Pages

Saturday, September 10, 2011

1,800 penyeluk saku, pencuri ditahan sepanjang Ramadan

MAKKAH: Jabatan Pasport bandar suci ini menahan lebih 1,800 orang yang disyaki menyeluk saku dan mencuri barangan milik jemaah ketika musim umrah sepanjang Ramadan lalu.
“Cap jari dan rakaman imbasan anak mata dapat mengurangkan jenayah kecurian yang berlaku terhadap jemaah ketika bulan puasa,” kata jurucakap jabatan itu, Mejar Mohammed Hussein. “Sistem biometrik membolehkan jabatan mengecop mereka yang mempunyai latar belakang jenayah dan menghalang mereka meninggal negara ini, walaupun suspek cuba mengubah identiti menerusi dokumen palsu,” katanya.

Mohammed berkata, kecanggihan teknologi khusus melalui imbasan wajah mengurangkan jenayah sejak beberapa tahun kebelakangan. - Agensi

Amah kerat kemaluan majikan

DUBAI: Seorang pembantu rumah warga Bangladesh yang dituduh memotong alat sulit majikannya dan membuangnya ke dalam tong sampah, menangis di mahkamah, semalam dan tuduhan itu.
Wanita berusia 26 tahun itu yang menangis sambuil menutup mukanya ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di sebuah mahkamah Dubai.

Pendakwa raya menuduh suspek menyebabkan 40 peratus kecacatan kekal terhadap majikannya yang berusia 77 tahun selepas dia memotong alat sulit lelaki itu dengan pisau pencukur ketika majikannya mengarahkan suspek mengurut kemaluannya itu. Ketika jurubahasa mahkamah menterjemahkan pertuduhan terhadapnya, suspek menangis. Dia menafikan melakukan perbuatan itu dan meminta supaya dihantar pulang ke negara asalnya. Bagaimanapun, ketika disoal, suspek mengaku dia mengambil pisau cukur dari almari berhampiran dan memotong alat sulit majikannya selepas lelaki itu menyuruh dia mengurutnya. “Dua hari sebelum saya ditahan, majikan merogol saya. Saya tidak dapat membela diri kerana dia mengancam untuk mengusir saya dari kediamannya. Keesokan harinya dia memperkosa saya sekali lagi. “Pada hari kejadian, dia meminta saya mengurut alat sulitnya. Saya nampak pisau cukur di atas almari. Saya terus mengambil pisau cukur itu tanpa pengetahuannya. Saya kemudian mengurut alat sulitnya sebentar. “Kemudian apabila mendapat peluang, saya mengerat alat sulitnya lalu ia jatuh ke lantai. Saya memungut dan membuangnya ke dalam tong sampah. Saya kemudian keluar dari biliknya dan bersembunyi di bilik lain,” katanya.

Sementara itu, anak lelaki mangsa, dalam keterangannya berkata, dia terkejut mendengar bapanya menjerit kesakitan. “Saya berlari keluar dari bilik dan melihat bapa duduk di kerusi dan bahagian bawah tubuhnya berlumuran darah. “Ketika saya tanya apa yang berlaku, dia berkata, pembantu rumah mengerat alat sulitnya. Saya kemudian menghalang suspek melarikan diri.

“Saya menghubungi polis dan bapa dibawa ke hospital dengan ambulans.” Laporan forensik polis Dubai menolak kemungkinan wanita itu menjadi mangsa serangan seksual sebelum kejadian berlaku. -Agensi

Lima hari makan cacing untuk hidup

TENNESSEE: Seorang lelaki yang terpisah daripada rakan ketika memburu tupai dalam hutan tebal di barat Tennessee berkata, dia terpaksa makan cacing dan minum air lumpur untuk terus hidup selama lima hari sebelum ditemui.
Lawrence, pegawai penjara berkata, dia gagal mencari rakannya setelah terpisah dengan mereka.
“Saya lebih terkejut apabila hanya bunyi tembakan senapang saya saja kedengaran,” katanya.

Pihak berkuasa melancarkan gerakan mencari paling lama pernah dilakukan di Taman Meeman Shelby yang seluas 13,000 hektar, sebelum menemui Lawrence, Ahad lalu. - AFP

Gadis mengaku pontianak

FLORIDA: Seorang gadis yang mengaku dirinya ‘pontianak’ dituduh menyerang seorang lelaki tua, menggigit muka dan lengannya sehingga mememerlukan jahitan.
Josephine Smith, 22 tahun, dikatakan memberitahu mangsanya yang berusia 69 tahun: “Aku pontianak, aku akan makan kamu.”
Milton Ellis terpaksa menerima jahitan pada lukanya setelah diserang di depan Restoran Hooter yang kosong di St. Petersburg, Florida.

Polis berkata, Elis yang menggunakan kereta roda bermotor, tidur ketika Josephine menyerangnya.


Ellis yang berdarah, dapat melarikan diri ke sebuah stesen minyak berdekatan dan menelefon polis.

Apabila polis tiba, mereka menemui Josephine yang hampir berbogel dan berlumuran darah, berdekata restoran itu.

Dia memberitahu pegawai polis, dia tidak tahu apa yang berlaku. Menurut polis, mereka bertemu di sebuah pusat beli-belah berhampiran restoran itu.

Josephine yang berasal dari Pensacola sedang menunggu saudaranya datang untuk menjemputnya, duduk bersama dengan Ellis di dalam restoran kosong itu.

Josephine dikatakan menyerang ketika Ellis tertidur.

Menurut maklumat Facebooknya, Josephine seorang pelajar “pembantu pergigian” di Insititut Fortis di Pansacola.

Ellis yang mepunyai tanda gigitan di lengan, dibawa ke hospital untuk rawatan.

Josephine ditahan dan dituduh menyerang bertubi-tubi orang tua. Kurang sebulan lalu, dia ditahan di Escambia County kerana memiliki dadah.

