Pages

Tuesday, April 19, 2011

10,000 rakyat Libya lari ke Tunisia



GENEVA: Kira-kira 10,000 rakyat Libya dari kawasan pergunungan barat negara itu memasuki Tunisia dalam tempoh 10 hari lalu, kata Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR), hari ini. 

"UNHCR melihat peningkatan angkat pelarian Libya tiba di Tunisia dari wilayah pergunungan barat negara berkenaan," kata jurucakap UNHCR, Andrej Mahecic.
"Seminggu berlaku, kira-kira 6,000 rakyat Libya tiba di kawasan Dehiba, selatan Tunisia. Secara keseluruhan, kita anggarkan kira-kira 10,000 warga Libya menyeberangi kawasan itu dalam tempoh 10 hari," katanya.
Kebanyakan daripada pelarian itu datang dari bandar Nalut, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Tunisia. - AFP , bharian

Tentera terus bedil pemberontak



MENGAWAL KEDUDUKAN: Anggota pemberontak mengawal kedudukan mereka di tengah-tengah ribut pasir di pintu masuk timur Ajdabiyah kelmarin. -- Foto REUTERS




Ketua PBB gesa lagi diadakan gencatan senjata segera dan huraian politik
BEIRUT: Askar-askar yang taat kepada pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, membedil bandar Misrata semalam, sehari selepas 17 orang terbunuh dalam pembedilan serupa, kata seorang jurucakap kumpulan pemberontak.
Bandar ketiga terbesar di Libya itu - kubu utama terakhir kumpulan pemberontak di barat negara tersebut - diserang askar-askar pro-Gaddafi sejak sekitar tujuh minggu lalu.Ratusan orang dipercayai terbunuh dan ribuan pekerja asing terkandas di sana dalam keadaan yang sukar. Mereka cuba keluar dari situ melalui kapal-kapal bantuan yang dihantar oleh badan bantuan kemanusiaan.'Askar-askar Gaddafi membedil Misrata sekarang. Mereka melancarkan roket dan artileri di bahagian timur - Nakl el Theqeel (jalan raya) dan kawasan perumahan sekitarnya,' kata Abdubasset Abu Mzeireq dari bandar tepi itu.Menurutnya, kira-kira 100 orang, kebanyakannya orang awam, cedera dalam pertempuran kelmarin. Namun agak mustahil mengesahkan maklumat itu secara bebas.Sebuah kumpulan hak asasi berpangkalan di Amerika Syarikat berkata tentera pemerintah telah melancarkan serangan roket dan mortar bertubi-tubi ke atas kawasan perumahan di Misrata, termasuk satu yang membunuh lapan orang awam yang sedang beratur untuk mendapatkan roti Khamis lalu.Sekurang-kurangnya 16 orang awam terbunuh dalam serangan sejak 14 April lalu, berdasarkan maklumat saksi dan pemeriksaan ke tempat-tempat yang diserang, kata kumpulan Human Rights Watch (HRW) dalam satu kenyataan dari Misrata.'Satu lagi serangan, yang dilakukan dengan mortar, kena sebuah klinik perubatan dan mencederakan empat orang,' katanya.HRW memetik kenyataan para saksi sebagai berkata para pemberontak tidak kelihatan di kawasan-kawasan tersebut apabila serangan dilakukan.Sementara itu, di Budapest, Hungary, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, menggesa semalam agar diadakan gencatan senjata segera dan huraian politik bagi konflik di Libya itu.Beliau juga berkata PBB akan memulakan misi kemanusiaan di Tripoli.'Kami mempunyai tiga matlamat: pertama, satu gencatan senjata segera dan berkesan; kedua, menyediakan bantuan kemanusiaan kepada yang memerlukan; ketiga, kita harus terus mengadakan dialog politik dan penyelesaian politik bagi isu ini,' kata Encik Ban kepada wartawan semasa lawatan tiga harinya ke Hungary.'Memandangkan besarnya krisis ini jika pertempuran berterusan, pihak berkuasa Libya amat perlu menghentikan pertempuran dan pembunuhan rakyatnya,' kata beliau lagi.Dengan usaha mencari penyelesaian politik diteruskan, Encik Ban menggesa agar diadakan satu tindakan antarabangsa yang 'bersepadu dan terselras bersama rakyat Libya'.'Apabila gencatan senjata itu sudah dicapai, Libya akan memerlukan usaha menyeluruh bagi mencapai keamanan dan pembinaan semula,' ujar beliau sambil menambah bahawa ada puluhan ribu orang memerlukan bantuan kemanusiaan.'Kita mempunyai masalah serius,' ujarnya, 'khususnya di bandar-bandar terbabit dalam pertempuran itu'.Encik Ban berkata PBB - yang sudah pun mempunyai pangkalan bantuan kemanusiaan di Benghazi bagi menangani hampir setengah juta penduduk yang lari dari rumah mereka - akan mengadakan juga satu misi di Tripoli dengan Persatuan Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit. -- Reuters, AFP., cyberita

