Pages

Sunday, August 5, 2012

Parlimen Afghanistan pecat dua menteri keselamatan



KABUL 5 Ogos - Parlimen Afghanistan semalam memecat dua menteri keselamatannya ekoran kegagalan menyelesaikan konflik serangan di sempadan negara membabitkan Pakistan dan beberapa isu keselamatan yang lain.
Presiden Hamid Karzai membuat keputusan untuk memecat Menteri Pertahanan, Abdul Rahim Wardak dan Menteri Dalam Negeri, Bismillah Mohammadi.
Kedua-dua menteri tersebut dijangka terus berkhidmat sehingga pelantikan baru dibuat. - AFP

Berang mercun dibalut ayat al-Quran

Seorang penduduk menunjukkan cebisan helaian al-Quran yang dijadikan pembalut mercun di Aceh. - AGENSI
PANTON Labu, Aceh - Beberapa penduduk di sini terkejut besar apabila menemui cebisan pembalut mercun diperbuat daripada kertas yang tertulis ayat-ayat suci al-Quran.
Penemuan yang turut dilaporkan berlaku di Matang Kuli dan Nibong itu, sekali gus mendatangkan kemarahan penduduk yang menyifatkan perbuatan menggunakan kertas yang mengandungi ayat kitab suci tersebut sebagai satu penghinaan terhadap umat Islam.
Kes itu dilaporkan berlaku di Panton Labu apabila seorang peniaga, Nurdin, 34, menemui kertas mercun yang dipenuhi tulisan Arab pada minggu lalu ketika sedang berniaga di kedainya.
"Saya terjumpa cebisan mercun di depan kedai saya dan setelah diteliti, saya dapati tulisan Arab tersebut merupakan ayat al-Quran.
"Saya menemui beberapa cebisan lain dan bertindak melaporkan perkara ini kepada Majlis Permesyuaratan Ulama (MPU) Tanah Jambo Aye untuk tindakan lanjut," katanya.
Ketua MPU, Tgk Ramli Syam berkata, cebisan yang ditemui oleh Nurdin itu disahkan merupakan helaian daripada al-Quran.
"Perbuatan ini merupakan satu penghinaan terhadap umat Islam dan disengajakan. Mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini perlu ditangkap dengan segera," katanya. - AGENSI

Abu Bakar Bashir ancam perang ke atas Myanmar


JAKARTA 3 Ogos - Seorang guru agama Indonesia yang sedang merengkok di penjara, Abu Bakar Bashir mengancam untuk melancarkan peperangan sekiranya Myanmar berterusan menindas masyarakat Islam Rohingya.
Ancaman Bashir itu disuarakan melalui sepucuk surat bertarikh 22 Julai lalu yang ditujukan kepada Presiden Thein Sein dan disiarkan dalam laman web voa-silam.com hari ini.
Bashir, 74, dikenali di seluruh dunia sebagai ketua kumpulan radikal di Indonesia dan sedang menjalani hukuman penjara selama 15 tahun atas kesalahan membiayai aktiviti keganasan.
"Kami mengetahui umat Islam di negara anda (Myanmar) hidup terseksa atas perbuatan anda menghalau mereka dari rumah dan membunuh mereka.
"Jika anda mengabaikan amaran ini, dengan kuasa Allah, anda akan menyaksikan kemegahan dan keangkuhan negara anda jatuh ke tangan pejuang kami," kata Bashir dalam surat tersebut.
Bashir berkata, Myanmar seharusnya sedar bahawa semua umat Islam termasuk di Myanmar adalah bersaudara.
"Kesakitan mereka adalah kesakitan kami, kesedihan mereka adalah kesedihan kami dan darah mereka juga adalah darah kami.
"Dengan izin Allah, kami akan menghancurkan anda dan negara anda," jelas Bashir.
Surat berkenaan disahkan tulen oleh Son Hadi, seorang jurucakap kumpulan Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) yang dibiayai Bashir sejak 2008 dan dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat (AS).
Hadi berkata, surat tersebut telah dihantar kepada Kedutaan Myanmar pada Isnin lalu. - AFP