Dia ditahan di Penjara Pinellas County dan menunggu ikat jamin AS$50,000 (RM150,000). - DM

Amaran pemindahan banjir dikeluarkan


DERETAN rumah  di West Main Street di Bloomsburg, Pennsylvania yang dibawa arus deras.
DERETAN rumah di West Main Street di
Bloomsburg, Pennsylvania yang dibawa arus deras.


PHILADELPHIA: Hujan lebat kesan Taufan Irene menenggelamkan bahagian timur laut Amerika Syarikat, menyebabkan lima orang terbunuh dan 100,000 dipindahkan kerana banjir kilat.
Khidmat Kaji Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran banjir kilat di wilayah New York, New Jersey, Pennsylvania, Connecticut, Maryland dan Virginia.
Jalan raya di kawasan itu telah ditutup tetapi talian komuter masih beroperasi.


Menurut Rumah Putih, Presiden Barack Obama telah mengisytiharkan keadaan darurat di New York dan mengarahkan agensi persekutuan menyelaraskan bantuan bencana dalam usaha untuk “menyelamatkan mangsa dan melindungi harta benda serta kesihatan awam dan keselamatan.”




Menurut pegawai tempatan, kira-kira 100,000 orang di daerah Luzern di Pennsylvania ‘dikerah berpindah’ termasuk 20,000 orang di bandar Wilkes-Barre.


Stephen Bekenich, Pengarah Bencana Alam wilayah memberi amaran, mereka yang masih tinggal di kawasan banjir, mungkin tidak dapat diselamatkan. - AFP

Ki-moon sokong negara Palestin





aktivis-aktivis Palestin mengadakan tunjuk perasaan sambil membawa sepanduk di tebing barat bagi menyerahkan surat kepada Ki-moon di ramallah, kelmarin. Palestin kelmarin melancarkan kempen rasmi untuk menjadi anggota ke-194 pbb pada 20 september ini. – Agensi


CANBERRA 9 Sept. – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki- moon (gambar) hari ini berkata, beliau menyokong sepenuhnya penubuhan sebuah negara Palestin merdeka.
Kenyataan beliau itu dibuat sehari selepas pemimpin Palestin melancarkan kempen untuk menjadi negara anggota badan dunia itu yang ke-194.
“Penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat ‘telah lama tertangguh’ dan saya menyokong sepenuhnya usaha mereka untuk mendapatkan pengiktirafan ini daripada PBB,” kata Ki-moon kepada wartawan di Canberra.
Beliau bagaimanapun berkata, pengiktirafan sesebuah negara adalah sesuatu yang perlu diputuskan oleh negara anggota PBB.
“Pengiktirafan ini bukanlah sesuatu yang diputuskan oleh Setiausaha Agung. Saya akan serahkannya kepada negara anggota untuk memutuskan sama ada mahu mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara atau tidak,” ujar beliau.
Ki-moon yang kini berada di Australia sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Pasifik, termasuk ke New Zealand, kepulauan Solomon dan Kirabati, turut menggesa supaya ‘rundingan bermakna’ diadakan untuk menyelesaikan isu ini.
Para pegawai dan aktivis Palestin semalam mengumumkan kempen yang diberi nama ‘Kempen Kebangsaan bagi Palestin: Negara 194’ sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan sebuah negara pada 20 September ini, di mana Presiden Mahmoud Abbas dijangka menyerahkan permohonan rasmi kepada PBB untuk diterima sebagai negara anggota.
Namun Washington telah pun mengesahkan akan menghalang sebarang usaha Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah negara di PBB. – AFP























Suami isteri maut kereta bertembung bas




KEADAAN kereta yang dipandu mangsa remuk selepas kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer 47 Jalan Johor Bahru - Mersing, Kota Tinggi, semalam.


KOTA TINGGI 9 Sept. - Sepasang suami isteri maut apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah bas yang dinaiki sekumpulan penuntut Politeknik Johor Bahru di Kilometer 47 Jalan Johor Bahru-Mersing, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, mangsa, Abu Saribi, 62, dan isterinya, Zaharah Giser, 57, dalam perjalanan dari Felda Lok Heng Barat ke rumah anak mereka di Larkin Perdana, Johor Bahru difahamkan untuk mengambil kad pengenalan Abu yang tertinggal.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Suhaimy Hashim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandu Abu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
"Kereta itu lalu bertembung dengan bas tersebut dan mengakibatkan pasangan suami isteri itu tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu bas dan 30 penumpangnya tidak cedera," katanya.

Ugut tembak tiga anak






POLIS membawa keluar seorang penoreh getah selepas mengamuk dan mengugut untuk membunuh anak-anaknya di Kampung Teluk Wang Dalam dekat Sungai Petani, Kedah, kelmarin. Gambar kanan, polis memeriksa peluru dan senapang patah yang dirampas dalam kejadian itu.


SUNGAI PETANI 9 Sept. – Berang setelah gagal memujuk bekas isterinya untuk berkahwin dengannya semula, seorang penoreh getah mengamuk dan mengugut untuk menembak tiga anak mereka dengan senapang patah, semalam.
Dalam kejadian mencemaskan pukul 3 petang di rumah suspek di Kampung Teluk Wang Dalam, Sungai Pasir, dekat sini, polis terpaksa memanggil bekas isterinya untuk memujuk lelaki berusia 37 tahun itu.
Bagaimanapun kanak-kanak berusia lima hingga 10 tahun itu berjaya diselamatkan oleh bapa suspek yang membawa keluar cucu-cucunya selepas dua jam dikurung di rumah tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, polis yang menerima maklumat bergegas ke rumah itu pada pukul 5.30 petang dan mula mengepung suspek yang mengurung diri di dalam sebuah bilik.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan untuk memujuk lelaki tersebut untuk menyerah diri tetapi gagal sehingga polis terpaksa membawa bekas isterinya dari Kangar, Perlis.
“Akhirnya, lelaki itu keluar dari rumah terbabit selepas dipanggil oleh bekas isterinya berusia 30-an pada pukul 9.45 malam.
“Lelaki terbabit kemudian ditahan untuk siasatan. Kita juga mengambil keterangan bapa suspek berusia 65 tahun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam tadi.
Menurut beliau, polis turut merampas selaras senapang patah dan sejumlah peluru penabur daripada suspek.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Penalti Lebih Berat yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan.
Difahamkan, suspek yang juga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) telah bercerai dengan isterinya setahun lalu dan telah berusaha merujuk semula dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi ditolak wanita itu.

