Pages

Thursday, November 24, 2011

Rakyat tolak janji Hussein

KAHERAH: Beribu-ribu rakyat Mesir menunjuk perasaan di Dataran Tahrir semalam, menuntut pemerintahan tentera ditamatkan meskipun pemimpin sementara negara itu berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada presiden yang dipilih menjelang pertengahan 2012.

Ketua pemerintah tentera, Hussein Tantawi yang menjadi Menteri Pertahanan ketika pemerintahan Hosni Mubarak tetapi mengambil alih kuasa selepas bekas presiden itu disingkirkan pada Februari lalu, berikrar dalam ucapan menerusi televisyen kelmarin untuk mengadakan pilihan raya presiden akhir Jun depan.


Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menyerahkan kuasa serta-merta menerusi satu pungutan suara ‘jika rakyat berkehendakkan begitu.’ Bagaimanapun, puluhan ribu rakyat Mesir yang menyertai perhimpunan antitentera di Dataran Tahrir selepas berita mengenai ucapannya tersebar berkata, mereka tidak mempercayai walau sepatah perkataan yang diucap Hussein.

“Kami tidak boleh mempercayai kata-katanya. SCAF tidak melakukan apa-apa walaupun sudah berbulan-bulan berkuasa,” kata Ibtisam al-Hamalawy, 50, merujuk kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera.


“Hussein ialah Mubarak yang berpakaian tentera,” kata akauntan, Ahmed Mamduh, 35.


Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir membayangkan mereka tidak mahu mendengar apa-apa kecuali pengumuman menamatkan pemerintahan tentera.

Sejak penggulingan Hosni, kemarahan penunjuk perasaan terhadap masjlis tentera semakin meningkat.


Mereka menuduh majlis itu melanjutkan pemerintahan rejim lama dan bertindak ganas seperti era Hosni dalam usaha mengekang bantahan.

Tunjuk perasaan terbesar yang terbaru itu bermula Sabtu lalu, membawa kepada perletakan Kabinet, hanya seminggu sebelum pilihan raya Parlimen diadakan, yang pertama sejak Mubarak disingkir.


“Revolusi kedua,” tajuk akhbar prokerajaan, Al-Akhbar, dalam edisinya semalam.


“Perkara paling berbahaya yang boleh berlaku ialah hubungan yang semakin buruk antara tentera dan kerajaan,” kata akhbar itu. - AFP

myMetro | Rakyat tolak janji Hussein:

'via Blog this'

Mohamed ElBaradei kecam keganasan pasukan keselamatan

KAHERAH: Bakal calon Presiden Mesir, Mohamed ElBaradei (gambar) semalam menuduh pasukan keselamatan melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ ke atas penunjuk perasaan antitentera.’

“Gas pemedih mata dengan racun saraf dan peluru hidup digunakan terhadap orang awam di Dataran Tahrir di Kaherah. Mereka melakukan pembunuhan berama-ramai,” kata Mohamed dalam laman Twitternya.


Terdahulu, sumber tentera memberitahu AFP, majlis tentera berbincang kemungkinan melantik bekas ketua agensi pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu untuk mengetuai kerajaan baru selepas perletakan jawatan Kabinet Isnin lalu.

Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) berdepan dengan krisis paling buruk sejak mengambil alih kuasa berikutan penggulingan Hosni Mubarak Februari lalu.


Menurut Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh sejak Sabtu lalu apabila pasukan pasukan keselamatan bertindak ganas untuk menyuraikan penunjuk perasaan. - AFP

myMetro | Mohamed ElBaradei kecam keganasan pasukan keselamatan:

'via Blog this'

Pesawat terhempas elak orang kampung lintas landasan

TIMIKA (Indonesia): Sebuah pesawat kecil terhempas ke kawasan pergunungan sejurus selepas membatalkan pendaratan di kawasan terpencil di wilayah Papua, semalam, membunuh seorang pembantu juruterbang warga Sepanyol.