Amerika dilanda ribut: 45 maut


SEGALANYA MUSNAH...Jeffery Lee (kiri) memujuk Meredith Tucker di depan rumah wanita itu yang diranapkan taufan di Fayetteville, Carolina Utara, semalam.
SEGALANYA MUSNAH...Jeffery Lee (kiri) memujuk Meredith Tucker di depan rumah wanita itu yang diranapkan taufan di Fayetteville, Carolina Utara, semalam.

RALEIGH (Carolina Utara): Angin taufan terburuk dalam tempoh beberapa dekad melanda sebahagian Amerika Syarikat, semalam, menyebabkan 45 orang maut dan merosakkan bangunan serta harta benda lain.
Bencana itu bermula pada petang Khamis (waktu tempatan) di Oklahoma apabila angin puting beliung raksasa hampir memusnahkan seluruh bandar Tushka yang dihuni 350 orang.

Hampir semua kediaman dan kedai di bandar itu musnah, manakala dua penduduk warga emas terbunuh.

Sehari kemudian kekuatan angin meningkat dan mencetuskan beratus-ratus taufan yang melanda Arkansas, Mississippi, Alabama dan Carolina Utara, sebelum menuju Virginia pada malam Sabtu.

Jurucakap Agensi Pengurusan Darurat Persekutuan, Patty McQuillan, berkata bencana taufan itu adalah terburuk sejak 1984 .

“Saya masing ingat kejadian itu dan saya yakin taufan ini lebih hebat daripada bencana berkenaan,” katanya.

Pada 1984, taufan terburuk dalam tempoh lebih satu abad memusnahkan Georgia, Carolina Utara dan Selatan, serta Virginia, serta mengorbankan 57 orang serta lebih 1,000 cedera.

Raleigh menjadi bandar paling teruk terjejas apabila 23 orang terbunuh.
Di Alabama, seorang ibu dan dua anaknya yang berlindung dalam rumah bergerak adalah antara tujuh korban.

Mereka tercampak kira-kira 150 meter dari kediaman itu.

Tujuh lagi korban dicatatkan di Arkansas, lima di Virginia dan seorang di Mississippi.

Datuk Bandar Carolina Utara, Beverly Perdue, berkata dia tidak pernah melihat kemusnahan sebegitu sepanjang hidupnya.

Dia juga mengisytiharkan darurat bagi memudahkan bantuan diterima. - AFP

2 menteri Hosni didakwa


KAHERAH: Dua bekas menteri kanan Mesir dihadapkan ke mahkamah semalam, tindakan junta tentera yang dilihat sebagai semakin serius memerangi rasuah yang menjadi punca kejatuhan rejim Hosni Mubarak tidak lama dulu.
Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Ahmed Nazif dan Menteri Kewangan, Youssef Boutros-Ghali itu.

Tindakan junta tentera itu dijangka menggembirakan penunjuk perasaan prodemokrasi yang menamatkan pemerintahan selama 30 tahun Hosni pada Februari lalu dan mendesak supaya anggota Kabinetnya dihukum.

