Pages

Friday, November 9, 2012

Hidup mati saya di Syria, tegas Bashar al-Assad

Presiden Bashar al-Assad
Presiden Syria, Bashar al-Assad
DAMSYIK - Presiden Syria Bashar al-Assad menegaskan beliau akan "hidup dan mati" di Syria walaupun ada negara menawarkan kepadanya laluan selamat atas nama untuk menghentikan perang saudara yang berlartutan lebih 20 bulan.

"Saya bukan boneka, dan saya tidak dicipta oleh Barat untuk pergi ke Barat atau mana-mana negara lain," katanya kepada stesen Russia Today.

Beliau yang turut mengecam campur tangan asing berkata, ia akan mempunyai "kesan domino" ke atas dunia.

"Saya berfikir bahawa kos pencerobohan asing Syria, jika ia berlaku, akan menjadi lebih besar daripada apa yang seluruh dunia mampu (hadapi)," katanya dipetik laporan CNN semalam.

"Kerana jika terdapat masalah di Syria, terutamanya kerana kita adalah kubu terakhir sekularisme, kestabilan dan kewujudan bersama di rantau ini, ia akan mempunyai kesan domino yang akan menjejaskan dunia dari Lautan Atlantik ke Lautan Pasifik.

"Dan anda tahu implikasinya terhadap seluruh dunia. Saya tidak fikir bahawa Barat sedang bergerak ke arah ini, tetapi jika mereka berbuat demikian, tiada siapa yang boleh meramalkan apa yang akan berlaku selepas ini," katanya.
Bashar mengeluarkan kenyataan itu dua hari selepas Perdana Menteri Britain, David Cameron menawarkan "laluan selamat", jika itu yang diperlukan untuk menghentikan pertumpahan darah di Syria.

Malah tahun lalu, Tunisia, negara pertama di rantau ini menggulingkan pemerintah lama, telah menawarkan suaka politik kepada Bashar dalam usaha untuk mencegah keganasan yang berterusan.
Sementara itu, kumpulan pembangkang terkemuka Syria dan pemimpin Barat kini sedang cuba untuk menyatukan kelompok itu bagi membentuk kerajaan alternatif.

Majlis Kebangsaan Syria (SNS) pula cuba untuk mengekalkan pemerintahan majoriti dalam usaha penyatuan, di mana Barat cuba untuk mencairkan dominasi kumpulan itu.

Setelah dilihat oleh negara-negara Barat sebagai "wakil sah pembangkang Syria," SNC bergegas untuk berkumpul semula selepas pemimpin Barat berkata ia tidak lagi perlu menghadapi pemberontakan Syria.

SNC mengumumkan pembentukan persidangan kebangsaan di mana semua kumpulan pembangkang menyertai, dengan majlis itu mempunyai peratusan tertinggi perwakilan.

"Persidangan Kebangsaan hendaklah terdiri daripada 300 peserta dari SNC, majlis tempatan di kawasan yang dibebaskan, berpaling tadah dari teknokrat, kumpulan pembangkang bebas dan kumpulan penentangan bersenjata kebangsaan di bawah payung Tentera (pemberontak) Bebas Syria (Free Syrian Army)," kata kumpulan itu.

Wakil-wakil dari Britain, Perancis, Amerika Syarikat dan Turki bertemu di Qatar semalam untuk memastikan pembangkang Syria diwakili oleh lebih daripada sekadar Majlis Kebangsaan Syria.

5,000 gadis bawah 14 tahun dikahwinkan di Arab Saudi

myMetro | 5,000 gadis bawah 14 tahun dikahwinkan di Arab Saudi: "DUBAI: Lebih 5,000 gadis bawah usia 14 tahun dikahwinkan di Arab Saudi, menurut laporan media.

Ahli Akademik Perkhidmatan Sosial Universiti Islam Imam Moahmmad Bin Saud, Ali Abdul Rahman AlRoumi berkata, Terdapat 5,622 perkahwinan di mana pengantin perempuan berusia di bawah 14 tahun.
Katanya, menetapkan syarat umur tidak akan dapat menyelesaikan masalah itu, malah akan menjadikannya lebih rumit.

Keluarga dari “kawasan terpencil” mengahwinkan anak perempuan mereka kepada lelaki tua yang lebih kaya."

'via Blog this'

Banduan lolos penjara pakai purdah

myMetro | Banduan lolos penjara pakai purdah: "JAKARTA: Seorang lelaki yang disabitkan dengan jenayah keganasan melarikan diri dari penjara yang diakwal ketat dengan memakai purdah untuk menyamar sebagai wanita, kata polis semalam.

