Pages

Saturday, April 7, 2012

Memperingati perang Bosnia




Gambar tidak bertarikh menunjukkan keadaan penduduk etnik Bosnia yang ditahan di kem tahanan perang Manjacar yang sesak dan tidak selesa selama berbulan-bulan. - AGENSI


SARAJEVO 6 April - Sejumlah 11,541 kerusi merah disusun dalam barisan sepanjang jalan utama di bandar raya ini, yang merupakan ibu negara Bosnia-Herzegovina, melambangkan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak yang terbunuh dalam kepungan paling lama dalam sejarah moden.
Sarajevo, hari ini memperingati ulang tahun ke-20 tercetusnya perang Bosnia.
Pameran, konsert dan persembahan diadakan tetapi tiada satu pun yang boleh menandingi kesan beratus-ratus barisan kerusi merah, yang lebih kecil melambangkan kanak-kanak yang terkorban, diletakkan di dataran yang sama di mana konflik itu mula meletus pada 6 April, 1992.
"Penduduk bandar raya ini perlu berhenti sejenak dan memberi penghormatan kepada warganya yang terkorban," kata penganjur 'Garisan Merah Sarajevo', Haris Pasovic.
Kepungan pengganas Serb ke atas Sarajevo berlarutan selama 44 bulan atau selama 11,825 hari, lebih lama daripada kepungan tentera Nazi Jerman ke atas bandar raya Leningrad (kini St. Petersburg) semasa Perang Dunia Kedua.
Seramai 380,000 penduduk di Sarajevo pada waktu itu tidak mempunyai bekalan elektrik, air atau alat pemanas, dan terpaksa bersembunyi daripada terkena 330 tembakan meriam yang dilepaskan oleh pengganas Serb setiap hari ke atas bandar raya ini.
Pada 6 April, 1992, kira-kira 40,000 penduduk di negara ini, terdiri daripada etnik Bosnia yang beragama Islam, puak Serb yang beragama Kristian Ortodoks dan etnik Croat penganut Roman Katolik membanjiri dataran Sarajevo untuk menuntut perdamaian daripada para pemimpin politik mereka yang berfahaman nasionalis.
Komuniti Eropah (EC) telah mengiktiraf Bosnia sebagai sebuah negara merdeka selepas majoriti penduduknya mengundi menyokong kemerdekaan daripada Republik Yugoslavia pada waktu itu.
Namun, pengundian dilakukan mengikut garis-garis etnik, dengan penduduk Bosnia dan Croat menyokong kemerdekaan tetapi Serb Bosnia memilih untuk terus berada dalam Yugoslavia yang didominasi oleh puak Serb.
Perpaduan etnik yang ditunjukkan di dataran Sarajevo membangkitkan kemarahan golongan nasionalis Serb yang kemudian melepaskan tembakan ke arah orang ramai dari sebuah hotel berdekatan, menyebabkan lima orang maut dan mencetuskan perang 1992-1995 itu. - AGENSI

Pekan terkecil di AS dilelong




Pekan Buford seluas 1.6 hektar, pekan terkecil di Amerika di lelong pada harga AS$900,000


SALMON 6 April – Sebuah pekan terkecil di Amerika Syarikat (AS) dijual pada harga AS$900,000 (RM2.7 juta) kepada seorang pembeli dari Vietnam selepas 11 minit dilelong dalam internet, semalam.
Pekan Buford, terletak di tenggara Wyoming antara Cheyenne dan Laramie, hanya mempunyai seorang penduduk, telah menarik minat ramai pembida daripada 46 negara semasa ia mula dilelong.
Firma jualan lelong di Oklahoma, Williams & Williams berkata, pembeli tersebut yang dirahsiakan namanya, berlepas dari Vietnam ke Wyoming untuk membeli pekan terbabit yang mempunyai kawasan seluas 1.6 hektar dan turut mempunyai kemudahan kedai, stesen minyak dan rumah.
“Memiliki harta di AS merupakan impian saya,” kata pembeli terbabit dalam satu kenyataan.
Satu-satunya penduduk di pekan itu, Don Sammos, berpindah bersama isterinya, Terry ke Buford dari Los Angeles pada 1980.
Pada 1992, enam tahun selepas kematian isterinya, Sammons membeli pekan terbabit dan menukar nama pekan berkenaan, Interstate 80 kepada Buford, sempena nama pegawai tentera Perang Saudara AS, Jeneral John Buford.
Lelaki berusia 61 tahun itu memutuskan untuk menjual pekan tersebut kerana mahu berpindah dekat rumah anak lelakinya di Colorado.
“Keluarga saya tiada lagi di sini. Tujuan saya berpindah ke sini telah selesai dan kini saya mahu mencuba cabaran lain,” katanya. – REUTERS

Runtuhan salji: 100 askar Pakistan tertimbus




7 April 2012
ISLAMABAD — Kira-kira 100 askar tertimbus dalam runtuhan salji di pangkalan tentera Pakistan yang terletak di Siachen, kawasan terpencil pergunungan Himalaya, di sempadan India, hari ini.