Menurut pegawai penyelamat tempatan, juruterbang pesawat itu terselamat, tetapi mengalami kecederaan parah.


Ketua agensi penyelamat tempatan, Sumpeno Yuwono, berkata juruterbang terbabit membatalkan cubaan mendarat di lapangan terbang kecil di daerah Paniai selepas melihat ada orang kampung berkeliaran di landasan.

“Selepas meninggalkan kawasan itu, pesawat Cessna Grand Caravan milil Susi Air itu terhempas ke kawasan pergunungan kira-kira 11 kilometer dari situ,” katanya.


Menurut Sumpeno, juruterbang warga New Zealand itu dikejarkan ke hospital di bandar Timika, manakala mayat rakannya dihantar ke lapangan terbang berhampiran.


Seperti kebanyakan kawasan terpencil, landasan pendaratan di Paniai tidak berpagar dan orang kampung biasanya menjadikan ia laluan pintas.

Malah, kadang-kadang ada kanak-kanak menjadikannya sebagai padang permainan bola sepak. Pesawat itu terbang dari Nabire untuk menghantar makanan ke perkampungan di Timika. - AFP

myMetro | Pesawat terhempas elak orang kampung lintas landasan:

'via Blog this'

Bekas pengetua terbabit pornografi dijel 30 tahun

DUBUQUE (Amerika Syarikat): Seorang bekas guru besar sekolah rendah di Iowa dihukum penjara 30 tahun, semalam selepas mengaku bersalah atas dakwaan menghasilkan pornografi kanak-kanak membabitkan murid sekolahnya.

Robert Burke, 43, mengaku sebagai pemimpin sebuah sekolah di Dubuque, Iowa, dia menggunakan kamera video yang tersembunyi di bilik air sekolah untuk merakam secara rahsia alat sulit murid lelaki,” kata Jabatan Perundangan Amerika Syarikat.


Burke juga mengakui menyimpan video itu di komputer di kediamannya.

Kegiatannya terbongkar selepas ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Washington memuat turun lapan imej pornografi kanak-kanak yang dikesan dari kediaman Burke. Bagaimanapun, Berke menegaskan dia tidak menyentuh mana-mana kanak-kanak berkenaan secara seksual.


Ujian forensik daripada peralatan komputer Burke turut mendedahkan tiada bukti menunjukkan dia berkongsi video yang dihasilkannya itu dengan pihak lain di sekolah.


Selain hukuman 360 bulan penjara, Burke turut didenda AS$25,000 (RM80,000).

myMetro | Bekas pengetua terbabit pornografi dijel 30 tahun:

'via Blog this'

Tali barut CIA kena cekup




2011/11/23

Hizbullah, Iran guna alat perisik AS kesan pembelot

WASHINGTON: Amerika Syarikat mendapat tamparan hebat apabila pergerakan Hizbullah berjaya mengenal pasti dan menahan pemberi maklumat di kalangan anggotanya yang bekerja untuk Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Selain itu, dalam perkembangan berasingan di Teheran, pegawai di Iran turut berjaya membongkar identiti beberapa orang yang didakwa menjadi pemberi maklumat CIA.
Bekas pegawai Amerika berkata, pemberi maklumat CIA, dipercayai direkrut di kalangan rakyat tempatan berjaya dikenal pasti disebabkan kecuaian dalam prosedur kerja dikenali dalam dunia penyamaran sebagai ‘tradecraft’ yang digunakan agensi berkenaan.

Oleh itu, bekas pegawai operasi CIA, Bob Baer, yang bukunya dijadikan filem Hollywood, Syriana, berkata kemampuan Hizbullah tidak boleh dipandang rendah.

“Sistem keselamatan Hizbullah setanding dengan agensi lain di dunia. Ia lebih baik daripada agensi perisikan Russia, KGB,” kata Baer.