Doktor mangsa seks, dadah






SURESH Surendranath Nair (tiga dari kiri) dikawal oleh anggota polis ketika dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berhubung kematian dua teman sosial di kediamannya di Sydney, Australia. – The Daily Telegraph


Sebagai seorang pakar bedah saraf, Suresh Surendranath Nair memiliki segala-galanya. Hidup di bandar besar Sydney, Australia, lelaki kelahiran Malaysia itu mempunyai pendapatan yang cukup lumayan dan tinggal di apartmen mewah bernilai A$1.7 juta (RM5.37 juta).
Namun gara-gara ketagihan dadah dan seks, kehidupan lelaki berusia 43 tahun itu kini musnah. Karier hebat yang dibinanya sejak bertahun-tahun juga hanya menjadi memori silamnya. Dia akhirnya terpaksa menerima padah apabila disumbatkan di penjara selama tujuh tahun 10 bulan.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Daerah New South Wales selepas Nair mengaku bersalah berhubung kematian dua teman sosial di kediaman mewahnya itu setelah dibekalkan kokain berlebihan semasa melakukan hubungan seks.
Mangsa pertamanya, Suellen Domingues-Zaupa, wanita Brazil berumur 22 tahun manakala mangsa kedua, Victoria McIntyre berusia 23 tahun ketika kejadian.
Walaupun hukuman itu boleh dianggap ‘ringan’, ia dijatuhkan selepas pihak pendakwaan mengemukakan tawaran pengakuan bersalah kepada lelaki berkenaan. Menyedari kesilapannya harus dinoktahkan, Nair menerima tawaran itu lalu mengaku bersalah menyebabkan kematian Domingues-Zaupa di kediamannya pada November 2009.
Dia juga mengaku bersalah membekalkan kokain kepada McIntyre, yang meninggal dunia di apartmen sama pada Februari 2009.
Selain itu, Nair mengaku bersalah membekalkan kokain pada Januari 2010, apabila didapati melanggar syarat ikat jamin selepas ditemui bersama dua pekerja seks dan turut mengambil kokain.
Hakim Robert Toner menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Nair yang telah meringkuk di penjara sejak ditangkap pada Januari 2010. Tarikh paling awal Nair layak mendapat parol adalah pada April 2015.
Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Toner menegaskan bahawa lelaki yang tinggal di Australia sejak berusia 11 tahun itu telah ‘didorong oleh kepentingan hawa nafsu’ selain gagal mendapatkan perkhidmatan kecemasan sewaktu wanita-wanita itu sedang nazak di hadapannya.
Hakim Toner menjelaskan, Nair terlalu cuai kerana tidak memanggil ambulans sewaktu Domingues-Zaupa mengalami kekejangan akibat daripada penggunaan kokain sewaktu melakukan hubungan seks.
Menurut beliau, Nair yang turut mengambil dadah dalam jumlah yang besar ketika itu menyebabkan dia tidak dapat membantu wanita berkenaan.
Suellen Domingues-Zaupa


‘‘Tingkah laku Nair yang berulang-ulang bukan hanya disebabkan oleh penagihan dadah. Sebaliknya didorong oleh ‘pentingkan diri sendiri dan hanya untuk memuaskan nafsunya sendiri’,’’ kata Hakim Toner.
Di samping itu, Nair telah mengetepikan rasa tanggungjawabnya pada masa itu biarpun dalam kehidupan profesionalnya, ‘dia telah melakukan banyak kebaikan’, ujar hakim tersebut lagi.
Nair dikatakan kerap membelanjakan wangnya untuk menyertai ‘pakej parti’ anjuran agensi-agensi tertentu yang turut membekalkan kokain dan pekerja seks sehingga lima orang dalam satu malam.
Semasa pendengaran kesnya pada bulan lalu, Nair memberitahu, dia menyedari ketagihan dadah dan seks yang dialaminya adalah di luar kawalannya sewaktu kematian teman sosial yang pertama.
‘‘Saya telah melakukan satu kesilapan besar dan segalanya semakin menjadi di luar kawalan. Sebahagian daripada diri saya menyedari perkara tersebut telah menjadi di luar kawalan tetapi sebahagian lagi daripada diri saya memilih untuk tidak mempedulikan pemikiran waras saya.
‘‘Jika saya menguruskan perkara ini dengan cara yang berbeza dan berlaku jujur dengan diri saya, saya dapat rasakan bahawa tiada apa-apa yang akan berlaku kepada Suellen,’’ katanya.
Lembaga perubatan negeri mengenal pasti masalah penggunaan kokain oleh Nair sejak 2004 dan menggenakan beberapa syarat terhadap pendaftaran perubatannya, termasuk ujian air kencing yang terpaksa dilalui sebanyak tiga kali seminggu.
Nair kemudiannya telah digantung perkhidmatan oleh lembaga perubatan terbabit setelah dia membuat pengakuan melakukan jenayah tersebut dan dia kini sedang menunggu pendaftaran semula.

Minal aidin walfaidzin hanya di Indonesia




BEBERAPA Pegawai Negeri Sipil (PNS) melakukan aktiviti 'halal bihalal' pada pagi Aidilfitri di halaman Pemerintah Kota Tangerang di Banten. Amalan ini dilakukan di seluruh Indonesia pada hari raya.