Roki Aprisdianto yang menjalani hukuman penjara enam tahun kerana terbabit dengan kumpulan militan Islam mengenakan jubah dan purdah sebelum berjalan keluar dari penjara bersama pelawat wanita yang berpakaian serupa.


Banduan berusia 29 tahun itu dipercayai melarikan diri selepas seorang pelawat wanita yang melawatnya menyerahkan pakaian itu kepadanya, kata jurucakap polis, Rikwanto.

Ketika Roki melarikan diri, penjara itu yang dihuni kira-kira 70 pesalah keganasan dikawal empat anggota skuad elit antikeganasan dan tujuh anggota polis. “Pada masa depan, selain mengerah lebih ramai anggota polis, kami akan meminta pelawat agar membuka purdah yang menutupi muka ketika mereka meninggalkan penjara,” katanya.


Roki dihukum tahun lalu kerana didapati bersalah merekrut anggota untuk kumpulan kecil militan di Jawa Tengah yang merancang serangan bom di gereja dan pos polis. - Jakarta Post"

'via Blog this'

Budak hampir ‘dibaham’ singa ketika bergambar di zoo


PARIS: Bukan setiap hari anda boleh berdepan dengan singa.
Tetapi itu yang sebenarnya berlaku pada seorang kanak-kanak yang bergaya untuk bergambar di sebuah zoo.

Kanak-kanak comel itu berdiri di depan kandang singa dan menanti ibu bapanya merakamkan gambar apabila seekor haiwan berkenaan menghampirinya. Video singkat kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah zoo Perancis menunjukkan kanak-kanak itu pusing ke belakang selepas diarah oleh seorang dewasa.
Sebaik memandang ke belakang, kanak-kanak itu mendapati seekor singa betina merenung tajam ke mukanya. Dia jelas terkejut dan takut sebelum berlari dari kandang berkenaan dengan singa itu masih merenungnya di sebalik dinding kaca yang mengelilingi kandang itu. Kanak-kanak yang berusia antara tujuh atau lapan tahun itu kemudian meninggalkan tempat berkenaan dengan tersenyum. Singa itu pula kelihatan kecewa.

Ibu bapa kanak-kanak berkenaan memuatnaikkan video itu ke Internet dengan menggunakan lagu filem Jaws sebagai muzik latar.

Mereka juga menulis: “Harimau lapar? Ia kelihatan begitu berminat dengan anak saya. Mujur ada tembok kaca.” Ada yang mengulas, singa itu kelihatan lebih ‘berminat untuk berkawan’ daripada untuk membaham kanak-kanak berkenaan. - DM

88 tahun nanti gambar kahwin

IMPIAN TERLAKSANA...Wu dan isteri, Sognshi.
IMPIAN TERLAKSANA...Wu dan isteri, Sognshi.
NANCHING: Tanya mana-mana pasangan yang sudah bertunang dan mereka akan menjawab majlis perkahwinan tidak akan lengkap tanpa gambar romantik bagi mengingati majlis berkenaan.
Sebahagian pasangan yang baru berkahwin akan mengambil gambar mereka selepas majlis itu. 
Tetapi bagi pasangan ini, mereka menanti hingga 88 tahun sebelum dapat merakam gambar paling istimewa dalam hidup mereka.

Pasangan yang sudah menjangkau usia 100 tahun, Wu Conghan dan Wu Sognshi, berkahwin di wilayah Sichuan, China pada 1924.

Bagaimanapun, mereka tidak merakam gambar perkahwinan itu sehinggalah baru-baru ini.

Conghan, 101, dan Sognshi, 103, hidup bahagia bersama sejak 88 tahun lalu.

Mereka selalu mengimpi untuk merakamkan gambar kahwin mereka.

Tetapi pasangan itu tidak mempunyai pilihan apabila melangsungkan perkahwinan mereka pada tahun berkenaan.

Impian mereka dijadikan realiti baru-baru ini oleh sebuah syarikat foto di Nanching, bandar tempat tinggal mereka.

Seperti apa juga yang ada kaitan dengan majlis perkahwinan, pengantin perempuan mahu rakaman itu paling sempurna dan memastikan suaminya kelihatan paling segak denghan baju putih. - DM

Baharom tak mampu bayar kos RM12,000

Sri Wani Choo Abdullah
Sri Wani Choo Abdullah

KUALA LUMPUR - Suami pengusaha butik kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah, Profesor Dr Baharom Sanugi memberitahu Mahkamah Tinggi semalam dia tidak mampu membayar jumlah kos sebanyak RM12,000 yang ditetapkan mahkamah kerana tidak berkemampuan selepas tidak mempunyai pendapatan tetap akibat dibuang kerja.