Britain cipta helikopter perang terkecil


Sumber: AGENSI
LONDON 3 Ogos - Sebuah helikopter sebesar tapak tangan dan seberat 198 gram bakal menjadi senjata terbaru yang akan digunakan oleh tentera Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Amerika Syarikat untuk menentang militan Taliban.
Ketua-ketua tentera percaya, drone perisikan berharga 20,000 pound (RM97,249) itu yang dikenali sebagai SQ-4 Recon dan merupakan kenderaan udara tanpa juruterbang terkecil di dunia, akan dapat menyelamatkan nyawa tentera AS sekutunya di Afghanistan.
SQ-4 Recon sebenarnya pesawat versi kecil Little Nellie, autogiro yang diterbangkan oleh James Bond dalam filem You Only Live Twice.
Helikopter atau 'nanodrone' itu memiliki dua kamera yang membolehkan tentera melihat keadaan di sebalik bukit atau di dalam kubu musuh tanpa risiko terbunuh atau cedera.
Ia boleh dikendalikan menggunakan alat kawalan jauh oleh tentera yang duduk di sebuah bilik kawalan yang terletak beribu-ribu batu jauhnya atau oleh tentera peronda dengan menggunakan komputer tablet tujuh inci.
Dengan ukuran sembilan inci diameter, helikopter itu boleh terbang dan berada di udara selama 30 minit dan enjinnya boleh dimatikan dan bertenggek seperti burung di tingkap bangunan tanpa disedari ssiapa sambil merakam sebarang aktiviti selama lebih lapan jam.
Kameranya pula boleh menghantar imej secara langsung atau mengambil gambar atau video yang boleh merakam pada waktu malam dan siang.
Ini bermakna tentera boleh menjalankan misi tinjauan tanpa menghadapi sebarang risiko diserbu atau terkena jerangkap samar.
SQ-4 direka oleh BCB International and Middlesex University's Autonomous Systems Laboratory yang beribu pejabat di Cardiff, Britain dan sedang diuji oleh tentera AS.
Pengarah urusan BCB International, Andrew Howell berkata, teknologi terbaru itu menawarkan kaedah pertempuran moden dan keupayaan melakukan intipan tanpa membahayakan diri. - AGENSI

Kofi Annan letak jawatan


Mayat beberapa orang penduduk Syria yang didakwa oleh aktivis pembangkang dibunuh oleh tentera kerajaan ditemui di Jdeidet Artouz dekat Damsyik pada 1 Ogos lalu. - REUTERS
ALEPPO 3 Ogos - Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan meletak jawatan sebagai wakil khas PBB-Liga Arab bagi Syria, semalam setelah pelan damai yang diusahakannya pada April lalu tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada negara-negara kuasa dunia.
Ketika tentera Syria menggunakan jet pejuang untuk mematahkan pemberontak yang bersenjatakan kereta kebal di Aleppo hari ini, Annan kecewa dengan 'peningkatan ketenteraan' dalam konflik yang telah berlarutan selama 17 bulan itu.
Beliau turut kesal dengan 'tindakan saling tuduh-menuduh yang berterusan' di Majlis Keselamatan PBB yang disifatkannya menghalang tindakan untuk menamatkan pertumpahan darah di Syria.
Annan berkata, pertelagahan telah menghalang usahanya untuk melaksanakan pelan damai di Syria yang sepatutnya bermula dengan gencatan senjata oleh kedua-dua pihak pada 12 April lalu, tetapi tidak pernah terlaksana.
Bagaimanapun, peletakan jawatan beliau telah mencetuskan satu pusingan baru tuduh-menuduh antara negara-negara kuasa dunia.
"Saya tidak menerima sokongan yang sepatutnya. Anda harus faham, sebagai seorang wakil, saya tidak mampu membawa keamanan tanpa sokongan Majlis Keselamatan dan masyarakat antarabangsa.
"Peningkatan ketenteraan dan kurangnya kesepakatan di Majlis Keselamatan pada dasarnya telah mengubah peranan saya," katanya dalam satu sidang media di Geneva, semalam selepas peletakan jawatannya diumumkan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon di New York.
Sementara itu, bedilan di kem pelarian Palestin Yarmuk di Damsyik menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, hari ini.
Pertubuhan itu berkata, bedilan mortar mengenai kem pelarian yang terletak di pinggir bandar Damsyik itu semalam, ketika Presiden Bashar al-Assad meningkatkan kempen untuk menentang pemberontak. - AFP

Kapal perang Rusia bakal dihantar ke Syria

Kapal perang Rusia bakal dihantar ke Syria: "MOSCOW 4 Ogos - Tiga buah kapal perang amfibia Rusia yang membawa beratus-ratus tentera dilapor akan berlabuh di pelabuhan Syria dalam tempoh beberapa hari lagi.

Agensi berita Rusia ITAR-TASS semalam melaporkan, kesemua kapal perang itu kini sedang menjalani latihan di Laut Mediterranean dan akan berlabuh di Tartus untuk mendapatkan bekalan makanan dan air.

Rusia bagaimanapun menafikan laporan yang mengatakan kapal perangnya digunakan untuk menghantar senjata kepada tentera kerajaan Presiden Bashar al-Assad. - AFP"

'via Blog this'

Dua maut pertempuran puak di Saudi

RIYADH 4 Ogos - Seorang tentera Arab Saudi dan seorang lelaki bersenjata terbunuh dalam satu pertempuran di kawasan puak Syiah di bandar Qatif, semalam.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, tentera yang dikenal pasti sebagai Hussein Bawah Ali Zabani itu ditembak mati ketika melakukan rondaan keselamatan, menjadikan jumlah korban di bandar terbabit meningkat kepada 11 orang sejak November lalu.
"Seorang tentera terbunuh ditembak empat lelaki bersenjata yang menaiki motosikal di sebuah persimpangan jalan.
"Selepas itu, berlaku kejadian berbalas tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan lelaki bersenjata, menyebabkan seorang daripadanya turut terbunuh," lapor agensi berita SPA yang memetik jurucakap kementerian, Mansour Turki.
Katanya, kesemua penyerang tersebut berjaya ditahan selepas kejadian berbalas tembakan. - REUTERS