PALU - Ketua Majlis Ulama Indonesia Kota Palu, Sulawesi Tengah, KH Zainal Abidin berkata, tradisi yang biasa dilakukan oleh penduduk negara itu pada hari raya Aidilfitri iaitu 'halal bihalal' dan 'minal aidin walfaidzin' tidak dikenali di dunia lain, termasuk di negara-negara Arab.
Ini kerana, katanya, tradisi itu hanya diamalkan oleh penduduk Muslim di Indonesia.
"Tradisi 'halal bihalal' tidak dikenali di dunia lain termasuk di Arab Saudi. Hanya orang Indonesia yang menemukan dan mentradisikan kegiatan itu," kata Zainal Abidin dalam ceramahnya pada acara malam 'halal bihalal' di lapangan Watulemo, Palu, Sulawesi Tengah, baru-baru ini.
Zainal Abidin mengatakan, orang Arab sendiri tidak tahu makna perkataan 'halal bihalal' kerana perkataan tersebut tidak ada dalam struktur bahasa Arab.
Meskipun demikian, katanya, tradisi 'halal bihalal' banyak manfaatnya kerana ia menjadi salah satu jalan menuju penyelesaian masalah.
"Oleh sebab itu, kalau ada masalah, ia boleh diselesaikan dengan cara 'halal bihalal'," kata Ketua Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri (STAIN) Datokarama Palu itu.
Zainal juga menjelaskan, kalimat 'minal aidin walfaidzin' hanya dipopularkan di Indonesia.
Menurutnya, meskipun kalimat ini diambil daripada bahasa Arab, namun orang Arab sendiri tidak mengerti maksud 'minal aidin walfaidzin' tersebut.
Kalimat ini juga kata Zainal, tidak dikenali dalam struktur bahasa Arab. - ANTARA News

Enggan pakai seluar selepas bersunat



YOGYAKARTA - Pelik tapi benar. Itulah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan kejadian yang dialami anak bongsu kepada pasangan suami isteri Puwarji, 40, dan Intarini, 37, yang menetap di Mangkuyudan, Yogyakarta, Jawa Tengah apabila mengetahui anak bongsu mereka telah disunatkan secara misteri.
Lebih menghairankan ibu dan bapa kepada Jayabaya adalah anaknya yang baru berusia empat tahun enggan memakai seluar selepas kejadian pelik itu.
"Saya berasa sangat pelik. Tiba-tiba alat kelamin anak saya yang sebelum ini kelihatan seperti kanak-kanak lain, seperti sudah dikhatankan," katanya.
Purwaji yang dikurniakan empat orang anak, memberitahu kejadian tersebut berlaku pada minggu lalu, selepas solat Jumaat.
Ketika itu, katanya Jayabaya sedang bermain dengan kakaknya di ruang tamu.
"Tiba-tiba anak bongsu saya menjerit kesakitan dan terus membuka seluarnya.
"Mendengar jeritan tersebut, saya mendekati dan melihat keadaannya. Saya tengok alat kelamin Jayabaya seperti sudah dikhatan, sekali gus membuatkan saya berasa sangat hairan," jelasnya.
Kemudian, katanya, dia membawa anaknya ke klinik berhampiran untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.
Menurut doktor, Jayabaya berada dalam keadaan sihat dan sudah dikhatankan.
"Doktor juga hairan bagaimana ia boleh berlaku. Beliau kemudian memberi anak saya antibiotik dan ubatan lain," katanya.
Kejadian tersebut kemudiannya tersebar dan menggemparkan penduduk di sekitar kawasan kampung.
Kanak-kanak itu dilaporkan sihat dan sudah boleh bermain seperti biasa.
"Sejak kejadian itu, dia tidak mahu memakai seluar. Mungkin dia berasa pedih apabila alat kelaminnya terkena kain seluar," katanya. - AGENSI

Berbogel untuk ke sekolah




Murid Sekolah Rendah Inpres (SDI) Maulumbi, Mukim Kanbera, Sumba Timur terpaksa menyeberangi sungai tanpa pakaian semasa pergi dan balik dari sekolah. - Agensi


SUMBA TIMUR - Kita biasa mendengar murid-murid ke sekolah dengan berjalan kaki, tetapi lain halnya yang berlaku di Sumba Timur, Nusa Tenggara Timur apabila murid sekolah rendah di sini terpaksa mengharungi arus deras sungai semata-mata untuk menuntut ilmu.
Itulah pemandangan biasa yang berlaku setiap pagi apabila kira-kira 20 murid Sekolah Rendah Inpres (SDI) Maulumbi, Mukim Kanbera terpaksa berenang dalam keadaan telanjang bagi mengelakkan pakaian seragam dan buku sekolah mereka basah.
Bukan sahaja perlu mengenepikan rasa malu, murid-murid berumur tujuh tahun hingga 15 tahun itu juga terpaksa menyeberangi arus deras Sungai Maulumbi yang turut dihuni buaya untuk pergi dan balik dari sekolah.
Pelajar-pelajar itu terpaksa menanggalkan pakaian seragam sekolah dan kasut mereka bagi mengelakkan ia basah sebelum menyimpannya di dalam beg sandang yang turut diisi kelengkapan lain sekolah.
Mereka bukan sahaja akan berada di dalam sungai untuk tempoh 10 minit, tetapi juga terpaksa berenang di tengah sungai yang agak dalam.
Setelah tiba di seberang, mereka perlu memakai semula pakaian seragam dan kasut sekolah sebelum meneruskan perjalanan seperti biasa.
Di tebing sungai, beberapa penjaga atau ibu bapa yang prihatin boleh dilihat menemani anak mereka, malah ada antaranya yang turut bersama menyeberangi sungai kerana bimbangkan keselamatan anak serta ancaman daripada buaya.
"Setiap pagi saya akan hantar anak menyeberangi sungai untuk ke sekolah. Saya juga akan menjemputnya pada waktu petang.
"Arus Sungai Maulumbi agak deras, buaya pula sering dilihat di sini. Saya bimbang akan keselamatan anak," kata Erlin Konda Nguna, 23.
Ibu muda itu berkata, murid-murid sekolah rendah yang tinggal di Sumba Timur juga terpaksa ponteng sesi persekolahan sekiranya banjir besar berlaku.
"Memang ada sampan di sini, tetapi hanya ada sebuah dan tidak mampu memuatkan semua orang pada satu-satu masa," katanya. - Agensi