Ramai pelabur dan ahli perniagaan memandang tinggi Ahmed Nazif dan Youssef kerana menerajui reformasi pasaran bebas yang mempercepatkan pertubuhan ekonomi tahunan Mesir sehingga tujuh peratus selama tiga tahun sebelum krisis ekonomi dunia pada 2008.

Bagaimanapun rakyat Mesir menganggap pemimpin terbabit sebagai rasuah sepertimana rakan mereka yang lain yang kini disoal siasat atau dibicarakan atas pelbagai tuduhan membabitkan rasuah.

Pendakwa berkata, kedua-dua bekas menteri itu didakwa atas tuduhan mendapatkan lesen kenderaan secara tidak sah sehingga negara kerugian kira-kira RM50 juta. - Reuters

243 puting beliung 'serang' Amerika

Foto
BERPULUH-PULUH kediaman penduduk Deltaville, Virginia rosak atau musnah dilanda puting beliung.



Foto
FOTO puting beliung melalui daerah Colerain, Carolina Utara, kelmarin diambil oleh seorang penduduk, Richard Burkett.



JACKSON (Mississippi): Sebanyak 243 puting beliung yang melanda sedozen negeri Amerika Syarikat sejak Sabtu lalu, menyebabkan 45 orang maut selain kerugian besar kepada penduduk apabila beratus-ratus rumah rosak atau musnah.
  Selain kehilangan hampir semua harta benda, sebilangan mereka kehilangan rumah yang tercabut akibat ditiup angin kencang.Ketika penduduk memulakan kerja pembersihan dan mencari sisa dari rumah mereka yang boleh digunakan semula, kisah puting beliung mencabut dan menerbangkan pokok seperti kayu besbol, memecah dan menyebabkan rumah tunggang terbalik, kedengaran hampir di mana saja.
Seorang penduduk di Dunn, Carolina Utara, Jonathan Robinson berkata ketika puting beliung mula membadai rumah bergerak miliknya, beliau segera mendukung anak lelaki sepupunya Ayden yang berusia tiga bulan bersembunyi di dalam sebuah peti di bilik tidurnya.

“Malangnya ketika hendak melompat masuk ke dalam peti itu angin puting beliung yang amat kuat memecahkan rumah menyebabkan Ayden terlepas dari pegangan saya dan diterbangkan ke udara,” katanya.

Robinson berkata, selepas puting beliung reda, beliau bersama anggota keluarganya segera menggali runtuhan untuk mencari Ayden.
“Saya rasa akan kehilangannya,” kata Robinson selepas bayi itu ditemui.

Penduduk daerah Askewville, Carolina Utara, Justin Dunlow, 23, hanya mampu berdoa, apabila beliau bersama dua anaknya yang masih kecil dihempap dinding rumah bergerak mereka yang runtuh.

“Saya boleh bina semula rumah saya, tetapi saya tidak dapat ganti dua anak jika kehilangan mereka. Saya bersyukur kerana kami selamat,” katanya.

Audrey McKoy yang tinggal dekat Bladen County sedang berehat apabila puting beliung membadai rumah mereka.

“Ia kelihatan seperti dalam filem The Wizard of Oz,” katanya.

Mereka yang bersembunyi di bilik air sempat mendengar bunyi pokok tumbang dan rumah lain ditiup angin. Sebaik keluar untuk melihat kemusnahan, rumah mereka juga sudah terbalik.

Puting beliung membadai wilayah Deep South termasuk Alabama, Georgia, Louisiana, Mississippi dan Carolina Selatan sebelum bergerak menuju ke Carolina Utara hingga ke Virginia sebelum menuju ke laut.

Akhbar Wall Street Journal melaporkan, puting beliung kuat yang melanda Carolina Utara petang kelmarin, menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang maut.

