Pages

Saturday, May 26, 2012

Masih guna kad pengenalan lama




Mek Mastura Ismail (kanan) menunjukkan kad pengenalan lamanya di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian, Kelantan semalam. Di sebelahnya ialah Azlina.



KOTA BHARU – Ketika majoriti rakyat negara ini sudah lama menggunakan MyKad, seorang warga emas di Wakaf Stan di sini agak ketinggalan apabila masih menggunakan kad pengenalan lama bagi sebarang urusan.
Tidak seperti MyKad yang mempunyai cip, kad pengenalan lama itu yang memaparkan cap ibu jari tangan pemilik di kiri dan kanan kad yang sepatutnya ditukar dengan MyKad pada tahun 2001.
Belum menggantikannya dengan MyKad seperti yang diperuntukkan undang-undang, Mek Mastura Ismail, 61, mendakwa masalah kesihatannya serta kesempitan hidup menyebabkan dia gagal berbuat demikian.
Meskipun begitu, kad pengenalan warga emas itu yang berusia lebih 40 tahun masih berkeadaan baik.
“Bukan saya tidak mahu menukarnya tetapi masalah kesihatan menyebabkan saya tidak boleh menukarnya.
“Lagi pun hidup susah, duit tidak berapa ada untuk ke pejabat pendaftaran terdekat,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Stan di sini semalam.

Puting beliung tidak halang pasangan berkahwin


GAMBAR perkahwinan Caleb dan Candra Pence pada 19 Mei lalu yang berlatarkan puting beliung di Daerah Harper, Kansas.- Agensi


BANDAR RAYA KANSAS, Amerika Syarikat (AS) - Sepasang kekasih meneruskan perkahwinan mereka selepas ribut puting beliung muncul tidak jauh dari tempat majlis berkenaan berlangsung di Daerah Harper , dekat sini, dalam negeri Kansas.
Klip video perkahwinan Caleb dan Candra Pence itu ditonton lebih 20,000 kali di YouTube.
Dirakam oleh bapa saudara pengantin lelaki, ia menunjukkan pasangan berkenaan dan tetamu mereka tidak mempedulikan kemunculan puting beliung sekitar 16 kilometer di belakang mereka.
Gambar perkahwinan mereka menunjukkan puting beliung kedua yang lebih kecil muncul di lokasi sama sejurus selepas mereka berkahwin.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS menyatakan, puting beliung itu mencapai kelajuan 222 kilometer sejam dengan beberapa ladang serta kincir angin musnah dalam bencana tersebut.
Namun, Caleb memberitahu, tumpuannya ketika itu adalah untuk mengahwini isterinya dan dia tidak mengendahkan tentang kehadiran ribut tersebut.
Pasangan itu berkahwin pada 19 Mei lalu. - Agensi

Kapsul swasta bersedia berlabuh di ISS



GAMBAR NASA menunjukkan kapal angkasa Dragon (dalam bulatan) berada 350 meter dari ISS untuk misi berlabuh di stesen angkasa lepas itu semalam. - Reuters


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Syarikat AS, SpaceX bersedia untuk melabuhkan kapal angkasa komersial, Dragon di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam.
Pelancaran Dragon merupakan percubaan pertama daripada sebuah syarikat swasta untuk berlabuh di ISS, stesen yang dibina pada kos AS$100 bilion (RM312 bilion).
Sebelum ini hanya Rusia, Jepun dan Eropah sahaja yang mampu membawa bekalan ke ISS.
AS kehilangan kapasiti itu selepas misi kapal angkasa Space Shuttle ditamatkan tahun ini.
Angkasawan ISS merancang untuk membantu menarik kapal angkasa itu dengan lengan robot stesen untuk misi berlabuh di ISS.
Sekiranya Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memberi lampu hijau, ia dijangka bermula pada pukul 9 pagi waktu tempatan dan cubaan untuk bercantum bermula sekitar pukul 12.30 tengahari semalam.
"Ia merupakan misi percubaan. Namun, kami sangat optimis,"kata pengarah misi SpaceX, John Couluris.
Mengikut laporan NASA dan SpaceX, penerbangan demonstrasi berjalan lancar sejak kapsul itu dilancarkan dengan menggunakan roket Falcon 9 dari Cape Canaveral di Florida pada Selasa lalu.
Pelancaran kapsul angkasa Dragon ke ruang orbit merupakan yang pertama dilakukan oleh sebuah syarikat swasta yang disifatkan sebagai era baharu oleh White House dan SpaceX. - AFP

Pesawat solar terbang rentas benua



PESAWAT berkuasa solar, Solar Impulse berlepas dari Payerne, Switzerland kelmarin.- AFP