Menurut satu kenyataan tentera, helikopter, anjing pengesan dan tentera telah dikerahkan ke kawasan runtuhan bagi menyelamatkan mereka yang terperangkap.

Runtuhan berkenaan dilaporkan berlaku pada jam 8.45 pagi waktu tempatan.

Glasier Siachen terletak di penghujung utara Kashmir, yang merupakan kawasan yang dituntut oleh kedua-dua India dan Pakistan. Ia dikenali sebagai medan perang tertinggi di dunia.
Kedua-dua negara berkenaan mengerahkan beribu-ribu tentera mengharungi suhu sejuk yang melampau dan angin kencang untuk mengawal sempadan untuk satu tempoh berbulan lamanya pada satu-satu masa.

Tentera terbabit turut dikerahkan mengharungi ketinggian sehingga 6,700 meter (22,000 kaki) sejak 1984, walaupun kawasan itu diisytiharkan menguat kuasa gencatan senjata pada tahun 2003.

Sementara itu seorang pegawai yang ditempatkan di kawasan kejadian sejak tahun 2003 rasa pelik dengan kejadian itu.

"Ia sepatutnya selamat. Ibu Pejabat di Gayari adalah pintu masuk utama di mana tentera dan bekalan disalurkan. Ia terletak di sebuah lembah di antara dua gunung yang tinggi dan berhampiran dengan hospital tentera,” katanya yang enggan dikenali.

Tambahnya, lebih ramai askar telah meninggal dunia berikutan cuaca melampau berbanding pertempuran di medan perang.- AP

5 pegawai polis dipenjara hingga 65 tahun



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2012
Arthur Kaufman
WASHINGTON - Lima bekas pegawai polis New Orleans, yang menembak enam orang awam di atas satu jambatan ketika taufan Katrina tujuh tahun yang lalu, dihukum penjara antara enam hingga 65 tahun, semalam.

Keenam-enam mangsa ditembak di Danziger Bridge pada September 2005.

Laporan BBC menyebut bahawa empat daripada pegawai polis disabitkan kesalahan menggunakan senjata api manakala yang kelima pula cuba menutup kes itu, yang mengambil masa lima tahun untuk dibuktikan.

Pegawai-pegawai berkenaan didapati sengaja mereka saksi-saksi dan mengadakan laporan palsu selain meletakkan senjata di tempat kejadian bagi menjustifikasikan insiden tembakan.

Robert Faulcon, 48, dikenakan hukuman penjara paling lama iaitu 65 tahun; Kenneth Bowen, 38, dan Robert Gisevius, 39, pula masing-masing 40 tahun seorang, dan Anthony Villavaso, 35, perlu menjalani hukuman penjara 38 tahun.

Bekas sarjan Arthur Kaufman, 55, pegawai yang diberi tanggungjawab untuk menyiasat insiden itu dihukum penjara enam tahun kerana membantu menutup kes.

ICC tolak tuntutan Palestin dakwa Israel



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2012
PALESTIN
THE HAGUE - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilihat gagal memberi keadilan kepada semua pihak selepas dengan sengaja menolak tuntutan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mahu tribunal jenayah perang menyiasat kekejaman rejim Zionis di Genting Gaza.

Keputusan berat sebelah itu kononnya, terpaksa diambil hanya kerana Palestin tidak diiktiraf sebagai negara yang sah, walaupun tuntutan untuk mendapat keanggotaan penuh di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendapat sokongan 139 negara dan organisasi
antarabangsa.

Jurucakap pejabat pendakwa raya, menyatakan mahkamah tidak boleh membuat keputusan berdasarkan bidang kuasa sejagat kerana sesuatu kes hanya boleh dibuka jika dituntut oleh Majlis Keselamatan PBB atau negara yang diiktiraf.

Difahamkan, PA meminta ketua pendakwa raya, Moreno-Ocampo campur tangan berhubung konflik di negara tersebut dengan mengemukakan dokumen mengandungi butiran kekejaman Israel di wilayah Palestin sejak tahun 2002, tetapi usaha itu seakan sia-sia kerana keputusan itu.