14 pegawai Gaddafi tiba di Niger



AGADEZ 9 Sept. - Satu kumpulan terdiri daripada 14 pegawai Muammar Gaddafi, termasuk Jeneral Ali Kana yang merupakan ketua tentera Libya di bahagian selatan, kini sudah berada di bandar Agadez, utara Niger.
Menurut dua sumber daripada keselamatan Niger, kumpulan yang dianggotai empat pegawai kanan Libya itu termasuk dua jeneral, tiba petang semalam, tetapi identiti mereka masih belum dipastikan.
Wartawan Reuters di Agadez melaporkan, keempat-empat pegawai kanan Libya itu menetap di sebuah hotel dimiliki Gaddafi di Niger. - REUTERS

Jepun beku aset Presiden Syria



Imej dimuat naik daripada YouTube merakamkan apa yang didakwa oleh aktivis anti rejim-Syria sebagai anggota militia pro-kerajaan yang berpakaian tentera menyepak mayat seorang lelaki di bandar Hama pada 5 September lalu. - AFP


TOKYO 9 Sept. - Jepun hari ini membekukan aset milik Presiden Syria, Bashar al-Assad dan individu serta kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya, selepas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mengenakan sekatan serupa bagi menggesa negara itu mengadakan pembaharuan demokrasi.
AS, Eropah dan negara kuasa-kuasa Barat mahu Assad menamatkan tindakan kekerasan yang berlarutan selama lima bulan ke atas penunjuk perasaan pro-demokrasi di negara itu.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 2,000 orang telah terbunuh sejak kebangkitan rakyat meletus di Syria pada April lalu.
Jepun tidak mengimport minyak mentah dari Syria dan menurut pegawai Kementerian Kewangan, aset Assad dan 14 individu serta enam kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Presiden Syria itu di negara ini yang dibekukan adalah terhad.
"Negara kami perlu menyumbang kepada usaha global untuk menyelesaikan masalah di Syria," lapor agensi berita Kyodo yang memetik kenyataan Menteri Luar Jepun, Koichiro Gemba dalam mesyuarat Kabinet.
Selain Assad, senarai itu termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan seperti Naib Presiden, Farouk al-Shara dan Menteri Dalam Negeri, Mohammad Ibrahim al-Shaar serta beberapa pertubuhan seperti Perisiskan Tentera Syria dan Dana Pelaburan Al Mashreq. - REUTERS

13 polis Sudan maut, 30 cedera cuba bebaskan tebusan



10/09/2011 2:17am

KHARTOUM 10 Sept. - Seramai 13 anggota polis Sudan terbunuh manakala 30 lagi cedera dalam pertempuran dengan kumpulan bersenjata, semasa pihak berkuasa cuba menyelamatkan tiga tebusan di wilayah Darfur, semalam.
Menurut jurucakap polis, Ahmed al-Tughani, pertempuran tersebut membabitkan kumpulan bersenjata dan bukannya kumpulan pemberontak.
"Pihak polis cuba menyelamatkan tiga tebusan di timur Jebel Marra, menyebabkan 13 anggota polis terbunuh manakala 30 lagi cedera selepas bertempur dengan kumpulan penculik," katanya.
Ahmed bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut mengenai operasi menyelamat itu termasuk identiti tebusan yang diculik. - AFP

Jeneral, pegawai kanan Gaddafi ada di Burkina Faso



10/09/2011 2:17am

NIAMEY 10 Sept. - Beberapa jeneral yang setia kepada bekas pemimpin, Muammar Gaddafi kini dikesan berada di Burkina Faso selepas menyeberangi Niger, semalam.
Menurut sumber daripada penduduk etnik Tuareg di Niger, sekumpulan jeneral dan pegawai kanan yang rapat dengan Gaddafi memasuki Niger melalui Agadez beberapa minggu yang lalu.
"Mereka meneruskan perjalanan ke Niamey, di mana kumpulan tersebut melakukan transaksi sejumlah besar wang di bank Bisic Libya sebelum bergerak ke Burkina Faso," jelas sumber itu. - AFP

Kumpulan bersenjata tembak mati 12 orang di Nigeria



10/09/2011 2:17am

JOS 10 Sept. - Seramai 12 orang mati ditembak, termasuk tujuh beradik dalam dua serangan berasingan oleh kumpulan bersenjata yang tidak dikenali di kawasan yang sering menjadi perbalahan penganut agama yang berbeza di tengah Nigeria, semalam.
Jurucakap kerajaan negeri Plateau, Pam Ayuba berkata, sembilan orang terbunuh dalam serangan pertama, lapan mangsa terdiri daripada keluarga yang sama iaitu seorang ayah dan tujuh anaknya.
"Lima yang terbunuh berusia bawah 10 tahun dalam serangan yang berlaku di Barkin Ladi, kawasan yang dikuasai kumpulan etnik Kristian di pinggir bandar Jos," jelasnya.
Seorang ketua komuniti, Emmanuel Loman berkata, serangan kedua berlaku di kampung berhampiran, menyebabkan tiga orang terbunuh.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa siri serangan maut membabitkan kumpulan penganut Islam dan Kristian sering tercetus di bandar Jos menyebabkan beratus-ratus maut dalam keganasan tersebut. - AFP

Amaran jerebu semakin buruk




GAMBAR kiri panorama Kuala Lumpur sebelum jerebu melanda manakala kanan, ibu negara tenggelam akibat fenomena tersebut semalam.