PBB beri amaran


Seorang budak lelaki bermain dengan senapang AK-47 milik bapanya di Azaz, kira-kira 47 kilometer dari utara Aleppo, Syria, kelmarin. - REUTERS
ALEPPO 4 Ogos - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon semalam, menggesa kuasa dunia mengenepikan permusuhan antara satu sama lain bagi menamatkan ‘perang proksi’ di Syria, ketika pertempuran sengit berlanjutan di Damsyik dan Aleppo.
Ki-moon mengingatkan mengenai kegagalan badan dunia itu dalam pembunuhan beramai-ramai Srebrenica, di Bosnia dan memberi amaran perbezaan pendapat dalam Majlis Keselamatan perlu diketepikan demi kepentingan rakyat Syria.
“Peningkatan radikalisme dan pandangan pelampau telah diramalkan sejak permulaan konflik tersebut pada Mac tahun lepas. Apa yang telah diramalkan sedang berlaku,’’ katanya.
Ki-moon berkata demikian ketika berucap sebelum pengundian Perhimpunan Agung PBB yang mengkritik Majlis Keselamatan PBB atas kegagalan untuk bertindak berhubung konflik tersebut dan mengutuk Presiden Syria, Bashar al-Assad menggunakan senjata berat dalam perang sivil sejak 17 bulan lalu tersebut.
Beliau berkata, Majis Keselamatan menjadi ‘lumpuh’ akibat perbezaan pendapat berhubung Syria.
“Kini dengan situasi semakin buruk, mereka sekali lagi perlu mencari pendapat bersama,’’ katanya.
Dalam pada itu, tentera Syria menyerang kubu kuat terakhir pemberontak di Damsyik dengan kereta kebal dan kereta berperisai selain melancarkan serangan meriam di Aleppo semalam.
Pemberontak memberitahu Reuters bahawa mereka berjaya merampas sebuah balai polis utama selepas pertempuran selama beberapa hari.
Komander pemberontak, Abu Zaher berkata, pihaknya menahan beberapa pegawai polis selain merampas senjata dan peluru.
Pemberontak berkata, pertempuran sengit kini berlaku di daerah Salaheddin, Aleppo di mana kira-kira 20 orang awam maut. - AFP

Hak pendidikan, kesihatan Rohingya disekat



Seorang kanak-kanak perempuan Rohingya Islam bersama ibunya, merenung nasib mereka di sebuah kem pelarian tidak berdaftar di Bangladesh. - Agensi
WASHINGTON 4 Ogos - Perlembagaan, undang-undang serta polisi Myanmar, menghalang kebebasan beragama, sementara etnik Rohingya Islam menghadapi bentuk diskriminasi ‘paling teruk’ selepas mereka dihadkan daripada menerima pendidikan serta bantuan kesihatan.
Perkara itu didedahkan dalam Laporan Kebebasan Beragama Antarabangsa 2011 Amerika Syarikat (AS) mengenai kebebasan beragama yang diterbitkan minggu ini.
Menurut laporan tersebut, bukan sahaja penganut Islam di seluruh Myanmar, etnik Cina dan India di negara itu juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa majlis bandar raya untuk meninggalkan kampung halaman mereka.
Ia menyatakan, pihak berkuasa Myanmar juga sering menolak permohonan etnik Rohingya serta etnik beragama Islam lain di negeri Rakhine yang mahu melakukan perjalanan atas semua alasan.
“Bagaimanapun, adakalanya kebenaran tersebut diberikan, tetapi hanya selepas melibatkan rasuah,’’ kata laporan oleh Jabatan Negara AS itu.
Menurut laporan itu, penganut Islam di Rakhine terutamanya etnik Rohingya terus menghadapi diskriminasi ekonomi, perundangan, pendidikan dan sosial paling teruk.
Ia berkata, terdapat laporan menyatakan doktor Buddha enggan memberikan sokongan kepada penganut Islam yang diperlukan oleh Kementerian Kesihatan untuk membenarkan mereka keluar dari Rakhine bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Tanpa status kewarganegaraan, etnik Rohingya juga tidak mempunyai akses kepada pendidikan sekolah menengah di sekolah diselia kerajaan.
Pelajar Islam dari Rakhine yang menamatkan sekolah tinggi turut tidak dibenarkan keluar dari negeri itu untuk melanjutkan pelajaran di kolej atau universiti.
- Agensi

KISAH GURU DAN MURID MISKIN


Ramli Joned

Seorang GURU menceritakan pengalamnnya.... " Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur... Saya mengajar sesi petang... Salah seorang murid saya, setiap hari datang lambat ke sekolah... Kasut dan bajunya selalu kotor... Setiap kali saya bertanya kenapa, dia hanya menundukkan kepala, dan berdiam diri... mukanya sedih... Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat... 

Pada mulanya saya hanya memberi nasihat... Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 apa-apa, kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa... Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk, tetapi masih juga datang lambat keesokannya... Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat... Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan.... Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya... Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat...