Satu sebab Hizbullah berjaya membongkar pengintip ialah kerana ia mempunyai pengaruh besar hingga dapat memaksa pasukan keselamatan Lubnan menyerahkan komunikasi sulit dan peralatan pengintipan dibekalkan Amerika.
Ia kemudian menggunakan peralatan itu untuk mengenal pasti dan mengesan pemberi maklumat CIA. – Reuters
Berita Harian Online | Tali barut CIA kena cekup:

'via Blog this'

Rakyat Mesir sahut gesaan terus protes

PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak  gas pemedih mata ketika menyertai protes  di Dataran Tahrir, semalam.
PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak gas pemedih mata ketika menyertai protes di Dataran Tahrir, semalam.
Desak majlis tentera yang memerintah serah kuasa

KAHERAH: Rakyat Mesir beramai-ramai menuju ke Dataran Tahrir semalam untuk perhimpunan besar-besaran menuntut menamatkan pemerintahan tentera, meningkatkan ketegangan selepas pertempuran selama beberapa hari dianggap mengancam pilihan raya perundangan minggu depan.
Aktivis Perikatan Revolusi Belia dan gerakan 6 April menggesa protes bermula di Dataran Tahrir pada 4 petang waktu tempatan (12 tengah malam di Malaysia).
Kerajaan awam yang dilantik tentera mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin tetapi televisyen memetik sumber Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) sebagai berkata, ia ditolak tentera.

Keputusan kerajaan dan tindakan SCAF disusuli pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota keselamatan dekat bangunan Kementerian Dalam Negeri.

Pencegah rusuhan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menggunakan batu dan bom petrol.

Penunjuk perasaan lain membantu mereka yang cedera untuk mendapatkan rawatan di ambulans dekat situ.
Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, pusat demonstrasi yang menumbangkan pemerintahan Hosni Mubarak Februari lalu, melaungkan slogan mengecam SCAF dan polis.

“Kementerian Dalam Negeri pembunuh,” laung penunjuk perasaan menjelang perhimpunan beramai-ramai itu.

Pasukan perubatan berkata, dua terbunuh awal semalam, menjadikan angka yang terkorban akibat pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan sejak Sabtu lalu meningkat kepada 28.

Dalam usaha menangani krisis itu, SCAF menjemput semua parti politik dan kebangsaan menyertai rundingan penting semalam, lapor media.

Pertubuhan Ikhwanul Muslimin berkata, ia akan mengambil bahagian dalam rundingan itu tetapi tiada petunjuk sama ada pihak yang menggesa bantahan itu akan hadir.

Amerika Syarikat berkata, ia amat bimbang dengan keganasan dan mendesak pilihan raya demokratik manakala Amnesty International menuduh rekod SCAF mencabul hak asasi manusia lebih buruk daripada era Mubarak.

SCAF berkata, ia meminta Kementerian Kehakiman menubuhkan jawatankuasa menyiasat keganasan dan menggesa semua pihak dan rakyat berusaha mengembalikan keamanan, dan mewujudkan persekitaran stabil dengan matlamat mengadakan proses politik. – AFP
Berita Harian Online | Rakyat Mesir sahut gesaan terus protes:

'via Blog this'

Tiga nenek dipenjara 10 bulan


Oleh : MOHD ISKANDAR OTHMAN
Tarikh : November 23, 2011
nenek

GEOREGETOWN - Layak digelar nenek namun perangai persis remaja yang baru meningkat umur. Itu gambaran yang boleh dibuat ke atas tiga wanita yang dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas didapati bersalah memiliki dadah.

Aloyah Abdul Hamid, 56; Norlia Yahya, 42; dan Saadiah A Rahman, 54, didapati bersalah selepas ditahan pada 28 September lalu kira-kira jam 6 petang di sebuah rumah di Jalan Selangor di sini.

Mengikut pertudu­han, mereka bersama-sama didakwa memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines seberat 0.75 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum me­ngikut Seksyen 12(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketiga-tiga wanita itu yang hadir ke mahkamah berpakaian penjara bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Ketika diberi kesempatan membuat rayuan, mereka merayu dikenakan hukuman ringan bermula dari tarikh tangkapan.