AS dakwa lima suspek serangan 11 Sept



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2012
AS dakwa lima suspek serangan 11 Sept
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) akan mendakwa dalang utama serangan 11 September 2001, yang menyaksikan menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) dirempuh pesawat, yang dikendalikan oleh beberapa penyerang berani mati.

Suspek utama, Khaled Sheikh Mohammed bersama empat yang lain berhadapan dengan tuduhan keganasan, merampas pesawat, mengadakan konspirasi, pembunuhan dalam pencabulan undang-undang perang dan lain-lain.

“Dalam tuduhan itu, kelima-lima suspek dituduh bertanggungjawab terhadap perancangan dan melakukan serangan-serangan 11 September 2001 di New York, Washington, dan Shanksville, yang mengakibatkan seramai 2,976 orang terbunuh.

“Kes dirujuk kepada suruhanjaya ketenteraan utama yang membawa maksud, jika disabitkan kesalahan, kelima-lima suspek mungkin dihukum mati,” menurut kenyataan jabatan pertahanan.

Khaled bersama Walid Attash dan Mustafa al-Hawsawi dari Arab Saudi, Ramzi al-Shibh dari Yaman, Ali Abd al-Aziz yang turut dikenali sebagai Ammar al-Baluchi dari Pakistan, akan dihadapkan ke mahkamah untuk prosiding pertuduhan dalam tempoh 30 hari.

Perbicaraan yang mungkin berlangsung lebih sebulan akan diadakan di pangkalan tentera laut AS di Kepulauan Guantanamo, Cuba iaitu tempat suruhanjaya tentera khas yang ditubuhkan kerajaan AS terhadap suspek pengganas.

AS hukum penjara pengedar senjata 'Merchant of Death'



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 April 2012
Viktor Bout
NEW YORK - Pengedar senjata Viktor Bout, yang terkenal dengan panggilan "Merchant of Death", dihukum penjara 25 tahun oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS), semalam.

Ketika hukuman dijatuhkan, bekas pegawai Kesatuan Soviet itu menjerit "itu pembohongan."

Pendakwa raya membentangkan kes dengan mendakwa Bout ada mengakui bahawa dia menjual senjata bagi membunuh rakyat Amerika.

Pada November lalu, Bout, 45, didapati bersalah cuba untuk menjual senjata berat kepada kumpulan pemberontakan Colombia.

Dia ditahan di Bangkok pada 2008 susulan siri operasi di mana pemberi maklumat AS menyamar sebagai pemberontak Colombia.

Bout, yang dilaporkan menjadi inspirasi bagi penyeludup senjata dalam filem Hollywood, Lord of War tujuh tahun lalu, berada dalam tahanan di Thailand selama dua tahun sebelum diekstradisikan ke AS untuk menghadapi tuduhan.

Pengumuman hukuman tertangguh dua kali ekoran permintaan peguam-peguamnya agar diberikan lebih masa untuk membuat persediaan dan mendakwa pendakwa raya telah memerangkap warganegara Rusia itu.

"Dua puluh lima tahun sudah cukup," kata hakim Shira Scheindlin selepas Bout menegaskan dia tidak bersalah.

Ketua Jabatan Peguam Manhattan, Preet Bharara dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata: "Viktor Bout telah bertindak sebagai penyeludup nombor satu senjata bertahun-tahun, membekalkan senjata bagi kebanyakan wilayah yang berkonflik di seluruh dunia."

"Dia akhirnya dibawa ke muka pengadilan di mahkamah Amerika," katanya lagi.

Kenyataan itu menambah Bout mula menyalurkan senjata kepada wilayah-wilayah yang berkonflik di Afrika pada 1990-an

Pemberontak isytihar kemerdekaan Azawad, utara Mali



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 April 2012
Pemberontak isytihar kemerdekaan Azawad, utara Mali
GAO - Sebuah kumpulan pemberontak di utara Mali mengisytiharkan kemerdekaan wilayah yang dikenali sebagai Azawad, susulan kejayaan menguasainya, akhir bulan lalu.

Pergerakan Kebangsaan Bagi Kemerdekaan  Azawad (MNLA) membuat pengumuman itu menerusi laman webnya hari ini. MNLA juga menambah ia akan menghormati sempadan negeri-negeri lain.

MNLA merupakan salah satu daripada dua kumpulan pemberontak yang bertapak di utara Mali selepas kerajaan negara itu digulingkan.

