Pages

Wednesday, September 5, 2012

Tentera Zionis serang kem Hamas

 BANDAR RAYA GAZA: Tentera udara Israel menyerbu sebuah kem latihan Hamas di Semenanjung Gaza semalam. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku, kata saksi. Sasaran serangan ialah kem pelarian Gaza di Nusseirat. Tentera Israel sebelum ini mendakwa. aktivis Palestin melepaskan tembakan roket ke selatan wilayah rejim Zionis itu dari Semenanjung Gaza sejak beberapa hari lalu. Sebuah kumpulan serpihan Salafi mendakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan itu. Walaupun wujud gencatan senjata tidak rasmi antara Hamas dan Israel, ketegangan memuncak secara berkala di sempadan Gaza-Israel, dengan pejuang Palestin melepaskan tembakan roket ke arah wilayah yang dijajah Zionis dan tentera Israel melancarkan serangan balas lebih ganas. - AFP

Rokok elektronik berbahaya?



Rokok elektronik sering menjadi pilihan perokok tegar yang beranggapan ia adalah satu alternatif mengikis tabiat merokok. - Agensi
VIENNA 4 Sept. - Rokok elektronik sebelum ini dianggap sebagai alternatif yang selamat kepada tabiat merokok.
Bagaimanapun, satu penyelidikan terbaru menunjukkan ia juga mampu merosakkan paru-paru bagi mereka yang menggunakannya.
Alat itu didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah hingga mengakibatkan peningkatan segera dalam rintangan udara paru-paru.
Secara purata, kesan itu akan berlarutan selama 10 minit, kata sebuah laporan yang dibentangkan pada Kongres Tahunan Persatuan Pernafasan Eropah (ERS) di Vienna.
Sama seperti rokok biasa, rokok elektronik turut membebaskan nikotin melalui wap berbanding asap dan ia mencetuskan banyak perdebatan tentang keselamatan untuk menggunakannya.
Kira-kira 650,000 perokok dipercayai menggunakan rokok elektronik yang menyerupai rokok sebenar dalam usaha membuang tabiat buruk itu.
Bagaimanapun buat masa ini, kebanyakan alat itu diimport dari China dan dipercayai tidak menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum ia dijual.
Profesor Christina Gratziou yang mempengerusikan Jawatankuasa Kawalan Tembakau ERS berkata, mereka belum pasti sama ada produk yang mengandungi nikotin tidak diluluskan itu lebih selamat berbanding rokok sebenar walaupun ia didakwa kurang berbahaya.
"Penyelidikan ini membantu kita memahami bagaimana rokok elektronik boleh mendatangkan bahaya.
"Justeru, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami sama ada kemudaratan itu boleh memberi kesan dalam jangka panjang,'' katanya. - AGENSI

Kisah 300 orang tentera yang kelaparan


Kisah ini berlaku ketika Nabi Muhamad SAW mengarahkan angkatan tentera seramai 300 orang untuk bersedia menghadapi musuh di sebuah kawasan berdekatan pantai. Angkatan tentera itu diketuai oleh Abu Ubaidah.

Sebelum berangkat, Nabi Muhamad SAW telah meninggalkan sekarung buah tamar buat bekalan makanan anggota tentera tersebut. Namun, belum genap lima belas hari, makanan yang mereka dapat itu telah kehabisan. Mereka terpaksa mencari jalan lain bagaimana untuk mengelak dari kelaparan dan kebuluran sedangkan mereka amat memerlukan tenaga sebagai persediaan menghadapi musuh kelak.



Ketika itu, Qais ra telah membeli tiga ekor unta daripada orang-orangnya sendiri untuk dijadikan hidangan tentera mereka setiap hari. Mereka tidak lagi kebuluran tetapi ini bermakna alat pengangkutan mereka akan berkurangan hari demi hari. Memikirkan akibat itu, Abu Ubaidah telah mengarahkan supaya penyembelihan unta diberhentikan dengan serta merta.

“Wahai sahabatku sekalian, kumpulkan semua buah tamar yang ada pada kalian. Kita perlu menjimatkan makanan kita untuk hidup,” ujar Abu Ubaidah.

Para sahabatnya yang lain tanpa berlengah mengumpulkan tamar yang tinggal di dalam satu bekas. Kemudiannya buah tamar ini dicatukan kepada sebiji untuk seorang. Bagaimana mereka dapat hidup hanya dengan sebiji buah tamar?

Walaupun cuba berdikit-dikit dengan makanan yang ada, akhirnya tamar sebiji seorang itu pun habis. Mereka sudah hampir kebuluran. Demi menyambung nyawa, mereka terpaksa memakan daun-daun kayu. Untuk mengurangkan rasa kasar dan keras daun kayu itu, mereka menyiramnya dengan air terlebih dahulu sebelum dimakan.