Difahamkan, mereka kini sedang menjalani hukuman penjara akibat kesalahan mengambil dadah.

Majistret Noor Aini Yusof kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan yang dijalankan serentak dengan hukuman yang dikenakan sebelum ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nur Farhana Hashim.

Tiga nenek dipenjara 10 bulan - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mesir huru-hara


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 23, 2011
Mesir huru-hara

KAHERAH - Mesir bakal berhadapan kekacauan politik buat kali kedua di negara itu dalam tempoh sembilan bulan, apabila penunjuk perasaan mula merancang protes besar-besaran, minggu ini, bagi menamatkan peme­rintahan tentera yang didakwa cuba merampas kuasa.

Tidak cukup dengan itu, seluruh barisan Kabinet Mesir turut memberikan surat perletakan jawatan kepada Majlis Tertinggi Tentera sekali gus menandakan ketidakstabilan politik berpanjangan akan berlaku di negara dengan penduduk paling ramai di Timur Tengah itu selepas penggulingan Presiden Hosni Mubarak.

Protes besar-besaran terbaru bermula sejak minggu lalu dengan lebih 20,000 penunjuk perasaan memenuhi Dataran Tahrir di Kaherah selepas pembunuhan 33 orang oleh pihak berkuasa, Sabtu lalu.

“Rakyat mahu Tantawi berundur!” adalah antara laungan penunjuk perasaan yang merujuk kepada ketua majlis tentera, Mohamed Hussein Tantawi iaitu bekas menteri pertahanan yang berkhidmat selama 20 tahun di bawah Mubarak.

Sehingga kini, majlis tentera belum memberi keputusan sama ada akan menerima perletakan jawatan Kabinet yang dibuat hanya beberapa hari sebelum pilihan raya pertama bermula, Isnin depan.

Mesir huru-hara - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Askar Israel baling batu dipenjara


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 23, 2011
Askar Israel baling batu dipenjara

TEL AVIV - Seorang askar Israel, kelmarin, dijatuhi hukuman penjara 10 hari kerana membaling batu ke arah seorang lelaki Palestin di Hebron, Tebing Barat.

Menurut laporan akhbar Israel, anggota tentera itu sedang berkawal di sebuah pos di bandar Hebron semasa jurukamera warga Palestin yang bekerja dengan badan hak asasi manusia Betzelem merakam gambarnya.

Rakaman yang dimuat naik di laman YouTube, Khamis lalu, menunjukkan askar itu berang, apabila gambarnya dirakam sebelum membaling batu ke arah jurukamera itu.

Mangsa kemudian memfailkan aduan kepada pejabat tentera Israel.

Sementara itu, puluhan pendatang Israel, Ahad lalu, menyerang sebuah kedai di Tebing Barat milik seorang lelaki Palestin yang dibebaskan semasa perjanjian pertukaran tahanan dengan rejim Zionis, bulan lalu.

Hampir 800 pendatang haram Yahudi menetap di Hebron di bawah kawalan ketat tentera Israel bersama puluhan ribu penduduk Palestin di bandar yang dikawal askar Zionis dan pihak berkuasa Palestin itu.

Askar Israel baling batu dipenjara - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Jemaah haji Turki diserang di Syria


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 23, 2011

HOMS - Beberapa penyerang bersenjata di Syria, menembak ke arah bas membawa jemaah haji Turki yang sedang dalam perjalanan pulang ke negara mereka, selepas menunaikan ibadah haji di Makkah, menyebabkan dua jemaah cedera, kelmarin.

Kejadian terbaru itu dijangka mengeruhkan lagi hubungan Turki dan Syria yang sedia tegang selepas Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam tindakan Presiden Syria, Bashar Al-Assad kerana menggunakan kekerasan terhadap rakyat Syria.