“Bagi pihak rakyat Azawad yang bebas dan selepas perbincangan jawatankuasa eksekutif, majlis revolusi, majlis perundingan, pejabat-pejabat kawasan, ketua staf Tentera Kemerdekaan Kebangsaan, kami mengisytiharkan kemerdekaan Azaward, berkuat kuasa hari ini,” kata kenyataan dalam bahasa Arab.

MNLA juga meminta masyarakat antarabangsa mengiktiraf negara Azawad.

Kenyataan itu menambah MNLA akan menguruskan hal ehwal semasa Azawad sehingga pelantikan pihak berkuasa kebangsaan.

MNLA dibentuk Oktober 2011 apabila pemberontak Tuareg tempatan disertai ketua-ketua mereka, yang berada di Libya, selepas Muammar Gaddafi digulingkan.

Kanak-kanak 10 tahun lahir bayi 2.3kg



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 April 2012
Kanak-kanak 10 tahun lahir bayi 2.3kg
BOGOTA - Ini berita yang amat mengejutkan! Di saat rakan-rakan sebayanya masih bermain dengan anak patung, seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun di Colombia telah pun menjadi ibu kepada bayi perempuan seberat 2.3 kilogram.

Kanak-kanak puak peribumi Wayuu, yang tinggal di Semenanjung La Guajira, utara Colombia itu, dikejarkan ke hospital selepas sakit perut kerana kontraksi dan terpaksa menjalani proses kelahiran secara pembedahan Caesarean.

Doktor berkata, kanak-kanak itu tiba di hospital dalam keadaan pendarahan serta meraung kesakitan kerana kontraksi yang dialaminya, malah usia kandungannya mencecah 39 minggu berbanding usia kandungan normal iaitu 38 minggu.

Pihak polis mungkin boleh mendakwa bapa ibu muda itu kerana membenarkan seks bawah umur, tetapi kaum Wayuu diberi beberapa perlindungan membenarkan mereka mengekalkan kedaulatan dan warisan budaya tertentu termasuk melahirkan anak di usia sangat muda.

Di samping itu, masyarakat masih membisu dalam mendedahkan identiti si bapa bayi itu walaupun akhbar-akhbar Colombia mengeluarkan spekulasi bahawa suspek merupakan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun, selain percaya ia seorang lelaki dewasa 30-an.

Bagaimanapun, kes tersebut mendapat kritikan hebat pengarah hospital di mana dia melahirkan bahawa memang ada kanak-kanak lain daripada kaum Wayuu pernah melahirkan anak, namun tindakan itu tidak sepatutnya berlaku dalam usia terlalu muda yang masih dalam alam permainan dan persekolahan.

Jet pejuang AS rempuh apartmen, 7 cedera

Jet AS
VIRGINIA BEACH - Tujuh orang termasuk dua juruterbang dari Naval Air Station Oceana, Amerika Syarikat (AS) cedera dalam nahas jet pejuang F/A-18 Hornet menjunam di kawasan apartmen di sini sebaik ia berlepas, semalam.

Jet dua tempat duduk itu dilaporkan mengalami masalah teknikal.

Lima daripada tujuh yang cedera merupakan mereka yang berada di lokasi kejadian.

Kedua-dua juruterbang berjaya menekan butang kecemasan untuk keluar dari pesawat sebelum ia merempuh apartmen dan hanya mengalami cedera ringan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba Virginia Beach, Kapten Tim Riley, kejadian yang membabitkan kira-kira 40 unit apartmen telah rosak atau musnah kerana disambar api.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mangsa nahas telah dibawa ke hospital untuk rawatan pesakit luar.

Sementara itu, menurut penduduk tempatan, ketika kejadian, mereka terdengar satu letupan kuat dan ternampak api berwarna merah dan jingga.

"Oh, saya mendengar tiga letupan benar-benar kuat dan asap hitam naik tinggi di langit," kata seorang warga emas, 71, Felissa Ezell, yang tinggal berhampiran lokasi kemalangan.

Dalam situasi cemas itu, dua lelaki berjaya membantu salah satu juruterbang yang berlumuran dan operasi mencari mangsa lain diteruskan sehingga lewat petang.

Pegawai Pemerintah Tentera AS, Kapten Mark Weisgerber berkata, sebelum berlepas, bahan api telah dikeluarkan daripada pesawat berkenaan dan kemalangan mungkin disebabkan oleh kegagalan juruterbang.

"Kami menganggap diri kami sangat bernasib baik," katanya.

Namun katanya, penyiasat akan memastikan apa yang berlaku kerana jet jatuh kurang 10 kilometer dari Oceana.