KUALA LUMPUR - Kawasan Nilai di Negeri Sembilan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat apabila ia terus meningkat kepada 105 pada pukul 5 petang berbanding 101 pada pukul 11 pagi dan 98 pada pukul 7 pagi semalam.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Nilai merupakan satu-satunya kawasan yang berada pada tahap IPU tidak sihat manakala sebanyak 34 kawasan di seluruh negara berada pada tahap IPU sederhana dan 14 lagi pada tahap IPU baik.
IPU pada tahap di antara 0 dan 50 merupakan bacaan IPU baik, IPU sederhana (51-100), IPU tidak sihat (101-200), IPU sangat tidak sihat (201-300) dan IPU berbahaya (lebih 301).
Semalam Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjangkakan keadaan berjerebu berterusan beberapa hari akan datang dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta bekerjasama untuk memadamkan kebakaran kecil.

Khianat awal pagi




TINESH menunjukkan kesan minyak petrol yang disyaki digunakan untuk
membakar motosikal dan kereta di Flat D20, Seberang Jaya, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM – Entah apa motifnya, sebanyak enam motosikal dan sebuah kereta milik penghuni Flat D20 Seberang Jaya di sini musnah disyaki dibakar orang tertentu semalam.
Kejadian pukul 4 pagi itu membabitkan dua buah motosikal jenis Honda EX5, masing-masing satu Honda Wave, Yamaha, Modenas dan sebuah kereta Perodua Kelisa.
Pemilik motosikal, K. Tinesh Kumar, 23, berkata, dia enggan menuduh sesiapa tetapi dapat merasakan ia disebabkan oleh perbuatan khianat pihak tertentu.
“Beberapa hari lalu, saya ada menegur sekumpulan remaja yang bergaduh di sini dan mereka marah hingga hampir bertumbuk pula dengan saya.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti pula sama ada mereka ingin membalas dendam dan saya serahkan saja kepada polis untuk menyiasat,” ceritanya yang kerugian hampir RM4,000.
Tambahnya, dia menyedari kejadian itu selepas dikejutkan ibunya yang terdengar bunyi bising.
Menurut Tinesh, sebaik turun, dia dapati motosikalnya hangus dan dia turut menemui satu bekas berisi petrol berhampiran tempat kejadian.

Mati dipeluk teman wanita



RUMAH yang menjadi tempat Muhammad Faizal ditemui mati diruang tamu selepas meminum racun serangga manakala Zuzziana pula parah di Taman Bunga Sejati, Rantau semalam.


SEREMBAN – Kisah cinta bak ‘Romeo dan Juliet’ sepasang kekasih yang sepatutnya mengecapi kebahagiaan berakhir dengan tragedi apabila si lelaki maut manakala teman wanitanya pula parah selepas mereka meminum racun serangga setelah kecewa hubungan itu dihalang keluarga.
Kejadian pukul 8 pagi di sebuah rumah di Taman Bunga Sejati, Rantau dekat sini semalam itu mengakibatkan Muhammad Faizal Raj Abdullah, 28, mati di tempat kejadian manakala Zuzziana Rahmat, 18, pula parah dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban di sini.
Difahamkan, Muhammad Faizal yang baru beberapa bulan memeluk Islam berasal dari Nilai manakala Zuzziana berasal dari Sungai Pelek, Selangor.
Pasangan itu ditemui dalam keadaan berpelukan di lantai ruang tamu oleh jiran mereka, Suthir Baba, 26, sebaik dia pulang dari kerja.
Selain bekas minuman berisi sejenis cecair berwarna putih disyaki racun serangga, turut dijumpai dekat pasangan itu ialah sekeping nota yang tertulis mereka berbuat demikian kerana kecewa selepas hubungan cinta dihalang keluarga.
Mengimbau semula kejadian itu, Suthir memberitahu, sebaik sampai di rumah, dia ternampak wanita berkenaan keluar rumah untuk membuka pintu pagar sebelum masuk semula.
Katanya, tidak lama kemudian, dia merasa pelik apabila terdengar bunyi orang bernafas dengan kuat dari dalam rumah mangsa.
“Saya kemudian mengajak beberapa lagi jiran untuk meninjau dan terkejut apabila mendapati wanita itu sudah terbaring di dada Muhammad Faizal. Kedua-duanya sudah kejang dengan mulut masing-masing keluar buih.
“Kami kemudian cuba membawa kedua-dua mangsa ke dalam kereta milik Muhammad Faizal untuk dibawa ke hospital tetapi malang kenderaan itu pula gagal dihidupkan sebelum menghubungi ambulans,” ceritanya di sini semalam.

Kempunan rokok sebelum ajal



Wai Keong


KUALA LUMPUR - Episod sedih mengenai kehidupan seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang terpaksa menggunakan tangan untuk bergerak berakhir apabila dia mati selepas tujuh hari dibelasah dengan rotan disyaki oleh orang yang enggan memberinya sebatang rokok.
Ng Wai Keong, 59, atau lebih dikenali sebagai Hong Kong Boy yang hidup merempat sejak rumah keluarganya di Sungai Besi terbakar beberapa tahun lalu, dilaporkan mati di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan paru-paru.
Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kejadian berlaku pukul 11 pagi 3 September lalu di hadapan sebuah kelab malam di Sungai Besi apabila mangsa dikatakan meminta sebatang rokok daripada seorang lelaki berusia 34 tahun.
Bagaimanapun katanya, suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol enggan memberikan rokok tersebut hingga memaksa mangsa mendesaknya beberapa kali.
"Perbuatan mangsa itu telah menimbulkan kemarahan suspek yang terus memukul kepala mangsa hingga pengsan dengan menggunakan rotan yang diambil dari but keretanya. Mangsa kemudian dikejarkan ke HKL untuk rawatan," katanya di sini semalam.