Allah Yang Maha Mengasihani merasa belas melihat hamba-hambanya yang sedang menderita. Apatah lagi, mereka itu sedang berjihad ke jalan-Nya. Ditakdirkan, seekor ikan yang amat besar telah terdampar di tepi pantai. Ikan besar itu bernama ‘Ambar’. Seumur hidup mereka, tidak pernah melihat ikan itu dan terdetik rasa hairan di hati masing-masing, dari mana datangnya ikan sebesar itu.

Mulai detik itu, ‘Ambar’ dijadikan hidangan dan makanan mereka selama lapan belas hari. Tiada lagi kelaparan malahan ikan itu seolah-olah tidak luak dan cukup pula untuk dijadikan bekalan dalam perjalanan mereka pulang ke Madinah.

Setibanya di Madinah, cerita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhamad SAW. Baginda berkata,

“Ikan itu adalah bekalan yang dikurniakan Allah untuk kamu semua. Ingatlah,penderitaan yang paling pahit disediakan kepada para nabi, kemudian kepada orang yang kedudukannya rendah sedikit daripada nabi dan kemudian kepada mereka yang paling baik di kalangan kaum Muslimin lainnya.

Majlis pengkebumian diserang, 25 maut


KABUL 5 Sept. - Sekurang-kurangnya 25 orang awam terbunuh dan 35 lagi cedera selepas seorang pengebom berani mati meletupkan diri di majlis pengkebumian di timur Afghanistan semalam.
Jurucakap kerajaan wilayah Nangarhar , Ahmad Zia Abdulzai berkata, serangan yang dipercayai didalangi oleh militan Taliban itu berlaku di daerah Dur Baba yang bersempadan dengan Pakistan.
"Gabenor Dur Baba, Hamesha Gul dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut dan anaknya merupakan antara mangsa yang terbunuh," katanya. - AFP

Kenapa Israel sering menjadi kanak-kanak Palestin sebagai sasaran mereka?

Sering kali kita dengar dalam berita atau pun di dalam Internet mengenai kelakuan zalim dan kejam puak-puak Yahudi Israel membunuh kanak-kanak Palestin..Kalau korang nak tahu kenapa puak Israel ni melakukan tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan tersebut, meh baca kat bawah ni..

PERANG antara Israel dan Palestin tidak akan ada penghujungnya. Entah sampai bila puak Yahudi Israel akan melakukan kekejaman terhadap warga Palestin, tidak dapat diketahui. Jumlah mangsa yang telah menjadi korban keganasan perang Israel telah meningkat kepada ribuan nyawa dan 75% dari mereka adalah kanak-kanak dan wanita.

Ramai dari kita yang mempersoalkan kenapa Israel sering menjadi kanak-kanak Palestin sebagai sasaran mereka? Ada pihak yang mengatakan itu memang tabiat puak Yahudi Israel yang kejam dan biadab sejak azali dan ada juga yang mengatakan mereka (Israel) takut akan perkembangan kanak-kanak Palestin. Mungkin pendapat yang kedua ada benarnya dan lebih masuk akal. Itulah alasan mengapa Israel sering menjadikan kanak-kanak Palestin sebagai sasaran operasi mereka selain kelompok pejuang Hamas tentunya.

Salah seorang pimpinan Hamas, Ismali Haniya mengatakan, kanak-kanak yang sudah menghafal 30 juzuk Al-quran ini sesungguhnya menjadi sumber utama ketakutan puak Zionis Yahudi.

“Jika dalam usia semuda itu mereka sudah boleh menguasai Al-quran, bayangkan 20 tahun lagi apa yang akan dikuasai oleh mereka?” demikian cara pemikiran yang berkembang pada fikiran masyarakat Yahudi. Tidak hairan jika kanak-kanak Palestin menjadi para penghafal Al-quran. Keadaan Semenanjung Gaza yang dipagari dari segala arah oleh Yahudi Israel menjadikan mereka berterusan cenderung untuk berinteraksi dengan al-Qur’an. Tidak ada istilah bermain permainan PlayStation dalam kamus kehidupan mereka. 

Seperti yang kita ketahui, pihak HAMAS menyatakan syarat-syarat yang amat berat untuk menjadi anggota pejuang mereka, diantaranya seseorang itu perlu lah menjadi Hafiz Al-Qur’an dan tidak pernah meninggalkan ssolat fardu terutama sekali solat subuh. Peperangan panjang antara Yahudi mungkin akan berlanjutan entah beberapa generasi lagi.