5 ditahan, remaja jual buah pinggang beli iPhone, iPad

Rakyat China beratur panjang untuk membeli iPhone 4S di Beijing. - Foto ihsan TIME
BEIJING - Lima ditahan di selatan China selepas seorang remaja menjual buah pinggang hanya kerana mahu memiliki iPhone dan iPad.

Antara yang ditahan termasuklah seorang pakar pembedahan yang mengeluarkan buah pinggang remaja itu pada April tahun lalu.

Laporan agensi berita Xinhua berkata, kumpulan itu menerima sekitar AS$35,000 (RM105,000) bagi proses transplan itu.

Remaja itu dilaporkan berhadapan dengan masalah kegagalan ginjal berfungsi.

Hanya dikenali dengan nama keluarga Wang, remaja itu dilaporkan menerima kira-kira AS$$3,000 (sekitar RM9,000) bagi buah pinggang yang didermakan.

Remaja lelaki berusia 17 tahun itu dilaporkan menjadi sasaran menerusi perbualan di ruang sembang-sembang atas talian.

Insiden itu dikesan oleh ibu remaja apabila menyedari anaknya menggunakan gadjet baru.

Apabila ditanya dari mana dia memperoleh duit, remaja itu dilaporkan mengakui telah menjual buah pinggangnya.

Kumpulan yang terlibat dalam pembedahan mengeluarkan buah pinggang dituduh memperdagangkan organ secara haram.

Kedua-dua iPhone dan iPad sangat popular di China tetapi harganya sangat mahal sehingga tidak mahu dimiliki oleh kebanyakan pekerja di kawasan bandar.

Pada masa yang sama China berhadapan dengan situasi kurangnya penderma organ.

Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa 1.5 juta orang memerulkan transplan, tetapi hanya 10,000 pembedahan dilakukan setiap tahun.

HATI MATI DISEBABKAN 10 PERKARA

1. Kamu beriman kepada Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hakNya.

2. Kamu membaca kitab Allah (Al-Quran), tetapi kamu tidak beramal dengannya.

3. Kamu tahu Iblis itu musuh kamu, tetapi kamu masih lagi mengambilnya sebagai sahabat.

4. Kamu mendakwa kamu mencintai Rasulullah s.a.w., tetapi kamu meninggalkan sunnah dan pesanannya.

5. Kamu beriman dan ingatkan Syurga, tetapi kamu tidak beramal untuk memperolehinya.

6. Kamu mengaku dan beriman serta takut kepada api Neraka, tetapi kamu masih lagi melakukan dosa.

7. Kamu percaya mati itu mesti berlaku, tetapi kamu tidak membuat persediaan untuk menghadapinya.

8. Kamu sentiasa mengambil tahu hal keburukan orang lain, tetapi kamu lupa untuk mengambil tahu hal-hal keburukan sendiri.

9. Kamu makan rezeki yang Allah bagi, tetapi kamu tidak pernah bersyukur.

10. Kamu sering menghantar orang mati ke kubur, tetapi kamu tidak pernah mengambil iktibar.

SUMBER: Najmie Kuantan

SEBARKAN...

"MAKANAN KEGEMARAN RASULULAH S.A.W"




1. Barli – Bagus untuk demam jika dibuat sup.

2. Kurma – Nabi berkata rumah yang tidak mempunyai kurma adalah sepert
rumah yang tidak ada makanan.

3. Buah Tin – Buah dari syurga. Boleh mengubati buasir.

4. Anggur – Nabi suka buah anggur. Ia membersihkan darah, menguatkan
buah pinggang, membersihkan perut

5. Madu – Ia adalah makanan segala makanan, minuman segala minuman,
ubat segala ubat. Mengubati cirit birit jika dibancuh dengan air
panas, membuka selera, menguatkan perut, membuang kahak.
Elok diminun waktu pagi dengan air suam.

6. Tembikai (Segala Jenis) – Nabi berkata wanita mengandung tidak akan gagal
melahirkan anak yang baik dari segi karater dan wajahnya.

7. Susu – Nabi berkata susu baik untuk membuang panas badan seperti
tangan membuang peluh dari dahi. Menguatkan belakang,
memperbaiki otak memperbaharui pandangan mata, membuang
kelupaan.

