baharu. Manakala, untuk set gigi palsu baharu bernilai 1,500 rupee (RM79) berserta jaminan selama setahun.

Bagi Surinder Singh, 67, dari Ludhiana di Punjab, beliau menjalankan perniagaan itu lebih 40 tahun setelah mempelajari teknik rawatan gigi daripada bapanya.

“Beberapa puluh tahun lalu, saya terima sehingga 15 pesakit sehari. Tetapi sekarang hanya tiga ke empat orang sahaja dalam seminggu dan memperoleh sekitar 2,500 rupee (RM131) sebulan,”katanya dipetik Mail Online

Bagaimanapun, pesakit perlu mengambil risiko kerana  peralatan digunakan tidak pernah disteril.

Kucing pencuri


  • Kucing pencuri

KUCING peliharaan John dan Sharon Bowler boleh dianggap kucing nakal kerana gemar mencuri pakaian jiran dengan harapan pemiliknya akan kagum dengan kemahirannya itu.

Sejak Ghostie dipelihara lebih setahun lalu, ia telah membawa pulang ratusan pakaian yang diambil dari ampaian jirannya.

Menurut John, setiap kali Ghostie pulang ke rumah ia pasti membawa pulang pakaian jiran hingga menyebabkan mereka malu.
“Ia pernah bawa balik cawan kopi. Dalam tempoh sejam Ghostie boleh bawa tujuh sarung kaki dan baju kanak-kanak,” katanya dipetik Mail Online

Menurutnya, setiap hari juga dia dan isteri terpaksa memulangkan pakaian yang dicuri untuk dipulangkan.

Arnab berbulu tebal


  • Arnab berbulu tebal

SIAPA sangka di sebalik bulu lembut yang besar dan tebal itu sebenarnya adalah seekor arnab daripada baka Angora Inggeris yang memiliki bulu sepanjang lebih 25 sentimeter (sm).
Justeru, bagi berkongsi keunikan arnab itu, ia kini dibawa ke seluruh Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada pertunjukan Persatuan Angora California Utara.

Pemiliknya, Betty Chu berkata, tugas menyediakan haiwan peliharaannya itu untuk menghadiri pertunjukan adalah sesuatu yang sukar selain memerlukan ketelitian yang tinggi.

“Saya menggunakan gunting untuk memotong bulunya supaya ia kelihatan sentiasa kemas dan bersih. Selain itu saya juga guna berus khas dan alat pengering rambut agar bulu Ida kelihatan lebih cantik,” katanya dipetik Daily Mail

Walaupun luaran Ida kelihatan besar dan berat kerana diselubungi bulu tebal, namun sebenarnya ia hanya seberat kira-kira 3 kilogram sahaja.

Menurut Chu, bulu Ida tumbuh kembali kira-kira 2.6 sm sebulan dan ketebalan bulu yang dimiliki arnab tersebut mungkin menjadikannya arnab dengan bulu paling panjang dan lembut di dunia.

Bergambar di depan perangkap buaya



SEORANG pengunjung lelaki memberikan isyarat bagus di depan sebuah perangkap buaya di Taman Negara Kakadu, Australia pada Ahad lalu.


CANBERRA - Pihak berkuasa Taman Negara Australia menyiarkan gambar seorang pengunjung memberikan isyarat bagus di depan sebuah perangkap buaya di Taman Negara Kakadu, Wilayah Utara dekat sini, lapor akhbar MailOnline semalam.
Gambar tersebut menunjukkan seorang lelaki yang memakai topi koboi.
Dalam satu kenyataan di blog Parks Australia, Pengurus Operasi Taman Negara, Anthony Contarino menyiarkan gambar yang dirakamkan oleh seorang pemandu arah. Jim Falls.
Contarino memberi amaran kepada para pengunjung supaya tidak melakukan tindakan bahaya seperti yang dilakukan lelaki tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3A8G0GqQT 
Hakcipta terpelihara 

Ahli perniagaan India minat warna merah, putih



SEVENRAJ bergambar di depan rumah dan keretanya yang dicat dengan warna merah dan putih.


BANGALORE, India - Seorang ahli perniagaan hartanah di bandar ini terlalu taksub dengan warna merah dan putih sehingga pejabat, kereta dan rumahnya dicat dengan warna tersebut.
Kasut dan pakaian ahli perniagaan itu, Sevenraj, 52, turut mempunyai warna merah dan putih.
Isterinya, Pushpa, 42, dan dua anak pasangan itu, Bharathraj, 17, serta Maneesha, 15, turut memakai pakaian yang mempunyai warna tersebut.
Sevenraj berkata, minatnya terhadap warna berkenaan bermula sejak dia muda lagi.
Menurutnya, dia memilih kedua-dua warna itu kerana dia mahu mewujudkan identitinya yang tersendiri.
Menurut Puspha: "Lapan belas tahun lalu apabila saya berkahwin, ia merupakan sesuatu yang baharu buat saya (minat suaminya dengan warna itu). Selepas itu, saya memahami kegilaan suami saya dan memberi sokongan kepadanya."
Sevenraj juga meminati nombor 7777.
Kereta ahli perniagaan dan blazer yang dipakainya mempunyai nombor itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3A8FitiZ6 
Hakcipta terpelihara 

