Pages

Monday, October 10, 2011

Presiden Saleh rancang berundur


JANJI LEPASKAN JAWATAN: Encik Saleh berucap menerusi televisyen mengumumkan hasrat mahu melepaskan jawatan presiden dalam beberapa hari lagi. -- Foto AFP

SANAA: Presiden Ali Abdullah Saleh, berkata beliau akan melepaskan jawatannya dalam tempoh terdekat susulan bantahan rakyat Yaman ke atas kepimpinannya yang berlarutan selama sembilan bulan.
Namun, Encik Saleh, yang memerintah selama 33 tahun, berkata beliau tidak akan menyerahkan kuasa kepada pembangkang.'Saya tidak mahu lagi berkuasa dan akan melepaskan jawatan presiden dalam beberapa hari lagi.'Saya menyeru semua penyokong saya agar berdiri teguh dan sedia menghadapi pelbagai cabaran akan datang,' katanya ketika berucap menerusi siaran televisyen.Encik Saleh, 69 tahun, berkata mustahil menyerahkan kuasa kepada pembangkang yang hanya akan memusnahkan lagi Yaman.Katanya, terdapat pemimpin yang ikhlas di Yaman untuk memegang tampuk kuasa, sama ada anggota tentera atau orang awam.Bantahan terhadap Encik Saleh melumpuhkan Yaman dan melemahkan kawalan pemerintah.Beliau tiga kali menarik diri daripada perjanjian peralihan kuasa, yang diusahakan oleh negara-negara perantara Teluk.Pembangkang berkata pemerintah terus menangguhkan perundingan selepas beliau kembali dari Arab Saudi setelah menjalani rawatan ekoran satu usaha membunuhnya Jun lalu.Justeru, kenyataan terbaru Encik Saleh itu dicurigai oleh para penentangnya.Pemenang terbaru Hadiah Nobel Keamanan, Cik Tawakkul Karman, aktivis wanita terkemuka di Yaman, berkata tawaran Encik Saleh itu tidak boleh dipercayai dan bantahan ke atas pemerintahannya akan diteruskan.'Kami tidak percaya lelaki ini dan jika beliau ingin berundur, baiklah, itu haknya. Beliau harus menyerahkan kuasa kepada rakyat... Kami tidak percaya beliau. Kami akan teruskan revolusi aman ini,' katanya.Jurucakap pakatan pembangkang, Encik Mohammed Al-Sabri, pula berkata:'Ini propaganda baru Encik Saleh sebelum isu Yaman dibincangkan di Majlis Keselamatan (minggu depan).' - Agensi.

NTC tawan universiti Sirte

SIRTE: Tentera kerajaan baru Libya semalam mengetatkan kepungan ke atas bandar kelahiran Muammar Gaddafi, Sirte, selain menguasai universitinya.
Pertempuran berlangsung sengit di sekitar universiti berkenaan, selain sekitar pusat persidangan Ouagadougou sejak tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) melancarkan “serangan terakhir” ke bandar pesisir pantai itu.

Komander NTC, Nasser Zamud, berkata pihaknya menguasai universiti berkenaan dan “membebaskan kawasan itu daripada anjing Gaddafi.” “Pertempuran di sini sukar kerana banyak penembak curi,” katanya.

Pada pagi semalam, tentera NTC akhirnya berjaya masuk ke kawasan universiti dan kampus barunya yang menjadi tempat penembak curi Gaddafi berlindung.

Kemampuan pejuang Gaddafi melawan NTC di Sirte dan satu lagi kubu kuat mereka, Bani Walid, mengejutkan kerajaan baru Libya.

Malah, ketua NTC, Mustafa Abdel Jalil, mengakui tentangan dihadapi tentera rejim baru itu sangat sengit.


“Pejuang kami masih berdepan dengan penembak curi yang berlindung di posisi tinggi,” katanya.

Sementara itu, pegawai perubatan berkata, enam tentera NTC terbunuh dan 99 cedera kelmarin, menjadikan jumlah korban mencecah 23 orang, manakala hampir 330 lagi cedera sejak mereka melancarkan “serangan terakhir” berkenaan.

Ribuan orang awam masih terperangkap di Sirte ketika komander NTC menyatakan kemaraan untuk memindahkan sebahagian daripada mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. - AFP

60,000 pelajar kita ketagih FB



Oleh Norakmah Mat Youb
norakmahbharian.com.my
2011/10/10

Remaja habiskan masa 4 jam sehari layari internet, kerap menipu, antisosial

KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun di negara ini dikesan menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam sehari melayari internet terutama laman sosial Facebook (FB).
Ketagihan terhadap internet terutama FB itu menyebabkan pelajar terbabit kerap menipu, mencuri, antisosial dan berubah menjadi seorang yang pemarah sekiranya keinginan mereka tidak dapat dipenuhi.
Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial. Mohd Fadzil Che Din, Pengarah Institut Sosial Malaysia
Selain itu, golongan itu dikatakan mudah menghidapi penyakit seperti pening, masalah penglihatan dan sakit perut berikutan tindakan mereka mengurangkan masa tidur dan rehat yang mencukupi.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata ketagihan remaja melayari laman web itu semakin serius sehingga sanggup bertindak ganas sekiranya dihalang menggunakan kemudahan online.