Menurut penumpang bas, mereka ditahan di pos kawalan berhampiran bandar Homs, Syria sebelum penyerang berpakaian uniform tentera Syria melepaskan tembakan ke arah kenderaan itu selepas mengetahui penumpang adalah warga Turki. Namun dakwaan itu masih disiasat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih 3,500 orang awam terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Bashar bermula di Syria, Mac lalu.

Jemaah haji Turki diserang di Syria - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mayat bayi berulat tepi jalan


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
Mayat bayi berulat tepi jalan

IPOH - Program Community Oriented Policing (C-Cop), yang dianjurkan Balai Polis Sungai Senam di sebuah restoran terkenal di Greentown di sini, digemparkan dengan penemuan mayat bayi sudah berulat dalam sebuah beg plastik di tepi Jalan Dato Ahmad Said, Pusat Perniagaan Greentown di sini, semalam.

Mayat bayi itu ditemui seorang pekerja kontrak, Jamil Mohd Bakin, 49, pada 9.40 pagi ketika hendak memulakan tugas membersihkan kawasan pencawang elektrik berhampiran.

Lebih malang, mayat bayi yang tidak cukup bulan itu dibungkus dengan seluar ditemui dengan kecederaan serius di kepala dan dibiarkan di pangkal pokok sehingga membusuk.

Jamil berkata, dia terkejut melihat sekujur tubuh bayi dengan kesan darah dalam bungkusan berkenaan.

“Saya ingatkan kain biasa, tetapi dalam hati kuat mengatakan ia adalah mayat kerana bau busuk sangat kuat dalam plastik itu.

“Setelah nampak badan bayi itu, saya kemudian melaporkan kepada polis yang kebetulan mengadakan program di restoran berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, bayi itu dipercayai dibuang di situ dalam tempoh dua atau tiga hari yang lalu.

Mayat bayi berulat tepi jalan - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Deja vu di Mesir


Oleh : FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN
Tarikh : November 24, 2011
Deja vu di Mesir

KAHERAH - Sembilan bulan lalu, pulu-han ribu rakyat Mesir keluar beramai-ramai ke Dataran Tahrir di ibu negara Kaherah semasa protes besar-besaran menentang pemimpin kuku besi, Presiden Hosni Mubarak.

Dan kini, situasi sama berulang lagi tetapi kali ini sasarannya adalah majlis tentera Mesir yang mengambil alih pemerinta-han sejak Mubarak berjaya digulingkan pada 11 Februari lalu.

Janji pemimpin Majlis Tertinggi Tentera Mesir, Mohamed Hussein Tantawi, kelmarin, untuk memindahkan kuasa kepada kerajaan awam, Jun depan, iaitu enam bulan lebih awal berbanding rancangan asal, gagal menghentikan protes yang masuk hari kelima, semalam, dan semakin merebak ke seluruh negara.

Bukan sahaja cara protes serupa dengan kebangkitan menentang Mubarak, malah keganasan pihak berkuasa juga sama apabila hampir kesemua 37 mangsa terbunuh mempunyai kesan tembakan walaupun polis menafikan menggunakan peluru hidup.

Majlis tentera, kelmarin, turut mengesahkan pilihan raya bebas pertama di Mesir akan tetap dijalankan seperti yang dijadual, Isnin depan namun kekacauan terbaru ini mungkin menjejaskan proses pemilihan anggota Parlimen Mesir.

Rakyat Mesir kini sedar mereka memiliki kuasa luar biasa untuk menukar pemerintahan negara dan mendapatkan apa mereka mahu tetapi persoalannya, adakah kuasa ini juga akan menyebabkan negara dengan 80 juta penduduk itu terperangkap dalam keganasan berpanjangan?

Deja vu di Mesir - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Calon SPM ditangkap khalwat


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
Khalwat

LEDANG – “Saya hanya berehat dan menonton televisyen di bilik ini.”

Demikian alasan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila dicekup berkhalwat bersama pasangannya oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL), awal pagi semalam.