Oleh itu, hendaklah kita belajar dari Palestin, walaupun mereka dikurung oleh penjajahan Zionis, nyawa mereka terancam setiap masa, setiap minit bahkan setiap detik, tapi itu semua tidak sedikit pun menjadi kesan kepada niat mereka untuk dekat dengan Al-quran dan mendalami lebih dalam dan lebih jauh mengenai agama Islam. Yahudi Israel memang hebat dalam memiliki segala jumlah pasukan dan kelengkapan tempur yang berteknologi paling tinggi. Tapi rakyat Palestin memiliki semangat juang yang lebih tinggi, mereka berani untuk mati syahid demi kebebasan mereka dan anak cucu mereka.



p/s : Sehebat mana pun Israel, tetap takut dengan orang Islam..

Tentera simpanan dikerah perangi pemberontak



DAMSYIK 5 Sept. - Syria dilapor memanggil bekas askar daripada pasukan simpanan untuk memperkuatkan tenteranya sebagai usaha menamatkan pemberontakan terhadap Presiden Bashar Al-Assad.
Seorang pegawai tentera Syria yang enggan dikenali berkata, beribu-ribu tentera simpanan dipanggil sejak dua bulan lalu, namun kebanyakan mereka gagal melaporkan diri.
"Tentera Syria kekurangan orang kerana ramai askar yang terbunuh dalam pertempuran dan ada juga yang membelot," katanya. - REUTERS

Gadis diganggu lembaga hitam



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2012
Sopiah
Sopiah menunjukkan ruang di mana dia terlihat lembaga hitam. Gambar kecil: Siti Intan Shafinaz Abdul Aziz.
TOKAI, PENDANG – Sepasang suami isteri di Jalan Tokai di sini bimbang melihat keadaan anak kedua mereka yang menjadi tidak bermaya selepas dipercayai diganggu lembaga hitam di rumah mereka, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu,  Siti Intan Shafinaz Abdul Aziz, 26, bertindak menjerit dan menangis sambil menepis bahagian perutnya kerana mendakwa perutnya begitu panas selepas ternampak lembaga hitam dalam bilik tidurnya.

Ibu mangsa, Sopiah Mat,47, berkata, dia dan suaminya tidak menyangka anaknya itu diganggu lembaga hitam memandangkan setengah jam sebelum itu dia sedang bermain dengan dua cucunya dalam bilik.

“Saya mendengar dia (Intan) menjerit, namun menyangka mereka sedang bergurau, namun tiba-tiba dua cucu saya keluar daripada bilik memberitahu mak mereka menangis menyebabkan saya bergegas masuk di dalam bilik melihat anak saya sedang menjerit.

“Saya tidak dapat melakukan apa-apa sehingga lebih dua jam keadaan anak saya begitu dan selepas itu dia tertidur sendiri. Namun selepas itu, anak saya nampak tidak bermaya seperti sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sopiah berkata, anaknya pernah diganggu lembaga hitam tiga tahun yang lalu namun, tidak menyangka perkara sama berulang lagi.

Sopiah turut berkongsi cerita pada malam sehari sebelum kejadian itu berlaku kepada anaknya.

Menurutnya, dia sendiri ternampak sepasang mata lembaga hitam dari arah dapur rumah ketika sedang tidur bersama suami dan anak di ruang tamu.

“Ketika kejadian kira-kira jam 4 pagi saya terkejut dari tidur  selepas bermimpi ada lembaga hitam mengganggu saya, namun selepas saya membuka sahaja mata saya ternampak lembaga hitam berjalan-jalan di bahagian tempat kami tidur.

“Saya tidak melakukan apa-apa, hanya melihat sahaja. Saya kemudiannya ternampak sepasang mata dari arah dapur rumah dan jelmaan itu hilang secara tiba-tiba selepas saya mendengar suara seperti anak saya (Intan) menangis tetapi keesokan pagi dia memaklumkan dia tidak menangis,” katanya.

Duta baru PBB: Angka kematian di Syria 'mengejutkan'




5 September 2012
Lakhdar Brahimi
Lakhdar Brahimi
NEW YORK - Sambil menyifatkan kemusnahan disaksikan di Syria sekarang sebagai "satu bencana”, Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab yang baru ke negara itu menegaskan, angka kematian sangat “mengejutkan.”
Menyampaikan ucapan sulung di Perhimpunan Agung PBB selaku duta baru, Lakhdar Brahimi berkata, beliau akan ke Syria dalam beberapa hari lagi.
Selain meminta sokongan PBB, kata beliau, Syria memerlukan perpaduan untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan lebih 18 bulan.
Beliau yang dilantik ke jawatan itu bulan lalu bagi menggantikan Kofi Annan berkata, keadaan di Syria semakin teruk dan oleh itu, penderitaan dialami oleh rakyat negara itu tidak dapat dielakkan.
Annan memutuskan untuk tidak mahu khidmatnya dilanjutkan.
Sehubungan itu katanya, Syria akan dibina semula oleh rakyatnya sendiri, bukan orang lain.
"Sokongan komuniti antarabangsa tidak dapat dielakkan dan sangat terdesak. Ia hanya akan berkesan jika semua pihak bertindak ke arah yang sama," katanya bekas diplomat berusia 78 tahun.
Beliau pernah bertindak sebagai duta Liga Arab ketika perang saudara Lubnan pada 1989 dan membawa kepada penyelesaian konflik di rantau itu.