Pegawai pengurusan kecemasan melaporkan puting beliung memusnahkan 60 buah rumah dan merosakkan lebih 400 yang lain. Gabenor Bev Perdue mengisytiharkan perintah darurat berikutan kejadian itu. – AP/Agensi ,utusan

Gaddafi mahu rampas Ajdabiyah


SEORANG tentera pemberontak Libya yang melecur teruk di seluruh badannya dibantu meminum air oleh rakannya di sebuah hospital di Ajdabiya, Libya, kelmarin. - AFP

AJDABIYAH 18 April - Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terus meningkatkan serangan ke atas kubu pemberontak di Ajdabiyah ketika negara-negara Barat sekali lagi menolak untuk menghantar tentera bagi membantu kumpulan pemberontak.
Seorang saksi berkata, dia melihat sejumlah roket dilancarkan dekat jalan masuk ke Ajdabiyah yang digunakan oleh pemberontak sebagai pos untuk mengambil alih bandar Brega.
"Masih terdapat sejumlah pemberontak di pintu masuk di barat bandar ini namun situasi di sana tidak berapa baik.
"Kami memerlukan senjata, senjata moden," kata seorang pemberontak, Ayman Aswey, 21.
Semalam, menandakan sebulan sejak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi membenarkan tentera untuk melindungi orang awam di Libya, yang membawa kepada kempen serangan udara.
Bagaimanapun, serangan udara NATO terhadap tentera Gaddafi masih belum membolehkan pemberontak mengukuhkan kedudukan mereka di timur Libya.
Ketika tentera udara NATO diundurkan ke Afghanistan, negara-negara Barat menolak menghantar tentera darat, kedudukan yang dikukuhkan oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam.
Cameron berkata, ia bukan satu tindakan pencerobohan atau penjajahan.
Katanya, kuasa luar akan membantu menggunakan pelbagai pendekatan untuk menghentikan Gaddafi, 'menyusahkan' penduduk Misrata dan bandar lain di Libya termasuk menyediakan peralatan tidak membawa maut. - Reuters, utusan

AS salur dana kepada pembangkang Syria



WASHINGTON 18 APril - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) secara rahsia menyalurkan bantuan dana kepada kumpulan pembangkang Syria, menurut sumber diplomatik yang didedahkan oleh WikiLeaks, lapor akhbar The Washington Post hari ini.
Akhbar tersebut melaporkan, sumber itu menunjukkan jabatan berkenaan menyalurkan sebanyak AS$6 juta (RM18 juta) sejak 2006 kepada sekumpulan rakyat Syria yang dibuang negara untuk menguruskan Barada TV iaitu saluran televisyen satelit berpangkalan di London dan menaja pelbagai aktiviti di Syria.
"Barada TV mula beroperasi pada April tahun lepas tetapi meningkatkan operasinya bagi membuat liputan pemberontakan di Syria yang bermula bulan lalu sebagai sebahagian daripada kempen untuk menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.
"Wang AS untuk tokoh pembangkang mula disalurkan ketika pentadbiran Presiden George W. Bush selepas hubungan diplomatik AS dengan Damsyik dibekukan pada 2005," kata akhbar itu,
Akhbar itu menambah, bantuan kewangan itu berterusan di bawah Presiden Barack Obama walaupun pentadbirannya cuba membina semula hubungan dengan Assad.
Pada Januari lalu, White House menghantar seorang duta ke Damsyik buat pertama kali dalam tempoh enam tahun.
Artikel berkenaan berkata, ia tidak jelas sama ada AS masih menaja kumpulan pembangkang tersebut tetapi sumber itu menyatakan bantuan wang itu telah diperuntukkan sehingga September 2010.
The Washington Post berkata, sumber sebelum ini menunjukkan para pegawai Kedutaan AS di Damsyik menjadi bimbang pada 2009 selepas mereka mengetahui ejen perisikan Syria menyoal mengenai program-program AS. - Reuters, utusan

New Zealand dilanda gempa 6.6 Skala Richter


WELLINGTON 19 April – Gempa bumi kuat di bawah laut berukuran magnitud 6.6 melanda pantai timur laut New Zealand hari ini, lapor Pusat Pantauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Dalam pada itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami namun tiada sebarang ancaman dilaporkan.
Menurut USGS, gempa tersebut berlaku pada pukul 11.03 malam waktu Malaysia di 550 kilometer timur Auckland dengan pusat gempa sedalam 90 kilometer. – AFP

Raifal AK-47 diperbuat daripada kristal


SEORANG wanita memegang raifal AK-47 yang diperbuat daripada kristal Swarovski ciptaan Nicola Bolla.