Remaja perempuan berusia 17 dan pasangannya berusia 27 itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12.30 pagi ketika sedang berdua-duaan di dalam sebuah bilik di bengkel jentera di Serom 6, Sungai Mati, di sini.

Pelajar itu juga mendakwa dia datang ke bilik teman lelakinya itu sekadar untuk mengisi masa lapang kerana tiada kertas peperiksaan yang diduduki pada hari tersebut, selain akan pulang ke rumah di Muar sebaik sahaja selesai berehat di bilik itu.

Manakala, teman lelakinya adalah duda beranak dua dan baru sahaja bekerja di bengkel itu sejak sebulan lalu.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguatkuasa, Zainal Kadiran memeriksa bilik di bengkel itu.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya berseluar dalam membuka pintu.

“Para penguat kuasa hanya me­nunggu kira-kira dua minit sebelum lelaki itu membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan menemui seorang remaja perempuan memakai baju-T dan berseluar pendek sedang baring di atas tilam,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Mati untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing.

“Mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Calon SPM ditangkap khalwat - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Empat terkorban banjir di Kelantan


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
Empat terkorban banjir di Kelantan

KOTA BHARU - Banjir hari kedua di Kelantan semalam mengorbankan empat nyawa, dua darinya pasangan adik-beradik yang lemas dalam tragedi di tiga lokasi berasingan.

Mohd Arif Hukmi, 10 dan Mohd Fathi Asyraf, 14, maut setelah lemas di tali air di Kampung Tualang Salak, Bachok manakala pelajar tahfiz Mohd Raihan Hasnan, 15, dikhuatiri lemas di tali air Lubuk Tapah Pasir Mas.

Mayat mangsa keempat, seorang kanak-kanak, Shahrul Aiman Mohd Ridzuan, dua tahun 11 bulan, ditemui ibunya setelah bermain di gigi air tepi rumah mereka di Cabang Tiga, Rantau Panjang, 6.55 petang semalam.

Mangsa disahkan meninggal dunia setelah dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang kira-kira setengah jam kemudian.

Di Bachok, Suriani Dollah, 37, pengsan sejurus dua anak lelakinya yang lemas itu dijumpai oleh pasukan menyelamat, semalam.

Ibu tersebut tidak dapat menahan sebak dan pengsan selepas melihat mayat anak sulungnya, Mohd Fathi Asyraf, 14, manakala Mohd Arif Hukmi, 10, ditemui lima minit kemudian di lokasi yang sama.

Suaminya, Ruslan Ab Ghani, 46, berkata, dia tidak menyangka, hasrat anaknya yang tiba-tiba ingin menggunakan selimut milik arwah datuknya, Abdul Ghani, me-nandakan mereka juga ingin pergi meninggalkan keluarga.

Menurutnya, anak sulungnya, Mohd Fathi Asyraf, 14, amat rapat dengan arwah datuknya sejak kecil.

“Dua tiga malam lepas, dia minta selimut arwah datuknya. Mulanya pelik juga, tetapi kini baru saya sedar ia petanda bahawa dia ingin pergi meninggalkan kami.

“Mohd Fathi juga kelihatan rapat de-ngan adik ketiganya, Mohd Arif Hukmi, 10, akhir- akhir ini, sedangkan sebelum ini mereka jarang dilihat bersama,” katanya.

Empat terkorban banjir di Kelantan - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Temui ajal depan suami


Oleh : NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
Tarikh : November 23, 2011
eksiden

IPOH – Seorang jururawat maut selepas motosikal yang ditunggang bersama suaminya digilis sebuah treler di persimpangan Jalan Raja Musa Aziz, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi, mangsa, Liew Suet Foong, 50, yang membonceng motosikal bersama suaminya, Cheow Seng Yee, 62, dalam perjalanan dari rumahnya di Silibin ke tempat kerja di sebuah klinik swasta, di Jalan Raja Ekram.

Pemandu treler berkenaan dipercayai tidak menyedari motosikal pasangan berkenaan di bahagian kiri jalan ketika membelok masuk dari Jalan Tun Abdul Razak selepas lampu isyarat bertukar hijau.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.