Pangkalan AS sasaran Iran




         
BEIRUT: Iran mungkin menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat di Asia Barat sebagai tindak balas terhadap sebarang serangan Israel ke atas kemudahan nuklearnya.

Setiausaha Agung Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan, Sayed Hassan Nasrallah berkata semalam, Iran akan melancarkan serangan itu meskipun tentera Amerika tidak memainkan sebarang peranan dalam serangan yang dilakukan Israel.


“Satu keputusan sudah diambil untuk bertindak balas dan ia akan dilakukan secara besar-besaran. Tindak balas itu bukan setakat dalam wilayah Israel, malah pangkalan tentera Amerika Syarikat di seluruh rantau ini akan menjadi sasaran Iran,” katanya. Retorik di Israel yang semakin meningkat mengenai aktiviti nuklear Iran yang menurut Barat menjadi sebahagan daripada program senjata Republik Islam itu, meningkatkan spekulasi bahawa rejim Zionis itu mungkin menyerang Iran sebelum pilihan raya Amerika Syarikat November ini.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelmarin menggesa kuasa dunia menetapkan ‘garis jelas’ bagi meyakinkan Iran bahawa mereka akan menghalangnya daripada memperoleh senjata nuklear.


Israel yang dipercayai menjadi satu-satunya negara di Asia Barat yang mempunyai senjata nuklear melihat program nuklear Iran sebagai ancaman kepada penguasaannya di rantau itu dan terhadap kewujudannya.


Sayed Hassan berkata, terdapat perbezaan pendapat mengenai rancangan menyerang Iran.

“Secara peribadi saya tidak yakin Israel akan menyerang Iran dalam masa beberapa bulan akan datang atau dalam masa terdekat ini,” katanya.


Menurutnya, ini kerana keadaan ekonomi global yang rapuh, yang akan terus lemah akibat daripada sebarang peningkatan mendadak harga minyak mentah akibat daripada konflik di Teluk dan juga kemungkinan jumlah kematian yang besar di Israel jika perang meletus dengan Iran.

“Netanyahu dan Ehud Barak (Menteri Pertahanan Israel) membesar-besarkan ganjaran tetapi enggan mendedahkan kesan yang akan dihadapi sekiranya perang meletus,” kata Sayed Hassan, merujuk kepada anggaran Barak bahawa hanya 500 orang akan terbunuh dalam konflik yang bertujuan memusnahkan kemudahan nuklear Iran. - Reuters

Hizbullah nafi bina senjata kimia



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2012
Hizbullah
Penyokong kuat Hizbullah di Lubnan menonton temu ramah Al-Mayadeen bersama Nasrallah yang disiarkan secara langsung, kelmarin.
BEIRUT - Pemimpin pergerakan Hizbullah, Syeikh Hassan Nasrallah dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan bahawa kumpulan itu kini sedang membina senjata kimia.
"Kami tidak memiliki senjata kimia dan tidak mampu untuk menggunakannya untuk yang berkaitan dengan syiar serta sebab kemanusiaan," kata Nasrallah dalam satu temu ramah di saluran televisyen Al-Mayadeen berpangkalan di ibu negara.
Pada penghujung Julai, majoriti pegawai Israel memberi amaran akan menyerang susulan dakwaan kerja-kerja memindahkan senjata kimia Syria ke Hizbullah.
Tentera kerajaan Syria yang berhadapan dengan pemberontakan sejak 18 bulan lalu, membuat pengakuan memiliki senjata kimia dan mengancam akan menggunakannya jika berlaku sebarang campur tangan pihak asing.
Nasrallah memberitahu, jika musuh (Israel) menentang Lubnan, Hizbullah tidak sesekali diam  sebaliknya akan mempertahankan diri dengan menyerang balas di kawasan utara Israel, Galilee.
Beliau mendakwa menerima maklumat daripada pemimpin-pemimpin Iran mengatakan Teheran akan membalas serangan dengan lebih dahsyat jika Israel menyerang kemudahan nuklear mereka.
"Iran sesekali tidak akan berdiam diri jika musuh menyerang kemudahan nuklearnya," katanya merujuk kepada tindakan Republik Islam akan menyerang balas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di timur tengah.