MILAN, Itali - Kristal mewah Swarovski sinonim dengan barang kemas, ukiran elegan dan candelier tetapi seorang pengukir, Nicola Bolla, menggunakan kristal tersebut untuk menghasilkan pelbagai arca yang menakutkan.
Menerapkan tema kematian, sebanyak 15 arca yang dihasilkan pengukir terkenal berusia 47 tahun itu termasuk raifal AK-47, tengkorak, tulang rusuk dan tulang paha dipamerkan kepada umum sempena Minggu Seni Reka Milan minggu lalu.
Dia menjadi popular kerana menggunakan bahan yang mewah dan cantik termasuk berlian untuk menghasilkan pelbagai objek termasuk mangkuk tandas. - Agensi, kosmo

Bangkai makhluk asing ditemui di Rusia



KLIP video di laman YouTube menunjukkan bangkai makhluk asing ditemui di kawasan bersalji di Republik Buryatia, Rusia.


ULAN-UDE - Satu klip video yang bocor di Internet menunjukkan satu bangkai mahkluk asing ditemui di wilayah Siberia, Rusia, lapor laman Allnewsweb.com kelmarin.
Bangkai berkenaan ditemui di kawasan bersalji selepas satu objek besar dipercayai objek terbang tidak dikenali (UFO) bercahaya merah jambu dan biru menjunam ke Bumi sebelum terhempas di wilayah Irkutsk lebih sebulan lalu.
Kejadian itu disaksikan ratusan penduduk setempat manakala satu pasukan terdiri daripada beberapa ejen perkhidmatan rahsia dan pegawai Kementerian Sains Rusia tiba di lokasi kejadian beberapa jam kemudian.
Insiden yang jarang berlaku itu turut mendapat liputan meluas di Rusia termasuk agensi berita rasmi Interfax tetapi ia dipinggirkan oleh media Barat, dipercayai bagi menyembunyikannya daripada pengetahuan umum.
Klip video tersebut yang menunjukkan bangkai makhluk asing yang ditemui di wilayah Republik Buryatia, Siberia, tidak jauh tempat UFO itu terhempas di wilayah Irkutsk kini boleh ditonton di laman YouTube.
Makhluk asing itu terselamat dalam nahas udara itu ia tetapi mati tidak lama kemudian ekoran iklim sejuk Rusia yang ekstrem. - Agensi, kosmo

60 jet pejuang Britain dileraikan


BEBERAPA jet Harrier berada di dalam sebuah hangar di Britain.

STAMFORD - Sebanyak 60 jet pejuang Harrier yang sepatutnya digunakan untuk menyerang tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi kini menunggu untuk dileraikan di beberapa buah hangar di Britain, lapor akhbar The Sun semalam.
Jet pejuang berkenaan yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak seperti helikopter disimpan di beberapa hangar milik Tentera Udara Diraja Britain (RAF) dekat sini.
Semua jet pejuang itu masih berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan dalam misi ketenteraan.
Namun, jet-jet tersebut akan dileraikan dalam langkah penstrukturan semula RAF bagi menjimatkan kos penyelengaraan berjumlah £750 juta (RM3.6 bilion).
Langkah tersebut dianggap merugikan Britain yang membelanjakan £30 juta (RM147.6 juta) seminggu untuk melancarkan serangan udara ke atas rejim Gaddafi di Libya.
Britain menyertai Amerika Syarikat dan Perancis dalam melaksanakan zon larangan terbang di Libya bagi mengelak Gaddafi melakukan serangan ke atas orang awam.
Jet Harrier boleh melakukan misi terbabit dari sebuah kapal induk dengan kos cuma £40 juta (RM196.8 juta) setahun. - Agensi, kosmo

Robot kesan radiasi tinggi di dalam loji nuklear



SATU robot kawalan jauh masuk ke dalam sebuah bangunan di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun kelmarin.