Perkara itu dimaklumkan Peguamnya, Muhammad Hafiz Abd Rashid semasa prosiding hujahan kesnya yang memohon pergantungan bayaran kos yang ditetapkan Mahkamah Tinggi selepas empat permohonan yang difailkan Baharom sebelum ini ditolak mahkamah.

Muhammad Hafiz dalam hujahannya mendakwa demikian, sebagai salah satu alasan mengapa mereka memfailkan permohonan bagi menggantung arahan pembayaran kos berkenaan.

Selain itu, Mohd Hafiz berkata, selain tidak berpuas hati dengan sebahagian keputusan mahkamah iaitu berkaitan kos tersebut, mereka juga memohon pergantungan bayaran kos kerana telah memfailkan permohonan ke Mahkamah Rayuan berkaitan kos tersebut.

“Sekiranya mahkamah ini tidak membenarkan pergantungan kos tersebut, ini menjadikan rayuan pemohon sia-sia dan tidak menjadi akademik,” hujahnya.

Sementara itu, Peguam Sri Wani, Mohamad Azrul Azhan Mohammad Jamil semasa membuat hujahan pula berkata, walaupun pihak pemohon telah memfailkan notis rayuan, namun pergantungan tersebut bukan dalam proses mahkamah rayuan.

“Pemohon juga memfailkan notis itu tidak menggunakan alamat beliau bermastautin iaitu di Batu Caves Selangor,” katanya.

Azrul turut membangkitkan beberapa perkara lain termasuk ketidakhadiran pemohon (Baharom) dalam dua prosiding mahkamah sebelum ini yang menunjukkan suami anak guamnya itu tidak bersungguh-sungguh dalam permohonan berkenaan.

Hakim Mohd Amran Mat Zain menetapkan 12 November ini untuk keputusan permohonan tersebut, bagi membolehkan mahkamah membuat penilaian selepas hujahan dan beberapa isu dibangkitkan kedua-dua pihak.

Bumi Syria dihujani bedilan bom

Bumi Syria dihujani bedilan bomPenyerang turut meletupkan kawasan puncak bukit yang menempatkan berek tentera elit pro-Assad.
DAMSYIK - Penduduk Syria sekali lagi dikejutkan dengan bedilan bom di tiga daerah, termasuk Damsyik sehingga mengorbankan puluhan nyawa, semalam.

Insiden bermula dengan serangan tembakan oleh lelaki bersenjata yang membunuh saudara lelaki speaker parlimen negara, baru-baru ini.

Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya 10 terbunuh dan 30 yang lain parah selepas terkena bedilan bom di daerah barat laut ibu kota, Al-Wuroud.

Sementara itu, kumpulan pembangkang mendedahkan, sekurang-kurangnya 100 orang dibunuh di beberapa lokasi lain dalam serangan itu.

Aktivis pembangkang berkata, tiga letupan berlaku dalam Hai Al-Wuroud, mengorbankan lebih 15 orang.

Penyerang turut meletupkan kereta, berhampiran pusat membeli-belah di Ibn Al-Nafis.

Dalam pada itu, wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab Syria, mengeluarkan amaran bahawa negara itu bakal menjadi Somalia kedua susulan kerajaan dan pemberontak enggan meletakkan senjata mereka. - AP

Bahrain batal kerakyatan 31 aktivis Syiah

MANAMA - Bahrain membatalkan kewarganegaraan 31 rakyatnya yang merupakan aktivis Syiah sebagai sekatan terbaru ke atas pembangkang di tengah-tengah pergolakan yang berterusan di Teluk Parsi itu.

Televisyen yang dikendalikan oleh kerajaan Bahrain mengumumkan langkah itu petang semalam, memetik kenyataan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Penyampai stesen televisyen itu menamakan nama 31 aktivis itu, termasuk Fairouz Jawad, bekas Ahli Parlimen untuk kumpulan pembangkang Syiah Al-Wefaq, dan adiknya, Jalal.

Antara tokoh pembangkang lain yang telah dilucutkan kewarganegaraan mereka ialah Said al-Shihabi, pemimpin pergerakan Freemen  Bahrain dan Ali Hassan Mushaima, anak pemimpin kumpulan Al-Haq.

Senarai itu turut memuatkan nama tiga ulama Syiah iaitu Hussein Mirza, Khaled Mansour Sanad dan Sharaf Alawi.

Kelmarin, dipetik TV Bahrain, Kementerian Dalam Negeri berkata, Akta Kewarganegaraan negara "membolehkan kerajaan mempunyai hak untuk membatalkan kewarganegaraan sesiapa yang dipertanggungjawabkankan dengan menjadi ancaman kepada keselamatan negeri."