8. Cendawan – Baik untuk mata, perancang keluarga.

9. Minyak Zaitun – Rawatan kulit dan rambut. Melambatkan penuaan, merawat
radang perut.

10. Delima – Membersihkan tubuh dari syaitan & bisikan syaitan selama 40 hari.

11. Cuka – Nabi selalu meminum dengan minyak zaitun (Trend yang popular
di restoran Itali)

12. Air – Minuman terbaik. Jika dahaga hendaklah disedut perlahan-lahan.
Jangan diteguk. Mudah mendapat sakit pada hati. ♥ ^___________^

SUMBER: Kami Peminat Ustaz Mohd Kazim Elias

Anak ‘ditawan’ dalam rumah


TERLANTAR...Norhayati yang cedera menerima rawatan di hospital.
TERLANTAR...Norhayati yang cedera menerima rawatan di hospital.


KAJANG: Seorang wanita yang pulang ke rumah selepas berniaga tidak menyedari anak perempuannya yang ditinggalkan seorang diri ditahan lelaki bertopeng bersenjatakan parang lebih sejam selepas memecah masuk rumah mangsa di Taman Semarak, di sini, kelmarin.
Mangsa mengetahui kejadian itu selepas perasan kelibat seorang lelaki berbadan besar melintas di belakangnya ketika mahu membuka langsir dan tingkap sebaik pulang ke rumah, jam 1.30 tengah hari.

Menurut mangsa, Norhayati Manap, 47, dia kemudian mengintai ke bahagian dapur untuk mencari anaknya dan tiba-tiba diacukan parang oleh seorang lelaki yang memberi arahan supaya tidak membuat bising.

“Saya ingatkan anak membawa kawan sebaliknya belum sempat bertanyakannya, lelaki bertopeng itu sudah mengacukan parang ke leher saya.

“Melihat tindakannya itu, saya cuba melawan dan mempertahankan diri menyebabkan kedua-dua tapak tangan saya ditetak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, dia menyedari cedera sebaik melihat darah membasahi baju dan menitis di lantai dapur selain terasa pedih di tapak tangan.


“Melihatkan keadaan saya yang lemah, lelaki itu melarikan diri menaiki motosikal bersama wang hasil perniagaan dan barang kemas yang disimpan dalam beg berniaga dianggarkan RM8,000,” katanya.

Katanya, sebaik lelaki terbabit melarikan diri, dia menggagahkan diri membuka pintu menggunakan siku sebelum menjerit meminta tolong jiran.

Sementara itu, anak ketiga mangsa, Mastura Mohd Fadilah, 18, berkata, dia tidak menyedari kehadiran lelaki terbabit kerana berada dalam bilik air selepas selesai membersihkan rumah.

“Sebaik keluar dari bilik air, seorang lelaki bertopeng mengacukan dua parang di kiri dan kanan leher saya serta mengarahkan diam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian itu.

Pejuang Islam Mali tolak perisytiharan kemerdekaan

BAMAKO: Panglima perang kumpulan pemberontak Islam yang menguasai bandar raya Timbuktu semalam berkata, pihaknya menentang kemerdekaan di wilayah utara Mali yang diumumkan etnik Tuareg.
Beliau sebaliknya berkata, mereka hanya berjuang untuk Islam.

“Perang kami ialah jihad. Ia perang yang sah atas nama Islam. Kami menentang pemberontakan yang tidak berdasarkan Islam,” kata Omar Hamaha, menerusi video yang diperoleh agensi berita AFP.

“Kemerdekaan ialah Islam. Itu kemerdekaan sebenarnya. Ia bertujuan untuk melaksanakan syariah, dari pagi hingga ke malam,” kata Omar.

Kumpulan pemberontak etnik Tuareg, MNLA, sebelum ini mengisytiharkan kemerdekaan di utara negara itu.

Kumpulan itu menawan utara Mali bersama-sama Ansar Dine, satu kumpulan pemberontak kecil lain selepas rampasan kuasa di Bamako oleh pihak tentera kira-kira dua minggu lalu.


Ansar Dine kemudian menguasai Timbuktu dan merancang melaksanakan undang-undang syariah.