Suatu hari saya bercadang untuk MENGINTIP ke rumahnya... Setelah mendapatkan alamatnya, tengahari itu, saya meneruskan niat saya... Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah... Keadaan rumahnya sangat daif... Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah... Seorang wanita yang mungkin ibunya, juga kelihatan gelisah...

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu... Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya.. Sampai di depan rumah, baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya, yang terus bergegas memakainya... Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.... Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan... Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata saya yang mula tergenang...

“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”... Dia terkejut dan wajahnya berubah....

“Itu abang saya... dia sekolah pagi... Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain... Itu saja baju dan kasut yang ada... Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya..

"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”

"Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang.... Kalau cikgu nak pukul, serahkan saja punggung kamu.”... Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….”
Kejadian itu cukup menginsafkan saya... Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu...

Paksa pasangan berarak bogel, polis Pakistan digantung



Paksa pasangan kekasih berarak bogel, polis Pakistan digantung
Warga Pakistan, Shahnaz Bibi memberitahu BBC
bahawa dia juga pernah dipaksa berbogel
 di kampungnya tahun lalu. - Foto ihsan BBC
KARACHI - Beberapa pegawai polis Pakistan digantung tugas ekoran tindakan mereka mengenakan hukuman dengan memaksa satu pasangan berarak dalam keadaan bogel di khalayak.

NDTV melaporkan bahawa insiden mengejutkan itu berlaku di wilayah Sindh, selatan Pakistan pada 27 Julai lalu.

Menurut laporan BBC, beberapa saksi mendakwa polis di bandar Gambat mengarahkan seorang lelaki dan wanita, yang belum berkahwin, berjalan ke balai polis dalam keadaan berbogel sebagai hukuman atas alasan cuba mengadakan hubungan seks

Rakaman telefon bimbit menunjukkan seorang lelaki dipikul oleh polis manakala seorang wanita pula merayu agar dia dibenar mengenakan pakaiannya.

Laporan itu menambah, pegawai-pegawai polis digantung tugas berikutan kecaman dan protes orang ramai.

Lelaki itu, seorang peniaga, dikenali sebagai Mumtaz Mirbahar manakala nama pasangannya tidak disiarkan.

BBC Urdu pula melaporkan bahawa polis dan penduduk tempatan merakamkan kejadian itu.

Laporan BBC juga berkata, insiden-insiden mengaibkan orang awam di khalayak adalah perkembangan biasa di Pakistan.

Bagaimanapun menurutnya, kejadian terbaru ini mengejutkan ramai sebab ia diarah oleh polis dan dirakamkan menggunakan telefon bimbit.

Tahun lalu, beberapa lelaki ditahan kerana membogelkan seorang wanita pertengahan usia dan memaksannya berarak di kampungnya sebagai hukuman atas kesalahan anaknya mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita dalam keluarganya.

Ketika itu, Shahnaz Bibi memberitahu BBC bahawa kehidupannya terganggu dan tidak dapat kembali ke rumahnya.

Laporan media lain memetik Mirbahar berkata, dia menjadi mangsa konspirasi.

Katanya, wanita berkenaan dibawa oleh anggota polis dan kedua-duanya dipaksa berjalan kira-kira satu kilometer.

Laporan juga menyebut Mirbahar telah memperoleh jaminan daripada mahkamah manakala wanita terbabit masih ditahan di penjara.

Dia telah memfailkan satu petisyen di Mahkamah Tinggi Sindh dan akan didengar Rabu ini.

BBC melaporkan, penduduk tempatan telah meminta polis agar tidak meneruskan tindakan mereka tetapi tidak didengar.

Seorang lagi wanita dilaporkan ditahan bersama Mirbahar tetapi tidak diarah berarak dalam keadaan berbogel.

Polis mendakwa mereka menerima aduan bahawa Mirbahar telah menjemput kedua-dua wanita itu ke rumahnya untuk mengadakan hubungan seks.

Gempa sederhana landa Kepulauan Aru



KUALA LUMPUR- Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 padaskala Richter melanda Kepulauan Aru, Indonesia pada pukul 1.58 petang tadi.
 
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini, gempa itu berpusat 607 km dari tenggara Sorong, Indonesia dan 2,037 km tenggara Semporna, Sabah.
 
Gempa tidak membawa ancaman tsunami. -Bernama

Pesawat 'diserang'



Pesawat 'diserang'
Beribu lebah mengerumuni sayap pesawat Delta.
PENNSYLVANIA - Penerbangan pesawat Delta dari Pittsburgh ke New York terpaksa ditangguh 20 minit akibat dikerumuni beribu-ribu lebah di atas sayap pesawat tersebut.

Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Pittsburgh berkata, penjaga lebah profesional terpaksa dipanggil untuk menyuraikan spesies terbabit tanpa membunuhnya.

Sementara itu, penjaga lebah profesional, Stephen Repasky berkata, beribu-ribu lebah itu tidak boleh dibunuh kerana ia adalah spesies terlindung di bawah undang-undang.

Beliau berkata, ini adalah kejadian keempat sepanjang tahun ini dan dipercayai terdapat koloni lebah di sekitar kawasan itu.