Bas terpanjang dunia

BAS buatan Jerman ini sudah mendapat tempahan daripada pihak bekuasa bandar raya Beijing dan Shanghai.
BAS buatan Jerman ini sudah mendapat tempahan daripada pihak bekuasa bandar raya Beijing dan Shanghai.
LONDON: Bas yang terpanjang di dunia mula berada di jalan raya di Jerman minggu ini.
Bas yang dicipta oleh pakar dari Institut Untuk Sistem Trafik dan Infrastruktur Fraunhofer, berukuran hampir 30 meter dan mempunyai empat gandar stering serta boleh membawa 256 penumpang.
Bas besar yang fleksibel itu mula dipamerkan kepada orang ramai di Dresden minggu ini, tempat khidmatnya dengan pihak berkuasa pengangkutan tempatan akan digunakan untuk ujian percubaan.

Pihak berkuasa bandar raya Beijing dan Shanghai sudah memesan bas berkenaan yang berharga kira-kira RM31 juta setiap sebuah.


Berita baik untuk aktivis alam sekitar ialah ia boleh bergerak jauh dengan menggunakan kuasa elektrik.

Pengarah institut itu, Matthias Klingner berkata: “Terdapat banyak pengetahuan yang dicurahkan untuk menghasilkan bas ini.

“Kecekapan sistem komputernya sungguh tinggi. Inovasi AutoTram ini bukan terletak pada kepanjangannya saja, tetapi yang paling penting ialah keupayaannya untuk bergerak seperti bas biasa yang sepanjang 12 meter.

“Tidak ada masalah dengan pergerakan dan kestabilannya tetapi kami terpaksa melihat bagaimana bas sepanjang itu akan memberi kesan kepada keadaan trafik di bandar.”

Bas itu menggabungkan kapasiti penumpang sebuah kereta api kecil dan pergerakan sebuah bas. Ia bergerak menggunakan enjin hibrid yang hidup apabila menerima kuasa daripada bateri elektrik, mengecasnya ketika ia menggerakkan kenderaan itu.

Pemandu bas tidak perlu mendapatkan lesen khas bagi memandu bas ini kerana ia menggunakan sistem pemanduan komputer yang unik yang mengawal kepanjangan bas selaras dengan gerabak di depan.

Sistem itu tidak mahal untuk dikendalikan dan lebih murah untuk menggunakannya berbanding sistem kereta api komuter, mendorong bandar lain untuk mendapatkan maklumat mengenainya.

Klinger berkata: “Autotram mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding sistem kereta api ringan.”

Meskipun ia bas terpanjang di dunia, bas dengan kapasiti paling ramai ialah Siri New Liner buatan China yang mempunyai 300 tempat duduk dalam sebuah bas yang sepanjang 25 meter.

Bas seumpama itu diharamkan di beberapa laluan di London pada 2009 selepas di dapati ia menjadi punca kepada kebanyakan kemalangan.

Datuk Bandar London, Boris Johnson berusaha keras untuk menjual 31 bas itu selepas ia didakwa tidak selamat dan menggalakkan penumpang mengelak membayar tambang.

Perkhidmatan bas itu ditamatkan pada 2005 selepas tiga terbakar.

Akhirnya, kebanyakan bas itu dijual kepada Malta pada 2011. - DM

Isteri minta cerai suami ketagih menjeling



Dubai: Seorang ibu kepada empat orang anak, memfailkan tuntutan cerai di mahkamah keluarga Ras Al Khaimah selepas mengadu tidak tahan dengan sikap suaminya yang suka menjeling dan tersenyum dengan wanita lain.

Pegawai mahkamah Jassim Makki berkata, wanita berusia awal 30-an itu memberitahu, setiap kali mereka pergi membeli belah suaminya seperti ‘ketagih menjeling’ dan asyik memandang semua wanita yang lalu lalang sambil tersenyum kepada mereka. Suami nafi tuduhan
Bagaimanapun, akhbar harian Alittihad melaporkan, suami wanita itu yang namanya tidak didedahkan, menafikan tuduhan berkenaan sebaliknya mendakwa isterinya cemburu.

“Dia menganggap semua wanita yang lalu lalang berhampiran saya akan tertarik kepada saya. Saya rasa dia takut kepada bayang-bayangnya sendiri. Dia juga tidak pernah berhenti mengintip perbualan telefon dan mendengar percakapan saya,” katanya yang dipetik Alittihad.

Alittihad melaporkan, pihak mahkamah kini berusaha memujuk wanita berkenaan menarik balik tuntutan cerai, demi masa depan anak mereka. - Agensi

Seks dalam kereta mewah

pix_gal0Beijing: Skandal baru membabitkan kematian anak lelaki seorang pegawai kanan China berpunca daripada permainan seks dalam kereta mewah Ferrari dianggap menjejaskan proses peralihan politik satu dekad sekali negara itu.