“Motosikal yang dinaiki pasangan itu dikatakan bergesel dengan tayar treler menyebabkan wanita tersebut jatuh sebelum dilanggar menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian. Suami mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

“Bagaimanapun, pemandu treler berusia 46 tahun itu kini ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

“Polis meminta saksi yang berada berhampiran atau menyaksikan kejadian itu supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2542222,” katanya.

Temui ajal depan suami - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pelik duit jatuh dari langit


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
Duit jatuh dari langit

SUNGAI SIPUT (U) – Pelik tapi benar, itulah yang didakwa sebuah keluarga di Taman Kledang, di sini apabila menyaksikan kejadian luar biasa duit syiling dipercayai jatuh dari langit.

Kejadian itu berlaku sejak seminggu lalu, apabila kanak-kanak berusia 10 tahun, S Vishnu Nair, mendakwa melihat satu cahaya dari langit dan selepas itu duit syiling mulai jatuh serta ia tidak diketahui dari arah mana.

Sehingga semalam, duit syiling yang jatuh di halaman rumah keluarga itu sudah berjumlah RM5.60 dan terdapat sekeping duit syiling dari India serta Singapura.

Agak mengejutkan ketika kunjungan Sinar Harian di lokasi turut menyaksikan kejadian duit syiling 20 sen tiba-tiba terjatuh.

Vishnu Nair berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 6.30 petang pada Khamis lalu dan ketika itu hujan renyai-renyai.

Menurutnya, terkejut dengan kejadian pelik itu, dia memberitahu kepada ibunya, tetapi ia dianggap satu pembohongan.

“Selepas memberitahu ibu, dia tidak percaya, saya terus membawa duit syiling 20 sen ke kedai runcit dan membeli gula-gula.

“Peliknya selepas itu duit syiling terjatuh termasuk 10 sen dan 5 sen, selepas itu ia disaksikan ibu serta ahli keluarga lain,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Katanya, kejadian berkenaan biasa berlaku pada waktu senja dan malam tetapi kadang-kala waktu siang juga pernah berlaku.

Sementara itu, ibunya, S Abirami, 29, berkata, perkara itu memang sukar dipercayai sehingga dia dan saudara mara melihat sendiri duit itu terjatuh tetapi tidak tahu dari mana datangnya.

Pelik duit jatuh dari langit - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Yuna terkilan

YUNA...kewibawaan AIM terjejas
YUNA...kewibawaan AIM terjejas

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer muda, Yuna yang ditarik kemenangannya dalam kategori utama Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) menganggap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan tidak bercadang mengambil sebarang tindakan undang-undang.

Dia yang bakal memasarkan album Inggeris untuk pasaran Amerika Syarikat berkata, penjelasan sepatutnya bukan daripada pihaknya sebaliknya Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku penganjur perlu mengadakan sidang akhbar dan menjelaskan dengan terperinci bagaimana masalah itu berlaku.


“Pada saya perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia membabitkan majlis anugerah berprestij. Apatah lagi AIM itu sendiri mempunyai tanggungjawab besar untuk mengangkat industri muzik tempatan.

“Saya membesar dengan mengagumi penganjuran AIM sebelum ini. Apabila memenangi anugerah yang amat saya hargai dan ditarik balik atas kesilapan yang dikatakan sudah tentu rasa terkilan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Harian Metro difahamkan RIM dijadualkan mengadakan sidang media bagi menjelaskan mengenai kesilapan teknikal yang berlaku itu pada petang ini. “Saya diberitahu mengenai kesilapan itu dua hari lalu,” kata Yuna.


Pada AIM18 yang berlangsung 12 November lalu Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai diumumkan pemenang Lagu Terbaik menerusi singlenya, Penakut.

Selain Lagu Terbaik, pada majlis anugerah berprestij yang mengiktiraf karya terbaik karyawan muzik tempatan itu, Yuna turut memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Anugerah Kembara.