Pada kejadian tersebut, beberapa penumpang mengambil kesempatan merakam gambar spesies itu, yang dilihat sebagai suatu keajaiban yang menakjubkan.

48 jemaah Iran diculik di Syria



DAMSYIK - Kira-kira 48 jemaah Iran diculik daripada bas mereka naiki berhampiran makam Syiah di Syria.

Diplomat Iran melaporkan penculikan dilakukan oleh kumpulan bersenjata dan mereka diculik dari dekat berhampiran dengan makam Sayyida Zainab dan kesemua jemaah telah dikenal pasti.

Sementara itu, turut berlaku pergelutan dilaporkan berlaku di sekitar Damsyik di bandar Aleppo, di mana pemberontak cuba untuk menjamin kedudukan mereka.

Stesyen televisyen Syria turut mengakui kejadian yang menimpa ahli jemaah berkenaan.

Jemaah diculik oleh kumpulan pengganas bersenjata dan pihak berkuasa Syria sedang cuba untuk menyelesaikan perkara ini.

Beribu-ribu rakyat Iran akan pergi ke Syria setiap tahun untuk menziarahi daerah Syiah Sayyida Zainab, yang telah menyaksikan pertempuran dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Laporan sebelum ini mengatakan yang ramai jemaah dari Iran diculik beberapa bulan kebelakangan ini tetapi kemudian dibebaskan.

Mei lalu,  11 jemaah Syiah Lubnan telah diculik di Syria semasa kembali dari Iran. Kerajaan mengumumkan tiga hari selepas  diculik, mereka dibebaskan.

Kejadian itu mencetuskan keganasan di seluruh Lubnan, di mana krisis di Syria semakin meruncing dan berlaku banyak ketegangan.

Sepanyol hukum salah seorang trio al-Qaeda



Sepanyol hukum salah seorang trio al-Qaeda
Trio disyaki ahli kumpulan Al-Qaeda merancang serangan di Eropah.
MADRID - Mahkamah Sepanyol kelmarin, menjatuhkan hukuman ke atas seorang daripada tiga suspek Al- Qaeda yang ditahan kerana disyaki merancang serangan di Eropah.

Tertuduh yang juga warga Turki didakwa memiliki bahan letupan dan peralatan untuk tujuan keganasan, tetapi hakim masih tidak bersetuju dengan pihak pendakwa bahawa tertuduh sebahagian daripada kumpulan Al-Qaeda.

Dalam pada itu, dua suspek Chechen turut berhadapan pertuduhan terlibat dengan Al-Qaeda dan kini sedang disiasat polis.

Walau bagaimanapun, peguam kedua-dua suspek menafikan anak guamnya terlibat dengan pertuduhan itu dengan menyatakan salah seorang daripada mereka adalah jurutera untuk sebuah syarikat multinasional dan pernah menetap di Gibraltar selama tujuh tahun selain mempunyai kediaman sah di Britain.

Menteri Dalam Negeri, Jorge Fernandez selepas penangkapan tiga lelaki itu pada Khamis lalu berkata, pasukan penyiasat mempunyai bukti kukuh bahawa trio itu merancang untuk melakukan serangan di Sepanyol atau lokasi lain di Eropah.

Pada 2005, berlaku satu letupan besar di laluan sistem kereta api di Madrid yang mengorbankan 191 orang dan 1,800 yang lain cedera.

Rusia kecam resolusi baru Syria



Rusia kecam resolusi baru Syria
Churkin yakin resolusi baru itu gagal menghentikan perang saudara di Syria.
DAMSYIK - Rusia secara terbuka mengkritik resolusi dikeluarkan Majlis Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai sokongan terang-terangan kepada tentera bebas yang digelar kumpulan pemberontak menentang Presiden Bashar al-Assad.

Duta PBB Rusia, Vitaly Churkin mendakwa, kumpulan yang menyokong resolusi itu bertindak melampaui batas apabila menyediakan askar upahan dan senjata api untuk pembangkang Syria.

Katanya, kegagalan Majlis Keselamatan PBB terhadap krisis di Syria dan resolusi yang menentang kerajaan Assad tidak sesekali akan menghentikan perang saudara yang tercetus sejak tahun lalu.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Churkin mendakwa mereka yang begitu menyokong resolusi adalah pihak yang secara aktif membantu kumpulan berhaluan kiri dengan sokongan kewangan termasuk senjata api.

Rusia dan China memiliki tiga kali ganda kuasa vetonya dalam resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mungkin membawa kepada sekatan terhadap Syria.

Churkin memberitahu, resolusi yang dikeluarkan kelmarin begitu bercanggah dengan usaha pelan damai bekas wakil PBB-Liga Arab, Kofi Annan.

"Ia melemahkan peluang pelancaran kepada proses menyelesaikan masalah politik di Syria," kata Churkin selepas resolusi berkenaan diluluskan dengan mendapat undian sokongan sebanyak 133, berbanding 12 undi menentang dan 31 berkecuali.

13 lagi jadi korban baru diSyria


       
BEIRUT: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh di seluruh Syria semalam apabila pertempuran sengit semakin memuncak di Aleppo dan Damsyik, dua bandar raya terbesar di negara itu, kata kumpulan hak asasi kemanusiaan.