Kemalangan pada Mac lalu itu turut menyebabkan dua wanita cedera. Butir-butir kejadian tidak didedahkan di China tetapi oleh media Hong Kong. Itu menunjukkan pihak berkuasa bimbang orang awam akan membantah satu lagi contoh kecuaian dan sikap boros golongan atasan. - AP 

'Hizbullah boleh serang'

Sheik Hassan Nasrallah, Pemimpin  Hizbullah
Sheik Hassan Nasrallah, Pemimpin Hizbullah 
Israel, markas tentera AS jadi sasaran jika Iran digempur

Beirut: Hizbullah tidak mempunyai senjata kimia tetapi masih berupaya memberi kemusnahan besar kepada Israel jika peperangan tercetus, kata pemimpin pertubuhan itu yang mengaitkan perkara itu dengan amaran rejim Zionis itu untuk menyerang Iran kerana mengesyaki Tehran membina bom atom.
Dalam temu bual secara langsung yang jarang diadakan, Sheik Hassan Nasrallah berkata, Al-Mayadeen TV di Lubnan bahawa pegawai Iran memberitahunya, mereka akan menyerang Israel dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau itu jika rejim Zionis menyerang kemudahan nuklear Tehran.

Pegawai Iran memberitahu, mereka akan serang Israel dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau itu jika rejim Zionis menyerang kemudahan nuklear Tehran”. - Sheik Hassan Nasrallah, Pemimpin Hizbullah
Hizbullah memang mempunyai hubungan rapat dengan Iran, yang memberi bantuan kewangan dan senjata kepada pertubuhan itu. Serangan balas Hizbullah ke atas Israel selepas serangan ke atas Iran dianggap berkemungkinan.

AS percaya Iran mahu jadi kuasa nuklear

Amerika dan sekutunya di Eropah percaya Iran mahu menjadi kuasa nuklear. Tehran pula menegaskan programnya untuk tujuan aman menghasilkan elektrik dan isotop bagi kegunaan perubatan.

Pemimpin Israel membayangkan akan melancarkan serangan ke atas loji nuklear Iran jika Tel Aviv merumuskan komuniti antarabangsa gagal mengekang program nuklear republik itu menerusi sekatan dan cara diplomasi.
Serangan balas

“Apa yang saya dengar daripada pegawai Iran ialah serangan balas pasti besar dan Iran tidak akan memaafkan serangan ke atas kemudahan nuklearnya. Rejim Zionis bukan satu-satunya sasaran. Pangkalan Amerika di rantau ini akan menjadi sasaran juga,” katanya. - AP

Lebih 100,000 rakyat meninggalkan Syria



BEIRUT: Lebih 100,000 warga Syria meninggalkan negara mereka pada bulan lalu, jumlah terbesar sejak pergolakan melanda pada Mac 2011, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Peningkatan jumlah yang melarikan diri dan menetap di negara jiran mereka kini ialah 234,368 orang dalam tempoh 17 bulan. Jumlah kematian pada bulan lalu juga meningkat apabila mencatatkan angka tertinggi dalam perang saudara iaitu seramai 5,000 terbunuh.
Kesemuanya menjurus kepada kesengsaraan dalam negara yang menyaksikan rejim Presiden Bashar al-Assad bertindak ganas terhadap puak penentang. - AP

8 terbunuh serangan di utara Iraq



KIRKUK (Iraq): Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh termasuk enam tentera dan anggota polis dalam kejadian pengeboman dan tembak-menembak di utara Iraq, kata pegawai keselamatan dan perubatan hari ini.

Dalam serangan itu, dua bom meletup serentak ketika konvoi tentera melalui kawasan di sepanjang jalan antara bandar Tuz Khurmatu, kira-kira 175 kilometer di utara Baghdad. Menurut pegawai perisikan tentera dan doktor di Hospital Tuz Khurmatu, Dr Mehdi Abdullah al-Bayati letupan itu mengakibatkan enam tentera maut manakala dua lagi cedera. - AFP

India dapat semula beg dipos 46 tahun lalu




BEG milik pemerintah India ditemui semula selepas 46 tahun hilang.