Pitt guna helikopter untuk jumpa Jolie




BRAD PITT turun dari sebuah helikopter untuk menemui kekasihnnya, Angelina Jolie di Richmond, Britain baru-baru ini.


RICHMOND - Pelakon terkenal, Brad Pitt menaiki helikopter untuk membawa kekasihnya, aktres Angelina Jolie ke sebuah destinasi yang dirahsiakan, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia menaiki helikopter itu yang mendarat di rumah pasangan tersebut di Richmond, London, baru-baru ini.
Pitt kini berada di Glasgow, Scotland untuk menjalani penggambaran filem terbaharu. World War Z.
Wajah Jolie dapat dilihat dari tingkap helikopter yang dinaikinya bersama dengan Pitt.
Jolie mengambil cuti berlakon untuk mengikuti Pitt pergi ke Eropah dan menjalani penggambaran filem terbaharunya di Scotland.
Percutian itu menyebabkan aktres tersebut mempunyai banyak masa bersama dengan enam anak-anaknya termasuk anak angkatnya di sini. - Agensi

Sembunyi bawah bas elak kena saman




PIHAK polis cuba mencari seorang pemandu bas yang bersembunyi di bawah bas di bandar Zhongshan, China baru-baru ini.


BEIJING - Seorang pemandu sebuah bas bersembunyi di bawah badan bas untuk mengelak dikenakan notis saman di Zhongshan, China, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Dia melakukan perbuatan itu selepas memandu basnya dalam keadaan laju ketika ia melepasi sebatang tiang lampu isyarat yang menunjukkan warna merah.
Pemandu itu juga bertindak dengan menukar haluan bas berkenaan dalam keadaan berbahaya.
Dia bersembunyi di bawah badan bas selepas basnya berhenti semasa diarahkan polis dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Tindakan pemandu bas itu menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk berlaku kerana kejadian tersebut berlaku dekat dengan bulatan.
Beberapa anggota polis juga gagal untuk memujuk dia keluar dari bawah badan bas menyebabkan trak penunda dipanggil untuk menunda kenderaan itu.
Namun, pemandu bas itu merangkak di bawah badan bas semasa kenderaan tersebut bergerak semasa ditunda.
Anggota-anggota polis kemudian bertindak menarik tangan pemandu bas tersebut sekali gus menangkapnya. - Agensi

Jurutera cuba pecah rekod kelajuan motosikal




PAUL ANDERSON duduk di atas sebuah motosikal Harley Davidson yang diubah suai dalam usahanya untuk mencipta rekod kelajuan di Britain.


LONDON - Sekumpulan jurutera kini berusaha untuk memecahkan rekod kelajuan dengan menggunakan sebuah motosikal Harley Davidson yang sudah diubahsuai, lapor sebuah akhbar semalam.
Setakat ini rekod kelajuan motosikal ialah 367.26 kilometer sejam (km/j) di Britain.
Kumpulan jurutera itu berharap, mereka akan dapat mencipta rekod kelajuan lebih 370.14km/j
Seorang jurutera dari syarikat pembuat pesawat Airbus, Paul Anderson, 56, mengubah suai motosikal tersebut bersama rakan-rakannya di dalam garaj rumahnya.
Dia mendapat bantuan daripada rakannya yang juga seorang jurutera, Airbus, Andrija Ekmedzic dan Richard Spencer.
Mereka juga dibantu seorang lagi rakan, Garry Morgan dan seorang pelajar berusia 16 tahun, Connor Galbraith.- Agensi

Ratu Cantik Colombia yakin akan menang



RATU cantik Colombia, Catalina Robayo menyertai pusingan awal pertandingan Ratu Cantik Universe di Sao Paulo, Brazil kelmarin.


SAO PAULO - Ratu Cantik Colombia, Catalina Robayo yakin dia akan menang mahkota Ratu Cantik Universe Dunia yang akan diadakan pada Isnin ini, lapor sebuah akhbar semalam.
"Setiap orang (peserta) mempunyai hak untuk memikirkan dan bertanding mengikut cara mereka.
"Saya akan bertanding dan saya bakal memenanginya. Jika tidak, saya tidak akan bertanding," katanya kepada majalah mingguan Elenco.
Menurutnya, dia telah berlatih lebih tiga bulan lalu untuk memastikan tubuhnya berada dalam keadaan sempurna.
Dia membuat kenyataan itu walaupun berdepan kontroversi kerana dia diberikan amaran oleh pihak penganjur pertandingan Ratu Cantik Universe Dunia kerana tidak memakai seluar dalam.
Menurut laporan berita FOX411, Catalina yang berusia 22 tahun tampil dalam acara rasmi pertandingan itu tanpa memakai seluar dalam.
Dia dilaporkan tidak memakai seluar dalam dalam satu sidang akhbar.
Laporan berkenaan yang memetik sumber-sumber menyatakan, peserta tersebut perlu diberitahu bahawa dia mesti memakai seluar dalam dan perbuatan yang dilakukannya itu adalah tidak senonoh.
Menyentuh mengenai laporan itu, Catalina berkata, dia tidak faham kenapa isu tersebut masih menjadi kontroversi selepas lebih seminggu gambar yang menunjukkannya tidak memakai seluar dalam dirakamkan.
"Kita semua membuat kesilapan. Ia akan membantu saya supaya lebih berhati-hati," katanya.
Dalam pertandingan itu, Malaysia diwakili oleh Deborah Henry. - Agensi

Sang Bedal gergasi enggan makan




GAMBAR fail menunjukkan buaya gergasi yang ditangkap penduduk di bandar Bunawan pada Sabtu minggu lalu.