Yuna berkata, kesilapan yang berlaku akan menyebabkan ramai pihak akan hilang keyakinan terhadap RIM dan penganjuran AIM itu sendiri.

Menurutnya, lebih membimbangkan kemenangan bagi kategori lain dimenangi penggiat muzik tempatan turut dipertikaikan kerana mungkin kesilapan berlaku. Katanya, sejak awal lagi dia mengikuti segala syarat diberikan RIM untuk mempertandingkan karya dihasilkan dalam AIM, terutama membabitkan pencalonan karya dihasilkan harus 100 peratus anak tempatan.


Syarat ditetapkan juga menyebabkan albumnya tidak dipertandingkan kerana tiga daripada lagu dihasilkan dikatakan tidak layak kerana ia untuk pasaran luar.


“Saya akur dengan setiap syarat diberikan, tetapi apabila kemenangan ditarik balik sudah tentu timbul kekeliruan. Bukan saja kepada saya, tetapi seluruh penggiat industri muzik tempatan.


“Tidak keterlaluan jika dikatakan ada pihak melihat apa yang berlaku sinis dan kelakar. Apatah lagi penganjuran AIM membabitkan dua entiti besar iaitu RIM sendiri dan jabatan audit diiktiraf,” katanya.


Kata Yuna lagi, sebenarnya sewaktu diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Lagu Terbaik, dia sudah berasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku, kerana syarat untuk memenangi anugerah utama itu, lagu dihasilkan dan didendangkan haruslah menjuarai kategori dipertandingkan.


“Ketika majlis sidang akhbar perkara sama turut ditanya wakil media, bagaimanapun pihak penganjur mengatakan untuk kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik dinilai juri berbeza. Perkara itu sudah dimaklumkan dan semua pihak faham.


“Saya sendiri akur dengan penjelasan itu memandangkan untuk tahun ini ada beberapa perubahan dari sudut syarat dibuat RIM mahupun Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi),” katanya.

myMetro | Yuna terkilan:

'via Blog this'

Libya umum Kabinet baru


TRIPOLI 23 Nov. - Bekas pemberontak yang membantu menggulingkan pemimpin diktator Muammar Gaddafi dan peguam hak asasi manusia yang penahanannya mencetuskan revolusi, adalah antara mereka yang dilantik memegang jawatan penting dalam kerajaan baru Libya.

Perdana Menteri sementara, Abdel Rahim al-Kib (gambar) mengumumkan barisan Kabinet baru Libya dalam sidang akhbar semalam, sebulan selepas kematian Gaddafi yang memerintah negara ini selama 42 tahun.

"Semua rakyat Libya mempunyai wakil dalam kerajaan baru ini," kata al-Kib kepada wartawan ketika membuat pengumuman yang sepatutnya dibuat pada Ahad lalu.

Pengumuman ditangguhkan ekoran penangkapan anak lelaki Gaddafi, Saif al-Islam pada Sabtu lalu.

Osama al-Juwali yang merupakan komander di Zintan dan bertanggungjawab menahan Saif dilantik sebagai Menteri Pertahanan, manakala Fawai Abdelali dari bekas kumpulan pemberontak Misrata yang menangkap Gaddafi, dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri.

Wakil Libya ke Kanada di bawah pemerintahan rejim Gaddafi yang menyertai pembangkang pada pada 1990-an, Ashur bin Khayyal pula dilantik sebagai Menteri Luar, sementara Abdel Rahman Yazza, bekas pegawai di syarikat tenaga utama Itali menjadi Menteri Minyak dan Gas.

Peguam Fethi Tarbel yang ditahan pada 15 Februari lalu dan menyebabkan tercetusnya kebangkitan rakyat menentang Gaddafi di bandar Benghazi, dinamakan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Al-Kib akan mengetuai 24 barisan Kabinet kerajaan sementara Libya ini yang telah mendapat undi percaya daripada Majlis Peralihan Kebangsaan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'