CHAMONIX, Perancis - India semalam memperoleh semula sebuah beg diplomatik yang dihantar dari Mumbai ke New York 46 tahun lalu.
Beg diplomatik itu mengandungi beberapa surat khabar ditemui di kawasan pergunungan Alps dekat lokasi sebuah pesawat Air India yang terhempas pada Januari 1966.
Ia ditemui oleh seorang pekerja penyelamat di kawasan pergunungan itu, Arnaud Christmann dan anak perempuannya, Jules Berger pada 21 Ogos lalu.
Seramai 117 orang mati dalam pesawat itu termasuk arkitek program nuklear India, Homi Jehangir Bhabha.
Setiausaha Kedua Kedutaan India di Paris, Satwant Khanalia mengambil beg tersebut bagi pihak pemerintah India di bandar ini dekat kawasan pergunungan tersebut.
Beg itu tertera perkataan Kementerian Hal Ehwal Luar India. - AFP

Tradisi merampas pengantin perempuan di Romania




DUA penculik yang berpakaian Taliban bergambar bersama seorang pengantin perempuan di Arch of Triump, Bucharest pada Ahad lalu.





SEORANG pengantin perempuan berjalan menaiki sebuah limousin dengan seorang lelaki yang memegang senjata palsu berdiri di pintu kenderaan itu pada 26 Ogos lalu.



BUCHAREST, Romania - Tradisi merampas pengantin perempuan dari majlis perkahwinan untuk dijadikan tebusan semakin mendapat sambutan pada setiap Sabtu di sini.
Tradisi tersebut melibatkan pengantin perempuan dibawa lari oleh rakan-rakannya menuju ke monumen Arch of Triumph yang menjadi lokasi tumpuan pelancongan.
Pengantin perempuan itu dan penculik-penculiknya menari dan bergaya seksi di hadapan kamera.
Wang tebusan untuk kes penculikan olok-olok itu merupakan beberapa botol arak atau sesuatu yang dianggap lebih romantik seperti deklarasi cinta di tempat awam oleh pengantin lelaki.
Seorang pengantin perempuan berusia 25 tahun, Alisar Dragne berkata, penculikannya dirancang dengan teliti.
"Semuanya dirancang rapi. Sebuah kereta limousin menunggu untuk membawa saya di hadapan sebuah restoran di sini. Saya diberikan isyarat supaya meninggalkan pengantin lelaki dan kami pergi ke Arch of Triumph untuk berseronok," kata Dragne.
Menurutnya, tradisi tersebut diadakan bagi memeriahkan lagi majlis perkahwinan.
Di Romania, ia bermula beberapa tahun lalu apabila seorang bintang bola sepak tempatan menyewa Arch of Triumph untuk melamar teman wanitanya.
Sejak itu, pelbagai taktik digunakan untuk menjadikan majlis perkahwinan di negara berkenaan lebih meriah termasuk perbuatan menculik pengantin perempuan.
Pada Sabtu lalu, kira-kira 20 pengantin perempuan menjadi tebusan di monumen tersebut yang dibina pada tahun 1922 bagi memperingati askar-askar Romania yang mati ketika Perang Dunia Pertama.
Seorang pengantin perempuan dibawa dengan kereta dari majlis perkahwinannya di sebuah bandar yang terletak sejam dari timur Bucharest.
Seorang lagi pengantin perempuan memegang senjata palsu yang dirampas daripada penculiknya dan berpura-pura untuk menembak di monumen tersebut.
Para penculiknya pula memakai pakaian jubah seperti anggota Taliban di Afghanistan.
Para pengguna kenderaan membunyikan hon, melambaikan tangan dan bersorak ke arah kumpulan pengantin tersebut.
Pihak berkuasa hanya menutup mata dengan tidak mengambil tindakan terhadap parti yang diadakan di monumen tersebut.
Mengadakan parti di monumen tersebut sebenarnya dilarang kerana ia merupakan tempat yang bersejarah. - AP

Remaja wanita dihukum rotan kerana berzina



MALE, Maldives - Sebuah mahkamah di Maldives menjatuhkan hukuman rotan di khalayak ramai ke atas seorang remaja wanita berusia 16 tahun selepas dia mengaku berzina, kata beberapa pegawai semalam.
Remaja yang tidak dinamakan itu didapati bersalah selepas dia membuat pengakuan menerusi undang-undang syariah.
Pengakuan itu dibuat selepas keluarganya mengadu bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki berusia 29 tahun pada Julai lalu.
Lelaki tersebut telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun berdasarkan peruntukan undang-undang sivil di sebuah mahkamah di daerah Raa atoll pada Ahad lalu kerana melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur.
Seorang pegawai mahkamah berkata, gadis itu boleh menolak untuk melakukan hukuman sebat di khalayak ramai untuk digantikan dengan hukuman tahanan rumah selama lapan bulan di bawah undang-undang tempatan.
Mahkamah mengarahkan hukuman rotan itu dilakukan apabila gadis itu berusia 18 tahun. - AFP