MANILA - Seekor buaya gergasi sepanjang 6.1 meter yang ditangkap hidup-hidup di sebuah teluk di bandar Bunawan, selatan Filipina enggan makan selama enam hari selepas ditangkap pada minggu lalu.
Haiwan itu tidak makan selepas ia ditangkap oleh sekumpulan pemburu tajaan kerajaan tempatan untuk menangkap haiwan yang telah membunuh dua orang.
Menurut seorang pegawai hidupan liar, Ronnie Sumiller yang mengetuai pemburuan tersebut, haiwan yang diberi nama Lolong itu kini dipantau bagi diperiksa sama ada ia mengalami tekanan.
Menurutnya, pada kebiasaannya, buaya akan tertekan selepas lama diperangkap.
Dia berkata, dalam habitat semula jadi, adalah normal bagi buaya tidak makan dalam tempoh yang lama.
Menurutnya, buaya seperti Lolong mampu tidak makan sehingga enam bulan.
Haiwan itu ditempatkan di sebuah kurungan berdindingkan konkrit selepas ditangkap dengan menggunakan umpan pada minggu lalu.
Namun, selepas diperiksa, haiwan itu yang dipercayai sebagai buaya paling besar di dunia pernah ditangkap bukannya pemakan manusia.
Usaha sedang dilakukan kini untuk menangkap seekor lagi buaya gergasi di bandar itu. - AP

Jutaan putus bekalan elektrik gara-gara pekerja penyelenggaraan




BANDAR RAYA San Diego di Amerika Syarikat bergelap kelmarin.


SAN DIEGO, Amerika Syarikat (AS) - Gangguan tenaga elektrik utama telah menyebabkan lebih enam juta penduduk di California dan Arizona berada dalam kegelapan.
Menurut syarikat pembekal syarikat elektrik, APS, bekalan elektrik terputus disebabkan oleh seorang pekerja utiliti melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dekat Yuma.
Kesilapan pekerja itu menyebabkan aliran elektrik gagal berfungsi.
Tenaga elektrik yang terputus itu juga menyebabkan dua reaktor nuklear tergendala selain menjejaskan penerbangan, kesesakan lalu lintas dan ramai yang terperangkap di dalam lif.
Bekalan elektrik itu terputus tengah hari kelmarin sebelum pulih pada pagi semalam. - Agensi

PM Itali berdepan skandal baharu



SILVIO BERLUSCONI


ROM - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi berdepan dengan dakwaan terbaharu semalam berhubung dengan skandal pelacuran.
Berlusconi dilaporkan telah meminta seorang perunding yang dikehendaki polis, Valter Lavitola supaya tinggal di luar Itali.
Beliau meminta Lavitola tinggal di luar Itali semasa satu siasatan mengenai satu peras ugut terhadapnya sedang berlangsung.
Lavitola dan ahli perniagaan, Giampaolo Tarantini dikatakan memeras ugut Berlusconi supaya memberikan wang kepada mereka bagi mengelak maklumat mengenai kes pelacuran Perdana Menteri Itali tersebut dengan beberapa pelacur didedahkan. Seorang peguam Berlusconi, Niccolo Ghedini menyatakan dalam satu kenyataan bahawa dakwaan tersebut dikemukakan berdasarkan satu intipan polis itu adalah tidak berasas. - Reuters

Tentera Gaddafi lancar serangan dari selatan Tripoli




BEBERAPA pemberontak memasukkan bekalan peluru ke dalam sebuah trak di Wishtat, Libya semalam.


WISHTAT - Para penyokong bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan serangan roket dari selatan Tripoli.
Serangan itu menguji kepimpinan baharu Libya selepas rejim Gaddafi ditumbangkan pemberontak menjelang Aidilfitri lalu.
Para penyokong Gaddafi itu melancarkan serangan mortar dan peluru berpandu dari Bani Walid.
Gaddafi kini bersembunyi selepas para pemberontak berjaya memasuki Tripoli pada 21 Ogos lepas selepas melancarkan serangan sejak Februari lalu.
Dia dikatakan bersembunyi di Bani Walid. Ketika ini, Libya ditadbir oleh Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang merupakan badan yang mewakili pemberontak.
Sementara itu, Interpol turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Gaddafi. - Agensi

911: AS berjaga-jaga ancaman bom




SEORANG anggota polis mengawal sebuah kawasan di Times Square, New York semalam.


NEW YORK - Polis yang dilengkapi senjata berada dalam keadaan berjaga-jaga di sekitar bandar raya New York semalam.
Keadaan berjaga-jaga itu dibuat selepas para pegawai Amerika Syarikat (AS) memberi amaran berhubung satu ancaman bom yang belum dipastikan. Ancaman bom itu dikatakan akan berlaku pada ulang tahun sambutan serangan pengganas kali ke-sepuluh di bandar raya New York esok.
"Terdapat maklumat ancaman yang berwibawa dan terperinci tetapi masih belum disahkan," kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri kelmarin.
Presiden AS, Barack Obama juga mengarahkan supaya usaha-usaha untuk menangani keganasan ditingkatkan.
Menurut jabatan itu, pihaknya akan mengambil semua langkah yang patut untuk mengurangkan sebarang ancaman.
Seorang pegawai White House mengesahkan bahawa Obama telah mengarahkan semua komuniti memerangi pengganas meningkatkan usaha sebagai tindak balas terhadap ancaman berkenaan.
Beberapa pegawai di Washington menyatakan terdapat satu ancaman keganasan yang melibatkan kenderaan membawa bom di New York atau di ibu kota Washington.
Dalam serangan pengganas pada 11 September 2001, bangunan World Trade Centre (WTC) runtuh akibat dirempuh oleh dua pesawat yang dirampas pengganas sehingga mengakibatkan 2,753 orang terbunuh. - Agensi