Askar pemberontak berundur dari daerah Izaa di Aleppo malam tadi, tempat letaknya televisyen kerajaan, menurut organisasi pemerhati hak asasi kemanusiaan Syria. “Askar pemberontak menanam bahan letupan dan tentera regim mengebom kawasan itu. Mereka kemudian berundur dari situ,“ lapor organisasi yang berpangkalan di Britain itu. Pertempuran tercetus apabila askar pemberontak cuba menyerbu masuk ke bangunan televisyen kerajaan, kata pengarah organisasi itu, Rami Abdel Rahman kepada media.


Menurut agensi berita kerajaan, SANA, “kumpulan pengganas bersenjata menyerang orang awam dan bangunan televisyen kerajaan di Aleppo, manakala tentera melindungi mereka.” - AFP

Seorang maut, loji petrokimia Iran terbakar


       
TEHERAN: Satu kebakaran di loji petrokimia terbesar negara ini membunuh sekurang-kurangnya seorang dan mencederakan 15 yang lain sebelum ia dapat dipadamkan, lapor media Iran, semalam.

Kebakaran di kompleks petrokimia Bandar Imam, di bandar Mahshahr, di barat daya negara itu berpunca daripada kebocoran tangki minyak, menurut agensi berita Shana milik kementerian minyak Iran. “Malang sekali kemalangan itu menyebabkan seorang terbunuh,” lapor agensi berita itu sebagai memetik kenyataan Ketua Keselamatan Syarikat Petrokimia Nasional Iran, Qodratollah Nasiri.


Loji itu dilaporkan menghasilkan lebih empat juta tan produk tahun lalu, termasuk polimer, benzena, gas propena dan bahan api. - AFP

Sekeluarga nyaris maut bongkah batu terpelanting depan rumah



BONGKAH batu yang terpelanting di depan pintu kediaman sebuah keluarga di Mentougo, semalam.
BONGKAH batu yang terpelanting di depan pintu
kediaman sebuah keluarga di Mentougo, semalam.
 
BEIJING: Sebuah keluarga nyaris maut apabila bongkah batu seberat dua tan yang runtuh daripada gunung berhampiran terpelanting ke depan pintu rumah mereka.

Bongkah batu itu hanya berhenti apabila tersekat di dinding. Ia terpelanting akibat kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat selama beberapa minggu melanda Mentougou, kawasan pergunungan dekat ibu negara China itu. “Satu lagi lantunan dan ia mungkin ada dalam bilik bersama keluarga itu. Mereka memang bertuah. “Keseluruhan halaman dan belakang rumah dipenuhi dengan runtuhan batu-batan. Mereka hanya selangkah daripada ditimbus hidup-hidup,” kata jurucakap polis.


Mentougou terletak di kawasan pergunungan di barat Beijing dan kaya dengan sumber semula jadi seperti arang batu, granit dan batu kapur. Walaupun meraih populariti sebagai destinasi pelancongan, hampir seluruh kawasan berada jauh di pedalaman dan hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan banyak kediaman diancam bahaya. - DM

Pemuda tolak ditawar isteri



 
Jeddah: Seorang wanita Arab Saudi yang tertarik dengan peri laku berbudi bahasa seorang pemuda, menawarkan anak gadis tunggalnya untuk dikahwini lelaki berkenaan.

Halima, 70, melakukan Umrah di Makkah apabila memerlukan kerusi roda untuk melengkapkan sai, yang memerlukan pelaku berjalan ulang-alik sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwa, yang terletak kira-kira 420 meter antara satu sama lain.

Seorang pemuda sambil tersenyum menawarkan kerusi roda kepada Halima dan secara sukarela menolak kerusi roda itu ketika sai, lapor akhbar Okaz.
Apabila selesai menunaikan sai, Halima memberikan pemuda berkenaan SR100 (RM83) sebagai menghargai khidmatnya.

Bagaimanapun, pemuda berkenaan menolak pemberian itu dan memberitahu Halima bahawa dia adalah sebahagian kumpulan pemuda yang menawarkan khidmat mereka di Masjidil Haram kerana Allah.

Wanita itu, yang kagum dengan kebaikan pemuda itu, bertanya sama ada dia mahu mengahwini anak perempuannya dan menjadi menantunya.

Sekali lagi, pemuda itu hanya tersenyum tetapi mengucapkan terima kasih tanpa menerima tawaran itu.
Menurut pegawai, 1,000 pemuda menandatangani persetujuan menyertai program Pemuda Makkah Sedia Berkhidmat untuk membantu jemaah di Masjidil Haram sepanjang Ramadan, menurut akhbar itu.

Agensi

Jutawan tertekan mahu jual aset



 
Moscow: Seorang jutawan Russia yang turut memiliki sebuah akhbar penyiasatan utama yang kritikal kepada Kremlin berkata kelmarin beliau mahu menjual asetnya kerana tekanan agensi keselamatan negara.

Alexander Lebedev, dianggarkan mempunyai kekayaan bernilai AS$1.1 bilion (RM3.44 bilion) menurut majalah Forbes.