24 rakyat Malaysia kalah kes tentera British



LONDON – Beberapa saudara-mara kepada 24 rakyat Malaysia yang menjadi penoreh getah kalah dalam kes pembunuhan yang dilakukan askar-askar British pada tahun 1948.
Dalam kes itu, mereka menuntut satu inkuiri dilakukan kerajaan Britain berhubung kejadian tersebut.
Keputusan sesi itu diumumkan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Askar-askar British mengepung ladang getah Sungai Rimoh di Batang Kali, Selangor pada 12 Disember 1948.
Dalam kejadian itu, askar-askar tersebut membunuh 24 pekerja dan membakar kampung mereka.
“Kami akan membuat rayuan,” kata seorang peguam bela kumpulan rakyat Malaysia itu, John Halford.
Salah seorang saudara-mara itu, Chong Koon Yin berkata, beliau kecewa dengan keputusan tersebut.
Kumpulan rakyat Malaysia itu meminta satu siasatan dilakukan supaya permohonan maaf dan pampasan dikeluarkan berhubung kejadian tersebut. – AFP

Israel mahu kedai pakaian Hitler di India ditutup



GAMBAR fail menunjukkan salah seorang pemilik berada di depan kedai Hitler miliknya di Ahmedabad, India pada 28 Ogos lalu.


NEW DELHI - Israel mengadu kepada pentadbiran tempatan negeri Gujarat berhubung sebuah kedai pakaian lelaki yang menggunakan nama Hitler. Konsul Jeneral Israel di bandar Mumbai, Orna Sagiv berkata, beliau meminta para pegawai negeri itu kelmarin untuk campur tangan bagi membolehkan nama kedai tersebut diubah.
Menurutnya, beliau cuba menjelaskan betapa seriusnya isu penggunaan nama tersebut. Kedai itu dibuka pada bulan lalu. Papan perniagaan kedai tersebut tertera nama Hitler. Pemilik kedai tersebut menyatakan beliau tidak mengetahui sejarah Hitler apabila nama itu dicadangkan oleh seornag rakannya. Datuk rakannya itu mempunyai nama jolokan Hitler. Hitler yang nama penuhnya Adolf Hitler merupakan pemimpin Nazi Jerman yang mengarahkan pembunuhan ramai kaum Yahudi semasa Perang Dunia Kedua. - Agensi

Bashar temui Ketua Palang Merah



BASHAR (kiri) menemui Maurer di Damsyik semalam.


BEIRUT - Ketua pertubuhan Palang Merah Antarabangsa, Peter Maurer semalam menemui Presiden Syria, Bashar Al-Assad di Damsyik.
Mereka membincangkan situasi kemanusiaan yang semakin merosot ekoran pergolakan yang berlaku di negara tersebut.
Dalam pertemuan selama 45 minit itu, Maurer meminta Bashar untuk menunjukkan sikap menghormati undang-undang kemanusiaan.
Maurer juga meminta Bashar membantu pertubuhannya menghulurkan bantuan penduduk yang memerlukan bantuan di Syria.
"Pertemuan itu menumpukan semua isu-isu kemanusiaan dan perlindungan ke atas orang awam," kata jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Rabab Rifai kepada agensi berita dpa.
Selepas pertemuan itu, Maurer melawat kawasan Mazamiyeh di Damsyik.
Beliau turut melawat stesen perubatan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Syria.
Maurer juga mengunjungi sebuah sekolah yang menempatkan penduduk awam yang kehilangan tempat tinggal.
Stesen televisyen negara itu menyatakan, Bashar memberitahu Maurer bahawa beliau menyokong kerja-kerja ICRC di Syria.
Pertubuhan Bulan Sabit Merah dan ICRC telah menyediakan bantuan kepada lebih 800,000 orang dan membantu satu juta penduduk memperoleh air bersih.
Pertempuran di negara itu masih berterusan di kawasan utara dan dekat sempadan Syria di Lebanon.
Para aktivis yang menentang kepimpinan Bashar dan berpangkalan di Lebanon melaporkan 40 orang mati di seluruh negara semalam.
Mereka menyatakan, bunyi bedilan boleh didengar di sempadan manakala asap hitam meliputi kawasan Zabadani di Syria.
Di Aleppo, para pemberontak yang menentang tentera Bashar mendakwa mereka berjaya merampas beberapa pelancar roket daripada askar-askar.
Pergolakan di Syria berlaku sejak Mac tahun lalu apabila penduduk bangkit menentang kepimpinan Bashar yang didakwa gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan hak asasi manusia.
Sebahagian penduduk turut menuntut Bashar meletakkan jawatan.
Lebih 20,000 orang dilaporkan mati dalam pergolakan di negara berkenaan.
Sementara itu, kira-kira 100,000 pelarian melarikan diri dari Syria pada Ogos lalu, kata sebuah agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam. - Agensi