“Remaja yang ketagih internet itu sanggup ponteng sekolah sekiranya di rumah mereka tiada komputer. Jika duit poket tidak cukup, mereka sanggup mencuri, asalkan dapat mengunjungi siber kafe,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Mohd Fadzil berkata, melayari internet kini menjadi sebahagian kehidupan harian mereka dan sering berasakan seolah-olah hidup sunyi jika tidak berinteraksi dengan rakan FB. 
“Mereka berasa lebih selesa dan selamat untuk berkomunikasi melalui internet sekali gus membantutkan perkembangan interaksi terus sesama manusia,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan golongan ketagih laman web itu seperti ketagihan dadah yang sukar untuk diubati kerana ia satu cara membantunya bersosial.

Katanya, terdapat juga kes sesetengah golongan muda yang lebih rela berhenti kerja daripada mengurangkan masa mereka dengan melayari laman sosial itu sekiranya diberi pilihan.

“Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial,” katanya.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Zain, berkata ketagihan melayari laman sosial boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental yang melampau.

Beliau berkata, ia turut mengganggu jam biologi pelajar sehingga menyebabkan hormon terganggu, sistem ketahanan badan kurang selain memberi kesan kepada mental.

“Apabila masa yang sepatutnya untuk rehat digunakan melayari internet, ia menyebabkan pelajar itu letih fizikal dan mental sekali gus tumpuan belajar berkurangan,” katanya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, berkata tumpuan terlalu lama terhadap internet akan menyebabkan pelajar lebih suka menyendiri.

Beliau berkata, mereka juga bersifat individualistik selain mudah terdorong untuk melayari laman lucah kerana bahan itu mudah didapati dan boleh dimuat turun dengan hanya menggunakan telefon bimbit.

Virus serang Predator, Reaper





2011/10/10

Sistem pesawat kawalan jauh AS hadapi masalah, gagal usir penceroboh 

WASHINGTON: Virus komputer menyerang pesawat kawalan jauh Amerika Syarikat, Predator dan Reaper yang digunakan tentera negara itu untuk menyasarkan militan dengan mengganggu sistem juruterbang ketika di berada udara, lapor majalah komputer, Wired.
Virus itu kali pertama dikesan dua minggu lalu oleh Sistem Keselamatan Berdasarkan Hos tentera tetapi belum lagi menyebabkan mana-mana misi penerbangan yang dikawal dari Pangkalan Tentera Udara Creech, Nevada. daripada melakukan misi di Afghanistan dan kawasan zon perang lain.
Tiada maklumat sulit dipercayai hilang atau dihantar ke luar daripada rangkaian sistem komputer tetapi virus itu didapati berdaya tahan terhadap beberapa cubaan membuangnya. 

“Kami sentiasa membuangnya, tetapi ia tetap muncul semula. Kami fikir ia tidak berbahaya. Tetapi, kami masih belum boleh yakin sepenuhnya,” kata sumber yang arif dengan gangguan komputer kepada majalah berkenaan. 

Pakar rangkaian keselamatan tentera Amerika berkata, masih belum jelas sama ada virus itu dihantar secara sengaja dan bagaimana ia disebarkan tetapi mereka yakin ia menjangkiti mesin operasi sulit dan tidak sulit pangkalan udara Creech. 

Oleh sebab itu, data rahsia mungkin sudah bocor dan jatuh ke tangan pihak luar yang bukan anggota tentera. 
Tentera Amerika tidak menyembunyikan pesawat kawalan jauhnya apabila melancarkan operasi di Libya atau di medan perang Afghanistan, berbeza dengan misi rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) bertujuan membunuh militan al Qaeda di Pakistan, Yaman dan di tempat lain. – AFP 

Pertandingan dukung isteri




ROCCO ANDREOZZI mendukung Kim Wasko semasa dia berlari dalam Kejohanan Mendukung Isteri di Resort River Ski Sunday, Maine kelmarin.


RESORT RIVER SKI SUNDAY, Maine - Pasangan Rocco Andreozzi dan Kim Wasko menang dalam Kejohanan Mendukung Isteri di sini, Amerika Syarikat kelmarin.
Mereka menamatkan larian terakhir dengan masa 49.64 saat manakala tempat kedua dirangkul oleh David dan Lacey Castro dengan masa 52.39 saat.
Seramai 47 peserta menyertai pertandingan itu dengan pemenang akan bertanding dalam Kejohanan Mendukung Isteri Peringkat Dunia.
Antara acara yang perlu para peserta lakukan ialah berlari mendaki bukit dan merempuh halangan kawasan yang berlumpur semasa mendukung pasangan mereka.
Pemenang pertandingan menerima cek bernilai AS$620 (RM1,956). - Agensi