Bunuh keluarga kerana hutang


Tunde Keri, 36, dan dua anak lelakinya Toni, lima, dan Rafael yang berusia 18 bulan ditemui mati di kediaman mereka di Val-de-Marne berhampiran Paris selepas ahli keluarga gagal menghubungi wanita itu. 
Pekerja binaan, Florin Sebastian Balan, 38, yang berpindah ke Perancis dari Romania bersama-sama keluarganya pada 2012, kemudian ditangkap dan dikatakan memberitahu polis, keluarganya diancam lintah darat. 

Mayat kanak-kanak berkenaan ditemui dengan leher mereka dikelar sementara Tunde yang hamil tujuh bulan luka di dada dan leher.Foto
BALAN bersama dua anak lelakinya.
Foto
TUNDE

Polis mula melancarkan siasatan selepas menerima maklumat daripada kakak dan abang ipar wanita itu di Romania.

Jurucakap polis Luc Poignant berkata: “Kerana Tunde hamil tujuh bulan, abang iparnya menyangka dia mungkin ke hospital. 

“Tetapi mereka semakin resah apabila tiada sesiapa menjawab telefon. 

Hasil siasatan polis menunjukkan Balan berhutang sehingga £30,000 (RM161,000) kepada lintah darat. 

Seorang ahli keluarga di Romania berkata, Balan ketagih judi. 

“Dia sentiasa meminjam wang dan akhirnya terpaksa meminjam dari kumpulan penjenayah. Dia pernah diberi amaran mereka akan menyeksa isteri dan keluarganya jika dia tidak menjelaskan hutang itu. 

“Jelas sekali Balan tidak boleh berfikir dengan waras. Mungkin dia bertindak untuk menyelamatkan keluarganya dari diseksa lebih teruk,” katanya. 

Ibu Tunde, Rozalia berkata, anaknya sudah berkahwin 16 tahun dan dia tidak pernah mengadu rumah tangga mereka bermasalah. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

Tufts, 5, kalah pertahan jawatan


Bagaimanapun, kanak-kanak berusia lima tahun itu langsung tidak kecewa.
Selepas membantu memungut wang untuk badan kebajikan tempatan dan mengisytiharkan aiskrim sebagai makana utama di bandar itu, Tufts berkata, sudah tiba masanya untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa.

“Ia memang menyeronokkan tetapi sudah tiba untuk menyerahkan jawatan itu kepada yang menang,” kata Tufts sehari selepas dia kalah dalam pilihan raya tahunan di Dorset.
Foto
TUFTS

Tufts menjadi datuk bandar di bandar kecil itu yang penduduknya berjumlah 28 orang memandangkan Dorset tidak mempunyai kerajaan tempatan rasmi.

Orang ramai boleh mengundi beberapa kali yang mereka kehendaki dengan bayaran AS$1 (RM3.20) bagi setiap undi.

Datuk bandar baru ialah Eric Mueller yang berusia 16 tahun. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

Ikan lumba-lumba kembar Siam mati terdampar


Seekor ikan lumba-lumba kembar Siam mati terdampar di pantai Izmir,Turki, baru-baru ini. - AGENSI
ISTANBUL 11 Ogos - Seorang guru sukan terkejut apabila dia menemukan seekor anak ikan lumba-lumba kembar Siam mati terdampar di pantai Izmir, di sini baru-baru ini.
Mail Online melaporkan, Tugrul Metin pada mulanya melihat kelibat haiwan tersebut di laut sebelum perlahan-lahan bergerak menuju ke pantai.
"Saya sangat terkejut dan tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Saya tidak pernah melihat ikan lumba-lumba kembar Siam sebelum ini," jelas Tugrul.
Anak ikan lumba-lumba yang mempunyai dua kepala dan satu ekor itu dipercayai berusia satu tahun serta memiliki ukuran panjang 97.5 sentimeter.
Tugrul kemudian segera menghubungi pihak polis sebelum mereka memindahkan haiwan tersebut ke makmal bagi tujuan uji kaji.
Menurut laporan awal, mata dan lubang pernafasan ikan lumba-lumba terbabit mengalami kecacatan.
Profesor dari Jabatan Biologi Marin Universiti Ak Deniz, Mehmet Gokoglu berkata, ikan lumba-lumba kembar begitu jarang ditemukan dan dia sangat gembira kerana berpeluang mengkajinya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140812/lu_09/Ikan-lumba-lumba-kembar-Siam-mati-terdampar#ixzz3A83ZOOGw
© Utusan Melayu (M) Bhd