MADRID, Sepanyol - Pesawat berkuasa suria Switzerland, Solar Impulse selamat mendarat di sini semalam sekali gus menamatkan peringkat pertama misi penerbangan rentas benua tanpa menggunakan bahan api.
Juruterbang, Andre Borschberg menerbangkan Solar Impulse dari sebuah lapangan terbang kecil di Payerne, barat Switzerland sekitar pukul 8.30 pagi (waktu Swiitzerland) kelmarin.
Pesawat berkenaan berlepas ke bandar Rabat, Mahgribi melalui bandar raya ini dalam perjalanan sejauh 2, 500 kilometer.
Penerbangan kali ini adalah yang terjauh buat Solar Eclipse selepas pesawat tersebut terbang ke Paris dan Brussels pada tahun lalu.
"Penerbangan ini berjalan dengan lancar dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan ahli meteorologi yang banyak membantu kami," kata Borschberg.
Solar Impulse memiliki sayap panjang seperti pesawat komersial jarak jauh dengan berat menyamai sebuah kereta.
Pesawat berkenaan memiliki 12,000 sel solar bagi menjana empat enjin elektrik.
Kapal terbang berteknologi tinggi ini dijadual terbang mengelilingi dunia pada 2014. - AFP

Bertumbuk di Parlimen kerana bahasa Rusia



BEBERAPA orang menteri daripada parti pemerintah dan pembangkang bergaduh pada sesi pembentangan parlimen di Kiev, Ukraine kelmarin.


KIEV, Ukraine – Pergaduhan ganas tercetus pada sidang parlimen Ukraine kelmarin berikutan satu rang undang-undang yang akan membenarkan penggunaan bahasa Rusia di mahkamah, hospital dan institusi lain di negara tersebut.
Pergaduhan berlaku antara kumpulan pembangkang pro-Barat yang mahu membawa Ukraine keluar daripada bayang-bayang Rusia dengan anggota parti pemerintah pimpinan Presiden Viktor Yanukovych yang menyokong penggunaan bahasa Rusia.
Sekurang-kurangnya seorang menteri parti pembangkang, Mykola Petruk mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke hospital.
Pergaduhan di parlimen Ukraine bukanlah sesuatu yang luar biasa. Dalam satu pergaduhan pada Disember 2010, enam orang menteri dikejarkan ke hospital.
Ukraine berpecah kepada wilayah timur yang bertutur dalam bahasa Rusia dan mahukan hubungan rapat dengan Moscow. Bahagian barat pula yang menggunakan bahasa Ukraine dan pro-Barat, mahu negara itu menyertai negara Barat. – Agensi

Calon Ikhwanul Muslimin dahului pilihan raya Mesir



CALON Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi melambai tangan kepada penyokongnya sewaktu berkempen di Kaherah pada 30 April lalu. - Agensi



KAHERAH, Mesir - Calon pergerakan Ikwanul Muslimin, Mohammed Morsi mendahului pilihan raya presiden Mesir yang cukup sengit berdasarkan keputusan tidak rasmi semalam.
Sementara bekas perdana menteri, Ahmed Shafiq dan bekas komander tentera udara, Hamdeen Sabahi bersaing untuk menduduki tempat kedua serta merebut peluang menjadi pemimpin Mesir.
Morsi setakat ini mendahului dengan 28 peratus undi, lapor akhbar bebas Al-Masry Al-Youm. Jumlah itu dilihat cukup untuk membawanya ke pusingan penentuan.
Pada awalnya, akhbar tersebut melaporkan bahawa Syafiq mendapat 21 peratus undi dan Sabahi dengan 20 peratus undi. Namun, Sabahi kemudian mencipta kejutan apabila menang di bandar Iskandariah.
"Keputusan ini menunjukkan bahawa rakyat mahukan alternatif ketiga.
Kedua-duanya mewakili golongan yang bimbang dengan pentadbiran Islam tetapi tidak mahu rejim bekas Presiden Hosni Mubarak kembali memerintah negara," kata jurucakap kempen Sabahi, Hossam Mounis.
Pilihan raya penentu akan diadakan pada 16 hingga 17 Jun depan yang menyaksikan dua pemenang daripada pusingan pertama berentap.
Pemenangnya akan diumumkan pada 21 Jun depan.
Pilihan raya itu merupakan hasil daripada kebangkitan rakyat menumbangkan Mubarak.
Pilihan raya ini merupakan medan pertarungan sengit antara calon berfahaman Islamik dan pemimpin sekular yang berasal daripada rejim Mubarak. - Agensi