Beliau berkata, agensi pengganti KGB mula menyasarkannya dengan melancarkan siasatan dan pemeriksaan bagi menyingkirkannya daripada perniagaan itu.
Sejak tiga tahun lalu, perniagaan saya sengaja dimusnahkan oleh jabatan keselamatan ekonomi Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Divisyen K, kata Lebedev dalam blognya.

Memburu dan memberi tekanan bukan saja terhadap saya dan pekerja syarikat, malah anggota keluarga.

Katanya, alasan utama di balik tekanan Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia ke atasnya ialah siasatan rasuah oleh Novaya Gazeta yang dibiayainya serta tuduhan ada pegawainya terbabit dalam rasuah.

Lebedev dan bekas pemimpin Soviet, Mikhail Gorbachev memiliki 49 peratus pegangan dalam akhbar itu, sementara bakinya dikawal kakitangan Novaya. Lebedev juga memiliki dua akhbar di Britain, Independent dan Evening Standard.
AP

Pekarangan al-Aqsa taman awam: Israel

Penduduk Palestin  berjalan di  kawasan masjid al-Aqsa  yang terus menjadi sasaran rejim penjajah Zionis. - Foto EPA
Penduduk Palestin berjalan di kawasan masjid al-Aqsa yang
terus menjadi sasaran rejim penjajah Zionis. - Foto EPA
 
Baitulmaqdis: Majlis Perbandaran Israel memutuskan pekarangan Masjid al-Aqsa sebagai kawasan taman awam sekali gus membolehkan pendatang Yahudi berkampung di kawasan berkenaan pada bila-bila masa.

Pemimpin kedua Pergerakan Islam Bagi Wilayah Palestin Dijajah 1948, Sheikh Kamal Al-Khatib, mendedahkan keputusan itu diluluskan majlis berkenaan berkuat kuasa Ramadan tahun ini. 
Yahudikan tanah suci 


Khatib memberi amaran, langkah pihak berkuasa Israel itu adalah satu langkah mengYahudikan tanah suci umat Islam di sini.

Buat kali pertama, mereka membenarkan pendatang dan pelampau Yahudi masuk pekarangan al-Aqsa tanpa mengira perasaan orang Islam dalam masjid, katanya.

Beliau juga mendedahkan tindakan askar Yahudi pada Jumaat lalu menyerbu al-Aqsa dan menahan imam masjid yang sedang sujud memimpin solat subuh menyebabkan ibadat itu tidak dapat disempurnakan.

Kementerian Hal Ehwal Agama Palestin mengutuk keputusan Israel itu dan menyifatkannya pencabulan terang-terangan kesucian tanah suci umat Islam ketiga itu.
Gesa lindungi al-Aqsa 

Sehubungan itu, kementerian itu menggesa pemimpin Islam seluruh dunia mengadakan sidang bagi membincangkan langkah untuk melindungi al-Aqsa.

Di London, Pertubuhan Arab bagi Hak Asasi Manusia (AOHR) menyifatkan langkah yang dibuat Israel itu menyalahi undang-undang antarabangsa.

Israel cabul Konvensyen Geneva 

Dalam kenyataannya, AOHR menekankan, keputusan Majlis Perbandaran Israel itu bercanggah dengan Konvensyen Geneva.

Ia juga mengecam penasihat politik kerajaan Israel, Yehuda Vinstein yang mencadangkan kepada majlis dan pihak berkuasa antikuiti supaya mengkaji langkah menetapkan masjid itu sebagai sebahagian Israel.

AOHR menegaskan, al-Aqsa bukan hanya meliputi struktur masjid tetapi juga kawasan pekarangannya termasuk Masjid Kubah Batu.

Kawasan masjid al-Aqsa seluas 144,000 meter persegi, temboknya sepanjang 491 meter ke sebelah barat, 462 meter ke sebelah timur, 310 meter ke utara dan 281 meter ke selatan, kata AOHR.
Agensi

Ibu bapa dipenjara seumur hidup



GAMBAR pada 19 Jun lalu menunjukkan Iftikhar Ahmed dan isterinya, Farzana Ahmed.



LONDON - Sepasang suami isteri berbangsa Pakistan tergamak membunuh anak gadis mereka kerana dia terpengaruh dengan cara hidup Barat.
Jenayah tersebut terbongkar apabila adik mangsa memberitahu sebuah mahkamah Britain bahawa ibu bapa mereka melemaskan kakaknya yang berusia 17 tahun dengan menekup hidung dan mulut mangsa.
Kelmarin, Hakim Roderick Evans menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Iftikhar Ahmed, 52, dan isterinya Farzana Ahmed, 49, kerana membunuh anak mereka, Shafilea Ahmed (gambar kecil) pada tahun 2003.
Seorang sepupu pasangan suami isteri itu yang berasal dari perkampungan Uttam di Pakistan dipenjara 25 tahun kerana bersubahat dalam jenayah tersebut.
"Dia (mangsa) terhimpit antara dua budaya dan cara hidup iaitu budaya yang dia mahukan (Barat) dan cara hidup yang kamu paksa ke atas dirinya," kata Evans semasa menjatuhkan hukuman di Mahkamah Diraja Chester, di barat daya England kelmarin.
Di Britain, lebih 25 wanita dibunuh dalam kes yang dilabel 'pembunuhan demi maruah' sejak sedekad lalu.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu kebanyakannya dilakukan oleh keluarga Islam dari Asia ekoran malu kerana anak perempuan mereka mengikut cara hidup Barat atau enggan berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga.


