Pages

Monday, April 21, 2014

RM43,000 jika pukul isteri


Riyadh: Arab Saudi akan menguatkuasakan undang-undang yang mengenakan hukuman denda sebanyak SR50,000 (RM43,00) bermula minggu depan ke atas suami yang memukul isteri mereka.

Rang undang-undang itu yang diluluskan minggu lalu turut memperuntukkan hukuman penjara antara sebulan hingga setahun bagi pesalah.

Ia bagaimanapun dilihat tidak akan menyelesaikan masalah penderaan yang dilakukan ibu bapa ke atas anak mereka.

Undang-undang terbaru itu juga masih tidak jelas sama ada akan merangkumi penghinaan secara lisan atau sekadar serangan fizikal.

Sumber media Saudi itu menyatakan mereka percaya hukuman bakal dikenakan kepada suami yang mendera isteri mereka berdasarkan laporan perubatan yang mengesahkan isteri itu dipukul.

Undang-undang yang didebatkan selama dua tahun itu diluluskan badan kehakiman berikutan peningkatan kes keganasan rumah tangga di negara itu dan kebanyakan lelaki yang terbabit dibebaskan kerana tiada peruntukan khas undang-undang untuk mendakwa mereka.

Ulama terkenal, Sheikh Ayed Al Qarni dalam nada bergurau berkata: “Kini kita mengetahui hukuman yang bakal dikenakan bagi suami yang memukul isteri tetapi apa pula hukuman bagi isteri yang memukul suami? Seorang lagi ulama, Sheikh Adel Al Kalbani pula menyatakan di laman Twitternya: “Nasihat saya, lebih baik kamu berkahwin lain daripada memukul isteri kamu dan dikenakan denda.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

Kapal udara diperkenalkan semula



Worldwide Aeros Corp. (Aeros) berharap untuk memperkenalkan kembali kapal udara dalam usaha merevolusikan sistem kargo atau pengangkutan barangan pasaran global. - AGENSI
KAPAL udara pernah dianggap sebagai pengangkutan masa depan dan ia digunakan secara meluas pa­da akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Namun setelah berlaku tragedi ke­­bakaran kapal udara LZ-129 Hin­de­nburg yang dibangunkan oleh Luftschiffbau Zeppelin pada 1935 dengan kos 500.000 pound (RM 2.71 juta) pada 6 Mei 1937 di Lakehurst, New Jersey Amerika Syarikat (AS), sehingga mengorbankan 35 nyawa, kepercayaan masyarakat untuk menggunakan perkhidmatan udara itu terus merudum dan ia menjadi detik kepada berakhirnya era kapal udara.
Hindenburg yang mempunyai ukuran panjang 245 meter dan lebar 41 meter adalah kapal udara terbesar pada waktu itu dan merupakan penerbangan pertama yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan berjadual antara Eropah dan utara AS.
Ia juga merupakan cara paling cepat dan selesa untuk menyeberangi Lautan Atlantik pada ketika itu.
Sebelum kejadian, kapal udara keluaran syarikat Zeppelin telah digunakan secara meluas selama 30 tahun dan sudah melakukan lebih 2,000 penerbangan tanpa mengalami sebarang kecelakaan udara.
Seramai 62 orang terselamat dalam tragedi di Lakehurst itu, manakala 35 lagi terdiri daripada 13 penumpang dan 22 orang anak kapal terkorban.
Sehingga kini, punca kebakaran itu masih tidak diketahui dan terus menjadi misteri.
Menurut sumber, kebakaran mungkin disebabkan percikan listrik statis yang terkumpul hasil daripada geseran badan kapal udara dengan udara di atmosfera.
Ini mungkin menyebabkan lapisan aluminium yang digunakan untuk menampung gas hidrogen terbakar dan menyebabkan gas yang mudah terbakar itu dilepaskan ke udara.
Namun, hidrogen yang terbakar tidak akan mengeluarkan sebarang warna dan ada yang beranggapan api marak yang berlaku ketika kapal udara itu terbakar bukan disebabkan oleh gas hidrogen.
Selain itu, gas hidrogen di dalam Hindenburg telah dicampurkan dengan bau bawang putih supaya mudah untuk menggesan sebarang kebocoran.
Namun, tiada seorang pun daripada mangsa yang terselamat dalam tragedi itu terhidu bau bawang putih sebelum kemalangan itu berlaku.
Kejadian yang menggemparkan dunia itu berjaya dirakamkan secara tidak sengaja dan ia menjadi bahan berita utama di seluruh dunia sehingga mempengaruhi keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu.
Kini selepas hampir 77 tahun ke­­jadian itu berlaku, firma perintis penerbangan, Worldwide Aeros Corp. (Aeros) berharap untuk memperkenalkan kembali kapal udara itu dalam usaha merevolusikan sistem kargo atau pengangkutan barangan pasaran global.
Kapal udara digelar Aeroscraft tersebut akan dibina menggunakan teknologi inovatif supaya ia boleh terbang lebih baik, bagi mengelakkan masalah yang dialami oleh generasi pertama Zeppelin, berulang.
Ia hanya memerlukan satu pertiga bahan api untuk mengangkut muatan dan boleh mendarat di mana-mana sahaja, walaupun tanpa landasan kapal terbang termasuk di atas air, sekali gus menjadikannya amat sesuai untuk digunakan di zon perang dan kawasan bencana.
Aeroscraft telah dibina hasil sumbangan sebanyak AS$3 juta (RM9.82 juta) daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan bersedia untuk melakukan penerbangan ujian pertamanya tidak lama lagi, menurut Business Insider.
Aeros meramalkan kenderaan udara tersebut akan mengubah cara bagaimana kargo bergerak di seluruh dunia dengan menyediakan satu cara pengangkutan yang lebih murah daripada kapal terbang, tetapi lebih cepat daripada kapal.
Teknologi tersebut dicetuskan oleh pengasas firma, Igor Pasternak yang menemui cara untuk memampatkan helium yang membolehkan kapal udara itu mengawal beratnya.
Menurut Aeros, pihaknya menjangka Aeroscraft boleh digunakan pada pertengahan 2015.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140421/lu_07/Kapal-udara-diperkenalkan-semula#ixzz2zTf8Cixn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Meteor terbakar dirakam



IMEJ menunjukkan meteor atau batu angkasa lepas (dalam bulatan) yang terbakar dan mengeluarkan cahaya apabila memasuki lapisan udara di Rusia.


MURMANSK - Kehadiran beberapa meteor yang menerangi langit malam di sini dirakam kamera yang diletakkan pada papan pemuka sebuah kereta.
Rakaman tersebut yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube dibuat ketika kenderaan itu melalui lokasi kejadian kelmarin.
Ia menunjukkan meteor atau batu angkasa lepas itu terbakar ketika memasuki atmosfera Bumi dan menerangi langit yang gelap.
"Saya seakan-akan tidak percaya melihat sebutir batu terbakar dapat memancarkan cahaya yang begitu terang," kata seorang pengguna YouTube.
"Untuk beberapa saat langit cerah seperti siang hari," tambahnya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2zT3Asi6N 
Hakcipta terpelihara