Pages

Friday, August 16, 2013

Lelaki tertua di dunia dari Bolivia



CARMELO FLORES LAURA bergambar di samping cicitnya di luar rumahnya di perkampungan Frasquia, Bolivia.- AFP


FRASQUIA, Bolivia - Seorang lelaki berbangsa Aymara di sini mencatat rekod terbaharu sebagai orang paling tua di dunia pernah direkodkan dalam rekod pendaftaran Bolivia.
Lelaki itu, Carmelo Flores Laura didakwa berusia 123 tahun pada bulan lalu oleh rekod pendaftaran umum negara tersebut.
Laura tinggal di sebuah pondok beratapkan jerami dan berlantaikan tanah pada kedudukan 4,000 meter di sebuah kawasan desa di pergunungan terpencil dekat Tasik Titicaca.
Warga emas itu bertutur dalam bahasa Aymara dan tidak mempunyai gigi, namun, dia masih mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat, tidak memakai cermin mata serta mempunyai masalah pendengaran.
"Penglihatan saya sedikit kabur, Saya boleh melihat dengan baik sebelum ini tetapi saya nampak kamu datang," katanya kepada sekumpulan wartawan yang melawatnya.
Guinness World Records memberitahu, individu paling tua yang masih hidup direkodkan ialah Misao Okawa dari Jepun yang berusia 115 tahun.
Umur manusia paling tua direkodkan adalah 122 tahun dan 164 hari milik Jeanne Calment dari Perancis. Dia meninggal dunia pada tahun 1997.
"Saya sepatutnya berusia 100 tahun atau lebih," kata Carmelo.
Pengarah pendaftaran sivil Bolivia, Eugenio Condori menunjukkan sijil pendaftaran yang mencatatkan tarikh lahir Carmelo adalah pada 16 Julai 1890. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0816&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2c5eOfvno 
Hakcipta terpelihara 

Labu air gergasi seberat 54 kilogram



CUCU Vowles mengambil kesempatan bergambar bersama labu air gergasi yang berjaya dihasilkan Vowles dalam tempoh lima minggu.- Agensi


CARDIFF, Wales - Seorang pesara berjaya membesarkan beberapa biji sayur labu air sehingga bersaiz gergasi di kawasan kebun rumahnya di Llanharry, lapor sebuah akhbar semalam.
Pesara itu, Phil Vowles, 65, telah membesarkan sayur labu air gergasi tersebut sehingga mencecah berat 54 kilogram dalam tempoh hanya lima minggu.
Vowles menjelaskan, pembesaran sayur labu air itu dilakukan menggunakan teknik pendebungaan silang khas.
Dia juga terkejut dengan kepantasan sayur labu air tersebut membesar melalui teknik pendebungaan berkenaan.
Vowles dipercayai pernah memegang rekod untuk timun paling berat di dunia dengan catatan 8.34 kilogram.
"Sangat luar biasa untuk sayur itu membesar dengan cepat. Ia merupakan sayur labu paling besar saya pernah hasilkan.
"Saya terpaksa meminta bantuan anak saya untuk mengangkatnya," katanya.
Berasal dari Llanharry, South Wales, Vowles berharap labu airnya mampu mencecah berat 68 kilogram dan memperoleh satu lagi rekod dunia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0816&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2c5djIUo1 
Hakcipta terpelihara 

Main mahjung dalam air elak cuaca panas melampau


SERAMAI empat orang penyelam menyusun strategi ketika bermain mahjung di dalam sebuah kolam renang di Changsha, China.- Agensi


CHANGSHA, China - Keadaan cuaca panas yang melanda China baru-baru ini telah memaksa empat orang penyelam bertindak kreatif dengan bermain mahjung di dasar sebuah kolam renang untuk menyejukkan badan masing-masing, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Keempat-empat penyelam tersebut bertindak demikian ketika suhu panas mula mencecah 41 darjah Celsius pada minggu lalu.
"Bermain mahjung di dalam air hanya untuk bersuka ria. Alasan sebenarnya adalan untuk menyejukkan badan," kata salah seorang penyelam, Zhang Pin di bandar Xiangtan.
Menurutnya, pada kedalaman 5.5 meter, suhu berada pada serendah 24 darjah Celsius dan boleh menjadi lebih sejuk lagi.
Semua penyelam tersebut memakai pakaian renang dan kelengkapan pernafasan semasa menyelam. Mereka juga menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dan bermain mahjung.
Meja dan buah mahjung yang digunakan diperbuat daripada bahan-bahan berat bagi memastikannya tidak terapung. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0816&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2c5cGqXes 
Hakcipta terpelihara