Dalam pada itu, Kesatuan Afrika juga menolak perisytiharan kemerdekaan yang dibuat oleh etnik Tuareg. - AFP

Turki minta bantuan PBB

BEIRUT: Tentera Syria mengebom beberapa bandar dan perkampungan, selain menghantar kereta kebal serta penembak curi bagi menghadapi pemberontak di pinggir Damsyik, semalam.
Tindakan itu dilihat cubaan kerajaan memadam saki-baki penentangan pemberontak ketika gencatan senjata ditaja komuniti antarabangsa bakal dilaksanakan kurang dari seminggu lagi. Ketika pertempuran semakin meningkat, aliran masuk warga Syria ke Turki meningkat ketara dan dianggarkan satu per tiga daripada 24,000 pelarian itu memasuki negara jiran sejak dua minggu lalu. Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, berkata kira-kira 2,500 rakyat Syria melintasi sempadan kelmarin. Bercakap kepada Setiausaha Agung PBB, Ahmed berkata, Turki akan meminta bantuan badan dunia itu jika kebanjiran pelarian perang berterusan. “Keganasan yang semakin meningkat ini sangat membimbangkan,” katanya, Dipercayai, kedatangan pelarian besar-besaran ke Turki dicetuskan gerakan ganas Presiden Bashar al-Assad di kawasan berhampiran Idlib yang berjiran dengan Turki.

Aktivis kemanusiaan berkata, sejumlah kematian dicatatkan di kawasan perkampungan Taftanaz serta Killi yang dibom rejim Bashar semalam. Pelarian berkata, kerajaan menggunakan helikopter dan kereta kebal untuk mengebom kampung mereka.

Berpuluh-puluh pelarian, termasuk anak muda bertongkat dan tentera yang berpaling tadah berkumpul berhampiran kawat duri di sempadan Syria menunggu masa masuk ke Turki. - AP

Penjara 25 tahun tak adil: Russia

NEW YORK: Kementerian Luar Russia semalam menganggap, hukuman penjara 25 tahun ke atas pengedar senjata yang dikenakan ke atas rakyatnya sebagai “tidak berasas dan berat sebelah.”
Kerajaan juga, kata kementerian itu, berikrar untuk mencari jalan membawa Viktor Bout kembali ke Russia.

Pernah digelar sebagai Saudagar Maut, Bout dihukum penjara di New York selepas disabitkan tuduhan terbabit dalam keganasan. Sebaik hukuman dibacakan, Bout menjerit “Ini satu pembohongan!” di dalam mahkamah. Dia dipenjara sejak ditahan di Thailand empat tahun lalu selepas bertemu dengan ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS yang menyamar sebagai pengganas Colombia.

Dia diekstradisi ke AS untuk dibicarakan pada 2010.

Pendakwa menganggap Bout, 45, sebagai antara penjenayah paling berbahaya dan pernah menjual pelbagai senjata, termasuk peluru berpandu bernilai RM60 juta.

Bagaimanapun, Bout mendakwa, dia menjalankan perniagaan yang sah di sisi undang-undang. - AP

‘Saya digelar makhluk asing’

GERUN...Hisham memegang bahagian hadapan kepalanya.
GERUN...Hisham memegang bahagian hadapan kepalanya.

PASIR MAS: Pelbagai gelaran diberikan terhadap dirinya, termasuk ‘makhluk asing’, namun, ia tidak mematahkan semangat Mohd Izanuddin Hisham Muhamad, 24, dari Kampung Kubang Panjang, Jalan Rantau Panjang Lama, dekat sini, untuk meneruskan kehidupannya.
Bayangkan, bahagian hadapan kepalanya yang berbeza berbanding insan normal menyebabkan ada kanak-kanak menangis apabila terserempak atau melihatnya dari dekat.

Bagaimanapun, di sebalik kekurangan itu, dia mempunyai daya ingatan yang sangat kuat dan mampu mendendangkan lagu Hindustan dengan baik walaupun rangkap dinyanyikan tidak sepenuhnya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu mampu menceritakan secara terperinci kemalangan menimpa dirinya tiga tahun lalu yang menyebabkan separuh tempurung kepalanya dibuang doktor.

Dia yang membahasakan dirinya, Hisham berkata, kejadian pada tengah hari Jumaat pada 2009 merubah kehidupannya dalam sekelip mata.

Katanya, ketika itu, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Kuala Krai melalui Tanah Merah menuju Pasir Mas.


“Sebaik tiba di Kangkong, tiba-tiba, sebuah Honda Jazz dari arah Pasir Mas dipandu seorang warga Thailand cuba memotong sebuah kenderaan lain, namun, gagal lalu bertembung motosikal saya.

“Akibat pertembungan itu, saya melayang ala ‘Superman’ sejauh dua meter dan melanggar sebatang pokok sebesar pemeluk di tepi jalan menyebabkan topi keledar dipakai terbelah dua. Akibat kemalangan itu, saya koma tiga bulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II), Kota Bharu,” katanya.

Katanya, sebaik sedar, dia hairan melihat pesakit lain termasuk pengunjung wad memandangnya, seolah-olah ada benda pelik berlaku ke atas dirinya.