Menurut pendakwa raya, Andrew Edis, Shafilea baru berusia 10 tahun apabila dia mula membantah peraturan ketat ibu bapanya.
Anak gadis itu akan menyembunyikan mekap dan pakaian Barat di sekolah dan memakai pakaian konservatif sebelum ibu bapanya tiba untuk mengambilnya pulang.
Namun, pada tahun lalu, kata adik Shafilea, ibu bapa mereka menolak kakaknya sehingga jatuh di atas sofa selepas berlaku satu pertengkaran.
Mereka kemudian memasukkan beg plastik ke dalam mulut mangsa dan menekup mulut serta hidungnya dengan menggunakan tangan sehingga dia meninggal dunia.
Ketika dia menyaksikan pembunuhan tersebut, Alesha berkata, dia berusia 12 tahun.
Menurut Alesha, selepas kakaknya dibunuh, adik-beradiknya yang lain naik ke tingkat atas rumah mereka dan melihat bapa mereka memasukkan mayat Shafilea yang dibalut dengan sehelai selimut, ke dalam keretanya.
Mangsa dilaporkan hilang tidak lama kemudian. Ibu bapanya turut berpura-pura menangis ketika merayu di media tempatan bagi mendapatkan maklumat yang dapat membantu mencari anak perempuan mereka.
Namun, polis yang mengesyaki pembabitan mereka, mencuri dengar perbualan di kediaman berkenaan sebelum bertindak menahan pasangan suami isteri itu.
Mayat Shafilea akhirnya di temui di Sungai Kent, Daerah Cumbria pada Februari 2004.
Namun, Alesha hanya memberi keterangan sebagai saksi dalam kes tersebut pada tahun 2010.
- AP

800 etnik Rohingya hampa gagal serah memo



PROTES...masyarakat Rohingya berkumpul di depan Kedutaan Myanmar untuk membantah penghapusan etnik di Arakan, semalam.
PROTES...masyarakat Rohingya berkumpul di depan Kedutaan Myanmar untuk membantah penghapusan etnik di Arakan, semalam.
KUALA LUMPUR: Seramai 800 etnik Rohingya serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pulang hampa selepas gagal menyerahkan memorandum membantah penghapusan etnik di Arakan, Myanmar, ketika mengadakan demonstrasi aman di depan Kedutaan Myanmar di sini, semalam.
Peserta demonstrasi mula membanjiri pekarangan kedutaan jam 2.30 petang namun hasrat mereka untuk menyerahkan memorandum tidak kesampaian apabila dimaklumkan pengawal keselamatan tiada wakil kedutaan layak menerimanya.

Presiden Organisasi Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmead berkata, dia mewakili seluruh etnik Rohingya bersama wakil NGO menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) segera menghulurkan bantuan makanan, minuman serta ubat-ubatan membantu etnik yang terperangkap di sana.

“Etnik di sana tidak boleh ke mana-mana dan terperangkap di sana (Arakan). Jika keluar, mereka akan dibunuh.

“PBB perlu tampil menghulurkan bantuan kepada etnik Rohingya yang ditindas,” katanya.

Menurutnya, dia membantah kenyataan Presiden Myanmar, Thein Sein yang mengatakan etnik Rohingya bukan rakyat negara itu.


“Dia (Thein Sein) perlu belajar semula sejarah yang etnik Rohingya sudah menetap di negara itu sejak sebelum kedatangan British dan Jepun,” katanya yang mengharapkan bantuan PBB dan negara Asean supaya menggesa kenyataan menimbulkan masalah perkauman itu ditarik balik.

Annan gagal kerana campur tangan asing: Iran




         
TEHERAN: Iran semalam menyalahkan campur tangan beberapa negara menyebabkan misi duta antarabangsa, Kofi Annan di Syria gagal.

Republik Islam itu juga membayangkan ia mungkin menjadi antara pihak yang akan memainkan peranan lebih penting untuk menyelesaikan konflik berkenaan.


“Negara yang campur tangan terbabit dilihat tidak berpuas hati dengan usaha dilakukan Annan untuk menghentikan penghantaran senjata ke Syria dan mengakhiri tindakan pengganas. “Bukan saja mereka tidak membantu melaksanakan rancangan enam langkah Annan malah negara terbabit juga berusaha menggagalkan misinya,” kata jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanparast ketika melawat China, lapor agensi berita rasmi Iran (IRNA).

Beliau tidak menamakan negara itu tetapi Teheran sebelum ini menuduh Arab Saudi, Qatar dan Turki bertanggungjawab membekalkan senjata kepada pemberontak Syria dan bersekongkol dengan Amerika Syarika dan Israel. - AFP