Pages

Thursday, August 4, 2016

30 tahun tak mandi



DONNA bersama Hisee. - Mirror

Agensi
London: Seorang wanita tidak mandi selama 30 tahun kerana trauma akibat kejadian yang berlaku ketika dia baru berusia lima tahun.

Donna McMahon, 35, terlalu takut dengan air terutama yang dijirus ke atas kepalanya, sehingga menyebabkan dia tidak mandi langsung, malah cuma mencuci rambutnya sedikit demi sedikit dalam proses yang mengambil beberapa jam.

Bagaimanapun, dia akhirnya berjaya mengatasi ketakutannya selepas rawatan hipnoterapi selama kira-kira empat bulan.


“Buat kali pertama sejak sekian lama saya kini boleh mandi seperti orang normal dan tidak lagi mengelak kolam renang atau pantai. Anak saya juga mendapat manfaat daripada rawatan saya.

“Sebelum ini saya tidak dapat mengenal pasti punca ketakutan itu, namun pakar hipnotis, Robert Hisee, berjaya mencungkil kejadian yang berlaku ketika saya berusia lima tahun sebagai sebabnya.

“Ketika itu kami sekeluarga bercuti dan saya menaiki gelongsor di kolam renang dan ditolak kanak-kanak lain sebelum saya bersedia. Sepanjang turun gelongsor itu saya ketakutan dan panik kerana menyangka akan lemas jika ayah tidak sempat menyambut saya,” katanya.

Donna berkata, kejadian itu meninggalkan kesan mendalam, malah dia cuma berani membersihkan badan sikit-sikit dengan duduk di dalam air yang cuma sedalam beberapa inci.

Sementara itu, Hisee berkata, trauma Donna berpunca akibat ‘termakan’ dengan bayangan sendiri disebabkan panik ketika kejadian bermain gelongsor.

“Dia tidak lemas dalam kejadian itu, kerana ayahnya sempat menyambutnya. Namun dia terlalu membayangkan perkara buruk berlaku sehingga tidak mampu memisahkannya daripada realiti,” katanya.

Menurutnya, sebaik tamat sesi terapi, dia membawa Donna ke Sungai Mersey dan wanita itu, secara berperingkat-peringkat berjaya mengatasi ketakutannya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 7:55 AM

'Bas tergantung' mula diuji




PEMANDANGAN di dalam bas yang dikatakan boleh memuatkan 300 orang.

TEB diharap dapat atasi kesesakan jalan raya.

Agensi
Beijing: Selepas menanti sekian lama, impian yang dulunya dianggap tidak masuk akal, akhirnya hampir menjadi realiti apabila jurutera China buat kali pertama menguji ‘bas tergantung’ di bandar Qinhuangdao di wilayah Hubei, kelmarin.

China mula merancang menggunakan pengangkutan yang dinamakan ‘Transit Elevated Bus’ (TEB) sejak beberapa tahun lalu sebagai cara untuk mengatasi kesesakan jalan raya di bandar besar seluruh negara itu.

Minat terhadap projek itu kembali segar Mei lalu apabila model bas berkenaan dipamerkan di Ekspo Teknologi Tinggi Antarabangsa Beijing ke-19.


Setiap gerabak bas sepanjang 22 meter, 7.8 meter lebar dan 4.8 meter tinggi itu boleh memuatkan 300 penumpang dan melalui di atas kereta serta membolehkan trafik melalui di bawahnya.

Ujian yang dilakukan kelmarin bertujuan menilai sistem brek, perjalanan dan penggunaan tenaga, menurut tebctech, syarikat yang membantu mengeluarkan TEB. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 8:05 AM