“Saya meraba seluruh tubuh, namun, tiada yang ganjil sehinggalah saya memegang bahagian atas kepala dan terkejut apabila ada lekuk besar di situ.

“Saya minta ibu yang berada di sisi katil menghulurkan cermin dan sebaik memandang cermin, saya hampir ‘hilang akal’ kerana tidak menyangka kepala yang sebelum ini sempurna, kini cacat,” katanya.

Bagaimanapun, sebaik ditenangkan ibunya, Shamsiah Yatim, 57 dan ayahnya, Muhamad Mohd Noor, 52, barulah dia akur serta pasrah dengan takdir Ilahi.

Selain kehilangan separuh tempurung kepala, Hisham turut juling mata kirinya, namun, mengakui penglihatannya masih jelas.

Menurutnya, pertama kali keluar rumahnya sebaik dibenarkan pulang dari hospital, dia panik apabila anak jiran menangis ketakutan sebaik melihat kepalanya.

“Ketika itu, kepala saya botak menyebabkan ketiadaan tempurung kepala itu boleh dilihat dengan jelas,” katanya yang terkenal dengan gelaran Hisham Lekuk.

Mengenai kos rawatan bagi menggantikan tempurung kepalanya, Hisham menjelaskan, ibu bapanya yang bekerja kampung tidak mampu membiayainya kerana kos pembedahan agak tinggi iaitu antara RM8,000 hingga RM12,000, tidak termasuk kos perubatan.

Sehubungan itu, Hisham merayu sesiapa yang ingin membantunya boleh menghubungi ayahnya menerusi talian 017-9335461.

Rebah dipanah petir


TINJAU...peronda lebuh raya melihat tempat kejadian.
TINJAU...peronda lebuh raya melihat tempat kejadian.



BUKTI...payung yang turut disambar petir.
BUKTI...payung yang turut disambar petir.
KUALA LUMPUR: Niat seorang lelaki memberhentikan kereta di tepi jalan untuk membantu mangsa kemalangan membawa padah apabila dia disambar petir sebaik menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi peronda lebuh raya bagi memaklumkan kejadian itu, kelmarin.
Berikutan kejadian dalam hujan lebat kira-kira jam 4 petang itu di Kilometer 9.3 Lebuhraya Elite arah Putrajaya selepas susur USJ Subang Jaya, mangsa, Herman Zulkarnaen, 29, yang sedang menggunakan telefon bimbit tiba-tiba disambar petir sebelum rebah tidak sedarkan diri.
Dia sebelum itu melihat sebuah kereta dinaiki seorang wanita, ibunya dan tiga anaknya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di tempat kejadian.

Herman dikatakan dalam perjalanan ke Melaka atas urusan kerja kini dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.


Menurut pemandu kereta terbabit, Rosanita Azizan, 44, ketika kejadian, dia bersama ibu dan tiga anaknya dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Nilai sebelum keretanya hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.

Bekas isteri sultan Brunei menang kes barang kemas

BRUNEI: Bekas isteri Sultan Brunei semalam memenangi kes mahkamah terhadap bekas pengawal peribadinya yang mencuri dan menjual berlian miliknya bernilai lebih 12 juta pound (RM60 juta).
Fatimah Kumin Lim mengambil batu permata yang dimiliki Mariam Aziz, 55, dan menggantikannya dengan barang kemas tiruan. Mariam yang mempunyai empat anak hasil perkahwinannya dengan Sultan Hassanal Bolkiah pada 1981 sebelum bercerai pada Februari 2003, ‘berjaya memenangi kes ini,’ umum hakim di Mahkamah Tinggi London.

Dakwaan itu bersangkut-paut dengan rantai tangan berlian bernilai 3.5 juta pound (RM10.5 juta) dan dua butir berlian berharga yang diberikan kepadanya oleh Sultan sebagai hadiah pada 1986.

Sebutir berlian berbentuk buah pir dianggarkan Mariam bernilai 8 juta pound (RM40 juta), manakala berlian berbentuk segi empat tepat berwarna kuning dikatakan bernilai 600,000 pound (RM3 juta). Hakim Justice Lindblom menolak dakwaan Fatimah, 34, bahawa dia diarahkan Mariam supaya menjual berlian berkenaan bagi membayar hutang judi majikannya itu. Mariam menuntut kerugian mengikut nilai harga rantai tangan itu atas dasar ia sudah dijual dan tidak dapat dikembalikan. Hakim berkata, dia berhak memperoleh kira-kira RM16.62 juta. - DM