Mereka yang membantah keputusan bagaimanapun mempunyai hak untuk mencabarnya di mahkamah.

Dua kumpulan terkemuka di Bahrain, Bahrain Youth Society for Human Rights and Bahrain Center for Human Rights mengecam langkah itu.

Kumpulan tersebut berkata, mereka mempunyai "kebimbangan serius berdasarkan sasaran secara sistematik ke atas aktivis politik terkemuka, bekas ahli Parlimen, paderi dan lain-lain."

"Pihak-pihak berkuasa Bahrain tidak menyediakan bukti yang penting tentang mengapa kerakyatan individu-individu ini telah dibatalkan," katanya.

Kumpulan pembela hak Amnesty International turut mengutuk langkah itu.

"Pihak berkuasa telah menyediakan alasan paling kabur sebab-sebab untuk pelucutan kewarganegaraan, yang nampaknya telah diambil berdasarkan pandangan politik mangsa," kata Philip Luther, Pengarah Amnesty International bagi Timur Tengah dan Afrika Utara.

Lambaian beruang minta makanan


Beruang yang diberi nama Huanca, melambaikan tangan seperti memanggil pelayan untuk meminta makanan di sebuah zoo di Jerman, baru-baru ini. - AGENSI
DUISBURG, Jerman 8 Nov. - Kebiasaannya, pelanggan akan mengangkat tangan dan melambai ke arah pelayan di sesebuah restoran untuk meminta pesanan atau memerlukan sesuatu.
Namun, keadaan itu bukan sahaja dilakukan oleh manusia, malah, seekor beruang di Zoo Duisburg di sini, turut melakukan aksi yang sama untuk meminta makanan.
Beruang yang diberi nama sebagai Huanca itu akan mengangkat tangannya dan melambai ke arah penjaga zoo untuk meminta kacang sebaik sahaja bekalan makanannya habis.
Aksi menarik itu sempat dirakam oleh seorang jurugambar amatur dari Amerika Syarikat (AS), Rainer Paul, 56, baru-baru ini.
Dengan berdiri menggunakan dua kaki belakangnya, aksi beruang berusia lima tahun itu kelihatan sama seperti pelanggan memanggil pelayan di restoran.
"Huanca merupakan seekor beruang yang bijak kerana pandai menyesuaikan diri dan menjadi perhatian pengunjung.
"Beruang itu mempunyai sifat semula jadi yang istimewa," kata Paul. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121109/lu_05/Lambaian-beruang-minta-makanan#ixzz2Bjf4Tajp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

50 orang maut di Guatemala


Beberapa penduduk meninjau keadaan runtuhan bangunan akibat gempa bumi sekuat 7.4 skala Richter yang menggegarkan San Marcos, kelmarin. - AGENSI
SAN MARCOS 8 Nov. - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.4 skala Richter menggegarkan kawasan barat daya Guatemala semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 50 orang dan mencederakan 150 orang yang lain.
Gempa yang turut menggegarkan negara jiran, Mexico dan El Salvador turut mencetuskan amaran tsunami kepada penduduk sekitar pantai El Salvador.
Ia mengakibatkan penduduk yang panik mengosongkan pejabat, kediaman dan sekolah ketika gempa dapat dirasai hingga jauh ke kawasan utara seperti Mexico City.
''Kami meratapi kematian 50 orang penduduk, satu jumlah yang mungkin meningkat kerana terdapat lagi kira-kira 23 orang yang masih hilang,'' kata Presiden Guatemala, Otto Perez selepas melawat kawasan gempa.
Perez berkata, jumlah kematian terbanyak berlaku di bandar San Marcos dengan 39 nyawa terkorban, manakala selebihnya di dua wilayah yang majoriti penduduknya adalah puak Maya.
Katanya, gempa bumi yang berlaku kira-kira 10.35 pagi waktu tempatan telah mencemaskan 16,000 penduduk Guatemala.
''Beberapa bandar mengalami masalah kekurangan bekalan air minuman atau elektrik.
''Pihak berkuasa telah membuka 11 tempat perlindungan sementara yang boleh menempatkan seramai 800 orang,'' katanya.
Dalam kejadian di Kampung San Cristobal Cucho, satu keluarga terdiri daripada 10 orang tertimbus hidup-hidup setelah rumah mereka ditimpa runtuhan batu dan tanah dari sebuah bukit berhampiran.
Sementara itu, Pusat Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa yang berlaku pada waktu pagi itu berpusat pada kedalaman 41.6 kilometer, 24 kilometer selatan bandar Champerico dan 163 kilometer barat daya Guatemala City. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121109/lu_01/50-orang-maut-di-Guatemala#ixzz2BjcUfqKO
© Utusan Melayu (M) Bhd