TOKYO - Bacaan data yang diperoleh daripada robot-robot yang memasuki dua bangunan di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi buat pertama kali semalam mendapati persekitarannya masih mengandungi kadar radioaktif yang tinggi untuk dimasuki oleh para pekerja.
Para pegawai nuklear memberitahu data radiasi di kolam Unit 1 dan Unit 3 di loji nuklear tersebut diperoleh oleh dua buah robot buatan Amerika Syarikat (AS) yang diberi nama Packbots.
Packbots mengambil data mengenai suhu, tekanan dan tahap radioaktif.
"Lebih banyak data perlu diambil dan tahap radioaktif perlu dikurangkan lebih banyak sebelum para pekerja dibenarkan masuk," jelas Hidehiko Nishiyama dari Agensi Nuklear dan Keselamatan Industri Jepun.
Maklumat mengenai radiasi itu dilihat tidak akan menjejaskan matlamat untuk menutup loji tersebut dalam tempoh enam hingga sembilan bulan seperti yang diumumkan oleh pengendali loji berkenaan, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO).
"Kami sudah menjangkakan tahap radiasi yang tinggi di dalam bangunan reaktor. Namun begitu, saya pasti TEPCO dan pakar-pakar lain mengambil kira angka-angka ini apabila mereka merangka pelan (menutup loji tersebut)," kata Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano.
Pegawai TEPCO, Takeshi Makigami menyatakan robot-robot itu akan merintis jalan buat para pekerja untuk memasuki semula ke dalam bangunan berkenaan.
"Apa yang boleh dilakukan oleh robot adalah terhad. Justeru para pekerja perlu masuk ke dalam bangunan itu," kata Makigami.
Loji itu mengalami kebocoran nuklear selepas ia dilanda ombak tsunami pada 11 Mac lalu akibat gempa bumi kuat di timur laut Jepun. - Agensi, kosmo

Lebih 1,000 orang dibunuh tentera Gaddafi



SEORANG pemberontak memakai topi keledar melepaskan tembakan dengan menggunakan mesingan di tengah Misrata, Libya semalam.


MISRATA, Libya - Dianggarkan 1,000 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera di bandar Misrata apabila tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menyerang lokasi itu dengan menggunakan kereta perisai dan penembak curi sejak enam minggu lalu, kata seorang doktor semalam.
"Kira-kira 80 peratus kematian melibatkan orang awam," kata Dr. Khaled Abu Falgha yang bertindak selaku pentadbir di sebuah hospital utama di Misrata.
Beberapa kakitangan perubatan menyaksikan kenaikan mendadak jumlah mangsa yang dibawa ke hospital pada minggu lalu.
Mereka mengalami kesan tembakan di kepala dan leher yang menjadi sasaran utama penembak tepat.
Sementara itu, enam lagi katil di unit rawatan rapi menempatkan sekumpulan lelaki yang ditembak oleh penembak curi yang ditugaskan ke seluruh bandar oleh tentera yang setia kepada Gaddafi.
Khaled memberitahu semua 60 buah katil di hospital itu telah digunakan dengan sepenuhnya.
Mereka yang cedera ringan dihantar pulang ke rumah selepas mendapat rawatan.
Pada minggu lalu, ramai yang cedera ekoran penggunaan bom berangkai dan memerlukan beberapa anggota badan si mangsa dipotong.
Doktor itu menunjukkan contoh-contoh senjata yang disimpan tentera Gaddafi di pejabatnya.
Bom berangkai yang menyebarkan bom-bom kecil telah diharamkan oleh banyak negara.
Setakat semalam Gaddafi masih belum mahu berundur sebaliknya masih bertegas mahu berkuasa walaupun setelah empat dekad beliau memerintah.
Pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Gaddafi bermula sejak 15 Februari lalu ekoran perasaan tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinannya. - Agensi, kosmo